Bab 2 – Menjemput Cabaran

Hidup insan tidak sepi daripada cabaran,
lari atau hadapi.
Kita sama ada menghadapi dan mengecap kemenangan,
atau tewas dengan terus berlari.

Sudah sepuluh hari Rusyd meninggalkan Alben. Rusyd kini membawa langkahan menuju ke utara Inlectus. Destinasinya ialah Bandar Umbra. Menurut Lucerna, Umbra merupakan salah satu daripada tiga bandar paling pesat di Inlectus. Terletak di Wilayah Agustus, wilayah yang menjadi pusat kepada Kerajaan Inlectus.

              Di sana, terdapat banyak sekolah persilatan, termasuk sekolah-sekolah persilatan yang berprestij.

Lambang yang ditunjuk oleh Rusyd kepada Lucerna dikatakan merupakan milik Sekolah Persilatan Furorem, antara sekolah persilatan paling disegani dan digeruni.

Setelah menjamah makanan enak hasil air tangan Lucerna, Rusyd tidak meluangkan masa lebih lama di tempat wanita tua tersebut. Dia meminta izin untuk menyambung kembara.

              “Dendam itu merosakkan, anakanda.” Lucerna mengucup dahi Rusyd, seperti seorang ibu yang berharapkan kebaikan untuk anaknya.

              “Ah, Guru sering mengulangi ayat yang sama.” Rusyd melangkah keluar dari kedai buku.

              “Kerana dia yang menyebutkannya kepadaku.” Lucerna mengangkat tangan, menghantar Rusyd pergi dengan senyuman sederhana.

              Daripada riak wajah wanita berusia itu, Rusyd tahu Lucerna keberatan untuk membiarkan dia menyambung perjalanan menuntut bela atas kematian orang tuanya. Rusyd sekadar membalas senyuman itu sebelum berpaling dan bergerak meninggalkan Lucerna.

              Rusyd tidak tahu apa hubungan sebenar antara Aslim dan Lucerna.

Mereka seperti punya pertalian yang tidak dapat digambarkan. Agak banyak persamaan sikap. Tetapi Rusyd amat yakin yang Aslim bukanlah anak kandung kepada Lucerna. Wajah mereka berbeza. Rusyd juga tidak dapat menggambarkan Aslim sebagai ‘anak emak’, ditambah pula Lucerna pernah berkongsi bahawa sebelum kehadiran Rusyd, mereka berdua telah teramat lama tidak bersua.

Maka pastinya Aslim bukan anak kandung Lucerna.

Mungkin pada awal perkenalan mereka, tika mencari tempat pertapaan itu, Aslim pernah berkongsikan kisahnya yang sebenar kepada wanita itu. Rusyd tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu. Memandangkan Aslim sendiri bukan orang yang gemar melayan banyak pertanyaan, terutama hal-hal yang melibatkan masa silamnya.

              Masa silam Aslim adalah misteri kepada Rusyd walaupun dia telah tinggal sedekad bersama gurunya itu. Dia hanya mengenali gurunya sebagai seorang pendekar yang teramat hebat.

Sepanjang sedekad ini, Rusyd tidak pernah melihat Aslim mencari pertarungan dengan sesiapa. Aslim mempamerkan kehebatannya saat melatih Rusyd sahaja.

Aslim juga seorang yang sering bersikap ganjil. Suka menyendiri. Kadangkala, menghabiskan masa dengan melukis panorama dari atas Puncak Tanpa Nama. Tidur di dalam kubur. Ada  masa, dia akan mendengar gurunya itu menangis teramat hiba tatkala bersendiri. Seakan ada perkara yang amat dikesali dan sangat berbekas pada kehidupan gurunya itu.

Tetapi Rusyd tidak punya minat untuk mengorek lebih dalam. Bahkan Aslim tidak pernah memberikan ruang dan peluang untuk Rusyd bertanya. Setiap masa mereka bersama, Rusyd akan dilatih dengan latihan yang amat berat, atau akan diceramah berkenaan moral dan prinsip supaya ilmu yang diturunkan tidak disalah guna, serta harapan Aslim – tidak digunakan untuk melunaskan dendam.

“Ilmu persilatan ialah kuasa.” Dia dapat mendengar bunyi langkahan Aslim, berjalan mengelilinginya.

“Ya, ya, ya. Dan kuasa itu ada kesannya.” Rusyd acuh tidak acuh, sambil memejam mata dan bersila di atas sebuah batu. Kedua-dua belah tangannya bersatu di bawah pusat.

“Kuasa itu tanggungjawab. Sama ada kita bertanggungjawab atau tidak, itu pilihan kita. Tetapi, setiap pilihan kita ada kesan dan akibatnya.”

“Kita bertanggungjawab terhadap kesan dan akibatnya!” Rusyd meninggikan suara. Cuba menggambarkan rasa rimas.

Matanya terbuka. Dia dapat melihat Aslim berdiri di sisinya. Mata Guru yang dingin bernaung di bawah topi jerami, kini seakan-akan sedang merangkul pandangannya.

“Engkau bosan mendengar bicaraku, Rusyd?”

Rusyd tersengih. Mengangguk. Ini bukan pertama kali dialog seperti ini berlaku.

“Kerana akhirnya Guru akan kembali kepada ‘Dendam itu merosakkan.’ Mengapa, Guru? Apakah engkau ada pengalaman yang mahu dikongsikan kepadaku, agar aku belajar?”

Aslim mendengus. Pandangannya berkalih.

“Pengalaman aku tidak punya makna apa-apa untukmu. Engkau tidak akan menerimanya dengan hati yang terbuka.”

“Belum cuba, belum tahu.”

Aslim diam tidak segera membalas.

“Sudah, sambung. Pejamkan matamu.”

              Dan demikianlah untuk beberapa kali yang seterusnya, sehingga Rusyd tidak lagi berminat untuk mengorek sejarah silam Aslim. Padanya, sekiranya Aslim memang tidak mahu berkongsi, pasti ada sebab yang benar-benar kukuh. Jika tidak, masakan Aslim langsung tidak membuka cerita.

              “Ayahanda, pemuda itu pastinya seorang pendekar.”

Suara itu mengeluarkan Rusyd daripada lamunan. Segera wajahnya berkalih, memandang ke arah suara itu datang.

              Seorang wanita, berkulit hitam manis, sebahagian kepalanya dilindungi pelikat, sebahagian lagi menzahirkan rambut ikal yang panjang. Pakaiannya labuh dan sopan serta berwarna susu. Wanita itu berjalan dengan seorang lelaki, wajahnya sedikit berkedut, dihiasi misai dan jambang tebal, rambutnya kerinting dan lebat, tubuhnya tegap tetapi tidak terlalu sasa, dibaluti pakaian berlengan panjang berwarna hitam.

              Di belakang tubuh lelaki itu tersandang karung dan pada belakang pinggangnya bersilang sebilah golok.

              Lelaki itu menguis wanita tersebut dengan bahunya. Pergerakan kecil, tapi sempat dikesani Rusyd.

              “Maaf, ayahanda.” Telinga Rusyd menangkap bisikan wanita itu.

              Mungkin menyedari reaksi mereka berdua sedang ditatap oleh Rusyd, lelaki itu menundukkan sedikit kepalanya. “Maafkan sikap puteriku.”

              Rusyd menggeleng. “Tidak mengapa.”

Rusyd mengukir senyuman untuk menghantar isyarat bahawa dia bukan ancaman. Namun, Rusyd perasan, matanya tidak dapat dikawal daripada menatap keindahan wanita berambut ikal di hadapannya.

              Sedar yang pandangannya telah terbabas, Rusyd segera keluar daripada keadaan tersebut dengan berbasa-basi.

              “Kalian mahu ke Umbra juga?”

              Lelaki itu berdehem. “Kami tinggal di Umbra.”

              Wanita berkerudung segera beralih tempat. Kini, lelaki itu berdiri di antara Rusyd dan dia.

              Rusyd turut berdehem dan kini memberikan fokus kepada lelaki tersebut. “Oh?”

              “Siapa geranganmu? Daripada sekolah persilatan mana?” Lelaki itu bertanya.

              “Aku Rusyd.” Rusyd membawa pedangnya ke hadapan. Mungkin kerana membawa senjata, maka terus dia dikenali sebagai pendekar. “Aku tidak menyertai mana-mana sekolah persilatan.”

              “Ah?” Lelaki itu seperti terkejut. “Puteriku ini asalnya menyangka engkau pastinya mahu mencabar sesiapa di Umbra.”

Rusyd tidak pasti apa yang difikirkan oleh lelaki itu, tetapi hati Rusyd pantas menyangka yang lelaki itu memandang rendah kepadanya. Yalah, membawa senjata, tetapi tidak berasal daripada mana-mana sekolah persilatan. Seperti seseorang yang hanya berlakon menjadi pendekar.

              “Siapa pula gerangan tuan?” Rusyd sempat melirik kepada puteri lelaki itu, yang kini seperti tersipu-sipu, cuba menyembunyikan diri di balik tubuh ayahandanya.

              “Aku Arsalan. Ini puteriku, Hana.”

              “Salam perkenalan.” Rusyd menundukkan sedikit kepala.

Arsalan dan Hana sama-sama menundukkan sedikit kepala, membalas hormat.

              “Apa tujuan engkau ke Umbra?” Arsalan meneruskan perbualan.

              Rusyd sedikit teragak-agak mahu menjawab, memandangkan tujuannya merupakan tujuan yang berbentuk amat peribadi. Tambahan, Rusyd pasti sekiranya dia mengkhabarkan yang tujuannya ialah mahu membunuh sekumpulan manusia dek kerana mahu melunaskan dendam, pasti itu akan memberikan pandangan yang buruk kepadanya. Silap hari bulan, dia akan dihalang!

              “Urusan peribadi, tuan.” Rusyd mengelak daripada berterus terang.

              Arsalan terangguk-angguk. “Engkau nampak seperti anak muda yang baik, Rusyd.” Tangan Arsalan mencapai bahunya. Membuatkan Rusyd menatap wajah Arsalan dengan lebih tepat. “Maka aku ingin berpesan yang Umbra turut punya ancamannya. Berhati-hatilah. Terutama dengan para pendekar.”

              “Oh, mengapa?” Rusyd mengangkat kening. Teruja.

              Tangan Arsalan turun. “Lumrah manusia berkuasa. Inginkan lebih kuasa. Fitrah dunia persilatan kita, mahu membuktikan siapa yang terhebat. Dengan itu, akan lebih dihormati, disegani dan digeruni.”

              “Aku difahamkan tiada siapa yang berjaya menemui penyandang ‘Legenda’ tiga dekad kebelakangan ini. Maka, mengapa masih ada perlumbaan untuk mencari yang terhebat?” Rusyd menggaru kepala yang tidak gatal.

              Arsalan dilihatnya sedikit terpempan. Bahkan langkahan lelaki itu sedikit terganggu sebaik sahaja perkataan ‘Legenda’ terpacul daripada mulut Rusyd. Walaupun reaksi itu sekadar sedetik masa, Rusyd yang telah dilatih untuk mempunyai pemerhatian yang amat teliti, berjaya menangkap reaksi Arsalan tersebut.

              “Aku ada salah sebutkah?”

              Arsalan tersengih. “Aku menyangka engkau hanya budak yang tidak tahu apa-apa, berlakon menjadi pendekar.”

              Rusyd tertawa. Tidak menyangka bahawa sangkaan awalnya benar. “Jadi apa yang membuatkan tuan sekarang menganggap aku mengetahui sesuatu?”

              “Kerana pada hari ini, perlumbaan menyandang gelaran ‘Legenda’ hanya bualan para pendekar yang benar-benar mahu membuktikan kehebatan mereka. Bukan lagi sesuatu yang diketahui awam. Jika engkau mengetahuinya, bermakna engkau bukan calang-calang.”

              Sengihan muncul mencorakkan bibir Rusyd. Terima kasih, Lucerna!

              “Walaupun tiada lagi yang berjaya menemui penyandang gelaran tersebut, tetapi dunia persilatan saling beradu tenaga sesama mereka untuk membuktikan siapa yang terhebat, sekurang-kurangnya siapa yang terhebat selepas penyandang gelaran ‘Legenda’.” Arsalan berkongsi.

              “Apakah ini bermakna tiada siapa lagi mengejar gelaran tersebut? Sudah ada gelaran baharukah?”

              Arsalan menggeleng. “Gelaran itu sesuatu yang suci. Tidak akan dinodai dengan mudah-mudah diganti. Bahkan, masih ada sekolah-sekolah persilatan yang aktif menggalakkan pencarian penyandang gelaran tersebut.”

              “Oh? Siapakah gerangannya?”

“Penjejak Langit.”

              “Jadi sementara itu, bagaimana mereka membuktikan siapa yang terhebat?” Rusyd teruja, digoda rasa ingin tahu.

              “Pertarungan antara sekolah-sekolah persilatan. Mereka akan saling cabar-mencabar, kemudian bertarung. Di mana-mana sahaja. Pada bila-bila masa sahaja. Asal ada yang berani.”

              “Tetapi hanya ada beberapa sekolah yang masih tergila-gilakan gelaran. Sekolah-sekolah berprestij. Manakala kebanyakan sekolah lain, sekolah-sekolah biasa, tidak lagi terlibat dengan hal-hal merepek sebegini.” Tiba-tiba Hana mencelah.

              Arsalan spontan menoleh ke arah puterinya. Hana menundukkan wajah, mengelak daripada ditikam pandangan ayahandanya.

Rusyd tersenyum. Pastinya Hana khusyuk dan memberikan perhatian sepanjang perbualan dia dan ayahandanya. Rusyd tidak pasti, mungkin kerana dia tidak pernah merapati mana-mana wanita selama ini, kecuali Lucerna yang telah dianggap seperti seorang ibu, dia ada perasaan aneh terhadap Hana. Hatinya kembang apabila menyedari Hana mengikuti perbualannya dengan Arsalan.

              “Maafkan puteriku.”

              “Tidak mengapa, tuan. Aku ini masih banyak tidak tahu.”

              “Apakah kerana engkau datang dari bandar terpencil?” Arsalan menduga.

Ternyata pemerhatian lelaki berumur ini tajam amat. Tetapi Rusyd pastinya tidak mahu mendedahkan bahawa dia datang dari pergunungan, Puncak Tanpa Nama. Aslim melarang lokasi itu didedahkan, hatta sekadar disebut, agar tiada sesiapa langsung yang menjejakkan kaki di sana. Gurunya itu tidak mahu diganggu.

              “Engkau datang dari Alben?” Arsalan meneka.

              Rusyd sedikit tersentak. Dia mengingatkan dirinya yang dia perlu lebih berhati-hati dengan Arsalan. Rusyd mengangguk, walaupun tahu makna soalan Arsalan itu bukan bermaksud arah, tetapi bertanyakan asal usul.

              “Bandar kecil seperti itu memang tidak menerima berita-berita dunia persilatan. Di sana tiada sekolah persilatan, bukan?”

              Rusyd mengangguk lagi.

              “Ah, akhirnya …” Hana bersuara.

              Rusyd dan Arsalan hampir serentak menoleh ke hadapan.

              Bangunan-bangunan tinggi menghiasi pandangan. Megah. Dari kejauhan, sudah kelihatan orang keluar masuk ke kota tersebut dari beberapa arah.

              “Selamat datang ke Umbra, anak muda.” Arsalan menepuk bahu Rusyd.

              Rusyd mengukir senyuman lebar. Akhirnya, dia tiba.

              “Jemput ke rumahku. Berehat terlebih dahulu. Waktu pun sudah menjengah senja.” Arsalan mempelawa.

              Rusyd terdiam sejenak. Setelah mempertimbangkan yang dia tidak perlu terburu-buru, juga ini adalah peluang untuk dia lebih mengenali Hana, maka perlahan-lahan Rusyd mengangguk.

              “Tuan ternyata amat baik hati.” Rusyd menunduk hormat, sempat dia melirik ke arah Hana.

              Hana melarikan pandangan, menundukkan sedikit kepala, tersipu.

              Rusyd tersenyum melihat reaksi itu.

              Entah mengapa, jiwanya berbunga.

***

Rusyd melepaskan pandangan ke arah kawasan lapang yang dimeriahkan dengan tiga barisan pemuda pemudi. Masing-masing berpakaian putih susu lengan panjang, berselempang kuning pada pinggang, berseluar hitam yang tercerut di atas buku lali, dan berkaki ayam.

              Setiap barisan diisi lima orang. Lelaki dan perempuan bercampur. Berlainan rupa, berlainan warna kulit. Tetapi bergerak dengan pergerakan yang sama. Langkah-langkah persilatan seperti tumbukan, tendangan, elakan, sendengan, sepakan dan pertahanan, semua dilakukan serentak. Sekali-sekala, mereka akan sama-sama bersuara melepaskan nafas seiring tumbukan dan tendangan.

              Mengetuai mereka ialah seorang wanita, berambut panjang melepasi bahu, tetapi diikat lilit. Kulitnya cerah, namun terdapat parut merah yang bersilang dengan mata kanannya dari atas turun ke pipi. Wanita itu sekadar bersuara ‘Hah!’ dan barisan pemuda pemudi tersebut akan melakukan pergerakan demi pergerakan, seiring suara yang dilepaskan.

              Inilah sekolah persilatan milik Arsalan.

Ya, Rusyd langsung tidak menjangka yang Arsalan rupanya seorang Mahaguru sekolah persilatan. Lelaki itu dan puterinya tinggal di sini, sambil Arsalan mencurahkan bakti mengajar pemuda pemudi yang berminat dengan alam persilatan, untuk belajar seni mempertahankan diri.

              “Jemput minum.”

Suara Hana membuatkan Rusyd spontan menoleh. Senyuman dilemparkannya. Hana tersipu dan menunduk, tetapi tidak bergerak pergi. Cawan berisi air dihulur penuh sopan kepada Rusyd.

              Rusyd menundukkan kepala sedikit, tanda hormat dan terima kasih, sambil menyambut cawan tersebut. Sempat dia melirik air di dalam cawan.

              ‘Teh herba.’ Hatinya bersuara. Segera dihirup. Keningnya terangkat.

              “Ada masalahkah?” Hana kerisauan.

              “Hmm, macam ada sesuatu yang kurang.”

              “Ah? Benarkah?” Hana kelihatan panik. Mungkin rasa terkilan sekiranya air yang disediakan, memberikan rasa tidak enak kepada tetamu.

              Rusyd menyerahkan cawannya kepada Hana. “Cuba Cik Hana rasa.”

              Cawan itu segera disambut. Hana meletakkan bibirnya pada cawan dan menghirup teh herba tersebut. Riak wajah Hana jelas kerisauan. Sesiapa sahaja yang melihatnya kini, boleh menjangka yang Hana mencuba yang terbaik untuk mencari di mana kekurangan teh herba yang disediakan.

              “Rasanya tepat. Tidak ada kekurangan.” Hana memberikan komentar balas. “Mungkin Tuan Rusyd boleh merasainya semula?” Hana menghulur cawan tersebut dengan penuh hormat.

              Rusyd tersenyum. Cawannya disambut semula sambil mata tidak lepas daripada memandang Hana. Wanita itu hingga menundukkan wajah, cuba untuk melarikan pandangannya daripada bertaut dengan Rusyd.

              Rusyd menghirup teh tersebut, kemudian keningnya terangkat semula.

              “Masih dirasai kekurangannya?” Hana rupanya telah kembali memerhatikan Rusyd. Mungkin mahu meninjau reaksinya.

              Rusyd tersenyum lebar. “Selepas Cik Hana mencicipi teh ini, barulah rasanya lengkap.”

              Selajur wajah Hana bertukar menjadi merah. Namun, dia ternyata tidak sempat untuk menyembunyikan senyumannya. Segera gadis itu berpaling dan bergerak laju meninggalkan tempat tersebut, bergerak ke arah bertentangan dari arah perjalanan ayahandanya yang kini sedang menuju ke meja tempat Rusyd berehat.

              Arsalan sempat menoleh memerhatikan puterinya. Mungkin kehairanan mengapa puterinya berjalan begitu laju, hingga tidak sempat menoleh kepadanya.

              “Ada apa-apa yang berlakukah?” Arsalan bertanya kepada Rusyd.

              Rusyd sempat menghirup teh herba, sebelum tertawa. Cawan diletakkan di atas meja, sebelum menggeleng. “Tidak ada apa-apa, tuan. Sekadar bergurau dengan Cik Hana.”

              Arsalan tersenyum seraya mengambil tempat duduk. Pandangan dilepaskan ke arah barisan pemuda pemudi di halaman sekolah persilatannya. Rusyd turut melakukan hal yang sama.

              “Saya tidak menyangka yang tuan merupakan Mahaguru sekolah persilatan.” Rusyd bersuara. Matanya melirik ke arah Arsalan di seberang meja.

              Arsalan tersengih dan menggeleng. “Sekolah persilatan kecil sahaja, Rusyd. Tidak ada apa yang perlu dikagumkan.” Kemudian wajah yang ceria itu berubah sedikit durja. “Aku sekadar mengusahakan ini semua untuk menyelamatkan anak-anak muda ini daripada terikut-ikut arus yang merosakkan.”

              “‘Arus yang merosakkan’?”

              “Ya, dunia persilatan kita toksik. Sekolah-sekolah berprestij tidak habis-habis dengan agenda mencari yang terhebat, sehingga orang tidak lagi memahami makna sebenar seni persilatan.”

              Rusyd terdiam. Kata-kata yang diungkap Arsalan, bukan pertama kali didengarinya.

              “Sudah terlalu banyak darah yang tumpah atas sebab yang sia-sia. Sepatutnya, para pendekar mengangkat kehidupan bermaruah, bukannya bertindak meragut nyawa demi nyawa hanya untuk mengejar status.”

              “Jadi, tuan cuba membawa pemuda pemudi ini ke arah …” Rusyd sengaja tidak menyempurnakan bicara, memancing Arsalan untuk menghabiskannya dengan jawapan.

              “Ke arah hidup bermaruah. Beretika. Berdisiplin. Punya integriti. Punya wawasan.”

              “Dengan persilatan? Tidakkah ironik, sesuatu yang digunakan untuk pertempuran, yang mampu mencederakan, meragut nyawa orang lain, mampu menghasilkan maruah, etika, disiplin, integriti dan wawasan?”

              Arsalan dilihat tersengih, tanpa pandangannya dialihkan daripada anak-anak muridnya.

              “Benar. Seni persilatan boleh membawa kepada itu semua. Tetapi, hakikatnya, seni persilatan ialah kuasa. Kuasa pula ialah tanggungjawab. Sama ada kita …”

              “… bertanggungjawab atau tidak, itu pilihan kita. Tetapi, setiap pilihan kita ada kesan dan akibatnya.” Tanpa diminta, Rusyd menyambung kalam Arsalan.

              Arsalan terpana, dan memandang ke arah Rusyd.

              “Kita bertanggungjawab terhadap kesan dan akibat tersebut.” Arsalan menyempurnakan ayat tersebut. “Bagaimana engkau mengetahui kalam ini?”

              Pandangan Rusyd dan Arsalan bertentangan. “Guruku sering mengulanginya.”

              “Siapa nama gurumu?” Arsalan mengerutkan dahi.

              “Aslim.”

              Suasana antara mereka berdua menjadi sunyi. Arsalan seperti sedang cuba mengingati nama tersebut. Sekali-sekala, kedengaran suara pemuda pemudi berlatih mengisi kesunyian antara mereka.

              Arsalan menggeleng. “Aku tidak mengenalinya.”

              “Daripada siapa tuan belajar kalam tersebut?”

              “Aku mempelajarinya ketika berguru dengan Pendekar Bersembilan. Satu ketika dahulu, ketika aku masih muda. Aku merupakan anak murid kepada salah seorang daripada kalangan mereka.”

              “Aku tidak pernah mendengar akan Pendekar Bersembilan. Apakah mereka pahlawan terbilang?”

              Arsalan tertawa. Menjungkit bahu. “Engkau ternyata masih terlalu muda, Rusyd. Mereka ialah pahlawan terbilang, yang menggunakan seni persilatan untuk membawa keamanan di atas muka bumi ini. Mereka muncul sekitar sedekad selepas kehilangan Penjejak Langit. Ada khabar menyatakan bahawa mereka ialah anak-anak murid kepada penyandang gelaran ‘Legenda’ itu.”

              “‘Ada khabar’? Apakah tuan tidak mengetahuinya secara pasti?”

              “Ah, mereka tidak pernah benar-benar berkongsi. Bahkan aku juga tidak mengenali lapan pendekar yang lain.”

              Spontan Rusyd teringat kepada Aslim. Apakah gurunya itu salah seorang daripada Pendekar Bersembilan tersebut?

              “Di manakah guru tuan sekarang?”

              Arsalan tidak menjawab soalan itu dengan segera. Wajahnya bertukar keruh. Rusyd menanti Arsalan membuka mulut. Tidak mahu memaksa. Jelas daripada riak wajah Arsalan, apa yang bakal disebutnya nanti ialah sesuatu yang berat.

              “Guruku telah tiada. Dibunuh.”

              Rusyd mengerutkan dahi.

              “Dia diserang hendap oleh sekumpulan pendekar yang mahu mengejar gelaran ‘Legenda’.”

              Mata Rusyd membesar.

              “Khabar bahawa mereka adalah anak murid kepada Penjejak Langit telah tersebar meluas ketika itu, dan pada dunia persilatan, khabar itu terus dianggap benar, tanpa diperiksa. Guruku, dan sekadar khabar yang aku terima, termasuk lapan rakannya yang lain, telah dibunuh oleh pemburu-pemburu gelaran ‘Legenda’ ini.”

              Rusyd masih tidak bersuara. Cuba memberi ruang untuk Arsalan mengungkap bicara selanjutnya, andai masih bersisa.

              “Semua itu berlaku sekitar sedekad yang lalu. Saat itu adalah kemuncak pemburuan gelaran ‘Legenda’ sebelum kebanyakan orang melupakannya. Mereka menyangka, dengan tersebarnya kewujudan Pendekar Bersembilan, Penjejak Langit tidak jauh daripada dijumpai. Malangnya, selepas kesembilan-sembilan pendekar itu dibunuh, Penjejak Langit tetap tidak memunculkan diri. Lama-kelamaan, orang awam meninggalkan pemburuan gelaran tersebut, kecuali ….”

              Bang!

              Bunyi ledakan yang teramat kuat menghentam gegendang telinga. Rusyd spontan bangkit dan memanjangkan kedua-dua belah tangan ke hadapan, menyambut pintu gerbang sekolah persilatan milik Arsalan yang melayang ke arah tempat duduknya.

              Rusyd hanya terseret sedikit ke belakang, belakang lututnya menyentuh kerusi tempat dia duduk, manakala pintu gerbang besar yang diperbuat daripada kayu dan besi itu pula sedikit menyentuh meja.

Arsalan membesarkan mata. Bukan kerana terkejut dengan pintu gerbang sekolah persilatannya yang melayang, tetapi dengan kemampuan Rusyd yang menyambut pintu gerbang besar itu tanpa mengalami masalah apa-apa.

“Arsalan!”

Satu suara garang kedengaran. Rusyd menurunkan pintu gerbang tersebut daripada pegangan. Walaupun teruja untuk menghantar pintu gerbang itu melayang kembali ke arah penghantarnya, dia tidak mahu serangannya nanti terkena anak-anak murid Arsalan.

Seorang lelaki botak bertubuh gempal dan sasa, sedikit tinggi, mengenakan zirah yang diperbuat daripada gabungan kulit haiwan dan besi pada tubuhnya, sambil beberapa bahagian badan terdedah termasuk sebahagian dadanya yang mempamerkan tatu sebuah lambang.

Dia sedang melangkah masuk ke halaman sekolah persilatan Arsalan. Tangan kanan memegang sebatang cokmar yang dilengkapi duri-duri besi, dibiarkan terseret di atas tanah mengiringi setiap langkahannya.

Anak-anak murid Arsalan seperti laut yang terbelah, membuka jalan bagi lelaki tersebut, kecuali …

“Apa yang engkau mahukan, hah? Bukankah kami sudah bayar untuk bulan ini?”

Wanita yang menjadi pelatih kepada anak-anak murid Arsalan tadi kini berdiri di tengah-tengah laluan, menghalang langkahan Si Botak. Wanita itu terpaksa mendongak, dek perbezaan ketinggian antara mereka berdua.

Si Botak menjegil. Cokmar diangkat dan kini direhatkan di atas bahu kanan. Seakan memberi isyarat bahawa dia pada bila-bila masa sahaja akan melayangkan senjatanya itu sebagai tindak balas kepada kebiadapan wanita tersebut.

“Ungu, bertenang!” Arsalan memberikan arahan, sambil melangkah turun dari tangga di hadapan, sebelum menempatkan dirinya di sisi wanita bernama Ungu itu.

Rusyd masih tidak berganjak.

“Lusla, bukankah aku telah menjelaskan bayaran untuk bulan ini?”

“Ya, tetapi …” Lusla memandang anak-anak murid Arsalan dengan bengis. “Engkau telah menambah lima lagi anak murid, Arsalan. Engkau tahu, bayaran sebelum ini adalah berdasarkan bilangan anak murid engkau ketika itu.”

“Maka tunggulah hingga ke akhir bulan, Lusla. Aku yakin Mahaguru boleh bertimbang rasa.”

Tanpa sebarang isyarat dan amaran, cokmar besi itu dihayunkan dengan sepenuh kekuatan dan kelajuan ke arah Arsalan dan Ungu. Jeritan anak-anak murid Arsalan pun tidak sempat melepasi kerongkong apabila cokmar besi itu terhenti, dan menghasilkan biasan angin yang amat kuat sehingga menggegarkan dinding di sekitar halaman sekolah.

Mata Lusla membesar. Tidak ada darah yang terpercik. Dahinya berkerut.

Arsalan sendiri terkejut apabila tangannya yang telah siap diangkat untuk mempertahankan diri pada saat akhir tadi, tidak pun menyentuh cokmar besi Lusla.

“Apakah engkau memang punya sikap kurang ajar atau sekolah persilatan yang mendidik engkau tidak pernah mengajar perihal adab dan sopan?” Rusyd bersuara sambil menolak cokmar besi itu ke tepi menggunakan lengannya.

Kepala cokmar itu jatuh menghentam tanah. Bunyi yang kuat menandakan senjata itu amat berat. Namun, Rusyd telah menghalangnya dengan amat bersahaja.

Menggunakan sebelah lengan sahaja!

Lusla memerhatikan kepala cokmar. Melekuk. Bahkan duri-duri pada bahagian lekukan itu telah tiada. Patah. Kemudian, matanya menjegil ke arah Rusyd, sebelum melemparkan pandangan ke arah meja tempat Rusyd berdiri sebelum ini.

“Bagaimana …”

Bicara itu tidak dapat disempurnakan Lusla kerana apabila pandangannya kembali kepada Rusyd, pemuda itu telah tiada. Arsalan sendiri terpinga-pinga. Ungu apatah lagi, tercengang melihat Rusyd sudah berada betul-betul di hadapan perut Lusla dengan lengan kanan sudah ditarik ke belakang, siap untuk melancarkan serangan.

“Berambus!”

Rusyd terus menghentam telapak tangannya ke atas zirah yang dipakai Lusla. Zirah itu merekah. Tubuh Lusla berombak-ombak sebaik sahaja kulit Rusyd bersentuh dengan kulitnya.

Tidak sempat berbuat apa-apa, Lusla terpelanting keluar dari halaman sekolah persilatan milik Arsalan sebaik sahaja Rusyd meluruskan tangan. Darah tersembur daripada mulut Lusla. Zirahnya sebahagian besar hancur manakala bakinya tercabut daripada tubuh. Cokmar besinya tertinggal di sisi Arsalan.

Anak-anak murid Arsalan tercengang. Arsalan sendiri tidak berjaya menutup mulutnya dek takjub dengan apa yang berlaku. Ungu tidak berkelip.

Rusyd berjalan selangkah demi selangkah, keluar dari halaman sekolah ke jalan besar. Kelihatan orang ramai di sekitar tempat tersebut berhenti, tertarik dengan apa yang terjadi. Kebanyakannya berwajah terkejut. Ada juga yang mempercepatkan langkah, mungkin tidak mahu terlibat dengan apa yang sedang berlaku.

“Ce … laka!”

Lusla bangkit perlahan-lahan. Dia terpelanting dan kemudiannya terseret sekitar lima depa dari sekolah milik Arsalan. Belum sempat berdiri dengan sempurna, dia terpaksa mendongak dan melihat Rusyd yang telah sedia menanti betul-betul di hadapannya.

“Apakah engkau tahu aku siapa, jahanam?” Lusla mengesat darah pada mulut menggunakan belakang telapak tangan.

“Apakah engkau kenal aku siapa?” Rusyd membalas tanya. Matanya memandang tepat Lusla, menggambarkan bahawa jiwanya tidak punya sekelumit pun rasa takut dan gentar kepada Si Botak bertubuh besar itu.

“Tidak. Apakah engkau si celaka anak kepada si celaka?”

Rusyd tersengih. “Aku seorang pendekar, anak kepada dua orang pendekar, yang dibunuh oleh pendekar daripada sekolah engkau!”

Tangan kanan Rusyd pantas mencapai bahagian dada Lusla yang terdedah. Lusla cuba menghalang perjalanan tangan Rusyd itu, tetapi ternyata pergerakan Rusyd teramat pantas. Tatunya  dicengkam kuat.

Lusla mengerang kesakitan!

“A .. .aku tidak tahu apa yang … eng … kau nyata … kan itu!”

Kini, kedua-dua belah tangan Lusla memegang lengan Rusyd, cuba untuk mengalihkan tangan pendekar itu daripada terus mencengkamnya. Namun, tangan Rusyd tidak berjaya digerakkannya. Bahkan cengkaman tersebut semakin kuat. Semakin kuatlah raungan Lusla.

“Ini ialah lambang Furorem. Engkau daripada Sekolah Persilatan Furorem, bukan?” Rusyd menengking. Matanya menjegil. Bebola matanya seakan menyala, seperti mahu membakar hangus Lusla di hadapannya.

Lusla mengangguk kelam kabut. Wajahnya yang bengis, kini telah bertukar menjadi seperti peminta sedekah, comot dengan bekas darah, bercucuran keringat, jelas memohon belas dan ihsan agar dikurangkan kesakitan yang sedang ditanggungnya.

“Pendekar daripada Furorem telah membunuh ayahanda dan bondaku sedekad yang lalu, dan kini aku datang untuk menuntut bela!” Rusyd meninggikan suara.

Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang ramai yang menggerumuni kawasan tersebut bersuara. Semuanya seakan terkejut melihat apa yang sedang terjadi. Pendekar daripada Furorem, sekolah persilatan paling berprestij di Umbra, sedang dilayan seperti sampah oleh seorang pendekar muda yang tidak dikenali sesiapa.

Ini sesuatu yang amat aneh dan menakjubkan!

Arsalan, Ungu dan anak-anak murid sekolah persilatan Arsalan kini berkumpul sekitar sedepa di belakang Rusyd.

“Jika itu benar-benar berlaku, aku tidak tahu apa-apa!” Lusla bersuara tergesa-gesa.

“Lusla baru sahaja menyertai Furorem lima tahun yang lalu, Rusyd.” Arsalan mencelah.

Rusyd diam. Tidak bereaksi. Namun, cengkamannya tidak dilepaskan. Orang ramai turut ternanti-nanti apa yang bakal berlaku. Apakah nyawa Lusla akan melayang?

Jangkaan itu meleset sebaik sahaja Rusyd melepaskan cengkamannya. Rusyd berpaling dan mahu bergerak ke arah Arsalan.

“Berambus. Jangan berani tunjukkan mukamu di sini lagi.”

“Engkau hanya bernasib baik tadi!” Lusla melaung secara tiba-tiba.

Dia kini telah bangkit dan cuba menyerang Rusyd. Walaupun tubuhnya besar, pergerakannya ternyata pantas. Kedua-dua tangannya, kini seakan bertambah sepuluh kali lebih banyak, dek kerana dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah Rusyd.

Lusla menyerbu sepenuh tenaga!

Walaupun demikian, Rusyd, tanpa melihat Lusla, mengelak dengan teramat lincah setiap tumbukan yang dilepaskan, sambil berpusing seterusnya bergerak dengan tangkas merapati Lusla. Apabila jarak mereka tinggal sepangkal lengan, Lusla cuba memeluk Rusyd untuk menghancurkan tubuh kecil pendekar muda itu dengan kedua-dua tangannya yang besar.

Tetapi belum sempat pelukan itu sempurna, Lusla telah dilihat mendongak ke atas dengan darah bersemburan ke udara, sebelum tumbang terlentang di atas tanah. Manakala Rusyd, sedikit terangkat tubuhnya ke udara dengan penumbuk dijulang ke langit, sebelum tubuhnya berpusing dengan perlahan dan turun menjejakkan kaki ke tanah.

Lusla jelas telah tumbang dan tidak sedarkan diri.

Anak-anak murid sekolah persilatan Arsalan bertepuk tangan, takjub.

“Aku Rusyd. Furorem atau sesiapa sahaja yang punya masalah dengan sekolah ini, boleh mencabar aku!”

Laungan Rusyd membuatkan orang ramai terpinga-pinga. Buat beberapa ketika, suasana menjadi senyap dan sunyi. Hanya kedengaran desiran angin yang menerobos Bandar Umbra. Tidak ada seorang pun berani ke hadapan.

“Beritahu kepada yang tidak berada di sini!”

Rusyd kemudiannya bergerak mendapatkan Arsalan, Ungu dan anak-anak muridnya, sebelum sama-sama melangkah kembali ke sekolah.

“Siapakah engkau sebenarnya, budak?” Arsalan bertanya. “Serangan pertama engkau terhadap Lusla tadi, telapak itu, aku juga belajar serangan itu daripada guruku. Namun, seranganku tidak akan mampu membuatkan Si Lusla itu melayang.”

Rusyd mengangkat kedua-dua belah kening. “Telapak Guntur? Tuan juga tahu?”

Arsalan mengangguk-angguk. Ungu di sisi Arsalan masih terpinga-pinga, belum hilang rasa takjub, maka dia menumpukan sepenuh perhatian kepada perbualan gurunya dan pemuda tersebut.

“Seperti aku katakan, guruku bernama Aslim.”

“Siapakah dia Aslim ini? Apa latar belakangnya?”

Rusyd tersengih. Menjungkit bahu. “Dia tidak pernah menceritakannya.”

Arsalan menggeleng. “Engkau telah melakukan sesuatu yang besar, Rusyd. Engkau telah mencabar Furorem!”

“Memang itu tujuanku ke mari, tuan.”

“Mahu mencabar Furorem? Apakah yang aku dengar tadi itu benar? Mereka membunuh ibu bapamu?”

“Sedekad yang lalu. Kemudian, aku melarikan diri daripada pembunuh-pembunuh tersebut, dan dijumpai pedagang haram yang mahu menjualku sebagai hamba, sebelum Aslim menyelamatkan aku dan mengambilku sebagai anak muridnya.”

“Engkau mesti kekal di sini.” Ungu mencelah. “Tinggal di sekolah ini.”

“Ah?” Rusyd kehairanan. Memang asalnya Arsalan mempelawa dia menginap di sini. Tetapi tidak tahu pula untuk berapa lama. Kini, Ungu mahu dia kekal di sini?

“Kerana, engkau telah menjadikan kami sasaran. Tiada siapa pernah menentang Furorem.” Arsalan menerangkan.

“Mereka ialah sekolah paling berprestij di Umbra. Bahkan mungkin di dunia!” Salah seorang anak murid Arsalan mencelah.

“Dengan tindakan engkau tadi, aku yakin, mereka akan datang lagi, dengan bilangan yang lebih besar.” Arsalan kerisauan.

Rusyd dapat membaca riak wajah lelaki itu. Segera dia meletakkan tangannya di atas bahu kanan Arsalan. “Jangan risau. Aku akan berada di sini.”

“Engkau tidak akan berada di sini selama-lamanya, bukan?”

Rusyd mengangguk.

“Bagaimana apabila engkau sudah tiada nanti?”

Rusyd tersengih. “Aku pergi selepas Furorem pergi, jangan risau.”

Arsalan menggeleng. “Engkau telah memulakan sesuatu yang besar, Rusyd.”

“Kuasa ialah tanggungjawab. Aku akan bertanggungjawab dengan setiap kesan dan akibat daripada penggunaan kuasaku.”

Arsalan terdiam. Demikian juga Ungu dan anak-anak murid Arsalan yang lain.

“Sekarang aku lapar. Apa kata kita makan?” Rusyd menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal, sambil sebelah tangan lagi menggosok perut.

Anak-anak murid Arsalan di sekelilingnya tertawa.

Apabila Rusyd menghalakan pandangan ke hadapan, dia sempat melihat Hana dengan separuh tubuhnya berselindung di sebalik tiang. Memerhatikannya dari jauh.

Rusyd melemparkan senyuman.

Hana membalasnya, sebelum menunduk dan menghilang di balik tiang.