Bermulanya Perjalanan Baru

Bermulanya Perjalanan Baru
Jul 13, 2018
Bermulanya Perjalanan Baru

Alhamdulillah, dengan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT, HilalAsyraf.Com akhirnya beroperasi sebagaimana yang diharapkan. Menjadi hub kepada karya-karya saya, juga karya-karya yang diterbitkan oleh perniagaan saya - HILAL ASYRAF RESOURCES.

Bermula September 2016, saya menubuhkan HILAL ASYRAF RESOURCES untuk mengorak langkah menjadi 'self-publisher'. Saya tidak punya impian yang terlalu tinggi apabila memulakan langkah tersebut. Tujuan utamanya ialah untuk mencari rezeki bagi memastikan keperluan isteri dan anak-anak mencukupi. Dapat beli rumah yang elok, beli kenderaan yang baik, memastikan pendidikan anak-anak terjamin dan perut mereka diisi ialah apa yang saya harap saya mampu lakukan.

Selain itu, saya ada impian untuk meninggalkan nama saya sebagai legasi yang baik. Saya berharap, satu hari nanti, apabila orang sebut 'HILAL' atau 'HILAL ASYRAF', orang akan terus teringat kepada 'karya yang baik', 'karya yang menghidupkan jiwa', 'karya yang mengingatkan kita kepada Allah', 'karya yang kenalkan saya akan Islam yang sebenar'. Kerana saya melihat, itulah tahap yang saya perlu capai di arena penulisan ini.

Tetapi sudah semestinya saya tidak hanya mampu memikirkan diri sendiri. Sudah semestinya saya memikirkan rakan-rakan pembaca.

Apabila sudah menjadi penerbit sendiri, saya tidak lagi melihat karya saya dari sudut seorang penulis, tetapi juga sudut seorang penerbit, seorang penjual. Saya mula berfikir untuk memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan, kepada rakan-rakan pembaca, juga kepada mereka yang berbaik hati mempromosikan karya saya dengan lebih meluas. Kerana itu, HilalAsyraf.Com kini menjadi hub kepada perniagaan HILAL ASYRAF RESOURCES, bertujuan memberikan servis yang terbaik, lancar, memudahkan urusan rakan-rakan pembaca harapnya.

Saya di sini mengharapkan kritikan, nasihat, pandangan daripada semua untuk saya mampu menambah baik kualiti karya-karya saya, bukan sahaja dari isinya, tetapi juga dari servisnya.

Semoga Allah SWT merahmati usaha ini dan meredhai perjalanan baru ini.

Semoga ini semua juga dikira sebagai sebahagian dari amal-amal soleh.

Mohon doa dan sokongan rakan-rakan.

Terima kasih!


~ HILAL ASYRAF

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!