Saga HERO

Saga HERO
Jun 28, 2019
Saga HERO


Sebenarnya yang menarik berkenaan penghasilan saga ini ialah ia tidak dirancang. Novel HERO sebenarnya telah terbit pada tahun 2010. Apabila saya memulakan Hilal Asyraf Resources pada penghujung 2016, saya fikir produk pertama saya, Novel Pemburu, akan jadi seronok sekiranya saya letakkannya dalam alam yang sama dengan Novel HERO.

              Hanya selepas saya menghasilkan Surihati Encik Pembunuh, yang berkait dengan Novel Pemburu, saya merasakan satu tolakan kuat untuk menghasilkan sebuah ‘universe’ seperti Marvel’s Cinematic Universe. Ini membuatkan saya mengarang semula Novel HERO, untuk disesuaikan dengan perjalanan cerita di dalam Novel Pemburu dan Surihati Encik Pembunuh, sebelum melengkapkan barisan watak utamanya dengan Novel Samurai Melayu dan difinalkan dengan Novel Membunuh Muhammad.

              Kekuatan Novel HERO yang asal ialah ia sebuah novel aksi, jauh dari stereotaip novel Islamik yang sering digambarkan membincangkan isu jodoh, baitul muslim. Pada masa yang sama, latarnya Malaysia, mudah untuk para pembaca menghubungkannya dengan realiti.

              Maka elemen itu saya bawa ke Saga HERO dan jadikannya sebagai tunjang.

              Saga HERO bukanlah novel berat, dan watak-wataknya tidak saya buat terlalu komplikated dan mendalam. Kerana pada saya, sebenarnya fokus Saga HERO bukan pada watak-watak utamanya, tetapi kepada latarnya. Yakni bagaimana Malaysia bangkit dari sebuah negara korup dan terkebelakang, menjadi singa antarabangsa dan menggegarkan dunia.

              Setiap watak utama punya cabaran peribadi yang tersendiri, sebelum terheret ke konflik yang lebih besar. Ini sebagai majaz kepada kehidupan kita yang sebenar. Bahawa kita sebenarnya tidak hidup sendirian dan hanya berhadapan masalah peribadi. Wujud sebenarnya cabaran lebih besar di dalam hidup ini.

              Saga HERO pada saya ialah jentikan, bukan pukulan. Sekadar untuk menarik perhatian, mengajak pembaca mengimpikan masa hadapan ummat yang lebih mapan. Untuk ke arah itu, kesedaran utama ialah pada pembumian Islam dalam peribadi masing-masing, dan menyedari bahawa perjalanan ke arahnya akan disertai liku-liku yang sangat mencabar.

              Itulah sebenarnya Saga HERO dan apa yang saya mahu sampaikan melaluinya.

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!