Sapaan Daripada Bekas Banduan

Sapaan Daripada Bekas Banduan
Oct 12, 2019
Sapaan Daripada Bekas Banduan
Sapaan Daripada Bekas Banduan

Sebagai seorang penulis, terutama penulis novel, tambah lagi melakukan pekerjaan ini sepenuh masa, wujud segelintir manusia yang pernah saya jumpa anggap apa saya buat ni lekeh dan tidak memberikan apa-apa makna kepada kehidupan orang lain.

Kadang ada yang tanya berapa ramai sangat terkesan dengan dakwah saya melalui novel-novel ni, kadang ada yang perleceh kata tulis novel ini sia-sia, dan ada yang kadang minta saya buktikan sejauh mana berkesannya penulisan saya, hati siapa sangat saya sudah sentuh?

Ada juga beberapa rakan pendakwah kadang anggap apa saya buat ni, menulis dan meniaga buku, hanyalah bisnes semata-mata. Bisnes peribadi. Tak menyumbang pun kepada kemajuan pergerakan dakwah. Bukan amal qowiy katanya, amal tak tanzimi katanya.

Sukar sebenarnya saya nak jawab soalan-soalan tersebut. Sebab saya memang tak ada data yang empirikal. Saya sendiri bukanlah selebriti media sosial(atau orang sekarang panggil influencer) yang setiap postnya akan ada orang komen "terima kasih tuan", "Well said", "Saya share post ni ya Tuan" dan lain-lain. Post kat media sosial saya ni pun biasanya sendu aja, walaupun ada lebih 100,000 followers, mana pergi ramai-ramai entah saya tak pasti. Haha.

Kadang bila tiba soalan-soalan, pertanyaan-pertanyaan sebegitu, buat saya sendiri ragu-ragu dan mempersoalkan karier saya. Ada masa memang, saya pernah rasa sia-sia, dan karya-karya saya ni apa lah sangat. Nak kata bestseller sangat pun tidak. Menjadi kegilaan bacaan masyarakat masa kini pun tidak. Siapa je kenal Hilal Asyraf ni? Siapa je baca karya-karya saya?

Tapi beberapa hari lepas, Allah SWT tunjuk kepada saya.

Saya dihubungi seseorang yang katanya ingin memberikan maklum balas terhadap karya-karya saya. Bila beliau memberikan maklum balas, saya hairan mengapa beliau turut menyatakan perihal penjara dan banduan. Katanya, ketua gengster dalam penjara pun menangis membaca karya-karya saya.

Ini menyebabkan saya bertanya, apakah beliau bekerja di penjara, atau merupakan bekas banduan?

Beliau menjawab beliau merupakan bekas banduan. MasyaAllah.

Saya tanya lagi, apakah karya-karya saya yang dibaca oleh mereka di dalam penjara? Sangka saya mungkin karya-karya motivasi seperti Untuk Kita Pendosa, atau Bahtera Menuju Ke Syurga yang pernah saya karang itu.

Tetapi alangkah terkejutnya saya bila beliau menyatakan bahawa karya-karya fiksyen saya yang menjadi bacaan mereka. Novel-novel yang orang kata sia-sia itu, yang orang persoalkan jiwa mana kah yang telah berjaya saya sentuh itu.



Terasa sungguh saya.

Di saat ragu datang, Allah SWT tiba-tiba hantar bekas banduan, seakan-akan untuk menegur saya supaya kekal yakin dan istiqomah atas jalan ini.

Sampai ke penjara Allah SWT hantar karya-karya saya, dan menyentuh hati bahkan ketua gengster!

Maha Besar Allah SWT.

Nak dipanjangkan cerita, bekas banduan ini menceritakan yang warga penjara di tempatnya dahagakan pengisian. Bahkan ada banduan non-muslim nak masuk Islam. Tetapi kurang ustaz berkaliber.

Saya kongsikan cerita ini di Twitter, dan alhamdulillah, ada individu yang mahu membantu.

Dua kali hikmah Allah SWT bagi. Pertama mengubat hati saya, kedua menjadi solusi kepada rakan-rakan bekas banduan ini yang masih di penjara, yang dahagakan pengisian, perubahan, tunjuk ajar ke jalan kebenaran.

Maha Suci Allah SWT.

Saya hanya manusia. Ada masa ragu-ragu datang. Menulis dan berniaga buku ni, tambah-tambah novel bernuansakan dakwah, taklah macam menjual hal-hal yang memenuhi hawa nafsu. Memang besar cabaran dia. Jadi ada masa, kita lemah juga. Rasa kurang sokongan, kurang sambutan, tambah-tambah bila tengok media sosial kita sendu, post tak ada sambutan sangat.

Tapi saya tahu ini semua ujian. Dan sentiasa Allah SWT bantu dengan hantarkan pujukan semangat. Contohnya peristiwa sapaan bekas banduan ini.

Maha Kasih Allah SWT.

Moga Allah SWT bantu saudara-saudara kita yang berhajat untuk berubah, dan moga Allah SWT bantu saya istiqomah, serta moga-moga Allah SWT bantu kita menjadi hamba yang jauh lebih baik dari sekarang.

"Menghasil Karya, Membangun Jiwa."

Muhasabah.

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!