Bab 3 – Berpada-pada

“Berpada-pada,
nampak mengongkong kehendak insan.
Tetapi andai semua berlebih-lebihan,
bukankah hanya akan memunculkan porak-peranda dan kekacauan?”

pedang bersandar pada bahu. Matanya tertutup, tetapi telinganya sentiasa siaga, kalau-kalau ada musuh yang muncul. Sekali-sekala, dia terlelap kerana dia sudah tidak tidur sepanjang 10 hari perjalanan ke Umbra.

              Namun, itu tidak menjadi kekurangan buat Rusyd. Aslim telah melatihnya untuk mampu bertahan tanpa makan, minum dan tidur untuk beberapa hari lamanya. Apabila ditanya mengapa dia perlu dilatih sedemikian rupa, Aslim menyebut bahawa kesenangan-kesenangan akan menghapuskan kekuatan-kekuatan.

              Asalnya, dia juga tidak memahami dan menganggap Aslim sekadar mahu membulinya yang ketika itu masih budak-budak. Tetapi lama-kelamaan, dia mendalami makna bicara Aslim. Tubuhnya kini mempunyai ketahanan serta daya ketahanan diri yang tinggi. Sekiranya dicampak musuh ke satu tempat yang tidak punya makanan dan minuman serta sukar untuk tidur, dia tidak akan menjadi lemah dengan cepat.

              Rusyd sendiri jarang melihat Aslim makan. Gurunya itu betah hidup tanpa makanan mewah, dan cukup dengan makanan yang teramat sedikit. Tidur gurunya juga di dalam lubang seperti kubur, dan biasanya Aslim tidak tidur dengan lena, hanya berbaring dengan mata yang terkatup. Rusyd tahu hal ini kerana dia sendiri pernah menguji hal tersebut dengan cuba hadir ke perbaringan Aslim pada pelbagai waktu dan masa, hanya untuk mendapati bahawa kehadirannya disedari jauh sebelum dia tiba.

              “Ah, apakah aku rindu dengan orang tua itu?” Rusyd tersengih sendirian.

              Embun pagi telah mula berjatuhan. Fajar akan menyingsing tidak lama lagi. Nampaknya, malam ini tidak ada yang berani menceroboh. Rusyd membuka mata, memandang ke arah pintu gerbang sekolah persilatan. Sebelum sampai waktu tidur, dia bersama anak-anak murid Arsalan telah bertukang memperbaiki dan memasang semula pintu gerbang itu pada tempatnya.

              Ketika itu, tubuh Lusla sudah tidak ada di tempat dia tumbang. Arsalan berkata bahawa ada yang membawa Lusla kepada tabib.

              “Pendekar yang berperangai seperti itu pun ada yang sudi membantunya.”

Pada Rusyd, hal itu tidak masuk akal.

              “Semua suka untuk mendapatkan perhatian Furorem. Mana tahu, bakal diterima masuk sebagai pelajar atau paling kurang, mendapat anugerah berupa wang dan kekayaan.”

              “Mengapa Furorem seperti dipandang terlalu tinggi?”

              “Kerana setakat ini, mereka ialah sekolah persilatan paling hebat. Mahagurunya tidak pernah tewas dengan sesiapa.”

              “Menarik.” Rusyd mengoyak senyuman sinis.

              “Lima daripada sembilan Pahlawan Bersembilan, mati di tangan Mahaguru Furorem.”

              Rusyd mengangkat kedua-dua belah kening.

              “Aku jujur kepadamu, Rusyd. Aku tidak akan dapat melindungimu sekiranya mereka mengetuk pintu sekolah ini sekali lagi.”

              Rusyd menggeleng. Telapak tangan kanannya mengusap bahu Arsalan. “Tuan Arsalan, jangan risau. Aku tahu menjaga diriku.”

              “Apakah engkau sangka, engkau akan dapat menandingi Mahaguru Furorem?”

              “Belum cuba, belum tahu.” Rusyd tertawa.

              Giliran Arsalan tersengih. Mungkin hairan mengapa Rusyd terlalu optimis dan bersahaja, tidak menerbitkan sekelumit risau.

              “Dek kerana kehebatan dirinya yang tidak ada tandingan itulah Mahaguru Furorem obses untuk menyandang gelaran ‘Legenda’. Dia merasakan dia mampu menewaskan Penjejak Langit, namun menganggap Penjejak Langit telah culas dengan menyembunyikan diri.”

              “Itulah sebabnya dia sanggup menyuruh sekolahnya memburu Pendekar Bersembilan?” Rusyd mula melihat kaitannya.

              Arsalan mengangguk. “Kini, hanya Furorem yang masih berbicara dengan penuh minat dan semangat berkenaan gelaran ‘Legenda’. Ada pun kebanyakan sekolah persilatan lain, sudah meninggalkan perlumbaan tersebut, dan benar-benar melayani gelaran itu sebagai sebuah ‘legenda’ sahaja.”

              “Hah, ironik.” Rusyd tertawa.

              Arsalan tertawa kecil sambil terangguk-angguk. “Hanya kadangkala, sekolah-sekolah persilatan berprestij yang lain, akan menghantar anak-anak murid terbaik mereka untuk mencabar rekod Furorem. Bahkan sebahagian guru-guru persilatan juga mencuba.”

              “Tiada yang berjaya?”

              Arsalan menggeleng. “Kerana itulah Furorem sangat disegani dan digeruni, serta kebanyakan orang akan cuba mengambil hati mereka.”

              “Mereka akan tiba untuk membalas perbuatan engkau tadi. Yakinlah, dan bersedia.”

              Rusyd tertawa.

Tiba-tiba, gegendang telinga Rusyd menangkap bunyi langkahan. Langkahan itu ternyata dilakukan dengan amat berhati-hati, jelas mahu mengurangkan bunyi yang terhasil. Tetapi Rusyd tidak panik. Dia sekadar membatu, seakan-akan sedang tidur sambil bersila. Tambahan, Rusyd sudah dapat meneka pemilik langkahan tersebut.

              Rusyd kemudiannya merasakan yang belakang tubuhnya diselimuti.

              Rusyd mengangkat wajah.

              Hana terpempan dan terundur beberapa langkah dek terkejut.

              “Tuan tidak tidur lagi rupanya. Maafkan aku.”

              “Namaku Rusyd.”

Rusyd mengabaikan bicara Hana dan menghulurkan tangan.

              Hana tunduk tersipu. Tangan Rusyd tidak segera disambut. Sesekali, mata Hana melirik kepada Rusyd.

              “Ayahanda tidak membenarkan aku menyentuh mana-mana lelaki sebelum pernikahan aku dengan lelaki yang mahu menyentuhku.” Hana bersuara, perlahan.

              Rusyd mengangkat kedua-dua belah kening. Dia tidak tahu apa-apa berkenaan perempuan, kerana membesar di atas Puncak Tanpa Nama. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuat sekiranya mempunyai perasaan kepada seseorang.

              “Maafkan aku.”

Rusyd menarik kembali tangannya dan tangan kanan itu kini direhatkan dengan memegang pedang pada bahu.

              “Tetapi berhentilah memanggilku ‘tuan’. Aku dapat lihat yang usia kita tidak jauh berbeza, bahkan mungkin seusia. Panggilah aku Rusyd.”

              “Baiklah, Rusyd. Aku pula, Hana.”

              “Baiklah, Hana.”

              Mereka berdua berbalas senyuman.

              “Seni persilatan yang engkau pamerkan semalam, sangat menakjubkan, Rusyd.” Hana memberanikan diri berbual.

              “Hasil latihan guruku selama sedekad.”

              “Apakah benar apa yang ayahanda ceritakan, bahawa ibu bapamu mati dibunuh pendekar daripada Furorem?”

              Rusyd mengangguk perlahan.

              “Mereka memang pembuli. Obses. Untuk ayahanda membuka sekolah persilatan ini, kami diwajibkan membayar yuran kepada Furorem. Seakan-akan, seluruh sekolah persilatan perlu tunduk kepada mereka di teritori ini.” Hana berkongsi.

              “Tuan Arsalan sekadar menuruti?”

              “Ayahanda ialah insan yang tidak gemarkan konflik. Seni persilatan baginya adalah hanya apabila diserang. Selagi mana konfrontasi boleh dielakkan, Ayahanda akan mengambil jalan paling selamat, paling kurang pertumpahan darah.”

              Rusyd pantas teringat bagaimana Aslim terlebih dahulu memberikan peluang kepada para pedagang manusia haram untuk berambus, sebelum kedegilan mereka menjadi dewa maut buat diri mereka sendiri. Jika Aslim bukan Pendekar Bersembilan, apa mungkin Aslim ialah anak murid mereka? Sebab itulah sikapnya mirip Arsalan dan mereka punya prinsip yang sama dalam dunia persilatan? Kerana itulah Aslim menyembunyikan diri, kerana gurunya dibunuh orang?

              “Rusyd …”

              Suara lembut Hana menariknya kembali ke alam realiti. Rusyd mendongak, kembali melihat Hana yang berdiri sedepa daripadanya, menghadap pintu gerbang sekolah.

              “Terima kasih kerana menyelamatkan ayahandaku semalam.”

              Rusyd tertawa. Menggeleng.

“Tuan Arsalan ialah pendekar yang hebat. Aku tahu dia mampu menguruskan Si Botak itu bersendirian. Aku hanya mahu melepaskan amarahku apabila melihat tatu Si Botak itu.” 

              Hana tersenyum seraya memandang Rusyd. Wajahnya sangat manis, anggun dan indah. Entah apa kalam lagi yang boleh diguna pakai oleh Rusyd untuk menggambarkan wajah bidadari di hadapannya ini.

              “Ayahanda telah tua. Aku risau.”

              “Maka tamatkanlah kerisauanmu, Hana. Aku ada.”

              Hana tertawa.

              “Mengapa? Tidak percaya?”

              “Bukan. Ayahanda percaya kepada Tuhan yang tidak terlihat. Ayahanda sering berkata bahawa Tuhan itu akan sentiasa ada untuknya.”

              “Oh?”

              “Ya. Sekarang, jika engkau masuk ke sekolah, engkau akan menemui dia sedang melakukan ritual hariannya.”

              Rusyd mengerutkan dahi. Segera dia bangkit. Pedang yang dipegang kini disandang ke belakang tubuh dan tali pemegangnya diikat pada dada. Manakala selimut yang dipakaikan oleh Hana tadi, dilipat panjang sebelum diselubungkan mengeliling lehernya.

              Rusyd perasan yang Hana mengukir senyuman manis sambil menundukkan sedikit wajah. Mungkin puas hati melihat Rusyd memanfaatkan selimut yang diberikan tadi.

              “Aku ingin melihatnya.”

              “Ayuh.”

Hana bergerak mendahului. Bangunan sekolah persilatan Arsalan tidak besar. Sederhana sahaja saiznya. Berbentuk empat segi dengan tingkat pertama disokong tiang-tiang, bersama ruang lapang terbentang luas di bahagian hadapan, sebelum tetamu berjumpa dengan pintu panjang yang boleh diluncurkan, membawa kepada dewan sederhana. Tingkat kedua pula ialah bilik untuk Hana dan Arsalan serta ruang tamu kecil.

              Ungu tinggal di tengah-tengah Bandar Umbra manakala anak-anak murid Arsalan pula datang dari pinggiran bandar.

              Apabila pintu panjang itu diluncurkan terbuka, Rusyd melihat Arsalan sedang sujud.

              “Ayahanda sering melakukan ritualnya di dewan ini.”

              Rusyd mengangguk perlahan. Tidak bersuara.

Arsalan kemudiannya bangkit daripada sujud, duduk di atas telapak kaki untuk beberapa ketika dengan mulut terkumat-kamit seperti membaca sesuatu, sebelum sujud semula untuk beberapa ketika. Kemudian, Arsalan bangkit, menyebut satu kalimah yang amat asing bagi Rusyd sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya seiring kepala, sebelum meletakkan telapak tangan kanan atas sedikit daripada belakang tangan kiri di atas dada.

              Sekali lagi Rusyd melihat mulut Arsalan terkumat-kamit. Rusyd dapat menangkap bunyi sebutan-sebutan tersebut, tetapi tidak memahaminya.

              “Engkau tidak turut mengikuti pula ritual ini? Apa engkau tidak menganuti apa yang dianuti oleh ayahandamu, Hana?”

              Hana tersenyum dan menunduk, sebelum menggeleng perlahan. “Ayahanda menemui agama ini ketika kembaranya ke Sancta Civitate …”

              “… di Sanctus?” Rusyd memotong.

              “Ya. Apabila ayahanda pulang, dia telah menganuti agama ini. Ayahanda berkongsi bahawa gurunya juga mengamalkan agama ini, tetapi tidak benar-benar memaksa dia untuk mengikuti. Hanya sekitar lima tahun lepas, baru ayahanda berpeluang ke Sancta Civitate dan mempelajari agama ini daripada orang-orang di sana. Katanya, ini agama para penduduk Sancta Civitate, agama yang telah pupus di kawasan dunia yang lain.”

              “Apakah ayahandamu melaksanakan amalan ini lima kali sehari?”

              Hana mengangguk. “Bagaimana engkau tahu, Rusyd?”

              “Aslim, guruku, sering bertafakur lima kali sehari. Tetapi dia tidak bergerak seperti pergerakan ayahandamu.”

              “Oh. Nampaknya banyak benar persamaan antara gurumu dengan ayahandaku.”

              Rusyd mengangguk. Terlalu banyak sehingga dia mula merasakan yang persamaan-persamaan itu bukanlah kebetulan demi kebetulan. Dia yakin bahawa ada suatu jaringan yang menghubungkan semua ini. Antara gurunya, Pendekar Bersembilan, Penjejak Langit dan Arsalan. Tetapi buat masa ini, Rusyd masih tidak tahu apa jaringan tersebut.

              “Jadi mengapa engkau tidak menganuti agama yang sama?”

              “Ayahanda tidak memaksa. Tetapi aku hidup dengan berkongsi sebahagian peraturan-peraturan yang dia percayai.”

              “Antaranya tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan sekiranya belum bernikah antara satu sama lain?” Rusyd memandang Hana.

              Hana tersenyum. Mengangguk. Pipinya merah.

              Rusyd tersengih. “Aku biasa ke Alben setahun sekali atau dua kali, dan aku biasa melihat perempuan. Tetapi engkau ternyata berbeza. Sopan. Berpakaian menutupi keseluruhan tubuh. Bahkan menutup sebahagian kepala. Labuh. Sejuk mata memandang.”

              Hana tidak menjawab. Apabila Rusyd melirik ke arahnya, wanita itu sekadar menunduk.

              “Assalamu’alaikum wa rahmatullah …”

Rusyd mendengar suara Arsalan, lalu kembali menoleh ke arah ayahanda Hana itu. Lelaki itu menoleh ke kanan, kemudian ke kiri, mengulangi ungkapan yang sama.

              Tidak lama kemudian, Arsalan bangkit.

              “Ah, Rusyd. Apakah engkau tidak tidur sepanjang malam?”

Arsalan datang mendapatkan Rusyd. Hana pula, sebaik sahaja ayahandanya menghampiri, meminta izin untuk berundur bagi menyediakan sarapan.

              “Tidak ada apa-apa. Aku sudah biasa. Aku tidak mahu kita diserang secara mengejut sahaja. Aku tidak mahu tuan dan Hana tercedera.”

              Arsalan tersenyum lebar. “Engkau nyata pemuda yang baik.” Bahu Rusyd dipegangnya kejap. “Ayuh, kita bersarapan terlebih dahulu.”

              “Terlebih dahulu? Kemudian kita akan melakukan apa?”

              “Kita akan ke Furorem.”

              Rusyd mengerutkan dahi. “Mereka tidak hadir ke mari, tetapi kita mahu pergi kepada mereka? Untuk apa?”

              “Untuk anak-anak muridku, Rusyd. Mereka bertebaran di pinggiran bandar, dan identiti mereka diketahui Furorem. Mereka akan berada dalam bahaya sekiranya kita tidak pergi kepada Furorem segera.”

              “Apa yang bakal kita lakukan di sana?”

              “Negosiasi. Mungkin ada jalan tengah untuk menghentikan sengketa.”

              Rusyd tersengih. Menggeleng. “Aku tidak fikir sekolah yang melahirkan pendekar seperti Lusla dan pembunuh ayahanda dan bondaku, mampu bersetuju dengan jalan tengah.”

              Arsalan mengangguk. Nyata bicara Rusyd ada kebenarannya. Wajah Arsalan tidak ceria. Jelas dia sedang memikirkan bagaimana mahu mendapatkan solusi terbaik kepada apa yang telah dimulakan oleh Rusyd semalam.

              Bahu Arsalan dipegangnya dengan kejap. Arsalan memandang Rusyd dan pandangan mereka bertaut.

              “Tuan, masalah ini aku yang mulakan, maka aku yang akan menamatkannya.”

Mata Rusyd bersinar dengan keyakinan. Dia teguh mahu menjadi solusi kepada masalah ini.

              “Engkau akan buat apa?”

              “Melunaskan apa yang tertunggak.”

Bahu Arsalan ditepuknya lembut, sebelum Rusyd bergerak meninggalkan lelaki menuju meja untuk bersarapan. Tidak lama kemudian, tanpa menambah sebarang bicara, Arsalan menuruti jejak langkah pemuda tersebut.

***

Bandar Umbra megah dengan bangunan-bangunan tinggi berupa menara. Hasil daripada perkongsian Arsalan, Rusyd kini mengetahui bahawa Umbra merupakan bandar yang hidup dengan perniagaan. Para pedagang keluar dan masuk, membuka kedai, menjual dan membeli bermacam-macam barang dagangan.

              Jalan yang menjadi pembahagi jarak antara barisan bangunan di bandar ini, juga dibina dengan agak luas. Ada sekitar sepuluh depa. Kafilah-kafilah perniagaan juga mereka yang menarik kereta sorong dengan binatang secara persendirian, lalu lalang dengan lancar dek keluasan jalan di bandar ini. Bahkan, menambahkan lagi keselesaan orang ramai, jalan-jalan di Umbra ini berturap dengan tar hitam yang digaul dengan batu-batu kecil dan kerikil.

              Umbra memang makmur. Kerana itu, sekolah-sekolah persilatan berprestij menjadikan bandar ini sebagai pusat operasi. Namun, menurut Arsalan, itu semua hanya berpusat di tengah-tengah bandar. Ada pun di pinggiran bandar, Umbra masih mempunyai ramai penduduk miskin dan kawasan setinggan, tempat kebanyakan anak-anak murid Arsalan tinggal.

              Walaupun Umbra berada di Wilayah Augustus yang dinaungi Kerajaan Inlectus, Sekolah Persilatan Furorem mempunyai pengaruh yang besar di sini. Hal ini berpunca daripada para pegawai dan pemimpin Wilayah Augustus, bahkan dalam Kerajaan Inlectus ini, kebanyakannya merupakan pelajar-pelajar Furorem. Dek kerana itu, Sekolah Persilatan Furorem boleh melakukan apa sahaja yang disukainya.

              Dari kejauhan, Rusyd sudah dapat melihat sebuah bangunan besar, mempunyai lima menara megah dengan panji yang terpampang padanya lambang Furorem. Bangunan tersebut memantulkan cahaya mentari, menjadikan sesiapa yang memandang tepat kepadanya, kesilauan.

              “Mewah.” Rusyd memberikan komentar.

              “Sedekad merajai alam persilatan, boleh membuatkan engkau lupa apa makna seni persilatan yang sebenar.”

              “Daripada untuk mempertahankan diri, menjadi untuk mengejar kemegahan?”

              Arsalan mengangguk. “Apakah engkau mempunyai niat yang sama, Rusyd?”

              Rusyd tidak segera menjawab. Dia tidak dapat berbohong bahawa setelah mengetahui wujudnya gelaran ‘Legenda’, dia punya keinginan untuk menyandang gelaran tersebut. Fikirnya, selepas sedekad bersusah payah berlatih di bawah didikan keras Aslim, dia patut memanfaatkan kebolehannya untuk kelebihan diri sendiri.

              Membalas dendam, mengejar kesenangan.

              Tambahan, dia membayangkan ayahanda dan bonda pasti bangga dengan pencapaian tersebut. Apa lagi penghormatan tertinggi daripadanya buat mereka?

              “Apakah salah untuk mengejar kesenangan? Bukankah itu namanya kehidupan?”

              “Kehidupan ini hanyalah tempat tumpangan yang sementara.”

              “Kemudian?”

              “Untuk aku, aku percaya bahawa kita akan dibangkitkan semula di hadapan Tuhan sekalian alam, dihitung dan dinilai berdasarkan apa yang telah kita lakukan di dunia ini.”

              Rusyd tertawa. “Bagaimana engkau boleh mempercayai hal sedemikian?”

              Arsalan tersenyum. “Kerana aku percaya bahawa jika kita hidup dan pengakhiran kita hanya menjadi makanan ulat, maka itu adalah kehidupan yang sia-sia.”

              Tawa Rusyd terhenti. Entah mengapa, bicara itu seakan-akan memberikannya perspektif yang tidak pernah difikirkan selama ini.

              “Kesenangan di dunia ini tidak lain hanyalah satu tipu daya.”

              “Jadi agamamu tidak membenarkan penganutnya mengejar kesenangan?”

              “Tidak ada masalah mengejar kesenangan, asalkan bukan dengan jalan yang salah dan berpada-pada.”

              Rusyd diam. Cuba berfikir panjang akan bicara Arsalan itu.

“Berpada-pada?”

Jiwanya mengulang-ulang ungkapan tersebut. Sukar untuk dia menerima pegangan Arsalan. Pegangan itu seperti mengongkong potensi manusia untuk mencapai yang tertinggi. Mengapa perlu disekat kemahuan insan untuk mencapai sesuatu?

              Riak wajah Rusyd yang berkerut itu jelas diperhatikan Arsalan. Rusyd perasan pahlawan itu tersenyum.

“Engkau masih belum memahaminya. Tidak mengapa. Satu hari nanti engkau akan memahaminya.” Belakang bahu kanan Rusyd ditepuknya lembut. “Dendam membawa kepada kerosakan, bukan? Kerana dendam itu ialah sebahagian daripada perasaan berlebih-lebihan. Tidak terkawal. Demikian berlebih-lebihan dalam mengejar kemewahan dunia, kita tidak akan terkawal, lantas membawa kepada kerosakan.”

Rusyd tidak membalas. Dia seperti dapat melihat kebenaran kata-kata Arsalan itu, tetapi hati kecilnya membidas untuk tidak menerima. Pun begitu, menghormati Arsalan, dia tidak mahu perjalanan mereka diisi perbahasan. Tambahan, mereka sudah hampir sampai di Furorem.

Lantas Rusyd mengunci bicara.

              Mereka tiba di sebuah dataran luas yang dipenuhi orang ramai, pelbagai gaya dan kerenah. Di tengah-tengah dataran ini, terdapat sebuah menara tinggi berwarna hitam, simbol kemegahan Umbra. Dataran luas ini dikelilingi pelbagai bangunan lain, kebanyakannya adalah bangunan perniagaan. Sebahagiannya pula adalah sekolah persilatan berprestij.

              Di arah utara, bangunan Furorem jelas kelihatan paling menyerlah, ditambah dengan bunyi orang ramai berlatih ilmu persilatan, kedengaran jelas dari luar.

              “Ayuh.”

Arsalan menggerakkan kepala, memberikan isyarat agar Rusyd mengekorinya. Mereka berdua terus berjalan menuju pintu gerbang yang sangat besar.

Di hadapan pintu gerbang tersebut, mereka disambut salah seorang daripada dua pengawal yang bertugas. Pengawal-pengawal itu mengenakan helmet besi bersama-sama zirah pada badan, berseluar labuh dan mengenakan but. Tangan kanan memegang senjata berbatang kayu panjang yang pada hujungnya terdapat pedang bermata dua.

              “Untuk tujuan apa?”

              “Bertemu Mahaguru Furorem.”

              “Ada janji temu?”

              Arsalan menggeleng.

              “Jika demikian, berambus.”

Pengawal tersebut menggerakkan tangan kiri, menunjuk ke satu arah, isyarat agar Rusyd dan Arsalan beredar.

              “Lusla ada?” Rusyd mencelah.

Arsalan memandang sedikit ke belakang untuk melihat wajah Rusyd. Wajah Arsalan menyiarkan mimik risau. Mata Rusyd menghantar isyarat agar Arsalan bertenang.

              “Apa yang engkau mahu dengan Lusla? Dia tidak ada di sini.”

              “Dia berada di mana?” Rusyd bertanya lagi, tanpa rasa gentar atau risau.

              Mata si pengawal menjegil, menentang pandangan Rusyd, tetapi Rusyd tetap tidak mengalihkan matanya.

              “Dia sedang dirawat. Khabarnya dicederakan seorang budak.”

              Rusyd tersenyum lebar. “Akulah ‘budak’ itu.”

              Mata si pengawal terbelalak. Segera dia melompat sedepa ke belakang. Hampir sahaja tumitnya berlanggar dengan pintu gerbang. Senjata terus diacukan ke arah Rusyd. Rakannya pula, apabila melihat tindakan tersebut, terus bergegas ke sisi pengawal tersebut dan melakukan hal yang sama.

              “Apa yang telah berlaku?” Pengawal yang baru tiba meninggikan suara.

              “Budak ini mengaku bahawa dialah yang menumbangkan Lusla semalam!”

              “Mustahil. Budak ini?”

              “Hei, jangan pandang rendah dengan orang muda.” Rusyd bersahaja sambil menggerak-gerakkan telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

              “Apa yang engkau mahu di sini?”

              “Persoalan yang sebenar ialah, apa yang kalian berdua mahu? Aku berikan kalian dua pilihan.” Telunjuk Rusyd kini tegak diiringi jari tengah.

Kedua-dua pengawal tidak bereaksi. Menanti Rusyd mempersembahkan pilihannya.

              “Pertama: Aku bertempur dengan kalian berdua, dan kalian berdua akan menerima nasib seperti Lusla, seterusnya aku akan masuk bertemu Mahaguru kalian. Kedua: Kalian benarkan aku dan rakanku ini, masuk bertemu Mahaguru kalian dengan aman dan selamat. Pilih.”

              Dua pengawal itu saling berpandangan. Wajah mereka jelas dibakar amarah. Mereka tidak dapat menyembunyikan rasa terhina dengan cara Rusyd berbicara.

              “Kita ajar sahaja budak bongkak ini!”

Salah seorang pengawal memecut ke hadapan sambil menujah senjata panjangnya itu. Pergerakannya tangkas, tetapi tidak cukup tangkas untuk senjatanya mencederakan Rusyd.

              Rusyd dengan mudah menyendengkan tubuh, keluar daripada pusat sasaran, sebelum menghantar siku kanannya untuk menganggu kestabilan senjata pengawal tersebut. Kemudian, tangan yang sama menangkap batang senjata itu, sebelum menariknya. Pengawal itu turut terbawa ke hadapan, sebelum telapak tangan kiri Rusyd mendarat pada pipi pengawal tersebut dengan keras.

              Darah bersemburan, dan pengawal itu tersembam menyembah tanah.

              Seorang lagi pengawal sudah melayang ke udara, melompat ke arah Rusyd dan mahu menujahkan senjatanya. Rusyd tidak panik. Bahkan sudah bersedia dengan menggerakkan kedua-dua belah tangan, menyatukan kedua-dua telapak lalu menghentikan tujahan senjata itu. Mata pengawal itu terbelalak melihat kepantasan yang dipamerkan oleh Rusyd.

              “Huh!”

Rusyd melepaskan nafas. Kedua-dua belah telapak tangannya saling ditepuk, mengakibatkan bilah senjata  tersebut hancur berkecai.

              Belum sempat pengawal itu mendarat ke tanah, Rusyd sudah melemparkan kembali kepingan-kepingan bilah tersebut kepadanya. Kelam kabut si pengawal cuba menyelamatkan diri daripada ditikam kepingan-kepingan senjatanya sendiri. Sebahagian pakaiannya koyak, dan tubuhnya calar-balar.

              “Kurang ajar!”

Si pengawal tidak dapat menerima hakikat apa yang berlaku setelah melihat keadaan tubuh badannya. Pantas dia mengangkat wajah untuk memandang Rusyd, tetapi alangkah terkejutnya dia, Rusyd sudah berada betul-betul di hadapan dirinya.

              Pengawal itu dilempang sekuat hati, hingga bersepai gigi-giginya. Bersama semburan darah di udara, tubuh pengawal itu terangkat sebelum berpusing, kemudian jatuh terlentang di hadapan pintu gerbang.

              “Kekecohan apa ini!”

Laungan yang kasar lagi tegas kedengaran seiring pintu gerbang yang terbuka secara tiba-tiba. Tiga orang pendekar, dua lelaki, seorang perempuan, bergegas mara ke arah Rusyd dan Arsalan.

Pada masa yang sama, di belakang mereka, Rusyd dapat melihat lautan pemuda pemudi yang berpakaian pelatih ilmu persilatan, sedang berdiri berbaris-baris. Bilangan mereka tidak dapat dibilang dan diagak.

              Ketiga-tiga pendekar itu kelihatan agak senior. Seperti berumur sekitar 40-an.

              “Arsalan?” Pendekar perempuan itu mengerutkan dahi, sambil dia dan dua pendekar lelaki yang bersama-samanya, berada dalam keadaan siaga.

              “Musna.” Arsalan sekadar menyebut nama tersebut, yang Rusyd yakin merupakan milik pendekar perempuan itu.

              “Apa gerangannya semua ini? Hari ini kami akan menghantar wakil untuk berurus dengan kalian. Tetapi tidak sangka kalian telah terpacak di sini. Apakah kalian begitu mendambakan kematian?” Musna menjegilkan mata. Langkah silatnya masih tidak dibubar.

Demikian juga kesiagaan dua orang rakan yang hadir bersamanya.

              “Lusla datang secara tiba-tiba semalam dan meminta aku membuat bayaran untuk pertambahan bilangan anak muridku …”

              “Itu adalah peraturan kita di sini.” Musna meninggikan suara, memotong bicara Arsalan. “Dan aku dengar, seorang budak telah menumbangkan Lusla. Adakah ini budaknya?” Musna memandang tepat ke arah Rusyd dengan pandangan tajam.

              “Berani kalian berbuat onar di sini!” Salah seorang pendekar lelaki menengking, liurnya terhambur. Wajahnya bengis dipenuhi parut yang telah sembuh.

              Rusyd mengerutkan dahi. Suara itu …

“Siapakah namamu?” Rusyd melontar pertanyaan terhadap pendekar lelaki yang menengkingnya itu.

              “Engkau tidak layak untuk mengetahui siapa aku!” Pendekar itu menjawab kasar dengan mimik muka menghina.

              Mata Rusyd membesar.

              Arsalan perasan perubahan riak wajah Rusyd. Segera dia mencapai lengan Rusyd. “Bertenang!”

              “Suaranya seperti …”

Bicara Rusyd tidak sempat disempurnakan. Suasana menjadi lebih menekan tanpa diduga, seakan graviti spontan bertambah. Bulu roma Rusyd mencanak sendiri.

Musna dan dua pendekar lelaki itu segera membubarkan siaga mereka, dan bergerak ke sisi, memberikan ruang kepada seorang lelaki berwajah coklat cerah, bermata bundar, rambutnya putih panjang bertenggek di atas bahu, jatuh sebahagiannya ke atas dada, berjalan melepasi mereka. Pakaian lelaki titu megah dan labuh tetapi lengannya terdedah.

“Mahaguru!” Musna dan dua orang rakannya menunduk hormat.

              Lelaki itu tidak kelihatan membawa senjata apa-apa.

              Dahi Rusyd tambah berkerut dengan kehadiran lelaki tersebut. Walaupun baru bertemu, naluri Rusyd jelas memberitahu dirinya bahawa lelaki yang baru tiba itu bukan calang-calang.

              Inikah Mahaguru Furorem?

              “Apakah ini?” Suara Mahaguru Furorem itu rendah, tetapi penuh dengan ketegasan.

              “Arsalan hadir bersama budak yang dikhabarkan telah menumbangkan Lusla.”

              “Ini budaknya?” Mahaguru Furorem itu memakukan pandangannya terhadap Rusyd.

              Pandangan mereka bertaut. Entah mengapa, Rusyd dapat merasakan yang pandangan itu sahaja punya tekanan yang tersendiri. Tetapi Rusyd juga bukan budak hingusan untuk tunduk kepada tekanan-tekanan yang terhasil daripada kehebatan seseorang.

              Dia tinggal sedekad bersama Aslim. Dia sudah biasa dengan tekanan yang dikeluarkan oleh seorang pendekar hebat!

              “Untuk engkau bersahaja menghadapiku begini tanpa sebarang masalah, aku berani menyatakan yang engkau bukan calang-calang.” Mahaguru Furorem itu bersuara tenang dan perlahan. “Arsalan,” Kepalanya menoleh kepada pendekar bermisai tebal itu. “Sepatutnya semalam lagi kami menghantar wakil menguruskan hal ini, tetapi kesibukan kami melangkaui kehendak. Engkau sepatutnya bersyukur, bukannnya membuat onar.”

              Rusyd tersengih. Sempat dia memandang Arsalan dan memberikan isyarat untuk tidak mengeluarkan apa-apa respons. Kemudian Rusyd menatap tepat ke arah Mahaguru Furorem, dan membuka mulutnya.

“Tumpukan perhatian engkau kepadaku. Aku ke mari membawa dua hajat.”

              “Suarakan.”

Mahaguru Furorem mengangkat tangan, mempelawa, sambil diperhatikan oleh Musna dan dua pendekar yang lain. Ternyata pendekar yang sudah berusia itu tidak cepat melenting sebagaimana anak-anak muridnya.

              “Aku mahu menuntut bela atas kematian ayahanda dan bondaku, dan kemudian aku mahu Furorem tidak lagi menganggu sekolah persilatan milik Tuan Arsalan!”

              “Siapa yang membunuh ibu bapamu di sini?” Mahaguru Furorem itu mengerutkan dahi.

              Rusyd menunjukkan pendekar yang membuat mimik muka menghinanya tadi.

              Pendekar itu terkejut. “Siapakah gerangan engkau? Aku tidak mengenali engkau pun sebelum ini!”

              “Aku Rusyd. Aku masih ingat, engkau telah membunuh ayahanda dan bondaku sedekad yang lalu, di selatan Alben!”         

Suasana tegang lagi genting itu kini diisi dengan sunyi. Masing-masing saling berpandangan. Namun tidak lama kemudian, pendekar yang ditunjuk oleh Rusyd itu memandang tepat ke arahnya.

              “Engkau anak kepada Thoriq? Pendekar Bersembilan?”

              Soalan itu membuatkan Rusyd terpempan.

              Pendekar Bersembilan? Ayahandanya?

              Dia memandang Arsalan. Ayahanda kepada Hana itu jelas turut terkejut.

              “Ah, engkau tidak tahu?” Mahaguru Furorem mencelah.

              “Jika benar ayahandamu itu bernama Thoriq, salah seorang Pendekar Bersembilan, maka benar, aku, Yulong, telah membunuhnya.”

Yulong, pendekar berbaju hitam lengan panjang, dengan selempang merah pada pinggang dilengkapi dua bilah pedang pendek. Wajahnya dipenuhi parut lama. Matanya tajam seperti helang. Berkumis nipis. Rambutnya panjang tetapi lurus dan kemas.

              “Kenapa?” Rusyd meninggikan suara sambil menajamkan pandangan.

              “Kerana dia dan isterinya telah menyembunyikan lokasi Penjejak Langit!”

              Mata Rusyd membesar.