Kenapa Menulis? Kenapa Fiksyen?

Kenapa Menulis? Kenapa Fiksyen?
Antara
yang menolak saya benar-benar ke arena penulisan ialah dakwah sebenarnya.
Perasaan tanggungjawab untuk mengingatkan diri sendiri dan masyarakat kepada
Allah SWT dan kehidupan berprinsipkan Islam. Tidak berputus asa kepada janji
dan rahmatNya, dan sentiasa bersemangat untuk hidup sebagai hambaNya yang taat.
Sehingga 2019, saya telah
mengarang sekitar 40 judul, fiksyen dan non-fiksyen. Bahkan karya pertama saya
ialah kembar. Novel VT, sebuah fiksyen, dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan
Tidak Lupakan Kita, sebuah non-fiksyen.
Namun apabila peluang muncul dan
saya memulakan Hilal Asyraf Resources pada penghujung 2016, saya membuat
keputusan untuk memberikan fokus besar kepada penulisan fiksyen. Hal ini kerana
saya perhatikan pasaran penulisan Islamik, sudah tepu dengan buku-buku
motivasi, karya-karya non-fiksyen, yang mana bila kita perhatikan,
kebanyakannya membawa isi yang sama.
Manakala fiksyen, selain fiksyen
Islamik yang bertemakan aksi amatlah kurang dek kerana banyak dipenuhi cerita
cari jodoh, baitul muslim dan sewaktu dengannya, karya fiksyen sukar untuk
membawakan cerita yang sama. Ya, mungkin elemen atau pengajarannya boleh jadi
sama, tetapi karya fiksyen mempunyai terlalu banyak pemboleh ubah untuk pembaca
merasakannya terlalu serupa. Watak perawatakan, aturan plot, plot twist,
dialog, latar.
Maka saya fikir, melalui fiksyen,
saya boleh membina satu identiti. Identiti karya Hilal Asyraf yang unik.
Fiksyen juga lebih santai. Kita
tidak kelihatan terlalu berceramah. Jika kita boleh memberikan fokus kepada
jalan cerita yang menyeronokkan, pembaca akan lebih terhibur untuk menyerap
pengajaran-pengajaran yang diselitkan. Ini kelebihan fiksyen.
Rata-rata pembaca saya membaca
karya saya yang setebal 300-400 muka surat hanya dalam sehari dua. Ini menunjukkan
kekuatan fiksyen untuk lebih mudah dihadam, kerana mentaliti pembaca melihatnya
sebagai bacaan santai.
Terdapat juga sebenarnya
kajian-kajian menunjukkan, fiksyen mampu mempengaruhi minda seseorang.
Ini antara faktor-faktor mengapa,
saya akhirnya membuat keputusan untuk memberikan fokus yang besar kepada karya
fiksyen.