Bab 2

Wasim duduk agak rapat dengan peti sejuk di sisi kiri. Skrin telefon pintar dihadapkan ke wajah, sambil kedua-dua telinganya disumbatkan dengan fon kepala. Skrin tersebut sedang mempaparkan gambar Zulaikha dengan perkataan ‘calling’ tertera di bawahnya.

              “Ayah!”

Suara anak sulungnya, Raihani, kedengaran kuat sebaik sahaja panggilan itu bersambut. Paparan gambar Zulaikha tadi telah berubah menjadi paparan video, dan kelihatan jelas Raihani dan Fahmi yang kegembiraan memenuhi ruang, sedang Zulaikha menggendong Hasnah di belakang mereka berdua.

              Wasim tersenyum. “Raihani, Fahmi, sihat?”

              “Kami sihat!” Fahmi meningkah segera sebelum Raihani dapat menjawab soalan tersebut.

              “Ayah pergi mana?” Raihani bertanya.

              “Ha’ah, sudah lama ayah tak ada.” Fahmi memuncungkan bibir.

              Entah mengapa bicara Fahmi itu membuatkan jiwa Wasim disapa sebak. Walhal, dia bukanlah ayah yang rapat dengan anak-anaknya. Wasim banyak menghabiskan masa di dalam bilik kerja. Walaupun hanya bekerja di rumah, dia kurang meluangkan masa bersama anak-anak. Hatta menghantar anak-anak ke sekolah pun, dilakukan oleh Zulaikha.

              Tetapi tidak dia sangka, kehadirannya yang sedikit itu, amat dirasai oleh anak-anaknya, sehingga kehilangan Wasim dapat disedari mereka.

              “Ayah pergi Haji, sayang.”

              “Haji?” Raihani dan Fahmi bersuara serentak, saling berpandangan sesama mereka.

              Kedua-duanya masih terlalu kecil untuk mengetahui apa itu ibadah Haji.

              “Haji itu ibadah, sayang, macam solat.” Zulaikha mencelah.

              “Kalau macam solat, kenapa Ayah tak buat di rumah saja?” Raihani mengerutkan dahi. Anak cilik itu seperti mengerahkan otaknya untuk berfikir.

Membuatkan Wasim tertawa kecil. “Haji ibadah kena buat di satu tempat bernama Makkah.”

              “Makkah?” Fahmi pula menyambut maklumat tersebut dengan nada yang jelas tertanya-tanya.

              “Ayah kena berada di sini selama 50 hari.” Wasim menjawab. “Lama.”

              “Iya? Tak seronoklah, Ayah tak ada.” Raihani memuncungkan bibir.

              Wasim tersengih. Terdetik di dalam hati, jika dia ada pun, apa yang seronok sebenarnya? Tetapi pada kali ini, dia mula menyedari betapa anak-anaknya sangat merasai dan menghargai kewujudan dirinya selama ini. Adapun dia, acuh dan tidak acuh sahaja dengan kehadiran mereka.

              “Okey, semua, siap-siap masuk tidur.” Zulaikha bersuara. “Bagi flying kiss pada Ayah.”

              Raihani dan Fahmi segera melakukan aksi ‘ciuman terbang’, membuatkan Wasim tertawa. Spontan Wasim turut membalas dengan perbuatan yang sama. Kemudian, Raihani dan Wasim menghilang daripada skrin telefon pintar.

              Kini hanya ada Zulaikha dan Hasnah yang sedang tidur di pangkuannya.

              “Sudah pukul berapa di sana?” Wasim bertanya. Melihat Hasnah yang sudah tidur, dia menjangka sudah melebihi pukul 10 malam.

              “10.30 malam.” Zulaikha menjawab sambil wajahnya dihiasi senyuman. “Macam mana di sana, Sayang? Orang lain ada Facebook, Instagram, kongsi pengalaman di sana. Sayang tak aktif itu semua.”

              Wasim menggaru kepala yang tidak gatal. Benar. Dia tidak aktif dengan media sosial. Selain tidak suka bergaul di alam realiti, dia juga tidak gemar bergaul di media sosial. Akaun-akaun media sosialnya wujud untuk dia boleh meneliti perkembangan terkini dan membaca isu-isu panas sahaja, tetapi dia sendiri tidak pernah menggunakan semua itu secara aktif untuk mempaparkan kehidupan, atau berkongsi perasaan.

              “Bolehlah.” Pendek Wasim menjawab.

              Zulaikha tertawa. “’Bolehlah’ saja?”

              Wasim turut tertawa. “Sekarang pukul 5.30 petang di sini. Sini lewat lima jam dari Malaysia.”

              “Ha’ah, betul. Maghrib pukul berapa di sana?”

              “Pukul tujuh. Tetapi kalau nak solat di Masjidil Haram, pukul enam sudah kena gerak.”

              “Macam mana berurusan di sana? Ini beli kad SIM macam mana?”

Zulaikha jelas teruja ingin mengetahui. Wasim dapat menjangka yang Zulaikha kerisauan sebenarnya. Yalah, Wasim sendiri tahu dirinya bagaimana, apatah lagi Zulaikha.

              Sudah enam tahun mereka hidup bersama.

              Enam tahun juga mereka tidak pernah berpisah, memandangkan Wasim hanya bekerja di rumah, manakala Zulaikha pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Ini kali pertama mereka berpisah, untuk jangka waktu yang panjang pula.

              Zulaikha amat mengenali dirinya, kekurangannya, kelemahannya. Wasim yakin yang isterinya itu tahu betapa mencabarnya untuk seorang Wasim hidup di tempat asing, di tengah-tengah orang yang asing.

              Kerana itu, isterinya teruja untuk bertanya pelbagai soalan.

              Yalah, Wasim sudah seminggu meninggalkan Malaysia, dan masih hidup!

              Wasim tersengih.

              “Mujur ada berkenalan dengan seorang jemaah haji. Dia duduk sebelah saya semasa dalam kapal terbang tempoh hari. Hilman namanya.”

              “Oh? Sayang ada kawan baru?” Zulaikha tertawa kecil. Hasnah didodoinya lembut. “Menarik.”

              Wasim ketawa. “Janganlah buat macam itulah perkara paling ganjil saya pernah lakukan.”

              Zulaikha mengganti tawa kecilnya dengan sennyuman lebar. “Jadi dia yang bantu Sayang?”

              Wasim mengangguk. “Dia pandai cakap Arab. Lepasan universiti di Jordan. Kalau tak salah, Amman University.”

              “Wah. Ustaz.”

              “Tapi dia tak suka dipanggil ‘ustaz’.”

              “Dia datang seorang juga?”

              Wasim menggeleng. “Datang dengan isteri. Ini pun dia tak ada di bilik. Keluar jumpa isterinya.”

              Wasim menoleh ke kanan, memandang katil Hilman yang kosong. Katil itu ditinggalkan dalam keadaan kemas dan bersih.

              Sempat Wasim melepaskan pandangannya ke sekeliling. Pak Cik Rasyid seperti biasa, duduk bersandar pada dinding, tidak mengenakan baju, mempamerkan tubuhnya yang kurus kering. Terbatuk-batuk di bawah penghawa dingin yang telah dimatikan.

              Abang Hussein di katil sebelah ayahnya, sedang khusyuk melihat telefon pintar.

              Katil Pak Cik Hisyam dan anaknya, Rafiq, kedua-duanya kosong. Dengarnya mereka berdua memang berada di Masjidil Haram sepanjang hari.

              “Baguslah. Ada kawan.”

              “Sayang risaukan keadaan saya?”

              Zulaikha tersenyum dan mengangguk. “Siapa tak risau. Suami berjauhan.”

              “Sayang macam mana di sana? Boleh layan budak-budak itu seorang?”

              Zulaikha ketawa mendengar soalannya. “Selama ini, saya uruskan mereka berseorangan juga.”

              Hati Wasim tersentak. Walaupun dia maklum yang Zulaikha mengungkapkan ayat tersebut tanpa niat untuk menyentuh hatinya, tetapi dia benar-benar terasa dengan ayat tersebut.

              Benar. Selama ini, urusan anak-anak memang dibiarkan kepada Zulaikha sahaja. Jarang Wasim ambil tahu, membantu atau masuk campur, kecuali sekali-sekala.

              Wasim menghela nafas.

              “Sayang, kenapa?” Zulaikha bertanya. Nada risau. Mungkin perasan riak wajah Wasim yang berubah.

Segera Wasim menceriakan roman wajah. “Tak ada apa-apa. Rindu dengan Sayang dan anak-anak. Kita tak pernah berpisah jauh dan lama sebegini, bukan?”

              Zulaikha mengangguk perlahan. “Saya pun rindu dengan awak. Tertunggu-tunggu juga awak hubungi saya.”

              “Itulah. Maaf lambat. Saya lewat beli kad SIM.”

              Seminggu di Tanah Suci ini, Wasim lebih memberikan fokus untuk membiasakan dirinya dengan persekitaran dan rutin baru. Setiap hari sebenarnya dia mengingatkan dirinya untuk mendapatkan kad SIM. Tetapi kekurangannya untuk berbahasa Arab, dan juga kelemahannya untuk bergaul dengan orang ramai, membuatkan urusannya itu sering tertunda.

              Mujur semalam, Hilman perasan yang Wasim langsung tidak menggunakan telefon pintarnya sepanjang keberadaan mereka di sini.

              “Engkau belum beli kad SIM ke?” Itulah soalan yang mengeluarkannya dari keadaan tersebut.

              Mengetahui Wasim belum lagi mendapatkan kad SIM, Hilman segera membawanya ke kedai, tidak jauh dari bangunan Rehab Al-Janadariyah, dan membantu Wasim mendapatkannya. Hilmanlah yang berurusan dengan pekedai, membantunya mengisi borang dan lain-lain urusan, sehingga sempurna.

              “Ceritalah pada saya pengalaman Sayang seminggu ini.”

              Wasim tersengih. “Biasa-biasa aja.”

              “Takkanlah pergi ke Tanah Suci biasa-biasa aja.” Zulaikha mencebik manja, membuatkan Wasim ketawa kecil.

              Lantas dia membuka mulut berkongsi pengalaman dan rutinnya seminggu ini.

Wasim berkongsi yang bilik-bilik di Rehab Al-Janadariyah hanya mempunyai satu kunci. Sesiapa yang terakhir sekali keluar, dialah yang perlu meletakkan kunci di kaunter yang terletak di lobi. Setiap kali seseorang pulang ke bangunan Rehab Al-Janadariyah, dia perlu ke kaunter untuk melihat apakah kunci biliknya ada. Jika tiada, bermakna biliknya sudah ada orang, bermakna dia tidaklah pulang ke biliknya dalam keadaan biliknya berkunci.

              Bangunan Rehab Al-Janadariyah pula berhadapan dengan sebuah lorong yang dipenuhi kedai-kedai yang menjual pelbagai barang keperluan jemaah Haji, termasuk jubah, pakaian, buah-buahan, kurma dan kismis. Di lorong itu juga terdapat deretan restoran dan kedai jus, yang rata-ratanya diuruskan oleh orang-orang Pakistan.

              Tetapi buat Wasim, setakat ini dia berminat pada satu restoran sahaja di situ. Restoran Bilal namanya. Itu kerana makanan yang ditawarkan di restoran tersebut, sangat kena dengan tekak Malaysia. Di situ juga terdapat teh tarik Yaman, yang agak mirip dengan teh tarik di Malaysia.

              Sebaik sahaja selepas waktu Subuh, jalan itu juga dipenuhi peniaga-peniaga jalanan, yang dari kulit mereka, Wasim menjangka mereka merupakan orang-orang dari afrika. Mereka akan membawa karung guni besar, yang akan dibuka di atas jalan, menjual pelbagai barangan seperti jubah, kayu siwak, minyak wangi, igal, kain rida’ dan bermacam lagi. Demikian jugalah jalan besar ke Masjidil Haram, akan dipenuhi peniaga-peniaga jalanan tersebut.

              Mereka jelas cuba mengambil peluang  menarik pelanggan dari kalangan lautan insan yang pulang dari Masjidil Haram selepas waktu Subuh. Biasanya barang jualan mereka punya harga yang sangat rendah dan berpatutan.

              “Wah, seronoknya!” Zulaikha teruja. Mungkin sedang cuba membayangkan suasana yang diceritakan Wasim.

              “Bolehlah. Saya bukan beli apa-apa pun.” Wasim tersengih.

              “Yalah, awak kena lah berjimat-jimat.”

              Wasim mengangguk. Sedar dia bukan ada duit yang terlalu banyak. Itu pun mujur Hilman banyak belanja dia makan dan tambang. Sampai dia naik segan.

              Hal itu dikongsikan juga kepada Zulaikha. Betapa Hilman seorang rakan yang sangat baik, dan betapa Wasim rasa sangat beruntung berkenalan dengan lelaki seperti itu.

              “MasyaAllah. Besar kuasa Allah SWT, memberikan awak teman sebaik itu di sana.”

              Tersentuh hati Wasim mendengar lontaran Zulaikha.

              Wasim menceritakan bagaimana seminggu ini Hilman lah yang banyak membantu Wasim dengan menemaninya ke sana ke mari. Hilman juga memberikan galakan dan semangat kepadanya, untuk benar-benar menghargai keberadaannya di Tanah Suci ini. Setiap hari tidak jemu mengejutnya untuk dapat melakukan Solat Subuh di Masjidil Haram. Demikian juga dengan solat-solat yang lain.

              Bahkan pada saat mereka kepenatan, atau mungkin tidak tahan dengan kepanasan terik, terutama waktu Zuhur dan Asar, Hilman akan mengajaknya ke Masjid Bin Laden. Masjid itu ialah masjid terhampir dengan Bangunan Rehab Al-Janadariyah.

              Hanya perlu berjalan kaki dua tiga minit, sudah sampai ke Masjid Bin Laden.

              Lelaki itu juga jelas merupakan seorang berilmu. Terlalu banyak info yang dikongsikannya bersama Wasim sepanjang seminggu ini, baik berkenaan Tanah Suci, hatta ibadah Haji itu sendiri.

              Wasim sempat berkongsi yang dia banyak juga menghabiskan masa di Masjidil Haram sepanjang seminggu ini. Setiap Subuh, Maghrib dan Isya’, dia tidak pernah terlepas lagi menunaikan solat-solat fardhu tersebut di sana. Wasim juga sering mengekori Hilman untuk melakukan tawaf sunat saban selepas Subuh, terutama selepas masuk waktu syuru’.

“Macam mana tengok Ka’abah untuk pertama kali? Cemburunya saya.”

              Wasim tertawa. Spontan teringatkan bagaimana dia dan Hilman berpusing-pusing di dalam Masjidil Haram, dan dia menyangka bahawa dia sedang dihukum Tuhan.

***

Selepas menunaikan Solat Jumaat, Hilman meminta mereka menanti dengan duduk terlebih dahulu, memberikan peluang orang ramai beransur-ansur pulang dan kepadatan di dalam Masjidil Haram sebelumnya berkurangan.

              Pertama kali dalam hidup Wasim mendengar khutbah dalam Bahasa Arab. Sepatah pun tidak difahaminya. Tetapi Hilman mengambil inisiatif menerangkan makna khutbah tadi kepada Wasim sementara mereka duduk menanti orang ramai bergerak selepas solat. Khutbah tersebut rupanya membawa tema yang sangat asas – Kebesaran Allah SWT – dan diterangkan makna kebesaran Allah SWT dengan mengajak para jemaah untuk meneliti alam ciptaan Allah SWT ini.

              “Untung sungguh apabila pandai Bahasa Arab ya?”

              “Yang beruntung hanyalah orang yang bertaqwa. Abu Jahal, Abu Lahab, semua orang kafir Quraisy yang menentang Rasulullah SAW dulu, pun pandai bahasa arab.” Hilman ketawa.

              Wasim terangguk-angguk. Betul juga.

              “Tetapi tidak dinafikan, apabila pandai Bahasa Arab, ada kelebihan untuk kita lebih memahami Islam. Kerana mahu tidak mahu, kita kena akui yang Islam datang daripada jazirah Arab, diturunkan al-Quran dalam Bahasa Arab.”

              Wasim mengangguk lagi. Benar.

              Hilman memerhati sekeliling. “Ah, jom kita bergerak.”

              Wasim melihat laluan yang dihadang oleh sekumpulan lelaki berpakaian tentera tadi, masih ditutup. Tetapi Hilman tidak pula membawa mereka ke situ.

              “Kau nak bawa kita ke mana?”

              “Keluar. Kemudian kita masuk semula melalui pintu yang aku memang tahu.”

              “Oh.”

              Mereka bergerak keluar secara perlahan-lahan. Walaupun ruang solat tadi sudah lengang, suasana di pintu keluar-masuk masih dibanjiri orang ramai. Tetapi kali ini tidak sampai perlu berhimpit-himpit. Hanya perlu bergerak perlahan-lahan, setapak demi setapak.

              Tidak lama kemudian, mereka berjaya keluar dari bangunan tersebut.

              Panas terik sekali lagi memanah diri.

              “Mari.”

Hilman memimpin isterinya dengan tangan kiri, manakala Wasim ditarik dengan tangan kanan, agar tidak terlepas di tengah-tengah lautan manusia.

              Wasim bergerak mengekori Hilman.

              “Baik, Wasim. Kau nampak menara berkembar itu?” Hilman menunjuk ke arah menara Masjidil Haram yang berada tidak jauh di hadapan mereka.

              “Menara berkembar ini berada betul-betul di hadapan Bangunan Dar at-Tawheed.” Hilman menunjuk pula bangunan hotel, tempat mereka diturunkan oleh teksi tadi.

              “Untuk tidak sesat ke Kaabah, juga paling sesuai dengan lokasi kita dari Rehab al-Janadariyah, pastikan masuk melalui menara berkembar ini.”

              Wasim terangguk-angguk. Dia yakin Hilman memberitahunya maklumat tersebut kerana memikirkan yang kemungkinan mereka tidak akan sentiasa bersama. Mungkin untuk kemudahan Wasim sekiranya dia perlu bersendirian ke Masjidil Haram.

              Apabila sampai di hadapan pintu, mereka mencabut selipar dan memasukkannya ke dalam sebuah plastik. Kemudian, mereka memasuki pintu yang terletak di bawah menara berkembar tersebut.

              Terbentanglah di hadapan mata Wasim ruang solat dengan saf-saf yang tersusun. Kelihatan ramai orang, ada yang duduk, ada yang berbaring, ada yang menunaikan solat, ada yang membaca al-Quran.

              “Kali ini tak salah masuk pintu ya?” Wasim memandang Hilman.

              Hilman ketawa. Menggeleng. “Insya-Allah, tidak. Inilah dia.”

              “Jadi, mana Ka’bahnya?” Wasim menoleh sekeliling, masih tidak kelihatan langsung bangunan kiub berselimut hitam.

              “Sabar. Kena jalan lagi.” Hilman bergerak membawa mereka.

              Tidak lama kemudian, di bahagian hadapan ruang solat yang besar itu, mereka masuk ke sebuah ruang baharu. Di sana, Wasim melihat orang ramai yang berlari-lari anak. Sebahagian yang lain pula sedang duduk di kawasan-kawasan tertentu. Di sebalik orang ramai yang berlari-lari itu, kelihatan sebuah bangunan berselimut hitam.

              “Itu …”

Wasim sedikit terpana. Walaupun begitu, bangunan itu dilindungi struktur masjid yang lain. Ditambah dengan orang ramai yang berlari-lari di hadapannya, Wasim tidak dapat melihatnya dengan jelas.

              “Ya, Ka’bah. Tetapi belum dapat dilihat dengan jelas dari sini. Mari.” Hilman memimpin Jalilah ke satu arah di sebelah kanan mereka.

              Wasim mengekori. Di sana terdapat sebuah eskalator, yang membawa mereka turun.

              Ketika inilah, perlahan-lahan, bangunan kiub berselimut hitam, dihiasi benang-benang kaligrafi berwarna keemasan, kelihatan dalam bentuknya yang sempurna. Bangunan itu dikelilingi marmar putih, kini agak lengang mungkin dek kerana mentari yang sedang terik memancar dengan suhu yang tinggi. Pun begitu, di sekitar bangunan tersebut, masih terdapat sekumpulan manusia, berpusing mengelilinginya.

              Mata Wasim membesar.

              Itulah dia Ka’bah. Megah tersergam indah!

              “Allahu akbar.” Terpacul kalimah itu dari mulutnya.

              Sungguh dia tidak menyangka dia akan menatap bangunan itu dengan mata kepalanya sendiri. Apakah benar dia sedang terjaga, atau sebenarnya dia sedang bermimpi? Seorang manusia penuh dosa dan noda sepertinya, dibenarkan melihat Kaabah?

              Sungguh, Wasim terharu.

              “Alhamdulillah.” Kedengaran Hilman bersuara. “Akhirnya, Allah izinkan juga kita berada di sini.” Nadanya penuh kesyukuran.

              Wasim dapat melihat titisan air jernih mengalir pada pipi Hilman.

              Tersentuh jiwa Wasim melihat peristiwa tersebut. Dia pun tidak menitiskan air mata melihat Kaabah buat pertama kali dalam hidupnya. Tetapi Hilman, seorang yang kelihatan baik akhlaknya, baik perawakannya, tinggi ilmunya dan pernah pula datang ke mari, menitiskan air mata.

              Wasim mengherdik diri sendiri, merasakan yang dia tidak cukup bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT sedang kurniakan kepadanya.

              Seorang yang banyak berdosa, diberi peluang untuk berada di tempat yang mulia, seharusnya lebih terharu dan bersyukur!

              “Ayuh, kita laksanakan umrah.” Hilman mengesat air mata dengan kain ihram.

              Tanpa banyak bicara, Wasim mengekori. Mereka meninggalkan bangunan masjid, menjejakkan kaki di atas marmar putih, menghampiri Ka’bah. Asalnya, Wasim khuatir yang telapak kakinya akan kepanasan apabila menjejakkan kaki di atas marmar tersebut, tetapi ajaibnya, marmar itu langsung tidak memantulkan haba.

              Telapak kakinya seperti dicelup dalam air suam sahaja. Selesa.

              Semakin menghampiri Ka’bah, jiwa Wasim berbolak balik. Entah mengapa, kehidupannya yang penuh dengan kelompongan ketaatan, terbayang-bayang di dalam minda. Betapa dirasakan dirinya tidak layak untuk berada di tempat yang teramat mulia ini.

              “Sudah bermulakah tawaf kita?” Wasim bertanya. Dia jelas tidak punya apa-apa ilmu berkenaan ibadah yang akan dilaksanakan.

              “Belum. Kau nampak lampu hijau itu?” Hilman menunjuk ke satu arah.

              Wasim memerhatikan beberapa lampu hijau, tergantung di tepi bangunan masjid. Hampir setiap tingkat Masjidil Haram, di sudut tersebut, tergantung lampu berwarna hijau.

              “Itulah dia sudut Hajarul Aswad, dan tawaf bermula dari sudut tersebut.”

              “Ooo.” Wasim terangguk-angguk.

Mereka terus berjalan ke arah lampu hijau tersebut.

              “Sebelum tawaf, baca ‘Bismillahi allahu akbar’, seterusnya kita akan bertawaf sebanyak tujuh pusingan.”

              “Ada kena baca doa-doa tertentu?”

              “Tak ada. Baca sahaja doa apa yang hendak dibaca. Tetapi digalakkan membaca doa: ‘Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhirati aasanah, wa aiina ‘azabannar.’, di antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.”

              “Rukun Yamani?”

              “Di sini.” Hilman menunjuk ke arah kiri mereka. Sebuah sudut Kaabah, sebelum sudut Hajarul Aswad.

              “Dari sini ke Hajarul Aswad, bermakna sebelum pusingan berakhir, bacalah doa tersebut. Tetapi sunat sahaja. Bukan wajib.”

              “Baik, baik.” Wasim menanam pesanan tersebut di dalam minda.

              Mereka kemudiannya melangkah lagi dan bahu mereka hampir sejajar dengan Hajarul Aswad dan lampu hijau yang dinyatakan.

              “Baiklah. Insya-Allah kita akan mulakan tawaf. Bismillahi allahu akbar.”

              Wasim turut mengikuti dan menyebut. “Bismillahi allahu akbar.”

              Mereka pun melangkah perlahan-lahan, di tengah-tengah lautan manusia. Perjalanan mereka menunaikan tawaf tidak terlalu sukar memandangkan sekeliling Ka’bah sedikit lengang disebabkan cuaca tengahari yang amat panas.

              Tetapi kepanasan itu tidak membuatkan Wasim lemah atau rasa mahu berhenti. Walaupun tidak selesa dengan suhu tersebut, tetapi bagi Wasim, dia mampu menghadapinya. Tambahan, keberadaan diri dengan jarak yang amat hampir dengan Ka’bah, membuatkan dia berasa bersemangat dan kuat.

              Wasim memerhatikan orang ramai di sekelilingnya. Masing-masing khusyuk melakukan tawaf. Ada yang bersendirian. Ada yang berkumpulan. Tetapi masing-masing fokus dengan ibadah tersebut.

              Keadaan ini membuatkan Wasim sendiri fokus. Walaupun tidak menghafal doa dalam Bahasa Arab, Wasim meratib doa dalam Bahasa Melayu.

              “Ya Allah, ampunkanlah aku, ampunkanlah keluargaku.”

              Kalimah itu diulang-ulangnya di hujung bibir.

              Apabila sampai ke Rukun Yamani, Wasim membaca doa meminta kejayaan dunia dan akhirat, serta dijauhkan daripada azab api neraka, yang disebut oleh Hilman tadi. Doa itu dihafal dengan baik oleh Wasim, memandangkan itu antara doa yang paling biasa dibacanya sepanjang hidup.

              Perasaan Wasim bercampur baur sepanjang melaksanakan tawaf. Rasa syukur yang tidak terhingga bercampur dengan ingatan terhadap kelemahan diri yang penuh dosa dan kekurangan sebagai hamba Allah SWT. Ketika ini, dia juga teringat akan bagaimana dia tidak menjadi seorang suami dan bapa yang cukup baik kepada isteri dan anak-anaknya, juga dia bukanlah anak yang baik kepada Mak dan Abah, Ibu dan Ayah.

              Entah mengapa, perasaan itu bertubi-tubi memukul jiwa.

              Dalam kekerdilan diri diletakkan di tengah-tengah lautan manusia yang sedang bertawaf mengelilingi Baitullah, bacaan zikir dan doa daripada orang ramai di sekelilingnya mengetuk-ngetuk gegendang telinga, jiwa Wasim menjadi lembut dan tersentuh, sehingga dia mengalirkan air mata.

              Pertama kali, dalam hidupnya, dia mengalirkan air mata dek rasa tersentuh.

              Tersentuh dengan suasana.

              Tersentuh dengan dosa-dosanya.

              Tersentuh dengan kekurangan-kekurangannya.

              Terasa sungguh kasih sayang Allah SWT kepada dirinya, dengan membenarkan dia berada di sini. Dia yang penuh dengan dosa dan kekurangan. Dia yang sering menyesal tetapi tidak pernah berjaya meninggalkan dosa dan kekurangannya itu.

              Wasim menatap Kaabah dengan pandangan yang berkaca. Setiap kali mereka sampai di sudut Hajarul Aswad, dia bersama-sama orang lain, mengangkat tangan dan melambai ke arah batu tersebut.

              Rasa sayu menusuk.

              “Ya Allah, ampunkanlah aku, ampunkanlah keluargaku.”

              Ayat itu diungkap dengan rasa penuh kerdil dan ikhlas. Berkali-kali tanpa henti atau letih.

              Sungguh, dia tidak pernah mempunyai rasa sebegini rupa!

              Selepas beberapa ketika, tujuh pusingan tamat tanpa disedari. Tujuh pusingan itu ternyata tidak dirasainya sebagai lama atau panjang. Mungkin disebabkan keadaan di sekeliling Kaabah yang tidak terlalu ramai, atau mungkin kerana Wasim terlalu khusyuk dengan ibadahnya.

              Dia hanya menyedari yang tujuh pusingan tersebut sudah hampir sempurna apabila Hilman mengingatkannya.

              Sebaik sahaja tawaf mereka sempurna, Hilman bersuara, “Kita akan menunaikan Solat Sunat Tawaf terlebih dahulu. Sunatnya dilakukan di belakang Makam Ibrahim.” Hilman menunjuk ke arah sebuah binaan kecil berwarna emas di hadapan Kaabah, yang dilepasi mereka sepanjang tawaf tadi.

              Tetapi tempat itu dipenuhi orang ramai yang bertawaf, juga ramai jemaah lain yang berkerumun di tempat tersebut.

              “Ramai orang situ.” Wasim menyangka yang Hilman mahu mereka solat betul-betul di belakang Makam Ibrahim.

              Hilman menggeleng sambil tersenyum. “Kita solat di sana.” Dia menunjuk ke arah belakang Makam Ibrahim, di bahagian bangunan masjid. Kelihatan orang ramai yang berada di situ, menunaikan solat.

              Hilman membawa isterinya dan Wasim ke tempat tersebut.

              Mereka menunaikan solat sunat tawaf dua rakaat secara bersendirian.

              Usai solat, Hilman memandang ke arah Wasim. “Bagaimana? Seronok?”

              Wasim tersenyum. Mengangguk. “Alhamdulillah. Pengalaman pertama.”

              “Bagus, bagus. Alhamdulillah.” Hilman menepuk belakang tubuh Wasim.

              “Jom, kita lakukan sa’ie pula.”

              Wasim bangkit bersama-sama Hilman, disertai Jalilah. Rupanya tempat melakukan sa’ie hanya di belakang tempat mereka menunaikan Solat Sunat Tawaf. Hilman membawa mereka naik satu tingkat menggunakan jalan yang disediakan, seterusnya pergi ke sebuah kawasan yang dipenuhi orang ramai.

              Tempat itu mempunyai batu-batu yang dipagari pagar kaca.

              “Itulah Bukit Safa.” Hilman menunjuk ke arah batu-batu tersebut.

              “Dahulu kawasan ini bukit. Tetapi dengan pembinaan Masjidil Haram yang semakin besar, sudah tidak nampak macam bukit. Tempat sa’ie ini pun sudah bertingkat-tingkat. Tetapi itulah bakinya, puncak Bukit Safa.”

              Wasim terangguk-angguk, menerima maklumat yang baharu baginya itu.

              “Baik, kita mulakan sa’ie.”

Hilman mengajak isterinya dan Wasim menghadap ke arah Kaabah dari Bukit Safa itu. Hilman memimpin mereka membaca beberapa doa, sebelum mengungkap kalimah ‘Bismillah’ dan memulakan sa’ie.

              Lantai kawasan sa’ie tersebut diselaputi marmar, dan suhu di situ pula amat sejuk. Pada bahagian kiri pula terdapat tempat meminum air zam-zam. Tidak berapa lama berjalan, terdapat satu kawasan berlampu hijau.

              “Di sini, disunatkan berlari.” Hilman memberitahu.

              Mereka berlari anak di kawasan berlampu hijau itu sehingga kawasan itu tamat, dan menyambung perjalanan sa’ie, sehinggalah sampai ke Bukit Marwah.

              Kawasan Bukit Marwah tidak dipagar. Tetapi puncaknya masih ada, sejajar dengan ketinggian lantai. Kelihatan orang ramai berdiri dan ada yang duduk, di atas puncak bukit Marwah. Hilman menunjukkan sambil mereka menyambung lagi perjalanan Sa’ie kembali ke Bukit Safa.

              Sa’ie ialah ibadah yang diambil daripada peristiwa Siti Hajar mencari air untuk anaknya, Nabi Ismail, selepas mereka ditinggalkan Nabi Ibrahim AS di tanah gersang Makkah. Siti Hajar telah berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah, sehinggalah Nabi Ismail AS menghentakkan kakinya ke tanah dan muncullah air zam-zam yang menghidupkan kawasan tersebut.

              Wasim tidak dapat membayangkan bagaimana Siti Hajar menempuh cabaran tersebut di tengah-tengah panas terik, dalam keadaan tidak punya air untuk minum. Sedangkan hari ini Wasim melakukannya di tengah-tengah kesejukan pendingin hawa, dan air disediakan untuk para jemaah yang kepenatan.

              Dalam keadaan serba selesa begitu pun, Wasim disapa kepenatan. Mungkin kerana dia baru sahaja tiba ke Tanah Suci ini pagi tadi, mungkin sahaja kerana penat berjalan berpusing-pusing sebelum solat Jumaat tadi, mungkin juga kerana baru menunaikan tawaf. Tetapi Siti Hajar pastinya lebih kepenatan pada masa dahulu.

              Rasa insaf tertusuk ke dalam jiwa Wasim.

              Pengorbanan seorang ibu ternyata menafikan rasa penat dan derita yang ditanggung, demi kasih sayang dan cinta kepada seorang anak.

              Segera Wasim teringat akan Mak.

              Kemudian teringat dia kepada Zulaikha.

              Betapa dia sepanjang hidup, telah mengabaikan cinta dan kasih sayang daripada kedua-dua orang wanita ini.

              Tujuh kali berulang alik sepanjang ibadah sa’ie, walaupun dirasakan agak panjang dan memenatkan, dapat juga disempurnakan dengan baik.

              Sa’ie tamat di Bukit Marwah.

              “Apakah umrah kita sudah sempurna?” Wasim bertanya. Sedikit mengah.

              Dalam hidupnya, Wasim bukan seorang yang aktif beriadhah. Dia tidak pernah berjalan sejauh perjalanannya hari ini.

              “Ada satu lagi. Tahallul.”

              “Tahallul? Cukur rambut?” Wasim cuba mengingati.

              Hilman mengangguk. “Cukur atau potong. Kalau nak potong, tiga helai rambut sudah mencukupi. Tetapi afdholnya cukur. Kerana Rasulullah SAW mendoakan tiga kali untuk orang yang bercukur, sekali untuk orang yang memotong rambut.”

              “Aku nak potong saja dulu. Haji nanti aku cukur.”

              “Aku pun fikir nak begitu.” Hilman menepuk bahu Wasim, seperti mahu menyalurkan semangat.

              Hilman dan Jalilah jelas tidak termengah-mengah. Mungkin mereka sudah biasa bersukan dan punya stamina yang baik.

              “Mari aku tolong.” Hilman mengeluarkan gunting kecil dari beg kuning yang disandangnya.

              Wasim menyuakan kepala.

              “Alhamdulillah. Selesai.” Hilman menunjukkan rambut yang telah dipotong.

              “Terima kasih.”

              Hilman dan isteri kemudiannya bergerak ke satu sudut di belakang Bukit Marwah, dan mereka pun menyempurnakan tahallul sesama mereka, sebelum kembali kepada Wasim.

              “Alhamdulillah. Bagaimana umrah pertama?” Hilman tersenyum lebar.

              “Menarik. Pengalaman yang bermakna.”

              “Bagus, bagus.”

              “Apa rancangan kita selepas ini?”

              “Balik hotel. Berehat. Tetapi, apa kata kita berhenti makan dahulu? Aku ada perasan Restoran Pakistan depan hotel kita.”

              Wasim tersenyum. “Jom.”

***

“Kelakarlah.”

Zulaikha ketawa. Hasnah sudah terjaga, kini meronta-ronta mahu diturunkan. Wasim turut ketawa. Dia menggerak-gerakkan tangan mengagah Hasnah yang terkebil-kebil menatapnya. Mungkin hairan mengapa ayahnya terperangkap di dalam skrin.

              “Ai, baru bangun budak kecik ni. Bilanya nak tidur semula?”

              “Hmmm, biasalah.” Zulaikha meramas-ramas kepala Hasnah.

              “Yah, yah, yah.” Hasnah bersuara, menunjuk ke arah skrin.

              Garis bibir Wasim melebar.

              “Saya ada banyak lagi nak sembang. Nak tanya Sayang macam-macam.” Zulaikha jelas teruja.

              “Esok-esoklah, Sayang. Sudah lewat di sana. Di sini pun, saya nak kena gerak kalau nak solat di Masjidil Haram.”

              Zulaikha mengangkat kedua-dua kening. Seperti terkejut.

              Wasim faham reaksi tersebut. “Terkejutlah itu saya nak bersiap ke masjid?”

              “Baru seminggu di sana, Sayang sudah berjaya berubah?”

              Wasim ketawa. Sedikit kuat. Sehingga dia menoleh ke arah Pak Cik Rasyid dan Abang Hussein, yang masih dalam keadaan seperti tadi. Abang Hussein menyumbat telinganya dengan fon kepala, mungkin langsung tidak mendengar tawanya. Manakala Pak Cik Rasyid memang punya masalah pendengaran. Mereka tidak memberikan apa-apa reaksi.

              Skrin kembali ditatapnya.

              “Bolehlah. Bertatih-tatih.”

              “Alhamdulillah.”

              “Harap Sayang terus doakan saya. Jangan berputus asa dengan saya.”

              Zulaikha tersenyum. “Insya-Allah. Sentiasa dan sentiasa.”

              “Saya rindu dan sayangkan awak.”

              “Saya rindu dan sayangkan awak.”

              Mereka berbalas salam, sebelum skrin telefon pintarnya dimalapkan.

              Wasim menghela nafas panjang.

              Batuk-batuk Pak Cik Rasyid menariknya keluar daripada lamunan. Sebentar dia memandang ke arah orang tua yang tidak bermaya itu, dengan pandangan kasihan, tetapi pada masa yang sama, ada rasa tidak selesa bersarang dalam dirinya terhadap orang tua itu.

              Seminggu telah berlalu, dan seminggu ini pun sebenarnya bukan seminggu yang mudah untuk dilalui. Dia banyak mengabaikan suara hati yang memberontak terhadap segala rasa tidak selesa yang dihadapinya sepanjang berada di dalam bilik ini.

              “Pergi Haram?”

Suara Abang Hussein membuatkan Wasim yang sedang menukar pakaian, menoleh. Wasim mengangguk.

              ‘Haram’ di sini rupanya boleh bermaksud Masjidil Haram. Bukan bermaksud perkara yang dilarang Allah SWT sahaja. Hilman memberitahu yang makna sebenar perkataan ‘Haram’ ialah ‘kemuliaan’. Dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dilakukan oleh manusia ialah kerana untuk menjaga kehormatan dan kemuliaan insan yang diciptakan oleh Allah SWT.

              “Untunglah.” Abang Hussein menyambung sambil bibir menggaris senyuman.

              Wasim sekadar tersengih kelat. Dia kini sudah mengenakan pakaian solat dengan sempurna. Memakai baju melayu cekak musang, dengan seluar kasual berwarna hitam. Dia memastikan yang tag nama sudah tergantung pada leher, juga gelang besi sudah berada di tangan. Kemudian, Wasim mencapai beg sandang kuning di bawah katilnya, sebelum bergerak meninggalkan bilik.

              Dia akan berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk Maghrib ini, dan merancang untuk berada di sana sehingga selepas Isya’.

              Ya, berjalan kaki.

              Mendaki bukit sejauh satu kilometer.

              Sedang di rumahnya, surau yang sejauh 100 tapak sahaja dari tempat tinggalnya, tidak pernah dijejaki.

              Aneh.