Gelombang Baru – Prolog

Panas. Matahari bersinar garang. Awan sedikit. Namun, angin yang menerobos masuk melalui tingkap teksi membuatkan suasana menjadi sedikit nyaman. Ditambah pula dengan panorama bendang yang menghijau, sedikit mengurangkan tekanan yang diakibatkan oleh cuaca. Dia jadi senang hati.

Nampaknya, tidak banyak perkara yang berubah di negeri ini. Mungkin kedai-kedai makan sudah bertambah banyak, dan jalan raya pula semakin baik.

              “Encik datang hendak bekerja di sini?”

Satu pertanyaan membuatkan dia tersedar daripada lamunan. Pemandu teksi di sebelahnya diberikan senyuman. Anggukan menggantikan jawapan.

              “Oh, mengajar di MATRI ya?” Pemandu teksi bertanya lagi.

              Anggukan sekali lagi menjadi jawapan.

MATRI. Nama itu adalah singkatan kepada Ma’had At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah. Sebuah sekolah agama yang terletak di Perkampungan Tunjong, Beseri, Perlis. Sekolah itu berada di kawasan Balai Baru, berdekatan pula dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Sulaiman dan Sekolah Rendah Sri Tunjong. Sekolah ini bersebelahan Taman Perumahan Melati Indah.

              “Patutlah hendak ke situ. Minggu depan sekolah buka, kan?” Pemandu teksi tersenyum.

              Dia mengangguk lagi. lebih senang untuk berdiam. Banyak perkara singgah di ingatan sebaik sahaja menjejakkan diri ke tanah utara ni. Banyak kenangan …

              “Mengajar apa di situ?”

              “Mengajar PJ, pak cik.” Suaranya sederhana apabila menjawab.

              “Oh, Pendidikan Jasmani?”

              Dia menggeleng. “Pendidikan Jiwa.” Senyuman segaris menghiasi bibir. 

              Pemandu teksi sempat mengerling kepadanya, sebelum menumpukan semula perhatian ke hadapan sambil ketawa.

 “Tak sangka, encik nampak pendiam, tapi pandai buat lawak.”

              Dia sendiri ketawa kecil. “ Insya-Allah, saya akan mengajar Bahasa Arab dan Hafazan al-Quran.  Saya juga akan jadi warden. Jadi, samalah dengan pendidikan jiwa. Mendidik jiwa generasi hadapan, untuk terus berdiri di atas pelantar Islam. Saya tidak bergurau pun sebenarnya, pak cik.”

              Pemandu teksi mengangguk-angguk. “Oh, baguslah. Jadi encik ini ustaz-lah ya?”

               “Tapi tidak payahlah panggil ustaz, segan saya.”

              Pemandu teksi ketawa kecil. “ Apa hendak segan? Ustaz-ustaz sekolah itu memang terkenal. Ustaz Dahlan, Ustaz Salihin, Ustaz Abdul Karim, Ustaz Abdul Hadi, Ustaz Abdoh. Ha, siapa tak kenal mereka? Semua ustaz di sekolah itu terkenal di seluruh negeri. Encik beruntung sebab dapat kerja di sana. Sekolah itu boleh dikatakan sebagai sekolah terbaik di negeri ini.” Pujian melangit, panjang dan terus- menerus.

              Dia sekadar tersenyum.

              Suasana di dalam teksi menjadi sepi. Dia yang sememangnya dari awal kurang berbicara, kekal diam. Pemandu teksi pun senyap tanpa suara, mungkin sudah kehabisan idea, atau hendak menumpukan perhatian pada pemanduannya.

              Perlahan-lahan dia kembali menebarkan pandangan ke luar. Menikmati panorama menghijau. Bukit Chuping menggamit pandangan.

              Selawat ke atas Nabi terpacul pada bibir.

              “Macam pulang ke kampung sendiri.” Ayat itu mengekori.

              “Apa dia?” Pemandu teksi itu mencelah.

              “Ah, tidak ada apa-apa, pak cik.” Dia terus tersenyum sendiri.

              Tidak lama kemudian, teksi itu melepasi Jalan Santan lalu membelok ke kanan, memasuki jalan besar. Selepas itu, membelok ke kiri, memasuki sebuah taman perumahan. ‘Taman Melati Indah’, nama yang tertulis pada sebuah papan tanda biru di sebelah kedai usang kelihatan. Teksi meluncur dengan kelajuan yang perlahan di tengah-tengah taman perumahan.

              Sampai di hujung jalan, teksi membelok sekali lagi ke kiri.

              Ketika ini, senyumannya melebar.

              Sebuah sekolah, tersergam indah di hadapan mata.

              Teksi perlahan-lahan memasuki kawasan sekolah tersebut.

              “Sekolah ini kawasannya besar, dalam kampung.” Pemandu teksi memberitahu.

Dia hanya mengangguk sambil menebarkan pandangan ke kawasan sekeliling. Sekolah itu kelihatan sunyi. Tidak kelihatan sesiapa di situ.

              “Hendak saya turunkan di mana?”

              “Asrama putera.” Pendek dia menjawab.

Matanya tidak berkelip memerhatikan keadaan sekolah. Sebaik sahaja teksi itu memasuki kawasan sekolah tadi, mereka melalui sebuah bangunan dua tingkat di sebelah kiri, manakala di sebelah kanan adalah rumah sampah. Apabila mereka ke hadapan sedikit, dia dapat melihat ada bangunan empat tingkat di belakang bangunan dua tingkat itu. Di kawasan dua bangunan itu juga terdapat sebuah bangunan, yang tertulis pada dindingnya, ‘Taski Ummu Aiman’.

              “Asrama putera yang atas bukit atau yang di sini?”

              Dia jadi teringat akan kewujudan dua buah asrama putera yang berlainan di sini, lantas tersengih. “Di sini, pak cik.” Sambil menunjuk ke kanan.

              Sebelum sampai ke Taski Ummu Aiman, teksi terlebih dahulu membelok ke kanan. Sebuah bangunan tiga tingkat melekat pada tubir mata. Tertulis pada dinding tepinya, ‘ Asrama Putera’.

Di sebelah kanan mereka adalah sebuah padang kecil yang bersebelahan rumah sampah. Di sebelah padang itu pula terdapat sebuah padang yang besar, terletak betul-betul di belakang bangunan asrama. Di sebelah kiri mereka pula adalah sebuah lagi padang, dan terdapat sebuah pentas di hujung padang itu. Berdekatan dengan pentas, terdapat sebuah bangunan empat tingkat. Dari jalan itu juga, boleh dilihat beberapa lagi bangunan.

              “Ha, bangunan besar warna coklat itu, orang sini panggil musolla. Surau tempat budak-budak ini solat. Setiap petang Ahad, akan ada ceramah. Orang-orang luar pun boleh datang. Pak cik kalau tak sibuk, suka dengar ceramah mingguan itu. Tapi waktu cuti begini, ceramah tak adalah.”

              Dia mengangguk-angguk.

              Teksi itu berhenti betul-betul di hadapan bangunan asrama putera.

              “Terima kasih, pak cik. Berapa ringgit?”

“RM10 saja, ustaz.” Pemandu teksi itu mengukir senyuman manis.

Dia membalas senyuman itu sambil membuka dompet. Kemudian, not RM10 dihulurkan kepada pemandu teksi itu.

              “Mengajar rajin-rajin, ustaz. Didik anak bangsa kita jadi insan berguna.” Pemandu teksi itu mengangkat tangan.

              Dia senyum lagi sambil mengangguk,  memandang lelaki itu mengundurkan teksi, kemudian menghantar kenderaan itu pergi dengan pandangan.

              Suasana menjadi sepi. Deruan angin sahaja yang menemani.

              “Alhamdulillah.” Kalimah itu terpacul.

Hatinya diselimuti kesyukuran kerana dapat menjejakkan kaki di sini. Pandangan ditebarkan ke sekeliling, bermula dari arah kiri. Dia dapat melihat bangunan dua tingkat yang dilaluinya awal tadi, bersama bangunan empat tingkat di belakangnya, taski, rumah sampah dan padang kecil, padang yang mempunyai pentas dan bangunan empat tingkat di sebelahnya.

Kemudian, pandangannya merayap ke arah sebuah rumah dua tingkat di hadapan. Rumah penduduk Perkampungan Tunjong. Uniknya MATRI ini, sekolah ini terletak di tengah-tengah kampung. Jadi, terdapat beberapa buah rumah penduduk kampung yang berada di dalam kawasan sekolah. Rata-rata mereka merupakan rakan kepada pengasas sekolah ini, dan sebahagian mereka bertugas sebagai guru di sini.

Matanya terus memandang ke arah kanan. Dia dapat melihat sebuah padang sederhana besar serta sebuah bangunan buruk yang kelihatan seperti tempat meletak barang-barang terpakai, besi-besi katil, batang-batang kayu dan pelbagai lagi jenis barang.

Pandangannya berhenti pada sebuah tempat. Tempat itu terletak betul-betul di hadapan bangunan buruk tersebut.

Gelanggang bola tampar.

“Lama betul perhati sekeliling. Encik ini ada hajat apa-apa?” Satu suara menyapa dari belakang.

Mendengar suara itu, senyumannya melebar. Suara yang telah lama tidak didengari secara langsung. Segera dia berpaling dengan senyuman yang tidak lekang pada bibir.

Di hadapannya, berdiri seorang lelaki bertubuh sederhana besar, dengan ketinggian lebih kurang dengan tinggi tubuhnya.

Mata mereka berdua bertentang.

“Apa khabar, ‘Ustaz’ Hussam ar-Rahman.” Lembut si penyapa bersuara sambil mengukir senyuman manis. Kedua-dua belah tangan didepangkan separuh.

Melihat insan itu, andai dia boleh melebarkan lagi senyuman, pasti dia akan melakukannya. Sekiranya Islam membenarkan dia sujud kepada manusia, dia akan sujud kepada lelaki itu sebagai tanda penghormatan.

Namun, dia sendiri tahu, lelaki di hadapannya itu tidak akan mahu disanjung sedemikian rupa. Bahkan, lelaki tersebut lebih menganggap dirinya sebagai sahabat berbanding gelaran yang lain.

“Ustaz Mahadzir.” Terus dia meluru dan mendakap lelaki itu dengan erat.

Mereka berdua sama-sama ketawa.

Belakang tubuhnya ditepuk-tepuk dan digosok-gosok.

Tanda kasih sayang dan ukhuwwah yang erat, bersulam kegembiraan yang tidak terungkap.