Bab 5 – Sejarah Hitam

Sejarah hitam,
Apakah ia mendefinisikan kita?
Atau hanya sebuah sejarah,
Menjadi pengajaran buat masa hadapan yang lebih bercahaya.

Asap berkepul-kepul naik sebelum hilang dihambat angin. Dua jari menyepit rokok, mengembalikannya ke bibir. Dihisapnya penuh rakus, sebelum asap dilepaskan buat kesekian kali.

              Afam kini berada di atas Menara Keimanan. Bahagian bawah helmet sutnya terbuka. Walaupun puncak menara ini tirus, ia tidak menjadi masalah. Sut Hero mempunyai keupayaan untuk meningkatkan daya magnetik, sekali gus melawan daya graviti bagi menjadikan sut itu melekat elok pada puncak menara.

              Setiap kali keluar sebagai Hero, tempat ini menjadi lokasi pilihan. Memandangkan Menara Keimanan merupakan bangunan tertinggi di dunia, kelibat Hero tidak akan mampu dilihat oleh mata kasar umum. Afam boleh menanti di situ dengan tenang sementara peranti sutnya menghantarkan data – baik dalam bentuk video atau audio, berkenaan apa yang berlaku di Kotaraya Angsana dan Kuala Lumpur. Dengan ini, Afam mengetahui apa yang berlaku. Dia boleh menimbangkan sama ada Hero perlu turun membantu atau tidak.

Awalnya, Afam tidak berminat dengan urusan-urusan kecil. Fokusnya hanya kepada jenayah berat seperti rompakan, pencerobohan, pemburuan penjenayah-penjenayah yang melarikan diri daripada pihak polis serta hal-hal yang melibatkan organisasi dunia gelap seperti samseng dan gengster. Namun, selepas kemunculannya, statistik jenayah di Kotaraya Angsana dan Kuala Lumpur merudum. Kegiatan jenayah tidak lagi serancak dulu.

Justeru, Afam kadangkala turun juga bagi membantu urusan-urusan kecil seperti kemalangan, kebakaran, ragut dan sebagainya.

              “Kenapa termenung sahaja?” Suara Pak Arbi menggetarkan gegendang telinga. “Teringat isteri di rumah?”

Paparan di visor helmet menunjukkan Pak Arbi sedang tersenyum. Afam mendengus. Rokok dihisapnya. Tidak menjawab soalan Pak Arbi.

              “Dua minggu sudah berlalu. Kita masih belum dengar apa-apa pasal pembunuh misteri itu.”

              “Akuma.”

Afam memecahkan kesunyiannya. Rokok ditenyeh pada tangan sebelum dimasukkan ke dalam salah satu bahagian pada tali pinggang sut.

              “Apa dia?” Pak Arbi seakan-akan tidak dengar.

              “Akuma, itu yang tertulis pada tuala tersebut, bukan? Syaitan. Mungkin itu namanya.”

              Pak Arbi terdiam. Afam menghela nafas. Baki asap rokok keluar daripada mulutnya.

              “Jika dia hendak buat kotaraya ini memusuhi saya, dia telah berjaya.”

              Dua minggu telah berlalu semenjak perkahwinannya. Dua minggu jugalah Komissioner Azizan telah mengumumkan Hero sebagai buruan.

              Kini, setiap kali Hero muncul untuk menyelamatkan keadaan, sekumpulan anggota polis akan turut berada di tempat kejadian, berusaha untuk memberkasnya. Walaupun ia tidak memberikan ancaman kepada Afam, memandangkan sut Hero itu mampu menangani persenjataan yang dimiliki pihak polis, namun tindakan itu semakin hari membuatkan Afam semakin meluat.

Mereka mengejarnya ibarat anjing kelaparan, walaupun mereka tahu mereka tidak mampu. Dalam keadaan dia pula sedang berusaha membantu orang dalam kesusahan.

              Belum ditambah dengan cabaran yang dihadapinya di rumah.

Husna.

              “Awak tidur bilik ini.”

Afam menuding ke arah sebuah bilik di tingkat atas. Pintu bilik dibukanya. Terserlah kemewahannya. Luas. Perabot-perabot berkualiti. Permaidani dan ambal tebal. Pencahayaan bervariasi. Katil besar dan bantal-bantal empuk. Keperluan penjagaan diri berjenama. 

              Bilik idaman ramai. Kelas pertama.

              “Huh?” Husna dilihatnya mengerutkan dahi. “Saya tidur di bilik ini?”

Isterinya itu kelihatan seperti hendak berbicara lagi, namun Afam dapat melihat pipinya mula kemerah-merahan.

              “Awak nak tanya saya tidur di mana?”

              Husna mengangguk-angguk. Matanya dilarikan daripada bertembung dengan mata Afam. Comel, getus hati Afam. Tetapi dia tidak boleh menundukkan egonya.

              “Saya tidur di bilik sebelah.”

              “Kenapa?” Spontan soalan itu terpacul. Akhirnya Husna mengangkat wajah.

              “Saya bukan nak kahwin dengan awak sebenarnya. Saya hanya nak selamatkan harta bapa saya.”

              Awal-awal perkahwinan lagi Afam sudah memberikan isyarat bahawa kehidupan antara mereka berdua bukanlah kehidupan berumahtangga yang difantasikan ramai.

Afam berpaling dan melangkah pergi begitu sahaja.

Afam menyangka Husna akan menganggapnya pergi berfoya-foya, sebagaimana karakternya yang sedia dimaklumi ramai. Walaupun hakikat sebenarnya bukan begitu. Disangkakan wanita itu akan merajuk dengannya. Terbalik pula. Malah, Husna ini lebih merimaskan daripada Pak Arbi.

              “Tak malukah masuk bilik lelaki? Kata ustazah …”

Afam cuba menyembunyikan segan apabila Husna tiba-tiba sahaja berada di pinggir katilnya. Dia pula tidak berbaju ketika itu lantaran terus tidur kerana teramat penat.

              “Encik Amir Faheem, kita sudah nikah semalam. Dan awak meracau-racau sampai saya boleh dengar dari bilik sebelah. Saya risau, sebab itu saya masuk.” Husna berceloteh dengan wajah separuh geram.

              Meracau? Afam tidak ingat. Namun, keegoannya masih menebal. Dia menghalakan pandangan ke luar tingkap. Masih gelap.

              “Pukul berapa ini?”

              “Enam pagi. Awak sudah solat Subuh?” Sebelah kening Husna terangkat. “Saya pasti belum.”

              Afam diam. Seorang lagi Pegawai Jabatan Agama Islam dalam rumah ini. Cukuplah Pak Arbi seorang bising fasal solat-menyolat. Nak tambah seorang lagi? Ish. Dia perasan yang Husna bertelekung lengkap. Mungkin baru lepas solat. Sebab itu racauannya boleh didengari.

              “Sudahlah. Jangan sibuk.”

Afam menarik selimut, mahu menyambung lena yang terganggu. Namun, hasratnya tidak kesampaian. Selimut tersebut ditarik Husna. Dia tersentap dalam diam. Pantas mata mereka bertemu.

              “Semalam awak pergi mana?”

Dingin. Wajah itu bagaikan gambaran kelukaan. Afam terasa seolah-olah jiwanya juga terluka melihat wajah duka itu. Tetapi, dia segera menafikan perasaan tersebut.

              “Berfoya-foya.”

Serentak dengan jawapan itu, Afam menarik selimutnya dengan kasar dan tidur semula. Tidak lama kemudian, dia terasa tilamnya lebih ringan. Bunyi pintu ditutup perlahan kedengaran.

              Luka. Ya, entah mengapa, hatinya sendiri terluka dengan riak wajah Husna pagi itu. Sedangkan malam pertama dan pagi pertama bagi pasangan yang saling cinta-mencintai, sepatutnya merupakan hari paling bahagia.

              Adakah mereka saling cinta mencintai?

              Tidak. Dia tidak kenal Husna pun sebelum ini. Dia terpaksa berkahwin dengan wanita itu. Dan Afam menganggap Husna juga terpaksa kerana terhutang budi dengan Mak cik Amirah Maisarah.

              Jangkaan Afam, sehari dua begitu, mungkin wanita itu akan tertekan dan meminta untuk berpisah. Biasanya golongan Islamis ini merasakan diri mereka mulia, suci, mana mahu berlama-lama dengan orang yang kotor sepertinya.

              Tidak.

              Wanita itu tidak henti-henti menyuntik takjub dalam dirinya.

              Husna tetap istiqomah mengejutkannya. Hari demi hari. Tidak cukup dengan Subuh. Jika Afam berada di rumah pada waktu Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, Husna akan setia mengingatkannya. Tambah-tambah lagi pada waktu Maghrib. Husna akan mengajaknya sama-sama membaca al-Quran. Kemudian, wanita itu akan bertanya itu ini. Apa kerjanya. Kenapa dia duduk di rumah sahaja. Kenapa tidak isi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat. Macam-macam!

              Menjadikan hampir setiap masa, mereka berdua akan berbalas kata-kata. Afam akan cuba mencari jalan mengungkap kata-kata yang melukakan hati wanita itu, melemahkan semangatnya, tetapi Husna akan kembali dengan tazkirah dan peringatan, untuk melembutkan kedegilan Afam.

              Dua minggu ini, itu sudah menjadi rutin tambahan baginya.

              “Pak Arbi suka Husna itu.”

              “Kenapa?”

              “Dia sudah kurangkan separuh kerja Pak Arbi.”

              “Separuh ya.” Afam tersengih kelat.

              Dan entah kenapa, Afam tersenyum mengingat itu semua. Rimas, tetapi entah, ada perasaan lain dalam jiwanya. Dia menggeleng. Kemudian dia tersedar sesuatu. Pak Arbi sedang melihatnya, dan turut tersenyum.

              “Ingat Husna ya?”

              “Mana ada. Pak Arbi ini, ada-ada saja.”

              Satu data audio muncul memintas perbualan mereka.

              “Ada kebakaran.”

Pak Arbi memaklumkan walaupun maklumat itu terpapar pada skrin helmet sut Afam. Dari atas Menara Keimanan, Afam dapat melihat remang-remang cahaya yang terhasil daripada kebakaran tersebut. Jauh.

              Bahagian bawah helmet terus tertutup. Afam merendahkan daya magnetik sut, menghalakan fokus kuasa kepada bahagian but. Membolehkan dia berdiri tegak dalam keadaan melawan graviti di puncak Menara Keimanan itu.

              “Aku tunggu Iblis, api yang keluar. Heh.”

Afam berseloroh sendirian. Dia melompat daripada menara tersebut, akur dengan kuasa tarikan graviti. Beberapa saat kemudian, butnya bercahaya dan Afam membelah udara, bergerak sepantas mungkin ke tempat kejadian.

              Tidak lama kemudian, sutnya mula mengesan peningkatan haba. Afam dapat melihat bangunan kediaman itu sedang rakus dijilat api. Tanpa menghiraukan jeritan orang ramai yang berkumpul tidak jauh dari situ, dia terus membuat imbasan bangunan tersebut. Paparan imbasan tertera pada skrin topengnya. Imej seorang wanita sedang memeluk seorang anak kecil pada tingat lima bangunan.

              Kebakaran merebak dengan pantas. Penduduk-penduduk kelihatan mampu mengosongkan bangunan. Pihak bomba pula sedang menjalankan tugas mereka. Daripada perbualan-perbualan yang mampu dirakam oleh sut Hero, Afam mengetahui bahawa kebakaran tersebut bermula senyap-senyap di tingkat atas. Apabila sudah marak, barulah disedari ramai. Masing-masing cuba untuk membantu – memadamkan kebakaran dan menyelamatkan diri, namun kebakaran semakin besar menyebabkan mereka terpaksa menunggu bantuan tiba.

              Keberadaan wanita dan anaknya itu mungkin terlepas daripada perhatian ramai.    

              Afam tidak berlengah. Dia terus merempuh masuk ke dalam bangunan. Dia segera menemui dua beranak itu. Mantel dikeluarkan, menyelubungi tubuhnya dan tubuh wanita serta anak kecil itu.

“Tunduk lagi!”

              Alang konkrit yang meretak, tiba-tiba runtuh menghentam belakang Afam. Lantai bangunan bergegar. Kesakitan yang Afam rasai tidak terperi. Sakit yang teramat sangat.

Tanpa disangka-sangka, lantai tempat mereka berdiri itu turut meretak dan merekah. Afam pantas memeluk dua beranak itu dan melindungi diri mereka dengan mantelnya. Ketiga-tiga mereka jerlus ke bawah.

Tanpa menghiraukan kesakitannya, Afam meningkatkan kuasa but dan merempuh dinding untuk keluar daripada bangunan itu dan mendarat berhampiran pasukan bomba dan penyelamat.

Orang ramai tergamam seakan-akan tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.

“Terima kasih, terima kasih!”

Si ibu menangis kegembiraan sambil memeluk Afam. Seorang anggota penyelamat bergegas mendapatkan wanita dan anaknya itu. Orang ramai mula bersorak girang.

Afam selalunya tidak terkesan dengan semua itu. Dia tidak pernah memberi respons kepada orang yang diselamatkannya Tetapi kali ini berlainan, jiwanya sedikit terusik. Keadaan wanita dan anaknya itu membuatkan dia teringat kepada ibu.

Afam mula bergerak meninggalkan kawasan kejadian. Namun, baru sahaja dia hendak pergi, dia diterangi lampu sorot yang datangnya daripada helikopter yang sedang berlegar-legar sejak tadi. Sedetik kemudian, kedengaran pengumuman daripada pembesar suara.

“Hero, jangan lari. Serahkan diri anda sekarang!”

              Semua yang ada di situ, tergamam melihat keadaan tersebut.

              Jiwa Afam terluka. “Celaka.”

              Afam baru perasan bahawa anak kecil diselamatkannya tadi berada tidak jauh daripadanya. Wajah anak itu jelas masih dilanda ketakutan dan trauma. Dia memandang wanita di sebelah anak kecil itu.

              “Maafkan saya.”

              Beberapa buah kereta polis tiba dan mengerumuni Hero. Orang ramai semakin terpinga-pinga.

              “Serahkan diri anda!”

              Afam mendengus. Butnya dihidupkan. Sekelip mata dia lesap daripada tempat kejadian, terbang membelah udara dengan kelajuan yang tidak mampu diekori mata. Tinggi menembus langit.

              “Negara ini tak patut diselamatkan, bapa.” Afam meluahkan kecewa.

              “Rakyat itu lebih ramai, Afam. Ada macam-macam orang.” Pak Arbi menasihati. “Masih ramai yang baik. Pak Arbi yakin.”

              Afam menghela nafas. “Malam ini saya perlu pulang awal, Pak Arbi. Sut dihentam kuat tadi. Kena tengok kalau-kalau ada yang tak kena.”

              “Baik.”

***

Dia melihat semua itu dari jauh. Dari atas sebuah bangunan yang berdekatan. Dia bersila memerhatikan segalanya. Tangannya pula sedang menggilap katana, seakan-akan sedang bersedia untuk ke medan perang. Sengihan sinis terbit pada bibirnya.

              “Kalian akan tumbang. Bahkan terbenam.”

              Dia mengangkat katana. Bilah senjata dari Negara Matahari Terbit itu ditenungnya tajam. Tangan kirinya kemudian menyentuh wajah yang berparut.

              Sakit itu masih dirasai.

              “Hari pembalasan semakin hampir!”

***

Mata Husna melekat pada skrin televisyen. Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya melalui siaran langsung sebentar tadi. Semenjak diumumkan bahawa Hero menjadi buruan polis, kru televisyen sering mengambil peluang dalam sebarang kemalangan atau bencana yang berlaku. Mahu merakamkan kemunculan Hero dan aksinya apabila berhadapan pihak berkuasa. 

              Setakat ini, adiwira itu hanya melarikan diri dan tidak melayan provokasi pihak berkuasa.

              “Ada patut mereka nak tangkap Hero. Bukankah dia baru saja selamatkan orang?” Husna geram. Tanpa sedar, dia menggenggam penumbuknya.

              “Kerajaan telah korup, Husna.”

Suara Pak Arbi membuatkan bahunya terhenjut.

              “Pak Arbi, terkejut Husna.”

Segera dia membetulkan tudung. Dia memang maklum akan keberadaan pembantu rumah itu. Sebab itu auratnya tetap dijaga. Bahkan, jika difikirkan semula, Afam sendiri belum pernah melihat dia tidak bertudung, memandangkan mereka belum pernah berdua-duaan. Jika mengejutkan Afam pun, biasanya Husna dalam keadaan bertelekung kerana baru menunaikan solat.

              “Maafkan Pak Arbi.” Lelaki separuh umur itu tersenyum.             

              “Eh, tak ada apa-apalah. Bukan Husna marah pun.” Husna membalas senyuman.

Husna kembali memandang televisyen 70 inci itu. Entah mengapa, dia hilang selera untuk menonton. Tambahan, malam semakin larut. Televisyen itu dimatikan.

              “Mana Afam ini?”

Husna mencapai al-Quran di meja kecil bersebelahan sofa. Didikan agar sentiasa menjaga wuduk kekal dalam kehidupannya, memudahkan dia melaksanakan ibadah-ibadah sunnah sebegini.

              “Husna dah makan malam?”

Pertanyaan yang sayup-sayup kedengaran itu membuatkan Husna sekali lagi menoleh ke arah Pak Arbi. Lelaki itu sudah tiada di belakangnya.

              “Belum, Pak Arbi.” Husna menjawab separuh malas. Mulutnya muncung sedikit.

              “Ya Allah, kenapa?” Pak Arbi kedengaran risau.

Sepi seketika.

“Tunggu Afam.”

Husna menghela nafas panjang. Dia memandang televisyen yang sudah gelap. Termenung seketika. Betulkah Afam pergi berfaya-foya? Dia tak rasa apa-apakah?

Ketika jiwanya keresahan seperti sekarang, kitab suci itulah yang menjadi peneman. Namun, malam ini, al-Quran di tangan, dipandangnya sahaja. Hanya dibelek-belek. Tidak mampu hendak membacanya. Dia sendiri tidak mengerti apa yang dirasainya kini.

Pak Arbi keluar dengan menatang sebuah dulang. Roti bakar, kaya dan minuman.

              “Husna marah?”

              Pertanyaan itu membuatkan menungannya tidak lama. Husna mengangkat wajah memandang Pak Arbi dan menggeleng perlahan. Orang tua itu sudah meletakkan dulang di atas meja.

              “Entahlah. Husna sebenarnya sudah siapkan diri untuk hadapi perkara macam ini.”

              “Jangan risau. Afam itu tidak seteruk yang disangka.” Pak Arbi mengukir senyuman, sambil merehatkan lehernya pada kepala sofa.

              “Maksud Pak Arbi?”

              “Pak Arbi sudah lama di rumah ini. Lebih dua dekad. Sekitar setahun sebelum Afam lahir lagi. Semenjak kehadirannya, memang Pak Arbi-lah yang banyak bersama dan menguruskannya.”

              “Dato’ dan Datin?”

              “Teramat sibuk.”

              “Sampai tak sempat bersama Afam?”

              Pak Arbi melebarkan senyuman. Mengangguk.

“Datin boleh dikatakan banyak juga meluang masa dengan anak tunggalnya itu. Tetapi Dato’ memang terlalu sikit masanya dengan Afam. Membuatkan Afam memberontak. Dato’ Amir Muiz orangnya tegas dalam beragama, maka solat, bacaan al-Quran, menjauhi hiburan melampau, sudah menjadi antara disiplin hidupnya. Itu semua dipandang Afam sebagai mengongkong. Itu yang menyebabkan Afam jadi seperti hari ini. Afam hakikatnya menutup hatinya daripada memahami mengapa kehidupannya sedemikian. Hakikatnya, Dato’ melakukan pengorbanan yang besar.”

              “Maksudnya?”

Husna semakin berminat mahu mengetahui. Dia tidak pernah mengenali Dato’ Amir Muiz melainkan daripada pertemuan mereka sekitar tiga tahun lepas. Selebihnya, daripada media serta cerita-cerita orang.

              “Dato’ dituntut untuk sesibuk itu. Ummah memerlukannya.”

              Mata Husna membesar. Apabila difikirkan semula, benar. Ummah memerlukan tokoh seperti Dato’ Amir Muiz. Seorang intelektual yang genius, modenis yang memacu kemajuan teknologi negara, serta bercita-cita pula membawa Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara maju. Dahulu cita-cita sedemikian hanya mengundang tawa, tetapi selepas usaha yang digerakkan oleh Dato’ Amir Muiz bersama rakan-rakannya, baik melalui lapangan perniagaan melalui Amir & Co, atau lapangan kebajikan melalui NGO INSANI, sudah ada sebahagian rakyat Malaysia yang percaya impian itu bukan lagi mimpi.

              Dato’ Amir Muiz sepanjang hidupnya digambarkan bekerja keras. Membangunkan syarikat menjadi gergasi besar dunia. Hingga apabila ekonomi Malaysia merudum teruk dek skandal pemimpin-pemimpin tertingginya, kewujudan Amir & Co-lah yang masih menambat keyakinan para pelabur. Amir & Co merupakan syarikat terbesar di Malaysia pada hari ini, menguasai pelbagai bidang daripada teknologi, media, hiburan, pelancongan, automotif, pembinaan serta makanan dan minuman. Sepuluh jutawan Islam yang terkenal, datang daripada Amir & Co ini.

Pada masa yang sama, INSANI giat dengan kerja-kerja kebajikan, menyantuni marhaen, menyelami denyut nadi mereka. Antara projek terbesar beliau bersama rakan-rakannya ialah Kompleks Tuju Penyayang, yang ditubuhkan di seluruh Malaysia untuk membela anak-anak yatim dan terbiar. Sepuluh jutawan Islam yang sama, menjadi penaung kepada NGO ini.

INSANI telah berkembang pesat, melahirkan banyak individu yang berkaliber. Kebanyakan mereka kembali menyumbang kepada masyarakat sebagai pendidik, usahawan, bahkan ahli politik. Parti yang dikatakan punya peluang menumbangkan kerajaan hari ini dikatakan datang daripada bekas-bekas aktivis INSANI. Dipanggil bekas kerana INSANI tidak membenarkan ahli-ahlinya bergiat aktif dalam politik untuk mengelakkan bias. Maka ahli-ahlinya yang berpotensi, diarahkan keluar dan membina organisasi baharu yang berorientasikan politik.

Namun, Dato’ Amir Muiz ditakdirkan Tuhan meninggal dunia lebih awal.

Ternyata Malaysia kehilangan mutiara yang amat berharga.

“Sepatutnya Afam memahami. Dia bukannya orang yang tak boleh berfikir.”

              Pak Arbi tersenyum dengan komentar Husna itu.

“Dato’ sebenarnya telah berusaha untuk memenuhi hak Afam. Waktu senggangnya yang amat sedikit lagi pendek itu, memang dia akan cuba berada di sisi Afam. Tetapi mungkin kerana sikitnya waktu itu, Afam tak ingat dan tak benar-benar merasainya. Hanya Datin yang mempunyai lebih banyak masa, mampu bersama-samanya lebih kerap.”

              “Jadi Afam sangat bencikan bapanya?”

              “Benci. Sangat-sangat benci. Lebih-lebih lagi apabila Afam menjadi seorang yang pemalas dalam pelajaran dan tak mahu mengikuti lunas-lunas agama dalam kehidupannya. Dato’ Amir Muiz memotong wang saku, mengurungnya di dalam rumah, mendendanya dengan pelbagai denda.”

              “Dengan menggunakan waktu senggangnya yang sedikit lagi pendek itu?”

              Pak Arbi mengangguk. “Itulah yang membentuk Afam hari ini.”

              “Kasihannya.”

              “Dia tak dapat kasih sayang seorang ayah secara terus. Bukanlah Dato’ tak menyayangi Afam. Hakikatnya, tanggungjawab Dato’ Amir Muiz sangat besar.”

              Husna terangguk-angguk.

               “Dato’ sangat kasihkan Afam. Salah satu tandanya, dia mewasiatkan anaknya itu berkahwin dengan wanita seperti Husna.”

              Wajah Husna panas. Tunduk malu sambil menghirup kopi yang disediakan Pak Arbi.

              “Kenapa pula itu dipanggil sebagai satu kasih sayang?”

              “Sebab kasih sayang sebenar adalah hendak bersama-sama ke syurga. Maka Dato’ berhajat agar Afam dapat masuk ke syurga. Usaha terakhirnya adalah dengan mendapatkan isteri yang solehah untuk membentuk Afam. Indah, bukan? Mendalamnya kasih dan sayang Dato’ kepada Afam.”

              Husna tunduk. Kagum dengan arwah Dato’ Amir Muiz yang berfikir sejauh itu demi kasihnya terhadap seorang anak. Dia segan kerana merasakan dirinya tidak layak untuk memikul tanggungjawab sebesar itu.

              “Husna kena banyak bersabar dengan dia. Afam adalah lelaki yang jiwanya punya lubang dan luka yang dalam. Dia itu hakikatnya sunyi dan tercari-cari. Kini, Husna sahajalah harapan Pak Arbi, Puan Amirah Maisarah, Mr. Umayer, arwah Dato’ Amir Muiz dan arwah Datin Maimunah untuk membentuk Afam.”

              “Insya-Allah, Husna cuba.” Itu sahaja yang mampu diungkapkan.

              “Afam itu tidak seteruk yang disangka. Pak Arbi sentiasa yakin bahawa dia itu akan mampu menjumpai jalan yang membawanya kembali kepada Allah. Dan rasanya, doa Pak Arbi sudah separuh terjawab dengan kehadiran Husna.”

              “Saya sebenarnya bukanlah baik sangat, Pak Arbi.” Segera Husna menjawab. Malu dipandang tinggi.

              “Kita semua bukan baik. Kita semua ada sejarah hitam masing-masing. Sejarah mencari Tuhan. Sejarah mencari kebenaran.”

Pak Arbi memandang siling sebentar, sebelum menunduk. Kemudian helaan nafas panjang keluar daripada rongga hidung orang tua itu.

              Husna sedikit terkesan dengan kenyataan Pak Arbi. Pada masa yang sama tertarik dengan reaksinya. Seakan-akan Pak Arbi juga ada masa silam yang kelam.

              “Baiklah Husna. Pak Arbi hendak tidur.” Pak Arbi menepuk kedua-dua pehanya, sebelum bangkit. “Husna masih hendak tunggu Afamkah?”

              Husna mengangguk. Tangannya segera mencapai roti bakar. “Pak Arbi.”

Panggilan Husna itu membuatkan Pak Arbi mematikan langkahan, menoleh semula kepadanya.

              “Pak Arbi boleh ajar Husna memasak resepi-resepi Datin? Pak Arbi mesti tahu, bukan?”

              Pak Arbi tersenyum lebar. Mengangguk. Hatinya berbunga-bunga melihat Husna tidak putus asa cuba memenangi hati Afam.

              “Opocot!”

Satu suara agak kuat kedengaran. Husna terkejut, hampir sahaja roti bakarnya jatuh. Segera didapatkan kembali makanannya itu sebelum menyembah lantai. Pak Arbi mencekak pinggang dan menggeleng. Husna menoleh ke belakang sofa.

              Afam sedang berdiri di situ. Rambutnya basah. Dia berbaju berlengan panjang dan mengenakan seluar tiga suku sahaja.

              “Bila awak ada di rumah?” Husna kehairanan. Bangun terus daripada tempat duduknya.

              “Er, er …”

Afam kelihatan seperti sedang cuba mendapatkan jawapan daripada Pak Arbi. Husna memandang Pak Arbi. Pak Arbi menggeleng tanda dia juga tidak sedar yang Afam berada di dalam rumah.

Husna mengerutkan dahi. “Bukankah awak keluar tadi?”

              “Saya masuk ikut pintu belakang.”

              “Tak dengar pun.”

              “Ah, sibuklah awak ini.” Afam menarik muka, terus bergerak ke dapur. “Saya lapar, jangan kacau.”

              Biasanya, sekitar tengah malam begini, isterinya sudah berada di dalam bilik. Tak sangka pula malam ini Husna menunggunya pulang sehingga sekarang.

              Sikit lagi kantoi!

              Husna mengekori Afam. “Awak …”

              Ah, sudah!

Afam tetap meneruskan langkahan. Cuba mengabaikan Husna. Dia sangat tahu bahawa siri ceramah yang seterusnya akan berlangsung sebentar lagi.

              Pak Arbi melihat sahaja dua pasangan itu dari jauh. Tersenyum sendiri.

***

Detektif Ikhwan sekadar menggeleng ketika melihat siaran langsung yang melibatkan Hero sebentar tadi. Dia pula sedang bertungkus lumus melayan karenah birokrasi apabila ingin meminta keputusan uji kaji makmal terhadap bahan bukti yang diserahkannya tempoh hari.

Tuala yang diberikan Hero kepadanya.

              Semenjak petang tadi dia berada di Bukit Aman, diminta menunggu. Kemudian, diminta disuruh berjumpa pegawai itu dan ini sebelum diminta menunggu lagi. Apabila pegawai yang perlu dijumpainya tiada, disuruh menunggu lagi.

              Kini sudah tengah malam. Dia diminta menunggu lagi untuk bahan bukti tersebut dibawa keluar.

              “Apa yang susah sangat sebenarnya ni?” Detektif Ikhwan terpaksa meninggikan suara kepada anggota yang bertugas di tempat bahan bukti itu.

              “Er, maaf, tuan. Sebentar.” Petugas itu segera mancapai alat perhubungan. “Sudah jumpakah? Detektif sudah tunggu lama ni.”

              “Apa nombor kod barang itu ya?”

              “1505.”

              “Tempat letak 1505 ini kosonglah.”

              “Hah?” Petugas itu dan Detektif Ikhwan serentak terkejut.

              “Ya, kosong. Tak ada barang. Bermakna bahan bukti sudah dibawa keluar pihak berautoriti.”

              “Saya adalah pihak yang berautoriti. Saya yang serahkan bahan bukti itu. Ia kes saya. Saya sepatutnya diberitahu!”

Detektif Ikhwan meninggikan suara. Marah. Dia menanti terlalu lama untuk hasil yang sebegini rupa.Perlahan-lahan bibirnya mengungkap istighfar.

              “Maaf, tuan. Jika sudah tiada, bermakna ada yang telah mengambilnya.”

              “Boleh saya tahu siapa?”

              “Maaf, tuan. Kami tidak boleh dedahkan kerana itu bermakna ia bukan lagi menjadi tanggungjawab tuan. Sudah menjadi tanggungjawab penyiasat lain. Sekarang pun sudah tengah malam. Apa kata tuan balik dahulu?” Anggota tersebut menjelaskan dengan sopan.

              Detektif Ikhwan beristighfar lagi. Dadanya bergejolak dengan amarah. Dia sudah menanti di sini berjam-jam, dan kemudian disuruh balik begitu sahaja?

              Memandangkan dia menjangka bahawa amarahnya akan meletus jika dia membuka bicara, Detektif Ikhwan terus berpaling dan bergerak pergi. Dia meninggalkan bangunan Polis DiRaja Malaysia di Bukit Aman itu. Dia terus ke kenderaannya.

              Diam sebentar, sebelum dia menghentak stereng kenderaannya sekuat hati.

              “Kurang ajar!”

Nafasnya turun naik. Kemudian, bibirnya pantas beristighfar.

              “Ya Allah, tak hairanlah negaraku ini rosak. Pihak yang bertanggungjawab menjaganya benar-benar korup! Harapkan pegar, pegar makan padi!”

Dahi dirapatkan pada kedua-dua tangannya yang memegang stereng. Terasa amat lemah. Detektif Ikhwan sangat yakin, bahan bukti itu telah dilupuskan oleh pegawai PDRM yang korup. Walaupun siasatan terhadap kes itu telah diambil alih oleh Bukit Aman, Detektif Ikhwan telah merayu agar dirinya dilibatkan. Dan rayuannya telah diluluskan. Dia ditugaskan untuk mengetuai siasatan tersebut berdasarkan merit dirinya yang berada di tempat kejadian.

              Tiba-tiba, dia teringat akan sesuatu. Terus dibuka laci keretanya. Alat perhubungan yang Hero berikan kelihatan. Detektif Ikhwan memandang alat itu lama.

              Kemudian, dia mencapainya.