Impian Dunia Penulisan

Impian Dunia Penulisan
Jul 30, 2018
Impian Dunia Penulisan

Saya ada satu impian dalam dunia penulisan.

Saya mahu mengarang satu siri novel untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, dan satu siri novel untuk pelajar-pelajar sekolah menengah.

Siri novel ini bukan sekadar novel untuk bersuka ria. Tetapi novel yang mampu menjadi alat bantu mengajar oleh guru-guru bahasa melayu, guru-guru yang mahu menerapkan akhlak dan sivil, nilai-nilai murni, di dalam peribadi anak-anak murid. Bermaksud, saya akan tempa karya-karya ini, sesuai dengan tuntutan pendidikan buat anak-anak kita, generasi hadapan. Karya ini akan dipenuhi dengan peribahasa, kosa kata, diksi yang pelbagai, sekaligus membantu anak-anak kita mengkayakan bahasa masing-masing. Secara tidak langsung, ini juga satu usaha untuk memperkasa bahasa ibunda generasi hadapan, menjadikan pembelajaran bahasa lebih menarik melalui plot cerita yang asyik.

Ini legasi yang saya mahu tinggalkan. Satu siri novel yang sangat bermakna dan berguna buat generasi seterusnya.

Bukan sekadar satu karya yang seronok dibaca tetapi tidak memberikan apa-apa impak kepada masyarakat. Saya mahu menjadi penulis yang berwibawa, ada kredibiliti. Bukan penulis 'pop', yang sekadar menulis apa yang dikehendaki masyarakat. Saya mahu mengarang apa yang diperlukan masyarakat.

Ini harapan saya.

Saya berdoa agar satu hari kelak, impian ini menjadi kenyataan.

Saya yakin, dengan doa dan sokongan rakan-rakan, ini tidak mustahil.

InsyaAllah.

Amiin.


"Menghasil Karya, Membangun Jiwa"


~ HILAL ASYRAF

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!