Kembara 3

“Apakah kali ini Tuhan mahu membalas dendamNya?”
~ Lutello Zangaja, Maharaja Agung Mukan’Aja.

menyiram tanaman dan mengembala. Pun begitu, keringat tetap membasahi dirinya. Di tanah lapang yang terdapat di hadapan rumah Kabeer, Ariki kini sedang bergerak selangkah demi selangkah ke kanan, berhati-hati, bersama dua tangannya diangkat separas dada, penumbuk dikepal, menghadap lawannya.

              Aifer.

              “Aifer? Lawan perempuan? Saya bukan seorang yang dayus, pakcik.”

              Kabeer tertawa kecil. Aifer sekadar tersenyum sambil menundukkan wajah, kemudian menggeleng.

              “Engkau tidak akan mampu memperapa-apakannya.”

              Dan Kabeer ternyata tidak bergurau. Semenjak pagi tadi, dia masih tidak mampu menumbangkan Aifer. Kini waktu sudah mula menjengah ke petang. Mereka hanya berehat selepas tergelincirnya matahari. Kabeer dan Aifer menunaikan ritual harian mereka dan kemudian mereka makan bersama-sama, sebelum Ariki kembali menjadi rakan kepada tanah, berkali-kali, akibat dibanting Aifer.

              Dua hari yang lepas, Kabeer telah bersembang panjang dengan Ariki. Sesuatu yang besar dan berat, membuatkan Ariki merasakan bahawa dirinya selama ini lena, dan kini baru sahaja bangkit.

              “Satria-Satria Sejati?” Ariki terkejut. Dia tahu berkenaan kumpulan itu daripada buku sejarah. Namun detailnya dia ingat-ingat lupa, memandangkan dia tidak berminat dengan pengajian tersebut. Tetapi yang dia pasti, sejarah Mukan’Aja tidak menggambarkan mereka sebagai ‘Satria-Satria Sejati’, lebih kepada ‘Penyangak Sesat’.

              “Ya. Kami telah tewas 25 tahun yang lalu, dan kalangan kami yang masih hidup, melarikan diri. Bertebaran di atas muka bumi ini. Ada juga yang telah kecewa dan berputus asa. Tetapi aku sentiasa yakin, harinya akan datang untuk kebenaran bangkit semula.”

              “Bagaimana Ariki? Apakah engkau takut dengan seorang perempuan?” Aifer sedikit melaung. Membuatkan Ariki kembali fokus. Jaraknya dengan Ariki sekitar lima depa. Dia seperti paksi, dan Ariki mengelilinginya dengan berhati-hati.

              Ariki tersengih. Menyahut cabaran Aifer, dia mara. Aifer tidak bergerak, menanti dengan kekuda yang terpasak utuh. Dua tangannya seperti Ariki, namun telapak tangannya terbuka.

              Ariki melepaskan tumbukan apabila dia menghampiri Aifer. Puteri Kabeer itu lincah mengelak, dan pada masa yang sama selangkah mara ke hadapan, dada Ariki disentuh dengan telapak tangan kanan, ketika itu daya tubuhnya yang bergerak ke hadapan telah membuatkan tolakannya menjadi lebih kuat, Ariki terapung sebentar ke udara, sebelum jatuh sekitar sedepa di hadapan.

              “Sentiasa perlu bersedia untuk serangan balas pihak lawan. Jika tidak, kita boleh kehilangan nyawa sekelip mata.”

              Aifer menggerak-gerakkan tangan dan tubuhnya, seperti menari, namun lebih kemas dan tegas, sebelum berhenti dengan dua telapak tangan terbuka di hadapannya.

              Ariki terkebil-kebil. Mengerang sedikit, sebelum berguling dan menolak tubuhnya untuk bangkit. Dia berdiri semula dan kali ini berazam untuk tidak dijatuhkan semula.

              “Sekitar 1000 tahun yang lalu, planet ini dihujani meteor yang telah merubah struktur muka bumi. Mujur, 50 tahun sebelum kejadian tersebut, manusia berjaya mengesan pergerakan meteor-meteor tersebut. Maka, sebahagian besar manusia telah terselamat. Pun begitu, akibat kejadian tersebut, struktur bumi telah berubah sama sekali. Sekitar 100 tahun selepas kejadian tersebut, manusia mula mengesan perubahan aneh pada diri mereka. Sekelompok kecil manusia mendapati bahawa diri mereka kini mampu mengawal beberapa unsur.”

              “Ya, saya tahu perkara ini. Walaupun tidak mengingatinya dengan sempurna.” Ariki mengingati pengajian seni tempur yang terpaksa diambilnya ketika berada di istana. Benci dengan keganasan dan kezaliman yang dipamerkan oleh ayahandanya, dia tidak berminat dengan pengajian tersebut, lantas menjadi tidak berapa arif akannya.

              Tetapi dia maklum bahawa beberapa manusia yang ‘terpilih’, seperti ayahandanya, para Wirawan Mukan’Aja, juga beberapa kumpulan manusia di dalam barisan tentera, mempunyai kelebihan luar biasa.

              “Unsur-unsur tersebut ialah api, air, elektrik, tanah dan angin. Berdasarkan kajian beberapa abad ini, telah terbukti bahawa kebolehan untuk mengawal itu semua adalah hasil daripada kesan radioaktif meteor-meteor yang terhempas satu alaf yang lepas. Radioaktif tersebut telah mengubah sel-sel dalaman manusia, menjadikan mereka mampu memanipulasi unsur-unsur tersebut. Namun, bukan semua manusia mempunyai kebolehan ini. Dikatakan, kebolehan-kebolehan ini muncul secara rawak dan hanya sebilangan kecil sahaja dari kalangan manusia yang benar-benar mampu memanipulasi potensi tersebut dengan baik, dan lebih kecil bilangan yang betul-betul mengeluarkan potensi itu secara maksi…” Kabeer tidak dapat menghabiskan bicaranya. Batuk-batuknya menyergah.

              Tetapi Ariki memahami.

              Maksimum.

              “Jadi apa yang berlaku kepada saya tempoh hari di istana, ialah perkara tersebut? Saya juga mempunyai kuasa itu?”

              Kabeer mengangguk.

              “Mungkin cemeti elektrik milik Wirawan yang terbunuh itu, sebagaimana yang engkau ceritakan di awal pertemuan kita, membuatkan tenaga terpendam itu bangkit.”

              Malam itu juga, Kabeer mengajarnya asas-asas untuk mengawal tenaga tersebut. Bagaimana untuk mengeluarkannya. Kini, Ariki sudah mahir untuk mengeluarkan tenaga terpendam itu. Walaupun belum lagi mampu menguasainya dengan baik.

              Ariki mempertingkatkan tenaganya.

              Cas-cas elektrik mula terhasil.

              “Oh, sudah mula serius?” Aifer menyakat. Senyuman indah terukir.

              Hampir sahaja Ariki rasa terawang-awangan, jika tidak kerana postur tubuh Aifer yang siap untuk menyambut serangannya.

              “Aku hanya perlu menumbangkan engkau sekali sahaja bukan?”

              Aifer mengangguk. Kabeer menyatakan di awal pagi tadi, latihan hari ini akan berakhir sekiranya Ariki berjaya menumbangkan Aifer sekali. Bilangan yang disangka sedikit, tetapi ternyata latihannya bersambung hingga ke petang. Aifer langsung tidak mampu ditumbangkan.

              “Tiada air berdekatan dengan kita.” Ariki tersengih. Merasakan dirinya punya kelebihan.

              Cas-cas elektrik mula terkumpul pada tubuh, Ariki belum benar-benar mahir untuk mengawalnya, menyebabkan Ariki tidak mampu menumpukan tenaga itu pada satu-satu kawasan. Tetapi dia sudah merasakan itu cukup untuk sekadar menumbangkan Aifer.

              Ariki membuka langkah dan mara kembali.

              “Amatur.” Aifer bersuara.

              Telapak tangannya dikatup menjadi penumbuk. Aifer melangkah ke hadapan, namun sebelum kakinya menyentuh tanah, dia menukar langkahan menjadi hentakan.

              Satu blok tanah keluar menyergah Ariki. Tubuhnya dihentam dari tepi. Rusuknya menjadi mangsa. Tergolek Ariki ke tepi. Mengerang dia kesakitan.

              “Kau mampu mengawal dua unsur?”

              Aifer hanya tersenyum.

              “Setiap manusia mempunyai kebolehan untuk mengawal maksimum dua unsur. Tetapi hanya satu yang datang secara automatik, manakala satu lagi perlu dikeluarkan sendiri potensinya oleh pemilik tubuh. Dan kadang memakan masa bertahun-tahun bagi seorang manusia untuk mengeluarkan unsur kedua, apatah lagi untuk menguasai kedua-dua unsur yang ada padanya dengan baik.” Kabeer menjelaskan.

              Ariki segera bangkit. Dia hanya perlu menumbangkan Aifer sekali sahaja. Sekali.

              Nafasnya dikawal. Rasa penat dan sakit disisihkan. Matanya dipejam, ketenangan diraih. Dia cuba membayangkan dirinya berada di hadapan air terjun, tempat dia diarahkan bertapa setiap hari oleh Kabeer sebelum ini.

              “Mengalahkah?” Aifer separuh melaung. Mungkin kehairanan melihat dirinya yang menutup mata dan seperti berputus asa.

              Perlahan-lahan Ariki membuka mata.

              “Aku sentiasa percaya bahawa Allah itu tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Setiap sesuatu ada peranan, setiap sesuatu pasti ada baik dan buruknya. Jadi aku percaya, apa yang berlaku kepada kau, ada hikmahnya. Mungkin…”

              Kabeer batuk. Dan kali ini agak kuat. Berkali-kali. Tangannya dirapatkan ke mulut. Selepas batuknya berhenti, tangan itu mengesat bibir.

              Walaupun selepas itu Kabeer pantas menurunkan tangannya, Ariki perasan ada darah pada tangan orang tua itu. Keadaannya kelihatan semakin parah.

              “…mungkin, engkau ialah kebangkitan yang dinanti-nantikan kami selama ini.”

              “Kebangkitan?”

              “Islam mempunyai satu motto yang jelas. Hendak membawa manusia meninggalkan perhambaan sesama manusia, kepada perhambaan terhadap Tuhan manusia. Membawa manusia keluar dari kezaliman agama-agama, kepada keadilan Islam. Membebaskan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat. Dan itu yang digeruni oleh Lutello. Dia tidak mahu wujud golongan yang menentangnya, dan kami telah memberikannya tentangan yang sangat hebat.” Kabeer melepaskan pandangannya ke tanah lapang.

              Seakan dia sedang mengimbas memori silam.

              Bibirnya mengukir senyum.

              “Tetapi pakcik, bukankah orang-orang Islam masih ada? Bukankah mereka berkumpul di dua Tanah Suci mereka? Mengapa ayahanda saya tidak pernah menyerang mereka?”

              Senyuman pada bibir Kabeer bertukar menjadi kelat.

              “Kerana mereka berlaku khianat kepada perjuangan dan spirit Islam yang sebenar. Mereka takut jubah-jubah mereka disimbahi darah, lantas mereka menyelamatkan diri sendiri sahaja. Pada mereka, asalkan mereka dapat beribadah, maka sudahlah. Sedang saudara-saudari di Palestin terseksa, kezaliman Lutello membebani dunia, gaya hidup yang dipromosikan Mukan’Aja merosakkan sosial dan generasi demi generasi, tidak mereka kisahkan. Kami pula yang dituduh sesat. Sedang mereka menjadi sekutu kepada ayahandamu itu.”

              Ariki menghela nafas.

              “Jadi, pakcik fikir saya mampu menumbangkan ayahanda saya? Menewaskan kekuasaan Mukan’Aja? Saya hanya seorang pemuda pakcik.”

              “Berseorangan? Tidak. Tetapi insyaAllah, jika engkau memulakan perjalanan di atas jalan ini, hari kebenaran akan bangkit dan memberikan tentangan kepada Lutello akan tiba.”

              “Saya bukan seorang Muslim!” Suara Ariki sedikit tinggi. Dia terasa bebanan yang tidak tertanggung.

              “Sekarang? Benar. Tetapi engkau punya hati yang murni. Jika bukan kerana kebaikanmu, sudah pasti Tuhan tidak meletakkan engkau di atas jalan ini. Bukankah kerana belas kasih yang engkau tunjukkan kepada orang-orang yang dizalimi, membuatkan engkau dibawa ke mari? Tidakkan engkau melihat susunan Tuhan?”

              “Ini semua hanya kebetulan Pakcik.”

              Kabeer tertawa kecil. Senyumannya kemudian melebar.

              “Tiada kebetulan di dunia ini Ariki. Semuanya adalah aturan Tuhan.”

              Ariki membuka langkah. Mara dengan nekad. Aifer tidak menanti Ariki hampir. Dia terus menggerakkan tangan dan kakinya. Kakinya menghentak tanah, dan tangannya diangkat. Tanah di hadapannya naik. Kemudian Aifer menumbuk tanah tersebut.

              Tanah itu menggumpar menjadi seperti bebola, sebelum bergerak laju ke arah Ariki seperti peluru.

              Ariki tidak bereaksi terkejut. Dia telah bersedia untuk Aifer melakukan sesuatu di luar jangkaannya. Dia mengelak dengan baik.

              Aifer tidak berhenti dengan satu serangan. Terus dia menumbuk tanah di hadapannya berkali-kali. Beberapa bebola tanah melayang ke arah Ariki.

              Ariki mula mengelak dan menepis, sambil terus mara ke hadapan. Kesakitan pada tangannya kerana menepis serangan tersebut diabaikan.

              Tanah di hadapan Aifer telah habis, dan kini Ariki sudah berada dalam jarak sedepa dengannya. Aifer mula mempersiapkan diri untuk menyambut serangan Ariki. Sama ada tendangan atau tumbukan, Aifer telah siap untuk menyerang balas.

              “Kebangkitan akan datang. Bersama atau tidak bersama kita, Ariki. Kerana cahaya kebenaran itu tidak akan sesekali terpadam. Persoalannya, apakah kita mahu bersama dengan kebangkitan itu, atau menjadi orang yang sekadar bersedih hati melihat kezaliman berleluasa?” Ujar Kabeer sambil tersenyum kepadanya.

              “Hiargh!” Ariki mengambil tindakan mengejut, dengan meletuskan kuasanya secara tiba-tiba di hadapan Aifer. Segala tenaga yang mampu dilepaskan, dikeluarkan sekaligus. Menjadikan tubuhnya mengeluarkan gelombang elektrik yang sangat tinggi dalam masa yang sangat sebentar. Dan ibarat sambaran petir, letupan berlaku di sekeliling tubuh Ariki.

              Aifer tidak bersedia untuk itu. Terkejut puteri Kabeer tersebut dengan tindakan Ariki.

              Tubuhnya melayang terpelanting ke belakang, dan kerana semuanya berlaku terlalu pantas, dia tidak mampu menyeimbangkan tubuhnya di saat akhir.

              Aifer jatuh menelentang di atas tanah.

              Ariki membeliakkan mata. Nafasnya turun naik. Kemudian dia jatuh melutut ke tanah. Tubuhnya terasa sangat lemah.

              Aifer perlahan-lahan bangun. Kelihatan Kabeer keluar dari rumah, dan segera bergerak mendekati Ariki. Aifer turut bergerak mendekati pemuda itu.

              “Ariki?” Aifer bertanya.

              Kabeer menyentuh tubuh Ariki. Panas. Bahu Ariki digerakkan sedikit.

              Ariki mengangkat wajah. Senyuman lebar.

              “Saya rasa saya sudah dapat faham bagaimana hendak mula mengawal tenaga ini?”

              Kabeer dan Aifer turut mengukir senyuman.

              Belakang tubuh Ariki ditepuk-tepuk oleh Kabeer. “Syabas orang muda.”

              Ariki dibantu Kabeer untuk berdiri. Mereka kemudian beriringan bergerak ke arah rumah.

              “Oh penatnya!” Ariki melaung.

              “Ya. Kuasa untuk mengawal unsur tidak datang percuma. Setiap seseorang mempunyai kemampuan berbeza untuk mengawalnya. Namun ia boleh diibaratkan sebagai otot. Otot yang lemah tidak mampu bekerja lebih kuat. Jadi ia boleh dilatih. InsyaAllah, perjalanan engkau baru bermula, Ariki.”

              Ariki terangguk-angguk. Sebentar dia melirik kepada Aifer.

              Aifer hanya tersenyum.

******

Lutello kini berada di balkoni kamar. Dua tangan direhatkan pada penghadang, sambil pandangannya ditebarkan ke kerajaannya. Kedudukan istana yang berada di atas gunung, membuatkan dia mampu melihat sebahagian besar Kota Ismura, ibu kota kepada Mukan’Aja dari mana-mana tingkat di istana ini. Tetapi itu tidak memuaskan hatinya kerana kedudukan gunung tempat Istananya berada itu terletak di tengah-tengah kota, dia tidak boleh memerhatikan keseluruhan Ismura. Kerana itu dia membina sebuah menara, yang membolehkannya memerhatikan seluruh Ismura.

              Menara yang telah menjadi saksi kepada kematian Uytur, tapak kemuncaknya penderhakaan anak angkatnya, Ariki.

              Dia masih belum mendapat apa-apa berita daripada Lakshamana. Dan dia kini tidak bernafsu untuk bersantai menikmati kemewahan yang berada di hujung jarinya. Perasaan bahawa bila-bila masa sahaja ini semua akan ditarik pergi, dimusnahkan, membuatkan segala nikmat di hadapan mata menjadi tawar. Semenjak kepulangan pimpinan Wagangada, Likuwaku, Namiami dan Janjaja, dia banyak termenung dan merenung.

              Memerhatikan Ismura, dia mengakui bahawa dia sepatutnya tidak berperasaan sedemikian rupa. Kota yang maju dan makmur ini, dibangunkan dengan kekuasaannya. Bangunan-bangunan di Ismura kebanyakannya tinggi dan kelihatan mewah. Penduduk di sini kebanyakannya kaya raya dan merupakan bangsawan. Namun tidak dinafikan, ramai juga yang merupakan si miskin dan tidak punya tempat tinggal. Tetapi secara zahirnya, Ismura merupakan antara kota tercantik di atas muka bumi ini. Dikatakan hanya disaingi dengan keindahan senibina yang terdapat di Bustanati. Walaupun tidak mampu menyaingi kemajuan yang khabarnya terdapat di Uluwalu.

              Lutello memujuk dirinya untuk merasa lebih bangga dan berkuasa.

              “Dia hanya seorang budak sahaja Lutello.” Bicara dirinya, mengenangkan Ariki. “Mustahil dia mampu memberikan apa-apa ancaman.”

              Itulah yang sering diulang oleh Lutello saban hari, semenjak berlakunya peristiwa hitam di tapak menara yang sedang dibina di istananya itu.

              Namun, dia tetap tidak mampu menghilangkan perasaan takut.

              Ini menyebabkan kebelakangan ini baran Lutello tidak terkawal. Dia mudah marah dan bengang. Entah sudah berapa pelayan dan pengawal menjadi mangsanya. Dan antara mangsa utama untuk dia melempiaskan kemarahannya, ialah permaisurinya sendiri, yang kini dipenjara di dalam kamar dan tidak dibenarkan keluar.

              Lutello sudah tidak lagi bermesra dengannya, bahkan kini apabila dia merasa murka, dia akan melempiaskan kemarahannya pada Afiefa dengan menyebatnya menggunakan cemeti. Menengking dan memakinya kerana Afiefalah puncanya Ariki berada di dalam istana ini.

              Lutello sedar bahawa tindakan-tindakannya itu menggambarkan kewarasan yang mula menghilang. Dia tidak boleh bersikap sedemikian sekiranya dia mahu menang dalam pertarungan ini. Bahkan, ancaman anaknya itu belum pasti.

              Semuanya hanya kerana mimpi.

              “Jika benar anakanda kita akan menumbangkan kerajaanmu ini wahai kekanda, maka ketahuilah bahawa engkau telah sedia tertewas. Kerana hanya dengan mimpi, engkau hilang waras.”

              Ayat itu seperti mencucuk jiwanya. Dan akibatnya, Afiefa menerima beberapa libasan cemeti. Erangan kesakitan daripada permaisurinya tidak diendahkan dan tidak sedikit pun mengusik jiwanya. Namun jauh di dalam hatinya yang terdalam, dia tidak dapat menyembunyikan kebenaran bicara isterinya itu.

              Isterinya seorang yang bijak dan pandai. Bukan dari keturunan istana. Afiefa ditemui ketika Lutello mengiringi mendiang ayahandanya melawati tanah jajahan Mukan’Aja ketika itu. Afiefa merupakan seorang remaja yang sangat cantik dan memikat hatinya. Walaupun dia membesar dikelilingi dayang-dayang istana yang sangat menggelojak nafsu, entah mengapa, Afiefa menawan jiwanya.

              Terus sahaja dilamarnya Afiefa itu dan mereka berkahwin pada usia yang sangat muda.

              Namun mereka tidak dikurniakan anak. Setelah beberapa tahun berkahwin, apabila diperiksa, Lutello disahkan mandul oleh doktor-doktor. Ya, doktor-doktor, kerana beberapa doktor awal yang memberitahu hakikat itu kepadanya, dibunuh langsung ketika itu juga. Hinggalah pada doktor yang kesepuluh, barulah Lutello menerima hakikat tersebut.

              Pada usianya 30 tahun, 5 tahun selepas peperangan dengan Satria-Satria Sejati, Ariki ditemui isterinya itu.

              Bagi isterinya, Ariki ialah kurniaan Tuhan. Anugerah. Tetapi bagi Lutello, selamanya Ariki merupakan lambang kelemahan dirinya yang tidak mampu mempunyai zuriat. Lutello membenci Tuhan dan merasakan Tuhan tidak sesekali adil kerana membuat nasibnya sedemikian rupa.  

              Kerana itu, apabila Satria-Satria Sejati muncul untuk menentangnya, dia benar-benar benci kepada golongan pemuda itu. Kerana kumpulan itu percaya kepada Tuhan. Allah namanya. Dan keyakinan mereka tidak berbelah bagi, hingga mampu membuatkan Lutello hampir sahaja tewas. Tetapi Lutello kini berbangga dengan cabaran yang diberikan oleh kumpulan pemuda tersebut kepadanya.

              Kerana, tanpa mereka, Lutello tidak akan tahu bahawa di kalangan orang-orang Islam, yang mengaku mempercayai Tuhan, percaya kepada kewujudan syurga dan neraka, ada juga yang merupakan hipokrit. Mereka beribadah setiap hari, bahkan sehari berkali-kali, sujud kepada Tuhan menghinakan diri setiap hari, namun tidak sedikit dari kalangan mereka yang mengikat dirinya dengan kelazatan dunia. Kelazatan yang dinikmati saban hari oleh Lutello. Mereka ini sanggup menjual diri mereka, agar mereka tidak diganggu, kehidupan mereka tidak diancam. Mereka mengaku percaya dan beriman kepada Tuhan, yakin bahwa Tuhan merekalah pemberi rezeki dan kemenangan, tetapi mereka tidak cukup percaya, untuk menerima tekanan demi tekanan dan ancaman daripada Lutello.

              Akhirnya mereka sendiri bersekutu dengannya. Tunduk pada kekuasaannya.

              Mereka sendiri mengkhianati dan melemahkan Satria-Satria Sejati.

              Ketika itu, Lutello merasakan bahawa dia telah menewaskan Tuhan itu sendiri.

              Lutello tersengih dan kemudian tersenyum sendiri.

              Memang, dia menganggap bahawa pertembungannya dengan Satria-Satria Sejati ibarat pertembungannya dengan Tuhan itu sendiri.

              Tetapi akhirnya Satria-Satria itu tewas dengan begitu hina sekali.

              Senyuman Lutello kemudian menjadi pudar.

              “Apakah kali ini Tuhan mahu membalas dendamnya?”

              Lutello menggeleng kepala.

              Bicara Afiefa benar. Dia seperti hilang kewarasan. Dia tahu itu. Tetapi dia masih tidak mampu melepaskan diri dari paranoia ini. Tidak selagi dia tidak mengetahui nasib anakandanya itu.

              Jika mati, tidak mengapa. Jika pulang menyerah diri, menyatakan bahawa dirinya tidak sengaja, pulang dalam ketakutan, tidak mengapa. Tetapi bagaimana jika dia pulang membawa keyakinan baru? Pulang menentangnya?

              Lutello tidak mampu membuka peluang untuk kemungkinan itu.

              Dia tidak akan sesekali membenarkannya.

              Dia tidak akan membiarkan dirinya terhina oleh sesiapa.

              Hatta Tuhan!

              “Tuanku.” Suara itu membuatkan Lutello spontan menoleh. Kamarnya tidak kelihatan sesiapa. Dia bergerak masuk, merentasi kamarnya yang besar melepasi katil gergasinya dan menuju ke pintu. Pintu bilik dibuka.

              Seorang pengawal berada di hadapannya.

              “Ya? Gerangan apa engkau menganggu aku pada waktu senja sebegini?” Suara Lutello sedikit tinggi.

              “Ampun Tuanku. Tetapi berita telah tiba daripada Lakshamana…”

              Lutello membesarkan mata.

******

Ariki sekadar memerhati sahaja dari anjung rumah. Sambil merehatkan diri di atas kerusi, dia memandang Kabeer dan Aifer yang sedang melakukan ritual harian mereka di atas tanah lapang di hadapan rumah. Dia dapat melihat mereka berdua seakan-akan terputus dari alam ini apabila melakukan ritual tersebut. Setiap kali, begitulah gayanya.

              Mereka akan melakukan ritual itu lima kali sehari sekurang-kurangnya, tidak pernah berkurang, bahkan biasanya lebih. Satu kali pada waktu pagi sebelum fajar menyinsing, satu kali selepas tergelincirnya matahari, satu kali di waktu petang, satu kali pada kala mega merah berada di langit, dan satu kali lagi pada waktu malam. Dan tidak sekali dua dia melihat mereka menambahnya ketika sebelum dan selepas ritual harian tersebut, adakalanya pada waktu matahari naik dua penggalah, dan juga kadangkala Ariki terbangun di tengah pagi buta, melihat Kabeer sering melakukan ritual tersebut berkali-kali.

              Dia tidak pernah melihat seorang manusia yang begitu komited dengan sesuatu yang tidak mampu dilihat di hadapan mata. Kabeer dan Aifer mengakui bahawa mereka mempercayai Tuhan bernama Allah. Mereka percaya bahawa itulah Dia Tuhan Yang Maha Esa, Paling Berkuasa, dan merupakan Pencipta bagi segala-galanya. Aifer pernah berkongsi bahawa ritual yang mereka laksanakan itu bernama solat. Wajib dilakukan lima kali sehari pada waktu-waktunya yang tertentu.

              Lebih mengkagumkan Ariki berbanding kemampuan Kabeer dan Aifer melakukan ritual tersebut banyak kali di dalam sehari ialah bagaimana prinsip hidup mereka berdua yang dilihat seakan terbina daripada agama yang mereka anuti.

              Agama mereka tidak terpisah dari kehidupan. Dari sikap, dari rutin harian, dari percakapan dan pergerakan.

              Dan setiap sesuatu yang berlaku, kelihatan seperti Kabeer dan Aifer benar-benar mempercayai bahawa semuanya adalah susunan Tuhan tersebut. Mereka sangat percaya bahawa Tuhan itu bersama mereka.

              Ariki tidak dapat menghadam keyakinan sedemikian rupa.

              Tetapi tidak dinafikan, dia sangat senang bersama Kabeer dan Aifer, walaupun asalnya agak kekok tinggal serumah dengan mereka berdua. Sepanjang dia berada di sini, dia bermalam di buaian rajut yang digantung Kabeer khas untuknya di luar rumah. Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah ini, kecuali jika dipelawa masuk. Apabila ditanya mengapa, Aifer menjawab bahawa agamanya tidak membenarkan lelaki yang tidak punya pertalian darah atau hubungan perkahwinan, untuk melihat aurat seorang wanita dengan sengaja.

              Aurat, sebagaimana yang diterangkan oleh Aifer, bagi lelaki ialah dari pusat ke lutut, manakala bagi wanita seperti Aifer, ialah seluruh badan, kecuali muka dan tangan. Mereka juga tidak dibenarkan berpakaian ketat. Kerana itu, Aifer sering berpakaian litup dan labuh. Rambutnya sentiasa tersimpan kemas. Hanya wajahnya sahaja yang terpapar indah.

              Aifer juga memberitahu bahawa di dalam agamanya, lelaki dan perempuan yang tidak punya pertalian darah atau hubungan perkahwinan itu tidak boleh bersentuhan. Ariki menyatakan dia tidak ada masalah akan perkara tersebut, kerana dia tidak berniat apa-apa terhadap Aifer. Jawapan Ariki sekadar menjemput tawa daripada perempuan rupawan tersebut. Aifer kemudiannya menambah, sekiranya berlaku darurat, atau terpaksa, atau tidak sengaja, tidak mengapa. Keadaan itu diterangkan semula ketika Kabeer meminta Ariki berlatih bersama Aifer.

              “Tidak mengapakah jika saya tersentuh dia?”

              “Latihan ini akan menentukan keupayaan engkau untuk hidup. Aku tidak lagi mampu melatihmu. Aku tidak sihat. Hanya Aifer sahaja yang ada. Dan kita kesuntukan masa. Ini darurat.”

              Walaupun dia tidak memahami mengapa Kabeer kelihatan seperti tergesa-gesa, tetapi dia akur sahaja. Dia tidak punya masalah, hanya dia bertanya kerana memikirkan Aifer, risau perempuan itu tidak selesa melanggari batas agamanya.

              Namun nampak jelas Aifer faham letak duduk perkara yang sebenar. Tambahan, mereka bukan berasmara. Buktinya, badan Ariki masih sakit-sakit sehingga kini akibat dibanting berkali-kali ke bumi oleh Aifer.

              Tetapi jelas, agama itu agama yang penuh dengan adab dan santun. Kemuliaan dan penghormatan. Tiada yang ‘liar’. Teringat Ariki akan bagaimana perempuan-perempuan di Mukan’Aja dilayan. Ibarat hamba. Diperguna sebagai simbol seks dan pemuas nafsu lelaki. Hendak menjual makanan atau kuda pun, perempuan berpakaian mengghairahkan diguna.

              Sesuatu yang Ariki tidak pernah mampu faham apa tujuan dan manfaatnya.

              “Islam. Hem.” Ariki merenung.

              Sedikit sebanyak, Ariki melihat agama itu ialah agama yang mendidik penganutnya untuk punya disiplin hidup, keyakinan yang tinggi, dan melengkapkan mereka dengan adab serta kesantunan yang indah.

              Tidak dinafikan, Ariki rasa tertawan.

              “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.” Kabeer dilihat menoleh ke kanan. Diikuti Aifer.

              “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.” Kabeer kemudian menoleh ke kiri, dan sekali lagi diikuti Aifer.

              Begitulah mereka mengakhiri ritual harian tersebut.

              Tiba-tiba Ariki menangkap bunyi derapan kuda. Spontan dia siaga.

              “Adakah tentera ayahandaku telah menjumpai kita di sini?”

              Bunyi itu semakin lama semakin kuat. Ariki turun dari anjung rumah. Namun dia melihat Kabeer dan Aifer seperti tidak kisah.

              “Pakcik, Aifer, saya risau jika itu…”

              “Jangan risau Ariki.” Kabeer memotong dengan lembut.

              Muncul dari hutan berdekatan tiga penunggang kuda. Ariki memerhati ketiga-tiganya mendekati mereka.

              Kuda ditenangkan.

              Kabeer dilihat tersenyum menyambut tiga orang manusia itu. Mereka turun dan terus berpelukan dengan Kabeer.

              “Kekanda, sangat lama kita tidak bersua!” Salah seorang dari mereka bersuara. Nada gembira tidak dapat disembunyikan.

              “Alhamdulillah, akhirnya kita dapat bertemu hari ini dengan izin Allah.” Kabeer menepuk-nepuk belakang tubuh mereka.

              “Sudah tua kita ya?” Seorang lagi bersuara apabila pelukan diregangkan.

              Ketiga-tiga mereka mengangguk.

              Aifer pula kini sudah berada di sebelah Ariki.

              “Er, siapa tiga orang tua ini? Nampak macam sebaya dengan bapamu.”

              Aifer tersenyum lebar.

              “Itulah dia Satria-Satria Sejati. Atau sebahagian daripada mereka.”

              Ariki memandang sambil tidak percaya.

              Inilah manusia-manusia yang menentang ayahandanya 25 tahun yang lalu? Nampak semuanya sederhana, tenang, santun. Bahkan wajah mereka ibarat dilimpahi cahaya. Wajah orang baik.

              Dan mengapa mereka berkumpul di sini hari ini?

              Ariki memandang Aifer, dan pandangannya seperti mampu dibaca oleh puteri Kabeer itu. Aifer mengangkat bahu. Dia juga tidak tahu.

              “Bapa hanya meminta aku menyediakan air sahaja.”

              Aifer kemudian berundur dan masuk ke rumah.

              Kabeer mempelawa rakan-rakannya itu ke anjung. Apabila menghampiri Ariki, Kabeer memperkenalkan Ariki kepada mereka.

              Semuanya bersalaman dengan Ariki sambil melempar senyuman manis. Jelas daripada jabatan tangan mereka, umur tidak menentukan keperkasaan. Di balik pakaian yang labuh, Ariki dapat menjangka bahawa mereka ini semuanya tegap, dan jika tidak sasa sekali pun, mempunyai ilmu pertarungan yang tinggi.

              Berada hampir dengan mereka, seakan mampu melemaskan dirinya, dek kerana aura yang seperti melingkari diri mereka. Jika tidaklah kerana kemesraan dan kemanisan riak wajah yang mereka pamerkan, sudah pasti Ariki tidak akan mampu bertahan dan pengsan.

              Mereka bukan manusia sembarangan.

              Sedikit sebanyak, membuatkan Ariki terkenangkan Ayahandanya.

              Ayahandanya mempunyai aura sedemikian rupa.

              Adakah mereka ini setanding dengan ayahandanya?

              Mereka meninggalkan Ariki dan bergerak ke anjung. Apabila Ariki mengekori, Kabeer berkata kepada Ariki.

              “Engkau pergilah membantu Aifer di dapur.”

              “Hah?” Terkejut Ariki. “Bukankah tidak sopan berdasarkan agama pakcik, untuk saya berdua-duaan dengannya?”

              Kabeer tertawa. “Berdua-duaan apanya. Kami berempat ada di luar, dan rumahku tidak sebesar mana. Dapur itu boleh dilihat dari tingkap.” Belakang Ariki ditepuk sedikit kuat.

              Ariki menggaru kepala yang tidak gatal. “Atau engkau tak reti membancuh minuman?” Kabeer menyakat.

              Giliran Ariki pula tertawa sambil kesipuan.

              “Bantu apa yang patut. Kerana apa yang kami sembangkan ini belum lagi untuk telingamu mendengarinya.”

              “Baik pakcik.”

              Ariki pun bergerak naik ke rumah.

******

“Wirawan Utama,”

              “Ya Zanggi?” Dia memandang manusia yang sedang menunggang kuda di sebelahnya.

              “Tidak mengapakah hanya kita berdua sahaja?” Lelaki berpakaian tentera itu sedang membawa bendera panjang yang terpampang lambang kebesaran Mukan’Aja.

              Lakshamana yang turut menunggang kuda hanya tersengih. Kuda mereka bergerak dengan kelajuan sederhana.

              “Apa engkau takut kita hanya berdua?”

              Tentera bernama Zanggi itu tidak berani menjawab.

              “Dia hanya seorang budak, Zanggi.” Lakshamana mengawal tali kekang kenderaannya. Dia kelihatan sangat gagah dengan zirahnya. Mantelnya sekali sekala berkibar sebelum berehat semula di atas punggung kuda.

              “Tetapi Wirawan Uytur…”

              “Heh. Cuai dan lalai. Mungkin itu petanda dia memang tidak layak diambil sebagai Wirawan. Bila pulang, aku ada calon yang sesuai untuk dicadangkan kepada Tuanku Maharaja.”

              Zanggi berdiam diri. Dia hakikatnya bukan seorang pahlawan, hanya pembawa bendera. Kebiasaan para Wirawan apabila bergerak memasuki mana-mana kawasan, mereka akan membawa pembawa bendera, kerana bendera itu lambang bahawa mereka mendapat kuasa terus daripada Maharaja Lutello.

              Bersama Lakshamana, mereka telah menempuh perjalanan yang sangat panjang, menggeledah perkampungan-perkampungan kecil yang terdapat di seluruh pinggiran dan pedalaman Mukan’Aja. Sebulan lebih mereka mengembara tanpa henti. Lakshamana tidak pernah menunjukkan rasa kasihan dan kisah akan kepenatan tentera-tenteranya sebelum ini.

              Tetapi tiba-tiba, dalam perjalanan menuju lokasi terakhir ini, Lakshamana menyuruh seluruh tenteranya pulang, kecuali Zanggi.

              Perkampungan Sinan. Itulah lokasi terakhir mereka.

              “Aku tidak mahu tenteraku menjadi penghalang.” Lakshamana menjawab soalan asal Zanggi. “Mereka terlalu kepenatan dan tidak berguna jika kita bertempur dengan lawan yang hebat. Mereka akan menjadi penghalang sahaja.”

              “Wirawan Utama menjangka akan berlaku pertarungan? Dengan penderhaka?” Sebentar tadi Lakshamana seakan menyatakan agar Zanggi tidak merisaukan perihal Ariki.

              “Ya, penderhaka. Tinggal bukan si anak raja.”

              Zanggi seperti terkejut.

              “Engkau tidak merasainya bukan? Aura yang hebat dan tinggi di tempat yang kita tujui sekarang ini?” Lakshamana tersenyum lebar.

              Nampak gembira yang teramat.

              Zanggi menggeleng. Dia tidak dikurniakan kelebihan untuk mempunyai aura dan mampu mengesan aura. Dia hanya seorang tentera yang biasa. Pembawa bendera.

              “Nampaknya budak tersebut bersama dengan sekumpulan manusia yang hebat.”

              Lakshamana tahu, hanya beberapa orang sahaja di atas muka bumi ini mampu mengeluarkan tenaga sedemikian rupa. Dan semua kemungkinan lain agak mustahil untuk ditemui di perkampungan yang jauh dan terpencil seperti ini.

              Deduksinya menjangka bahawa ini mesti daripada mereka yang cuba menyembunyikan diri daripada Kerajaan Mukan’Aja.

              “Satria-Satria Sejati.”

              Zanggi terpempan. Tidak percaya.

              “Zanggi, aku akan berpesta!” Lakshamana tidak dapat mengawal kegembiraannya. Dia ketawa berdekah-dekah.

              Mereka bergerak membelah hutan, semakin menghampiri Perkampungan Sinan.

              Kurang lebih, sehari lagi perjalanan.