Karya Yang Baik

Karya Yang Baik
Jul 15, 2018
Karya Yang Baik

Apa itu karya yang baik?

Hari ini pasaran buku dilambaki pelbagai jenis karya. Memandangkan karya-karya ini memberikan pengaruh yang tidak kecil kepada masyarakat, kerana dibaca sebahagian besar khalayak, bahkan ada sebahagiannya pula diadaptasi ke layar perak atau drama televisyen, maka menjadi persoalan yang besar untuk kita menilai apakah maknanya 'karya yang baik'?

Untuk saya, karya yang baik ialah karya yang ada nilai dan kualiti.

Kualiti ialah apakah karya kita itu menuruti penanda aras sastera yang baik. Bermakna, paling asas, bahasanya tidak rojak. Plot ceritanya tidak berlubang. Penceritaannya tidak lewah. Tatabahasanya elok dan cantik. Itu menandakan karya tersebut berkualiti. Bila dibaca oleh para pelajar contohnya, karya itu tidak akan merosakkan pemahaman mereka terhadap bahasa yang digunakannya.

Nilai pula pada saya ialah mesej yang terkandung di dalam karya. Karya yang ada nilai bermakna karya yang punya pengajaran yang baik, yang jelas membezakan kebaikan dan kejahatan, kebatilan dan kebenaran, ma'ruf dan munkar. Karya yang mengangkat masalah atau cabaran sosial lantas memperbahaskannya, mencadangkan solusi kepadanya. Karya yang mampu membawa pembaca berpijak ke alam realiti, walaupun mungkin kisah yang diceritakan di dalam karya tersebut ialah fantasi. Karya yang berjaya memberikan impak kepada kehidupan sebenar pembaca, selepas karya itu dikatup usai sempurna pembacaannya.

Bermakna di sini, menghasilkan karya yang baik bukan mudah.

Sebagai pengarang karya-karya yang dikateorikan sebagai 'tarbawi' atau 'Islamik', saya sering melihat stereotaip karya-karya sebegini ialah 'banyak tazkirah', 'dipenuhi dalil & nas'. Ia tidak semestinya begitu untuk menjadi karya yang baik. Mahu tidak mahu, apabila kita menerobos ke alam penulisan, karya yang baik perlu dilihat juga dari segi seni penceritaan, plot, plot-twist, watak dan perwatakan, tatabahasa, serta pelbagai lagi sudut yang lain. Sesuatu karya itu tidak cukup baik hanya sekadar dilambaki nas dan dalil naqli. Dalil dan nas hanyalah salah satu penguat aspek nilai. Tetapi jika seorang penulis hanya pandai melambaki nas tanpa mampu mewujudkan perbahasan realistik sebagai penyelesaian masalah, maka di mana gunanya nas? Di sinilah nilai perlu diteroka dengan lebih membumi.

Ini ialah cabaran yang perlu disahut, terutama oleh penulis-penulis yang mahu menjadikan penulisannya penulisan dakwah. Supaya masyarakat membaca dengan rasa terkesan. Bukan membaca karya-karya 'tarbawi', tetapi bahasanya rojak dan membawa kepada bahasa rosak. Bukan membaca karya-karya 'Islamik', tapi hanya tahu mengeluarkan dalil, namun tidak tahu bagaimana praktisnya di alam realiti.

Ini kerana kita bersaing di pasaran dengan karya-karya yang bukan sahaja tidak ada kualiti, tetapi nilainya ke laut.

Saya sentiasa percaya, buku ibarat makanan kepada jiwa. Dan kita ialah apa yang kita makan.

Untuk masyarakat hari ini sembuh, langkah panjangnya ialah kita perlu lambakan karya-karya berkualiti dan bernilai.

Bukan semata-mata orang beli karya kita kerana kita popular. Kualiti dan nilai campak ke tepi. Ini budaya rosak.

Sepatutnya kita prlu budayakan membeli karya yang berkualiti dan ada nilai.

Dan itu pada saya ialah ciri-ciri karya yang baik.

Mungkin rakan-rakan ada pandangan yang lain. Dialu-alukan membuka perbincangan menerusi ruang komen.


"Menghasil Karya, Membangun Jiwa."


~ HILAL ASYRAF

Your Comments

Stephany Dick
Apr 02, 2019
www.cmspojie.com - CMS破解站提供世界顶级设计师的无限网站模板,Wordpress主题,Opencart主题,Magento主题,Prestashop主题,Shopify主题,HTML网站模板,各种CMS模板资源尽在CMS破解站! 网站制作 wordpress模板 opencart prestashop shopify插件

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!