Latar Penulisan Saya

Latar Penulisan Saya
Jun 28, 2019
Latar Penulisan Saya

Nama diberi Muhammad Hilal Asyraf. Lahirnya pada Januari 1989. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Sebelum menyambung pengajian ke Yarmouk University, Jordan, dalam bidang Usuluddin, dan diizinkan Allah SWT tamat pengajian pada Mei 2012.

              Perjalanan penulisan saya bermula seawal umur 18 tahun, hasil pengaruh ledakan novel viral Ustazah Fatimah Syarhah, juga karya-karya Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid dan Hlovate. Walaupun karya pertama gagal diterbitkan pada awalnya, ia tetap mendapat pujian daripada penulis tersohor sastera Johor, Puan Hajah Maskiah, lantas membakar semangat dan azam saya untuk menjadi seorang penulis.

              Semenjak tahun 2007, saya konsisten berkarya di blog Langit Ilahi, fiksyen dan non-fiksyen. Pada penghujung 2008, syarikat Galeri Ilmu telah melamar saya menjadi penulis. April 2009, terbitlah dua karya sulung saya – Novel VT dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita.

              Semenjak itu saya konsisten menulis, dan dikenali sebagai penulis yang prolifik. Pada 2019, sedekad kemudian, saya telah berjaya menghasilkan 40 judul karya.

              Penghujung 2016, Hilal Asyraf Resources telah ditubuhkan dan karya-karya mula diterbitkan oleh saya sendiri. Antara produk utama saya ketika ini ialah Saga HERO dan Siri Hikayat Satria-Satria Sejati. Bersama penerbitan sendiri, 10 novel sudah berjaya diterbitkan.

              Fokus penulisan saya utamanya ialah mengajak manusia kembali kepada Allah dan memahami Islam dalam ertinya yang lebih membumi. Karya-karya saya tidak dikarang untuk terlalu memberikan fokus kepada genre dan mengikuti rukun-rukun penulisan atau gaya cerita tertentu, tetapi yang diutamakan ialah mengekalkan prinsip penulisan bersih, jauh dari tahyul, carut, dan lucah.

Karya saya sentiasa penuh dengan elemen-elemen dari Al-Quran, Hadith, Sirah, Sejarah, juga karya-karya antarabangsa baik filem, drama, komik, muzik, dan kemudian digabung menjadi sesuatu yang baru dan mengasyikkan.

              Itu identiti karya saya.

                Saya mahu 'Karya Hilal Asyraf' dikenali sebagai karya yang sedemikian rupa.

              Bukan sekadar cerita atau memenuhi keperluan untuk berseronok.

Add Comment

You must login to add a comment. If you do not have an account, you may register for one. Registration is free!