Nirnama – Hikayat 3

Baik-baik mengail tenggiri,
Takut terkena ikan parang;
Baik-baik merendah diri,
Jangan menjadi hamba orang.

Angin menderu-deru, biasan pertembungan antara Nirnama dan lembaga di hadapannya. Semakin lama mereka bertarung, semakin jelas susuk lawan Nirnama pada penglihatan Nadim, memandangkan mentari mula menzahirkan diri. Sinarannya mula menembusi rimbunan dedaun, menghasilkan palang-palang cahaya yang menyinari suasana.

               Lawan Nirnama ialah seorang lelaki, berwajah garang dengan misai dan janggut yang sedikit tebal. Rambutnya pendek dan kemas, bertanjak megah, berpakaian selayaknya seorang pendekar namun pakaiannya daripada kain yang terbaik. Kerisnya bukan senjata biasa-biasa. Hanya mereka yang bertaraf laksamana mampu mempunyai keris sedemikian rupa.

Mereka sudah bertarung garang semenjak kelam dinihari sehingga terang mula merajai alam. Sekali-sekala, mereka bagaikan melayang saat menyerang atau mengelak serangan lawan. Ibarat punya kesaktian tersendiri. Masing-masing tidak terkalahkan.

               “Engkau boleh bertahan sebegini lama ya! Tidak hairanlah engkau mampu menumbangkan nama-nama besar di selatan ini!”

               Satu saukan cuba mencapai kepalanya. Nirnama tunduk tetapi dia dijamu pula dengan tujahan lutut lawan. Tangkas dua lengan dinaikkan untuk mempertahankan diri. Tubuhnya terangkat sekitar sehasta dari bumi.

               “Tetapi engkau masih belum mampu menghadapi aku!”

                Tangan yang tadi cuba menyauk kepalanya, kini melawan arah dengan melepaskan pukulan silang. Pantas Nirnama mengangkat sebelah tangan dan kaki, mempertahankan kepala dan tubuh daripada menjadi mangsa. Namun, serangan pantas itu berisi kekuatan yang begitu tinggi, membuatkan Nirnama terpelanting ke tepi sebelum bergolek beberapa kali di lantai bumi.

               Nirnama bingkas bangkit dengan sebelah lutut dan tangan menongkat tubuh. Dia mengerling Nadim yang bersembunyi di balik sebuah pokok besar, sekitar lima depa dari tempat dia bertarung.

               Jelas, wajah Nadim menunjukkan budak itu sedang kerisauan.

               Nirnama bangkit tatkala si lawan membuka tari silat, bagaikan memancing untuk Nirnama memulakan serangan. Langkah si lawan itu kemas dan teratur. Daripada buah-buah persilatannya, tidak mempamerkan sebarang kelemahan yang terbuka.

               Tangan Nirnama perlahan-lahan beralun. Seiring dia menarik nafas, tangan kiri merapati hadapan dada, sementara tangan kanan terjulur keluar. Ibu jari tersimpan di telapak sedang jari-jemari lain terbuka lurus. Pandangan redup Nirnama memerhati lawan.

               Dia dan tetamu tanpa undangan itu telah bertukar puluhan jurus untuk beberapa ketika.

               “Sudah bersedia untuk tamatkan pertembungan ini?”

Pendekar di hadapannya tersenyum panjang. Tangan kanan perlahan-lahan berehat di atas hulu keris, sebelum jari-jemarinya merangkul bahagian senjata itu.

               Nirnama berbuat hal yang serupa.

               Jelas, pertarungan mereka telah sampai pada kemuncaknya.

               “Nirnama, hati-hati!” Suara Nadim nyaring kedengaran.

Ternyata, budak nakal itu memilih untuk tidak lari menyelamatkan diri. Mungkin dia mempunyai keyakinan bahawa Nirnama akan memenangi pertarungan ini walau Nirnama sendiri secara jujur tidak berani menjamin akan pengakhiran tersebut.

               Pendekar itu menghunus kerisnya. Nirnama turut melakukan hal yang sama. Serentak kedua-duanya membuka langkah, perlahan-lahan bagaikan berpusing di dalam satu bulatan, tetapi dengan arah yang berlawanan. Tangan mereka beralun bersama keris masing-masing.

Semakin lama, jarak antara mereka semakin dekat.

Si lawan memecut ke hadapan. Keris ditujahnya. Nirnama tidak menanti, turut membuka langkah. Seraya menyambut tujahan keris lawan dengan menangkap pergelangan tangan pendekar itu, Nirnama turut menujah kerisnya.

Pantas si lawan mengesampingkan tujahan Nirnama dengan tangan kiri. Tangan yang sama,  kemudian memanjang ke hadapan, seiring dia merapati Nirnama. Dada Nirnama mahu dijamunya dengan telapak tangan tersebut.

Nirnama tidak berlengah menyendengkan bahu kanan, membuatkan tangan kiri lawan terjulur melepasi kepalanya. Terus Nirnama memasung tangan kiri itu dengan melipat tangan kanannya.

Kedua-duanya terkunci.

Nirnama dan si lawan masing-masing cuba bergerak, tetapi kedua-duanya terpasung akibat pergerakan masing-masing.

Angin menderu-deru, terbias hasil pertembungan tersebut. Daun-daun berterbangan menjauhi kedua-duanya. Sebahagiannya menampar wajah Nadim yang tidak berganjak memerhatikan perkembangan pertempuran itu.

“Jangan tewas, Nirnama! Datuk, nenek dan segala penjaga hutan ini, bantulah Nirnama!” Nadim mengangkat kedua-dua belah tangan ke langit.

Jeritan Nadim membuatkan pendekar yang menentang Nirnama itu tertawa. “Engkau membawa musyrik sebagai teman?”

“Dia masih jahil dan perlukan didikan.”

Pendekar itu tersenyum lebar. “Sejak bila engkau suka berteman?”

Pendekar itu mengangkat kaki kanannya dan cuba menendang Nirnama. Nirnama tidak membiarkan serangan itu dilancarkan. Kakinya turut diangkat, dan mereka berdua bertukar-tukar jurus tendangan sementara kedua-dua tangan mereka masih terpasung.

Tendangan demi tendangan bertali arus. Dedaunan dan rerumput sekitar tempat mereka bertarung tercabut. Lantai tanah juga terhambur ke serata arah.

Nirnama mengambil peluang dengan menyepak segumpal tanah, tepat ke wajah lawan. Ini menyebabkan si lawan terkejut lalu sepantas kilat terus menutup mata, membuatkan pertahanan dirinya tidak lagi kejap. Tanpa teragak-agak, Nirnama terus menyeluk tangan kanannya ke hadapan sambil menarik tangan kiri. Tubuh lawan tertarik merapatinya, sementara keris Nirnama hampir terbenam ke tubuh pendekar tersebut.

Belum sempat hujung keris Nirnama mencecah dadanya, kepala pendekar itu terlebih dahulu berpusing, melepaskan tanjak yang dipakainya. Tanjak itu melayang menampar wajah Nirnama, membuatkan pergerakan Nirnama terganggu dan serangannya terbatal, namun tidak sebelum Nirnama melompat seraya melepaskan tendangan dengan kedua-dua kaki.

Tendangan itu hinggap tepat ke perut si lawan yang terdedah luas. Mata pendekar itu tersembul, kakinya tergerak beberapa langkah ke belakang sebelum jatuh bergulingan sehingga belakang tubuhnya menghentam sebatang pokok besar berhampiran.

Nirnama pula terjatuh ke tanah, sebelum pantas bangkit dan kembali mengalunkan tari silat bersama-sama keris yang terhunus.

“Terima kasih, datuk, nenek, penjaga belantara!” Suara Nadim kedengaran lagi.

“Kah kah kah!”

Terenjut bahu Nadim. Segera dia memandang arah tawa itu datang. Pendekar yang terduduk di bawah pokok besar itu galak ketawa sambil perlahan-lahan bangkit. Mata Nadim terbeliak, tidak menyangka pendekar itu masih mampu berdiri dengan gagah.

“Kita sebaiknya berhenti di sini.” Suara Nirnama berdesir.

Perlahan-lahan pendekar yang menjadi lawan Nirnama itu menarik senyuman panjang. Nafasnya terhembus dari rongga. Dagunya kemudian naik dan turun.

Tambah terkejut Nadim dibuatnya.

Dia keluar dan berjalan ke arah Nirnama dengan berhati-hati. Jelas, risau masih membaluti diri, kalau-kalau pendekar tanpa undangan itu akan melancarkan serangan.

Nirnama dan pendekar itu masing-masing menyarung kembali senjata mereka.

“Perkenalkan, Laksamana Kedua Semutar Putih, Jebat.”

Terbelalak mata Nadim. Langkahannya terhenti. Pantas dia menoleh ke arah pendekar tadi, yang sedang menunduk mengambil semula tanjaknya. Destar itu diangkat dan diletakkan kembali di atas kepala. Senyuman lelaki itu masih lebar.

Tangan kanan Jebat terhulur. “Budak, perkenalkan dirimu.”

Terketar-ketar Nadim menghulurkan tangan menyambut. “A … aku, Nadim.”

“Penduduk Kampung Medini menggelar dia ‘Sang Kancil’. Cerdas orangnya.” Nirnama meramas rambut Nadim.

“Oh, inilah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan Bagak Durjana dari istananya. Engkau berjasa besar, budak!” Jebat menampar lembut bahu Nadim.

Walaupun temparan itu lembut, terasa juga Nadim akan sakitnya. Tersengih-sengih dia dengan pujian lelaki di hadapannya.

“Engkau berani dengan Bagak Durjana, tetapi takut dengan aku? Bagaimana?” Jebat ketawa berdekah-dekah.

Nirnama sekadar tersenyum nipis.

“Terkejut. Tuan Laksamana muncul secara tiba-tiba dengan angin menderu-deru. Bertarung dengan begitu lama pula dengan Nirnama. Masakan aku tidak kegerunan!” Nadim cuba mengawal segan. “Sebentar, bagaimana Laksamana Semutar Putih boleh berada di sini? Kalian memang sudah lama berkenalan?” Nadim mencekak pinggang, memandang Nirnama dengan penuh tanda tanya.

“Orang yang engkau gelar Nirnama ini adalah adinda seperguruanku.”

Mata Nadim membulat. Sebentar dia memandang Nirnama, sebentar dia memandang Jebat, kemudian memandang Nirnama kembali. “Engkau seperguruan dengan Laksamana Semutar Putih? Siapakah engkau sebenarnya?”

Hanya garis nipis menghiasi bibir Nirnama.

“Apa perkembangan terkini, Kakanda Jebat?”

“Alhamdulillah, dengan izin Allah subhanahu wa taala, tentera pimpinan aku dan Adinda Kasturi berjaya merempuh Istana Bagak. Ketiadaan si Bagak dan sebahagian hulubalang utamanya, membuatkan pertahanan istana itu rapuh. Orang-orang bawahan yang berbaki tidak keruan. Dalam masa sebentar, istana itu kami tawan. Syukur kepada Yang Maha Berkuasa.” Jebat mendongak ke langit.

“Alhamdulillah. Hanya kepada Dia kita pulangkan segala pujian.”

Dahi Nadim berkerut-kerut. Begitu tulus Nirnama dan Jebat memuji Tuhan. Tidak ada mereka sabitkan kejayaan kepada kesaktian masing-masing, atau datuk nenek serta penjaga belantara. Tidak seperti dirinya. Padahal dia melihat dengan jelas bagaimana dua insan ini bertarung, penuh kesaktian.

“Besar jasa engkau dalam menjadi asbab hal ini berlaku. Telah sampai perutusan Yang Mulia Sultan Mahmud untuk engkau kembali ke Melaka. Baginda berkenan untuk mengurniakan engkau darjah kebesaran, dan memberikan engkau pangkat sebagai Laksamana Semutar Putih!” Jebat menepuk-nepuk bahu Nirnama.

Terlopong Nadim mendengar apa yang diungkapkan oleh Jebat. Terus dia turut menepuk tubuh Nirnama. “Nirnama, betapa tingginya anugerah itu. Ini satu kemuliaan!”

Nirnama menggeleng perlahan. “Sampaikan kepada tuanku, aku menolak dengan baik buat masa ini. Ampun beribu-ribu ampun.” Nirnama mengangkat sembah.

Tersentak Nadim dengan penolakan Nirnama. “Mengapa?”

Kedengaran helaan nafas kuat keluar dari rongga Jebat. Tangannya terus bersilang di atas dada. “Aku memahaminya. Akan aku sampaikan kepada tuanku. Kelanamu pun belum berakhir, bukan?”

Nirnama mengangguk, sebelum meleraikan sembahnya. “Kita masih ada perjalanan yang panjang, Kakanda Jebat.”

“Ya. Aku maklum akan perancangan kita. Aku sekadar menyampaikan hajat tuanku. Itu amanahku.” Jebat terangguk-angguk.

Hening merajai suasana. Masing-masing membisu. Nadim pula termangu-mangu. Tidak tercapai dek akalnya akan mengapa Nirnama menolak gelaran dan pangkat sedemikian mulia. Jika diberikan kepadanya, akan disambar tanpa berfikir!

“Dengan runtuhnya Wilayah Ujong, aku fikir Jagat Suci tidak akan duduk diam. Cerita rakyat berkenaan ‘Nirnama’ bukan lagi sekadar lipur lara. Engkau akan diburu.” Mata Jebat kini berubah menjadi mata helang. Nada suaranya tegang.

Nirnama hanya mengangguk.

Bulu roma Nadim pula meremang mendengar amaran Jebat.

“Engkau masih mahu mengembara bersama Nirnama, budak? Masih belum terlambat untuk engkau pulang. Hanya dua hari perjalanan dari sini ke Perkampungan Medini, bukan?” Jebat ketawa kuat sambil menepuk bahu Nadim.

“Hah, pantang aku dicabar. Aku mahu mendapatkan kesaktian yang sama seperti Nirnama. Aku perlu berani. Tambahan, aku bersama-samanya. Aku selamat!”

Jebat ketawa lebih kuat. “Aku suka budak ini.”

Nirnama sekadar senyum segaris.

“Baiklah. Untuk perjalanan engkau yang seterusnya, ini bekalan buatmu.” Jebat menyeluk selempang pada pinggang. Dia mengeluarkan sekeping kayu kecil berbentuk segi empat yang sederhana tebalnya dan menghulurkannya kepada Nirnama.

Nirnama mencapai papan itu, dan tanpa bertanya atau berkata apa-apa, terus menyimpannya di balik lipatan baju. Mengangguk, seakan-akan memahami apa gunanya papan tersebut. Nadim sahaja dihujani seribu satu soalan berkenaan benda itu, tetapi memilih untuk membisu.

“Aku perlu beransur. Sebahagian tenteraku menanti di Perkampungan Medini, sebelum kami bergabung dengan tentera di istana Bagak dan kembali ke Melaka.”

Nirnama mengangguk. “Sampaikan salamku kepada Tuanku Sultan, Datuk Bendahara, juga Laksamana Tuha dan Laksamana Kasturi.”

Jebat turut mengangguk. “Semoga selamat perjalananmu, adinda.” Bahu Nirnama ditepuk, sebelum pendekar berparut itu ditariknya rapat. Jebat mendakap erat Nirnama. “Jaga diri. Perjalanan selepas ini pastinya lebih mencabar.”

“Kepada Allah kita memohon perlindungan.”

“Kepada Allah sahajalah kita memohon kemenangan.”

Dakapan mereka merenggang.

“Semoga Kerajaan Semutar Putih bersiaga. Runtuhnya Wilayah Ujong mungkin akan membuatkan Jagat Suci bertindak di luar jangkaan.”

“Bendahara Tun Nirmala sudah bersedia dengan rancangannya. Kakanda Tuha sudah diarahkan untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Syukur ke hadrat Ilahi atas akal Bendahara Tun Nirmala yang masih bergeliga. Kalau nak diharapkan Tua …”

“Alhamdulillah.” Pantas Nirnama menyebut kalimah suci itu, memotong bicara Jebat daripada sempurna.

Jebat berdehem dua tiga kali. Nadim perasan akan keadaan tersebut tetapi memilih untuk tidak berkata apa-apa.

“Engkau orang yang baik, adinda. Moga dipermudahkan urusan seterusnya.”

“Doa orang soleh seperti kakanda amat dihargai.”

Kedua-duanya kemudian mengangkat sembah serentak dan menunduk sedikit. Jelas terpamer perasaan saling menghormati antara mereka.

“Budak, temani insan yang engkau gelar Nirnama ini dengan baik. Belajar banyak dengan dia.” Jebat menghulurkan tangan kepada Nadim.

Tangan itu segera disambut. “Aku berbangga menghirup udara yang sama dengan tuan laksamana. Moga satu hari nanti aku juga mampu menjadi orang istana.”

Jebat tertawa. “Kejarlah kemuliaan di sisi Tuhan, kemuliaan yang lain akan mengekori.”

Dahi Nadim berkerut. Bahunya kemudian ditepuk-tepuk Jebat, sebelum Laksamana Semutar Putih itu berpaling. “Assalamu’alaikum!”

Selepas beberapa langkah, Jebat melompat tinggi, menghilang di sebalik pokok-pokok besar.

“Waalaikumussalam.” Desir Nirnama.

“Waduh, siapa sangka engkau ini orang besar juga rupanya. Tidak hairanlah engkau banyak saktinya!” Nadim mencekak pinggang memandang Nirnama.

Nirnama hanya tersenyum kecil. “Engkau belum Solat Fajar. Ayuh aku ajar.”

“Itu yang engkau ingat? Banyak hal kita patut sembangkan. Aku ada banyak persoalan. Lagipun bukankah waktu sembahyang sudah tamat?” Nadim tertawa.

“Utamakanlah seruan Allah. Itu keutamaan orang beriman. Jika sudah tahu terlewat, janganlah pula tidak dibuat langsung.”

“Yalah, yalah!” Nadim mencebik.

Nirnama senyum nipis.

“Selepas ini engkau mahu ke mana sebenarnya?”

“Pelabuhan Batu Sawar.”

Mata Nadim membulat.

***

Pelabuhan Batu Sawar merupakan pusat perdagangan terkenal di Wilayah Ujong. Banyak kapal dagang berlabuh, dan Perkampungan Batu Sawar pesat dengan bermacam-macam urusan perniagaan. Banyak kedai menjual segala jenis barang dagangan. Buah-buahan, sayur-sayuran dan herba-herba dari banyak tempat, bermacam-macam jenis kain dan sulaman, senjata-senjata, bahkan haiwan-haiwan langka turut menjadi sebahagian daripada urusan jual beli di sini.

               Setiap hari, Pelabuhan Batu Sawar tidak pernah berpeluk arus dengan manusia. Sarat dengan orang ramai yang berurus niaga. Orang asing banyak di sini, memandangkan kapal dagang yang berlabuh datang dari banyak tempat di muka bumi.Tempat ini sentiasa riuh dengan suara para penjual yang bertingkah-tingkah, menguar-uarkan barang dagangan masing-masing.

Dia sudah beberapa hari di sini, kerana itu dia maklum akan semua ini.

Namun, hari ini berbeza. Riuh-rendahnya tidak datang daripada suara para saudagar dan pembeli yang berurusan. Matanya tajam memerhatikan satu sudut, arah datangnya riuh-rendah tersebut. Kelihatan 40 lelaki yang tubuh mereka dilengkapi zirah sebahagiannya, sedang mengacukan senjata kepada seorang insan terkenal di Pelabuhan ini.

“Kami tidak mahu terima apa-apa alasan. Berikan kami apa yang kami minta, atau engkau akan terima nahas!”

“Ya, jangan sampai kepala engkau bergolek di atas tanah dan darahmu membasahi bumi!”

“Benar!”

Riuh umpama ada keramaian.

Seorang lelaki bertubuh sasa dan tinggi, dengan rambut ikal melepasi bahu, bertanjak kemas, mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berwajah manis. “Saudara-saudara, aku tahu keperluan kalian. Tinggalnya, tidak ada kapal yang boleh aku berikan. Semuanya sudah punya urusan-urusan tersendiri!”

Lelaki itu bernama Tanggang. Dikenali sebagai Orang Kaya Besar Tanggang. Orang yang bertanggungjawab menguruskan Pelabuhan Batu Sawar ini. Di sisinya terdapat sekitar sepuluh orang pengawal. Masing-masing mengacukan senjata kepada kumpulan lelaki yang sedang berhadapan dengan mereka.

Setiap saudagar memberikan bayaran kepada Tanggang agar dia menguruskan kapal-kapal dagang mereka. Dialah yang berkuasa menentukan urusan keluar masuk kapal di pelabuhan ini. Semua urusan di pelabuhan ini memerlukan kebenarannya.

40 lelaki berzirah sebahagian tubuh mereka itu khabarnya telah menanti beberapa hari untuk Tanggang memunculkan diri. Orang Kaya Besar itu baru sahaja turun dari kapal, terus disambut senjata 40 orang ini. Jelas, mereka tidak sabar-sabar lagi.

“Apakah engkau lebih sanggup untuk mati berbanding mengorbankan sebuah kapal untuk kami!” Salah seorang daripada lelaki berzirah sebahagian tubuh itu mengacukan pedangnya lebih rapat ke leher Tanggang.

Pantas dua pengawal Tanggang menghalang dengan tombak masing-masing.

Kedua-dua pihak masih belum benar-benar mahu bertarung. Pengawal-pengawal Tanggang sedar akan kemungkinan angka tidak menyebelahi mereka. Manakala kumpulan 40 orang berzirah sebahagian tubuh itu pula mungkin mahu meninggalkan tempat ini tanpa perlu membahayakan diri.

“Bukankah engkau tahu bahawa aku menguruskan pelabuhan ini dengan restu Jagat Suci? Apakah kalian mahu kemurkaan pemerintah Indera Kayangan mengejar kalian?”

“Kami hanya mahu ke Kerajaan Serawa. Wilayah Ujong telah runtuh!”

“Mengapa kalian tidak pergi ke utara sahaja? Menghadaplah Tuanku Jagat.” Tanggang mencadangkan.

Terpempan 40 orang itu. Mereka saling berpandangan.

“Ahah, jika kalian menghadap Tuanku Jagat, pasti nyawa kalian melayang, bukan? Tuanku orangnya tidak sukakan kegagalan!” Tanggang tertawa kecil.

“Engkau fikir ini jenaka? Celaka!”

Tegang tiba-tiba menjerut suasana.

Dia tidak boleh membiarkan keadaan itu berlangsung lebih lama. Semenjak tadi dia memerhati dari warung ini. Orang ramai juga sepertinya, sekadar memerhati. Tetapi dia tidak seperti mereka, dia mampu melakukan sesuatu. Dia ada kelebihan tersendiri untuk melakukan sesuatu walaupun bukan itu tujuan sebenar keberadaannya di situ. Bukan sikapnya membiarkan orang yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan. Jika dia mampu, dia akan membantu.

Dia membetulkan kain yang melitupi kepala. Keris pada selempang di pinggang disematkan dengan lebih kemas. Dia bangkit, nekad mahu meleraikan ketegangan suasana sebelum perkara lebih buruk berlaku yang mungkin bakal mengorbankan nyawa ramai yang tidak berdosa.

Baru sahaja dia hendak melangkah, satu suara mematikan pergerakannya.

“Nirnama!”

Matanya membulat. Terus dia menoleh ke belakang. Namun, belum sempurna tolehannya, seorang lelaki telah mendahului, diekori seorang budak yang tidak putus-putus bersungut pada setiap langkahan.

“Hish, kenapalah mahu masuk campur dalam semua hal. Tak faham aku!” Budak itu menggeleng sambil memikul sebungkus kain pada hujung sebatang kayu.

Lelaki di hadapan budak itu melangkah pantas menuju kepada kumpulan 40 orang berzirah sebahagian tubuh itu. Walau sebentar cuma melintasinya, dia dapat melihat lelaki itu punya parut besar pada pipi kanan, hampir sahaja mencecah mata. Kemas bertanjak Lang Menyongsong, dengan rambut mencecah bahu. Tubuhnya tidak terlalu besar dan sasa, tetapi tetap nampak tegap. Setiap langkahannya jelas perkasa. Pandangannya pula redup sahaja.

“Aku tidak salah dengar, bukan? Nirnama?” Dia berbisik sendiri.

Budak yang mengekori lelaki berparut tadi berhenti terlebih dahulu, sementara lelaki tersebut terus merapati tempat perkumpulan Tanggang dan 40 lelaki berzirah sebahagian tersebut.

“Ho! Tidakkah engkau melihat kami sedang berurusan dengan Orang Kaya Besar ini?” Laungan itu dapat didengari segenap arah pelabuhan.

Lelaki berparut itu kelihatan bersahaja berdiri di tengah-tengah perkumpulan tersebut.

“Wahai orang muda, apakah engkau tidak sayangkan nyawamu? Aku sedang berusaha menyelesaikan ini semua dengan aman.” Suara Tanggang pula kedengaran.

“Aman? Tanpa memberikan apa kami mahu? Celaka, engkau fikir kami boleh dipermain-mainkan?” Salah seorang daripada 40 lelaki berzirah sebahagian tubuh itu menghentak tombaknya, terus menujah senjata tersebut ke arah Tanggang.

Belum sempat senjata itu terjulur lebih jauh, lelaki berparut tadi tangkas menyepak tombak tersebut. Terangkat senjata itu ke atas.

Tercengang semua yang berada di situ.

“Tuan-tuan, apa kata kita tidak perlu sampai berbunuhan di sini. Kalian masih bernyawa setelah Wilayah Ujong tumbang kepada Semutar Putih, bukankah itu patut disyukuri?” Lelaki itu kelihatan tenang sambil mendepangkan sedikit tangannya.

Jelas lelaki itu langsung tidak gentar dan takut dengan gerombolan lelaki berzirah di hadapannya. Sosok tubuhnya nampak kemas, tegap, tetapi tidak memancarkan ancaman. Jalan aman nampaknya menjadi pilihan utama lelaki berparut tersebut.

“Kurang ajar. Habisi dia!”

40 orang berzirah itu terus menyerbu lelaki itu. Suasana menjadi riuh-rendah. Kelibat lelaki berparut itu menghilang diselindungi tubuh 40 orang berzirah sebahagian itu. Sementara itu, sepuluh orang pengawal Tanggang pantas bergerak ke hadapan Orang Kaya Besar itu bagi melindunginya.

Dia memanjangkan leher, mencari-cari kelibat lelaki berparut tersebut.

Selepas beberapa ketika, kelihatan lebih sepuluh orang tumbang, manakala lima tubuh sedang terdorong ke belakang. Di celah-celah mereka, kelihatan lelaki berparut tadi sedang menyambut senjata-senjata dengan tangan kosong, dan melangkah gagah ke hadapan.

Jelas, kehebatannya luar biasa.

“Sakti!” Orang ramai di warung itu mula bersorak-sorai.

Lelaki berparut itu terus lincah, melompat di atas senjata-senjata tersebut sebelum sepakan pusing dilancarkan ke kepala-kepala lawan. Baki lelaki berzirah sebahagian tubuh itu mengejarnya dari belakang. Dia tidak lari, bahkan dengan keris terhunus, memecut dan melompat ke tengah-tengah mereka, mengejutkan semuanya.

Apa yang berlaku selepas itu adalah di luar jangkaan.

25 lelaki itu masing-masing mati hanya dengan satu serangan. Ada yang terburai ususnya. Ada yang terkoyak kerongkongnya. Ada yang berlubang jantungnya. Lelaki berparut tadi sudah berdiri di atas jasad-jasad yang sudah tidak bernyawa. Tubuhnya tidak lagi bersih daripada sebarang noda.

Lima lelaki yang terdorong keluar dari medan pertembungan tadi sudah bangkit dan mahu menyerang. Namun, kelima-limanya tergamam, dan saling berpandangan sesama mereka apabila melihat keadaan tersebut.

 “Lari!”

Kelima-limanya bertempiaran menyelamatkan diri. Lagak gagah di hadapan Tanggang dan pengawal-pengawalnya awal-awal tadi bagai berani-berani lalat, hanya berani di belakang sahaja. Apabila diuji, mencicit mereka berlari hingga ada yang terkencing.

Dia terjeda. Bulu romanya meremang, namun bukan kerana takut. Senyumannya melebar.

Inilah Nirnama yang masyhur. Cerita berkenaan kegagahan dan kesaktiannya sudah menjadi buah mulut ramai, sering singgah ke telinga. Perkhabaran terbaharu yang sampai adalah tumbangnya Bagak Durjana di Perkampungan Medini.

Dia sebenarnya dalam perjalanan ke sana, mahu menjejaki Nirnama. Siapa sangka, Nirnama sendiri tiba di hadapan mata.

Keris pada pinggang dipegangnya erat.

***

“Habis engkau kotor dengan darah. Macam mana mahu teruskan perjalanan kita?”

Nadim tidak berhenti bersungut sambil melangkaui mayat-mayat yang bergelimpangan. Sampai sahaja di sisi Nirnama, kelihatan lelaki berparut itu sekadar tersenyum kecil.

               “Aku ada bekal persalinan.”

               “Engkau jarang bersuara, tapi kalau engkau bersuara, boleh tahan pandai engkau menjawab ya?” Nadim acah mengherdik dengan dua belah tangan mencekak pinggang. Kemudian, dia tertawa.

               Nirnama senyum segaris. Tambahan, memang sudah sampai masa untuk dia menukar pakaian yang lebih bersih. Mereka telah berkelana hampir seminggu.

               Tanpa disangka-sangka, suatu tepukan kuat kedengaran.

               Nadim dan Nirnama sama-sama menoleh.

Tanggang sedang galak bertepuk tangan.

Orang ramai ikut bertepuk tangan. Suasana bertukar meriah dengan tepukan dan suara orang ramai yang berkumpul mengelilingi medan pertembungan di pelabuhan tersebut.

               “Hebat, hebat! Ilmu sakti apa yang tuan hamba gunakan?” Orang Kaya Besar itu  menghampiri Nirnama. Tidak ralat dengan keadaan Nirnama yang bernoda dengan darah.

Nirnama kekal tersenyum nipis.

“Tuan-tuan, inilah Nirnama. Pendekar Tanpa Nama yang masyhur!” Nadim meninggikan suara.

Terbelalak mata orang ramai. Tanggang sendiri membesarkan mata. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama mereka. Banyak yang berwajah teruja.

Gelaran dan sikap ringan tulang Nirnama membantu orang telah tersebar merata-rata. Ramai telah mendengar gelaran ini, hanya tidak semua pernah bersua dengan Nirnama, sehingga ada yang menganggap cerita-cerita berkenaannya hanyalah rekaan belaka.

“Apa tujuan tuan yang mulia muncul di sini? Terima kasih kerana sudi menguruskan mereka. Apakah ada apa-apa yang tuan hamba hajati? Aku akan cuba penuhinya.” Tanggang bersuara penuh hormat. Ternyata dia juga pernah mendengar kisah berkenaan Nirnama.

Nirnama menyeluk saku pakaian. Papan kayu pemberian Jebat dikeluarkan dan dihulur kepada Tanggang.

Berkerut dahi Orang Kaya Besar itu saat menyambut papan kayu tersebut. “Engkau …”

Nirnama sekadar mengangguk.

Tanggang mendengus kecil. “Ayuh ke tempatku. Bersihkan diri. Kemudian kita boleh berbual panjang. Apa sahaja engkau pinta, akan aku usahakan.”

Nirnama dan Nadim saling berpandangan. Kemudian, Nirnama mengangguk.

Tanggang berpaling dan mula melangkah. Pengawal-pengawalnya mengiringi. Orang ramai membuka jalan. Masing-masing mahu melihat Nirnama.

Nadim merapatkan dirinya kepada lelaki berparut itu. “Apa makna papan itu? Engkau hanya menunjuk, tetapi dia sudah mahu membantu,” bisiknya.

“Orang Kaya Besar Tanggang ada hubungan baik dengan Jagat Suci. Mulutnya manis, pandai mengambil hati. Jagat Suci membenarkan Orang Kaya Besar Tanggang menguruskan pelabuhan ini kerana kepakarannya, dengan syarat separuh keuntungan mesti diberi kepada Jagat Suci. Tanpa pengetahuan Jagat Suci, Orang Kaya Besar Tanggang sebenarnya memberikan suku sahaja keuntungannya.”

Jarang Nadim mendengar Nirnama berbicara panjang. Ini menjadikan perkongsian maklumat itu mengujakannya. “Mana engkau tahu semua ini?”

“Laksamana Jebat sendiri pernah menyamar dan berkampung di sini untuk menyiasat hubungan mereka berdua.”

“Jadi, sekiranya Jagat Suci tahu, nyawa Orang Kaya Besar Tanggang tidak akan selamat lagi!”

Nirnama mengangguk.

“Hah, pastinya Laksamana Jebat telah menjalin hubungan dengan Orang Kaya Besar Tanggang. Kerana itu dia mengenali papan tadi.”

Sekali lagi Nirnama mengangguk.

“Apa yang engkau mahukan daripada Orang Kaya Besar?”

Nadim mengerutkan dahi. Baru dia menyedari yang Nirnama sebenarnya tidak pernah berkongsi akan tujuan perjalanannya, tidak lebih daripada sekadar menyatakan bahawa dia mahu ke Pelabuhan Batu Sawar.

“Untuk dia membawa aku ke Kerajaan Serawa.”

Kali ini, Nadim benar-benar tersentak.