Bab 4 – HERO

Hero bukan sekadar pembanteras jenayah,
kita semua hero,
hero itu ialah mereka,
yang rasa bertanggungjawab,
bergerak membawa perubahan dengan apa yang mampu diusahakan,
walaupun kecil dan sedikit.

“Ya, itu Deimonas. Pemburu yang terkenal dengan…” Dia tidak dapat mendengar perkataan yang seterusnya. Tubuhnya tiba-tiba tidak bertenaga, lantas dia jatuh terjelepuk di situ juga. Dia dapat mendengar Bapanya bersuara, tetapi tidak dapat menangkap apa yang disebut. Pandangan menjadi kabur, sebelum gelap sepenuhnya.

      Tubuhnya terasa ringan. Dia seperti diterbangkan ke awanan. Perlahan-lahan mindanya mula membawa diri kembali ke memori silam.

      “Bakri,” Bapanya berhenti berlatih, sebaik sahaja perasan dia mendekati. Pemberat diletakkan di atas lantai, sebelum bapanya menggerakkan kerusi roda menghampiri dirinya.

      “Tak tidur lagi, sayang?” Rambut diusap. Dia menggeleng.

      “Bakri teringat pada Ummi.” Mengadu. Dia dapat melihat wajah bapanya yang berhias peluh itu, berubah sedikit durja.

      “Bakri ingat malam itu?” Usapan bapanya terhenti. Peristiwa lima tahun yang lampau kembali menghantui.

      “Orang jahat datang ke rumah kita kan?” Dia menjawab lemah. Bapanya menggangguk.

“Kita perlu tewaskan mereka, sayang. Jika tidak, mereka akan datang lagi.” Bahu Bakri disentuh lembut.

      “Ayah nak tewaskan mereka?” Dia memandang bapanya yang berkerusi roda. Oleh kerana mendapat rawatan yang lambat, kaki kanan bapanya tidak dapat digunakan dengan baik. Kini kerusi roda menjadi alat membantu pergerakan bapanya, sementara beberapa rawatan sedang diusahakan untuk mengembalikan fungsi kaki kanan itu. Namun dia ingat bapanya pernah berkata bahawa kaki tersebut tidak akan dapat pulih dengan sempurna, paling baik pun, hanya mampu membantu bapanya berdiri dengan tongkat.

      Bagaimana bapanya akan mampu menewaskan orang-orang jahat dalam keadaan sedemikian?

      “Bukan berseorangan.” Bapanya menjawab. “Bakri mahu bantu Ayah, sayang?”

      Bakri menggangguk beberapa kali.

      Bapanya tersenyum.     

“Mari, Ayah ajar Bakri asas seni bela diri terlebih dahulu.” Bapanya bergerak ke ruang latihan. Dia mengikuti.

      “Ini bukan jalan yang mudah, Bakri. Tetapi insyaAllah kita akan tempuhinya bersama-sama.”

      Bermulalah pada malam itu, perjalanannya menjadi seorang Pemburu. Pada umur 10 tahun, dia tidak lagi menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Dia dididik dengan pelbagai ilmu dan bidang. Dari seni persilatan ke seni persenjataan, dari pelbagai bahasa kepada pelbagai bidang sains dan teknologi, semuanya diperturunkan oleh bapanya.

Pada masa yang sama, mereka berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat, satu negara ke satu negara, untuk mengelakkan mereka ditemui orang-orang yang bertanggungjawab membunuh Ibunya.

      Pada mulanya, dia menganggap bahawa perjalanan ini adalah satu pengembaraan untuk membalas dendam. Menuntut bela atas kematian ibunda tercinta. Tetapi apabila sampai satu masa, bapanya mula mengulang-ulangkan peringatan bahawa mereka sebenarnya ada tujuan yang lebih besar.

      “Kesatuan Pemburu ini adalah duri dalam daging kepada pembangunan insan sejagat. Mereka mahu menjadikan manusia-manusia ini sebagai boneka. Mereka tidak senang dengan jiwa-jiwa yang merdeka. Mereka ingin mengawal segala-galanya. Jika ada mereka berikan kemerdekaan pun, itu semua hanya artifisial. Mereka mahu dunia kekal lalai dan alpa, sementara mereka mengaut untung dan laba. Telah banyak nyawa melayang untuk membuka laluan buat mereka mencapai apa yang mereka hajati. Apabila ada sesuatu yang mereka mahu, maka akan berlakulah kemalangan, kematian, yang kemudian akan membawa kepada efek berantai, hinggalah tercapai apa yang mereka mahukan. Perjalanan hidup manusia di atas muka bumi ini tidak boleh dibiarkan berada di dalam telapak tangan mereka, dikawal sedemikian rupa.”

      Tujuan itu membuatkan dirinya memahami mengapa bapanya amat strategis. Kerana hendak mencapai tujuan yang lebih besar. Bukan sekadar hendak memberikan kepuasan kepada diri.

      “Nyawa kita mungkin melayang, Bakri. Tetapi biarlah kita tumbang sebagai orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh, bukan sebagai orang yang berdiam diri.

      Namun, dia masih ada konflik di dalam dirinya berkenaan ‘tujuan yang lebih besar’ itu. Buat masa ini, dia masih tidak jelas apakah sebenar-benarnya ‘tujuan yang lebih besar’ yang dimaksudkan oleh bapanya itu.

      Apabila tubuhnya sudah mantap, juga mentalnya telah bersedia, pada umur 15 tahun bapanya menjalankan pembedahan ke atas dirinya, untuk menjadikannya seorang Pemburu. Pembedahan yang berisiko tinggi, tetapi perlu, sekiranya mereka benar-benar mahu menumbangkan Kesatuan Pemburu.

      Bakri masih ingat akan pembedahan yang mengubah struktur tubuhnya itu. Sangat pedih dan perit. Sakit bukan kepalang. Tetapi hasil latihan bapanya sebelum itu, termasuk persediaan minda yang kukuh, menjadikan dia berjaya melepasi pembedahan tersebut.

      Selepas itu, latihannya sebagai Pemburu disambung dan menjadi semakin berat. Latihannya juga mula masuk ke alam realiti, dengan bapanya menyediakan misi. Menggunakan kod nama ‘Barq’, kalimah bahasa arab yang membawa maksud ‘petir’, dia ditugaskan dengan pelbagai misi seperti memburu ketua kongsi gelap di Mexico, menceroboh masuk ke NASA untuk mendapatkan maklumat, menyelinap ke dalam Pentagon dan mengambil data-data penting, berkampung di Tel Aviv selama sebulan untuk mencuri maklumat-maklumat kepunyaan Mossad, memburu beberapa orang penting di dalam kumpulan ISIS yang sebelum ini bermaharajalela di Iraq, dan banyak lagi.

      Hinggalah pada satu hari, bapanya berkata:

      “Kita akan pulang ke Malaysia. Itu ialah tanah air Ayah sebenarnya. Ayah berasal dari sana.”

      “Kita ada nak melawat sesiapa ke di sana?”

      “Ayah ada beberapa orang kawan. Tetapi kita bukan sekadar nak melawat. Kita akan menetap di sana.”

      “Oh?”

      “Kesatuan Pemburu ada rancangan besar terhadap Malaysia berdasarkan keadaan terkini.”

      Bakri ada mendengar yang beberapa letupan telah berlaku di Malaysia, termasuk peningkatan pembunuhan di tempat awam oleh pihak yang tidak diketahui. Dan antara perkembangan negara tersebut yang telah diketahui seantero dunia ialah projek pembebasan Masjidil Aqsa yang dikatakan bakal berjaya tidak lama lagi.

      “Ayah rasa itu semua adalah perbuatan Kesatuan?” Ujar Bakri merujuk kepada tragedi-tragedi yang berlaku di negara tersebut.

      “Ayah bukan rasa. Ayah memang tahu.” Bapanya tersenyum. 

“Tambahan Ayah yakin Malaysia boleh menjadi pengkalan utama kita untuk menumbangkan mereka.”

      “Saya menurut sahaja. Ayah bertanggungjawab di bahagian taktikal bukan? Saya askar sahaja.”

      Bapanya tertawa sambil terangguk-angguk sedikit. “Bakri adalah anak Ayah, sayang.”

      Pada penghujung umurnya 19 tahun, mereka bergerak menuju ke negara yang terletak di Asia Tenggara itu. Antara perkara pertama yang dilakukan oleh bapanya di Malaysia ialah membawanya bertemu dengan sekumpulan rakan.

      Bakri tidak sesekali mencampuri perbincangan mereka. Bakri lebih selesa untuk tidak tahu terlalu banyak detil sebagai persediaan hari-hari yang buruk. Tetapi apa yang pasti, mereka ini adalah antara yang bertanggungjawab kepada perubahan bapanya, sehingga menyebabkan bapanya meninggalkan Kesatuan Pemburu, satu masa dahulu. Mereka bukan calang-calang orang di Malaysia, dan antara yang banyak membantu bapanya memulakan kehidupan baru di negara ini.

      Tiba-tiba Bakri terasa seperti ditarik. Lamunannya pecah berderai. Suasana menjadi gelap. Dia seperti direntap.

      “Ugggghhh!” Matanya terbelalak.

      Tubuhnya direnjat aliran elektrik berkuasa tinggi. Sakit bukan kepalang.

      “Tak merbahayakah?” Satu suara menerjah gegendang telinganya.

      “Jangan pandang rendah dengan tubuh seorang Pemburu.” Kali ini suara Bapanya pula kedengaran.

      “Bakri, Bakri?” Pandangannya yang kabur perlahan-lahan kembali seperti asal. Dia dapat melihat bapanya, dan juga…

      “Hero?” Dalam keadaan lemah, dia cuba untuk menyebut apa yang dia lihat.

      Satu tubuh, memakai sut serba hitam yang tidak asing lagi di negara ini, sedang berdiri di sebelah Bakri. Individu tersebut segera menekan sesuatu pada bahagian leher, seterusnya mendedahkan wajah seorang lelaki, kacak, berambut hitam sedikit panjang di belakang, berumur lingkungan 30-an.

      “Bagaimana Bakri?” Bapanya bertanya risau. Pandangan Bakri beralih segera kepada orang tuanya itu.

      “Ergh, bolehlah.” Bakri cuba hendak menggerakkan tubuhnya, tetapi masih terasa lemah. “Apa yang telah berlaku?”

      “Deimonas telah berjaya mencederakan Bakri dengan racun yang tersangat kuat, menyebabkan Bakri pengsan di tengah hutan.”

      Bakri memandang semula kepada tetamu mereka. Masih setia berdiri, tetapi kini tangan sudah bersilang pada dada. Melihat Bakri, lelaki itu mengukir senyuman.

      “Panggil saya Afam. Em, saya mendapat panggilan kecemasan daripada Mr. Umayer, menyatakan Abang Mus memerlukan bantuan. Sejurus mengetahui apa yang perlu dilakukan, saya terus pergi mendapatkan Bakri.” Lelaki bernama Afam itu memberikan penjelasan.

      “Dengan sut tersebut?” Bakri mengerutkan dahi.

      Afam menggangguk.

      “Bagaimana orang tidak boleh sedar yang Hero datang membantu saya?” Bakri memikirkan konsikuensi tindakan tersebut. Mungkin sahaja pergerakannya akan dikesan oleh Kesatuan Pemburu, lantas mendedahkan lokasi rumah dan pengkalan mereka ini.

      “Jangan risau.” Afam mengepal tangan, automatik tubuh badanya hilang, meninggalkan wajahnya sahaja terawang-awang.

      Bakri berkelip beberapa kali, sebelum menyedari apa yang dilakukan oleh Afam. “Teknologi ‘camouflage’ yang terkini ya? Tangkap gambar belakang dan dipancarkan semula di hadapan, maka jadi seperti halimunan.”

      Afam kembali seperti sedia kala. “Bijak. Jadi jangan risau.” Afam seakan dapat menjangka kerisauan Bakri sebentar tadi. “Tambahan, malam menyelimuti kita dari pandangan ramai.”

      Bakri perlahan-lahan cuba bangkit untuk duduk. Bapanya membantu.

      “Bagaimana dengan racun di dalam tubuh?”

      “Alhamdulillah hanya terkena sedikit sahaja dan juga mendapat tindakan segera. Maka darah dan kulit yang diracuni berjaya dibuang tanpa masalah.” Mustafa menjawab. Bakri melihat pada bahagian lukanya itu, telah berjahit.

      “Ayah terpaksa buat renjatan elektrik tadi, risau sekiranya ada alat pengesan.”

      “Ya… ya.” Bakri menggangguk-angguk. Dia turun dari katil tempat dia dibaringkan. Memang persis seperti katil pembedahan di hospital, kerana bapanya berpendapat, pasti akan ada kegunaannya jika mereka hendak menentang organisasi seperti Kesatuan Pemburu. Ternyata benar jangkaan bapanya.

      Sebaik sahaja Bakri menyentuh lantai, dia terus terjelepuk jatuh. Afam pun tidak sempat menyambutnya.

      “Ugh.” Tubuhnya terlalu lemah hingga hendak berdiri pun tidak mampu. Ternyata Deimonas itu bukan calang-calang. Bukan sebarang racun yang boleh memperapa-apakan tubuh seorang Pemburu sebegini rupa.

      Mustafa bergerak mendapatkan Bakri. Dengan bantuan Afam, mereka kembali mendudukkan Bakri di atas katil.

      “Kesan racun itu masih ada. Tubuh Bakri kemungkinan akan menjadi lemah buat seminggu ini.” Mustafa memberikan penjelasan. Dia menggesa agar Bakri baring kembali. Perlahan-lahan Bakri kembali terlentang.

      “Terima kasih banyak Tuan.” Mustafa menundukkan kepalanya, sambil menjabat tangan Afam.

      “Jangan begitu. Saya yang sepatutnya panggil abang Mus sebagai Tuan. Abang Mus orang yang lebih tua.” Bahu Mustafa ditepuk lembut beberapa kali oleh pemuda bersut Hero itu.

      “Alah, tua sekitar 10 tahun sahaja.”

      “Banyak tu.” Afam buat wajah serius. Mengundang tawa kecil Mustafa.

      “Saya sedikit sebanyak mengetahui hal Abang Mus dan Kesatuan Pemburu ini. Mr. Umayer kata, ianya berkait rapat juga dengan kami. Apakah ada cara di mana saya boleh membantu?” Afam dan Mustafa bergerak menjauhi Bakri. Memberikannya ruang untuk berehat. Namun Bakri masih dapat mendengar bicara kedua-dua mereka, dek kerana deria pendengarannya yang tinggi.

      “Tidak mengapa Afam. Sebenarnya situasi agak kompleks. Kesatuan Pemburu lebih baik diperangi secara senyap. Menggunakan sut Hero ini, agak merbahaya. Risau jika silap haribulan, teknologi ini jatuh ke tangan mereka pula.” Mustafa menghentikan langkahan di hadapan skrin gergasi.

      “Sut ini adalah antara apa yang mereka buru di negara ini bukan?” Afam meneka.

      “Salah satunya.”

      Mereka diam seketika. Afam seperti berfikir panjang, sambil memandang skrin gergasi yang kini mati. Mustafa memandang sahaja pemuda di hadapannya. Pemuda yang sudah semakin meningkat usia. Dia tahu Afam kini bermur 35 tahun, sudah mempunyai 3 orang anak, siangnya sibuk menguruskan syarikat peninggalan arwah bapanya – Amir&Co, manakala kebanyakan waktu terluang pemuda ini habis sebagai penggerak organisasi bukan kerajaan bertemakan kebajikan bernama INSANI. Salah seorang daripada 10 Jutawan utama yang bertanggungjawab mencorakkan negara ini. Juga orang pertama yang menggunakan sut Hero, yang digerakkan dengan teknologi ultra moden – Elemen Baru, antara harta bernilai Malaysia sekarang ini.

      Pun begitu Afam tidak lagi sering mengenakan sut Hero, memandangkan sekarang Malaysia sudah mempunyai pasukan khas yang menggunakan sut tersebut untuk mengawal keselamatan dalam dan sempadan negara, hasil perkongsian pihak Afam dengan Skuad Elit Gerak Khas negara ini.

      Teknologi sut tersebut melonjakkan kekuatan ketenteraan Malaysia, dan sekaligus menjadi rebutan dunia. Peratus jenayah di Malaysia juga berkurangan semenjak wujudnya skuad Hero, mengawal keamanan negara.

      Tetapi mereka tidak boleh dibawa untuk menentang Kesatuan Pemburu.

      Mustafa tidak mahu Malaysia menjadi tapak peperangan baru.

      Bukan sekarang, sekurang-kurangnya.

      Jika tersilap langkah, Kesatuan Pemburu mungkin tidak teragak-agak mengarahkan seluruh ahlinya untuk fokus kepada Malaysia sahaja. Dan itu akan mengundang padah kepada semua.

      “Buat masa ini, saya cadangkan Afam teruskan kehidupan seperti biasa. Mereka masih tidak tahu berkenaan identiti Afam dan kaitan dengan Hero, kecuali syarikat Amir&Co sebagai penemu Elemen Baru dan pusat servis bagi sut-sut Hero untuk Skuad Elit. Itu pun kebanyakan cubaan mereka untuk mensabotaj atau mengambil alih syarikat tersebut, berjaya dihalang dengan baik oleh Mr. Umayer dan rakan-rakan yang lain. Kita perlukan Afam untuk fokus menggerakkan misi & visi INSANI, dan itu adalah sebahagian dari gerak kerja kita. Biar kami yang berurusan dengan Kesatuan Pemburu secara langsung.”

      “Hanya berdua?” Afam memandang ke arah Bakri.

      “Jangan pandang rendah dengan tubuh seorang Pemburu.” Mustafa mengukir senyuman.

      Afam tertawa mendengar ayat ulangan itu.

      “Tidak mengapa. Baiklah kalau begitu. InsyaAllah, sama-sama kita usahakan yang terbaik. Sememangnya bila sampai ke peringkat ini, cabaran dan dugaan itu akan lebih melibatkan percagaran nyawa.”

      “INSANI telah membentuk kamu menjadi seorang yang faham.” Bahu Afam ditepuk lembut, dilayan seperti anaknya sendiri. “Sekali-sekala, datanglah ke mari. Sebagai manusia biasa. Jadi kawan kepada Bakri. Dia perlukan contoh yang baik.”

      Afam tertawa lagi. “Sebagai manusia biasa ya, Abang Mus?”

      Mustafa turut tertawa.

      Selepas bersalaman dan berpelukan, Afam mengucapkan selamat tinggal sebelum mengaktifkan teknologi camouflage dan bergerak keluar dari pengkalan.

      Mustafa kembali mendekati Bakri.

      “Panjang bersembang.” Bakri menyapa.

      “Bukan senang nak ada kawan di atas jalan ini.” Mustafa mengambil kerusi, merapatkan diri ke katil, kemudian duduk di sebalah anaknya. “Mana yang ada, kita hargai.”

      Bakri tersenyum lemah.

      “Berehatlah.” Rambut Bakri diusap dengan penuh kasih sayang.

******

“Minum?” Deimonas mengangkat gelas.

      Jagat yang baru sahaja keluar dari bilik air, hanya mengenakan tuala menutup bahagian bawah pusat hingga lutut, menggeleng. Dia terus ke meja makan, sebelum membuka peti sejuk yang berada berdekatan perabot tersebut. Makanan dan minuman tersusun di dalam peti sejuk, dan tanpa menanti lama, Jagat terus mengeluarkan sebiji epal.

      Epal dibawa ke ruang tamu, dan selepas Jagat melabuhkan punggung di hadapan televisyen, segera digigit buah itu. Dia cuba merehatkan diri dengan suasana rumah yang moden lagi mewah ini.

      “Heh.” Jagat mendengus sambil terus mengunyah. Baru hendak menenangkan diri, ada sesuatu yang mengganggu.

      “Sakit?” Deimonas mencelah, setelah memerhatikan rakan seorganisasinya itu.

      “Tak adalah rasa sangat. Tetapi ternyata penyerang itu bukan calang-calang.” Jagat menyentuh dagu. Mulutnya terluka akibat hentakan deras Sang Penyerang.

      Deimonas meletakkan gelas di tepi botol minuman keras. Minuman kegemarannya selepas satu-satu misi. Di atas meja yang sama, terdapat beberapa kertas mahjong, penuh dengan pelan. Deimonas menarik yang paling atas, sebelum mengoyakkannya. Kemudian kertas itu dikeronyok, sebelum dicampak ke dalam tong sampah.

      “Kena buat rancangan yang lain.” Deimonas mengukir senyuman. Tangannya bermain dengan rambutnya yang panjang melepasi bahu. Ikatan rambutnya telah dilepaskan.

      “Aku rasa kita mendapat maklumat yang salah.” Jagat meletakkan buah epal yang belum dihabiskan, dan membuka laptop yang sedia ada di atas meja.

      Wajah Mustafa, atau nama kod Pemburunya ialah Muse, terpapar pada skrin tersebut bersama-sama maklumat yang detil mengenainya.

      “Dinyatakan di sini bahawa dia menerima tembakan pada peha kanan dan lengan kiri. Intel kita menyatakan bahawa dia tidak berjaya menyelamatkan kakinya, dan kini separa cacat. Tangan kirinya juga tidak secergas mana.”

      “Penyerang semalam tangkas. Bahkan seni persilatannya sangat cermat. Dia mengelak serangan demi serangan daripada kau dengan begitu baik sekali. Tidak teburu-buru. Setiap pergerakan kau seakan-akan dikira.” Deimonas mengimbas kembali pemerhatiannya.

      Walaupun dia memerhati dari jarak yang tersangat jauh, itu tidak menjadi masalah buatnya. Mata seorang Pemburu bukan mata yang biasa.

      Jagat tidak puas hati. “Itu antara ciri-ciri Muse. Tetapi dia pastinya bukan Muse.” Tangannya menggerakkan kursor, skrin bergerak perlahan-lahan ke bawah, mempamerkan video gaya Muse bertarung semasa masih bersama Kesatuan Pemburu sekitar 20 tahun yang lalu.

      “Anak murid?” Deimonas meneka. Matanya tekun memerhatikan pergerakan Muse pada skrin.

      Jagat diam tidak memberikan reaksi. Dia cuba membandingkan apa yang terpapar pada skrin, dan apa yang dialami semalam.

      “Mustahil dia mempunyai rakan seperti itu kerana aku sangat pasti yang menyerang kita semalam ialah seorang Pemburu. Dia tidak kaget apabila aku menggunakan minuman istimewa kita, bahkan seakan-akan itu sudah termasuk dalam perkiraannya.”

      “Apabila dia diserang secara mengejut, dia dapat bereaksi dengan baik. Ya, itu memang seorang Pemburu.” Deimonas membayangkan semula bagaimana penyerang semalam mampu mengelak serangannya.

      Perasaan kagum tidak dapat disembunyikan, kerana Deimonas adalah antara penyerang hendap terhandal di dalam Kesatuan Pemburu. Dia gemar menggunakan busur kerana jarak yang diperlukan lebih hampir berbanding tembakan menggunakan sniper rifle. Untuk itu, biasanya, mangsanya tidak punya kesempatan untuk mengelak. Tetapi itu tidak berlaku terhadap Sang Penyerang.

      “Anak?” Jagat menggerakkan lagi kursor, mendapatkan maklumat yang dicarinya.

      Gagal. Tidak dijumpai maklumat tersebut. “Engkau ni, bodoh ke apa?” Deimonas menajamkan pandangan kepada Jagat.

      Jagat mengeluh. Ya, dia tahu itu persoalan yang tidak bijak.

      Pemburu tidak boleh mempunyai anak. Pembedahan yang dijalani oleh mereka telah membuatkan seorang Pemburu itu mandul. Sperma dan ovum milik mereka hanyalah sel-sel mati yang tidak berfungsi.

      “Cis!” Jagat menghentam meja dengan kedua-dua tangannya. Meja yang diperbuat daripada kaca itu jadi sedikit retak. Jagat masih tahu mengawal kekuatan agar tidak berlebihan sehingga menghancurkan perabot itu.

      “Janganlah terlalu stress. Apalah engkau ni.” Deimonas menyilang tangan, menyandarkan tubuhnya pada sofa, bersahaja.

      “Kita perhatikan dahulu beberapa hari ke hadapan ini.” Deimonas kemudian bersuara.

      “Nak perhatikan apa?”

      “Sama ada penyerang kita itu masih hidup atau tidak.” Deimonas bangun.

      “Mahu ke mana?” Tajam pandangan Jagat. Dia sebenarnya amat tidak senang dengan gaya bersahaja Deimonas.

      “Tidur. Mahu tidur bersamaku?” Deimonas menghantar pandangan menggoda.

      Jagat mendengus. “Jangan ingat aku lelaki murahan! Kenapa engkau bersikap sambil lewa? Bagaimana engkau boleh teramat pasti yang panahan kau terkena pada tubuhnya? Bagaimana kalau dia tidak apa-apa dan kembali memburu kita?”

      “Heh.” Deimonas tersengih. Berpaling dan menyambung langkahan, menghilangkan diri di balik dinding. Jagat terbiar tanpa jawapan.

      Jagat kembali mengimbas pertarungannya dengan Sang Penyerang. Daripada beberapa pertukaran serangan antara kedua mereka, dia dapat menjangka usia penyerang tersebut. Penyerang semalam adalah seorang anak muda. Terlalu muda. Mungkin di sekitar awal 20-an. Antara hakikat yang Jagat tidak dapat menerima. Kerana Jagat 10 tahun lebih tua daripada itu!

Dia telah dimalukan oleh seorang budak, bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut!

      Maruahnya masih lagi tidak terbela.

      “Argh!” Terus dihayunkan tangannya menampar gelas dan botol di atas meja. Jatuh ke lantai, pecah berderai.

      Dia berharap peluang untuk membersihkan maruahnya akan muncul. Namun entah mengapa, dari satu sudut kecil hatinya, dia berharap benar racun Deimonas itu berjaya membunuh lawannya.

      Adakah dia takut?

      “Mustahil!” Jagat memarahi diri.

******

      Bakri tetap pergi ke universiti. Menghadiri kuliah seperti biasa. Tubuhnya terasa lemah, tetapi tidak menghalang dirinya untuk tetap pergi ke tempat menuntut ilmu ini. Walaupun tidak banyak perkara menarik sepanjang berada di universiti, sekurang-kurangnya angin damai tanpa suasana yang merisikokan nyawa, menenangkan diri.

      “Bakri boleh berehat di rumah sahaja kan?” Dia seperti ralat untuk ke universiti.

      “Pergi keluar, ambil angin. Cepat sedikit kembali kepada keadaan optimum.” Tegas bapanya.

      Sebagai anak yang taat, tambahan argumen bapanya juga ialah satu perkara yang relevan, dia patuh. Memang sedikit sebanyak, suasana di sini memberikan ketenangan.

      Kini dia berehat di hadapan tasik sambil ditemani suara Chester yang menyanyikan ‘numb’. Lanskap Universiti Iman Ihsan ini adalah seperti bulatan gergasi. Di tengah-tengahnya terdapat masjid yang dikelilingi tasik bersama-sama taman rekreasi yang besar, kemudian di sekelilingnya ialah bangunan-bangunan yang menempatkan administrator, dewan kuliah, makmal, gym, perpustakaan, asrama, dan pelbagai infrastruktur universiti yang lain.

      Dia baru menunaikan Solat Zuhur di Masjid, dan kuliyah yang seterusnya adalah pada pukul 3 petang. Dia tidak rasa berselera untuk makan tengahari, maka dia mengambil keputusan berehat di sini.

      “Kalau aku betul-betul ditusuk panah tempoh hari, apa agaknya akan berlaku?”

      Hanya terkena sedikit, kesannya terasa begitu sekali. Hari ini sudah hari kelima dari kejadian tempoh hari.

      Dia risau akan keselamatan Gabenor, tetapi bapanya berkata bahawa selepas kejadian itu, kawalan di sekeliling Gabenor bertambah ketat. Pergerakan Jagat juga dimonitor.

      Dia perlu cepat sihat agar dapat kembali beraksi.

      “Assalamu’alaikum.” Sapaan itu membuatkan Bakri sedikit terkejut. Kekuatan derianya juga mengendur akibat racun Deimonas. Kelam-kabut dia menjawab salam dan memerhatikan si pemilik suara.

      Bakri terpana.

      Lelaki yang membantu menyelamatkannya tempoh hari, kini berdiri dengan berpakaian kemeja kemas. Bertali leher. Bercermin mata hitam. Tangan menghulur salam.

      Berkerut dahi Bakri. Perlahan-lahan berjabat tangan sambil tangan kiri menurunkan earphone.

      Afam. Atau nama penuhnya Amir Faheem bin Amir Mueez, tiba-tiba terpacak di hadapannya? Kenapa?

      “Boleh saya duduk?”

      Bakri bergerak memberi ruang. Ketika ini, Bakri dapat memerhatikan yang para pelajar, pensyarah atau sesiapa sahaja yang sedang berada di sekeliling kawasan tersebut, sedang memfokuskan pandangan mereka terhadapnya.

      “Ah, susah bila orang kenal kita ni kan?” Afam bersahaja. Tangannya mendepa, sebelum direhatkan pada kerusi yang diduduki.

      Bakri tertawa kecil. Menggeleng kepala. Semenjak hari itu, dia ada meluangkan sedikit masa mengkaji berkait Afam. Memang terkenal dengan gayanya yang selamba, walaupun kini merupakan antara orang berpengaruh di Malaysia dan Asia Tenggara.

      “Apa yang Tuan buat di sini?” Bakri tertanya-tanya.

      Afam ketawa. “Tidak perlulah bertuan-tuan. Panggil Abang pun okay. Kita beza sekitar 15 tahun aja.”

      “15 tahun aja?” Bakri mengangkat kening, kemudian ketawa lagi. Terhibur dengan gaya Afam.

      Mereka berborak dengan mesra, seakan-akan telah kenal lama. Persahabatan berputik. Dan bagi Bakri, ini ialah sahabat pertamanya. Dia tahu yang bapanya meminta jasa baik Afam untuk menjadi temannya, tetapi tidak sangka pula seperti ini. Sedikit sebanyak membuatkan dia kagum dengan peribadi Afam. Bapanya menyatakan bahawa ada ramai orang seperti ini, dan berharap satu hari nanti dia boleh hidup bergaul dengan mereka, dalam keadaan yang selamat tanpa dibayangi Kesatuan Pemburu.

      Mungkin ini salah satu daripada perkiraan bapanya.

      Gelagat Afam dan Bakri diperhatikan ramai orang, namun mereka tidak memperdulikannya. Tidak sedikit yang tertanya-tanya, apa kaitannya pelajar universiti ini dengan salah seorang Jutawan utama negara?

      Dan bagi yang mengenali Bakri sebagai pelajar baru, lebih menjadi kehairanan.

      “Eh, siapa dia tu ha?” Fatihah memuncungkan bibir ke arah Bakri.

      “Tu Tuan Amir Faheem la. Takkan tak kenal. Antara orang terkaya di Malaysia dan ikon anak-anak muda. Filantropis ternama.” Salma menjawab.

      Mereka berdua baru pulang dari Kafeteria dan melalui kawasan tersebut, sebelum langkahan terhenti dek kerana rasa ingin tahu Fatihah.

      “Bukan Tuan Amir. Itu aku kenal. Bakri tu ha. Siapa dia? Kenapa orang besar macam Tuan Amir boleh duduk santai dengan budak macam dia?” Fatihah tertanya-tanya.

      Pelbagai persoalan timbul. Semakin banyak pula misteri pelajar baru ni.

      “Saudara kut.” Salma menjawab.

      “Ish, tak ada gaya macam berkongsi hubungan darah pun. Tengok gaya Tuan Amir, segak, kemas, ada kaliber. Bakri tu, pakaian tak kemas, asyik pakai baju sejuk aja, padahal Malaysia ni bukan UK. 24 jam telinga disumbat dengan ‘earphone’. Masa belajar tak fokus.”

      “Wah wah, banyak ya kau tahu fasal Bakri ni. Cukup-cukuplah skodeng anak teruna orang Fatihah oi.” Salma menggerak-gerakkan jari telunjuk, menyakat.

      Terus tangan Salma itu ditepis Fatihah. “Sudahlah kau ni.”

      Fatihah terus berjalan sambil menggendong buku, diikuti Salma.

      “Weh, rilek la. Gurau pun tak boleh ke?”

      Mereka terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut.

      Fatihah pun tidak pasti mengapa dia seperti suka nak menyibuk hal Bakri. Tetapi dia tidak dapat menafikan perasaannya yang sedikit sebanyak menganggap karakter Bakri itu agak berlainan dari kebanyakan orang yang ditemuinya.

      Itu membuatkan dia sering memerhatikan Bakri semenjak pelajar baru itu muncul di Universiti ini.