Perancangan Karya Mendatang 2019-2021

Perancangan Karya Mendatang 2019-2021
Semenjak
penubuhan Hilal Asyraf Resources pada penghujung 2016 sehingga kini, saya telah
berjaya mengarang dan menerbitkan 10 buah novel.
Saga HERO yang terdiri dari 5 buah novel – HERO, Pemburu,
Surihati Encik Pembunuh, Samurai Melayu dan Membunuh Muhammad. Siri Hikayat
Satria-Satria Sejati yang kini telah mempunyai 3 buah novel – Generasi Baru,
Arus Perubahan, dan Badai Perjuangan. Serta 2 buah novel yang berdiri sendiri,
Novel Sumpahan Legenda dan Novel Tetamu Tuhan 50 Hari.
Untuk penghujung 2019 dan PBAKL2020, saya mensasarkan 8
lagi novel baru.
2 novel Hikayat Satria-Satria Sejati – Samudera
Pengorbanan & Generasi Pejuang – yang bakal menyempurnakan terus siri
tersebut. Trilogi TAKDIR versi tulis semula – Cahaya Yang Tidak Terpadam,
Percaya Yang Tidak Sirna dan JanjiNya Yang Tidak Termungkir. Kemudian Trilogi
SAHABAT, yang merupakan Novel Relasi, Terasing dan Sinergi versi tulis semula.
Tetapi saya pun tak berani jamin sebenarnya semua ini akan
berjaya ditulis. Namun saya memang suka letakkan sasaran tinggi.
Sekurang-kurangnya bila tak berjaya menggapai bintang, kita tetap jatuh di atas
bulan. Mungkin tak dapat siap 8, dapatlah siap 5.
Saya juga ada projek penulisan semula karya-karya
non-fiksyen saya seperti Sebelum Aku Bernikah dan Untuk Kita Pendosa.
Selepas itu saya ada projek karya yang memberikan fokus
kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, tetapi insyaAllah saya yakin ia tetap
sesuai untuk pelajar sekolah rendah dan orang-orang dewasa yang suka membaca
fiksyen, terutama penulisan saya. Ini projek pasca PBAKL2020. Detail projek ini
masih rahsia, dan hanya akan saya umum bila siap kelak.
Manakala Tahun 2021, saya bercadang untuk menghasilkan
sebuah hikayat yang sangat epik, yang juga akan saya rahsiakan sehingga ia siap
dan sempurna. Ini saya mahu jadikan saya punya magnum opus – masterpiece. Ia
akan terdiri dari 9 buah novel. Saya tidak akan terbitkannya satu persatu,
tetapi akan terbitkannya sekaligus, dengan sasaran terbit pada November 2021.