Libasan 5 – Konspirasi Syaitan

“Kebaikan yang tidak berstrategi,
akan ditewaskan kejahatan yang berstrategi,
kita tahu, tetapi masih bermalasan lagi.”

Bingit. Telinganya berdesing. Dia tidak pasti apa tindakan yang sewajarnya pada saat ini, tetapi kedua-dua telunjuknya menarik picu berkali-kali. Suasana bertukar menjadi sangat perlahan. Dia dapat melihat kelongsong peluru keluar satu demi satu daripada pistol kembarnya.

              Namun, musuhnya hanya tersengih. Sinis. Sedikit pun tidak menghiraukan suasana yang baru sahaja diakibatkannya. Peluru-peluru yang menderu itu selamba ditangkisnya dengan kunai.

              Dia dapat melihat Bakri menjerit sambil melambaikan tangan. Dia tidak mendengar suara Bakri dek bingit yang belum hilang. Namun, isyarat tangan pemuda itu difahaminya agar dia tidak bertindak semberono. Namun, amarah sudah merasuk jiwa. Lantas, tindakan memintas rasional.

              Faisal terus menarik picu, dan bunyi penukul kedengaran tanpa muntahan peluru.

Belum sempat dia menggantikan magazin, Tomoe sudah berada betul-betul di hadapannya.

              Wajahnya menjadi mangsa tumbukan-tumbukan deras. Mulutnya memuntahkan darah sebelum tubuhnya berputar dan jatuh menghentam bumi. Dia tidak mahu memberikan ruang kepada Tomoe, segera menggunakan tangan kosong untuk bertempur dengan perempuan itu. Namun, kedua-dua telapak tangannya sudah ditusuki kunai.

              Dia menjerit sekuat hati sebelum jeritannya terganggu dek hentakan kaki Tomoe pada perutnya. Darah sekali lagi tersembur daripada mulutnya.

Ketika ini, dia melihat Bakri sudah muncul di belakang Tomoe, sempat melandaskan satu tumbukan deras pada wajah perempuan itu. Namun, Tomoe terus berpusing dan melepaskan satu tendangan balas. Bakri sempat mengangkat tangan kiri, menahan tendangan itu daripada mendarat pada kepalanya. Bakri kemudiannya melepaskan satu lagi tumbukan, mengakibatkan Tomoe berguling menjauhi mereka berdua.

              “Faisal!”

Barulah suara Bakri berjaya menembusi telinganya. Dua kunai dicabutnya segera. Faisal mengerutkan dahi, segera bangkit, mengabaikan kesakitan dengan terus mencapai pistol, menukar magazin dengan pantas, sebelum senjata kembar itu kembali terarah kepada Tomoe.

              Tomoe menyeka darah pada bibir. Senyuman sinisnya melebar.

              Faisal mengerling ke langit. Suasana kembali gelap seperti sedia kala.

              Bakri tidak sempat menghalang tindakan Tomoe yang rupa-rupanya berlakon menyerahkan diri tetapi pada saat akhir melepaskan satu serangan yang teramat kuat pada bahagian dada Hero-X035. Mengakibatkan kerosakan pada Elemen Baru yang terdapat di sebalik dada tersebut.

              Dalam keadaan yang terdesak, Hero tersebut memecut ke langit tinggi, memilih untuk mengorbankan diri sendiri untuk menyelamatkan seluruh Kotaraya Angsana daripada menjadi mangsa.

              Letupan yang teramat kuat berlaku. Bumi bergegar. Terlalu banyak cermin bangunan dan kenderaan pecah. Kini, suasana diisi dengan bunyi penggera sahut-menyahut.

              Sekiranya Hero-X035 tadi tidak bertindak pantas, tidak bersedia untuk mengorbankan diri sendiri, tidak meletakkan nyawa seluruh rakyat lebih hadapan berbanding nyawa sendiri, sudah pasti bilangan yang terkorban tidak terkira banyaknya.

              “Celaka!” Bakri menyumpah dalam Bahasa Jepun.

              Tomoe sekadar tertawa berdekah-dekah. “Malang. Jika tidak, pasti menarik.”

              “Tiada peri kemanusiaan!” Faisal geram.

              Tomoe jelas tidak kisah andai dirinya terkorban dan langsung tidak ambil peduli sekiranya ratusan ribu orang awam yang berada di Kotaraya Angsana ini menjadi mangsa. Perempuan itu dilihatnya kekal bersahaja.

              “Aku puji Hero tadi. Dia ada semangat seorang satria. Sanggup mengorbankan diri demi orang lain.” Tomoe berbicara. Senyuman sinis tidak lekang daripada bibirnya.

              Bakri menumpukan sepenuh perhatian kepada Tomoe. Dia mahu mampu bertindak balas kepada apa sahaja tindakan Tomoe selepas ini. Jelas padanya, Tomoe mampu melakukan tindakan di luar jangkaan yang bakal memberikan bahaya kepada orang ramai.

              “Dia ada pengetahuan berkenaan Hero.” Bakri bersuara perlahan.

              “Huh?” Faisal memandang pemuda itu sambil pistol kembarnya setia terarah kepada Tomoe.

              “Dia tahu berkenaan Elemen Baru. Di mana ia diletakkan pada unit Hero. Dia tahu berapa banyak daya diperlukan untuk menganggu peredaran kuasa Elemen Baru, sekaligus mengakibatkan letupan.”

              “Tetapi untuk mengenakan daya tersebut pada sut Hero, bukankah mustahil?”

              “Jika engkau ialah seorang pahlawan yang sudah lama berlatih memperkasakan diri, ditambah dengan keperkasaan tubuh seorang Pemburu, engkau fikir?”

              Faisal mengerutkan dahi. Matanya kini tajam memerhatikan Tomoe. Lawan mereka kini ternyata bukan calang-calang. Langsung tidak boleh diambil ringan. Dikhabarkan perempuan di hadapannya kini ialah salah seorang daripada operatif Ryuken yang terhebat bergelar Syaitan Bertujuh. Apakah ini bermakna, ada enam lagi operatif seperti ini?

              Faisal tidak dapat membayangkan akibatnya.

              Tidak hairanlah Ryuken sangat digeruni dunia gelap di rantau Asia ini!

              Bakri memerhati keadaan sekeliling. Tiada lagi orang ramai yang menanti untuk menyaksikan pertarungan mereka. Semasa Elemen Baru hampir meletup tadi, semua telah bertempiaran menyelamatkan diri.

              Yang ada hanyalah pihak media yang terdiri daripada beberapa orang wartawan dan jurukamera pelbagai stesen media massa. Malang untuk mereka, letupan Elemen Baru tadi telah merosakkan kamera yang dibawa.

              Mata Bakri kemudiannya melandas pada mayat yang bergelimpangan di atas jalan sebelum pandangannya diangkat sebentar ke langit, mengingati Hero yang terkorban.

              Nafas ditariknya dalam-dalam. Kekudanya dibuka. Tangannya dalam posisi bersedia.

              “Oh. Engkau masih tidak berputus asa?”

Tomoe tertawa tatkala melihat Bakri sedang dalam postur siaga. Tomoe turut melakukan perkara yang sama. Bersiap untuk menyerang dan diserang.

              “Faisal, jangan dirasuk amarah. Jangan lepaskan tembakan ke tubuhnya. Dia dilindungi pakaian khas untuk menerima serangan.”

              “Seperti kot jaket yang disediakan oleh Organisasi Hitam.” Faisal menyebut.

              “Tembak kepalanya yang terdedah.”

              “Senang cakap berbanding buat. Dia terlalu pantas!”

              Bakri tersengih.

              “Tidakkah kita patut menunggu lebih bantuan daripada Inteligen Kerajaan? Kejadian tadi sudah pasti akan meletakkan mereka pada Kod Merah.”

              Bakri menggeleng. “Kita mahu lebih ramai terkorban seperti Hero tadi? Itu tujuannya dia bertarung dengan kita di tengah-tengah Kotaraya Angsana.”

              Faisal terdiam.

              “Adakah engkau mahu aku mulakan terlebih dahulu? Haha. Tiada bezanya budak!” Tomoe melaung.

              Tanpa disangka-sangka, sebuah kenderaan pacuan empat roda muncul. Meluncur laju di atas jalan raya. Kenderaan itu kemudiannya merempuh penghadang pejalan kaki. Tomoe, Bakri dan Faisal sama-sama menoleh ke arah kenderaan tersebut.

              Bakri dan Faisal kaget kerana menjangka itu merupakan salah seorang orang awam. Melihat kenderaan itu tidak berhenti menghala ke arah mereka, Bakri dan Faisal sama-sama risaukan keselamatan pemandunya. Tetapi semakin kenderaan itu menghampiri mereka, jelas pemandunya seperti nekad mahu meneruskan perjalanan. Kelajuan kenderaan tersebut turut bertambah!

              “Gila!”

Faisal menarik Bakri untuk keluar dari landasan hala tuju kenderaan tersebut. Manakala Tomoe pula berpaling dan segera menahan kenderaan tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Tomoe tidak terpelanting, tetapi terseret beberapa meter sebelum kenderaan tersebut terhenti. Asap  berkepul-kepul keluar daripada bahagian hadapannya yang telah remuk.

              Bakri dan Faisal sama-sama tercengang dengan apa yang berlaku.

              Bukan terkejut dengan kebolehan yang ditunjukkan oleh Tomoe, kerana itu sudah dijangkakan memandangkan Tomoe mempunyai kekuatan seperti seorang Pemburu. Nekad pemandu tersebut untuk melanggar Tomoe itu yang menarik perhatian mereka.

              Pintu kenderaan tersebut terbuka. Turun seorang lelaki. Daripada riak wajahnya, jelas menunjukkan dia seorang dewasa, berusia sekitar 30-an, sedang memegang katana. Bakri mengingati sarung katana tersebut.

              “Samurai Melayu!”

              Kenangan di Nobu Tech terimbas semula pada memori Faisal. Saat-saat dia melihat Shiryu jatuh dari aras atas, dan seorang lelaki memegang katana sedang berdiri di balik pecahan cermin satu hala bilik panik milik ketua Organisasi Mitsuhide itu.

              “Tomoe!” Lelaki itu meninggikan suara. Menengking.

              Tomoe kini saling menyapu kedua-dua belah tangannya, sambil bergerak menjauhi bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda itu. Perempuan itu muncul dari balik asap, berhenti apabila dirinya sejajar dengan lelaki yang baru memunculkan diri itu.

              “Ryujin. Engkau berada di sini, bermakna…”

              “Goro telah menemui ajalnya.”

Mata lelaki itu tajam memaku wajah Tomoe. Mata Tomoe terbeliak.

              “Kalian telah memaksa aku kembali ke jalan ini.”

              Bakri dan Faisal saling berpandangan.

              “Apakah engkau mahu mati di sini juga, Tomoe?”

Lelaki itu menengking seraya tangan kanan pantas mendekati hulu katana-nya. Walaupun pedang itu tidak terus dihunus, tetapi kepantasan pergerakannya, ditambah aura membunuh yang dapat dirasai dari tubuh dan suaranya, membuatkan Bakri dan Faisal sama-sama seperti terlihat kepala Tomoe sudah tercantas daripada badan.

              Tomoe sendiri tidak bereaksi. Senyuman sinisnya hilang. Gaya bersahajanya mati. Buat pertama kali semenjak Bakri dan Faisal berkonfrontasi dengan perempuan itu, mereka melihat perempuan itu terkaku.

              “Engkau masih menggerunkan seperti dahulu.” Tomoe bersuara. “Algojo selamanya algojo.”

              “Diam!”

Lelaki itu meninggikan suara. Jelas kelihatan dia benar-benar marah. Apa yang telah berlaku sebelum ini? Bakri dan Faisal sama-sama tidak tahu. Yang pasti, lelaki tersebut bukan rakan kepada Tomoe, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

              “Sekarang, apa pilihan engkau?”

Lelaki itu seperti bersiap untuk memulakan pertarungan. Kekudanya dibuka, tangannya siap untuk menghunus katana. Dia nyata bersedia untuk menumbangkan Tomoe bila-bila masa sahaja.

              Tomoe kekal kaku.

              “Berhenti!”

Tempat itu kini diterangi lampu yang terang. Deruan kedengaran. Tiga unit Hero turut hadir terawang-awang di udara bersama-sama dua unit helikopter. Kawasan itu kini dipenuhi sekumpulan tentera bersenjata. Semuanya mengacukan senjata ke arah Tomoe dan lelaki yang sedang bersiap untuk menghunuskan senjatanya itu.

              Bakri menajamkan pandangannya pada Tomoe, risau sekiranya perempuan itu bertindak. Tetapi, keadaan kini nampaknya berbeza. Kehadiran lelaki itu jelas membuatkan Tomoe kaget. Perempuan itu seakan-akan telah hilang semangat tempurnya.

              “Aku pilih untuk menyerah diri.”

Tomoe mengangkat kedua-dua belah tangannya. Bakri mengerutkan dahi. Demikian juga Faisal. Tidak menyangka Tomoe akan menyerah kalah sedang sebelum ini dia bersedia untuk mengorbankan dirinya bersama-sama seluruh warga Kotaraya Angsana!

              “Jangan main-main, To …”

Nama Tomoe tidak sempat disempurnakan oleh lelaki ber-katana itu. Dua kunai keluar daripada lengan baju Tomoe. Tetapi, belum sempat lelaki itu menghunuskan senjatanya, bertubi-tubi tembakan dilepaskan oleh tentera ke arah Tomoe. Lelaki ber-katana itu pula melompat menjauhkan diri dari kenderaan yang dipandunya tadi.

              Tomoe terundur hingga belakang tubuhnya menghentam kenderaan pacuan empat roda itu, sebelum terjelepuk jatuh. Bakri dan Faisal terpana sementara lelaki ber-katana itu pula kekal siaga untuk apa-apa kemungkinan.

              Tomoe masih bernyawa. Tembakan bertubi-tubi yang dilepaskan itu adalah tembakan pelali. Jelas Inteligen Kerajaan Malaysia mahukannya hidup-hidup.

              Bakri dan Faisal sama-sama memandang lelaki ber-katana yang kini sedang mengangkat kedua-dua belah tangan selepas meletakkan katana-nya di atas jalan. Lelaki itu turut memandang ke arah mereka berdua.

              Pandangan mereka bertembung.

***

Pintu rumah agam itu dibuka.

              “Rajin Afam buka pintu sekarang.” Orang tua di hadapannya bersuara. Usia menjengah 70-an, tetapi masih gagah dan tegap.

              “Alah Pak Arbi ni, tak habis-habis nak menyakat bab ni.” Afam menyilang tangan di atas dada sambil mencebik.

Pak Arbi tertawa. Namun tawa itu tidak lama. Ceria kemudian lesap di antara mereka.

              “Sudah jangka kedatangan Pak Arbi?”

              Afam mengangguk. “Saya sudah tengok di media sebentar tadi sebelum rakaman terganggu.”

              Pak Arbi menghela nafas panjang sambil melangkah masuk, melepasi Afam. Afam kemudiannya menutup pintu.

              “Husna dan anak-anak mana?”

              “Ada program dengan INSANI di Johor. Ada kem di sana.”

              “Seorang diri di rumah buat apa?”

Pak Arbi memandang ke arah Afam. Dia tidak lagi menjadi pembantu kepada Afam semenjak lima tahun yang lalu. Rutin keluarga Afam bukan lagi berada dalam pengetahuannya. Dia sendiri tidak lagi tinggal di sini.

              “Bertukang.” Afam tersengih.

              “Ada-ada sahaja.” Pak Arbi menggeleng.

              Mereka bergerak ke sebuah bilik di tingkat bawah. Bilik ini merupakan perpustakaan mini bapa Afam, arwah Dato’ Amir Muiz. Mereka berdiri seketika di hadapan rak buku. Tidak lama kemudian, rak buku tersebut terbuka menyerlahkan lif. Mereka berdua terus masuk ke dalam lif tersebut dan lif itu membawa mereka turun.

              “Bagaimana Bakri?” Pak Arbi memecah sepi antaranya dan Afam.

              “Dia ada hubungi. Kejadian di Kotaraya Angsana telah berakhir. Ada beberapa nyawa melayang, tetapi bukan diakibatkan letupan Elemen Baru.”

              “Apa jadi kepada musuh?”

              “Ditangkap hidup-hidup. Samurai Melayu yang diburu Bakri tiba-tiba muncul, membuatkan perempuan itu mati langkah. Tentera datang dan melepaskan tembakan pelali dari setiap arah. Dengar kata, mereka perlukan bilangan peluru pelali yang sama untuk menumbangkan seekor gajah bagi menumbangkan perempuan itu.”

              Mereka sampai ke aras bawah. Kedua-duanya keluar dan suasana yang gelap terus berubah menjadi terang apabila lampu-lampu secara automatik dihidupkan. Ruang bawah tanah itu kini dipenuhi beberapa jenis sut HERO. Pada suatu sudut pula kelihatan seperti bengkel.

              Afam dan Pak Arbi berjalan ke tengah-tengah ruang, mendekati satu objek yang kelihatan seperti kotak, sedang naik ke paras pinggang. Objek itu kemudiannya mengeluarkan cahaya putih, sebelum imej dalam bentuk hologram terpapar di atasnya, terapung searas dengan kepala Afam dan Pak Arbi.

              Seorang perempuan, yang tadinya membuat onar di Kotaraya Angsana, sedang ditayangkan.

              “Pak Arbi kenal?”

              Pak Arbi menggeleng. “Tetapi Pak Arbi yakin mereka adalah generasi terbaru bagi Syaitan Bertujuh untuk Organisasi Ryuken, sekiranya Bakri dan rakan barunya itu, Faisal, Izrail Dunia Gelap, tidak berjaya menumbangkannya dengan mudah.”

              “Pak Arbi pula generasi lama?” Afam mengangkat sebelah kening sambil memerhati imej di hadapannya.

              Pak Arbi mengangguk. “Pak Arbi dan Akuma sama-sama merupakan barisan Syaitan Bertujuh yang lama.” Pak Arbi menghela nafas berat. Seakan ada memori duka sedang diimbau. “Tetapi kami berdua lebih kepada saintis berbanding menjadi operatif tempur.”

              “Mr. Umayer?”

              “Oh, dia hanya junior kepada kami berdua sebagai saintis. Ahli Ryuken, tetapi dianggap bawahan. Ketika itu, dia tidak terlalu mempamerkan kegeniusannya.”

              “Kerana itu Ryuken tidak berjaya meminikan Elemen Baru?”

              Pak Arbi mengangguk. Meminikan Elemen Baru hanya berjaya selepas Mr. Umayer berjaya menyelesaikan beberapa permasalahan terhadap formula Elemen Baru, serta kemampuan menghasilkan sarung yang berjaya menampung kekuatan Elemen Baru tersebut.

              “Itu pun, tidak dapat dinafikan, tanpa dana yang disalurkan allahyarham Dato’ Amir Muiz dan sembilan Jutawan Islam yang lain, perkara itu tidak akan terjadi.”

              “Bakri ada beritahu, perempuan ini berkebolehan seperti seorang Pemburu.”

              Pak Arbi terbeliak. Jelas orang tua itu terkejut.

              “Pak Arbi tahu apa-apa?”

              Pak Arbi menggeleng. “Pembangunan generasi baharu secara terperinci tidak berada dalam pengetahuan Pak Arbi. Hanya seorang dalam kalangan kami bertujuh ketika itu yang mempunyai kelebihan seperti seorang Pemburu. Kawakami namanya.”

              “Mungkin pengkhianatan Pak Arbi dan Mr. Umayer serta kehilangan Akuma, membuatkan Ryuken menggerakkan perancangan pembinaan generasi baharu yang lebih utuh? Yakni menjadikan mereka semua berkebolehan seperti Pemburu?”

              “Tidak mustahil. Ryuken sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita mereka. Tidak hairanlah tidak lama selepas pengkhianatan kami, Ryuken semakin kukuh bertapak di Jepun.”

              “Yang jelas, jika mereka berkebolehan seperti Bakri, bahkan Bakri kata mereka jauh lebih handal berbanding dirinya, maka kita akan ada masalah besar.”

Afam berpaling. Kini, dia menghadap skrin gergasi yang terdapat di satu sudut ruang bawah tanah itu. Gelap, tidak hidup. Sengaja. Tiada keperluan. Sekitar sedekad kebelakangan ini, komputer itu semakin kurang dihidupkan. Dia tidak lagi kerap menyarung sut HERO.

              Tetapi dia dan Mr. Umayer masih berterusan melakukan eksperimen dan kajian serta inovasi untuk memantapkan lagi sut tersebut. Kadangkala, mereka bersama-sama mengusahakannya di Menara Keimanan, kadangkala Afam bersendirian bertukang di bawah ini.

              Kebanyakan inovasi mereka tidak pun diimplementasikan pada unit-unit HERO yang digunakan Inteligen Kerajaan Malaysia. Dianggap terlalu berbahaya dan risau andai disalah guna. Walaupun operator-operator sut HERO itu sudah melalui saringan ketat daripada segi fizikal, mental dan spiritual, Afam dan Mr. Umayer memutuskan untuk lebih berhati-hati.

              “Sekiranya operatif daripada kalangan Syaitan Bertujuh berada di Malaysia, mereka pasti punya tujuan yang besar.” Jari Pak Arbi menari di atas komputer hologram, paparan imej bertukar.

              “Bakri mengesyaki mereka bertujuan mahu membunuh Samurai Melayu itu.” Afam telah berpaling semula dan dengan menggunakan tangan, menghentikan satu imej yang muncul, kemudian membesarkannya.

              “Mus’ab bin Umayr.” Afam membaca data yang terpapar. “Pensyarah Bahasa Jepun di Universiti Iman Ihsan. Kecil sahaja dunia ini.”

              “Tidak. Tidak.” Pak Arbi mengerutkan dahi.

              “Pak Arbi?” Afam kehairanan. Turut mengerutkan dahi.

              “Ryuken tidak akan menghantar operatif daripada kalangan Syaitan Bertujuh, hanya untuk membunuh satu sasaran. Syaitan Bertujuh ialah elit dalam kalangan mereka. Semua ini adalah asap untuk mengabui agenda mereka yang lebih besar.” Wajah Pak Arbi jelas diwarnai kerisauan.

              “Perempuan tadi telah ditangkap. Mereka akan menjalankan soal-siasat.”

              Pak Arbi mendengus. Menggeleng. “Sia-sia. Dia tidak akan berjaya dipecahkan.”

              “Jika tanya saya, saya fikir mereka pasti dalam usaha untuk merampas Elemen Baru.” Afam kini menyelukkan kedua-dua tangannya ke dalam saku seluar. “Namun, nampak macam terlalu lurus bendul pula rancangan itu.”

              “Elemen Baru telah banyak berubah. Kini dilengkapi Artificial Intelligence yang dihasilkan Husna lebih sedekad lalu, dan AI itu jauh lebih maju kini. Lebih-lebih lagi selepas peristiwa Organisasi Hitam berjaya membina alat untuk mengawal sut Hero. Insya-Allah, Elemen Baru yang terkini takkan mampu digodam. Jika mereka mencurinya, kita akan berjaya menyekat perancangan mereka.” Pak Arbi menghela nafas.

              “Selain Elemen Baru, apa lagi yang mereka mahu dapatkan daripada Malaysia? Sekadar melakukan porak-peranda? Agak mustahil.”

              Otaknya dikerah untuk mencari solusi. Dia mesti mengetahui agenda Ryuken.

              “Samurai Melayu ini mungkin jawapan kita.” Pak Arbi menunjuk pada hologram yang terapung itu. “Minta Bakri aturkan agar lelaki ini bertemu dengan kita. Biar kita bersembang panjang dengannya.”

              “Dia berada dalam tahanan Inteligen Kerajaan Malaysia dan turut akan disoal-siasat.”

              Suasana di pangkalan bawah tanah itu menjadi sepi. Bicara Afam seakan-akan mematikan usaha mereka untuk memastikan agenda sebenar Ryuken.

              “Mungkin ini antara masa yang sesuai untuk Hero-X000 muncul?” Pak Arbi mengangkat sebelah kening sambil matanya tepat memandang wajah Afam.

              Tawa Afam pecah.

***

“Ibu,”

Tangannya digerakkan buat kesekian kali. Dia yang masih terkejut dengan paparan berita yang tiba-tiba terganggu, segera mengalihkan pandangan. Marwan sedang memegang tangannya.

              “Ya sayang.” Marwan ditarik mendekatinya.

              “Apa yang sedang berlaku? Kenapa berita terhenti?” Anak kecil itu bertanya, lurus.

              “Ibu pun tidak tahu, sayang. Ada orang jahat datang ke Malaysia.” Marwan diangkat, dipeluk erat.

              “Apa yang ada dalam berita tu, Laila?” Laung ummi dari dapur.

              “Ada kekacauan di Kotaraya Angsana, ummi.” Laila meninggikan sedikit suaranya agar dapat didengari.

              “Ha, selamatkah Mus’ab di sana?” Ummi keluar dari dapur, menatang dulang membawa air teh dan goreng pisang panas.

              “Wah, goreng pisang nenek! Marwan suka!” Marwan bertepuk tangan.

              “Baca bismillah dulu.” Laila lembut memberikan pesanan, sebelum kembali tertumpu kepada kaca televisyen.

              Kelihatan pembaca berita sedang cuba mendapatkan maklumat terkini dari tempat kejadian, tetapi masih gagal. Mereka masih mencuba.

              Laila menghela nafas panjang. Siaran berita tersebut sempat mempaparkan situasi sebelum rakaman terputus. Dia melihat dua orang lelaki sedang menentang seorang perempuan. Daripada pakaian perempuan itu, Laila dapat menjangka yang dia datang dari Jepun.

              Tempat suaminya menjadi algojo. Rahsia yang baru diketahuinya.

              Kehadiran perempuan itu jelas menunjukkan Marwan benar-benar perasan ada orang memerhatikan pergerakan suaminya. Kerisauan Mus’ab dan sikap berhati-hatinya telah membuatkan mereka berjaya menyelamatkan diri.

              Untuk pulang ke rumah ummi dan abah di Melaka ini, Mus’ab tidak membenarkannya memandu terus ke mari. Mus’ab mengarahkannya memandu hanya ke MRT, dan terlebih dahulu mengambil hala tuju ke Johor. Selepas itu dia diminta menaiki bas untuk ke Negeri Sembilan, sebelum menaiki teksi ke Melaka.

              Dia sendiri terkejut dengan arahan itu pada asalnya, namun Mus’ab bertegas agar dia mematuhinya.

              “Kita tidak tahu apa yang akan mereka lakukan. Yang pasti, mereka sanggup menggunakan apa sahaja untuk mendapatkan kehendak mereka. Termasuk membahayakan sayang dan Marwan. Abang tak boleh hidup dengan itu.”

              Mus’ab melepaskannya dengan kucupan pada dahi, dan dia mematuhi permintaan suaminya itu. Dia sampai ke Melaka pada tengah malam. Ummi sendiri terkejut dengan kepulangan mereka.

              “Tak telefon Si Mus’ab tu, tanya keadaannya?” Ummi bersuara, menarik Laila kembali ke alam realiti.

              “Ah, baik, ummi.”

Laila segera bangkit dan mencapai telefon pintar di meja berhampiran sebelum masuk ke bilik. Sampai ke bilik, dia mencampakkan telefon pintar itu ke katil. Air mata mengalir. Namun, dia menahan esakan. Dia tidak mahu tangisannya kedengaran. Mus’ab telah melarang daripada menghubungi suaminya itu.

              Risau sekiranya telefon pintarnya dikesan.

              Semenjak keluar dari rumah, telefon pintarnya dimatikan. Kad SIM di dalamnya telah diambil oleh Mus’ab siap-siap. Dia diarahkan untuk membeli kad SIM baharu, tetapi masih tidak sempat.

              Siapa sangka kehidupannya akan diuji sebegini rupa?

              Suaminya punya kisah silam yang terlalu gelap.

Kini, tidak pasti pula apa nasib mereka.

              Jiwanya diserang sangkaan-sangkaan buruk. Terbayang-bayang kematian Mus’ab, atau sesuatu di luar jangkaan berlaku, meragut kebahagiaan yang telah mereka bina lima tahun kebelakangan ini.

              “Ana ‘inda zonni ‘abdi bi …

Ayat itu diungkapkannya. Kemudian, diulang-ulang. Tangisannya diseka. Esaknya ditahan.

“Aku adalah sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.” Itulah makna ayat tersebut.

              Laila mengingatkan diri agar tidak bersangka buruk atas ujian yang sedang menimpa diri dan keluarganya. Allah SWT telah berjanji bahawa Dia adalah sebagaimana sangkaan hamba-Nya kepada-Nya.

              Hadith qudsi itu dihafal dengan baik oleh Laila. Antara hadith kegemarannya, yang menyentuh jiwanya untuk menjadi seorang yang positif dan tabah dalam mengharungi kehidupan.

              Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah SWT telah berfirman: Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam kelompok, Aku  akan mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik daripadanya. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan lebih pantas.’

Hadith itu diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan merupakan salah satu daripada hadith 40 yang disusun oleh Imam an-Nawawi dalam kitab Hadith 40.

              Semua itu diperolehinya daripada usrah, yang dijalankan oleh INSANI. Organisasi yang sama yang disertai Mus’ab. Bahkan, suaminya itulah yang memperkenalkannya dengan organisasi tersebut, sekaligus mengubah kehidupannya daripada menjadi seorang yang alpa dengan pelbagai perkara yang lagha kepada seorang yang patuh pada agama, menjaga adab dan akhlak, punya disiplin dan wawasan sehingga menjadi seorang yang berjaya.

              Siapa sangka, manusia yang dilihat soleh, sentiasa tersenyum dan tenang itu menyimpan kisah yang tersangat hitam sebagai seorang algojo?

              “Pasti ada hikmah-Mu mengaturkan semua ini, ya Allah. Jujur, aku bersedih dengan ini semua, tetapi aku kembali kepada-Mu, ya Rabb. Aku kembali kepada-Mu. Pimpinlah kami melalui ujian ini. Sesungguhnya Engkaulah yang menurunkan ujian dan pada Engkau jualah penyelesaian.”

              Doa ikhlas dari hati yang terdasar. Melawan gejolak ragu dan bimbang.

              Kepada Allah dia cuba kembali.

***

“Nobu.”

              Nobu menunduk dengan perlahan, tanda adab dan hormat.

              Kini dia sedang berada di sebuah lokasi rahsia. Pusat kepada Ryuken. Dalam Syaitan Bertujuh, hanya dua orang yang mengetahui lokasi ini. Dia dan Kawakami. Itu pun, pusat kepada pergerakan Ryuken ini akan berpindah beberapa tahun sekali untuk menyukarkan musuh mengesani operasi mereka.

              Di hadapannya terdapat sebuah tabir. Di kiri dan kanan tabir, terdapat sepuluh orang ninja. Mereka digelar Pengawal Bersepuluh. Dianggap sebagai ninja paling elit dalam organisasi ini. Tetapi tidak pernah dihantar sebagai operatif. Tugas mereka ialah mengawal dan menjaga keselamatan pusat operasi ini dan juga mereka yang berada di sebalik tabir.

Pada tabir berwarna merah itu jelas kelihatan bayangan susuk tubuh tiga orang manusia yang sedang duduk. Dua orang lelaki di tengah dan kanan, seorang wanita di kiri. Sekurang-kurangnya, itulah sangkaan Nobu berdasarkan bayang yang ditunjukkan.

              Kerana Nobu sendiri tidak mengetahui identiti mereka. Nobu hanya mengenali mereka sebagai ‘Koro’. Perkataan Jepun yang membawa maksud ‘Orang Tua’. Merekalah kepimpinan tertinggi Ryuken.

              Sentiasa berada di sebalik bayang. Mengawal dari kegelapan.

              Namun dikatakan, Kawakami mengenali mereka. Sejauh mana kebenarannya, Nobu sendiri tidak mengetahui. Tidaklah mustahil memandangkan Kawakami merupakan ahli Syaitan Bertujuh semenjak lama dahulu. Dia satu-satunya yang tinggal dalam kalangan generasi lama.

              “Kami ada menonton berita dari Malaysia. Tomoe nampaknya melakukan kekacauan yang tidak kecil.” Koro yang berada di tengah-tengah memecah kesepian antara mereka.

              “Ya, benar.”

              “Jadi rancangan kita berjalan dengan lancar?”

              “Ya. Cuma lebih awal daripada yang dijangka. Mereka terpaksa bertindak segera memandangkan pangkalan rahsia tinggalan Mitsuhide di Kotaraya Angsana itu berjaya ditemui musuh lebih awal.”

              “Faisal daripada Organisasi Hitam pasti merupakan punca kepada hal tersebut. Dia telah menyebelahi Inteligen Kerajaan Malaysia.” Koro di kanan bersuara.

              “Bagaimana dengan Goro?”

              “Dia telah dibunuh oleh Ryujin.”

              Suasana bertukar menjadi sepi kembali. Di balik tabir, Koro kelihatan berbisik-bisik sesama mereka. Nobu setia menanti. Tidak lama kemudian Koro berhenti dan menatap tepat ke arah Nobu.

              “Teruskan agenda kita, Nobu. Kita akan berada dalam radar mereka tidak lama lagi. Ini risiko yang besar buat kita. Sudah tidak boleh berpatah balik.”

              “Baik.” Nobu menunduk. Kemudian meminta izin untuk beransur.

              “Nobu.” Namanya dipanggil Koro. Daripada suara, jelas itu suara seorang wanita tua.

              Nobu menghentikan langkah dan berpaling. “Ya?”

              “Gunakan apa sahaja jalan yang sepatutnya. Tidak perlu menunjukkan belas. Misi ini mesti berjaya.” Suaranya lembut, tetapi ketegasan jelas tersisip.

              Walaupun mata mereka tidak bertemu kerana dihalang dek tabir, Nobu dapat merasakan ketajaman pandangan si pemilik suara. Nobu tidak bersuara, hanya menunduk, segera melangkah meninggalkan ruangan tersebut sambil tersenyum sinis.