Bab 4 – Penyatuan

Dua manusia yang berbeza,
Berbeza jiwa,
Berbeza rasa,
Bila Tuhan katakan bersatu,
Maka bersatulah jua.

Dia duduk di kerusi lipat, sedang tunduk dengan kedua-dua lengan di atas peha. Matanya dipejamkan. Mindanya cuba mengimbau kembali pertemuan pertamanya dengan adiwira yang menjadi bualan hangat Kotaraya Angsana.

              “Jepun!”

Jeritan suara tekno itu terngiang-ngiang di telinga.

              Tuala bertulisan kanji itu telah dihantar ke Bukit Aman sebagai bahan bukti. Dia sempat menyoal siasat keluarga mangsa, sebelum anggota polis di Bukit Aman mengambil alih. Hasil perbualan ringkasnya dengan Datin Aqilah, suaminya dibunuh dan Hero menyelamatkan mereka daripada seorang pembunuh misteri yang telah meletupkan rumah mereka.

              “Topeng pembunuh itu menggerunkan. Seperti syaitan!”

              Detektif Ikhwan tidak lancar berbahasa jepun, namun tahu sedikit sebanyak untuk membaca tulisan kanji. Tulisan kanji itu sebutannya ialah ‘Akuma’. Jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu, maknanya ialah ‘syaitan’.

              Detektif Ikhwan menghela nafas. Berat.

              “Sayang, apa yang patut kanda lakukan?”

Dia seakan-akan meminta pendapat walaupun sedar tiada siapa yang mampu memberikannya apa-apa di tempat ini. Dia berada di tengah-tengah tanah perkuburan di Gombak. Di hadapannya, dua buah pusara, sebelah-menyebelah. Pusara isteri dan anaknya. Kedua-duanya mati dibunuh penjenayah sebagai satu usaha untuk menundukkannya.

              Sekali-sekala, dia akan singgah ke sini untuk menziarahi, untuk memujuk hati dan bersunyian buat seketika mencari tenang. Dirinya dalam keadaan serba salah.

              “Sayang, Hero yang selamatkan orang itu pula diburu.”

Dia mengeluh. Matanya bertakung air. Jiwanya sebak. Mindanya terimbau peristiwa beberapa hari yang lalu.

Selepas urusannya di rumah Dato’ Jaafar Yamani selesai, dia dipanggil Komissioner Azizan, yang melepaskan amarah kerana dia dituduh sengaja melepaskan Hero pergi.

              “Kenapa dilepaskan? Ini kali pertama ada yang benar-benar dapat melihatnya dengan jelas!” Komissioner Azizan meninggikan suara.

              Detektif Ikhwan tahu yang anggota-anggota polis yang lain sedang memerhatikan mereka dari luar pejabat.

              “Tuan Azizan nak saya buat apa? Segala maklumat yang kita ada berkenaan Hero menunjukkan dia itu kalis peluru. Dengan segala rekod penjenayah yang telah dia masukkan ke dalam penjara dua tahun ini, tuan saya bukan lawan dia.” Detektif Ikhwan bertegas.

              Komissioner Azizan mendengus. Sedar yang kata-katanya tidak logik, namun ego hendak mengaku dia tersilap menjadikan perkara itu sebagai isu terhadap Detektif Ikhwan. Dia berdehem ketika meneliti laporan detektif tersebut.

              “Mengapa tidak dilepaskan tembakan?”

              “Kerana ada kemungkinan tembakan saya akan terpantul ke arah Datin Aqilah atau anaknya. Mereka berada tersangat hampir dengan Hero.”

              “Ada sahaja jawapan kau ya, Ikhwan? Jujur sahajalah Ikhwan, engkau tak suka kami semua di sini. Kami ini ‘korup’.”

Komissioner Azizan mengangkat kedua-dua tangannya, menyatukan jari hantu dan jari tengah dan menggerak-gerakkannya. Detektif Ikhwan menggeleng. Terdengar gelak tawa anggota polis lain di luar pejabat.

              “Terpulang, tuan. Saya sudah sediakan laporan yang lengkap dan nyatakan apa yang berlaku. Jika tuan mahu beranggapan dengan anggapan yang lain, terpulanglah.”

              Komissioner Azizan tidak meneruskan kalam. Matanya tajam memandang Detektif Ikhwan. Tetapi Detektif Ikhwan pun tidak mengalah. Menentang pandangan itu dengan berani. Kerana dia yakin dia tidak melakukan apa-apa kesilapan atau kesalahan dalam situasi yang dibangkitkan.

              “Baiklah.”

Komissioner Azizan bangkit. Melangkah melepasi mejanya, melepasi Detektif Ikhwan lalu keluar dari pejabatnya. Berdiri di hadapan anggota-anggota polis yang lain, yang spontan mematikan kerja mereka untuk memberi fokus kepada Komissioner Azizan.

              “Dengar sini semua. Siasatan terhadap kejadian yang menimpa Dato’ Jaafar akan diteruskan dengan kerjasama daripada Bukit Aman. Kes ini dianggap berprofil tinggi kerana melibatkan orang kenamaan, ditambah dengan laporan bahawa beliau dibunuh. Tetapi, saya juga mahu menegaskan di sini bahawa Hero bukan rakan kita. Dia ialah vigilante. Meletakkan kuasa di tangannya sendiri.”

Komissioner Azizan menghentikan bicara.

              “Dan tiada yang meletakkan kuasa di tangannya sendiri, selagi saya ditugaskan menjaga keamanan Kotaraya Angsana ini!”

Jeda.

“Selepas siasatan tragedi banglo Dato’ Jaafar selesai, saya akan membuat sidang media berkenaannya, sekaligus akan mengumumkan Hero sebagai buruan pihak berkuasa!”

              Semua anggota di dalam balai mengangkat tabik. Detektif Ikhwan sekadar memerhati dari tempat dia berdiri sambil menghela nafas panjang.

              “Entah mengapa, sayang, Hero yang telah membantu mengurangkan jenayah pula menjadi buruan. Dan tahukah sayang apa yang lebih menyedihkan?”

Detektif Ikhwan meluahkan perasaan di sisi pusara isterinya.

              “Tragedi di rumah Dato’ Jaafar dinyatakan sebagai kemalangan. Kebocoran gas dilaporkan sebagai punca. Kejadian tembakan dalam rumah itu pula disenyapkan. Datin Aqilah dan anaknya disuruh tidak bersuara atas alasan keselamatan negara. Jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan ini semua.”

Detektif Ikhwan bangkit. Kerusi dilipatnya semula.

              “Maafkan abang, sayang. Datang sini selalu mengomel.”

Detektif Ikhwan menyeka air mata sebelum berpaling dan meninggalkan tanah perkuburan itu. Hening pagi itu menemani langkahannya. Tiada manusia di situ selain dirinya.

              Dia perlu ke Kotaraya Angsana. Komissioner Azizan akan mengadakan satu sidang media hari ini. Dan Detektif Ikhwan sudah tahu apa yang bakal berlaku.

              “Hero, aku tak kenal siapa gerangannya di balik sut itu. Hanya mampu berdoa, semoga Allah membantumu. Ribut sedang menghampirimu.”

***

“Kita berterima kasih dengan usaha individu misteri yang digelar ‘Hero’ ini. Semenjak kemunculannya dua tahun lalu, kadar jenayah di Kotaraya Angsana merudum dengan mendadak. Kotaraya Angsana diangkat menjadi kawasan paling aman di Malaysia, dengan peratusan jenayah terendah.”

Kerlipan daripada lensa kamera para wartawan, menyimbahi tubuh Komissioner Azizan yang ditemani barisan pegawai polis berpangkat. Dia berhenti sebentar sebelum meneruskan bicara.

              “Tetapi masanya telah tiba, untuk Hero menyerah diri kepada kami. Tindakannya menjadi vigilante di tanah bertuah ini tidak dialu-alukan dan mengundang bahaya. Kami tidak mengalu-alukan tindakannya diteruskan. Berdasarkan kejadian terbaharu, yang menimpa arwah Dato’ Jaafar dan keluarga, kami telah mendapat gambaran jelas individu misteri ini.”

Komissioner Azizan mengangkat sehelai kertas yang memaparkan lakaran Hero. Kedengaran luahan di sana sini. Para wartawan terkejut kerana ini kali pertama ada pihak yang mempunyai gambaran jelas terhadap penjaga Kotaraya Angsana itu.

              “Saya mengumumkan bahawa Hero akan kami buru. Aktivitinya perlu dihentikan. Terima kasih …”

Belum sempat bicaranya sempurna, Komissioner Azizan dihujani puluhan soalan daripada wartawan-wartawan yang hadir. Semuanya ingin mendapatkan sebab mengapa polis membuat keputusan untuk bertindak demikian.

              “Kami mengesyaki, kemalangan yang berlaku di rumah Dato’ Jaafar, yakni gas bocor, adalah angkara pihak yang ingin Hero memunculkan diri. Boleh dikatakan, Hero punya tanggungjawab dalam kes ini. Kami ingin aktivitinya dihentikan, supaya tiada pihak akan melakukan tindakan merbahaya untuk mencabarnya atau cuba menjatuhkannya. Kami ingin menangkap Hero supaya individu misteri di sebalik kostum ini boleh memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan bertanggungjawab dengan tindakannya!”

              Skrin gergasi itu dimatikan.

              “Kostum?” Afam meninggikan suara sambil cuba melonggarkan butang leher baju melayu serba putih yang dipakainya.

              Pak Arbi tersenyum sahaja. Kumis putih nan nipis pada dagunya diramas lembut. Dia seperti sedang berfikir. Pak Arbi juga berbaju melayu, seperti Afam, lengkap bersampin dan bersongkok.

              “Mereka buta?” Afam menggeleng.

              “Mereka tak tahu sut itu ialah aloi. Memang sekali pandang, orang takkan sangka sut itu boleh dibawa pergi berperang.” Pak Arbi menjawab sambil senyuman setia menghiasi wajah. “Nampaknya, Afam, pergerakan Hero akan lebih terganggu. Polis memburu. Pasti mereka telah memasang mata-mata di seluruh kotaraya.”

              Afam mendengus. “Kita tengok bagaimana mereka mahu cuba. Kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam. Betul tak pepatah yang saya guna itu?”

Afam memandang pembantu setianya itu. Pak Arbi tertawa kecil. Mengangguk.

              “Saya syak, ini juga termasuk dalam niat pembunuh misteri tempoh hari.”

              Tawa Pak Arbi sirna. Anak muda yang segak berbusana melayu di sisinya ditatap.

“Afam fikir, dia mampu mengatur sebegini licik?”

              Afam mengangguk. Wajahnya tegang, serius. “Pak Arbi tak berdepan dengan dia. Jelas, dia langsung tak takut. Dia juga tahu bagaimana nak ganggu aliran kuasa Elemen Baru. Sebab itu alat-alat pengesan yang kita letak di sekeliling rumah Dato’ Jaafar, kamera-kamera dan sebagainya, berjaya dilangkaui dengan mudah.”

Afam mendengus. Tidak puas hati.

              Seminggu telah berlalu semenjak peristiwa itu. Seminggu itu jugalah Afam dalam mod berjaga-jaga. Namun, dia tetap berusaha bersungguh-sungguh mengesan individu misteri itu. Gagal. Kotaraya Angsana juga tidak digegarkan dengan apa-apa tragedi sepanjang waktu itu, selain beberapa kemalangan kecil yang tidak melibatkan korban nyawa. Tiada rompakan, tiada jenayah berat. Kotaraya Angsana aman damai dalam seminggu ini walaupun negara bersedih dengan kehilangan tokoh seperti Dato’ Jaafar.

              “Ada sesuatu yang sangat tak kena, Pak Arbi. Dua tahun saya buru Syaitan Bertopeng, tapi mereka tak pernah berani melakukan apa-apa yang drastik. Semenjak kita jumpa objek sfera itu, pergerakan musuh kita langsung berubah. Nampaknya, kaki mereka dalam polis telah berani melancarkan perang terhadap Hero. Jika pemberi objek sfera itu dan pembunuh misteri tempoh hari adalah orang yang sama, jelas dia telah meletakkan ini semua dalam satu perancangan yang besar. Dia pasti hendak mencapai sesuatu yang tidak kecil dan remeh!”

              “Sabar, Afam. Hari ini jangan stress sangat. Muka itu sudah berkerut seribu.” Pak Arbi menegur. “Hari ini hari yang penting. Hari gembira.”

              Afam mendengus. Menarik wajah. Memuncungkan bibir.

              Pak Arbi tersenyum, bangkit dan merehatkan telapak tangannya pada bahu pemuda itu.

              Kedengaran lif pangkalan rahsia itu dipanggil ke atas. Tidak lama kemudian, kembali ke bawah. Jelas kelihatan lembaga manusia di sebalik pintu lif tersebut. Tetapi Afam dan Pak Arbi tidak kaget. Mereka tahu, selain mereka berdua, ada seorang lagi yang mempunyai akses kepada pangkalan rahsia ini.

              Mr. Umayer melangkah keluar daripada lif. Lelaki itu turut berpakaian kemas, berbaju melayu dan bersampin.

              “Assalamualaikum.”

              Salam itu disambut oleh Afam dan Pak Arbi dengan salam juga.

              “Saya sudah menjangka Tuan Faheem dan Pak Arbi berada di sini. Saya sekadar mahu mengingatkan yang tetamu sudah mula memenuhi perkarangan rumah. Tok Kadi juga sudah ada di ruang tamu. Ada baiknya Tuan Faheem dan Pak Arbi naik melayani tetamu.”

              Muncung bibir Afam semakin panjang. Dia melangkah malas-malas ke lif.

              “Tak bolehkah kalau saya tak kahwin?”

              “Tuan Faheem mahu segala harta Dato’ Amir Muiz tidak diwariskan kepada tuan?” Mr. Umayer berbahasa sopan, mengiringi Afam bersama Pak Arbi.

              “Saya boleh hidup tanpa harta ini semua.” Afam menjawab, acuh tak acuh.

              Pak Arbi menggeleng.

              “Betul apa.” Afam menjawab angkuh, sebaik sahaja mereka masuk ke dalam lif.

              “Mungkin, Tuan Faheem. Tetapi dengan dana apa tuan mahu gerakkan projek HERO ini?”

              Afam mencebik. “Mr. Umayer masih menguruskan Amir & Co, pandai-pandailah.”

              Mr. Umayer menggeleng. “Itu namanya tidak amanah. Memandangkan Tuan Faheem dinafikan hak, maka menyalurkan apa-apa wang kepada Tuan Faheem seperti sekarang, adalah salah. Tetapi jika Tuan Faheem diiktiraf sebagai pewaris sah segala harta Dato’ Amir Muiz, sudah pasti terpulang kepada Tuan Faheem untuk menguruskan harta itu mengikut selera tuan.” Mr. Umayer mengenyitkan mata.

              Afam menyilangkan tangan. Tidak dapat melarikan diri.

              “Afam, Husna itu perempuan yang solehah. Santun orangnya. Anggun pun ya. Afam beruntung menjadi suami Husna, Pak Arbi yakin.”

              “Eleh, Pak Arbi nak Husna tarbiah Afam, bukan? Ubah Afam jadi Islamik?”

              Mr. Umayer dan Pak Arbi sama-sama tertawa.

“Janganlah negatif sangat, Afam. Bukankah Islam itu agama yang benar dan perintah-perintah Allah itu adalah untuk membawa ummah ke arah yang lebih baik?”

              “Dengan mengongkong  kebebasan manusia!” Afam menjawab.

              “Sudah, hari ini bukan masanya kita berbahas berkenaan hal-hal sebegini. Hari ini sepatutnya hari yang ceria dan bahagia buat semua. Walaupun mungkin Tuan Faheem tidak mahu beranggapan sedemikian.” Mr. Umayer menepuk bahu Pak Arbi dan Afam.

              Afam mendengus. Pak Arbi hanya tersenyum.

              “Pak Arbi dan Mr. Umayer takkan faham. Dua-dua bujang terlajak. Ada hati nak paksa saya kahwin dan bercakap fasal kebahagiaan selepas bernikah. Kita sepatutnya boleh jadi geng, ‘three musketeers’. Sekarang sudah tak geng-lah.”

              Pecah tawa Pak Arbi dan Mr. Umayer mendengar bebelan Afam. Apabila tawa mereka surut, Pak Arbi dan Mr. Umayer saling berpandangan. Seperti ada sesuatu yang dibicarakan antara mereka berdua, melalui gerakan mata. Mr. Umayer terangguk-angguk.

              Lif tiba ke atas. Pintu lif terbuka, begitu juga almari yang menjadi tempat persembunyian lif ini. Pemandangan bilik peribadi Dato’ Amir Muiz terpapar. Mereka bertiga melangkah keluar.

              “Afam,” Pak Arbi bersuara.

              Afam memandang Pak Arbi dengan sebelah keningnya terangkat.

              Pak Arbi mengukir senyuman lebar lantas memeluk pemuda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu. Afam sedikit terkejut, namun membiarkan.

“Barakallahu lakuma wa jama’a baina kuma fil khair.”

Pak Arbi mengucapkan ucapan tahniah bersalut doa itu ke telinga Afam sambil menggosok-gosok belakang tubuh anak muda itu. Entah mengapa, perbuatan itu, ditambah pula mereka sedang berada di bilik arwah bapa, membuatkan Afam terasa sebak. Pelukan Pak Arbi dibalasnya erat.

              Mr. Umayer sekadar tersenyum melihat semua itu, sebelum tangannya turut jatuh ke bahu Afam. “Tahniah, Tuan Amir Faheem. Selamat menjadi suami yang soleh, insya-Allah.”

              “Saya suka nak bahaskan kata-kata itu, tetapi hari ini bukan harinya.”

              Mereka bertiga kemudiannya tertawa bersama-sama sambil melangkah keluar. 

***

Hari ini rumah agam tinggalan Dato’ Amir Muiz meriah dipenuhi tetamu. Rata-ratanya merupakan kenalan dunia perniagaan, orang-orang kenamaan daripada kalangan pemerintah dan pemimpin negara. Juga tonggak kepimpinan dan aktivis-aktivis INSANI, sebuah badan bukan kerajaan yang diasaskan oleh arwah bapa bersama rakan-rakannya.

              Majlis akad nikah tadi berlangsung dengan lancar. Sekali lafaz, Afam dan Husna selamat diijab kabul. Namun, kedua-duanya masih belum bertemu memandangkan saat dilangsungkan pernikahan, Husna diletakkan di dalam bilik. Puan Amirah Maisarah yang mencadangkan sedemikian, katanya mahu menjadi kejutan buat si suami.

              Afam tidak kisah dan mengikut sahaja. Dia malas hendak ambil pusing sebenarnya. Dia melakukan semua ini dengan tidak ikhlas. Dia lebih pening memikirkan ancaman baharu yang sedang dihadapinya sebagai Hero. Dia juga masih merasa bersalah atas kematian Dato’ Jaafar Yamani.

Afam turut runsing memikirkan bagaimana caranya mahu hidup bersama Husna dan dalam pada masa yang sama, menjadi Hero. Pernah beberapa kali dia membangkitkan perkara tersebut, namun Pak Arbi sering menenangkan Afam dan menyuruhnya agar tidak banyak berfikir akan perkara itu.

Ketika melangkah keluar dari bilik persalinan untuk majlis kenduri, Afam terimbau kenangan perbualannya dan orang tua itu.

              “Husna biar Pak Arbi uruskan. Insya-Allah, dia takkan tahu urusan kita. Tetapi, mengapa hendak dirahsiakan? Mungkin Husna boleh menjadi tambahan kepada kekuatan kita?”

              “Hish, Pak Arbi ini. Urusan merbahaya, jangan libatkan orang lain!”

              “Baiklah. Jangan risau.”

              Pak Arbi tersenyum-senyum.

              “Kenapa Pak Arbi tersenyum-senyum semacam ini?”

Imbauan tersebut hilang begitu sahaja. Mata Afam membesar. Terpana.

              Baju kurung moden putih yang sederhana. Tudung labuh sopan yang menyejukkan pandangan. Baju nipis bercorak bunga-bungaan dipadankan dengan baju putih di dalamnya. Wajah itu indah hari ini. Lebih indah daripada biasa. Perasan dirinya ditenung sedemikian, pemilik wajah segera menunduk. Pipinya kemerah-merahan, menambah anggun.

              Hati Afam berdebar. Jantungnya berdegup kencang. Tetapi, pada masa yang sama, tenang dan senang. Oh, apakah perasaan ini?

              “Kamu pun cintakan dia.”

              “Apa dia?”

              “Afam, kamu pun cintakan Afeefah Husna.”

              “Merepek sahaja Pak Arbi.”

              “Pak Arbi boleh baca.”

              “Mengarutlah!”

              “Kalau tak, kenapa risaukan dia?”

              Cinta? Inikah cinta?

              “Kenapa awak pandang macam itu?”

Soalan Husna menarik Afam keluar daripada dunianya. Tanpa sedar, mata mereka bertaut. Husna memandang Afam dari atas ke bawah. Jelas wanita itu sendiri menggagahkan diri untuk bertanya dan merapatinya sedemikian rupa. Wajah Husna kemerah-merahan.

              Afam nampak sangat segak dengan baju melayu moden serba putih, bertanjak dan bersampin, siap disisip keris. Memang tema perkhawinan mereka ialah budaya Melayu, ditekankan oleh Puan Amirah Maisarah, kerana dikatakan itulah impian bonda Afam dan juga hajat Dato’ Amir Muiz. Mereka mahu memberikan gambaran bahawa keluarga mereka, sangat menghargai budaya Melayu yang penuh kesopanan dan tatasusila, sesuai dengan nilai-nilai yang diangkat oleh Islam, walaupun keluarga mereka merupakan pemacu kepada kemajuan teknologi moden hari ini.

              Semasa akad nikah tadi, dek kerana Husna berada di dalam bilik, Afam memang tidak ambil pusing langsung akan busana yang dipakai Husna. Semua diserahkan kepada Puan Amirah Maisarah. Dan Afam tahu, mak ciknya itu akan mengenakan Husna pakaian yang sederhana, menutup aurat, atau mengikut definisinya, kuno dan terkebelakang.

Namun apabila berhadapan dengan Husna kini, walaupun isterinya itu tidak berpakaian seksi, tidak kelihatan megah, tetapi …

              Hatinya seperti dirampas.

              “Sebab awak …” Cantik? Patut cakapkah? Afam berlawan dengan dirinya sendiri. Eh, apahal aku ini?

              “Nampak macam nak pergi kelas agama.”

Akhirnya itu yang terlafaz, dengan nada seakan merendah-rendahkan. Terus bibir Husna memuncung. Entah mengapa, Afam rasa tergeletek dengan perubahan wajah itu. Tanpa sedar, dia mengukir senyuman yang teramat manis. Hingga Husna juga terpana melihatnya. Muncungnya hilang begitu sahaja.

              “Sebenarnya, saya yang nak bagi kelas agama pada awak.” Husna membalas berani.

Mana boleh bagi mamat ni menang begitu sahaja. Ingat senyuman dia boleh beli satu dunia? Maaflah.

Husna mengumpul semangat. Dia sudah berazam untuk menang dalam cabaran ini. Cabaran mendidik seorang insan bernama Amir Faheem bin Amir Muiz.

              “Kita tengok nanti, Cik Husna. Saya pelajar yang nakal.” Terus jadi tak kiut! Afam bicara di dalam hati. Dia pula yang memuncung.

              “Sudahlah.”

Afam berpaling. Mahu bergerak keluar ke kawasan lapang di luar rumah, yang kini dipenuhi kanopi. Selain tetamu dalam kalangan rakan-rakan perniagaan bapa dan ibu, pelanggan-pelanggan syarikat dan juga orang-orang kenamaan Kotaraya Angsana, wartawan-wartawan juga sudah tidak sabar mewawancara dirinya. Manakala jurukamera-jurukamera tidak henti-henti mengambil gambarnya, walaupun dia belum lagi melepasi gerbang utama pintu rumah agam itu.

              Tiba-tiba lengannya disentuh. Macam direnjat elektrik, Afam spontan menoleh.

              Lengan Husna bertaut dengan lengannya. Mesra.

              “Saya takkan biarkan pelajar nakal saya lari.” Husna angkat kening dua kali.

              Sekali lagi senyuman manis Afam muncul tanpa sedar.

              “Apa-apa sahajalah.” Afam bersuara dingin.

Seakan malas melayan. Menunjukkan ego. Namun di dalam jiwa, tiada siapa tahu. Dia berdebar-debar. Mengapa? Bukan selama ini dia tidak pernah disentuh oleh perempuan. Bahkan, perempuan yang lebih mengiurkan dan menggoda daripada Husna. Apakah yang sedang berlaku pada dirinya sekarang? Afam tidak mampu mencari jawapannya.

              Husna sekadar tersenyum. Tidak endah dengan reaksi dingin Afam. Tetap kemas memegang lengan Afam. Beraninya aku! Husna rasa segan, tetapi menyembunyikan perasaannya itu jauh ke dalam diri. Ah suami aku, bukan orang lain.

              Mungkin sahaja Afam tidak perasan akan senyumannya tadi. Tetapi untuk Husna, itu adalah tanda hati lelaki itu bukanlah sehitam yang disangka. Tinggal cahaya di dalam jiwanya disembunyikan sahaja.

              Mereka melangkah beriringan melintasi gerbang rumah agam itu.

              Terus disambut dengan kerlipan kamera. Beberapa tetamu berdekatan, bangkit memberikan penghormatan.

              Kedua-duanya tersenyum seindah mungkin, meraikan hadirin.

***

Eljurano Demase menggeleng. Bibirnya dihiasi senyuman. Fokusnya jatuh kepada lelaki di hadapannya. Pejabatnya dihiasi bunyi tepukan daripadanya.

              “Engkau memang mengkagumkan, Akuma.”

              Akuma tidak mengendahkan. Matanya sekadar melekat pada televisyen yang telah lama terpadam. Mereka sama-sama menonton sidang media daripada pihak polis sebentar tadi.

              Hero kini telah menjadi buruan pihak penguasa.

              Daripada penjaga Kotaraya Angsana, kepada sampah dalam sekelip mata.

              “Aku tak tahu bagaimana engkau mampu melakukan perkara itu, yakni membunuh salah seorang daripada baki jutawan Islam. Dua tahun ini, kami tak mampu mendekati mereka. Hero sentiasa muncul tepat pada masanya.”

              Akuma mendengus. Sedikit pun dirinya tidak rasa diangkat dengan pujian daripada Eljurano Demase.

              “Siapa sebenarnya engkau ini, Akuma? Ryuken tak hubungi kami. Tandanya engkau berbohong apabila menyatakan engkau dihantar Ryuken ke mari untuk membantu kami.”

              Akuma masih membatu. Kemudian, dia bangkit. Mengabaikan Eljurano Demase seolah-olah dia langsung tidak wujud. Dia melangkah hingga ke meja Eljurano Demase dan menebarkan pandangan ke panorama Kotaraya Angsana.

              Eljurano Demase terpinga-pinga, namun segera mengekori langkahan Akuma sambil membetulkan kotnya. Sama-sama memerhatikan Kotaraya Angsana yang jelas kelihatan sibuk.

              “Kotaraya ini indah bukan?” Akuma tiba-tiba bersuara.

              “Semestinya. Kebanggaan Malaysia sekarang.” Tergesa-gesa Eljurano Demase menjawab. Jarang sekali Akuma membuka bicara dengannya.

              “Ia dibina oleh orang-orang yang mengkhianati aku.”

              Eljurano Demase mengerutkan dahi. Sangsi. Setakat pengetahuannya, Kotaraya Angsana ini dibina oleh mereka bersepuluh daripada Amir & Co dan NGO INSANI. Bukan orang lain.

              “Sepuluh Jutawan Islam?”

              Akuma menggeleng. “Di belakang mereka, wujud orang lain.”

              Mata Eljurano Demase terbeliak. Tiba-tiba Akuma berpaling. Tidak sempat Eljurano Demase bertindak balas, tangannya telah kejap mencengkam kolar Eljurano Demase, merapatkan wajah lelaki itu kepada wajahnya. Matanya menjegil. Parutnya tampak tambah menggerunkan dari jarak sedekat itu. Seakan-akan Akuma mahu membahamnya.

              “Mereka ada hutang yang perlu dilunaskan kepada aku. Dan jangan engkau berani menganggu! Ryuken tidak perlu tahu kewujudan aku di sini. Dan kalian akan untung daripada semua ini.”

              Eljurano Demase terangguk-angguk. Cengkaman dilepaskan. Eljurano Demase membetulkan pakaiannya. Akuma kembali berpaling, menatap pemandangan Kotaraya Angsana.

              “Masanya akan tiba.”