BERONTAK 3

Semua menolak permintaannya mentah-mentah. Tiada siapa yang sudi memberikan Amru pekerjaan, apatah lagi wang. Kisah Bonda yang sakit, tidak menarik simpati sesiapa, bahkan ada yang menggelarkannya penipu, ada tempat terus menghalaunya.

              Amru buntu. Rasa optimisnya tempoh hari malap.

              67 deus di dalam dompet pun kini tinggal sekitar lima deus. Habis untuk membeli makanan setiap hari bagi mengisi alas perut. Bukanlah dia mahu membazirkan wang titipan Buya itu, tetapi kos sara hidup di Kota Lemuria ini terlalu tinggi!

              Tiga hari ini, dia hanya makan sehari sekali. Pun duitnya tetap mengalir seperti air deras.

              Tidak hairanlah warga Kota Lemuria rata-rata dilihat bersikap nafsi-nafsi. Pentingkan diri. Sibuk mencari harta. Namun, Amru kekal bersangka baik, mereka juga tertekan dengan kehidupan di sini. Mungkin kerana itu, wajah kebanyakannya masam dan tidak mesra. Berjalan laju ke sini dan ke sana.

              Amru juga pergi ke surau dan masjid berhampiran Hospital Lemuria, meluahkan kesusahannya kepada ahli kariah. Tetapi mereka juga berat untuk mempercayainya. Apabila Amru mempamerkan kemampuannya membaca al-Quran dan kitab, moga-moga adalah pekerjaan daripada kemahirannya itu, tetap dia ditolak.

              “Sesiapa sahaja boleh membaca al-Quran dan kitab hari ini. Tambahan, kita sudah ada ramai orang alim di sini. Kami tidak mampu untuk membantumu, anak muda.”

              “Tidak mampu? Tetapi masjid ini kelihatan mewah dan megah. Penghawa dingin dibuka walhal jemaah yang bersolat fardhu di dalamnya tidak ramai mana. Ketika Subuh, hanya dua baris saf. Mungkin harga lampu di sini sahaja sudah cukup untuk membantu saya, tuan haji.”

              Luahannya ternyata tidak disenangi. Wajah terpempan yang bertukar jegilan amarah daripada orang masjid, membuatkan Amru kemudian disuruh keluar dari Rumah Allah.

              Amru menghela nafas sedang dia duduk di antara dua sujud. Berteleku di atas sejadah, yang dibentangkan di sisi katil Bonda.

              “Sekiranya ahli masjid pun mementingkan diri, apalah yang boleh diharapkan dengan masyarakat awam yang lain?”

              Sepanjang tiga hari ini juga Amru dapat melihat kebejatan Kota Lemuria. Apabila dia mencari pekerjaan sehingga larut malam, dia telah menyaksikan kehidupan malam kota ini. Meriah tanpa ada sesiapa menghalang. Kelab malam dan sarang pelacur penuh, bahkan tidak berselindung. Muda-mudi terjebak maksiat dan jenayah dadah, tidak ada yang kelihatan membendung.

              Bahkan di hadapan mata Amru, dia melihat polis menerima suapan dan berlalu pergi begitu sahaja daripada premis-premis yang menghancurkan nusa bangsa itu.

              Tetapi Amru tidak pantas untuk bersangka buruk.

              Buya mendidiknya lebih mulia daripada mahu memakan daging orang lain.

              Berdasarkan apa yang sedang dialaminya sendiri, manusia akan bertindak di luar batas apabila terlalu ditekan. Mungkin yang memakan suapan, terlalu tersepit mahu melihat keluarga mereka berjaya meneruskan kehidupan di kota ini. Mungkin yang berhibur tanpa batas, cuba melepaskan diri daripada tekanan hidup.

              Walaupun jalan yang mereka pilih itu jalan kerosakan, Amru cuba bersangka baik. Pun begitu, Amru tidak menjadikan itu semua alasan. Dia kekal berprinsip walaupun ada bisikan halus memujuk supaya dia mencari wang di tempat-tempat sedemikian.

              Dia belum bersedia menjual akhirat dengan harga yang sedikit.

              “Apa yang Allah arahkan kita berbuat saat diuji, teruji, disambar musibah dan mahukan pertolongan?”

              Suara Buya terngiang-ngiang di benak. Memorinya terus hanyut menggambarkan semula momen bicara itu diuntaikan. Majlis tausiyah Buya yang diikuti saban hari oleh para santri, Amru sentiasa berada di tempat duduk hadapan memberikan perhatian.

              “Allah ajar kita melalui firman-Nya: Dan mintalah pertolongan, yakni kepada Allah SWT, melalui sabar dan solat. Bukalah mushaf masing-masing, bacalah Al-Baqarah, ayat 45.”

              Amru menggumam ayat 45 daripada Surah al-Baqarah itu sendirian.

              “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

              “Menjaga solat bererti mengatur hidup dan menjemput jaminan bantuan Allah dalam setiap turun naik nafas kita.”

Suara Buya terngiang lagi. Kerana itu akhirnya dia berteleku di sini semenjak maghrib tadi. Isya’ pun sudah berlalu.

              Beribadah. Memohon pertolongan Allah SWT. Solat sunat rawatib telah diusahakan, solat sunat awwabin juga sudah sempurna, solat Isya’ dan rawatibnya selesai juga. Al-Quran telah dibaca, zikir sudah diuntai. Doa sudah diangkat.

              Amru benar-benar mengadu, merasakan dirinya sedang berada pada penghujung jalan.

              Sekiranya pada penghujung jalan itu hanyalah dirinya yang terkorban, Amru tidak kisah dan redha. Tetapi nyawa Bonda yang menjadi taruhan. Amru tidak betah untuk membiarkan. Walaupun jalan keluar seperti sudah terkatup.

              “Sampai bila mahu berteleku?”

              Amru memanjangkan leher, memandang Bonda yang kini berada dalam posisi duduk, bersandarkan bantal pada kepala katil. Bingkas Amru bangkit dan memegang tangan Raudah.

              “Bonda …”

Tangan Raudah bergerak ke kepalanya, mengelus-elus rambut, sebelum mengusap jambang nipis pada pipi.

              “Bonda tahu, Amru masih belum berjumpa solusi ke atas cabaran yang kita hadapi, bukan?”

              Teragak-agak Amru mengangguk.

“Semakin lama, nyawa bonda …”

              “Urusan nyawa ini, urusan Allah, wahai anakku. Urusan Allah.” Suara Raudah tegas. Matanya membulat. “Jangan sesekali kita ingat bahawa kita berkuasa ke atasnya, walau apa pun usaha kita.”

              “Tetapi usaha itu wajib, bukan? Amru telah berusaha tiga hari ini. Hatta orang di masjid tidak mahu membantu.”

              Raudah tersengih. “Kota ini sudah korup, Amru. Masing-masing memikirkan diri sendiri, kumpulan sendiri. Yang penting, mereka selesa. Apa yang mahu dipeduli akan nasib orang lain.”

              “Jadi kenapa bonda memilih untuk tinggal di sini?”

              Raudah diam. Pandangan mereka berdua bertaut. Sekali lagi pipi Amru diusap Bonda.

              “Engkau akan tahu satu hari nanti. Buya ada misinya yang tersendiri, dan bonda merupakan sebahagian daripada misi tersebut.”

              “Bondakah yang sering menjadi pengurus kepada misi-misi dakwah Santri Terutama di sini?”

              Wajah pucat Raudah dihiasi senyuman. Bondanya mengangguk perlahan.

              “Itu salah satunya. Sudah pasti Buya memerlukan seseorang untuk mengikuti perkembangan semasa di sini, dan seseorang yang menetapkan sasaran dakwah kita di sini. Siapa lebih layak berbanding bonda yang membesar di Kota Lemuria?”

              “Dan bonda berada di sini hingga semakin sakit?”

              “Bukankah Amri belum lagi kita jumpai?”

              Soalan itu mematikan suara Amru. Benar. Helaan nafas panjang keluar daripada rongga. Tangan Raudah disatukannya, dan ditepuk-tepuk lembut.

              “Amru mahu keluar lagi, bonda. Cuba cari rezeki.”

              “Usaha itu tanggungjawab kita, Amru. Hasilnya adalah hak Allah SWT, sama ada mahu memberikan atau tidak. Walau apapun berlaku, jangan berputus asa dengan rahmat-Nya.”

              Amru mengukir senyuman, cuba memaniskan roman wajahnya.

              “Insya-Allah, bonda. Amru sentiasa ingat yang itu.”

              “Pergilah. Engkau di dalam lindungan Allah.”

***

Tidak jauh dari Hospital Besar Kota Lemuria, terdapat sebuah Rumah Kebajikan Gelandangan. Bangunan dua tingkat serba sederhana itu sudah agak lama tidak terurus dengan baik. Khabarnya orang-orang baik yang membinanya sama ada telah meninggal dunia, atau jatuh bankrap. Hanya tinggal beberapa insan yang masih berhati mulia, cuba untuk meneruskan operasi tempat ini.

              Tempat ini masih berdiri kerana mereka, juga kerana sumbangan misteri yang sering diperolehi saban bulan. Tidak banyak, sekadar cukup untuk tempat ini kekal menjadi tempat berteduh para gelandangan.

              Hari ini, insan-insan tersebut mengukir senyuman lebar, apabila tanpa diduga, Mansur, yang kini berusaha untuk memenangi tampuk pemerintahan Kota Lemuria, datang berziarah.

              Datangnya pula bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan sumbangan-sumbangan yang banyak, kepada para gelandangan, juga kepada Rumah Kebajikan Gelandangan ini.

              Sepertinya pertolongan dari langit telah turun!

              Mansuri diiringi beberapa individu berpakaian kemas, sebahagiannya membantu mengagihkan sumbangan dan menyantuni gelandangan. Sebahagian yang lain merakam suasana. Ada juga seorang wanita  yang sibuk dengan telefon pintar di telinga.

              Memang dikhabarkan, semenjak kebelakangan ini, Mansur semakin aktif memberikan sumbangan kepada warga Kota Lemuria. Di mana-mana, kewujudan Mansur dirasai. Ramai menganggap Mansur benar-benar pemimpin berjiwa rakyat yang layak diangkat.

              Tidak lama selepas kehadiran Mansur, beberapa wartawan dan jurukamera menyerbu Rumah Kebajikan Gelandangan.

              “Tolong, tidak perlu sentiasa ikuti saya ke mana-mana, rakan-rakan media. Dalam saya menghormati tuntutan kerja rakan-rakan, ada perkara saya mahu ia menjadi rahsia.” Mansur merendah diri menjawab tatkala alat perakam suara ditujukan kepadanya.

              “Tetapi setelah sesi debat bersama calon YBM yang lain, Tuan Guo Wang, nampaknya jelas bahawa Tuan Mansur berada di hadapan dalam persaingan mendapatkan tampuk pemerintahan Kota Lemuria. Maka sudah pastinya kami sangat berminat dengan aktiviti Tuan Mansur.”

              Jawapan wartawan dibalas dengan senyuman oleh Mansur.

              Melihat Mansur seperti tidak betah melayan wartawan di sini, salah seorang penyelia Rumah Kebajikan Gelandangan terus mendapatkannya. Dia berjabat tangan Mansur di hadapan wartawan.

              “Terima kasih banyak-banyak, Tuan Mansur, atas kehadiran tuan ke mari.”

              “Saya sekadar ingin melihat tempat ini dengan mata kepala saya sendiri.”

              Jawapan Mansur itu membuatkan penyelia itu mengerutkan dahi. Sepertinya Mansur punya hubungan dengan Rumah Kebajikan Gelandangan ini.

              “Maksud tuan?”

              Mansur merapatkan mulutnya ke telinga si penyelia. “Sayalah yang memasukkan sumbangan setiap bulan ke tempat ini. Rumah Kebajikan Gelandangan merupakan salah satu tempat sumbangan tetap saya.” Kemudian, Mansur menjauhkan mulutnya.

              Penyelia tersebut membesarkan mata. Tangan Mansur dijabatnya dengan lebih erat.

              Apa yang dibisikkan Mansur tadi, walaupun cuba dirahsiakan daripada wartawan, tetap ada yang berjaya menangkapnya.

              “Jadi Tuan Mansur ada banyak lagi kebajikan yang disembunyikan? Ini satu perkara yang mengkagumkan!”

              Mansur tersengih. “Kalau rakan-rakan media lapor hal ini, tak jadi sembunyilah.” Dia cuba bernada seloroh.

Wartawan-wartawan dan jurukamera tertawa.

              “Tetapi Tuan Mansur tidak perlu menyembunyikannya. Warga Kota Lemuria perlu tahu. Harap-harap ini membuka mata mereka untuk benar-benar memilih Tuan Mansur sebagai YBM Kota Lemuria!”

Si penyelia menggoncang jabatan tangan mereka, yang masih belum dia lepaskan. Benar-benar menggambarkan rasa terharu dan berterima kasihnya.

              “Bukan itu yang menjadi keutamaann saya. Semua kerja kebajikan yang saya buat ini, adalah kerana mahu berkongsi rezeki yang Tuhan beri. Fasal YBM itu, saya hanya ingin menyumbang khidmat. Jika terpilih, saya tidak menolak. Jika tidak terpilih, saya tidak pun kecewa.”

              Semua menyambut ucapan Mansur itu dengan tepukan gemuruh.

              Di tengah-tengah kekecohan suasana, mata Mansur perlahan-lahan pergi ke satu sudut.

              Di sana terdapat sekumpulan gelandangan wanita, yang jelas masih muda. Walaupun berpakaian selekeh dan comot, mereka adalah rupawan.

              Mansur menundukkan pandangan.

              “Baiklah, rakan-rakan, tuan penyelia, saya minta beransur dahulu. Semoga Rumah Kebajikan Gelandangan ini berterusan menaungi mereka yang kurang bernasib baik. Sama-sama kita buat kerja untuk masa hadapan Kota Lemuria yang lebih cerah!”

              Semua di situ menyambut kata-kata Mansur dengan sorakan sokongan.

              Mansur kemudian diiringi orang-orangnya, membawa dia keluar di situ dan tidak lagi melayan wartawan-wartawan yang masih cuba untuk mendapatkan responsnya.

              Guruh berdentum. Mansur mendongak ke langit. “Ah, sudah lama tidak hujan. Bagus, bagus.”

              Apabila mereka semakin hampir ke van mewah yang merupakan kenderaan Mansur, salah seorang pengiringnya merapati.

              “Ini baru bersiaran.”

Sebuah telefon pintar diserahkan kepada Mansur seraya dia masuk dan duduk di dalam van mewah. Di sisinya, seorang pengawal lengkap bersenjatakan pistol di sisi dada, telah sedia di tempat duduknya. Pengiring wanitanya pula duduk di bahagian belakang.

              Pintu van dikatup. Bunyi bising soalan wartawan, atau lambaian tangan penyelia-penyelia rumah kebajikan, tidak lagi kedengaran atau kelihatan.

              Mata Mansur melekat pada skrin telefon pintar.

              Seorang penyampai berpakaian sut kemas bertali leher dan berkaca mata, sedang mengulas berkenaan debat antara dia dan Guo Wang.

              “Pemilihan Yang Berbahagia Mulia Kota Lemuria semakin sengit dan menarik…”

              Suara penyampai itu bergema di dalam van, seraya kenderaan itu mula bergerak. Tetapi kemudian, Mansur mendengar bunyi ketukan.

Van itu terhenti.

***

“… hanya tinggal dua orang calon favourite, iaitu Tuan Mansur Jabbar yang cuba untuk mempertahankan kedudukannya sebagai pengganti Oyabun. Semenjak pemergian tragis pemimpin kita itu, Tuan Mansur Jabbar dilihat mencuba sebaik mungkin memberikan harapan kepada Kota Lemuria. Beliau kini dicabar pesaing sengitnya yang tidak perlu diperkenalkan lagi …”

              Kamera memberikan fokus rakaman kepada seorang lelaki berwajah cerah, mengenakan guan dan samfu, kemas dalam pakaian tradisional bangsanya.

              “… Mr. Guo Wang. Apa kata kami tunjukkan dahulu bahagian pembukaan debat daripada Mr Guo Wang, hartawan yang tidak asing lagi bagi warga Kota Lemuria!”

              Penyampai televisyen itu memberikan isyarat tangan, dan video debat antara Tuan Mansur dan Mr. Guo Wang pun ditayangkan.

              “Antara maksud nama saya ialah Raja. Untuk saya beraja dan merajai hati setiap warga Kota Lemuria, saya perlu menjadi pemimpin yang baik dan memahami setiap denyut nadi rakyat di sini. Maka jangan risau, saya tidak akan mengabaikan nasib …”

              “Bosanlah dengan janji-janji ahli politik ni. Modal liur, memanglah senang.”

              Suara itu meningkah bunyi daripada televisyen. Amru memerhatikan sekumpulan manusia di sisinya, yang turut berdiri di hadapan kedai barangan elektrik ini. Menonton televisyen dari sisi kedai, yang mempaparkannya dari balik cermin.

              “Tapi aku dengar Tuan Mansur memang benar-benar buat kerja.”

              “Itu aku tak nafi …”

              Amru melangkah pergi. Dia tidak berminat untuk masuk campur dengan isu semasa Kota Lemuria. Tambahan, dia baru sahaja ditolak untuk bekerja di kedai barangan elektrik tersebut.

              Guruh berdentum buat kesekian kali. Walaupun kelam malam tidak membuatkan mendung kelihatan, Amru dapat merasakan yang hujan sudah mendekat.

              Perut Amru berkeroncong. Namun keroncong itu tidak mengingatkannya untuk menyuapkan dirinya makanan. Apa yang terbayang hanyalah wajah Bonda.

              Dia tidak tahu apa lagi usaha yang mampu dilakukannya.

              “Ya Allah, aku tidak mempersoalkan sama ada Engkau mendengar rintihanku ini atau tidak, kerana Aku yakin Engkau Maha Mendengar. Maka bantulah aku, ya Rabb!”

              Bibir Amru basah dengan istighfar. Dia melangkah membelah lautan manusia di tengah-tengah Kota Lemuria itu.

              BANG! BANG! BANG!

              Orang-orang di situ tiba-tiba sahaja panik. Mereka mula kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri sendiri. Amru tidak terkesan, bahkan naluri utamanya membuatkan dia mencari arah bunyi tembakan tersebut.

              Langkahannya dibuka. Dia berlari pantas ke arah bunyi itu!

***

“Siapa pula ini!”

Pemandu van Mansur mendengus. Dia baru sahaja menekan pedal minyak, tetapi terpaksa menarik semula kakinya apabila tingkap tempat pemandu diketuk dari luar.

              Perlahan-lahan dia menurunkan cermin.

              Kelihatan seorang individu. Daripada susuk tubuh, jelas merupakan milik seorang lelaki, lengkap berjaket serba gelap dengan wajah tersembunyi di balik helmet, sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi.

              Lelaki itu mengangkat tangan sedikit sebelum tangannya dijatuhkan ke dada.

              “Engkau nak apa ni? Engkau tahu tak ini kenderaan Tuan …”

              Belum habis pemandu van Mansur bersuara, penunggang motosikal tersebut mengeluarkan sebilah pisau daripada jaket, dan sebelum sempat pemandu van Mansur bereaksi, pisau tersebut telah terbenam pada dadanya.

              Matanya terbelalak.

              Tidak cukup dengan itu, penunggang motosikal tersebut mengeluarkan sepucuk pistol, lalu melepaskan tiga das tembakan ke kepala pemandu van yang malang itu.

              Dentuman guruh kedengaran. Kali ini, hujan pun turun.

              Pengiring wanita Mansur menjerit ketakutan.

              “Apa yang telah berlaku?” Mansur meninggikan suara.

              “Bertenang!”

Pengawal yang mengiringi Mansur, pantas mengeluarkan pistol. Tanpa menurunkan tingkap van, dia terus melepaskan tembakan ke arah penunggang motosikal. Tetapi penunggang motosikal tersebut telah terlebih dahulu bergerak dan mengelak.

              “Mana yang lain?”

              Mansur terus membuka van sebelum sempat pengawalnya melarang. Sebaik sahaja pintu van terbuka, mereka disajikan dengan jeritan dan suasana huru-hara daripada para wartawan, penyelia dan warga Rumah Kebajikan Gelandangan Kota Lemuria.

              Beberapa tubuh kelihatan terbujur kaku bermandikan darah yang semakin mencair dek curahan hujan. Ramai yang bertempiaran lari, sementara Mansur menyaksikan individu-individu yang mengiringnya sedang dirodok dengan sabit dan ditusuk golok oleh tiga individu.

              “Hari ini engkau akan mati, Mansur Jabbar!” Salah seorang penyerang menalakan goloknya ke arah van.

              “Celaka. Ke tepi, tuan!”

Pengawal Mansur mengacukan pistolnya, tetapi belum sempat dia menarik picu, dadanya sudah dikucup oleh sebilah pisau dari belakang.

              Mansur menoleh ke belakang.

              Seorang lelaki kelihatan dari luar van, memanfaatkan cermin van yang telah berderai untuk menyerang pengawalnya dari belakang. Pengawal Mansur terjelepuk jatuh, sebelum bergolek keluar daripada van dengan lumuran darah.

              “Aaah!”

Jeritan pengiring wanitanya menambah panik dalam diri Mansur. Tanpa berfikir panjang, dia terus keluar daripada van dan berlari meredah hujan.

              Keempat-empat penyerang mula mengejarnya.

              “Ke mana mahu lari, Mansur Jabbar?”

              Mansur masuk ke sebuah lorong gelap berhampiran, sambil kelam-kabut mencapai sesuatu dari dalam jaketnya. Apabila dia sudah berjaya mengeluarkan telefon pintar, dek kelam-kabut dan basahan air hujan, gajet itu terlepas daripada tangannya. Jatuh di tengah lorong tersebut sedang dia sudah beberapa tapak ke hadapan.

              Mansur tergesa-gesa berpaling, membuatkan dia juga terjatuh. Pantas dia merangkak untuk mendapatkan telefon pintar itu. Tetapi kemudian, dia menghentikan tindakannya itu.

              Empat penyerang sudah berada di lorong yang sama.

              Mansur segera berdiri untuk meneruskan lariannya, tetapi kali ini dia tersadung pula dan jatuh semula, tepat ke sebuah lopak. Bajunya habis dikotori. Rambutnya mula basah dan berserabai. Peluh ketakutan sudah bergabung dengan air hujan dan lopak.

              Baru Mansur hendak bangkit kembali, tubuhnya menerima sepakan keras. Mansur terbatuk-batuk. Empat penyerang tersebut sudah mengelilinginya.

              “Hari ini, engkau akan mampus, Mansur Jabbar.”

              “Si … siapa?”

              “Engkau tidak perlu tahu.”

              “Yang engkau perlu tahu, ialah engkau akan mati hari ini!”

              Dua daripada empat penyerang itu menghunus golok masing-masing.

              “Ja … jangan. Aku … aku boleh bayar berapa banyak yang kamu mahu!”

              Keempat-empat penyerang itu ketawa. Menggeleng.

              “Engkau boleh berikan kami seluruh Kota Lemuria?”

              Mata Mansur terbuntang. “Siapa boleh tawarkan kalian sedemikian rupa?”

              “Sudah, jangan banyak songeh!”

Dua penyerang sudah mahu merodok tubuh Mansur dengan golok masing-masing.

              Mansur spontan memejamkan mata, seperti sudah pasrah menerima nasib.

              “Hoi!”

              Satu suara lain memetir, dan kebetulan, guruh turut berdentum selepas itu.

              Mata Mansur terbuka semula. Penyerang-penyerangnya tidak lagi memerhatikannya. Golok-golok dan sabit-sabit yang sepatutnya sudah terbenam ke tubuhnya, terhenti di tengah udara, sebelum ditarik semula oleh tuan-tuannya.

              Empat penyerang itu kini memandang ke hujung lorong.

              Mansur juga sama.

              Kelihatan seorang pemuda, berpakaian serba sederhana, berwajah cerah, berjambang dan berkumis nipis.

              “Apa yang kamu hendak buat, hah?”

Pemuda itu dengan berani mengacung tangan kanannya ke hadapan, telunjuknya lurus, sambil terus melangkah.

              “Ini bukan urusan engkau, budak!”

              Tetapi pemuda itu tetap melangkah.

              “Wajib bagi yang berkemampuan membantu yang lemah!” Suara pemuda itu memetir.

              “Kurang ajar. Engkau fikir, engkau mampu menangani kami?” Keempat-empat penyerang mula bergerak ke arah pemuda tersebut. “Engkau siapa, hah?”

              “Aku Saifullah. Pedang Allah SWT yang membenci kezaliman yang kalian pamerkan kepada individu itu.”

              “Celaka. Ingat ini suraukah, hah?”

              “Sial!!!”

              Golok dan sabit terhunus. Keempat-empat penyerang meluru ke arah Amru.

Pemuda itu tidak panik, bahkan pandangannya kian tajam. Dalam zulmat malam dan kegelapan lorong serta ditambah renyai-renyai hujan, pemuda tersebut hanya meminjam cahaya daripada penghujung lorong bagi membantunya melihat serangan-serangan tersebut.

              Itu sahaja sudah mencukupi.

Mansur memerhatikan pemuda bernama Saifullah itu lincah mengelak serangan keempat-empat penyerang tersebut. Selepas beberapa ketika mengelak, Saifullah mula melepaskan serangannya.

              Rusuk kiri lawan menjadi sasaran utama. Satu persatu mula mengerang kesakitan dan berundur, diganti rakan yang lain. Apabila tinggal Saifullah dan penyerang terakhir, dia menyambut libasan sabit dengan kedua-dua belah tangan, sebelum tangan penyerang itu dikilasnya. Bagi mengelak kesakitan yang teramat, penyerang tersebut terpaksa mengikut aliran kilasan tersebut. Akibatnya, tubuhnya dibanting ke jalanan.

              Tidak membenarkan lawan itu untuk bangkit dan menyerang dari belakang kelak, Saifullah memijak wajah penyerang tersebut sementara tangan lawannya itu masih dipegang kemas.

              Penyerang itu mengerang kesakitan.

              Amru mara menghadapi tiga yang lain. Dua lawan yang bersenjatakan golok mula mengembarkan senjata masing-masing dengan lebih tangkas. Dua tangan Amru terbuka, bersiaga, menjadikan lawannya teragak-agak. Tidak menanti lawan sampai kepadanya, dia terlebih dahulu mara masuk ke tengah-tengah di antara dua lawannya. Menjadikan libasan mereka tidak berjaya disempurnakan. Lengan mereka tersekat dek bahu Amru, dengan tangan yang didepangkan pemuda itu melanggar dada  mereka.

              Kedua-duanya terkebelakang, melanggar penyerang ketiga.

              Mansur melihat semua itu dengan mulut terlopong.

              Pemuda yang baru muncul bernama Saifullah terus mara dan melayangkan tendangan, mengakibatkan ketiga-tiganya jatuh.

              Ketika ini, Saifullah mengambil peluang menendang dua golok daripada tuannya sebelum menunduk dan menekan kedua-dua lututnya ke atas dada dua penyerang tersebut, kemudian melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke atas mereka.

              Penyerang ketiga tadi tidak tersepit seperti dua yang lain, segera berguling dan bangkit.

              Dia nampaknya melepaskan harapan untuk menewaskan Saifullah. Tetapi dengan sabit masih di tangan, dia mara ke arah Mansur, pastinya untuk menyempurnakan misi.

              Perasan dengan tindakan tersebut, Saifullah bangkit dan memecut ke hadapan sebelum mencampakkan dirinya, menerkam penyerang tersebut dan berguling bersamanya. Leher penyerang itu dibalut lengannya.

              Saifullah dilihat mahu membuatkan penyerang itu pengsan.

              Tanpa disangka-sangka, bunyi deruman motor kedengaran. Sebuah motosikal berkuasa tinggi kelihatan membelah hujan meredah lorong tersebut. Penunggangnya tanpa amaran mengeluarkan pistol daripada jaket, dan memuntahkan peluru meragut nyawa penyerang-penyerang tersebut, sebelum berhenti tidak jauh dari Saifullah.

              Mata Saifullah terbeliak sementara lawan terkulai di atas tubuhnya.

              Penyerang bermotosikal itu mula mengacukan senjatanya ke arah Saifullah, tetapi Saifullah dilihat lebih tangkas berguling. Tembakan tersebut hanya menjamah jalan. Saifullah mahu mara bagi menghentikan serangan penunggang motosikal itu, tetapi kemudian Mansur melihat penunggang tersebut menghalakan pistol ke arahnya.

              Mata Mansur membulat dan tergamam.

              “Nan … nanti!” Mansur cuba merayu, tetapi jelas sia-sia.

              Penunggang motosikal mula menarik picu.

              Tanpa berfikir panjang, Saifullah tiba-tiba melompat dan menjadikan tubuhnya sebagai perisai.

              BANG!

              Belakang tubuhnya menyambut peluru tersebut.

              “Aaarrghh!”

Saifullah terdorong ke hadapan dan jatuh betul-betul di atas Mansur.

              Keadaan ini menyukarkan penunggang motosikal untuk menamatkan nyawa Mansur dari atas kenderaannya. Penunggang motosikal itu seperti mahu turun, tetapi kemudian bunyi siren polis membatalkan niatnya.

              Dengusan kedengaran, sebelum dia memusingkan motosikalnya dan bergerak meninggalkan tempat itu.

              Degupan jantung Mansur masih belum reda, dan dapat dirasai Saifullah.

              “Al … alhamdulillah.”

Saifullah cuba mengukir senyuman.

Namun, perlahan-lahan, segala-galanya menjadi gelita.