Prolog – Algojo Bangkit

“Kadang jauh kita berlari,
tetap masa lalu mencapai diri.”

 

Dia bergerak penuh hati-hati. Langkahannya cukup terjaga, tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Namun, suasana di Nobu Tech pula sebaliknya. Bingit dengan pertarungan. Bunyi dentingan berkali-kali bergema diselangi jeritan panjang dan pendek.

              Siapa sangka, pada malam dia mahu melunaskan misinya, ada pihak lain yang turut berkonfrontasi dengan Mitsuhide, antara organisasi dunia gelap yang berpengaruh di Malaysia ini.

Dia tidak kisah. Malah, kehadiran pihak yang mempunyai niat yang sama akan memudahkan lagi urusannya. Dia juga seboleh-bolehnya tidak mahu identitinya diketahui. Kerana itu, dia menutup sebahagian wajah dengan kain.

              Langkahannya terhenti di sebuah koridor. Dia dapat melihat sekitar lima orang pengawal bersenjata api di hujung koridor tersebut. Nampaknya, dia sedang menuju ke tempat yang betul.

              Katana yang tergantung kemas pada pinggang dipegangnya. Hulu katana itu bergari. Dia masih berkira-kira sama ada akan menghunuskan senjatanya itu malam ini.

              Apakah dia akan kembali kepada kehidupan yang sudah teramat lama ditinggalkannya?

              Jiwanya berkecamuk.

              Namun, dia perlu menyempurnakan urusan tersebut pada malam ini. Jika tidak, nyawa keluarganya akan terancam. Dia tidak mahu anak dan isterinya dilibatkan dalam urusan dunia gelap ini. Dia tidak mahu menjadi insan yang mengheret orang-orang yang dicintainya ke dalam konflik yang tidak akan mampu ditanggung sesiapa.

              Dia perlu membuat keputusan. Nafas ditariknya dalam-dalam. Selepas beberapa ketika, dilepaskannya. Panjang.

              Nekad.

              Dia terus memecut ke arah lima orang pengawal. Hayunan kakinya tidak mengeluarkan apa-apa bunyi. Para pengawal itu tidak menyedari kehadirannya melainkan apabila dia telah berada pada jarak yang dekat. Kelam-kabut mereka melepaskan tembakan.

              Dia mengangkat katana. Peluru yang sepatutnya menjamah wajah, kini telah menguraikan gari yang memasung senjatanya itu. Buat pertama kali selepas lima belas tahun, bilah katana itu keluar daripada sarungnya.

              Dengan pergerakan yang amat pantas, tangan dua orang pengawal yang berada paling hampir, tercantas. Melayang ke udara dengan darah bersemburan. Dia tidak menanti, terus merapatkan diri pada tubuh mereka berdua yang masih belum mampu memberi reaksi terhadap apa yang sedang terjadi. Kedua-dua pengawal tersebut ditolak, menghalang tiga rakan lain daripada melepaskan tembakan dan melakukan serangan.

              Dia tidak membazirkan masa dan berkira-kira. Katana dilibasnya, membelah dua pengawal di hadapan dan merobek perut dua pengawal yang lain sebelum pedang itu ditujah, menembusi kepala pengawal terakhir. Mereka langsung tidak sempat untuk melakukan apa-apa.

              Darah memenuhi lantai dan mewarnai sebahagian pakaiannya.

              Bilah katana yang berlumuran darah kemudian itu ditenungnya.

              Sudah terlalu lama dia tidak berkeadaan sebegini. Dan dia jelas tidak gembira kerana terpaksa menempuh semula suasana seperti ini. Dahinya berkerut. Dadanya diamuk amarah. Geram kerana setelah dia menyangka kehidupannya jauh berubah, dia kembali ke titik asal.

              Hulu katana dipegangnya dengan lebih erat. Pintu besar di hadapan kini dipandang. Dia cuba menendang pintu tersebut, tetapi ternyata pintu itu terkunci rapat. Daripada tendangannya, dia dapat merasakan juga pintu tersebut agak tebal. Kalis senjata api dan letupan, mungkin.

              Tanpa membazirkan lebih masa, dia melibas katana beberapa kali ke pintu tersebut, sebelum ditendangnya sekali lagi. Kali ini, pintu itu pecah lalu membuka ruang untuk dia melangkah masuk.

              Semua yang berada di dalam bilik itu terpinga-pinga.

              Sama ada terpinga-pinga kerana terkejut dengan tindakannya memusnahkan pintu, atau kerana terkejut dengan kehadirannya, dia tidak pasti.

              “Samurai Melayu?”

Kelihatan seorang lelaki, wajahnya bertatu naga, sedang berada di tengah-tengah, dikelilingi sepuluh orang berpakaian ninja dengan senjata yang pelbagai.

              Katana, tonfa, kusagirama, kodachi. Senjata-senjata itu kelihatan jelas pada tangan ninja-ninja tersebut. Dia sangat yakin, ninja-ninja di hadapannya ini turut dilengkapi kunai dan shuriken, dua senjata yang boleh dilontar dari jauh dengan pantas.

              Untuk mereka berada dekat dengan lelaki bertatu naga seperti sekarang, sudah pasti sepuluh orang ninja ini bukan calang-calang dalam organisasi Mitsuhide.

              Tetapi dia sedikit pun tidak gementar.

              “Shiryu.”

Dia menyebut nama lelaki dengan wajah bertatu naga itu. Seakan-akan ingin mengiyakan bahawa dialah orang yang disebut oleh Shiryu.

              “Apa yang engkau mahu?” Shiryu meninggikan suara. Lelaki itu nampak mula bersiaga. Ninja-ninja di sekeliling Shiryu mula menjauhi lelaki itu, melangkah berhati-hati secara senyap dan perlahan. Tetapi dia berjaya mengesani itu semua.

              “Aku mahu engkau berhenti menganggu aku dan keluargaku.”

              Shiryu mengerutkan dahi. “Mengapa engkau tidak menyahut arahan? Ryuken telah mengaktifkan engkau untuk misi yang besar di negara ini!”

              “Aku telah meninggalkan kehidupan itu.”

              Shiryu meludah. “Pengkhianat!”

              “Jangan paksa aku untuk menumpahkan lebih banyak darah pada malam ini, Shiryu!” Dia memberikan amaran. Bilik itu bergema dengan suaranya. Matanya ditajamkan.

              Shiryu sedikit terpempan. Ninja-ninja yang mengelilinginya pula segera melangkah ke hadapan seakan-akan hendak melindungi lelaki tersebut.

              “Engkau fikir engkau boleh menjadi orang yang suci? Engkau telah meragut ratusan nyawa sepanjang engkau berada di Jepun! Engkau algojo Ryuken yang terkenal! Engkau tidak boleh menjadi suci, malam ini menjadi bukti!” Shiryu mengangkat tangan, menunjuk ke luar.

              Dia menoleh sebentar kepada mayat yang bergelimpangan di muka pintu, bersama serpihan pintu yang bertaburan di atas lantai.

              “Tetapi jika engkau fikir engkau masih ada harapan, tidak mengapa.” Shiryu tersengih. “Engkau boleh mati dengan harapan engkau itu!”

              Shiryu menjatuhkan tangan.

              Tindakan Shiryu itu ibarat arahan untuk menamatkan nyawanya. Ninja-ninja yang mengelilingi mula menghunus senjata masing-masing dan menerkam ke arahnya. Katana yang sedia terhunus digerakkan lincah untuk mempertahankan diri.

              Telah lama dia meninggalkan semua ini. Tetapi dia tidak pernah berhenti berlatih. Stamina dan kekuatan tubuhnya masih terjaga. Dia ibarat raksasa yang tidur selama lebih sedekad.

              Kini, raksasa itu bangkit!

              Katana-nya merobek perut dua ninja berhampiran, sebelum senjata mereka sempat menjamah dirinya. Darah bersemburan. Tangan kirinya tangkas memanipulasi sarung katana untuk mempertahankan diri daripada serangan-serangan yang lain. Kemudian, dia menunduk untuk mengelak lontaran shuriken dan kunai, sebelum menyapu lantai dengan kakinya, menyebabkan tiga ninja jatuh tersungkur.

              Sarung katana dilibas sekuat hati ke halkum musuh-musuhnya itu, sebelum dia bangkit dalam keadaan melutut. Ketika ini, seorang ninja melontarkan gari panjang dengan pemberat pada penghujungnya, mengikat pergelangan tangannya yang memegang katana. Gari itu menegang, pergerakannya mahu dikawal.

              “Sekarang!” Ninja itu bersuara.

              Empat ninja akas menghampiri dengan senjata masing-masing, bersiaga untuk menamatkan nyawanya. Segera dia mempertahankan diri dengan sarung katana, sebelum mengerah sepenuh kudrat untuk melibas katana-nya.

              Dua ninja menjadi mangsa. Darah kembali bersemburan ke udara. Dua ninja lain berjaya mengelak pada saat akhir, manakala pemilik kusagirama yang cuba memasung tindakannya sudah tersungkur. Tanpa menanti, gari ditariknya sekuat hati, mendekatkan jarak ninja tersebut dengan dirinya sebelum nyawa ninja itu ditamatkan dengan katana miliknya. Kepala tertanggal dari tubuh. Darah terpancut naik.

              Darah itu tidak dibazirkan, terus ditamparnya dengan sarung katana, memercik ke arah dua lagi ninja yang kembali mara ke arahnya, menganggu langkahan mereka. Terus langkahannya dibuka, katana dilibas. Dua tubuh terbelah.

              Dia kemudian berpaling.

              Shiryu seakan tersentak apabila mata mereka bertembung.

              “Aku hanya menurut arahan!” Lelaki itu meninggikan suara.

              Dia melangkah setapak demi setapak mendekati Shiryu.

              “Kita dalam keadaan terdesak. Kerana itu engkau diaktifkan. Bukankah ini tujuannya mereka menghantar engkau ke Malaysia?”

              Belakang badan Shiryu sudah melekap pada cermin dua hala. Dia tidak lagi boleh melarikan diri.

              “Ryujin! Adakah engkau faham apa aku katakan ini?” Suaranya semakin meninggi.

              Dia kini sudah berada sekitar sedepa di hadapan Shiryu.

              Ryujin. Sungguh lama dia tidak mendengar nama tersebut diseru.

              Katana-nya diangkat. Hujung bilah pedang itu hampir menyentuh leher Shiryu.

              “Sekarang aku ialah Mus’ab.”

              “Mengapa engkau berubah? Bagaimana engkau boleh berubah?”

              “Bukan urusan engkau.”

              “Ryuken tidak akan melepaskan engkau. Engkau tahu itu, bukan?”

              “Kalian proksi terakhir mereka yang masih setia di Malaysia ini. Organisasi Hitam nampaknya telah mengkhianati kalian. Aku tidak fikir mereka akan sanggup menghantar Syaitan Bertujuh ke mari. Paling tidak, bukan dalam masa terdekat.”

              Wajah Shiryu jelas mempamerkan ketakutan.

              “Sekarang engkau boleh berambus!”

              Mus’ab menurunkan katana, bergerak selangkah ke hadapan sebelum kaki kanannya diangkat dan menendang Shiryu sekuat hati. Cermin di belakang Shiryu berderai, manakala Shiryu jatuh ke bawah. Mujur lantai aras bawah itu dipenuhi mayat-mayat yang bergelimpangan. Shiryu tidak terus dijemput kematian. Namun, dia tetap meraung kesakitan. Bunyi tulang patah kedengaran seiring jatuhnya tadi.

              Mus’ab memerhatikan keadaan aras bawah itu.

              Darah seolah-olah menggantikan lantai. Mayat para ninja tidak terkira banyaknya. Dahinya berkerut. Siapa yang mampu melakukan hal sedemikian rupa? Matanya terhenti pada sesosok tubuh.

Mata mereka bertembung seketika.

              Izrail. Bukan malaikat maut yang sebenar. Mengikut maklumat yang diperolehinya, lelaki itu merupakan pembunuh profesional daripada Organisasi Hitam. Terkenal kerana telah membunuh ratusan nyawa.

              Dia menarik nafas. Melihat Shiryu sedang mengengsot untuk menyelamatkan diri sebelum matanya kembali kepada lelaki yang bergelar Izrail itu.

              Dia yakin lelaki itu akan menamatkan nyawa Shiryu.

              Mus’ab berpaling. Darah pada katana dinyahkannya dengan satu libasan, sebelum pedang itu dimasukkan semula ke dalam sarungnya.

              Tempat berdarah itu ditinggalkan.

              Hatinya berdoa agar semuanya selesai.

              “Ya Allah, ampunkanlah aku. Hambamu ini telah kembali berdosa, namun hanya kerana dia terpaksa, ya Rabb.”

***

“Malaysia.”

Seorang lelaki, rambutnya bersisir kemas, berkot serba hitam, sedang berdiri menghadap peta yang ditayangkan di hadapannya.

              “Negara yang banyak membawa masalah kepada operasi kita.”

Rakannya, seorang perempuan, rambutnya didandan seperti geisha. Pakaiannya elegan dengan inspirasi kimono. Tangannya yang mulus sedang bermain-main dengan sebatang kunai.

              Lelaki itu berpaling membelakangi skrin besar. Di hadapannya kini terdapat dua orang manusia.

              “Adakah kita telah mendapat arahan terbaru daripada Koro?”

Seorang lelaki, berambut pendek, bertubuh besar, tinggi, sasa, mengenakan pakaian yang mendedahkan lengan. Berhampirannya tersandar sebatang nagitana dengan ukiran naga pada pangkal bilahnya.

Dia mengangguk. “Ryujin telah diaktifkan sekitar setahun yang lalu.”

              Kedua-dua rakannya itu membesarkan mata.

              “Jadi, adakah dia akan kembali ke sini?”

              “Tidak pasti. Belum ada apa-apa khabar berita setakat ini.”

              Lelaki bertubuh sasa mendengus. “Adakah keadaan telah terlalu mendesak sehingga dia terpaksa diaktifkan?”

              “Algojo terdahsyat dalam sejarah organisasi kita.” Rakan perempuan di hadapannya bersuara.

              “Dahulu.” Dia mencelah. “Sekarang, aku yakin, kita bertujuh sudah jauh mengatasinya.”

              Kedua-dua rakannya itu berpandangan sesama sendiri. Kemudian mengangguk.

              “Jadi, apa tindakan kita?”

              “Selepas setahun tanpa apa-apa progres, Koro meminta kita menjejakinya. Aku telah menggerakkan kumpulan operatif rahsia, untuk mencuri data yang dikumpul Inteligen Kerajaan Malaysia sempena tragedi di Nobu Tech. Memandangkan Ryujin diaktifkan sekitar waktu itu. Datanya mungkin terdapat bersama data-data yang ada pada Organisasi Mitsuhide, yang kini telah dirampas Inteligen …”

Bicaranya tidak berjaya disempurnakan. Kata-katanya dihentikan oleh ketukan pada pintu.

              “Masuk.”

              Seorang ninja masuk ke tempat itu dengan segera. Jelas, dia membawa berita yang menggemparkan. Tanpa bicara, ninja tersebut terus melutut, dan kedua-dua tangannya menatang sebatang pena pemacu. Segera dia mendapatkan alat tersebut, sebelum mencucuknya ke komputer.

              Paparan peta berganti dengan video.

              Kelibat seorang lelaki memecah masuk ke bilik panik milik Shiryu dirakam dengan jelas. Semua melihat dengan jelas bagaimana ninja-ninja Shiryu tumbang. Video itu berakhir dengan tubuh Shiryu ditendang keluar dari bilik panik tersebut.

              “Rakaman ini baru diperolehi Operatif Rahsia kita di Malaysia beberapa hari lepas.” Ninja itu dilaporkan.

              “Selepas hampir setahun Shiryu mati?” Rakan perempuannya seperti tidak percaya.

              “Katana itu. Muramasa.” Lelaki bertubuh sasa menunjuk kepada skrin. “Walaupun wajahnya tersembunyi di sebalik kain, hanya seorang manusia di atas muka bumi ini menggunakan Muramasa.”

              Rakan perempuannya mengerutkan dahi.

              Dia tersengih. “Samurai Melayu.”

              “Nampaknya kita tidak perlu menunggu jawapan. Ryujin telah memberikannya setahun yang lepas.” Rakan perempuannya bersuara, sinis.

              Dia memandang kepada ninja di hadapannya yang masih setia menanti arahan seterusnya.

              “Kumpulkan empat lagi daripada kalangan kami.”

Ninja tersebut mengangguk dan terus berpaling, kemudian meluru keluar dengan pantas.

Dia memandang dua rakannya.

“Nampaknya kita bertujuh ada tugas yang sangat besar.”

              Sengihannya melebar.

***

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah …” Kepala ditalakan ke kanan.

              “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.” Kepala ditalakan ke kiri.

              Kemudian, tangan kanan meraup wajah. Nafas dihela, seakan-akan melepaskan sesuatu yang berat, yang selama ini terbuku dalam jiwa.

              Dua tangan kemudian diangkat setara di hadapan wajahnya. Dia sedikit menunduk.

              “Ya Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Maha Mendengar, ampunilah dosa-dosaku. Yang silam dan yang akan datang. Kasihanilah aku. Sesungguhnya aku bertaubat dan memohon keampunan daripada-Mu. Aku telah berusaha dan berubah. Ampunkanlah aku, ya Allah. Ampunkanlah aku. Selamatkanlah keluargaku daripada malapetaka, bencana dan ancaman. Janganlah Engkau menghukum keluargaku atas dosa-dosaku yang silam.”

              Air mata mengalir membasahi pipi.

              Selepas mengaminkan doa itu, wajahnya sekali lagi  diraup. Kini, dengan kedua-dua telapak tangan, sebelum dia menoleh ke arah pintu.

              Pintu itu tidak lama kemudian terbuka.

              “Abang …” Isterinya muncul dalam keadaan mengeliat, kemudian menahan mulut daripada menguap. “Rajin abang qiamullail kebelakangan ini.”

Isterinya melempar senyuman, sambil kekal di muka pintu.

              Mus’ab hanya tersengih.

              “Ini sudah kali ke berapa abang terjaga tengah-tengah pagi macam ini?”

Isterinya mendekati. Tubuhnya didakap erat. Kepala isterinya melentok pada bahu. Dia tidak segera menjawab soalan isterinya itu.

              “Abang ada masalah apa sebenarnya?”

              “Abang sering bermimpi …”

              Isterinya menanti dia menyempurnakan bicara. Mata mereka berdua bertembung.

              “Sayang dan anak kita, mati dibunuh dengan kejam sekali.”

              Mata isterinya terbeliak. “Abang, kenapa mimpi macam itu?”

              “Sejarah silam yang hitam sedang mengejar hidup abang kembali.”

              “Maksud abang?” Isterinya terpinga-pinga.

              Ya, si isteri tidak mengetahui siapa dirinya. Si isteri hanya mengenalinya sebagai Mus’ab bin Umayr. Si isteri tidak mengenalinya sebagai Ryujin, seorang hitokiri. Algojo untuk sebuah organisasi yang sangat berpengaruh di timur, Ryuken.

              “Sayang pasti tidak lagi mencintai abang sekiranya sayang mengetahui perkara yang sebenar.”

              Dia menundukkan kepala. Imbasan sejarah silamnya kembali menerjah. Kehidupanya sebagai algojo seakan-akan menyinga untuk kembali. Kejadian sekitar setahun lepas, tatkala dia menerjah Organisasi Mitsuhide, membuatkan sejarah silamnya 15 tahun yang lalu, terasa baru berlaku semalam.

              Dia merasakan telapak tangannya panas. Tangannya telah bersatu dengan tangan si isteri. Wajah si isteri membuatkan debaran dadanya surut.

              “Apa yang berlaku dahulu, telah berlaku. Jika masa lalu abang menjadi perkara besar bagi saya, sudah semestinya itu yang saya besar-besarkan sebelum menerima pinangan abang lima tahun lalu.”

              Si isteri mendakapnya dengan lebih erat. Seakan-akan cuba memberikannya ketenangan.

              Dia menghela nafas panjang. Pada momen sebeginilah dia sangat bersyukur kepada Allah SWT. Namun, konflik yang menjengah hidupnya kini, tidak dinafikan membuatkan dia mempersoalkan, mengapa Allah SWT tidak mahu melepaskannya daripada sejarah silamnya yang hitam itu.

              Dia telah berubah, dia telah meninggalkan kehidupan yang kotor, memutuskan hubungan dengan dunia gelap. Tetapi mengapa seakan-akan kehidupan itu kembali menghantui hidupnya? Mengapa Allah SWT seakan mahu membiarkannya terseret kembali ke dalam kegelapan itu?

              Persoalan-persoalan tersebut menghentak kalbu.

              Dia merenggangkan pelukan si isteri . Tangan isterinya dipegang erat dengan kedua-dua belah tangan. Mata isterinya dipandang tepat.

              “Mungkin telah tiba masanya abang menceritakan kepada sayang, akan masa silam abang.”

              Isterinya tidak bersuara. Sekadar membiarkan pandangan mereka bertaut, seakan-akan menanti Mus’ab menyempurnakan bicara.

              “Dahulu, abang terlibat dengan sebuah organisasi bernama Ryuken, di Jepun …”

              Malam itu menjadi antara malam paling panjang dalam hidupnya.

***

Seorang pemuda berdiri di atas sebuah hotel. Menebarkan pandangannya ke arah Kotaraya Angsana. Dia mengenakan baju sejuk yang sedikit labuh. Kedua-dua belah tangannya diseluk ke dalam saku pakaian tersebut. Angin yang menderu sekali-sekala membuatkan pakaiannya berkibar.

              “Assalamu’alaikum.”

Sapaan dari belakang itu membuatkan dia berpaling. Senyuman manis terukir. Segera dia menjawab salam tersebut dan membuka langkahan mendekati si pemilik suara.

              Seorang lelaki. Rambut tersisir kemas belah tepi. Berusia hampir sedekad lebih tua berbanding dirinya. Berpakaian kasual, lengan pendek, seluar sukan.

              Mereka berjabat tangan, kemudian berpelukan. Pipi berlaga.

              “Bakri, apa khabar?” Lelaki itu bertanya kepadanya.

              “Baik-baik sahaja. Engkau apa khabar pula, Faisal?” Nama lelaki itu disebut mesra. Bahu lelaki itu ditepuk lembut.

              Lelaki itu mengukir senyuman lebar lagi manis. “Alhamdulillah.”

              “Sudah check in?”

              Faisal mengangguk. Mereka sama-sama melangkah ke tebing bangunan. Sama-sama menebarkan pandangan kepada panorama malam Kotaraya Angsana. Menara Keimanan tersergam megah, seakan-akan menguar-uarkan kemakmuran yang sedang dikecapi rakyat Malaysia.

              “Bakri, aku sudah meninggalkan kehidupan sebegini. Mengapa masih libatkan aku?”

              Bakri tersengih. Bahu Faisal ditepuk lagi.

“Bertenang, sahabat. Senjata engkau sudah aku ubah suai. Semuanya takkan membawa maut. Tetapi kesakitannya akan pastikan sasaran-sasaranmu pengsan. Engkau takkan membunuh sesiapa. Selagi engkau tak tembak ke lubang mata, lubang hidung, halkum dan kawasan-kawasan lemah yang lain pada tubuh badan manusia.” Bakri menjawab dengan nada seloroh.

              Faisal tersengih dan menggeleng. “Tetapi ini sedikit sebanyak membuatkan aku dekat dengan kehidupan silamku, yang sungguh-sungguh cuba aku tinggalkan.”

              Bakri menggeleng. “Engkau punya kemahiran dan pengetahuan yang sangat penting untuk dimanfaatkan negara kita. Mengapa perlu dinafikan kisah silam itu? Ia tak mampu diubah. Sebaiknya dimanfaatkan untuk jalan kebenaran.”

              Faisal menghela nafas panjang. Bakri dapat merasakan yang lelaki itu masih terasa berat untuk menggalas tanggungjawab yang ditawarkan.

              “Engkau hadir, bukankah itu bermakna engkau mahu memberikan ini semua peluang?”

              Faisal tersengih. “Isteriku yang galakkan aku terima misi ini.”

              “Ya, aku baru teringat yang isteri engkau juga dalam lapangan ini. Maka apa yang perlu digusarkan, sahabat?”

              “Aku risau aku akan kembali seperti dahulu.”

              “Insya-Allah, aku ada.” Bakri meletakkan tangan kirinya di atas bahu kanan Faisal. Bahu itu dicengkam sedikit kuat, seakan-akan mahu Faisal benar-benar merasai kewujudannya.

              Faisal tersenyum. “Jadi kita mahu memburu seorang Samurai?”

              “Tetapi dia berbangsa Melayu.”

              “Huh, menarik.”

              “Engkau pernah bertemu dengannya.” Bakri menyeluk saku seluar, mengeluarkan telefon pintar dan menunjukkan satu paparan video kepada Faisal. “Setahun sudah berlalu.”

Faisal melihat video tersebut. Seorang lelaki menggunakan katana menyerbu masuk ke bilik panik Shiryu, ketua kepada organisasi dunia gelap bernama Mitsuhide.

              Dia amat arif dengan suasana dalam video itu. Kerana tatkala samurai itu sibuk di dalam bilik panik milik Shiryu, dia pula sedang sibuk bertarung dengan ninja-ninja pada aras bawah. Apabila dia berjaya menumbangkan kesemuanya, Shiryu telah jatuh dari aras atas.

              Ketika inilah matanya bertembung dengan mata lelaki ber-katana itu.

              “Mengapa kita perlu mencarinya sekarang? Adakah dia ancaman kepada kita?”

Bakri mengungkit bahu. “Tak pasti. Ini kali pertama dan kali terakhir dia memunculkan dirinya. Beberapa bulan lepas, selepas engkau dikeluarkan dari penjara, Direktor Amiri memberikan tugasan kepadaku untuk mencari lelaki ini. Oleh kerana aku ada kehidupan aku, sebagai pelajar, aku tak meletakkan ini sebagai keutamaan, ditambah tiadanya gesaan daripada pihak Inteligen Kerajaan Malaysia.”

              “Jadi?”

              “Baru-baru ini Inteligen Kerajaan Malaysia mendapati beberapa rekod berkenaan Organisasi Mitsuhide telah disalin secara senyap-senyap. Pangkalan data Inteligen Kerajaan Malaysia berjaya dicerobohi buat beberapa ketika. Kita gagal menangkap mereka yang bertanggungjawab. Mereka tak dapat menyalin banyak rekod, kerana pertahanan yang amat ketat. Namun, salah satu rekod yang mereka salin ialah video yang aku paparkan tadi.”

              Faisal mengerutkan dahi. “Jadi, video itu dianggap penting, kerana itu mereka memberikan prioriti kepadanya?”

              Bakri mengangguk. “Inteligen Kerajaan Malaysia syak lelaki ini bakal menjadi buruan.”

              “Oleh?”

              “Jangkaan setakat ini, Ryuken.”

              Faisal menghela nafas. “Kerana Mitsuhide merupakan wakil mereka di Malaysia.”

Bakri mengangguk, membenarkan agakan Faisal.

              “Ini bukan perkara kecil, Bakri.”

              “Kerana itu aku ajak engkau bersama dalam misi ini.”

              “Jadi kita bermula di Kotaraya Angsana? Mengapa tidak di Kotaraya Anggerik, di Skudai atau negeri Johor seluruhnya? Bukankah lelaki ini muncul di Nobu Tech?”

              “Aku seorang Pemburu, Faisal. Jangan pandang rendah.” Bakri berdehem, cuba berjenaka.

              Faisal tertawa. Menggeleng. Ada-ada sahaja.

              “Aku sudah kembali ke Nobu Tech dan memerhati secara teliti bilik panik Shiryu. Dari sana, aku telah ikuti jejak langkah yang ditinggalkannya. Menggunakan teknologi hari ini, kamera di merata tempat, juga satelit milik Inteligen Kerajaan Malaysia, aku berjaya memburunya sehingga ke Kotaraya Angsana. Namun, jejaknya hilang di kotaraya ini.”

              Faisal bertepuk tangan. Kagum. “Selepas bertemu dengannya, apa yang perlu kita lakukan?”

              Bakri menghela nafas. “Tengok keadaan. Sekiranya dia menyambut kita dengan baik, kita akan menerimanya dengan baik, dan cuba membantunya. Sekiranya dia menentang, mungkin kita terpaksa membalas.”

              Faisal mengangguk. “Engkau fikir, Ryuken akan menghantar sesiapa untuk turun ke Malaysia mendapatkan lelaki ini?”

              “Aku berharap tidak. Tetapi firasatku merasakan ianya akan berlaku. Tidak lama lagi.”

              “Engkau takut dengan Ryuken?”

              “Kesatuan Pemburu dan Ryuken berusia teramat lama di atas muka bumi ini. Kedua-duanya bukan organisasi yang biasa. Sekadar pengetahuan aku, Kesatuan Pemburu sering bersaing dengan Ryuken.”

              “Engkau pernah menemui mana-mana operatif Ryuken?” Faisal tertarik.

              Bakri menggeleng. “Aku tak pernah bersama Kesatuan Pemburu. Arwah bapa yang sempat bergaul dengan mereka. Cukup aku nyatakan, arwah bapa sendiri tak cukup berani bertembung dengan Ryuken.”

              “Mengapa?”

              “Kerana selain namanya, dan mengetahui serba sedikit maklumat umum berkenaannya, tiada apa-apa yang diketahui berkenaan Ryuken. Kekuatan sebenar organisasi itu langsung tidak diketahui. Tetapi mereka berjaya menguasai Jepun dan membuatkan organisasi-organisasi gelap di rantau Asia ini tunduk kepada mereka. Bayangkan?”

              Mata Faisal membesar. “Tetapi engkau berjaya menumbangkan Kesatuan Pemburu, bukan?”

              “Hanya kerana arwah bapa pernah menjadi ahli Kesatuan Pemburu.”

              Mata mereka berdua bertembung.

              “Jadi engkau sekarang faham betapa pentingnya kita mendapatkan lelaki ini?”

              Faisal terangguk-angguk. Menyilang kedua-dua belah tangannya di atas dada.

              “Ini peluang pertama kita mendapatkan seseorang yang mungkin mempunyai kaitan rapat dengan Ryuken?”

              Bakri mengangguk, mengiyakan.

              “Untuk negara, misi ini penting.”