Bab 3 – Seteru Bertemu

Salam kenal dihulur,
luhur atau lebur,
bukan untuk bermanis muka,
kebenaran jadi pertaruhannya.

Bunyi beg pasir menjadi mangsa tumbukan dan tendangan bertubi-tubi, bergema di ruangan luas yang terletak di bawah tanah ini. Kelihatan Bakri, hanya berseluar sukan, sedang berlatih sambil bermandikan peluh. Di sekitar anak muda itu, terdapat lapang sasar mini untuk latihan tembakan, alatan angkat berat, juga beberapa set larian berhalangan. Bersebelahan lapang sasar pula, wujud satu tempat khas untuk senjata dan meja panjang yang penuh dengan pelbagai alat pertukangan, komponen-komponen senjata, serta bahan-bahan herba.

      Mustafa sedang duduk berdekatan meja tersebut, sambil memegang sepucuk pistol. Tongkat direhatkan pada tubuh. Mata fokus kepada Bakri.

      Tiba-tiba, tanpa amaran, tanpa isyarat, Mustafa melemparkan senjata yang dipegangnya itu ke arah Bakri.

      Bakri tidak terkejut. Beg pasir mendapat habuan terakhir berbentuk tendangan dari kaki kanan, sebelum Bakri menunduk dan menyambut senjata yang dilemparkan bapanya. Terus Bakri berguling, sebelum bangkit semula dan menghayunkan tangan sambil melepaskan satu das tembakan ke arah lapang sasar.

      Peluru melayang dan kemudian melencong di tengah udara. Tembakan Bakri tepat mengenai salah satu daripada tiga papan sasar yang terdapat di kawasan tersebut. Bakri kini melakukan lompatan balik kuang, sambil melepaskan satu lagi das tembakan. Peluru deras membelah udara, kali ini lurus, tepat mengenai satu lagi papan sasar.

Beberapa detik sebelum Bakri mendarat, Mustafa menekan sebuah punat berdekatan tempat duduknya. Tiga piring keluar dari arah lapang sasar, masing-masing bergerak rawak di tengah udara. Sebaik sahaja kaki Bakri menjejak lantai, tiga das tembakan dia lepaskan sambil tangannya dihayun pantas. Sekelip mata, tiga piring tadi pecah berderai. Bakri tidak membazirkan lebih masa untuk melepaskan tembakan yang seterusnya, tepat mengenai papan sasar terakhir.

      Bakri mengatur semula pernafasan. Bangkit perlahan-lahan. Jelas terpamer tubuhnya yang perkasa. Tidak terlalu besar, tetapi jelas kelihatan otot-ototnya terbentuk cantik. Bakri bergerak mendekati Mustafa, meletakkan senjatanya di atas meja, sebelum memperbetulkan rambut.

      “Bagaimana?”

      “Mengkagumkan.”

      Bakri tersenyum.

      “Agiliti, ketepatan, ketahanan, fokus. Semuanya terbaik, alhamdulillah.” Mustafa menyambung puji. Di dalam hati, terbit rasa bangga.

      “Tetapi…” Mustafa bangun, bergerak bersama tongkat mendekati lapang sasar. Papan yang pertama didekati. Mustafa menunjukkan pada kesan tembakan. “Tersasar beberapa milimeter.”

      Bakri mengangkat kening. Pergi ke tempat yang sama, memerhati dengan lebih dekat. Sedikit nafas keluhan keluar.

      “Tembakan melencong, masih belum boleh dikatakan sempurna.”

      “Ugh,” Bakri mengepal penumbuk, mengetap gigi. Geram.

      Mustafa menepuk bahu anak tunggalnya itu. “Tetapi ini sudah satu pencapaian yang baik. Bukan mudah hendak sampai ke tahap ini.” Mustafa menyambung langkahan. Kini ke satu sudut yang lain pula, yang penuh dengan alat elektronik, diketuai skrin gergasi yang ditemani beberapa skrin kecil di kiri dan kanan, bersama dua tempat duduk yang moden. Bakri mengekori.

      Skrin gergasi itu mempamerkan wajah Jagat, bersama maklumat mengenainya, dan beberapa rakaman aksi Jagat sebelum ini. Skrin kecil pula mempamerkan laporan berita televisyen, akhbar, internet, berkenaan kejadian di Bukit Aman seminggu yang lepas.

      “Apakah sudah sampai masanya untuk kita berurusan dengan dia?” Bakri menyilang tangan di dada. Mustafa mengambil tempat. Jari jemarinya menari di atas papan kekunci.

      Kini skrin menunjukkan pula peta Kotaraya. Dan ada satu bintik merah sedang bergerak.

      “Dia memang tidak perasan ya?” Bakri tersengih.

      “Itu sebabnya Ayah minta Bakri lepaskan tiga tembakan pada malam itu.”

      Bakri mengimbau kembali kejadian di pejabat Nazir, wartawan TV Taqwa. Tiga tembakan yang dimaksudkan bapanya ialah semasa Jagat bersembunyi di balik dinding.

      “Supaya Jagat menyangka bahawa tembakan-tembakan itu ialah cubaan untuk mengagak posisinya di sebalik perlindungan.” Bakri kini faham.

      “Ya, supaya dia merasakan itu ialah cubaan untuk menamatkan nyawanya. Apa yang Jagat tidak tahu ialah, tembakan itu sebenarnya adalah untuk meletakkan alat pengesan di dalam tubuhnya.” Mustafa tertawa kecil.

      Bakri menggangguk-angguk. Dia sedikit berbeza pendapat dengan bapanya pada malam itu akan keperluan melepaskan tiga tembakan. Satu tembakan sahaja sudah cukup untuk dia menamatkan nyawa Jagat. Tetapi bapanya bertegas untuk dia melepaskan tiga tembakan, dengan tembakan ketiga barulah mengenai Jagat, itu pun hanya pada bahunya.

      “Bukan senang tau nak buat tembakan setepat itu terhadap orang yang bersembunyi di balik dinding.” Bakri mencebik.

      Mustafa terus tertawa.

      “Ayah tahu Bakri dapat melakukannya.” Tanganya mencapai bahu Bakri. Bakri menggores senyuman.

      “Jadi, oleh kerana dia menyangka tembakan tersebut ialah untuk membunuh, dan dia merasakan ianya tersasar kerana hanya mengenai bahu, dia langsung tidak bertindak untuk memeriksa tubuhnya sendiri. Apabila alat pengesan bersaiz nano itu tidak dibunuh dengan renjatan elektrik dalam masa 12 jam, maka ianya akan kekal aktif di dalam tubuh badan mangsa selama sebulan.” Mustafa memberikan penerangan.

      Terangguk-angguk Bakri mendengarnya. Selepas misi malam itu, apabila pulang ke pengkalan bawah tanah ini, barulah Ayahnya menerangkan yang peluru Bakri telah disalut dengan alat pengesan bersaiz nano tersebut.

      Peluru buatan Pemburu biasanya mempunyai satu ciri yang istimewa.

      Yakni ia tidak meninggalkan baki. Peluru yang dilepaskan, selepas mengenai sasaran, akan hancur tidak meninggalkan apa-apa. Hanya kesan tembakan sahaja. Pelurunya langsung tiada. Ini untuk mengelakkan seorang Pemburu itu dijejaki.

      Apabila peluru itu menembusi tubuh Jagat, salutan alat pengesan itu tinggal di dalam tubuhnya, manakala peluru tersebut pula hilang tidak meninggalkan baki apabila mengenai lantai.

      “Sengaja kita biarkan apa yang berlaku di Bukit Aman, agar dia tidak syak yang kita sedang mengesannya. Lagi pun, Ayah sudah 100% pasti bahawa tindakannya tempoh hari adalah lebih kepada untuk menutup rahsia kewujudan Kesatuan Pemburu. Untuk itu, dia tidak akan membunuh sesiapa di Bukit Aman.” Mustafa menongkat dagu dengan tangan. Sementara tangan kirinya menekan papan kekunci. Kamera-kamera di sekitar tempat Jagat sedang berada, diakses. Kini skrin-skrin kecil memaparkan pergerakan Pemburu itu.

      “100% pasti? Sebab itulah Ayah tenang sahaja ya? Semua dalam perkiraan Ayah?” Bakri semakin teruja untuk mendalami kelebihan Bapanya.

      “Astaghfirullah.” Spontan Mustafa menyebut kalimah tersebut. “Silap. Kita sebagai manusia, tidak mungkin boleh 100% pasti bukan? Mungkin hanya 90% sahaja.” Mustafa memperbetulkan. “Tabiat lama.”

      Bakri tertawa. Menggeleng kepala melihat ulah Bapanya.

      “Jadi, apa tindakan kita malam ini?” Bakri kembali memberikan fokus kepada skrin. Jagat dilihat sedang bergerak ke arah satu tempat. Bakri telah studi kawasan ini, kerana ianya merupakan salah satu kawasan panas di Malaysia. Tempat itu menempatkan rumah salah satu individu yang tersangat penting di negara ini.

      Mungkin menjadi sasaran Jagat.

      “Berikan salam perkenalan.” Mustafa memandang Bakri.

      Bakri menggangguk.

******

Malam ini angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sekali-sekala kedengaran bunyi hon kenderaan dari jalan raya, membelah keriuhan suasana di kedai mamak yang sedang menayangkan perlawanan bola. Nazir tidak ambil tahu. Dia sekadar menikmati suasana, ditemani teh tarik.

      Malaysia telah membangun menjadi antara negara moden yang dikagumi dunia. Bukan lagi negara kelas ketiga. Negara ini kini menikmati kemakmuran, dan dengan kadar jenayah yang semakin menurun, keselamatan. Rakyat majoritinya kelihatan semakin gembira, bersikap positif, bermotivasi. Walaupun setahun kebelakangan ini, ada beberapa kejadian yang kelihatan cuba untuk menggegarkan keharmonian tersebut.

Pun begitu, apa yang telah dicapai tidak menghilangkan kebanyakan budaya rakyat negara ini. Antaranya, meluang masa di kedai mamak.

      Jika melepak di kedai mamak, dapatlah dirasakan bahawa diri dibawa kembali kepada era yang lalu, kerana kedai mamak tetap begitu. Pelayan pelanggan yang tidak memerlukan nota untuk mengambil pesanan, masih menjadi tempat lepak kebanyakan marhaen, roti canai, teh tarik, kopi, semua yang menjadi identiti kedai mamak, masih kekal.

      “Dalam banyak-banyak tempat, kedai mamak juga yang dipilihnya ya?” Satu suara menarik Nazir keluar dari lamunan. Wartawan muda itu mengangkat wajah, kemudian melempar senyuman. Dia mahu berdiri menghormati individu yang hadir, tetapi diberikan isyarat agar kekal duduk.

      “Detektif Wong.” Nazir menghulurkan tangan. Salam bersambut. Detektif Wong kini berpakaian kasual. Terpapar kulitnya yang putih melepak, mempamerkan baka keturunan. Salah satu kaum dari kepelbagaian etnik di Malaysia ini.

      “Kedai mamak banyak memori.” Nazir memulakan perbualan.

      Detektif Wong menggangguk sambil mengukir senyuman, mengakui kebenaran. Tangan segera diangkat, tidak lama kemudian sampai seorang pelayan, berkulit gelap, bermisai tebal, berambut kerinting.

      “Ya boss? Apa mahu order?” Sopan tetapi bersahaja, pelayan bertanya, sambil kedua-dua belah tangan bersilang di belakang.

      “Bagi saya nescafe satu.”

      “Makan tak mahu?”

      Detektif Wong menggeleng. Pelayan itu berlalu, dan tidak lama kemudian terdengar jeritan sayup membelah riuh kedai mamak itu. “Nescafe satu!”

      Nazir tertawa kecil. Memang tak ada apa yang berubah.

      “Negara kita sudah keluar dari negara dunia ketiga, dan kini berdiri sejajar dengan Amerika Syarikat, Russia & China, tetapi Kedai Mamak tetap macam ini juga.” Nazir beri komentar.

      Detektif Wong ketawa. “Jauh sudah perjalanan negara ini. Banyak pencapaian berjaya kita capai. Tetapi, masalah tetap ada.”

      “Bahkan semakin rumit ya?” Nazir mengangkat keningnya dua kali.

      Detektif Wong menghela nafas panjang. Seakan ada bebanan besar mahu dilepaskan dari pundaknya. Sebentar dia memandang ke langit malam.

      “Bahan bukti yang kami perolehi dalam kejadian minggu lepas telah hilang.”

      Nazir tersentak. “Maksudnya…?”

      “Senjata yang dijumpai itu.”

      “Oh. Alangkah ruginya.” Nazir menepuk dahi. “Itulah dia ‘blackout’ minggu lepas tu? Sehari selepas kejadian saya diserang?” Maklumat rinci tidak dimaklumkan kepada media. Ramai yang menyangka peristiwa tersebut sekadar perkara biasa – bangunan terputus bekalan elektri. Itu sahaja.

      Detektif Wong tidak memberikan apa-apa reaksi. Tetapi Nazir tahu telahannya tepat.

      “Apa perkembangan daripada sebelah saudara Nazir?” Mata Detektif Wong tepat pada wajah wartawan TV Taqwa itu.

      “Saya sudah cuba bawa gambar senjata tersebut ke banyak tempat, tetapi setakat ini belum mendapat apa-apa jawapan yang kukuh. Tentera pun tidak memberikan apa-apa maklumat, melainkan mitos.” Nazir mengerutkan dahi, sambil mengeluarkan satu salinan daripada beg yang disandangnya. Salinan itu diberikan kepada Detektif Wong. Gambar senjata yang dijumpai minggu lepas.

      “Mitos?”

      “Ya, kata seorang Jeneral Tentera Darat, terdapat cerita-cerita di kalangan militari bahawa wujud satu kumpulan pembunuh upahan, yang menerima upah untuk membunuh target-target penting.”

      “Macam tipikal aja.” Detektif Wong mencebik. Minatnya kendur.

      Nazir bungkam. “Itulah. Sebab itu namanya mitos. Kata Jeneral tersebut, kumpulan itu sudah berusia ribuan tahun. Bahkan dikatakan, antara yang bertanggungjawab membunuh Alexander The Great.”

      “Pergh, macam cerita kartun la pula.” Detektif Wong tertawa. Geli hati. “Tapi bukankah Alexander itu mati kerana penyakit? Dia bukan dibunuh.”

      Nazir ketawa kecil. “Saya cakap begitu juga kepada Jeneral tersebut. Tetapi katanya, penyakit itu datang daripada racun yang digunakan oleh orang dari kumpulan tersebut.”

      Detektif Wong masih ketawa. Bukan kerana ianya lawak, tetapi kerana cerita itu tidak masuk akal.

      “Mereka dikatakan membunuh untuk mengawal perjalanan dunia. Jika ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang mereka kehendaki, atau ada perkara yang mereka mahu ianya berlaku, segala halangan akan diuruskan untuk memperbetulkan perjalanan sejarah agar menyebelahi mereka.” Nazir menyambung.

      “Jeneral manalah ni. Banyak sangat baca kartun anak dia ni.” Detektif Wong cuba berhenti ketawa.

      Nazir menggangguk-angguk. Sedikit sebanyak ada benarnya kata Detektif Wong. Memang cerita yang didengarinya itu seperti cerita fantasi. Sebuah konspirasi rekaan.

      “Nama pun mitos, detektif.” Nazir mengulang kembali ayat tersebut.

      Detektif Wong menggangguk.

      “Rakan saya di Inteligen Kerajaan Malaysia pun tidak dapat memberikan apa-apa maklumat tambahan.” Sekali lagi Detektif Wong menghela nafas panjang.

      Ketika ini, nescafe yang dipesan telah sampai. Namun Detekftif Wong membiarkan sahaja. Menanti minuman itu sejuk sedikit. Manakala Nazir menghirup hirupan terakhir teh tariknya.

      “Saya risau sebenarnya dengan kejadian tempoh hari. Bukan sahaja keselamatan diri saya, tetapi negara ini. Selepas pembunuhan demi pembunuhan di siang hari yang berlaku di negara kita, juga letupan bom di Alor Setar, Kota Bharu, dan Johor Bahru, saya dapat merasakan semua kejadian yang berlaku sepanjang setahun yang lepas ini, bukanlah sesuatu yang rawak.”

      “Kerana itu saya meminta bantuan Saudara Nazir untuk menyiasat perkara ini. Kami perlukan lebihan bantuan memandangkan kami turut mempunyai fokus yang lain dalam menjaga keselamatan negara.” Detektif Wong mencelah.

      Nazir menghela nafas. Seperti ada gaya kecewa. “Tinggalnya, yang saya dapat kumpul hanya cerita-cerita orang. Gambar senjata ini pun tidak dapat membantu.” Nazir memandang cawannya yang telah kosong.

      “Saudara rasa, apakah jangkaan kita bahawa semua kejadian setahun lepas ini adalah hasil tangan pihak tertentu, tidak tersasar?” Detektif Wong mula menghirup minumannya. Masih panas. Tetapi pada suhu yang berpatutan. Nikmat.

      Nazir menggangguk. “Intuisi kewartawanan saya, begitulah. Sebab negara kita baru naik menjadi kuasa besar, dan nampaknya hala tuju negara ini tidak digemari oleh kuasa-kuasa besar yang lain. Detektif pun tahu bukan bagaimana negara kita diasak di lapangan media antarabangsa, juga cubaan untuk melemahkan ekonomi kita dengan pelbagai sekatan daripada negara luar?”

      Detektif Wong terangguk-angguk.

      “Tetapi kita kekal utuh, kerana kita kuat. Punya banyak kelebihan. Terutama, majoriti rakyat kini menyokong teguh pemerintah negara. Kita pun dapat melihat perubahan di dalam negara ini sendiri. Jika dahulu pengangkutan awam seperti MRT hanya berada di sekitar Selangor dan Wilayah Tengah, kini sudah menjangkau ke seluruh negara. Lebuh raya dengan tol percuma. Taraf hidup semakin baik. Jurang pendapatan berjaya dikurangkan. Kemiskinan hampir benar-benar dibasmi. Dengar kata, pusat zakat semakin sukar hendak mencari asnaf dari kalangan orang miskin, menyebabkan kini kebanyakan duit zakat pergi kepada menjayakan projek pendidikan percuma. Segala hak dan keperluan rakyat dipenuhi. Negara kita sudah bergerak jauh meninggalkan era penuh mencabar satu masa dahulu. Bahkan, kini kita bangkit pula untuk menyaingi kuasa besar dunia. Lihat perjanjian untuk pembebasan Masjidil Aqsa yang bakal berlaku tidak lama lagi. Pasti pihak-pihak yang berkaitan tidak akan sesekali berdiam diri.” Bersungguh-sungguh Nazir memberikan penerangan.

      Detektif Wong tahu semua itu. Dia bukan baru hidup setahun dua.

      “Itu yang menyebabkan kita menganggap bahawa kejadian-kejadian yang berlaku setahun kebelakangan ini ialah tindakan untuk mengganggu gugat keamanan domestik negara kita?”

      “Ya, supaya kita lemah dari dalam dan segala agenda Malaysia akan terbantut. Ada sahaja rakyat yang tidak tahu bersyukur, masih mencari salah dan silap pemerintah walaupun pemerintah hari ini sudah jauh lebih baik daripada era terdahulu yang penuh korup dan skandal. Bila berlaku kejadian-kejadian tersebut, lebih lagi yang melibatkan nyawa, tambah-tambah pihak berkuasa masih tidak dapat menjumpai pihak yang bertanggungjawab, membuatkan mereka yang ingin mengambil kesempatan, bertindak.” Nazir mengemukakan teorinya.

      Detektif Wong menggangguk bersetuju dengan pandangan Nazir. Detektif Wong lebih banyak fokus kepada urusan yang berlaku di dalam Kotaraya Angsana ini, kerana itu adalah jurisdiksi jawatannya. Kerana itu dia memerlukan Nazir untuk mengejar rahsia di sebalik kejadian-kejadian yang berlaku kebelakangan ini.

      Nazir pula sebagai wartawan, sememang sudah menjadi darah dagingnya untuk mengambil tahu keadaan semasa. Tambah-tambah wartawan penyiasatan, pasti lebih rajin mencari hubungan antara satu peristiwa kepada satu peristiwa.

      “Jika bahan bukti itu tidak hilang, mungkin kita sudah ada penemuan baru. Satu kesilapan juga pihak kami menyimpan senjata tersebut. Sepatutnya serahkan terus kepada Inteligen Kerajaan. Tetapi nak buat macam mana, dah prosedur. Itu pun kami simpan di Bukit Aman, bangunan utama Polis di negara kita. Antara bangunan paling ketat kawalannya.” Detektif Wong seperti mengadu.

      Suasana senyap seketika antara mereka berdua, maka keriuhan kedai mamak mengisi ruang. Tiba-tiba keriuhan itu meningkat mendadak dengan jeritan kegembiraan. Gol dijaringkan. Spontan Nazir dan Detektif Wong memerhati gelagat para peminat sukan bola sepak.

      “Ada sesuatu yang besar bakal berlaku.” Getus Detektif Wong. “Dan kita perlu bertindak segera.”

      “InsyaAllah saya akan teruskan siasatan.” Nazir besuara rendah, tetapi tegas. Terpamer keazamannya.

      “Lepas peristiwa tempoh hari, kenapa masih bersemangat mahu mengejar perkara ini? Boleh jadi, orang yang memecah masuk ke pejabat saudara tempoh hari, mahu menamatkan nyawa saudara kerana siasatan yang saudara lakukan.” Detektif Wong berminat untuk mengetahui. Nescafe dihirup lagi, tetapi mata kekal pada Nazir.

      Nazir tersenyum halus.

      “Kerana saya sayangkan negara ini.”

      Jiwa Detektif Wong disentuh kagum.

      “Semoga saudara selamat. Hubungi saya lagi jika ada apa-apa perkembangan. Saya bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku terhadap saudara, kerana saya yang hajatkan bantuan saudara ini.” Tangannya dihulur. Nazir bangun dan menyambut.

      “Terima kasih atas maklumat yang dikongsikan Tuan. Jangan risau, saya akan berusaha menjaga keselamatan diri. InsyaAllah, saya akan sentiasa kemaskini maklumat terkini yang saya perolehi dengan tuan. Paling kurang, saya mahu cari orang yang cuba membunuh saya, bukan?”

      Detektif Wong terangguk-angguk. Dia menepuk tangan perlahan sambil tersenyum, memuji keberanian Nazir. “Saya belanja malam ini. Jangan risau.”

      “Haha. Terima kasih. Assalamu’alaikum.” Nazir bergerak meninggalkan kedai mamak tersebut.

      “Waalaikumussalam.” Detektif Wong menjawab, perlahan, sambil menghantar Nazir dengan pandangan.

      Apabila Nazir telah hilang dari pandangan, ditelan kesibukan kotaraya, Detektif Wong melihat salinan gambar senjata yang diberikan oleh Nazir.

      Otaknya ligat berfikir.

      Mungkin dia perlu bekerjasama dengan Inteligen Kerajaan Malaysia.

      Dia amat pasti yang penyiasatannya bersama Nazir ini, turut menjadi antara fokus organisasi tersebut.

******

Jagat bergerak dengan berhati-hati mendekati sebuah rumah agam lagi megah. Rumah ini adalah milik Gabenor Bank Negara Malaysia, Ainon Mokhtar, seorang wanita yang berkaliber juga mendapat perhatian dunia kerana menjadi antara yang bertanggungjawab memacu ekonomi Malaysia ke arah yang lebih kukuh, membangun, dan seimbang. Jagat tidak hadir sebagai tetamu.

      Misi pada malam ini mempunyai kesan yang besar kepada hala tuju Malaysia yang seterusnya. Negara ini telah menjadi sasaran Kesatuan Pemburu, kerana dilihat semakin hari semakin gah di persada antarabangsa sebagai Negara Islam yang berdaya saing dengan negara-negara lain. Tidak sekadar itu, kemajuan negara ini tidak kosong, bahkan disokong dengan sikap dan mentaliti rakyatnya yang punya integriti dan disiplin. Walaupun bukan semua, kerana ini bukan negara malaikat, tetapi sudah cukup memberikan gambaran bahawa negara ini bakal menjadi pusat kepada kebangkitan tamadun yang telah berjaya dipupuskan satu masa dahulu.

      Tambahan, perjanjian pembebasan Masjidil Aqsa yang bakal berlangsung tidak lama lagi, telah membuatkan Kesatuan Pemburu perlu bersegera melakukan sesuatu. Pelanggan-pelanggan mereka tidak senang duduk dengan perkembangan terkini negara ini.

      Sesuatu mesti dilakukan, dan Kesatuan Pemburu tidak pernah membiarkan kebangkitan sebegini terjadi.

      Jagat semakin mendekati perkarangan rumah. Kamera-kamera keselamatan berjaya dielak dengan cermat. Sasaran Jagat pada malam ini ialah kenderaan milik Gabenor. Kenderaan itu akan disabotaj, apabila dipandu esok, akan menyebabkan berlakunya kemalangan di lereng bukit tidak jauh dari rumah Gabenor ini. Nyawa Gabenor akan melayang. Semua dalam perkiraan.

Tetapi tidak cukup dengan itu, kematian Gabenor ini akan dispekulasikan sebagai konspirasi Perdana Menteri Malaysia. Muhammad Al-Amin, yang ingin lebih berkuasa, mahu meletakkan bonekanya menggantikan Ainon Mokhtar yang terkenal dengan ketegasan dan prinsip. Walaupun pada hakikatnya, Perdana Menteri Malaysia tidak punya masalah apa-apa dengan Gabenor, bahkan beliau sendiri adalah seorang yang sangat berintergriti dan bermaruah, berperibadi bersih dan sebagainya.

Tetapi ini semua sudah berada dalam perancangan Kesatuan Pemburu.

Sebaik sahaja kematian Gabenor Bank Negara menjadi berita, media-media asing yang telah dibayar secara sulit, bakal menjadi alat propaganda mereka untuk memainkan cerita konspirasi ini. Sekaligus memberi desakan hebat untuk Perdana Menteri sekarang berundur sebentar bagi siasatan dilakukan. Masa yang pendek itu pula akan dimanfaatkan untuk beberapa boneka baru, menyusup masuk ke dalam Kerajaan Malaysia.

Mereka perlu menghalang pertumbuhan pesat negara ini, supaya tidak menadi halangan yang lebih besar pada masa akan datang.

Jagat semakin hampir dengan kenderaan sasarannya yang terparkir santai di hadapan pintu utama. Ada beberapa kamera keselamatan tersembunyi di kawasan ini. Jagat tahu kesemuanya. Jagat menyeluk salah satu kantung pada pinggangnya, mengeluarkan beberapa alat berbentuk segitiga yang kecil, dan melemparkannya berdekatan posisi kamera-kamera tersebut.

Alat itu akan mengeluarkan tenaga magnetik yang tinggi, mengganggu sebentar siaran rakaman. Jagat akan menggunakan kesempatan itu, menyelinap ke bawah kenderaan.

Tetapi belum sempat Jagat memecut, bahunya disentuh.

Terkejut tetapi tetap dalam keadaan siaga, Jagat terus melepaskan sepakan ke belakang. Tendangannya dielak, tubuhnya pula menjadi sasaran. Beberapa tumbukan dilepaskan penyerang, tepat mengenai dada Jagat. Tumbukan-tumbukan yang berat melandas pada tubuhnya menyebabkan Jagat terundur beberapa langkah.

Seketika mereka berpandangan sesama sendiri. Jagat memerhatikan penyerangnya. Lebih kurang sama tinggi dengannya, berpakaian juga serba hitam, turut sama bertopeng dan hanya menampakkan kawasan mata.

Adakah ini orang yang menyerangnya tempoh hari? Hati Jagat meneka. Tetapi dia tidak membazirkan masa berkata-kata. Terus dicapainya salah satu silinder mini pada pinggangnya, kemudian diteguk. Urat-urat kuning muncul pada sekitar mata. Kekuatan Jagat bertambah beberapa kali ganda.

Sang Penyerang tidak memberikan apa-apa reaksi melainkan menyusun langkah pergerakan seperti sedang melakukan taici.

Jagat terus menyerang. Tumbukan dan tendangan dilepaskan, namun malang hanya menjamah angin. Penyerangnya begitu tangkas dan kemas mengelak. Setiap serangan berjaya dielak sekadar separuh inci, mempamerkan kemahiran pertempuran jarak dekat yang sangat tinggi. Sedikit pun Penyerang itu tidak kelihatan panik, bahkan tindakannya menonjolkan peribadi seorang pendekar yang berkaliber.

Jagat beralih dari pertempuran tangan kosong, kepada pertempuran bersenjata dengan menghunuskan pisau kecil dari belakang tubuhnya. Sang Penyerang tampak bersedia. Gaya tangan berubah, kini dalam bentuk separa cengkaman.

Jagat menghayun senjata dengan pantas. Namun seperti tadi, serangannya hanya menjamah udara. Lawannya mengelak dengan begitu baik sekali, hingga seakan-akan kelihatan seperti sedang bersahaja. Ketika ini Jagat mengerahkan diri untuk mencapai tubuh musuh, hingga menyebabkan dia menyerlahkan beberapa ruang kelemahan. Sang Penyerang tidak menanti untuk mengambil kesempatan.

Siku Jagat menjadi mangsa pertama tumbukan Sang Penyerang, sebelum tangan kiri lawannya itu pantas menampar tangan Jagat yang memegang pisau. Tumbukan yang hinggap pada siku Jagat membuatkan pegangan kepada senjatanya melemah. Dan tanpa membazir walau sedetik masa, tangan yang tadi menumbuk siku Jagat, meluncur deras pula ke dagunya. Tubuh Jagat terapung sebentar ke udara sebelum jatuh menelentang.

Sang Penyerang kembali menyusun kekudanya, sambil kedua-dua tangan dalam keadaan kekal bersedia.

Mata Jagat membesar. Tidak percaya. Apa yang sedang berlaku? Siapa ini?

“Maklumat yang aku terima, engkau sepatutnya tidak setangkas ini.” Jagat mengesat darah yang mula mengalir dari mulutnya. Bukan sebarang tumbukan yang terkena pada dagunya tadi. Tumbukan yang padu lagi berat, penuh dengan tenaga hingga mampu mencederakan seorang Pemburu hanya dengan tangan kosong!

“Siapa aku?” Garau suara yang keluar daripada Sang Penyerang. Jagat tahu itu hanya merupakan alat penggubah suara. Sang Penyerang tidak mahu identitinya diketahui.

“Muse?” Jagat mengagak hasil dari pembacaannya terhadap maklumat yang diberikan Kesatuan Pemburu kepadanya.

Sang Penyerang tidak bersuara.

“Bukan?”

Sang Penyerang menajamkan pandangan memaku Jagat yang sedang menongkat tubuh dengan kedua-dua siku.

Menyedari sesuatu, Sang Penyerang melompat dan berputar di tengah udara. Tindakannya menyebabkan dia selamat daripada dua anak panah yang meluncur laju, kini terpacak di tepi Jagat. Serangan hendap!

Jagat terus mencapai dua anak panah itu dan menggunakan kedua-duanya sebagai senjata. Sebaik sahaja Sang Penyerang mendarat, Jagat sudah berada di hadapannya. Tetapi Sang Penyerang pun bukan calang-calang pendekar, dia mendarat dengan kedua-dua belah tangan, bukan kaki. Kakinya terus digunakan untuk menjatuhkan Jagat. Jagat sempat melompat. Sang Penyerang mahu menggunakan momen ini untuk melandaskan beberapa tumbukan pada tubuh Jagat, namun dia membatalkan hasrat tersebut, kerana terpaksa mengelak.

Kini tiga anak panah terpacak pada tempat dia mendarat tadi.

Apabila dua kaki Jagat menyentuh bumi, Pemburu itu terus bergerak tangkas menyerang Sang Penyerang.

Pertarungan menjadi semakin sengit. Sang Penyerang tersepit. Di hadapannya dia bertarung dengan Jagat, sambil belakangnya terdedah dengan serangan penyerang hendap yang tidak diketahui identitinya.

Bila-bila masa sahaja dia akan ditewaskan jika berkeadaan sebegini. Dia tidak bersedia untuk bertarung jarak dekat, pada masa yang sama perlu berjaga-jaga dengan serangan jarak jauh sebegini.

Sang Penyerang mengelak tumbukan Jagat, tetapi tidak melepaskan apa-apa serangan. Sebaliknya dia mengeluarkan pistol yang tersarung pada belakang pinggang, kemudian melepaskan tembakan ke udara beberapa kali.

Bunyi tembakan itu bergema. Rumah Gabenor yang hanya menyalakan lampu di kawasan parkir, tidak lama kemudian menjadi lebih cerah. Kedengaran ahli rumah menjerit, dan mula ada lembaga bergerak menghala ke tingkap untuk melihat keadaan luar.

“Celaka!” Jagat menyumpah.

“Heh.” Sang Penyerang mendengus.

Kini mereka terpaksa berundur.

Jagat bergerak pantas mengutip anak-anak panah yang di atas tanah, sementara Sang Penyerang lesap, menghilangkan diri.

Tindakan Sang Penyerang sangat tidak dijangka. Jagat tidak menanti lama juga, terus bergerak menghilangkan diri.

Sedang dia berlari dengan kelajuan pantas, bergerak menjauhkan diri dari kawasan tersebut, Jagat disertai seorang wanita berambut hitam ikat ekor kuda. Belakang tubuh wanita itu, tergantung busur kompaun.

“Bukan calang-calang.” Wanita itu bersuara.

Jagat mendengus kasar.

Sekali lagi, dia dihina.

“Baru engkau tahu, Deimonas.”

“Heh,” Deimonas tersengih. “Tetapi jika kita bernasib baik, mungkin masalah kita akan selesai esok.”

“Apa maksud kau?” Jagat memandang Deimonas.

Deimonas hanya tersenyum.

******

      “Barq, cepat pulang!” Suara Mustafa meninggi.

      “Kenapa Ayah?” Bakri baru sahaja keluar dari kawasan. Sedang meredah hutan yang memisahkan antara kawasan rumah Gabenor tadi dan Kotaraya. Rancangannya, dari Kotaraya, dia akan mengambil pengangkutan awam untuk turun berdekatan kawasan tempat tinggalnya. Dia perlu menukar pakaiannya terlebih dahulu, dan menyimpan senjatanya.

      “Barq, ada luka pada tubuh?”

      “Rasanya tak…” Bakri berhenti bergerak, memeriksa tubuhnya. Walaupun gelap malam ditambah dengan keadaan di dalam hutan, mata seorang Pemburu telah dilatih untuk melihat dalam keadaan tersebut.

      “Eh…” Bakri menyentuh sesuatu pada pinggangnya. Cecair. Darah. Tetapi lukanya tidak parah. Sedikit sahaja.

      “Ada sedikit. Tidak parah. Serangan hendap yang pertama itu mengejutkan. Panahnya langsung tidak mengeluarkan bunyi kecuali apabila sudah tersangat hampir.”

      “Ya, itu Deimonas. Pemburu yang terkenal dengan…” Mustafa cemas.

      “Urgh…” Bakri tiba-tiba terasa lemah. Tubuhnya longlai jatuh ke tanah.

      “…racun. Barq? Barq!” Mustafa mendengar bunyi sesuatu jatuh, dan menjangka bahawa itu adalah anaknya.

      Dan jangkaannya benar. Alat telekomunikasi tidak mendapat apa-apa balasan. Tiada suara melainkan bunyi unggas di dalam hutan.

      Mustafa menjangka yang anaknya kini pengsan. Jika tidak diselamatkan segera, ada kemungkinan untuk ditemui. Lebih buruk, jika lambat dibawa pulang, nyawa anaknya akan melayang!

      Mustafa mengawal dirinya agar tidak panik.

      Segera dia menekan beberapa nombor pada papan kekunci. Panggilan dibuat. Menanti ianya berjawab.

      “Assalamu’alaikum,” Satu suara kedengaran.

      “Waalaikumussalam. Kecemasan. Perlukan bantuan.” Mustafa pantas ke tajuk utama.

      “Baik.” Suara itu membalas.