PROLOG – Tragedi

Tragedi itu daripada Ilahi,
iman pembentuk diri,
mengakar dendam di dalam hati,
atau titik tolak perjuangan suci.

Darah. Tubuhnya lencun dengan cecair itu. Keluar daripada lengan kiri dan peha kanan. Nafas turun naik. Namun dia masih cuba mengawal diri. Mata sebentar lekat pada jasad sang isteri. Terbujur kaku tidak bernyawa, bermandi darah dengan mata masih terbuka. Pedih. Bukan pada luka yang sedang dialami, tetapi pada jiwa. Lantas dia memejamkan mata, sebentar, cuba mengumpul kekuatan dan menarik kembali fokus.

      “Tidak guna menentang, Muse.” Suara mengetuk gegendang telinga. Mata kembali terbuka.

      “Hari ini engkau dan keluarga akan dilenyapkan seakan-akan tidak pernah wujud sebelum ini di dunia.” Suara itu mengancam.

      Bang! Bang!

      Terus dia berguling ke bawah meja makan. Dua peluru melencong dari belakang dinding, hinggap pada tempat dia berlindung sebentar tadi. Tidak membazirkan masa, tangan kanan yang memegang sepucuk pistol, dihayun dan tembakan dilepaskan. Sebutir peluru melayang ke arah gerbang dapur, sebelum melencong di tengah udara.

      “Hahaha.” Gelak tawa sang pembunuh menandakan tembakan tadi tidak kena pada sasaran yang dikehendaki.

      “Engkau terlalu memandang tinggi kebolehan yang ada pada diri kau.”

      Suasana senyap seketika, sebelum dicemari kembali dengan suara Sang Pembunuh. “Mungkin sebab itu engkau sangka, engkau mampu menumbangkan kami semua?”

      Bang! Bang!

      Dia segera menumbangkan meja makan. Dua peluru seperti tadi melayang dari hadapan, melencong di tengah udara, sebelum dihentikan perabot tersebut.

      Bibir diketap. Dia semakin tersepit. Telinganya dapat menangkap pergerakan di luar rumah yang sedang berkumpul untuk menyerangnya daripada belakang.

      “Menyerah sahajalah. Mudahkan kerja aku, Muse. Engkau tahu ini semua bakal berlaku apabila engkau membuat pilihan.”

      Dia memandang kepada senjatanya. Magazin dikeluarkan. Peluru tinggal dua butir sahaja lagi. Dan dia amat yakin bahawa musuhnya tahu akan hal tersebut. Kerana dia amat mengenali pembunuh isterinya ini, yang merupakan seorang pemburu profesional. Antara yang terbaik di dunia.

      Sekarang dia terkepung. Ruang hadapan dikawal oleh pemburu tersebut, manakala bahagian belakang rumahnya sudah dipenuhi pemburu-pemburu yang lain.

      Dia menumbuk lantai. “Allah!” Air mata mula bergenang.

      Biasanya dia tidak sebegini. Tetapi kematian isteri tercinta sangat meruntuhkan ketenangan jiwa. Dia masih tidak dapat menghilangkan bayangan akan bagaimana peluru melayang menembusi kepala perempuan yang dicintainya.

Darah tersembur, memercik membasahi wajah. Ketika itu dia tahu, bahawa pilihan yang dibuatnya satu masa dahulu, kini berjaya memburunya semula.

      “Ayah?” Satu suara yang halus, menyapa.

      Tiba-tiba gambaran ngeri kematian isteri, bertukar dengan wajah anaknya yang sedang bersembunyi di bawah sinki.

      Anak yang masih tidak mengerti apa-apa. Wajah suci tanpa memahami situasi dinodai percikan darah bondanya. Berjaya dia sambar dan bawa bersembunyi ke bahagian dapur, sebelum Sang Pembunuh memecah masuk.

      Air mata yang mula mengalir membasahi pipi diseka.

      Kekuatan dihimpun semula.

      “Mari sini sayang.” Dia bersuara perlahan, lembut. Isyarat tangan membuatkan anaknya segera bergerak ke arahnya.

      “Ummi mana?” Lembut anak kecil itu bersuara. Buat jiwanya rawan.

      “Ummi tengah berehat sayang.” Air matanya mengalir.

      “Bakri nak ikut Ummi.” Bicara lembut, namun menikam kalbu.

      Didakap anaknya itu dengan erat. Kepala anak kecil itu diusap dengan penuh kasih. “Mungkin, kalau Allah bagi kita ikut Ummi malam ini, kita ikut ya? Tapi kalau tak, Ummi suruh kita teruskan perjuangan.”

      “Perjuangan?”

      “Ya sayang. Mari sini!” Anaknya diangkat ke belakang tubuh. Alas meja yang sudah tersadai di atas lantai diambil. Segera diikat anaknya pada tubuh. Kedua-dua tangan dapat dilepaskan, dan anaknya kejap, tidak terjatuh.

      “Selesa sayang?”

      “Hem.” Anak kecil itu menggangguk lemah.

      “Bakri tutup mata ya.”

      “Kenapa?”

      “Sebab Ayah nak kalahkan orang jahat. Mereka jahat. Bakri budak baik. Belum masanya lagi Bakri tengok orang-orang jahat ni.”

      Anak yang lurus itu diam sahaja. Perlahan-lahan matanya dipejam erat.

      Dia mengumpul nafas. Ketenangan dijemput. Matanya tajam memandang pintu dapur. Kemudian dia memejamkan matanya sebentar. Kedua-dua tangan rapat di atas lantai.

      “Satu, dua, tiga, empat, lima. Enam campur yang di hadapan.” Perlahan dia bertutur.

      “Ya Allah, permudahkanlah, jangan Engkau susahkan. Permudahkanlah, jangan Engkau susahkan.” Terkumat-kamit bibirnya mengungkap harapan.

      Senjatanya diambil semula.

      “Hei Jaeger.”

      “Hahaha. Bagaimana? Hendak menyerah kalah?”

      “Kirim salam maut aku kepada ketua.” Terus tangan kanannya dihayun. Satu tembakan dilepaskan. Peluru mula menuju ke gerbang yang menyambung antara ruang tamu dan dapur. Pada masa yang sama, dia memecut ke pintu belakang.

      Pintu ditendang kuat. Tercampak.

      Dua orang lelaki berada di balik dinding, sedang terjeda melihat pintu melayang, ruang peluang yang diambil segera.

Pistol pada tangan kanan mendarat ke wajah yang paling hampir, pada masa yang sama tangan kiri hinggap pada pistol seorang lagi. Tangan kanan kembali ke wajah yang sama, kali ini buntut pistol menjadi santapan. Pemilik wajah terundur beberapa langkah, ruang yang diambil untuk menyelinap ke belakang individu kedua, sebelum pemilik tubuh itu dihujani peluru tiga rakannya yang lain.

      Kaki kanan tangkas diangkat, menghentak tangan individu yang sedang terundur, membuatkan senjatanya terlepas. Pistol itu dicapai dengan tangan kiri, tubuh diputarkan bergerak turun merapati bumi sambil tembakan dilepaskan daripada senjata pada tangan kanan dan kiri.

      Individu yang terundur tadi kini terus tumbang tidak bernyawa, dan begitulah salah seorang daripada tiga penyerang yang lain. Dua lagi berjaya mengelak. Kini sedang meniarap di atas tanah.

      Salah seorang daripada mereka, perempuan, berguling dan tanpa membazirkan masa, terus menyerang balas. Peluru melayang di udara, namun ditampan dengan pistol yang dicampakkan olehnya. Pistol pada tangan kiri kini bergalih ke tangan kanan.

      “Jangan berhenti, tembak!” Seorang lagi penyerang sudah bangkit, kedua-dua tangannya memegang pistol, melepaskan tembakan lurus.

Namun dia tangkas, membalas tembakan dan peluru-peluru saling berhentakan di udara. Pada masa yang sama, dia mendekatkan jarak antara dirinya dan penyerang-penyerang.

      Pistol dibaling keras pada penyerang perempuan, mengganggu sebentar pergerakannya. Manakala tangan kiri menangkap pistol pemburu di hadapannya. Tangan kanan terus melayang ke wajah penyerang itu. Sebelum tubuh berputar dan kaki kanan hinggap pada wajah yang sama. Jatuh menyembah bumi.

Masa tidak dibazirkan, kaki kiri terus menghentak wajah tersebut dalam keadaan dia melangkah mendekati penyerang perempuan.

      Tembakan dilepaskan bertubi-tubi, namun dia sudah siap-siap keluar daripada landasan serangan.

Tangan perempuan itu ditangkap, laras senjata dihalakan kepada temannya yang sedang terbaring lemah. Dia memaksa perempuan tersebut melepaskan tembakan, menamatkan nyawa temannya itu, sebelum dia sendiri melepaskan beberapa tumbukan keras pada perut dan leher perempuan tersebut.

      Perempuan itu terundur beberapa tapak ke belakang, sambil terseksa mencari nafas.

      Senjata perempuan tersebut dirampas, sebelum digunakan untuk meragut nyawa tuannya.

      “Celaka!”

      Dia kenal suara yang sedang berteriak itu. Pada masa yang sama, dia tahu bahawa peluru pada pistol di tangannya tinggal tiga butir sahaja lagi. Sebelum wajah pembunuh isterinya muncul, dia sudah melepaskan tembakan sambil menghayunkan tangannya. Tiga tembakan.

      Semuanya melayang di udara, melencong pada pintu belakang dapur, dan dia tidak menanti peluru-peluru itu melandas. Segera dia membuka langkah, berlari meninggalkan kawasan rumahnya. Menghilangkan diri ke dalam hutan berdekatan.

      “Bakri dah boleh buka mata, ayah?”

      “Boleh sayang, boleh.” Dia bersuara perlahan.

      Ketika ini, barulah dirasakan kesakitan daripada luka-lukanya. Namun dia kekal cekal dan tabah. Diharungi hutan itu. Kegelapan malam membantunya untuk menyembunyikan jejak. Ketiadaan bulan dan bintang pada malam ini membuatkan kerjanya untuk menghilangkan diri jadi lebih mudah.

      “Kenapa ayah masuk dalam hutan ni?”

      “Supaya orang jahat tak boleh kejar kita sayang.”

      “Ummi tak ikut?”

      Ketika ini air matanya mengalir kembali. Terbayang wajah Si Isteri. Namun langkahannya sedikit pun tidak terhenti. Dia pantas berlari, melepasi akar-akar pokok yang menghiasi bumi, menyelinap semakin lama semakin dalam ke dalam hutan.

      “Ummi dah pergi berehat dengan Allah, sayang.”

      “Kenapa Ummi tak bawa Bakri?”

      “Ummi mahu Bakri teman ayah. Boleh?” Hatinya hiba melayan soalan-soalan anaknya. Pun begitu, tetap dijawab satu persatu soalan si cilik itu.

      “Boleh. Bakri sayang ayah. Bakri pun sayang ummi.”

      “Bakri anak soleh. Ayah sayang Bakri dan Ummi.” Suaranya mula sebak.

      Hari ini memang tragedi.

      Menurut kata-kata Jaeger tadi, dia memilih akibat ini. Ya, dia tahu lambat laun, hal sebegini akan berlaku. Dan dia telah buat yang terbaik untuk menjauhkan diri dan keluarganya daripada kejadian hari ini. Namun tetap sejarah lamanya mengejar. Dia membayar dengan harga yang mahal.

      Dia sedar kini bahawa dia tidak boleh sekadar melarikan diri, dan berharap orang lain menyelesaikan kerjanya.

      Dia faham, bahawa dia ada misi yang besar kini. Dia yang perlu melakukannya.

      “Bakri tidur dulu ya sayang. Kita masih nak kena bergerak jauh.”

      “Baik ayah.” Sekurang-kurangnya suara itu memujuk jiwanya yang kini lara.

      Dia menetapkan matlamat.

      Kesatuan Pemburu akan dia tumbangkan dengan tangannya sendiri.

      Dia terus pantas bergerak. Semakin lama semakin jauh.

******

Jaeger bangun. Darah bergayut pada dagunya, sebelum menitik jatuh ke tanah.

Mujur sebentar tadi dia sempat meniarap dan berguling pada saat-saat akhir. Sekiranya dia hanya meniarap sahaja sebentar tadi, peluru ketiga akan hinggap pada kepalanya. Tindakan pantasnya menyelamatkan nyawa. Manakala pipinya, telah terobek menjadi mangsa geseran peluru ketiga. Jika dia lewat sedikit lagi, nyawanya sudah melayang entah ke mana.

      Mustafa, atau kod namanya ialah Muse, ternyata telah membuat kiraan pantas, sebelum melepaskan tembakan akhir tadi.

      “Atau, sebelum dia memecahkan pintu belakang, dia sudah buat semua kira-kira untuk strategi melarikan diri ini? Celaka dia. Walau selepas 5 tahun meninggalkan ini semua, dia masih handal dan tidak boleh dipandang rendah.” Jaeger membersihkan pakaiannya dengan menepuk-nepuk tubuh. Senjatanya dimasukkan kembali ke dalam sarungnya, yang tergantung pada pinggang.

      Melangkah keluar, pandangannya disajikan dengan anak-anak buahnya yang bergelimpangan.

      Dia mengetap bibir.

      “Celaka, celaka, celaka.” Tangannya mengepal penumbuk. Geram.

      Kemarahannya kemudian diganggu dengan bunyi getaran, datang daripada alat komunikasi miliknya. Segera Jaeger menjawab panggilan.

      “Bagaimana?” Suara dari sebelah sana kedengaran.

      “Negatif. Dia berjaya melarikan diri.”

      Diam.

      Panggilan itu tiba-tiba terputus.

      Jaeger melepaskan nafas panjang. Dadanya bergetar kerana terlalu marah.

      “Celaka!” Dia menyepak beberapa kali mayat anak buahnya yang hampir dengan pintu dapur.

      Dia benar-benar rasa terhina malam ini.

      Bukan sahaja dia gagal melupuskan target, tetapi reputasinya sekaligus rosak.

******

“Jaeger gagal.”

      “Untuk setiap sesuatu, ada waktu untuk pertama kali.”

      “Heh! Bagaimana sekarang?”

      “Mungkin, berbanding kita habiskan aset kita mencari Muse, lebih baik kita teruskan gerak kerja seperti biasa.”

      “Tidakkah ini akan mengganggu kita kelak?”

      “Ketika itu, kita tamatkan dia.”

      “Engkau memandang rendah terhadap dia. Engkau lupakah bahawa dia antara pemburu terhandal yang kita ada? Strategis terhebat yang pernah kita jumpa? Masa adalah senjatanya. Kini kita akan benar-benar menjadi sasarannya.”

      “Apakah engkau tidak yakin dengan institusi ini?”

      Diam.

      “Kita dibina atas keberanian untuk mencorakkan arus dunia ini. Kita mengawal semuanya. Jangan rasa tergugat dengan sedikit gangguan. Sudah berapa banyak cabaran yang kita lalui selama ini dan lihatlah di mana para pencabar kita, di mana pula kita hari ini?”

      “Jangan terlalu yakin. Lihat apa yang berlaku hari ini.”

      “Heh, hanya sebuah anomali.”

      “Aku sekadar mengingatkan.”

      “Kita tunggu dan lihat. Kekalkan ketenangan. Fokus dengan gerak kerja yang lebih besar. Sudah, apabila dia muncul kembali kelak, kita akan uruskan dia. Buat masa ini, teruskan aktiviti-aktiviti seperti biasa.”

      Alat komunikasi dimatikan.