Bab 1 – Di Balik Gelap

Kejahatan bersembunyi di balik gelap,
kebaikan juga mungkin sama,
panduan diperlukan untuk pengembara,
persoalan: panduan apa yang mahu diguna?

“Pelik.”

Seorang lelaki sederhana tinggi, mengerutkan dahi sebelum menggaru kepala yang tidak gatal, sambil tangan kanan mengemaskan fail-fail di atas meja.

      “Tak ada pun.” Dia mendengus. Kini mencekak pinggang. Pandangannya merayap ke seluruh bilik pejabat. Dari meja, ke almari berdekatan. Sempat matanya melihat suasana kotaraya apabila pandangannya membawa ke tingkap.

Malam tidak bermakna sepi bagi penghuni kotaraya paling maju di Malaysia ini. Lampu bergemalapan, dari bangunan dan kenderaan yang tidak cukup jari untuk membilang. Kotaraya ini maju dan menjadi pusat tumpuan masyarakat dari dalam dan luar negara, baik untuk melancong atau mencari rezeki.

      Kotaraya Angsana. Mercu tanda kebanggaan Malaysia semenjak sedekad yang lalu. Hingga kini kekal utuh sebagai jantung kepada negara bertuah ini.

      Namun, lelaki ini tahu bahawa itu semua sekadar zahirnya sahaja. Sekiranya seseorang meneliti dengan lebih dalam, melihat dengan perasaan untuk lebih tahu, pasti akan terpunggah segala keburukan yang bersembunyi di balik keindahan kotaraya ini. Dalam Malaysia berjaya terkehadapan dan kini berusaha bersaing dengan negara-negara besar, masih ada sekelompok manusia yang tidak mahu bersama mengikuti arus perubahan. Mereka masih suka dengan kegelapan dan kerosakan, dan berusaha untuk merosakkan apa yang telah dicapai.

      Pengalaman membongkarkan jenayah yang besar seperti korupsi, rasuah, menjadikan lelaki ini wartawan yang serba tahu, dan kadang-kadang mengundang bahaya.

      Malam ini dia mendapat panggilan misteri, menyatakan bahawa ada bahan bukti terkini yang dapat membantu untuk memberikannya pendedahan terkini.

      Pendedahan berkenaan sebuah organisasi rahsia, yang sering menjadi tangan ghaib untuk mencorakkan dunia ini. Organisasi yang sering dipergunakan oleh ahli politik, orang perniagaan, ketua kongsi gelap, dan banyak lagi pihak yang lain, untuk mencapai tujuan masing-masing. Semuanya berkongsi satu ciri – bukan untuk tujuan yang baik, melainkan hanya untuk kepentingan sendiri.

      Telah lama dia menyiasat perkara tersebut. Terutama apabila beberapa siri letupan dan pembunuhan berlaku di pelbagai tempat di Malaysia, sepanjang setahun kebelakangan ini. Namun masih tidak menemukan hasil yang kukuh. Hanya cerita-cerita orang. Tetapi dia tidak berputus asa dan berusaha meneruskan penyiasatan. Intuisi kewartawanan yang wujud di dalam dirinya, dan semangat sebagai seorang warganegara yang mahu melihat negaranya aman dan makmur, membuatkannya tidak pantas berputus asa. Tambah-tambah, untuk dirinya, dia percaya apa yang dia lakukan ini, ada saham untuknya di akhirat sana..

      Dia sangat terkejut apabila mendapat panggilan misteri yang menyatakan mahu membantu penyiasatannya itu. Bagaimana pemilik panggilan tahu, bahawa dia sedang menyiasat perkara itu? Dia tidak berkongsi dengan sesiapa.

      Nafas dihela. Dia masih tidak bertemu apa yang dikatakan telah ditinggalkan oleh pemanggil itu di atas mejanya.

Hari ini dia keluar pejabat awal, kerana ada kerja di luar kawasan. Pemanggil misteri itu menyatakan bahawa bahan bukti ada ditinggalkan di mejanya, petang tadi. Dia yang mendapat panggilan selepas maghrib tadi, terus bergegas ke tempat kerja, meredah sesak jalan raya.

      Kini dia berseorangan. Semua rakan sepejabat sudah pulang. Dan apa yang dicarinya tiada.

      “Aku kena tipu agaknya. Allah…” Sebelah tangan menepuk dahi sementara sebelah lagi kekal mencekak pinggang. Sedikit kecewa.

      Apa yang tidak disedari Sang Wartawan ini ialah, satu lembaga tubuh yang semakin menghampirinya, berpakaian serba hitam, dengan kedua-dua tangan sedang erat memegang seutas tali halus yang diperbuat daripada besi halus. Lembaga itu bergerak dengan penuh cermat, langsung tidak mengeluarkan bunyi. Perlahan-lahan mendekati Sang Wartawan.

      Dalam jarak beberapa meter, bentuk tubuh lembaga itu terzahir oleh cahaya lampu di atas meja Sang Wartawan. Mempamerkan seorang lelaki, rambut hitam berkilat, kulit sawo matang, bersama beberapa parut halus pada wajahnya, berpakaian kot dan kemeja serba hitam, kekal cermat mendekati Sang Wartawan.

Kehadirannya masih tidak disedari.

      Perlahan-lahan lelaki itu bangun di belakang Sang Wartawan. Siap untuk menjerut leher Wartawan itu dengan tali besi yang sudah ditegangkan kedua-dua belah tangan.

      Tuf! Tuf!

      Bunyi desupan yang hampir tidak kedengaran, namun terasa seperti ada sesuatu yang teramat laju, baru sahaja melintas dekat dengan telinganya, Sang Wartawan terkejut melihat kaca tingkap pejabat mempunyai dua lubang, dan tambah terkejut apabila bunyi itu diikuti dengan bunyi yang kuat di belakangnya. Segera dia tunduk sambil berpaling, dan matanya terbelalak melihat seorang lelaki sedang berguling keluar daripada pejabatnya.

      “Siapa?!” Wartawan itu menjerit sambil segera bersembunyi di balik meja. Tembakan jarak jauh? Untuk dirinya? Atau untuk individu yang berguling keluar tadi? Dia panik. Cuba melihat apa yang berlaku dari balik meja.

      Ketika ini matanya dapat melihat sebatang tangan terjulur, bersama-sama sepucuk pistol dengan bentuk yang luar biasa. Tidak seperti pistol kebanyakan. Dan dari arah senjata itu diacu, jelas sekali dia menjadi sasaran senjata unik itu sekarang.

      Namun belum sempat tembakan dilepaskan, pistol tersebut terpelanting. Melantun mengenai almari berdekatan, dan jatuh tersadai di tengah pejabat.

      Apa yang sudah berlaku? Sang Wartawan tidak dapat melihat apa yang menyebabkan senjata itu terlepas daripada tuannya.

      “Argh! Kurang ajar!” Kedengaran dari luar pejabat.

      Tum! Tum! Tum!

      Kali ini Sang Wartawan dapat melihat beberapa buku dan fail pada almari berdekatan pintu pejabat itu jatuh ke lantai.

      “Argh!” Suara di luar pejabat kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.

      Dia dapat mendengar bunyi tapak kaki, mulanya kuat, semakin lama semakin sayup. Kemudian senyap. Beberapa helai kertas masih berterbangan, perlahan-lahan jatuh ke lantai. Keadaan cemas tadi tiba-tiba bertukar menjadi sunyi.

      Apa yang telah terjadi?

      Sang Wartawan perlahan-lahan keluar dari balik meja. Tetapi masih menunduk, tidak mahu berdiri melepasi tingkap yang sudah berlubang.

      Matanya memerhatikan pistol unik yang ditinggalkan.

      “Apakah ini….”

      Segera dia mencapai telefon bimbit di atas meja. Nombor 9 ditekan tiga kali.

      “Hello, saya Nazir, Wartawan TV Taqwa…”

      Setelah laporan dibuat, Nazir memerhatikan keadaan pejabatnya yang tunggang-langgang. Tidak percaya dengan apa yang baru terjadi sebentar tadi. Kemudian matanya mendarat kembali kepada senjata unik yang tersadai di atas lantai. Sebuah buku dan beberapa helai kertas sedang berada di atas senjata itu.

      Dia memberanikan diri mengalihkan buku dan kertas-kertas itu, dan melihat senjata tersebut.

      Mungkin inilah yang dicari-carinya.

      Bukti.

******

Bunyi siren polis mengetuk gegendang telinga. Mata kekal pada skop senjata. Memerhatikan gerak geri Sang Wartawan yang masih terpinga-pinga dengan apa yang baru sahaja berlaku.

      “Nazir, huh?” Dia mengangkat kepala. Bangkit bersama senjatanya, sepucuk senapang buatan sendiri, dengan seni yang diperturunkan oleh bapanya. Dia perlu bertenang sebentar. Duduk bersila sambil senjatanya direhatkan di atas peha, pernafasan cuba dikawal. Urat-urat hijau yang terpamer pada sekitar matanya, perlahan-lahan kendur dan kembali normal.

      “Huuuuu…” Dia melepaskan nafas. Asap berwarna hijau halus, keluar berkepul-kepul.

      “Tak pernah mampu nak membiasakan diri.” Dia bersuara, sambil tangan kanan menepuk-nepuk dada, seakan-akan masih ada sesuatu yang berbaki di dalam tubuhnya. Dia batuk beberapa kali, dan asap yang sama keluar sedikit lagi.

      Dia membatu sebentar. Sebelum tangannya pantas melipat senjata, memasukkan alat itu ke dalam sarung yang setia tergantung di belakang tubuh.

      “Misi berjaya?” Dia bersuara.

      “Alhamdulillah.” Satu suara menjawab pada alat telekomunikasi yang dilekatkan pada telinga.

      “Pecah rekod rasanya hari ini.” Dia bangun, dan memandang ke arah tempat berlakunya kejadian tadi. Tetapi kini dia tidak dapat melihat pejabat Sang Wartawan bernama Nazir itu. Tanpa skop senjatanya, juga tanpa bantuan ubat unik gaulan bapanya, dia tidak lagi mampu memandang dengan jelas 10 kilometer di hadapannya.

      Angin kuat menderu di atas bangunan 50 tingkat itu.

      “10 kilometer itu perkara biasa dalam dunia Pemburu, Barq.”

      “Rekod paling tinggi, berapa kilometer?” Dia bergerak meninggalkan tempat itu.

      “25 kilometer.”

      “Heh.” Barq menggeleng. Tersengih.

      “Jaeger kah?”

      “Tidak…”

      “Ayah?”

      Pecah ketawa suara di balik alat telekomunikasi tersebut.

      “Pemburu dengan kod nama Hoshi.”

      “Bintang dalam Bahasa Jepun. Heh.” Barq menoleh kembali ke arah tempat dia melepaskan tembakan tadi, sambil langkahan diteruskan ke tangga.

      “Tak apa. Pada peluang yang lain. Arashi akan mempamerkan kehebatannya.” Wajahnya kembali menghadap hadapan, senjata yang tersarung ditepuk beberapa kali, sebelum dia menuruni anak tangga yang menghubungkan bumbung ini dengan tingkat di bawahnya.

      Dia bergerak menuju lif berdekatan.

      “Bagaimana pengalaman pertama?” Suara pada alat telekomunikasi itu kedengaran, sementara Barq berdiri di dalam lif.

      “Okay. Menarik. Cuma, mengapa kita tidak hapuskan sahaja dia?” Barq mengerutkan dahi.

      “Mahu menumbangkan raksasa, perlu ada strategi.”

      Barq menggeleng. Sering dia tidak dapat memahami apa yang mahu dicapai oleh bapanya.

Manusia yang dipanggil ‘Ayah’ itu, sering dilihat melakukan kira-kira, bermain dengan formula, dan sibuk membuat perancangan. Seakan itu ialah hobinya.

      Barq menarik penutup kepala yang bersambung pada leher baju sejuk, sekaligus melindungi sebahagian wajah. Walaupun seluruh kamera pada bangunan ini telah disabotaj, dan tiada siapa yang akan mampu menjangka bahawa tembakan-tembakan tadi datang dari bumbung bangunan ini, dia telah dilatih untuk lebih berhati-hati.

      “Okay Ayah. Putuskan komunikasi. Jumpa di pengkalan.”

      “Baik. Berhati-hati.”

      Alat telekomunikasi dikeluarkan dari telinga. Kemudian Barq menarik dua kord yang terjuntai pada baju sejuknya, alat pendengar diletakkan pada kedua-dua telinga.        

      Lagu Warriors dendangan Imagine Dragons, berkumandang.

      “Ini patut jadi lagu tema malam ni.” Barq bersuara kepada dirinya sendiri, sambil tersengih.

      Lif sampai ke lobi. Barq keluar dan bergerak ke arah pintu kecemasan. Barq tenang sahaja melangkah keluar dari bangunan, seperti tiada apa-apa yang berlaku. Langkahnya cermat. Dia mengelak dari dirakam mana-mana kamera di sekitar bangunan tadi. Dia telah dilatih oleh bapanya untuk mengetahui tempat letak kamera-kamera tersembunyi di kotaraya ini.

      Barq terus menghilang di tengah kesesakan kota.

      Malam masih muda. Tetapi misinya telah selesai.

      Esok, dia perlu ke universiti pula.

      Kehidupan di negara ini baru bermula.

******

Nafas turun naik. Mata membesar. Keringat membasahi tubuh, bergabung dengan darah yang mengalir pada bahu. Apa sebenarnya yang telah berlaku sebentar tadi? Sungguh di luar jangkaannya. Dia masih dalam keadaan tidak percaya.

      Misinya untuk menghapuskan Nazir, Sang Wartawan yang sedang sibuk berusaha mendedahkan kewujudan Kesatuan Pemburu, gagal! Diganggu oleh penyerang misteri. Dan bukan calang-calang pula.

      Apa yang dipamerkan dalam pertarungan yang berlaku sepantas kilat tadi, cukup menggerunkan dirinya.

      Matanya masih terbeliak. Namun mindanya memutarkan semula apa yang telah berlaku di dalam pejabat wartawan tadi.

      Dua peluru yang pertama, memang bukan untuk mengenai dirinya. Cukup untuk membuatkan dia, seorang pemburu, mengetahui akan kehadiran serangan itu dan mengelak, berguling keluar dari pejabat.

      Oleh kerana terkejut dan menyedari bahawa perancangannya terganggu, untuk mengelakkan misi gagal, senjata dikeluarkan bagi menamatkan nyawa Sang Wartawan secepat mungkin. Satu tindakan yang ternyata telah termasuk dalam kalkulasi Sang Penyerang, maka senjatanya menjadi sasaran tembakan jarak jauh yang seterusnya.

      Ketiadaan senjata dan perasaan terdesak untuk menyempurnakan misi, menyebabkan dia mengambil masa untuk berfikir sejenak di balik perlindungan dinding luar pejabat tersebut.

      Tetapi Sang Penyerang tidak teragak-agak untuk menghantar tiga das tembakan menembusi almari buku, seterusnya dinding tempat dia berlindung, terus kepada bahunya. Salah satu daripada tiga tembakan itu tepat mengenai sasaran yang dikehendaki.

      Menyebabkan dia terpaksa melarikan diri apabila menyedari betapa tingginya kemahiran yang dipamerkan Sang Penyerang tadi. Bukan calang-calang.

      Kini dia telah berjaya menjauhi tempat kejadian. Bersembunyi sebentar di sebuah lorong gelap yang agak jauh, kerana mahu menghilangkan jejaknya yang sukar dipadam dek darah yang menjijis. Dia terpaksa bergerak jauh untuk menghentikan pendarahan, dan kemudian bergerak lebih jauh agar jejaknya tidak dapat diikuti.

      Celaka.

      Dia cuba bertenang. Walaupun dia dapat mendengar sayup-sayup bunyi siren, dia tahu bahawa dia tidak akan tertangkap pada malam ini.

      Kerana….

      “Jagat.” Satu suara menyapa. Spontan dia menghunus kerambit yang selama ini setia pada pinggangnya.

      Dua individu, seorang perempuan berambut kuning, bercermin mata hitam, manakala seorang lagi lelaki, berambut mohawk perang, sedang berdiri sambil memandangnya. Mereka menunjukkan sekeping syiling berwarna perak, dengan lambang sebiji mata.

      Agen-Agen Pemburu.

      Jagat menarik nafas lega.

      Apabila diserang tadi, dia terus menghubungi pusat terdekat untuk bantuan. Walaupun tidak pernah di dalam sejarah pemburuannya dia melakukan tindakan sedemikian.

      Dia antara pemburu terhandal organisasi ini!

      Imejnya tercalar!

      Sesuatu yang tidak dapat diterima.

      “Boleh bangun sendiri?” Lelaki berambut mohawk bersuara.

      “Atau perlukan bantuan?” Sang Perempuan pula bertanya sambil menghulur tangan.

      Jagat menolak tangan perempuan tersebut, dan berusaha untuk bangkit sendiri. Sudah cukup penghinaan ke atas dirinya malam ini. Dia tidak akan menambahnya dengan memerlukan perempuan untuk membantu dirinya bangun.

      “Kita ada masalah yang lebih besar.” Agen berambut mohawk memberitahu.

      Ketika ini, Jagat tersentak. Walaupun agen tersebut belum menyambung dengan penjelasan, Jagat kini telah tersedar apa yang terjadi pada malam ini.

      “Patutlah…” Jagat mengerutkan dahi.

      Sekiranya nyawa Jagat menjadi sasaran, tidak perlu tembakan dilepaskan ke arah senjatanya. Ketika itu juga nyawanya boleh ditamatkan Sang Penyerang. Tetapi itu tidak berlaku.

      Kini senjatanya telah ditinggalkan di tempat kejadian. Menjadi bukti untuk Nazir Sang Wartawan mendedahkan kewujudan Kesatuan Pemburu. Penyerangnya memang sengaja menjadikan senjatanya sebagai sasaran!

      “Bagaimana?” Jagat meninggikan suara. Sedikit panik.

      “Kita sedang cuba menghubungi orang dalam kita. Lihat apa yang berlaku seterusnya.” Agen Perempuan bersuara.

      “Tetapi Ketua amat tidak senang dengan apa yang berlaku malam ini.” Agen lelaki menyambung.

      Jagat mengetap gigi. Geraham digigit kuat. Geram.

      “Kurang ajar!” Dia menengking sambil menyepak angin.

      “Mari, luka itu perlu dirawat.” Agen lelaki itu terus memapah Jagat.

      Jagat dibawa dalam keadaan dirinya rasa penuh terhina.

      Siapakah gerangan penyerangnya tadi?

******

      Sementara itu, ruang pejabat Nazir penuh dengan anggota polis yang sedang melakukan kerja masing-masing. Ada yang menyoal siasat Nazir, ada yang bertindak sebagai mencari kesan-kesan kejadian untuk membantu siasatan, juga beberapa yang bertugas mengawal keadaan, kerana tempat itu kini dipenuhi wartawan yang lain, juga rakan sekerja Nazir.

      “Pelik.” Detektif Wong mengusap janggut, sambil berkerut dahi melihat lubang-lubang pada dinding pejabat. Berpakaian preman, sambil melihat keadaan sekeliling.

      “Memang seperti ada berlaku tembakan.” Dia kembali kepada kesan-kesan pada dinding pejabat. Kemudian bergerak keluar pejabat, memerhatikan pula dinding dari arah tersebut.

      “Tetapi tiada peluru yang tinggal.” Detektif Wong kembali mengurut janggut. Tabiat yang sudah tidak boleh ditinggalkan, apabila dia sedang berfikir.

      “Hmmm…” Detektif Wong bergerak kembali ke dalam pejabat. Matanya direhatkan pada Nazir, Wartawan TV Taqwa yang tidak asing lagi itu. Kini sedang diselimutkan dan diberikan minuman panas. Banyak juga siasatan Detektif Wong dibantu oleh pendedahan-pendedahan yang dilakukan oleh Nazir.

      “Saudara Nazir! Bagaimana?” Detektif Wong mengukir senyuman sambil mendekati pemuda berumur 30-an itu.

      Nazir mengangkat wajah, pandangan mereka bertaut. Bibirnya kemudian mengukir senyuman kelat. “Tuan mahu cakap: Kan saya dah kata?”

      Detektif Wong tertawa. Teringat yang dia sudah beberapa kali berpesan kepada Nazir agar berhati-hati apabila membuat pendedahan. Risau jika nyawa wartawan itu menjadi sasaran. “Kalau apa-apa berlaku nanti, saya tak boleh kata apa-apa selain: Kan saya dah kata.” Namun ketika itu, ayat tersebut hanya satu selorohan, walau bersulamkan peringatan.

      Tidak sangka, kejadian hari ini boleh terjadi.

      Tambah-tambah, kejadian hari ini sangat berbeza dari kebiasaan kes tembak menembak berlaku.

      Seorang anggota polis memasuki ruang pejabat. Mendekati Detektif Wong. Perhatian Nazir dan Detektif Wong terfokus kepada anggota polis tersebut.

      “Bagaimana?” Detektif Wong bertanya.

      “Kita sudah kerahkan semua anggota yang terlibat untuk memeriksa bangunan-bangunan sekitar tiga kilometer dari arah sini, yang memenuhi ciri-ciri Tuan gariskan.” Anggota itu menunjuk ke arah tingkap, yang kini mempunyai 6 lubang pada kacanya.

      “Namun tiada apa-apa kesan.”

      Nazir membesarkan mata.

      Detektif Wong sekadar menghela nafas kecewa. Memandang kepada Nazir.

      “Tiga kilometer itu adalah jangkaan yang lebih daripada rekod tembakan jarak jauh yang terjauh. Rekod masa kini ialah 2.45 kilometer.” Detektif Wong memberikan penerangan.

      “Apakah ini bermakna, penembak itu menembak lebih jauh daripada tiga kilometer?”

      Detektif Wong menghalakan pandangannya ke arah tingkap yang berlubang itu.

      “Entahlah.” Menghela nafas yang berat. “Amat sukar untuk diterima oleh logik tembakan sejauh itu boleh dilakukan, apatah lagi yang lebih jauh.” Kemudian Detektif Wong melakonkan gaya orang sedang melakukan tembakan menggunakan rifle.

      “Untuk melakukan tembakan sejauh yang direkodkan itu sahaja, semua perkara perlu diambil kira. Kelembapan suasana, suhu udara, ketinggian dan graviti, angin, kedudukan di mana sasaran akan berada turut mesti berada dalam perkiraan kerana peluru perlu terbang lama di tengah udara sebelum sampai kepada target.” Detektif Wong memandang semula kepada Nazir.

      Nazir kelihatan terpana, namun wajahnya memaparkan minat.

      “Dan saya belum habis lagi, saudara Nazir.” Detektif Wong melemparkan senyuman kelat. Kelat, kerana tidak percaya apa yang dikongsikan itu boleh terjadi malam ini.

      “Untuk tembakan sejauh itu juga, penembak perlu mengambil kira Kesan Coriolis, yang punya kaitan dengan putaran bumi.”

      Detektif Wong menyeluk poket, berpaling dari Nazir, melihat pada dinding pejabat dan almari.

      “Apakah kita mahu percaya, tembakan yang lebih jauh dari tiga kilometer boleh dilakukan? Bukan sahaja sekali, tetapi enam kali pada malam ini?” Pandangannya kembali semula kepada Nazir.

      “Jika benar, maka kita ada masalah yang besar.”

      Detektif Wong bergerak meninggalkan Nazir.

      “Habis, bagaimana Detektif?”

      “Saya perlu pulang dan teruskan siasatan. Darah mangsa tembakan jarak jauh akan kami uji di makmal untuk mengesan pemiliknya. Selebihnya saya perlu menunggu hasil pemeriksaan yang dilakukan mereka ini.” Detektif Wong berjalan keluar pejabat, sambil menunjuk kepada rakan-rakan setugas yang sedang giat bekerja mengumpul bukti.

      “Jaga diri saudara Nazir. Kejahatan nampaknya bersembunyi di balik gelap.” Detektif Wong melambai sebelum menghilang, keluar dari pejabat.

      Nazir sekadar mengangkat tangan sambil tersengih. “Harapnya kebaikan juga tersembunyi di dalam gelap.” Bicaranya sendirian.

      Hatinya semakin kuat menyatakan bahawa apa yang berlaku pada malam ini, berkait rapat dengan apa yang cuba didedahkannya.

      Serangan yang mustahil itu, mungkin sahaja akibat dari pengunaan senjata yang unik seperti pistol tadi?

      Malangnya pistol itu kini telah diambil oleh pihak polis untuk kajian lanjut. Tetapi Nazir sempat mengambil beberapa gambar akan senjata tersebut, sebagai rujukan peribadinya untuk pendedahan yang dikejar selama ini.

      Walaupun terkejut, dan masih agak ketakutan atas apa yang berlaku pada malam ini, di dalam hatinya terselit sekelumit rasa gembira.

      Siasatannya ada progres!

      Dan nampaknya, ada pertembungan sedang berlaku.

      Dia perlu lebih keras berusaha mendedahkan apa yang sedang berlaku di balik kegelapan ini.