Konsep Cerita & Prinsip Penulisan

Konsep Cerita & Prinsip Penulisan
Jun 28, 2019
Konsep Cerita & Prinsip Penulisan


Saya tidak mempunyai apa-apa didikan formal dalam penulisan, kecuali apa yang saya belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Saya tidak pernah mengikuti mana-mana kursus atau bengkel berkenaan penulisan. Jadi kadang bila orang bercakap berkenaan metod penulisan, atau ciri-ciri genre, saya biasanya tidak benar-benar tahu.

Bahkan untuk menentukan karya saya di genre apa pun, kadang saya tidak pasti.

Tetapi yang saya tahu, tujuan saya menulis karya ialah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. MengenaliNya, selangkah lebih rapat kepada mentaatiNya, hidup dengan prinsip-prinsipNya. Itu misi saya dalam penulisan. Manakala di dalam industri, memandangkan kini saya seorang penerbit, apa yang saya mahu hanyalah memberikan saingan, menjadi alternatif yang baik, kepada lambakan karya yang ada.

Maka apa pun cerita yang saya tulis, elemen keTuhanan itu tidak pernah tidak ada. Kebenaran mesti tertegak, sama ada secara jalan cerita, atau secara mesej. Kebatilan mesti dilihat batil. Tiada bahasa yang rosak, lucah. Tidak ada elemen tahyul dan karut, dan sekiranya ianya wujud juga, ia mesti dipamerkan sebagai batil.

Saya sebenarnya sangat terkesan dengan pemuzik yang mampu menyelitkan mesej-mesej berat melalui alunan santai musik mereka. Saya ambil contoh Outlandish dan Lokwey, kedua-duanya entiti ini menghasilkan halwa telinga, tetapi sarat dengan mesej.

Saya mahu begitu. Saya mahu karang novel, sebuah fiksyen, yang sering dilihat santai, hanya untuk berseronok mengisi masa lapang tetapi hakikatnya menyelitkan kebenaran, peringatan, kritikan, cuitan isu semasa, perkara-perkara yang boleh membuatkan pembaca berfikir, dan impaknya tidak terhenti tatkala novel itu ditutup.

Ini misi saya. Ini yang saya implementasikan dalam Saga HERO, dan sedang diusahakan dalam Siri Hikayat Satria-Satria Sejati, serta akan terus dimajukan pada karya-karya mendatang.

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!