Bab 3

Penggera pada telefon pintar berbunyi. Bermula dengan perlahan, semakin lama semakin kuat. Tetapi belum sempat bunyi itu sampai ke tahap tertinggi, telefon pintar itu telah disambar oleh Wasim. Dengan mata yang masih sukar untuk dibuka secara keseluruhan, dia berjaya mematikan penggera tersebut.

              Wasim kaku sebentar dengan tubuh terlentang, wajah menghadap siling. Gelap. Dia menarik nafas sebentar. Sebahagian daripada dirinya mahu dia terus berbaring, menutup mata dan menikmati lazatnya lena. Namun, sebahagian lagi mahu dirinya bangkit, mengingatkan dia akan misi keberadaan diri di sini.

              Selepas beberapa ketika, dia mengerahkan tubuh untuk  bangkit. Wasim turun dari katil. Terus menuju ke tandas. Sejurus pintu ditutup, dia berdiri di hadapan sinki. Cermin yang melekat pada dinding ditatapnya. Wajah sendiri terpantul. Pili air dibuka. Kedua-dua belah tangan ditadahnya.

              Air di Makkah tidak sejuk. Mungkin kerana cuaca di sini sepanjang masa panas. Hatta pada waktu awal pagi sebegini, air yang keluar daripada pili tetap suam dan menyenangkan.

              Wajah disapu dengan air. Wasim tidak berniat untuk mandi pada waktu ini. Kebiasaannya, dia mandi selepas Subuh nanti. Selepas membasahkan muka, menjemput kesegaran daripada pelukan lena, Wasim pergi menunaikan hajat. Buang air kecil dan besar, menenangkan perut.

              Apabila semua telah selesai, Wasim mengakhiri aktiviti di dalam tandas dengan mengambil wudhu’.

              Sebaik sahaja membuka pintu dan melangkahkan kaki ke luar bilik air, jantungnya seperti disentap akibat terkejut melihat satu lembaga berdiri tegak betul-betul di hadapan pintu.

              Namun, rasa terkejut itu segera hilang apabila dia menyedari bahawa yang berdiri tegak di hadapannya kini ialah Pak Cik Rasyid.

              “Sudah habis?” Pak Cik Rasyid bertanya.

              Wasim hanya mengangguk, dan bergerak ke katilnya. Dia menoleh ke arah hadapan tandas yang kini kosong. Pak Cik Rasyid sudah masuk. Orang tua itu memang sering ke tandas dek kerana penyakitnya. Asyik mahu terkencing, kerana tubuh tidak boleh menampung air terlalu banyak.

              Apa yang lebih membuatkan Wasim tidak selesa sebenarnya ialah, dalam banyak kali Pak Cik Rasyid masuk ke tandas, pasti akan ada beberapa kali di mana tandas akan ditinggalkan dalam keadaan teramat kotor.

              Najis berterabur di sekeliling jamban, demikian juga sisa-sisa air kencing.

              Memanglah Abang Hussein akan sentiasa berusaha untuk membersihkannya. Tetapi kadangkala Abang Hussein sendiri tidak cukup pantas mengusahakannya. Wasim sudah beberapa kali masuk ke tandas, dan dihadap dengan tragedi tersebut.

              Tinggal sebilik dengan orang tua berkondisi seperti Pak Cik Rasyid benar-benar menguji kesabarannya.

              Bahkan, masalahnya tidak terhad sekadar isu kebersihan tandas. Kondisi Pak Cik Rasyid juga sering mengakibatkan bilik mereka tidak mendapat nikmat pendingin hawa. Kerana pendingin hawa di dalam bilik itu terlalu sejuk, dan tidak baik untuk kesihatan Pak Cik Rasyid. Maka Abang Hussein terpaksa menutup alat tersebut, terutama pada waktu malam. Ini mengakibatkan bilik itu terasa panas yang teramat.

              Belum lagi dikira batuk-batuk Pak Cik Rasyid yang kuat dan kerap, sehingga menganggu ketenangan Wasim, terutama ketika tidur.

              Kehadiran Pak Cik Rasyid sangat-sangat tidak menyenangkan Wasim. Dia memang nyata tidak selesa dengan orang tua itu. Tetapi sebagai menghormati orang yang lebih tua, menghormati Abang Hussein, menghormati Tanah Suci, Wasim tidak pernah menyuarakan rasa tidak senangnya itu.

              Namun, Allah SWT sahaja yang tahu betapa jiwanya memberontak tidak senang dengan keadaan tersebut.

              Tetapi dia sentiasa cuba menenangkan jiwanya.

              Lebih-lebih lagi, rakan-rakan sebilik yang lain, Pak Cik Hisyam, Rafiq dan Hilman, tidak bersuara apa-apa berkenaan hal tersebut, bahkan mereka amat mesra dengan Pak Cik Rasyid, serta cuba membantu orang tua itu sentiasa.

              Wasim menghela nafas panjang. Matanya kini jatuh ke katil Hilman. Pemuda yang seusia dengannya itu tiada di atas katil. Hilman memang  biasa tidak ada saat Wasim bangkit. Dia paling awal bangun daripada tidur, dan dia akan terus bergerak ke Masjidil Haram. Satu perkara yang sangat dikagumi Wasim, memandangkan Subuh di sini adalah pada pukul 4.30 pagi Sekarang pukul 3.30 pagi. Bermakna Hilman bangun lebih awal daripada pukul 3.30 pagi, walhal pemuda itu tidur sama waktu dengannya, sekitar 12 tengah malam.

              Awal-awal berada di sini, Hilman sering mengejutkan Wasim. Tetapi selepas seminggu, Hilman ada berkata kepadanya yang dia mahu mendisiplinkan diri untuk berqiamullail di Masjidil Haram, bermakna dia akan pergi lebih awal, dan tidak lagi mampu untuk umengejutkan Wasim.

              Tetapi ternyata selepas seminggu bangun awal, Wasim sudah terbiasa dan punya kekuatan. Bahkan, ketiadaan Hilman seakan-akan memperkuatkan dirinya untuk melawan hawa nafsu dan bisikan-bisikan yang cuba menariknya kembali ke alam lena. Ini kerana, kali ini dia perlu melawan semua itu sendirian. Antara yang selalu diusahakan Wasim ialah mengingatkan betapa beruntungnya dia dibenarkan Allah SWT untuk berada di sini, dan mengingatkan yang isteri dan keluarganya mengharapkan perubahan dirinya daripada perjalanan ini, juga menetapkan penggera telefon pintarnya untuk berbunyi pada lima waktu berhampiran.

              Wasim tidak mahu menjadi hamba yang tidak bersyukur, dan seorang yang mengecewakan keluarganya. Jika di Tanah Suci dia tidak berubah, apa akan ada harapan untuk dia berubah di Malaysia kelak? Itu antara yang ditakuti Wasim. Maka dia tidak akan mempersiakan peluang yang diperolehinya kali ini.

              Kerana itu, Wasim yang biasa bangun selepas matahari terpacak tinggi di langit, kini bangun jauh lebih awal sebelum azan Subuh berkumandang.

              Selepas bersiap mengenakan baju melayu cekak musang dan menyarung seluar, Wasim mencapai kalung tag nama dan gelang besi yang disangkutkannya pada suis kipas, sebelum keluar meninggalkan bilik 436.

              Turun sahaja ke lobi, dia melihat beberapa individu sedang duduk-duduk di sofa. Kawasan ini selain menjadi tempat menunggu dan berehat, apabila waktu solat, ini juga menjadi tempat solat bagi mereka yang tidak mahu atau tidak mampu ke masjid, terutama para jemaah yang telah tua dan sakit.

              Kelihatan pak cik-pak cik yang telah berusia, ada yang berkerusi roda, menanti di ruang tersebut dengan siap-siap menghadap kiblat. Ada yang sedang mengerjakan solat sunat, ada yang sedang membaca al-Quran, ada yang sedang berzikir.

              Hati Wasim tersentuh. Dia meninggalkan lobi dan bergerak keluar dari Rehab al-Janadariyah. Suasana di luar masih gelap. Tetapi inilah masanya untuk keluar jika ingin bersolat di dalam Masjidil Haram, terutama jika ingin menatap Kaabah.

              Tinggal sekitar seminggu setengah lagi untuk menunaikan Haji. Wasim perasan yang bilangan jemaah di Makkah sudah semakin bertambah ramai. Masjidil Haram semakin sesak. Jika datang setengah jam lebih awal daripada waktu solat, sudah pasti solat di luar, dek kerana bahagian dalam Masjidil Haram sudah padat dengan manusia yang datang jauh lebih awal.

              Kerana itu Wasim menetapkan yang pukul 3.30 pagi dia mesti sudah bergerak keluar.

              Dia juga tidak mengambil teksi. Wasim lebih selesa berjalan kaki ke Masjidil Haram. Selain jimat, perjalanan itu juga memberikannya masa untuk tenggelam dalam lautan fikir. Tambahan, dia bukan berseorangan.

              Sebagaimana yang dijangka, jalan raya utama yang menghala ke Masjidil Haram, penuh dengan orang ramai yang sedang berjalan ke arah Masjid tersebut. Kebanyakan mereka ialah bangsa kulit gelap. Wasim dapat melihat yang mereka datang dari arah yang lebih jauh berbanding Rehab al-Janadariyah.

              Ini salah satu sebab mengapa semakin lama Wasim berada di sini, semakin dirinya dihentak rasa sedar. Selama ini, dia hidup tidak bergaul dengan orang ramai. Tidak berminat keluar dari rumah. Cakerawala kehidupannya hanya isteri dan anak-anak. Dia tidak terdedah dengan kesukaran, cabaran, dan kesungguhan orang lain.

              Tetapi di sini, dia melihat kesungguhan banyak orang, dan kebanyakan mereka pula dalam keadaan yang jauh lebih tidak bernasib baik berbanding dirinya.

              Ini membuatkan Wasim mempersoalkan komitmen dirinya dengan Islam.

              Kesungguhan ibadah, terutamanya.

              Mengapa selama ini, di rumah, selimut terasa amat berat? Mengapa masjid yang jaraknya hanya sekitar 100 tapak dari rumah, terasa amat jauh? Sedangkan dia orangnya sihat walafiat. Bahkan hidupnya tidak dibebani kerja berat. Seberat orang lain yang bekerja pejabat, perlu meredah kesesakan jalan raya, menghadap karenah bos dan rakan-rakan pejabat. Atau bekerja berat seperti di tapak pembinaan, atau bekerja sepanjang hari dengan gaji kecil seperti banyak warga Bangladesh dan Myanmar.

              Sedang dalam kalangan orang ramai yang jauh tidak bernasib baik sepertinya, masih lagi ke masjid, menjaga solat, menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT.

              Apa yang membuatkannya sukar untuk menjadi hamba Allah SWT yang baik?

              Rasa malas? Alasan diri bahawa dia anti-sosial?

              Wasim terus mendaki bukit menuju Masjidil Haram bersama gerombolan manusia yang menghala ke arah yang sama.

              Walaupun perjalanan itu jauh dan memenatkan, tetapi Wasim terus cekal dan mengharunginya. Selepas sekitar 20 minit perjalanan, Wasim tiba di hadapan pintu Masjidil Haram.

              Kini, tanpa Hilman pun, Wasim sudah tahu arah mana perlu dituju untuk dia dapat menatap Kaabah. Selepas menanggalkan selipar dan memasukkannya ke dalam plastik, Wasim bergerak ke destinasi dan tiba di perkarangan Kaabah sekitar lima minit kemudian.

              Kawasan itu sudah dibanjiri lautan manusia, tetapi kerana Wasim tiba awal, dia masih berjaya mendapatkan tempat. Wasim mengambil tempat di hadapan orang ramai yang sedang bertawaf di atas marmar putih.

              Kedua-dua tangan diangkatnya.

              “Allahu akbar.”

              Solat sunat ditunaikan. Dengan Kaabah tersergam indah di hadapan. Jiwanya terasa puas. Seperti orang dahaga yang mendapat air. Demikian perasaanya sekarang.

              Apakah dia telah berubah?

              Apakah perubahannya akan kekal?

***

Langit semakin cerah. Kegelapan mula sirna. Masjidil Haram juga semakin surut daripada jemaah, tetapi tidak benar-benar lengang dek kerana ramai masih mahu kekal di dalamnya. Ada yang sekadar berehat, ada yang terus menyambung ibadah.

              Salah seorangnya ialah Wasim. Dia masih kekal berteleku di atas marmar putih di hadapan Kaabah. Tinggal kini lokasinya berubah ke kawasan yang berbumbung, memandangkan tempat solatnya tadi telah menjadi kawasan untuk melakukan tawaf. Demikianlah suasana setiap kali selepas solat fardhu, tempat solat di perkarangan Kaabah akan dikosongkan untuk membenarkan lebih ramai para jemaah dapat menunaikan tawaf.

              Tetapi Wasim masih berada pada aras yang sama. Tangan kanan memegang telefon pintar, bukan untuk memeriksa media sosial, tetapi membuka aplikasi al-Quran dan membacanya.

              Beginilah rutin Wasim. Dia akan solat Subuh di Masjidil Haram, sebolehnya di hadapan Kaabah, dan selepas Subuh selesai, Wasim akan duduk-duduk di dalam masjid itu, menghadap Kaabah, sehingga matahari benar-benar naik, sambil membaca al-Quran daripada telefon pintar.

              Wasim tidak mampu membaca surah-surah yang lebih panjang. Dia hanya dapat membaca Juzu’ ‘Amma dengan lancar, memandangkan itu sahaja bahagian al-Quran yang dibacanya selama ini. Itupun surah-surah pendek yang dihafalnya semasa masih bersekolah agama dahulu. Sedang surah-surah yang sedikit panjang di dalam Juzu’ ‘Amma, tetap Wasim masih tersangkut-sangkut membacanya.

              Tetapi itu tidak menghalang Wasim untuk menjadikan Juzu’ ‘Amma sebagai bahan bacaan utama apabila dia mahu membaca al-Quran di sini.

              “Wasim.”

Bahunya ditepuk. Wasim sedikit terkejut. Segera menoleh. Tetapi si empunya suara telah duduk di sebelahnya. Wasim meleretkan senyuman.

“Hilman.”

              “Rajin kau ya. Baca apa?”

              “Surah Ad-Dhuha.” Wasim menunjuk telefon pintarnya.

              Hilman terangguk-angguk, dengan garisan yang tidak lekang pada bibir. Wajah Hilman jelas tenang, dan gembira. Mukanya menghadap Kaabah, dengan riak yang puas dan bahagia. Seperti seorang perantau yang pulang ke kampung halaman setelah sekian lama meninggalkannya.

              “Seronok di sini, bukan?”

Persoalan daripada Hilman membuatkan Wasim terhenti daripada bacaan al-Quran-nya.

              Wasim menatap Kaabah, yang terus-menerus dikelilingi manusia yang bertawaf. Di luar kawasan tawaf, ada yang sedang berbaring, ada yang sedang membaca al-Quran, ada yang melakukan solat sunat.

              Meriah.

              Perlahan-lahan Wasim mengangguk.

              “Berapa kali pun kita datang, apabila kita di sini, kita rasa seperti pertama kali.” Hilman seperti menjawab soalannya sendiri.

              “Itu yang wajah ceria semacam saja?”

              Hilman tertawa. “Engkau macam mana di sini selepas seminggu lebih ini?”

Wajah pemuda itu kini bertentangan wajah Wasim.

              “Bolehlah. Alhamdulillah. Aku rasa bersemangat. Banyak perubahan daripada rutin aku di Malaysia.”

              “Huh? Apa yang bezanya?” Hilman seperti tertarik.

              Wasim menatap wajah Hilman buat beberapa ketika. Teragak-agak mahu berkongsi akan keadaan dirinya yang sebenar. Tetapi merasakan Hilman sahaja yang rapat dengannya di Tanah Suci ini, serta Hilman juga merupakan teman sebilik, maka dia fikir ada baiknya dia berkongsi. Tambahan, pemuda itu seorang yang baik peribadinya, santun pekertinya dan seorang yang soleh.

              “Aku sebenarnya setiap hari bangkit Subuh lewat. Aku selalu tidur lewat, dan bangun mesti lepas matahari dan terpacak.” Wasim membuka cerita.

              Hilman khusyuk mendengar. Terangguk-angguk.

              “Aku juga tak jaga sangat solat. Kadang-kadang solat, kadang-kadang tak solat. Kalau solat pun selalu tangguh ke akhir waktu. Masjid dekat saja dengan rumah aku. Tetapi aku tak pernah jejak pun. Kemudian, aku ini perokok sebenarnya.”

              “Tak pernah nampak pun kau merokok di sini?” Hilman tersengih.

              “Aku tak bawa sebatang pun. Aku ada azam alang-alang kena duduk di sini 50 hari, aku nak ambil peluang ini untuk berubah.”

              Hilman diam, seakan memberi ruang bagi Wasim untuk terus berkongsi.

              “Aku sudah ada tiga orang anak, tetapi perangai aku ini tak pernah berubah. Aku ada juga rasa takut kepada Allah, rasa takut tak dapat jadi contoh yang baik kepada anak-anak, jadi aku ada juga beberapa kali cuba berubah, tetapi tak berjaya.”

              “Isteri engkau macam mana?”

              “Macam langit dan bumi. Dia langit, aku bumi. Aku bumi yang kerak paling dalam. Dia langit paling tinggi.” Wasim cuba berseloroh, sambil menggerakkan tangan, menggayakan langit dan bumi, jarak antara dirinya dan Zulaikha.

              Hilman tertawa. “Dia tidak membantu?”

              “Dia sangat membantu. Tak pernah putus asa. Aku tak layak jadi suami dia. Kerana aku asyik tak berjaya. Sampai tahap, aku benar-benar rasa Allah SWT sudah tak pandang pada aku. Sebab itu aku cuak kita sesat tempoh hari. Aku ingat Allah tengah azab aku, halang aku daripada tengok Kaabah.”

              Hilman menggeleng kecil sambil tangan kanan diangkatnya menutup mulut. Mungkin hendak menghalang dirinya daripada ketawa lebih kuat. Tangan itu kemudian dibawa ke belakang tubuh Wasim, dan menepuk beberapa kali.

              “Banyak sangat baca majalah merepek dan dengar ustaz-ustaz merepek ini.”

              Wasim ketawa. Menggeleng lucu. Benar, hal seperti jika orang berdosa besar Kaabah akan terhijab daripada penglihatannya ini banyak dia dengar-dengar sahaja.

              “Patutlah engkau cuak semacam hari itu.” Rasa lucu masih tersisa pada Hilman. Tetapi tawa telah berganti dengan senyuman.

              “Allah tidak begitu. Ya, Dia juga boleh menurunkan azab, menyeksa. Tetapi Dia tidak sesekali zalim. Untuk semua pendosa, ada peluang dan harapan. Itu kita kena yakin.”

              “Aku ada banyak kekurangan. Aku tak tahu jika aku mampu jadi sesoleh engkau, Hilman.”

              “Sesoleh aku? Ahh …” Hilman menggeleng sambil telunjuknya diangkat, bergerak ke kiri dan ke kanan. “Aku bukan kayu ukur. Aku ada juga kelemahan-kelemahan diri. Apa yang engkau nampak, hanya zahir. Aku juga mengharap kembara ke Tanah Suci kali ini mampu memberikan perubahan kepada kelemahan-kelemahan aku.”

              Wasim berkerut. Seorang yang kelihatan sebaik Hilman pun, ada menyimpan kelemahan? Seperti mustahil. Tetapi memandangkan Hilman tidak berkongsi akan apa kelemahan itu, maka Wasim tidak mengorek dengan lebih lanjut. Tambah pula, wajah Hilman yang sentiasa ceria, kelihatan sedikit durja.

              Pertama kali Wasim melihat Hilman sedemikian rupa.

              “Tetapi memang tempat ini ada magisnya, pada akulah. Di Malaysia, punyalah susah aku nak bangkit tidur untuk Subuh, tetapi di sini boleh pula aku bangun jauh lebih awal. Di Malaysia, punyalah susah aku nak baca al-Quran. Tetapi di sini boleh pula aku baca al-Quran banyak-banyak. Di Malaysia, aku solat fardhu pun ke laut, tetapi di sini, aku boleh istiqomah solat di masjid, bahkan buat solat sunat. Tanah Suci ni memang ada keistimewaannya yang tersendiri!” Wasim berkongsi perasaan. Cuba untuk mengubah topik.

              Hilman kembali tersenyum. Mendung yang baru mahu singgah pada wajahnya tadi cepat sahaja sirna. Wajah itu kembali bercahaya.

              “Tempat ini suci. Tetapi ia tidak menyucikan, Wasim.”

              Dahi Wasim berkerut. “Maksudnya?”

              “Perubahan yang engkau rasakan, bukan kerana engkau berada di Tanah Suci. Tetapi kerana engkau berada di dalam suasana yang baik. Engkau fikir kembali selepas seminggu lebih berada di sini. Apa beza di sini dengan rutin engkau di Malaysia?”

              Perbualan di antara mereka berdua terhenti seketika. Wasim mengambil masa untuk mengimbas kembali rutin hidupnya, dan membandingkan dengan rutinnya di sini.

              “Di Malaysia, aku seorang. Terperap di dalam rumah. Buat kerja sendiri. Ikut perasaan sendiri.”

              “Di sini?”

              “Di sini, suasana berbeza. Aku duduk di tengah-tengah orang ramai, dan orang ramai itu pula berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mengisi masa dengan kebaikan. Tak semua orang, tetapi kebanyakan orang. Bahkan yang tidak berkemampuan pun, cuba melakukan kebaikan semampu mereka.”

              “Ya. Engkau tidak berubah kerana magis Tanah Suci. Agama kita bukan agama magis. Tetapi antara pemacu perubahan seseorang ialah biah solehah. Dan di sini, kita disajikan dengan biah yang solehah.”

              “‘Biah solehah’?” Wasim mengulang ayat tersebut kerana ayat itu seperti pernah didengarinya semasa belajar di sekolah agama dahulu.

              “Ya. Maksudnya, ‘suasana yang baik’. Apabila seseorang itu berada dalam suasana yang baik, maka insya-Allah, dia akan terpengaruh dan cenderung untuk melakukan hal-hal kebaikan. Demikian juga sebaliknya.”

              Tersentak jiwa Wasim, apabila bicara yang diungkapkan Hilman itu, terasa seperti ada kebenarannya. Dia masih teringat semasa dia tinggal di asrama di sekolah agama dahulu. Dia bukan orang yang meninggalkan solat, dia bukan orang yang tidak membaca al-Quran, dan dia bukan perokok. Suasana di situ membentuknya menjadi seorang yang mentaati perintah Allah SWT.

              Berbeza dengan universiti, apabila dia mula menjauhi rakan-rakan dan kenalannya dari sekolah agama, dan lebih selesa hidup menyendiri. Terasa mahu mencari keseronokan hidup, menyebabkan dia berkenalan pula dengan pelajar-pelajar yang hidupnya sambil lewa, tidak kisah halal dan haram. Aktiviti merokok datang daripada pengaruh mereka. Demikian juga dengan bangun lewat, dan tidak menjaga solat.

              “Jika manusia perlu ke Tanah Suci baru boleh mendapat perubahan, maka rugilah orang-orang yang tidak dapat ke Tanah Suci. Bayangkan berapa ramai tidak dapat ke Tanah Suci? Apakah mereka semua tidak punya peluang untuk berubah?”

              Wasim terdiam.

              “Engkau pasti ada kerisauan yang perubahan engkau kecapi ini tidak kekal, bukan? Risau apabila kembali ke Malaysia, engkau masih orang yang sama seperti sebelum engkau tiba?”

              Terangguk-angguk Wasim mendengar soalan tersebut.

              “Itu tidak akan berlaku jika engkau bina biah yang solehah di sekeliling engkau.”

              “Macam mana hendak bina biah yang solehah?”

              “Cari rakan-rakan yang soleh.” Hilman tersenyum.

              “Tapi, aku tak ada kawan.”

              “Engkau akan ada kawan. Bermula dengan aku.” Hilman menghulurkan tangan.

              Wasim melihat tangan Hilman yang tersua ke arahnya. Bibirnya merekah dengan senyuman. Tangan Hilman dijabatnya.

              “Perjalanan perubahan itu panjang. Engkau akan teruji dan teruji. Tetapi jangan risau. Kita akan menghadapinya bersama-sama.” Hilman menggunakan tangan kirinya, memaut bahu Wasim.

              Mata Wasim membesar, bersinar dengan kegembiraan.

              Apakah ini cara Allah SWT membantunya?

***

Hilman tidak lama bersamanya tadi. Dia diberitahu yang Hilman perlu pergi mendapatkan isterinya, Jalilah, dan menemani wanita itu pula. Wasim tidak kisah. Tetapi jauh di dalam hati, ada sedikit rasa cemburu. Alangkah seronoknya dia jika Zulaikha ada bersamanya sekarang. Kerana kebanyakan masa di sini, dia berseorangan.

              “Zulaikha kalau nak pergi pun, Mak ada duit. Daftar dan buat rayuan, kata nak pergi bersama suami.”

              “Zulaikha tak boleh pergi, Mak. Nak jaga anak tiga orang ini. Semakin ligat semua.” Ujar isterinya sambil mengelus lembut rambut Hasnah di pangkuannya.

              “Tetapi nanti awak sentiasa doakan saya, ya, agar saya boleh pergi ke sana dengan awak pula satu hari nanti. Bersama anak-anak.” Tangan itu kemudiannya mencapai tangan Wasim.

              Wasim tersenyum kelat.

              Dia sebenarnya masih berada dalam dilema sama ada mahu pergi atau tidak.

              Hari ini dia menyesali riak wajahnya pada hari itu. Bahkan, dia menyesali banyak perkara. Ketiadaan Zulaikha di sisi, buat pertama kali dalam hidup semenjak mereka bernikah, banyak juga membuka matanya.

              Dirasakan yang sepanjang tempoh mereka bersama, Wasim belum benar-benar menghargai wanita yang telah banyak berkorban dan cekal bersama-samanya.

              Kerana itu, setiap kali dia menatap Kaabah, Wasim tidak pernah lupa menyebut nama Zulaikha. Menyatakan kepada Allah SWT betapa cintanya dia kepada wanita itu. Betapa dia berharap Allah SWT memberikan rahmat dan rezeki-Nya kepada wanita itu. Lebih-lebih lagi, menjadikan dia seorang lelaki yang layak bergelar suami kepada wanita solehah itu.

              Wasim menghela nafas panjang. Matahari semakin tegak di atas langit. Cuaca menjadi semakin panas. Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Di sini, waktu pukul tujuh pagi sudah seperti pukul sepuluh pagi di Malaysia. Cerah dan terang-benderang.

              Segera Wasim bangkit, menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak dua rakaat. Selepas itu, dia beransur meninggalkan Kaabah, bergerak keluar dari Masjidil Haram, dan berjalan kaki menuju ke hotel. Di perkarangan luar Masjidil Haram, marmar putih terbentang luas lengang tanpa ramai manusia.

              Waktu begini, ramai orang pulang ke tempat penginapan masing-masing, kerana kebanyakan mereka sudah bangun terlalu awal untuk beribadah di Masjidil Haram. Selepas Subuh sehingga tengahari nanti, biasanya waktu ramai orang berehat, sebelum Masjidil Haram kembali padat untuk solat Zuhur.

              Perjalanan pulang dari Masjidil Haram tidak sesukar perjalanan pergi. Kerana perjalanan pulang menuruni bukit, tidak memakan terlalu banyak tenaga.

              Hari ini,  Wasim membuat keputusan untuk membasuh pakaian. Di bahagian lobi Rehab al-Janadariyah ada disediakan beberapa perkhidmatan. Antaranya ialah perkhidmatan dobi. Tetapi memandangkan wang di tangannya terhad, Wasim membuat keputusan untuk tidak menggunakan perkhidmatan tersebut.

              Bahkan, Zulaikha telah melengkapinya dengan sabun basuh baju dan berus.

              Wasim disambut dengan hawa dingin daripada pendingin hawa di lobi Rehab al-Janadariyah sebaik sahaja tiba. Tubuhnya berpeluh, dahinya turut berkeringat, nafasnya turun naik. Walaupun menuruni bukit, kepenatan tetap terasa. Tetapi rasa penat itu dilawannya. Wasim terus bergerak menuju lif, dan naik bersama beberapa jemaah haji yang lain. Pada tingkat empat, Wasim keluar dan terus bergerak ke bilik 436.

              “Assalamu’alaikum.” Wasim bersuara sambil membuka pintu.

              Salamnya dijawab lembut oleh Abang Hussein, yang khusyuk memerhatikan telefon pintar sambil bersandar di dinding. Sementara itu, Pak Cik Rasyid kelihatan baru keluar dari tandas, bergerak ke arah Abang Hussein.

              “Sudah sarapan?” Abang Hussein bertanya. “Mak abang ada beli sarapan lebih tadi.”

              Wasim sekadar tersenyum sambil menggeleng.

              Bilik itu hanya diisi mereka bertiga. Hilman nampaknya masih belum pulang. Demikian juga pasangan anak-beranak, Pak Cik Hisyam dan Rafiq. Sempat Wasim melihat katil pasangan anak-beranak itu yang bersih dan kemas. Sarung tilam mereka pula cekang. Jelas kelihatan kesan didikan Pak Cik Hasyim kepada keluarganya.

              Tersentuh, Wasim terus mengemaskan katilnya, sambil memikirkan betapa dia juga perlu sedar yang dirinya adalah contoh kepada anak-anak. Suara hatinya membisik semangat yang lebih hangat untuk dia benar-benar mengambil peluang di Tanah Suci ini.

              Peluang untuk berubah!

              Wasim segera mengambil pakaian-pakaian kotor yang telah dikumpulnya selama seminggu. Memandangkan cuaca di sini panas dan kering, susah untuk pakaian berbau busuk jika disidai dengan pengudaraan yang baik. Jadi, Wasim tidak tergesa-gesa mahu membasuh pakaiannya setiap hari.

              Walaupun begitu, dia sendiri telah merancang untuk mendisiplinkan diri membasuh pakaian setiap empat atau lima hari sekali.

              “Nak basuh baju?” Abang Hussein bertanya.

              “Ha’ah. Guna tandas lama sikit ya.”

              Sempat Wasim melihat Pak Cik Rasyid mencuit Abang Hussein. Tetapi Wasim terus menoleh tanpa menanti apa yang mahu pasangan anak-beranak itu bualkan. Dia terus berjalan memasuki tandas. Ketika dia membuka pintu dan melangkah masuk, kedengaran suara Abang Hussein meninggi.

              “Wasim!”

              Dia tidak sempat menoleh ke arah Abang Hussein, kerana matanya terlebih dahulu melihat keadaan tandas.

              Tekaknya terus rasa mual dan loya.

              Najis bertaburan di atas lantai berhampiran jamban. Demikian juga dengan sisa air kencing.

              Bau yang teramat busuk menyerbu hidung.

              Kekotoran kali ini paling teruk yang dilihatnya.

              Kerongkongnya seperti mahu mengeluarkan muntah.

              Langkahan Wasim mati di pintu tandas. Segera dia menoleh ke arah Pak Cik Rasyid dengan wajah amarah.

              “Ayah abang baru beritahu.” Abang Hussein telah bangkit dari katil dan merapatinya dengan wajah yang serba salah.

              Jiwa Wasim beradu antara mahu bertenang atau mahu melepaskan amarah. Mindanya berbisik dengan 1,001 bisikan. Ada bisikan yang baik, ada bisikan yang keji.

              Dia nyata tidak mampu bertahan lebih lama dengan keadaan sebegini!