Nirnama – Hikayat 4

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sudahnya.

Deburan ombak menjadi halwa telinga. Tenang dan mendamaikan. Angin kuat menampar muka. Percikan air masin sekali-sekala menodai wajah. Bau asin air laut pula menusuk-nusuk rongga. Dada langit yang cerah dihiasi gemawan-gemawan kecil saujana mata memandang, petanda cuaca akan kekal baik untuk suatu jangka masa yang panjang.

               Ini pertama kali Nadim melihat lautan terbentang sebegini luas, menaiki bahtera sebegini mewah lagi besar.

               Bahtera kepunyaan Orang Kaya Besar Tanggang ini bernama Mendam Berahi. Panjangnya Nadim jangka sekitar 328 kaki, dan lebarnya sekitar 36 kaki. Sepanjang berada di sini, Nadim puas meneroka setiap ceruk bahtera. Ada 7 tingkat semuanya, 2 tingkat berada di bawah paras air. Bahtera ini punya tiga tiang layar utama, dengan sebatang layar tinggi menjulang di tengah-tengah bergelar layar agung.

               Tingkat tiga merupakan tempat para pendayung. Ada 100 dayung, 50 kiri dan 50 kanan. Setiap dayung dikendalikan dua orang gagah perkasa, berotot waja.

               Dari tingkat 4 hingga 7, bahtera ini dikelilingi meriam-meriam kecil. Di bahagian atas, tempat Nadim berdiri sekarang, ada 10 meriam besar. 3 di bahagian kanan, 3 di bahagian kiri, 2 di hadapan dan 2 lagi di belakang.

               Muncung bahtera ini diperbuat dari besi kalis karat, diruncingkan an ditajamkan. Nampak Orang Kaya Besar Tanggang benar-benar mengutamakan keselamatan dirinya. Bahtera ini ibarat kubu bergerak di atas lautan. Mungkin jika ada lanun atau musuh, paparan kehebatan bahtera ini telah cukup membuatkan mereka menyisih. Jika mereka berani juga mencabar, maka maut bakal menjemput.

Sepanjang berada di sini, dia dilayan bagaikan raja. Dengan kamar yang luas, tilam yang empuk, makanan yang lazat dan minuman yang enak, tak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia akan menikmati itu semua dalam hidupnya. Dia sekarang melayan perasaan gembira berdiri di sisi penghadang bahtera, menikmati suasana sambil mendepangkan tangan agar sekali-sekala percikan air laut mengenainya, dan deruan angin menampar wajah bersama telapak tangan.

               “Nirnama, mengapa engkau tidak kelihatan teruja?” Nadim separa menjerit, cuba melawan kuatnya deruan angin.

               Nirnama bersila tenang di hadapan Nadim. Matanya khusyuk memerhatikan senaskhah mushaf lusuh. Dia membaca kitab itu dengan begitu tekun. Bibirnya bergerak-gerak. Soalan Nadim bagaikan angin lalu, tidak dilayannya.

               Sudah tiga malam mereka menjadi tetamu kehormat di atas bahtera Tanggang. Dua hari sebelum itu, mereka menjadi tetamu kehormat Orang Kaya Besar itu di Pelabuhan Batu Sawar. Bermakna, sudah lima hari Nadim menikmati layanan bagaikan orang kaya. Hatinya sungguh senang, perutnya sentiasa kenyang. Tidak pernah dia merasai sebegini nikmat sepanjang hidupnya.

               Kendatipun, sepanjang waktu itu, dia melihat Nirnama tidak terlalu menikmati layanan yang disediakan buat mereka.

Lelaki berparut itu tidak tidur di atas tilam empuk. Lebih selesa berbaring di atas lantai bahtera beralaskan sehelai kain. Nirnama tidak makan dan minum dengan terlalu banyak, sekadarnya sahaja. Sering berhenti awal sebelum orang lain. Setiap kali sebelum makan, bibir Nirnama akan terkumat-kamit membaca sesuatu, demikian setelah makan.

Begitulah juga sebelum dan selepas tidur.

Saban waktu solat, Nirnama tidak akan lewat mendirikan ibadah itu. Bahkan, sebelum melakukan yang fardhu, Nirnama akan menunaikan terlebih dahulu solat dua rakaat yang Nadim tidak ketahui namanya. Demikian juga setelah usai menyempurnakan solat fardhu.

Saat orang lain tidur lena, pada sepertiga akhir malam, Nirnama akan bangun menunaikan solat yang panjangnya jauh lebih berbanding biasa, dan solat itu ditunaikan beberapa kali sehingga sampai masuk waktu fajar.

Nirnama akan membuka mashaf lusuh yang dibawanya, dan membaca kitab itu setiap kali selepas Solat Fajar dan sebelum tidur.

Demikian kebiasaan Nirnama semenjak Nadim mengembara bersama-samanya. Demikian juga kebiasaan Nirnama saat dilayan bagaikan raja. Kadangkala, Nadim tertanya-tanya, apakah kehidupan sedemikian rupa yang memberikan Nirnama kesaktiannya?

Memang Nadim ada mendengar perihal orang-orang yang mampu membuka keramat alam, sehingga boleh memijak angin dan berjalan di atas air. Mereka berkemampuan untuk melakukan hal-hal di luar kebiasaan, penuh kesaktian. Antara contoh terkenal ialah Jagat Suci, pemerintah Indera Kayangan.

Tiada siapa benar-benar tahu umur sebenar Jagat Suci. Apa yang pasti, dia telah berusia lebih daripada tiga perempat abad. Namun, Jagat Suci terkenal dengan wajahnya yang amat tampan, suara yang teramat merdu. Perkataan tua seakan tidak terdapat dalam kamus hidup Pemerintah Indera Kayangan itu.

Hidup Jagat Suci penuh kesaktian. Mampu terbang ke langit, mampu berjalan di atas air, mampu menyembuhkan penyakit dengan hanya melalui sentuhan, mampu menukarkan tanah menjadi emas. Jagat Suci juga kebal daripada sebarang serangan. Tiada senjata yang mampu mencederakannya.

Kerana itu, dalam masa beberapa tahun sahaja semenjak kemunculannya dua dekad lalu, Jagat Suci berjaya menguasai hampir seluruh Tanah Semenanjung. Sebelum kemunculan Jagat Suci, berdiri di tanah ini beberapa kerajaan. Semua tumbang di bawah kesaktian Jagat Suci.

Hanya Kerajaan Semutar Putih yang tidak benar-benar jatuh kepada kekuasaan Jagat Suci. Kerajaan Semutar Putih, dipimpin oleh Sultan Mansur dan diteruskan oleh anakanda baginda, Sultan Mahmud setelah sultan itu mangkat lebih sedekad yang lalu. Pun begitu, wilayah jajahan Semutar Putih semakin mengecil kerana saban tahun, Jagat Suci melalui tentera Indera Kayangan berjaya menjatuhkan wilayah demi wilayah yang dikuasai Semutar Putih.

Justeru, apabila Wilayah Ujong kembali dikuasai Semutar Putih, ia merupakan sesuatu yang amat besar untuk Tanah Semenanjung. Buat pertama kali, ada wilayah jajahan Indera Kayangan yang dirampas oleh kerajaan tersebut.

Apabila sekian lama tidak dilayan oleh Nirnama, Nadim mendengus. Dia terus bergerak dan duduk di sisi Nirnama, memerhati mushaf yang sedang ditekuni lelaki berparut itu.

“Ini al-Quran, bukan? Aku lihat hari-hari engkau membacanya. Aku biasa nampak kitab begini di masjid. Tapi aku sendiri tak pernah buka dan sentuh sebab aku tak tahu membaca.”

Nirnama mengangguk.

“Memang perlu dibaca setiap hari?”

Nirnama mengangguk lagi.

“Engkau ini berat mulut sangat, kenapa? Jangan begini. Tak seronok mahu berbual dengan engkau macam ini.” Nadim mencebik.

Koyak bibir Nirnama dengan senyuman. “Al-Quran adalah petunjuk buat orang-orang yang bertaqwa.”

“Taqwa itu apa?”

“Satu sifat menggambarkan kehendak untuk taat, patuh, tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.”

“Apakah engkau orang yang bertaqwa itu?”

“Aku cuba.”

Nadim terangguk-angguk. “Mungkin sebab itu kebiasaan kehidupan engkau sedemikian gayanya.”

Terangkat kening Nirnama, tetapi tiada bicara terlepas dari kerongkong. Melihat reaksi Nirnama itu, Nadim menyambung bicara.

“Engkau makan minum tak terlalu kenyang, tidur tak terlalu panjang, engkau tak pernah tinggalkan solat bahkan menambah lagi dengan solat-solat sebelum dan selepasnya yang aku tak tahu namanya.”

“Itu bukan tambahan. Sememangnya dianjurkan. Solat Rawatib namanya. Sunnah.”

“Ah, aku mana tahu. Aku tak belajar semua itu.”

Nirnama tertawa kecil. Menggeleng.

“Apabila orang melayan kita ibarat raja, engkau tetap menahan diri daripada menikmati semuanya dengan sepuas hati. Engkau tahu, seluruh hidupku, aku tidak pernah kenyang sebagaimana kenyangnya aku lima hari di bahtera ini. Syukur, kita ada satu malam lagi!” Nadim ketawa.

“Alhamdulillah.” Berdesir kalimah itu dari bibir Nirnama.

“Tengok, engkau saban waktu ada sahaja kalimah zikir yang diungkap. Kadang, saat berdiam pun aku nampak bibirmu sentiasa bergerak. Apakah ini kunci kesaktianmu?”

Bibir Nirnama terbelah dengan garisan panjang. “Aku sudah nyatakan, aku tiada kesaktian.”

“Aku nampak engkau terbang memijak angin saat bertarung dengan Laksamana Jebat. Demikian juga dia. Kalian seperguruan, bukan? Apa rahsianya?”

“Itu hanyalah jurus sapu angin. Tiada apa yang istimewa.”

Mata Nadim membesar. “Tiada apa yang istimewa? Jika aku boleh terbang, aku akan sentiasa menggunakannya!”

Senyuman Nirnama melebar seraya menggeleng perlahan. “Aku tidak boleh terbang.”

“Engkau ni kedekutlah, Nirnama. Nama engkau pun pastinya bukan Nirnama. Betul tak? Sepanjang kita berkenalan, engkau tak pernah berkongsi pun nama sebenarmu.”

“Kerana namaku tidak penting. Yang penting adalah perbuatanku.”

“Engkau tidak mahu dikenali?”

Nirnama tidak menjawab soalan itu. Nadim mendengus sambil mencekak pinggangnya, menjemput tawa Nirnama.

“Engkau nikmatilah beberapa hari ini. Ini rezeki daripada Allah SWT. Bersyukurlah kepada Dia. Pastikan hanya ambil apa yang halal.”

“Sikit-sikit Allah, sikit-sikit Allah.” Nadim mencebik.

“Kerana Dia Tuhan kita, dan tiada Tuhan selain Dia. Hidup ini kerana-Nya, untuk kembali kepada-Nya.”

“Bukankah Jagat Suci itu Tuhan? Dia terlalu banyak kesaktiannya.”

Wajah Nirnama berubah dalam sesaat cuma. Tidak pernah Nadim melihat wajah Nirnama keruh, hatta di tengah-tengah pertarungan sengit. Tetapi apabila soalan itu diungkapkan, riak tenang pada wajah Nirnama bagaikan tasik yang dicampak batu.

Namun, keadaan itu sementara sahaja. Wajah itu kembali seperti biasa, dengan bibir Nirnama terkumat-kamit semula.

“Dia hanyalah seorang ahli sihir.”

“Apakah engkau pernah bertemu dengannya?” Satu suara lain mencelah.

Nadim dan Nirnama sama-sama berpaling.

Seorang perempuan jelita, bertudung litup. Selendang menutupi kepala sedang belakangnya kelihatan dua batang cucuk sanggul. Pakaiannya sedikit longgar, menyembunyikan bentuk tubuh, bersama selapis lagi pakaian luar melindungi diri. Pada pinggang tersemat sebilah keris, bersama samping tebal. Dia berseluar panjang besar lagi labuh, dan mengenakan sepatu.

Melihat Nirnama dan Nadim terpinga-pinga, perempuan itu tersenyum manis. “Namaku Cendana. Salam perkenalan.”

“Ah, aku Nadim, salam perkenalan!” Nadim bangkit menghulurkan tangan.

Tetapi perempuan jelita bernama Cendana itu tidak menyambut huluran tangannya. Berkerut dahi Nadim. Perlahan-lahan tangan diturunkannya.

Nirnama bangkit. “Cik Cendana, salam perkenalan.” Perlahan Nirnama bersuara. Jelas, dia cuba mengelak daripada menjawab soalan yang dikemukakan perempuan itu awal-awal tadi.

“Engkau tidak mahu memperkenalkan namamu?” Senyuman manis kekal menghiasi bibir perempuan itu.

“Orang ramai memanggilnya Nirnama!” Nadim mencelah.

“Ah, inilah Nirnama yang masyhur itu.” Cendana terangguk-angguk. Matanya bersinar.

Entah kerana kagum, entah kerana teruja melihat dongeng yang hakikatnya benar. Nadim tidak pasti. “Hah, engkau tidak menyaksikan peristiwa di Pelabuhan Batu Sawar?”

Senyuman Cendana melebar. Pandangannya jelas melekat pada wajah Nirnama.

“Dia menyaksikannya, Nadim.” Nirnama berdesir. Kemudian dia memandang tepat Cendana dengan pandangan redup. “Kerana itu Cik Cendana berdiri di sini.” Pandangan Nirnama jatuh pada tangan kanan Cendana, yang erat memegang hulu keris pada pinggang.

Nadim dapat merasakan seperti sesuatu bakal berlaku. Dia berundur dua tapak.

“Rakan-rakan yang dimuliakan!”

Nirnama, Nadim dan Cendana serentak menoleh.

Tanggang tiba di tempat mereka bertiga berdiri.

“Apa yang kalian bincangkan? Seperti rancak dan mesra sahaja?” Tanggang ketawa girang.

“Sekadar berkenalan.” Cendana menjawab pantas sambil kekal tersenyum.

Nirnama dan Nadim mengunci bicara.

“Bagus, bagus. Tuan Nirnama, Nadim. Cik Cendana kita ini srikandi yang sedang menempa nama. Juga keturunan bangsawan. Yalah, jika tidak, takkan dia berada di atas bahtera ini.” Tanggang terus tertawa.

Nadim kembali menatap Cendana. Perempuan jelita di hadapannya ini adalah seorang srikandi terkenal? Terkenal bagaimana? Adakah seperti Nirnama? Dia belum pernah mendengar khabar berkenaan kehebatan srikandi itu sebagaimana khabar kehebatan Nirnama.

“Orang Kaya Besar, apa tujuan tuan mencelah perbualan kami ini?” Cendana bersuara lembut. Matanya mengecil kerana kekal tersenyum.

“Ah, aku mahu meminta timbal balas daripada Tuan Nirnama kita ini.” Tanggang merangkul bahu Nirnama, bagaikan mereka telah kenal terlalu lama.

Nirnama sendiri agak terkejut.

“Timbal balas? Timbal balas apa? Mengapa Nirnama perlu memberikan timbal balas kepada Orang Kaya Besar?” Nadim berkerut dahi.

“Bukankah kalian sudah dilayan amat baik beberapa hari ini? Bukankah kalian berada di atas bahteraku?”

Nirnama membisu. Nadim mengangguk. Cendana memerhati.

“Sebagaimana kalian lihat, bahtera ini dinaiki orang-orang kaya lagi terhormat.  Mereka perlukan hiburan sepanjang kita menongkah samudera luas ini.”

“Tidak cukupkah segala hiburan di bahtera ini?” Kerutan pada dahi Nadim bertambah.

Bahtera ini disertai banyak jenis hiburan. Pesta arak, pelacur, tarian, nyanyian, dan sketsa. Sepanjang masa, tidak pernah berhenti. Biasanya, hiburan itu berlangsung di bahagian bawah bahtera, bukan di bahagian atasnya, kerana bahagian atas sering diserbu angin menderu dan percikan air laut.

Kerana itu, Nirnama sering menghabiskan masanya di bahagian atas bahtera. Nirnama tidak pernah walau sebentar, menikmati hiburan-hiburan yang disediakan.

“Orang-orang kaya lagi terhormat itu sudah mengetahui yang bersama bahtera ini adanya Nirnama. Mereka mahu dihiburkan oleh sesuatu yang tidak pernah mereka lihat. Mungkin engkau boleh mempamerkan kesaktian silatmu?” Tanggang ketawa kuat sambil menepuk-nepuk bahu Nirnama.

Nirnama kekal mengunci bicara. Jelas daripada riak wajahnya, dia tidak mahu menerima pelawaan itu.

“Mereka sudi membayar dengan harga yang tinggi!”

“Nirnama bukan bahan pertunjukan!” Nadim mencelah, mengetahui yang Nirnama lebih selesa membisu.

Wajah girang Tanggang berubah menjadi keruh. Tangannya pada bahu Nirnama beralih ke pinggang sendiri.

“Kalian perlu ingat bahawa kalian berada di atas bahteraku. Jika aku mahu, kalian boleh kuhumban ke laut!”

Terenjut bahu Nadim. Tidak menyangka akan diugut sedemikian. Nirnama tidak bereaksi. Kekal membatu. Cendana kekal memerhati. Namun, yang lebih diperhatikan oleh Cendana adalah Nirnama. Bagaikan menanti-nanti apa tindakan lelaki berparut itu.

“Tetapi … papan kayu …” Nadim cuba mengingatkan sebab utama mengapa Tanggang melayan mereka dengan baik selama ini.

“Itu di daratan. Aku terdedah dengan ancaman. Ini lautan, medanku. Jika aku humban kalian ke laut, tiada siapa dapat menceritakan apa-apa, bukan? Jika Laksamana Jebat bertanya kepadaku, aku akan menyatakan yang kalian kemalangan. Apakah Semutar Putih tidak mahu bantuanku lagi selepas ini? Mereka pasti mahu!” Tanggang ketawa berdekah-dekah.

Nadim memerhatikan Nirnama. Lelaki berparut itu kekal berdiam. Cendana pula masih berpeluk tubuh.

“Bagaimana, Tuan Nirnama yang mulia? Sudikah tuan hamba mencemar duli? Bukanlah aku meminta sesuatu di luar kemampuanmu. Aku sudah melayan kalian bagaikan raja. Janganlah kalian menjatuhkan air mukaku.” Tangan Orang Kaya Besar itu kembali merangkul bahu Nirnama.

Belum sempat bibir Nirnama bergerak untuk memberikan jawapan, Cendana telah mencelah.

“Aku ada cadangan yang lebih baik, Orang Kaya Besar.”

Nadim memandang Cendana. Nirnama turut melakukan hal yang sama. Rangkulan tangan Tanggang terlerai. Dia turut memberikan perhatian kepada perempuan itu.

“Ya, Cik Cendana yang dimuliakan?”

“Apa kata, persembahan itu, berbanding Nirnama secara berseorangan, kita persembahkan pertarungan antara Nirnama dan aku?”

Mata Nadim terbeliak.

Wajah Tanggang bertambah girang. Pantas dua telapak tangannya bersatu. Dia menggosok-gosok kedua-duanya. “Ini berita yang sangat baik! Aku setuju!”

“Nirnama?” Nadim memandang Nirnama.

Nirnama memandang Cendana yang sedang tersenyum lebar.

“Bagaimana, Nirnama? Sudikah engkau bertarung denganku? Aku mahu menewaskanmu.”

“Demi apa?” Perlahan Nirnama bersuara.

“Demi gelaran yang terhebat.” Cendana menjawab yakin, matanya bersinar terang.

Hembusan nafas panjang keluar dari rongga Nirnama dapat didengari semua di situ.

“Aku menolak pertarungan yang sia-sia sebegini.”

“Sia-sia?!” Cendana meninggi suara.

Semua di situ terkejut dengan tindakan srikandi tersebut. Tanggang yang terkilan dengan jawapan Nirnama pun tidak sempat bersuara.

“Jangan engkau menjadi pengecut di sini. Apa aku perlu mengancam nyawamu untuk engkau mempersembahkan kehebatanmu?”

Nirnama bertenang mata dengan Cendana. “Mengapa Cik Cendana begitu bersungguh mahu bertarung denganku?”

“Kerana aku perlu membuktikan kekuatanku!”

Nadim jadi serba salah. Tidak tahu hendak mencelah bagaimana.

Bunyi deheman menarik mereka berdua keluar dari ketegangan tersebut. Kini semua memandang Orang Kaya Besar Tanggang.

“Memandangkan Cik Cendana sudah begitu bersemangat, aku tidak segan untuk melaksanakana amaranku.” Dia ketawa seraya pantas mencapai belakang baju Nadim.

Tubuh Nadim diangkat tinggi.

“Hoi!” Nadim bergerak-gerak cuba melepaskan diri, tetapi tidak berjaya.

Nirnama pula terkesima. Memerhati Nadim dijulurkan ke luar bahtera. Jika Tanggang melepaskan tangannya, Nadim akan jatuh ke laut.

“Bagaimana Tuan Nirnama? Masih mahu bertegas dengan peganganmu?” Orang Kaya Besar Tanggang tertawa besar.

Nirnama memandang Cendana dengan pandangan penuh terkilan. Riak wajah Cendana sendiri berubah dari tegas menjadi serba salah. Segera matanya ditundukkan.

“Aku tiada pilihan, bukan?” Nirnama memandang Tanggang.

Besar senyuman Orang Kaya Besar itu, sambil menggeleng.

Nirnama kembali memandang Cendana. “Baiklah Cik Cendana, Orang Kaya Besar, aku bersetuju.” Dia memandang kepada Tanggang. “Turunkan Nadim.”

Tanggang ketawa besar. “Macam inilah. Wah, aku pasti akan buat untung besar malam ini!” Segera dia membawa Nadim kembali ke bahtera, dan menurunkan remaja itu.

“Kurang ajar engkau!” Nadim cuba mara ke arah Orang Kaya Besar tersebut.

Nirnama segera menghalang, menarik bahu Nadim dari mara.

“Janganlah marah. Aku tahu Nirnama tidak akan sampai hati memperapa-apakan engkau wahai budak!” Tanggang terus tertawa.

Tiba-tiba, tangan Nirnama terangkat, mematikan tawa besarnya itu.

“Persetujuanku bersyarat Orang Kaya Besar. Tidak ada perjudian. Jika engkau mahu duit, engkau boleh kenakan bayaran kepada mereka. Aku tidak akan menjadi alat untuk orang berbuat dosa.”

Mata Nirnama yang biasanya redup, berubah menjadi setajam mata helang.

Nadim dan Cendana sama-sama tersentak, manakala Tanggang terus pucat dan bagai tersekat nafasnya. Bulu roma menegak. Semua tengkuk yang berada di situ spontan meremang bagaikan ada aura dahsyat meletus dari tubuh Nirnama saat dia berbicara sedemikian. Telunjuk lurusnya yang terangkat mengacu kepada Tanggang bagai mampu menembusi tengkorak pedagang tersebut.

“Jangan sekali-kali engkau berani mengajak orang ramai bermaksiat di atas namaku. Ingat amaranku ini Orang Kaya Besar!”

“Baik, baik.” Orang Kaya Besar itu menelan liur. Kemudian, dia berdehem beberapa kali. “Malam ini ya. Turun ke pentas utama. Kita bertemu di sana.”

Tanggang tersengih-sengih sebelum berlalu. Walau tubuhnya lebih besar dan sasa berbanding Nirnama, ternyata Nirnama lebih mampu untuk menumbangkannya.

“Aku mohon diri ke kamar dulu. Kita bertemu malam ini ya, Cik Cendana. Semoga dalam lindungan Allah.”

Nirnama pula beransur, melangkah perlahan-lahan sehingga hilang kelibatnya di balik dinding bahtera, hanya dihantar oleh Nadim dan Cendana yang masing-masing masih terkesima.

“Hah, alangkah baiknya kalau dia bersikap begitu saat aku dijulurkan ke laut.” Nadim tertawa.

“Ketika itu dia masih ada penyelesaian lain.”

“Nirnama memang selagi tidak perlu berkeras, akan tegar mencari jalan yang damai.” Nadim perlahan-lahan memandang Cendana. “Apa engkau masih mahu bertarung dengan Nirnama?”

Bibir perempuan jelita robek dengan senyuman penuh keterujaan. “Sudah pasti!”

***

Mereka berlima menelusuri denai sehingga tiba ke satu kawasan lapang. Tempat itu merupakan penamat bagi denai tersebut. Di seberang tanah lapang itu, sebuah gunung tersergam megah. Di bawahnya berdiri sebuah kotak sederhana besar, berbentuk segi empat, diperbuat daripada besi, bersama-sama palang-palang besar tegak di hadapan bagaikan pintu. Sebahagiannya tertutup dengan kain-kain rentang.

               Kotak besi itu umpama sebuah penjara.

               Beberapa lantera tergantung di tempat tersebut dan kawasan lapang sekitarnya.

               Awang, Rajuna, Damar, Banang dan dia bergerak perlahan-lahan melepasi satu demi satu tiang lantera di kawasan lapang tersebut. Menghampiri kotak besi sederhana besar tersebut, mereka dapat melihat tulisan-tulisan pada kain rentang yang melitupi sebahagiannya.

               “Ayat-ayat al-Quran?” Dahinya berkerut saat membaca tulisan tersebut.

               “Benarlah.” Rajuna bersuara.

               “Apakah ini tempat Tok Guru Perkasa, Adiwaja bertapa?” Banang menoleh sekeliling.

               “Mungkin kehebatannya datang daripada ayat-ayat al-Quran!” Damar jelas tidak dapat menyembunyikan keterujaannya.

               “Jika demikian, benarlah dia waliyullah!” Awang mengangkat penumbuk, semakin bersemangat.

               “Ya, anak-anakku. Inilah tempat pertapaanku!” Satu suara merdu datang dari dalam kotak besi sederhana besar di hadapan mereka.

               Dia dapat merasakan bulu romanya menegak. Dia memandang Awang, Rajuna, Damar dan Banang. Semua rakannya terpana. Dia dapat melihat wajah Awang, terpamer senyuman besar.

               “Tok Guru Perkasa, Waliyullah, Adiwaja, kami berkenan untuk mendapatkan ilmumu!” Awang dengan berani bergerak ke hadapan. “Jadikan kami hebat, agar kami boleh membanggakan ayahanda dan bonda kami, para perwira Semutar Putih di Perkampungan Gapura!”

               “Jangan gopoh, wahai anak-anakku. Gopoh bukan sikap yang disukai Tuhan.”

               Langkahan Awang terhenti.

               “Aku sudah terlalu tua, dan aku telah bertapa terlalu lama. Kekuatanku tidak lagi seperti dahulu. Usia telah mengatasiku. Tetapi ilmu yang ada dalam dadaku pasti akan memberikan kekuatan tidak terhingga kepada kalian, memandangkan kalian masih teramat muda. Kalian akan mengatasi ayahanda dan bonda kalian. Kerana aku jugalah yang melatih mereka selama ini!”

               Awang menoleh ke belakang. Dia dapat melihat mata Awang membulat. Riak wajah rakannya itu jelas gembira. Rajuna, Damar, Banang dan dirinya mengepal penumbuk dan mengangkat kedua-dua tangan. Teruja.

               “Patutlah ayahanda dan bonda kita hebat belaka!”

               “Ini rupanya rahsia mereka!”

               “Sebab itu mereka bergilir-gilir masuk ke belantara ini. Peluang yang sama terbentang di hadapan kita. Aku takkan lepaskan peluang ini!”

               Dia yang asalnya ragu-ragu, menjadi semakin yakin. Ayat-ayat al-Quran yang tertulis pada kain-kain rentang di hadapan mereka telah menambah keyakinannya. Mustahil orang jahat bertapa di tempat yang diselubungi kalimah-kalimah suci al-Quran, bukan?

               Sekarang, peluang menjadi pendekar perkasa seakan berada di hadapan mereka.

               Dia seronok membayangkan betapa terkejut dan bangga ayahanda dan bonda mereka setelah melihat mereka punya ilmu persilatan hebat dalam masa sejenak. Kebanggaan ayahanda dan bonda mereka merupakan antara yang menggembirakan hati anak-anak pendekar.

               “Jadi, apa yang perlu kami lakukan, Tok Guru Perkasa? Apakah ada pengeras yang perlu kami berikan?” Awang menoleh kembali ke hadapan.

               “Tiada pengeras. Tetapi kalian perlu membantu aku. Bukakan pagar tempat ini. Kemudian, aku akan perturunkan segala ilmu persilatan yang kupunyai.”

               Awang kembali memandang dia dan rakan-rakan. “Ayuh!”

               Mereka berlima berlari merapati kotak besi sederhana besar itu. Kelima-lima mereka berusaha menarik palang-palang yang memagari tempat itu.

               “Mengapa tempat ini tidak berpintu?” Dia kehairanan. “Bagaimana Tok Guru Perkasa masuk ke tempat ini?”

               “Dengan ilmu ghaib yang aku kuasai, aku boleh berubah menjadi angin dan menyusup ke mana sahaja.”

Suara itu kedengaran lagi. Tetapi susuk tubuh empunya suara tidak kelihatan, walau dia dan rakan-rakannya sudah betul-betul di hadapan kotak tersebut.

               Kawasan di dalam kotak besi itu kekal kelam dan gelap.

               “Kenapa Tok Guru Perkasa tidak menggunakan kebolehan yang sama untuk keluar?”

               “Aku boleh melakukannya jika aku mahu. Tetapi aku juga perlu menguji mereka yang mahu menuntut ilmu daripadaku. Jika pagar tempat ini tidak kalian mampu bukakan, bagaimana kalian mampu menampung ilmu persilatanku yang hebat?”

               Mendengar bicara tersebut, dia dan rakan-rakannya tambah teruja dan bersemangat.

Namun begitu, setelah beberapa ketika, yang mereka dapat hanyalah keringat dan penat. Kelima-lima mereka terduduk. Palang-palang besi itu tidak sedikit pun bergerak. Kudrat mereka masih tidak cukup kuat.

               “Macam mana?” Awang nampak kecewa.

               “Kita tak boleh berputus asa!” Banang bangun.

               “Benar. Kita cuba lagi!” Damar cuba membakar semangat.

               Rajuna dan dia memandang Awang sambil mengangguk.

               Awang bangkit dan memandang ke dalam kotak tersebut. “Tok Guru Perkasa, berikanlah kami panduan!”

               “Baiklah. Melihat pameran kesungguhan kalian, hati aku tersentuh. Aku akan membuka pintu tempat ini, dengan syarat ada keberanian yang tinggi.”

               Dia dapat melihat keletihan pada wajah rakan-rakannya sirna. Wajah masing-masing dihiasi senyuman.

               “Tinggi yang macam mana, tok?” Dia memberanikan diri bertanya.

               “Siapa yang berani untuk betul-betul merapat dan menjenguk ke dalam? Kalian masih anak-anak, sudah pasti sebahagian kepala kalian muat untuk melepasi palang-palang ini.”

               Dia dan empat rakannya saling berpandangan.

               “A …” Awang membuka mulut.

               “Aku!” Dia bersuara lantang, memotong.

               Empat rakannya jelas terkejut.

               “Bukankah engkau tadi teragak-agak untuk ke mari? Sekarang engkau pula yang mahu menawarkan diri?” Awang mengerutkan dahi.

               Dia tersengih. “Aku teruja apabila semua sudah di hadapan mata. Berilah aku peluang untuk membuktikan keberanianku!”

               Awang dilihat saling berpandangan dengan Rajuna, Damar dan Banang. Kemudian, Awang menggerakkan kepala, memberi isyarat membenarkan.

               Dia mengukir senyuman lebar. Pantas merapati kotak besi sederhana besar itu.

               “Aku bersedia, tok!” Perlahan-lahan dia menekan kepala, cuba sehabis boleh untuk sebahagiannya melepasi palang-palang. Kain-kain rentang tertera kalimah-kalimah suci al-Quran yang menghalang, direntapnya.

               Bahagian dalam kotak sederhana besar itu masih terlalu kelam. Dia langsung tidak dapat melihat apa-apa. Perasaan di dalam jiwa kembali bergejolak. Rasa yakin mula bergegar. Dia dapat merasakan kegelapan bahagian dalam kotak itu bagai mampu bergerak-gerak, mengelus rambut dan wajahnya. Perasaan gerun mencucuk, tetapi dia pantas memujuk hatinya.

Dalam kepala, dia membayangkan dirinya menjadi pendekar sakti yang mengagumkan semua. Terbayang-bayang bagaimana ayahandanya sering mengulang cerita Adiwaja yang menumbangkan Jagat Suci, ahli sihir jahat mantan pemerintah Indera Kayangan. Dia mahu menjadi hebat seperti itu. Jika dengan memberanikan diri sejenak akan mendapatkannya perkara tersebut, maka dia sudi untuk mencuba dan bertahan mengharungi rasa gerun yang kini semakin menebal.

               Tidak lama kemudian, dia merasakan sesuatu yang janggal berlaku. Setiap langkahnya semakin lama semakin berat. Penat diluaskan halangan yang membataskan gerakan kepalanya, tetap juga masih ada yang bermunculan. Seolah-olah halangan itu cuba menempelaknya sebagai yang tidak layak mendapat kesatian Tok Guru Perkasa. Tidak semena-mena, dia rasakan kepalanya berlaga dengan sesuatu yang sangat aneh. Satu sentuhan yang tidak pernah dia rasakan. Sentuhan tajam yang diiringi aura hitam. Sukar ditafsirkan!

Tengkuknya spontan meremang.

               “Akhirnya!”

               Dia tidak pasti apa yang berlaku. Sedar-sedar, kesakitan telah menjalar ke seluruh wajah. Darah memercik, membasahi sebahagian tubuhnya. Dia terpelanting ke belakang, melanggar Banang dan jatuh bersama-sama rakannya itu.

               Awang, Damar dan Rajuna terkejut, terus mendapatkannya.

               “Apa yang berlaku?” Awang memisahkannya dengan Banang.

               “Sakitlah!” Banang bersuara.

               “Wajah engkau!” Rajuna membulatkan mata.

               Nyeri dan ngilu dapat dirasakan menjalari wajahnya. Mata kanan terpaksa ditutup kerana dia dapat merasakan yang wajahnya mendapat luka besar.

               “Tok Guru Perkasa, apa yang telah engkau lakukan?” Awang menoleh ke arah kotak besi sederhana besar tadi.

               “Sudah terlalu lama aku tidak merasai darah yang sebegini lazat. Terima kasih, budak!”

Suara itu meninggi sebelum dituruti tawa yang berdekah-dekah.

               “Ah, tidak cukup untuk aku kembali kepada kekuatan asal. Tetapi cukup untuk aku bebas!”

               Dengan sebelah mata, dia dapat melihat Awang berkerut dahi.

               “Apakah …”

               Satu letupan kuat kedengaran, memotong bicara Awang.

Awang, Rajuna dan Damar berada di atas tanah, terpelanting akibat ledakan tersebut. Asap berkepul-kepul memenuhi kawasan itu.

               Beberapa ketika kemudian, asap berkepul-kepul itu menghilang dipukul angin, menzahirkan satu susuk tubuh lelaki yang kurus kering, bongkok, dengan rambut panjang kusut tidak terurus. Wajah berkedut seribu dengan gigi kuning yang berterabur, sedang menatap ke arah mereka.

               “Hatta Tuhan pun tidak dapat membunuhku. Hatta masa tidak selamanya dapat memasungku!” Lelaki itu ketawa berdekah-dekah.

               “Tok Guru Perkasa?” Awang bangkit.

               Tawa lelaki itu semakin kuat. “Aku bukan Tok Guru Perkasa!”

               Lelaki itu memecut ke hadapan dan menyambar batang tubuh Awang.

               “Aku pemerintah agung!” Giginya dibenamkan ke tengkuk Awang.

               Dia dapat melihat mata rakannya itu terbelalak.

               “Awang!”

               Awang meronta-ronta, tetapi kudratnya tidak cukup untuk dia membebaskan diri. Beberapa ketika kemudian, rontaannya terhenti. Tubuhnya dijatuhkan. Awang terkulai di lantai bumi.

               Dia membulatkan mata. Tengkuknya kembali meremang. Apa yang telah berlaku?

               Ketika itu, dia dapat melihat lelaki tua bongkok di hadapannya berubah menjadi semakin muda, walau masih tidak terlalu muda. Tubuhnya yang bongkok tidak lagi terlalu bongkok. Aturan giginya semakin baik. Kedutan pada wajahnya berkurangan. Lelaki itu sedang menyeka darah pada mulutnya.

               “Aahhh.” Lelaki itu membuka dan menutup telapak tangannya seperti sedang menarik nafas sedalam-dalamnya.

               “Lari!” Banang bangkit dan menepuk bahunya.

Dia pun tergesa-gesa bangun.

“Dia bukan Tok Guru Perkasa. Dia syaitan durjana!” Rajuna melaung. Rakannya itu bersama-sama Damar turut bangkit dan mula hendak berlari.

               “Kalian tidak akan dapat melepaskan diri!”

Tawa lelaki itu bergema.

***

Ruang utama bahtera mewah lagi megah itu riuh-rendah dengan suara-suara keterujaan. Orang kaya lagi terhormat di situ datangnya dari banyak tempat, bangsa dan negara. Mereka kerap menggunakan perkhidmatan yang diberikan oleh Tanggang, dan tidak pernah merasa terbeban untuk mengeluarkan belanja demi keseronokan.

               Nama Nirnama masyhur di serata tempat. Kisahnya telah sering diulang-ulang ramai. Bagaimana dia sering muncul membantu masyarakat yang susah, lebih-lebih lagi mereka yang diganggu penguasa jahat. Kisahnya bertembung dengan Ratu Mergastua masyhur sekali.

Khabarnya, Ratu Mergastua sehingga terpaksa menyeru Naga Seri Gumum dari Tasik Chini untuk berhadapan dengan Nirnama, dan mereka bertarung selama lima hari lima malam lamanya. Kawasan sekitar tempat pertarungan mereka, dikatakan hujan turun tidak berhenti-henti dengan guruh sabung-menyabung sepanjang pertarungan berlangsung.

               Nirnama dikatakan berjaya menumbangkan Naga Seri Gumum dengan terbang tinggi ke udara lalu menyeru halilintar dari langit membalut kerisnya, sebelum ditusuk keris tersebut ke lelangit haiwan tersebut. Tubuh Naga Seri Gumum yang besar lagi panjang itu digunakan oleh Nirnama untuk melibas Ratu Mergastua, mati dengan serta-merta.

               Khabarnya juga, tulang belulang Naga Seri Gumum masih berserakan di dasar Tasik Chini.

               Itu antara cerita berkenaan Nirnama yang diulang-ulang para pedagang yang mengembara untuk berniaga. Entah benar entah tidak, tiada siapa tahu. Bahkan nama sebenar Nirnama juga tidak diketahui sesiapa.

Apabila orang yang pernah bertemu dengannya bertanya akan namanya yang sebenar, dia tidak pernah menjawab. Lantas perlahan-lahan orang mula memanggilnya sebagai Nirnama.

Tanpa Nama.

               Selama ini, kisah Nirnama yang gagah lagi perkasa dianggap sebagai dongengan sahaja. Setelah menjadi saksi peristiwa yang berlaku di Pelabuhan Batu Sawar, ramai teruja mahu melihat kesaktian Nirnama dengan mata kepala mereka sendiri. Untuk kesempatan tersebut, mereka sanggup mengorbankan sejumlah besar harta masing-masing sebagai bayaran kepada Tanggang.

               Pertembungan Nirnama dengan Cendana.

               Walaupun srikandi itu tidak semasyhur Nirnama, kisah-kisah berkenaannya telah mula tersebar. Tiada siapa tahu siapa sebenarnya srikandi tersebut. Ada yang menyatakan bahawa Cendana merupakan anakanda kepada Iskandar Zulkarnain, datang dari Pantai Cahaya Bulan di timur laut Tanah Semenanjung. Tujuan kembaranya hanya satu, mahu menjadi yang terhebat. Membuktikan bahawa perempuan bukan tempatnya terpasung di rumah dan di dapur, hanya menjadi alat bagi lelaki mendapatkan zuriat.

               Cendana telah dua belas purnama berkelana, menumbangkan nama-nama masyhur di alam pendekar terutama di sekitar pantai timur. Dikhabarkan orang, Jagat Suci sendiri berminat untuk menjadikan srikandi itu sebagai permaisurinya yang kesebelas. Namun, tiada sesiapa yang dapat memastikan kesahihan perkara itu.

               “Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Bersama-sama kita pada malam ini ialah Nirnama …”

Tanggang memulakan majlis, berdiri di atas pentas besar, yang berada di tengah-tengah ruang gergasi di dalam bahtera ini. Ruang gergasi ini sesak dengan seluruh isi bahtera berkumpul di sini.

               Nirnama perlahan-lahan menaiki pentas. Tepukan mula menggegak-gempita.

               “Tiada siapa tahu nama sebenarnya. Banyak kisah telah kita dengar berkenaan dia. Tidak ramai yang dapat melihatnya selama ini dengan mata kepala sendiri. Tetapi kita bertuah, tuan-tuan dan puan-puan. Nirnama akan mempersembahkan kesaktiannya malam ini!” Tanggang memanjangkan tangan, menunjuk kepada Nirnama di hujung pentas.

               Nirnama memerhati sekeliling.

Orang ramai berteriak, bersorak melaung-laungkan namanya. Ramai kelihatan begitu teruja.

               “Penentangnya ialah Cik Cendana, Puteri Cahaya Bulan!”

               Bunyi tepukan semakin menggila mengiringi langkahan Cendana menaiki pentas.

               “Mengembara untuk membuktikan kehebatannya. Ramai jaguh telah tumbang di tangannya. Perempuan bukan sekadar menghayun buaian tetapi mampu menggoncangkan dunia. Malam ini, Cik Cendana mahu membuktikan hal tersebut kepada kita!”

               Siulan-siulan nakal kedengaran menyelit antara tepukan-tepukan teruja.

               Nirnama dan Cendana kini berdiri sedepa dari Tanggang pada arah berlawanan. Kedua-duanya saling berpandangan. Namun sebentar kemudian, Nirnama menundukkan pandangan, bibirnya cepat-cepat melafaz istighfar.

               Nadim berdiri paling hampir dengan pentas. Tiada yang dibenarkan untuk berada serapat itu. Dia dianggap sebagai pembantu Nirnama, kerana itu dia dibenarkan berada di situ. Hati Nadim berdebar-debar.

Sepanjang siang tadi, Nirnama membisu dan langsung tidak bersuara, kecuali untuk beribadah. Di luar ibadah, Nirnama sekadar membatu. Hanya bibir terkumat-kamit bersama jemari yang bergerak-gerak, sambil bersila menghadap ke satu arah. Nadim sekadar memerhati setelah beberapa percubaannya memancing Nirnama untuk berbicara tidak berjaya.

               Adakah Nirnama sedang mengumpul kesaktiannya? Nadim tidak tahu.

               “Sudahkah kalian berdua bersedia?” Tanggang memandang Nirnama dan Cendana sambil mengangkat sebelah tangan.

Kedua-duanya mengangguk serentak.

               “Maka tanpa memanjangkan masa, kita mulakan!” Tangan Orang Kaya Besar itu dijatuhkan. Pedagang masyhur itu segera berundur dan turun dari pentas.

               Suasana kembali bingit dengan tepukan gemuruh, jeritan sokongan dan teriakan ramai agar pertempuran terus berlaku.

               Namun begitu, Nirnama dan Cendana sekadar bertukar pandangan.

               “Mengapa senekad ini?” Suara Nirnama berdesir, namun sampai ke telinga Cendana.

               Berkerut dahi Puteri Cahaya Bulan itu. “Untuk menewaskan engkau?”

               Nirnama mengangguk.

               “Kerana sepanjang pengembaraanku, aku telah menumpaskan banyak pendekar, jaguh kampung dan kota. Aku bercita-cita mahu mengepalai tentera terhebat menumbangkan Jagat Suci. Tetapi setelah beberapa pendekar berjaya kutumbangkan, satu soalan mula berulang dan semakin kerap.” Cendana mengetap geraham. Garang memandang Nirnama.

               Giliran Nirnama untuk berkerut dahi. Tidak faham apa yang membuatkan Cendana begitu terbakar oleh amarah.

               “‘Apakah engkau telah menewaskan Nirnama?’, ‘Engkau sudah menumbangkan Nirnama?’, ‘Apa engkau telah bertarung dengan Nirnama?’” Cendana mendengus.  “Soalan itu diulang-ulang saban jaguh dan pendekar yang tumbang di tanganku. Seakan-akan, tanpa aku menumbangkanmu, aku tidak akan menjadi yang terhebat. Kemampuanku tidak akan diakui.”

               “Hidup bergantung pendapat manusia lain hanya akan membuahkan tekanan.”

               Terbuntang mata Cendana. “Apa?”

               “Ketahuilah, seandainya seluruh manusia bersatu untuk memberi manfaat dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering.” Perlahan bicara Nirnama.

               Kedua-dua belah tangan Nirnama mula beralun. Kekuda diperkemaskan.

               Bicara Nirnama sampai kepada Cendana, membuatkan matanya kekal membulat. Hatinya bagai direnjat petir, kalbunya bagai ditikam sembilu. Tubuhnya perlahan-lahan menggeletar. Geraham diketapnya lebih ketat. Tanpa diundang, rasa rendah diri singgah di jiwa.

               Pantas ditentangnya perasaan itu.

               “Aku perlu dianggap sebagai yang terhebat kerana aku berjuang mengangkat darjat perempuan. Engkau lelaki, sudah punya terlalu banyak kelebihan. Aku akan pastikan yang aku menjadi perempuan yang menumbangkan Jagat!” Cendana turut membuka tari silat.

               Kedua-duanya mula bergerak dalam bulatan secara berlawanan arah. Mata Cendana tajam memandang Nirnama.

               “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” Berdesir bicara itu keluar dari belahan bibir Nirnama. “Kita wajar saling melengkapi. Masing-masing ada peranannya. Bukan saling menguasai!”

               “Perempuan tidak akan dihina sekadar untuk dipenjara di rumah, menjadi alat pemuas nafsu lelaki!” Cendana berteriak. Langkahannya terhenti.

               “Syurga di bawah tapak kaki bonda, tiada kemuliaan setaranya. Yang terbaik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya.” Nirnama membalas.

               Cendana terpempan. “Jangan banyak berdolak-dalih. Hari ini aku akan buktikan!”

Cendana terus mara. Tangan dipanjangkan, tumbukan cuba hinggap ke wajah Nirnama. Tetapi Nirnama menyendeng ke kanan. Cendana memusingkan tubuh, pinggangnya berputar, tendangan pusing tiba ke sisi kanan Nirnama. Namun, tangan Nirnama pantas bertindak, menahan tendangan itu. Cendana tidak dapat menyempurnakan putaran tubuhnya. Ketika ini, dia membelakangkan Nirnama. Segera dia berguling, menjarakkan diri sebelum berhenti separuh gulingan dan menolak tubuhnya ke belakang. Barulah dia dapat berputar dengan sempurna dan melepaskan satu tendangan.

               Nirnama tunduk dan berguling ke tepi, membiarkan Cendana melepasinya. Srikandi itu hanya menendang angin.

               “Jangan lari!”

Sebaik sahaja Cendana mendarat, dia melakukan lompatan balik kuang. Dalam masa sebentar sudah berada di sisi Nirnama, dia terus mencondongkan tubuh agar lebih merapati lelaki berparut itu, sambil dua tangannya melepaskan tumbukan bertubi-tubi.

               Adapun begitu, setiap tumbukannya sama ada berjaya dielak oleh Nirnama, atau ditepis pendekar berparut itu.

               “Mengapa engkau takut untuk menyerang, hah?” Cendana membentak sambil meneruskan serangan.

Melihat Nirnama menunduk untuk mengelak, Cendana mula melancarkan beberapa tendangan. Tidak sempat mengelak, Nirnama menepis tendangan tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Saat tendangan Cendana semakin pantas, Nirnama terpaksa bertahan di sebalik kedua-dua lengannya.

               “Apakah engkau memandang rendah kepadaku? Kepada perempuan!”

               Cendana melepaskan satu sepakan penuh bertenaga, sehingga dentuman kedengaran bergema. Nirnama terseret ke belakang beberapa depa.

Laungan dan jeritan yang menggegak-gempita tadi, mati serta-merta bagaikan disambar garuda. 

               Nadim berkelip-kelip. Tidak menyangka Cendana, seorang perempuan segagah itu, mampu melepaskan tendangan sedemikian berkuasa. Mampu membuatkan Nirnama terundur beberapa depa. Bukan sesuatu yang biasa. Hatta Bagak Durjana yang bertubuh sasa pun tidak dapat memperapa-apakan Nirnama.

               Tanggang ketawa berdekah-dekah. “Menarik, menarik. Apakah srikandi Puteri Cahaya Bulan akan menumbangkan Nirnama yang dikatakan sebagai sakti? Puas hati kita menyaksikan pertarungan malam ini!”

               Terus dewan besar itu kembali bergegar dengan gema keterujaan ramai. Sedari awal tadi, nama Nirnama banyak dilaungkan ramai. Sekarang, jeritan yang menguasai dewan adalah seruan nama Cendana.

               Cendana mendengus sambil tersenyum bangga. Terasa seperti dia telah berjaya membuka mata ramai bahawa perempuan bukan untuk direndah-rendahkan oleh sesiapa.

               Nirnama menurunkan tangannya perlahan-lahan seraya menegakkan badan. Pandangannya redup memandang Cendana. Tidak mempamerkan rasa terkejut, apatah lagi teruja. Membuatkan Cendana daripada tersenyum, terus mencuka.

               “Engkau masih pandang rendah terhadap aku?”

Cendana menarik satu cucuk sanggulnya. Cucuk sanggul itu dicampak ke udara, sebelum Cendana mencapai selendang lalu dilibasnya ke atas. Hujung selendang itu membalut cucuk sanggul tadi, dan selendang tersebut digerak-gerakkan bagaikan tali, berputar-putar di atas kepala Cendana.

“Engkau akan lihat mengapa banyak jaguh perkasa tumbang di tanganku!”

Cendana mara sambil melibas selendangnya menyapu lantai pentas. Nirnama melompat, tidak tinggi, cukup sekadar mengelak libasan tersebut. Tetapi libasan itu pantas melengkapkan satu putaran, dan kembali ke sisi kanan Nirnama.

               Nirnama menunduk.

               Kali ini, Cendana menarik selendangnya, membuatkan ia berputar dari bawah ke atas pula, sebelum digerakkan supaya jatuh ke atas kepala Nirnama.

               Nirnama sempat mengelak ke tepi. Tetapi hanya sipi-sipi. Jelas pergerakan selendang itu semakin pantas. Cucuk sanggul di hujung selendang itu terbenam separuh di lantai pentas. Permukaan lantai itu retak merekah.

               Pandangan redup Nirnama memerhati Cendana.

               “Belum habis lagi, Nirnama!”

Srikandi itu menarik selendang tersebut, membuatkan rekahan pada lantai menjadi semakin besar. Cucuk sanggul itu tercabut, sebelum meluru laju ke arah Nirnama. Dalam sela masa yang amat singkat, Cendana menyeluk baju luarnya, mengeluarkan beberapa jarum nipis dan terus melancarkan jarum-jarum itu ke beberapa arah.

Pada hemat Cendana, Nirnama tentunya akan mati akal untuk mengelak dan bertahan.

               “Nirnama!” Nadim menjerit kerisauan melihat Nirnama bagaikan tersepit.

               Seluruh isi dewan menjadi bisu ibarat dilanggar garuda. Hanya desahan nafas dan degupan jantung yang kencang kedengaran di telinga masing-masing. Semua menyangka Nirnama akan dihabisi kali ini.

               Alangkah terkejutnya semua, Nirnama tangkas menyepit cucuk sanggul tadi dengan kedua-dua belah telapak tangan, kemudian menggerakkan kedua-dua anggota tersebut untuk mengalunkan selendang Cendana, menjadikan kain itu sebagai penghadang kepada tebakan jarum-jarum Cendana.

               Mata Cendana terbeliak, tidak menjangka Nirnama mampu menyambut cucuk sanggul yang bergerak sepantas itu. Segera dia melepaskan selendang itu, risau jika Nirnama akan menariknya menggunakan kain tersebut. Dia terus melompat tinggi. Kedua-dua belah tangan menyeluk baju sebelum melepaskan hujan jarum ke atas Nirnama.

               Dengan pantas, Nirnama memutar-mutarkan selendang milik Cendana, membuatkan tiada jarum yang sempat menyentuhi tubuhnya.

               “Celaka!” Cendana masih di udara, terus menghunus keris.

               Keris berlok sembilan.

               “Dengan nama bondaku, aku akan memenangi pertempuran ini!”

               Cendana menjunam, mahu menghabisi Nirnama. Selendang dijatuhkan.

Tidak menanti Cendana sampai kepadanya, Nirnama mencangkung, sebelum melancarkan diri ke udara. Satu tindakan yang tidak dijangka oleh Cendana, tetapi tidak juga dia melatah dengannya. Segera ditarik kerisnya, untuk ditujahkan ke arah Nirnama.

               “Engkau tidak bijak rupanya, Nirnama. Tiada siapa boleh mengubah kedudukannya di udara!”

Pasti Nirnama tidak akan mampu untuk mengelak tikamannya. Dia hanya perlu melakukannya dengan tepat. Cendana begitu yakin. Apabila dia sudah terlalu hampir dengan Nirnama, segera dirodoknya keris tersebut.

               Nirnama menepis rodokan itu dengan tangan kiri, sebelum tangan kanan melancarkan satu serangan dengan telapaknya. Pada masa sedetik itu, Nirnama dapat memerhatikan bibir Cendana mengukir sengihan kecil. Dia menyedari bahawa Cendana hanya mahu dia menyangka bahawa serangan utama merupakan serangan keris tersebut.

               “Hah!”

Cendana melepaskan keris itu, dan tangan kiri, terus mengeluarkan sebilah kerambit yang tersembunyi di balik baju luarnya.

               Nirnama tidak boleh mengelak kerana berada di tengah-tengah udara, hanya sempat memutarkan tubuh. Sebahagian pakaiannya dicarik kerambit tersebut. Mujur tindakannya pantas, jika tidak, yang tercarik adalah kulitnya.

               Dalam sesaat cuma, Cendana menendang Nirnama, membuatkan kedua-duanya terpisah saat mendarat.

               Nirnama dan Cendana sama-sama turun ke lantai di atas dua kaki masing-masing.

               Cendana terus mengalun-alunkan kerambit. Nyata, dia bukan srikandi biasa. Mahir dengan banyak jenis senjata.

               Nirnama memerhatikan pakaiannya yang rabak. Perlahan-lahan nafas panjang keluar dari rongga. Pandangan redup kemudian dilayarkan ke arah Cendana, yang jelas telah bersedia untuk serangan seterusnya.

               Seluruh dewan menjadi gegak-gempita dengan pertembungan tadi. Sesuatu yang begitu menakjubkan bagi mereka, melihat pertembungan sedemikian lincah lagi mendebarkan. Sangka mereka, Nirnama akan berjaya menghabisi Cendana sebentar tadi ternyata kesasar.

               “Ayuh. Kita tamatkan pertarungan ini.” Nirnama bersuara.

               Mata Cendana membesar. “Engkau mahu mengalah?”

               “Aku mahu mengalahkan engkau, Cik Cendana.” Nirnama mengangkat tangan. Sebelah tangan rapat ke dada, sebelah lagi terjulur menjauh.

               Cendana tertawa. “Hari ini aku akan membuktikan bahawa perempuan lebih perkasa!”

Dia yakin dapat menumbangkan Nirnama berdasarkan pertembungan mereka sepanjang tadi. Pergerakan Nirnama baginya tidak cukup pantas. Nirnama juga dilihat tidak sempat hendak menyerang balas, kerana itu terpaksa bertahan sahaja. Justeru, dia mahu menggunakan kelebihannya untuk menumbangkan Nirnama.

               “Aku tidak akan berbelas kasihan!”

               Cendana memecut. Dia berdesup hilang dari tempatnya, menjemput jeritan semua. Mata Nadim yang setia memerhati dengan teliti semenjak tadi terbelalak serta merta.

               Cendana benar-benar hilang daripada pandangan semua!

               Namun, Nirnama kekal berdiri dalam bersiaga.

               Tanpa disangka-sangka, Cendana muncul di belakangnya. Sebelah tangan sudah mahu mencapai leher Nirnama dari hadapan, siap dengan kerambit untuk menghabiskan hayat lelaki berparut itu.

               Darah memercik ke udara, sebelum mencemari lantai pentas.

               Seluruh dewan tergamam.

               “Tamat sudah sebuah kisah yang masyhur!”

Cendana ketawa. Dia dapat merasakan yang kerambit itu telah menembusi tubuh Nirnama. Pendekar berparut di hadapannya juga membisu, pastinya tidak sempat berbuat apa-apa.

               “Hari ini aku telah membukti …”

Bicara Cendana terhenti saat dia merasakan tangan kanannya dipegang kuat. Matanya terbelalak. Dia dapat melihat telapak tangan Nirnama yang dibasahi darah, sedang memegang kejap tangan kanannya itu.

Kerambit tadi sekadar menembusi telapak tangan Nirnama!

               “Giliran aku, Cik Cendana.”

               Belum sempat Cendana bersuara, seluruh alam seakan berputar. Tidak sempat dia menjerit, belakang tubuhnya sudah terbanting di atas lantai. Daripada berada di belakang Nirnama, dia tersadai di hadapan lelaki berparut itu. Sakitnya bukan kepalang. Nirnama tidak membantingnya begitu sahaja. Ada tenaga luar biasa disalurkan oleh lelaki itu, menambah kuasa serangannya.

               Seluruh tulang Cendana bagai bergegar.

               Namun, Cendana tidak cepat mati akal. Naluri kependekarannya belum padam. Dia cepat-cepat berguling agar tidak menjadi mangsa serangan Nirnama yang seterusnya. Segala tenaga dikerah untuk melakukan hal tersebut dengan tangkas.

               Malang, belum sempat dia bergerak, Nirnama sudah berada di atasnya.

               Segera Cendana melepaskan tendangan. Nirnama tangkas mematahkan serangan itu dengan memijak kaki Cendana. Sakitnya tidak tergambar. Cendana menjerit sekuat hati. Dia menggerakkan tangan, menyeluk baju luarnya. Dia masih ada senjata tersembunyi. Namun, kepantasannya tidak mendahului Nirnama yang sudah menyepak tangannya itu.

               Ketika ini, Nirnama mengepal dua penumbuk.

               Entah mengapa, Cendana dapat merasakan segala kekuatan Nirnama bagai terkumpul di dalam dua penumbuk tersebut. Dia perlu melepaskan diri jika tidak mahu menjadi mangsa.

               Cendana meludah lima batang jarum yang sentiasa disembunyikan di dalam mulutnya. Namun, belum pun sempat jarum-jarum itu bergerak jauh, Nirnama telah melepaskan tumbukan yang tidak terkira banyaknya dalam masa yang teramat sebentar.

               Mata Cendana terbelalak.

               Lima batang jarum tadi hilang entah ke mana. Manakala tubuhnya terketar-ketar bagai diserang kedinginan luar biasa hingga ke sum-sum. Keringat membasahi wajah dan seluruh tubuh, bagai dia dipanah terik mentari.

               Sungguhpun begitu, tidak kelihatan sebarang kecederaan pada tubuhnya kerana tiada satu pun tumbukan Nirnama yang menyentuh jasad Cendana. Pun begitu, Cendana dapat membayangkan bagaimana sekiranya setiap tumbukan itu menyentuh tubuhnya. Dia pasti tidak lagi bernyawa.

               Begitu sekali kehebatan Nirnama yang terpendam.

               Seluruh dewan senyap tidak berbicara.

               Nirnama sedang menatap tepat ke wajahnya. Redup sahaja pandangan lelaki berparut itu.

               “Cukup setakat ini, Cik Cendana?” Berdesir suara lelaki berparut itu.

               Cendana melarikan pandangannya. Ada segan dan malu menyusup ke dalam jiwa. Perlahan-lahan dia mengangguk.

               Nirnama pun menyisih. Bergerak menjauhi tubuh Cendana.

               Kendatipun begitu, Cendana masih gagal untuk bergerak. Tubuhnya bagai disihir. Dia terlentang begitu sahaja di atas pentas. Dia cuba menggerakkan tubuh, tetapi tidak mampu. Perlahan-lahan kepalanya bergerak, cuba memandang sekeliling.

Seluruh dewan masih membisu.

               Tidak lama kemudian, barulah Cendana perasan keadaan pentas di sekitarnya.

               Merekah besar dan melekuk seribu.

               Apakah ini hasil serangan Nirnama sebentar tadi? Bagaimana jika tumbukan-tumbukan itu benar-benar menyentuh tubuhnya?

               Bukan sekadar perasaannya sebentar tadi. Dia benar-benar akan dihabisi.

               “Tidak hairanlah namanya begitu masyhur. Dia benar-benar mengatasi jangkaan kita. Itulah dia, tuan-tuan dan puan-puan yang mulia, Nirnama!” Suara Tanggang bergema, memecahkan kesepian dewan.

               Barulah seluruh dewan kembali bergegar bagai mahu runtuh dengan jeritan dan laungan penonton.

Nadim dilihat naik ke pentas lalu merangkul Nirnama.

               Cendana sekadar mampu melepaskan nafas dari rongga. Tepukan gemuruh dan sorak-sorai itu bagai menenggelamkan dirinya. Perlahan-lahan air matanya mengalir. Dia tidak pernah merasa selemah ini.

               Ternyata apa yang sering diungkapkan oleh orang ramai bukan sekadar cerita. Jauh beza antara kekuatannya dan Nirnama. Sungguh berani dia mencabar pendekar tanpa nama itu. Dia merasakan dirinya bahan jenaka semata.

               Tiba-tiba, dia terasa pipinya ditekap sesuatu.

Nirnama sedang melutut di sisinya.

Matanya membulat. Wajahnya terasa hangat. Lelaki berparut itu sedang menekapkan lipatan kain, menyeka air matanya.

               “Tiada apa perlu ditangisi. Setiap kita ada peranan berbeza. Kita wajar melengkapi, bukan saling menandingi.”

               Jiwa Cendana bagaikan dibelai bayu bersalju. Matanya tambah berkaca. Sedan mulai kedengaran dari rongga. Perlahan-lahan dia mengangguk.

               “Terima kasih!”