BERONTAK 2

Perkarangan Madrasah Taujih Ruhiyyah semakin jauh ditinggalkan. Beberapa santri junior melambai-lambai kepada Amru. Amru sekadar mengangkat tangan, namun tidak dapat memaniskan roman wajahnya yang sugul.

              Perlahan-lahan Taujih Ruhiyyah menghilang di balik belantara.

              Amru memandang ke tempat pemandu. Seniornya, Khalid, sedang tekun memandu, membawa mereka keluar dari belantara ini.

Untuk ke Kota Lemuria, dia perlu pertamanya ke jeti, kerana tempat itu tidak berhubung dengan kawasan ini melalui jalan darat. Kemudian, Amru akan menempuh perjalanan air yang memakan masa sekitar dua hari, sebelum tiba ke kota tempat lahirnya itu.

              “Bonda Amru ada di sana. Jaga dia sebaiknya. Tiada yang lebih bererti pada saat ini buat bondamu itu, melainkan Amru ada di sisinya.”

Suara Buya bergema, terngiang-ngiang dalam ingatan. Amru menghela nafas.

              “Semuanya akan baik-baik sahaja, Amru.”

Khalid yang perasan dengan kesugulan yang dipamerkan Amru, cuba untuk menyalurkan kekuatan. Tangan kirinya menyentuh bahu Amru, sambil pandangan fokus ke hadapan.

              Selepas beberapa ketika, mereka semakin meninggalkan kawasan belantara. Akhirnya lautan luas mula terpampang di hadapan mata. Perlahan-lahan kereta diparkir berhampiran sebuah jeti. Kelihatan ramai juga manusia berada di sini. Semuanya pasti mahukan perkhidmatan pengangkutan untuk ke tempat lain.

              “Ini kali pertama saya tinggalkan Taujih Ruhiyyah, bang.” Amru memecahkan sunyi.

              Khalid menghela nafas. Masing-masing belum keluar daripada kenderaan.

              “Ini juga kali pertama saya akan kembali ke Kota Lemuria.”

              Dia belum cukup senior untuk dihantar menyertai misi dakwah yang digalas oleh Santri Terutama. Mereka biasanya terdiri daripada mereka yang telah berusia 30-an ke atas, juga bergantung kepada berapa lama mereka telah berada di Taujih Ruhiyyah, dan tahap ilmu mereka. Buya tidak menghantar sembarangan orang.

              “Bagaimana jika saya sesat di sana? Bagaimana jika kegelapan Kota Lemuria mencengkam diriku?” Bertubi-tubi soalan dilontarkan.

              Khalid segera memanjangkan tangannya, menyentuh bahu Amru.

              “Abang faham perasaan engkau. Tetapi percayalah, Taujih Ruhiyyah akan selalu merindui engkau. Apa sahaja dugaan dan cabaran di sana, engkau tahu Allah ada, dan kami sentiasa ada untuk engkau kembali. Bonda Raudah memerlukan engkau, Amru. Engkau satu-satunya anak yang dia ada sekarang. Bertabahlah, dan laksanakan tugas hakikimu.” Bahu Amru ditepuk-tepuknya lembut.

              Amru terangguk-angguk.

              “Yang abang tak faham …” Khalid menoleh ke satu arah di luar kenderaan. “… yang itu.”

              Amru megerutkan dahi. Dia turut memandang ke arah yang ditunjukkan Khalid. Matanya membesar. Kelihatan Zaharah di situ, tampak sedikit canggung dan cuba menghilangkan mengah. Di sisi santri wanita itu ada sebuah basikal. Pastinya kenderaan itu yang digunakan oleh Zaharah untuk ke mari.

              Khalid ditatapnya, seperti memohon kebenaran. Khalid tertawa dan menggeleng. Kemudian memberikan isyarat supaya Amru pergi kepada Zaharah.

              “Aku uruskan beg engkau. Cepatlah. Nanti bot mahu bergerak pergi.”

              Amru bingkas keluar daripada kenderaan, pergi mendapatkan Zaharah. Dia berdiri sekitar sedepa jaraknya antara mereka. Sedikit kesipuan. Amru menggaru belakang kepala yang tidak gatal.

              “Zaharah? Kenapa …”

              Zaharah terus berasa malu-malu alah dengan tindakan beraninya untuk berada di situ.

              “Zaharah tak tahu … tak tahu nak cakap apa. Cuma Zaharah hanya mahu Amru berjanji …”

              Dahi Amru berkerut. “Janji?”

              “Janji yang Amru akan kembali ke sini. Zaharah doakan Ummi Raudah mendapat kesihatan, dan kalian berdua dapat tinggal bersama di Taujih Ruhiyyah.”

              “Zaharah curi dengar perbualan Amru dengan Buya semalam ya?” Amru tersengih.

              Zaharah senyum sumbing. Pipinya menjadi kemerah-merahan. Dia lantas tunduk. “Takdir, Zaharah terdengar.”

              “Insya-Allah, nak ke mana lagi Amru sama Bonda?”

              “Zaharah nak bagi Amru.”  Zaharah mengeluarkan satu lipatan kertas dari poket bawah baju kurungnya, lalu diberikan ke tangan Amru.

              “Erm …”

Jeda sepi mengisi ruang antara mereka berdua. Zaharah menoleh ke satu arah, Amru pula menoleh ke satu arah yang lain. Tetapi kemudian Amru memberanikan diri, lalu menatap Zaharah.

              “Zaharah …”

              Zaharah segera memandang ke hadapan. Pandangan mereka bertaut.

              “… apabila Amru pulang kelak, kita beritahu Buya akan hubungan kita.”

              Wajah Zaharah menjadi lebih merah. Namun, dia menggagahkan diri untuk tidak menundukkan wajah. “Hubungan kita?”

              “Ini semua.” Amru mengangkat lipatan kertas. “Kita tidak patut berhelah lagi akan perasaan sesama kita.”

              Zaharah terdiam. Tubuhnya hampir sahaja menggigil. Bibirnya mahu menggores senyuman, tetapi ditahan.

              “Zaharah pulang dahulu. Selamat jalan. Assalamu’alaikum.”

              Zaharah berpaling, dan menolak basikalnya buat beberapa ketika, sebelum menaikinya dan bergerak meninggalkan tempat tersebut.

              Mata Amru menghantar Zaharah pergi. Semakin lama semakin jauh.

              “Ehem, ehem.”

              Amru sedikit terkejut, dan baru perasan Khalid sudah berada di sisinya dengan pandangan menyakat dan senyum senget.

              “Apa, bang?” Amru tersengih.

              “Engkau ingat, apabila engkau kira satu sampai sepuluh, Zaharah akan berpusing pandang engkau? Ini bukan cerita Hindustan-lah.” Belakang tubuh Amru ditepuk.

              Amru tertawa.

              “Sudah, terlepas bot engkau nanti. Nah.” Beg disampaikan kepada Amru.

              Amru memandang ke jeti. Bot yang dimaksudkan oleh Khalid dapat dilihatnya. Tulisan ‘Kota Lemuria’ terpapar pada dinding bot.

              “Ingat pesan Buya sebelum engkau tinggalkan dia tadi?” Khalid memakukan pandangan pada wajah Amru.

              Amru mengangguk. “Berjaga-jaga di Kota Lemuria. Kota penuh dengan kebejatan. Pada saat terdesak, jadilah Saifullah, pedang Allah yang gagah.”

              Senyuman Khalid melebar. “Engkau ini tidak lama lagi pasti akan menjadi sebahagian dari Santri Terutama.”

              “Apakah saya akan bertemu mereka di sana?”

              “Sejak bonda engkau gering, Buya telah memanggil semua Santri Terutama pulang.”

              “Ah, kerana itu Bang Khalid berada semula di Taujih Ruhiyyah.”

              Suasana di antara mereka sepi seketika.

              “Sudahlah. Dengan nama Allah, melangkahlah Amru. Engkau berada dalam lindungan-Nya.” Khalid menepuk dadanya.

              “Bang Khalid juga berada dalam lindungan-Nya.” Amru turut menepuk dadanya.

***

Amru sudah selesa duduk di dalam bot. Bot itu tidak sebesar feri, hanya muat-muat untuk sekitar 30 penumpang. Tetapi ia punya bumbung dan tempat duduk yang selesa, memandangkan perjalanan mereka jauh. Tinggalnya ia tidaklah terlalu eksklusif sehingga mempunyai tempat tidur. Penumpang perlu sudi tidur sambil duduk.

              Sesuatu yang bukanlah sukar buat Amru, memandangkan dia membesar di Taujih Ruhiyyah, yang tidaklah terlalu memanjakan santri-santrinya dengan kemewahan.

              Perlahan-lahan Amru mengeluarkan lipatan kertas yang dititipkan Zaharah kepadanya.

              Jika benar cinta, hendaklah membawa ke syurga. Apa-apa yang melempar ke neraka, bukan cinta namanya. Jika benar cinta, sampaikanlah. Moga kita bersatu di bawah redha-Nya. Semoga Amru berada dalam lindungan-Nya.

              Amru tersenyum sendiri.

              “Insya-Allah, Zaharah, insya-Allah.”

***

“Bagaimana semua ini boleh berlaku?”

Suaranya kedengaran bergetar. Jelas disulami amarah. Dia menjegil ke arah seorang pemuda, yang berlumuran darah.

              Wajah pemuda itu bengkak pada pipi kanan. Bajunya lencun dikotori warna merah pekat. Dia sedang duduk, sambil bahu kanannya diperhatikan seorang wanita. Sesekali dia mengaduh kesakitan apabila wanita tersebut cuba merawatnya.

              “Mujur peluru tembus ke belakang. Kalau tersekat di bahu, pasti jauh lebih sakit.”

Wanita itu bersuara, sambil sekali-sekala membawa rambutnya yang jatuh di hadapan wajah untuk kembali ke belakang. Kain kasa mula membaluti bahu pemuda tersebut yang kini tersengih kelat.

              Pemuda itu menatap semula lelaki di hadapannya.

              Wajah lelaki itu masih tegang dan matanya masih bulat memerhatikan keadaan tempat tersebut.

              “King, aku dan Dido macam biasa, memancing di sini. Luang masa lapang. Tiba-tiba, kami kena serang!”

              “Engkau nampak penyerang engkau siapa, Muji?”

Lelaki bergelar ‘King’ itu mencekak pinggang. Sekali-sekala dia mendengus. Jelas dia tidak berpuas hati dengan apa yang terbentang di hadapannya.

              Kelihatan sekujur tubuh kaku, terkulai dan berlumuran darah di tebing sungai. Seorang lelaki berjaket hitam sedang memerhatikan mayat tersebut. Pada leher lelaki tersebut, tergantung sekalung loket bersaiz sederhana.

              “Bagaimana, Adit?”

              “Memang serang hendap, King.” Lelaki berjaket hitam itu separuh melaung. “Dia dipukul berkali-kali dengan batu ini.” Adit menunjukkan batu sebesar lima kali ganda penumbuk yang terdapat di situ.

              “Kemudian, Muji, engkau tengok sahaja?” Perhatian King kembali kepada pemuda yang sedang dirawat bernama Muji.

              “Aku teruslah keluarkan pistol, King. Tetapi pergerakannya terlalu pantas. Batu itu dilepaskan dan tangannya seperti kilat menyambar pistolku.”

              “Kemudian engkau menjadi mangsa senjatamu. Alangkah malunya!” King meludah. “Siapa yang berani melakukan hal ini? Tambah-tambah pada saat genting sebegini?”

              Soalan King tidak berjawab.

              Adit kembali ke sisi King. King perasan Adit memegang loket pada lehernya, membuka loket tersebut dan memerhatikan sesuatu buat sejenak, sebelum mengatupnya semula dan kembali memberikan perhatian kepada apa yang berlaku.

              Muji kekal membisu. Adit juga tidak bersuara. King menghela nafas panjang.

              “Sudah, Adit, Muji. Pastikan tempat ini dibersihkan. Buang mayat Dido. Siapa yang bertanggungjawab ini nampaknya telah mendeklarasikan perang terhadap kita. Berani dia meragut nyawa orang kanan aku!”

***

Dia menapak perlahan-lahan. Walaupun tempat ini dipenuhi manusia, suasana senyap seperti ada sesuatu yang menyelimuti keadaan. Beberapa jururawat dan doktor kelihatan bergerak dari katil ke katil, melayani dan merawati pesakit.

Dia meneruskan perjalanan, melepasi tirai demi tirai, ada yang tertutup, ada yang terbuka, sekali sekala mengintai nombor yang terpapar pada setiap bahagian tersebut.

              Sehinggalah dia tiba pada nombor yang dikehendaki. Tirai yang memisahkan antara katil pesakit, diselaknya perlahan-lahan.

              Seorang wanita yang sudah mencecah usia separuh abad kelihatan lena terbaring di atas  katil tersebut. Wanita itu bertudung litup, tetapi jelas terlalu ala kadar, mungkin sekadar cuba untuk menjaga auratnya sebaik mungkin, dalam keadaan terpaksa berada di hospital dan mengenakan gaun pesakit.

              Dia menghela nafas panjang. Wajah wanita itu ditatapnya puas-puas, sebelum langkah diteruskan. Kerusi di sisi katil tersebut menjadi destinasi. Punggung dilabuh, tangan wanita itu segera dicapai, sebelum bibirnya dan kulit wanita itu bertemu.

              Kucupan penuh kasih.

              “Assalamu’alaikum, bonda, Amru datang.”

Perlahan Amru bersuara. Ada getaran yang tidak mampu untuk diterjemahkan. Walaupun dia tahu Bonda sedang lena dan tidak mendengar, jauh dalam hatinya berharap salam itu menjadi doa kepada ratu jiwanya itu. Hatinya seperti ditusuk-tusuk sembilu apabila melihat tangan bondanya dicucuk jarum yang bersambung kepada beberapa saluran tiub.

              Perlahan-lahan Amru mengucup dahi Raudah. Tubir matanya mula bergenang. Tangan Bonda digenggam lebih erat, sebelum dia duduk semula.

              “Amru sudah kembali, bonda. Maafkan Amru kerana lambat untuk berada di sisi bonda.”

              Sekali lagi tangan Bonda dikucupnya sepenuh perasaan. Dia dapat merasakan bahawa tubuh bondanya lemah. Tangan Bonda dirasakan kurus. Jiwanya kegalauan.

              “Ya Allah, berikanlah kesakitannya kepadaku. Aku rela mengantikan tempatnya!”

              Setelah sekian lama tidak bertemu, untuk menatap Bonda sebegini rupa, hatta binatang juga akan mengalirkan air mata. Mereka berdua telah lama berpisah, semenjak Bonda membuat keputusan untuk meninggalkan Taujih Ruhiyyah dan kembali ke Kota Lemuria.

              “Bonda mahu cari Amri. Bonda tidak tenang mengenangkan nasibnya yang entah bagaimana.”

              “Apabila pengajian Amru di sini selesai, Amru akan berada di sisi bonda. Amru janji. Kita akan sama-sama cari Amri.”

“Apabila dada sudah sarat dengan isi kitab nan membumi, pulanglah ke sisi bonda, Amru.”

Amru masih ingat akan dialog tersebut. Senyuman Bonda juga masih kekal terpahat dalam memori. Ketika itu, dadanya disentuh lembut, sebelum tangan yang sama memberi lambaian selamat tinggal kepadanya.

              Terlalu pantas masa berlalu.

              Amru menunduk. Air matanya tumpah jua. Setitik demi setitik menitis pada lantai hospital. Dia mengenangkan betapa gembiranya dia tinggal di Madrasah Taujih Ruhiyyah, tidak menyangka Bonda sedang menanggung derita sebegini rupa. Terlupa dia bahawa masa yang pergi tidak akan kembali, dan bondanya hanya akan semakin berusia, bukan semakin muda.

              Berapa lama masa yang ada untuk dia berbakti terhadap satu-satunya orang tuanya ini?

              Tiba-tiba, Amru merasakan ubun-ubunnya dielus lembut. Spontan Amru mengangkat kepala. Mata Bonda masih terpejam, tetapi bibir bondanya itu bergerak-gerak.

              “Amru sudah balik? Sudahkah penuh dada Amru dengan isi kitab nan membumi?” Perlahan suara itu kedengaran, sedikit serak.

              Amru memaniskan roman wajah dengan senyuman selebar mungkin. Berusaha untuk kuat dan tidak menambah kerisauan bondanya.

              “Bondalah kitab hidup awal dan akhir Amru.” Tangan Bonda dipegang kuat. Seperti tidak akan dilepaskan lagi buat selama-lamanya.

              Mata Raudah terbuka. Pandangan mereka bertemu. Senyuman terukir pada bibir bondanya itu, menghiasi wajah yang pucat lesu.

              “Selamat sejahtera …” Satu suara mencelah, serentak dengan bunyi tabir yang diselak perlahan.

              Seorang lelaki melangkah masuk. Daripada pakaiannya, jelas mempamerkan dia seorang doktor. Dia diiringi seorang wanita berpakaian jururawat. Jururawat itu terus bergerak ke sisi Raudah, dan melakukan pemeriksaan rutin.

              Amru bangkit dan berdiri betul-betul di hadapan doktor seusai doktor tersebut mencatit sesuatu pada halaman fail yang dibawanya. Doktor itu memandang Raudah sebelum mengalihkan matanya kepada Amru.

              “Anda?”

              “Oh, saya anaknya.”

              “Ah, akhirnya, ada juga waris pesakit. Sementara jururawat buat pemeriksaan rutin kepada mak encik, bolehkah kita berbincang sesuatu di dalam bilik saya?”

Belakang bahu Amru disentuh doktor dengan lembut. Perlahan Amru melayarkan pandangannya ke arah Raudah.

              Bonda mengangguk perlahan.

***

Amru termanggu di tempat menunggu. Terlalu ramai pesakit, ada yang bersama keluarga, ada yang keseorangan, sedang menanti giliran masing-masing untuk bertemu dengan doktor. Tetapi tidak Amru. Dia sudah bertemu dengan doktor. Tetapi dia tidak segera kembali ke wad tempat bondanya berada.

              “57,000 deus, doktor?”

              Amru memandang doktor yang duduk di hadapannya. Jelas doktor tersebut pun keberatan hendak menyampaikan berita tersebut. Seketika tadi, doktor itu telah menyampaikan berita baik dan berita buruk.

              Berita baik, Bonda masih boleh diselamatkan dengan pembedahan.

              Berita buruk, kos pembedahan tersebut memakan belanja sebanyak 57,000 deus.

              Di manakah dia mahu mencari duit sebanyak itu?

              “Saya hanya menjalankan prosedur. Mak encik ada peluang yang cerah. Cumanya, maaf saya sebut di sini, saya perlu berterus terang. Semakin lama pembedahan ini ditangguh, semakin kelam harapan kita untuk melihat mak encik selamat. Pelbagai komplikasi lain yang lebih membahayakan nyawanya akan muncul jika kita lewat menguruskan hal ini. Saya hanya mampu mendoakan encik mampu usahakan agar pembedahan ini dipercepatkan.”

              Bicara Amru mati. Tersekat di kerongkong. Dia mahu berkata sesuatu, tetapi tidak mampu. Bibirnya sahaja bergerak menyebut istighfar berkali-kali. Terasa sungguh kekerdilan dan lemahnya diri. Harapan untuk Bonda selamat telah berada di hadapan mata, tetapi mereka diuji pula dengan ketidak mampuan menyediakan duit untuk itu semua!

              Amru mengepal kedua-dua penumbuknya dengan erat.

              “Sementara menunggu pembedahan dapat dilakukan, saya syorkan encik dapatkan ubat-ubatan yang saya senaraikan ini. Encik perlu beli di farmasi yang terletak di hadapan hospital. Ini supaya keadaan mak encik terkawal, dan komplikasi yang saya nyatakan tadi tidak berlaku dalam keadaan lebih pantas sebelum encik mampu menampung kos pembedahannya.”

              Amru bangkit daripada tempat duduknya.

              Tidak dapat tidak, dia perlu mencuba untuk mendapatkan ubat-ubatan Bonda. Walaupun hatinya pesimis bahawa dia mampu menanggung kos ubat-ubatan tersebut.

              Berat dia melangkah keluar dari perkarangan hospital.

              Terik mentari menyengat tubuh, sehingga dia terpaksa mengangkat tangan untuk memberi perlindungan kecil kepada mata dan wajah. Keadaan kota nyata berbeza dengan belantara tempat Taujih Ruhiyyah berada. Di sana nyaman lagi tenang. Di sini, panas dan bingit.

              BUK!

              “Hoi, tak nampak?”

Amru diherdik. Kerutan pantas terukir pada dahi. Dia menghujamkan pandangan melihat lelaki berjaket hitam dan berloket di hadapannya.

              Wajah lelaki itu menyinga.

              Jika mahu diikutkan hati Amru, mahu sahaja dibuka tari seni tempurnya di sini. Tetapi ajaran Buya terlalu utuh bersemi di dalam jiwanya. Istighfar mula menari di bibir, dan langkahan diteruskan.

              Lelaki itu turut meneruskan perjalanan.

              Kota ini benar-benar mengujinya.

***

Telefon pintarnya mengeluarkan runut bunyi. Segera diseluk saku jaket. Telefon pintar tersebut dirapatkan ke telinga.

              “Adit, bagaimana?”

              “Aku telah luaskan parameter pencarian. Tetapi aku tak jumpa apa-apa tanda langsung.”

              “Celaka. Apakah penyerang Muji dan Dido hebat sebegitu rupa? Mampu melenyapkan jejaknya? Engkau penjejak terbaik yang kita ada.”

              Adit mendengus. Sudahlah dia sudah sedia terganggu dengan pembunuhan Dido, kemudian seorang lelaki yang kelihatan seperti orang agama pula berlanggar dengannya sebentar tadi, dan kini King mahu mencadangkan ada individu terlalu hebat sehingga dia gagal mencarinya?

              Seperti meletakkan garam pada luka!

              “Aku akan terus menyiasat, King.”

              Telefon pintar dimasukkan semula ke dalam saku jaket hitamnya.

              Sebuah van putih muncul tidak lama kemudian. Pintu terbuka. Adit tidak berlengah, terus masuk.    Van mewah itu berlalu dari kawasan tersebut.

***

“Ubat ini makan tiga kali sehari, setiap kali selepas makan. Ubat ini makan dua kali, sebelum makan. Ubat ini pula, pastikan dimakan dua biji sehari, tak kisah waktu bila.”

Ahli farmasi bersuara lembut, menyebut berkenaan tiga ubat terakhir kepada Amru. Amru mengerutkan dahi melihat timbunan ubat di meja kaunter. Wanita di hadapannya itu diperhatikan dengan kerutan bergayutan pada dahi. Ada lima jenis ubat yang diperlukan Bonda.

              “Banyaknya.” Teragak-agak dia mahu menuturkan kalimah seterusnya, tetapi terpaksa jua. “Berapa semua ini?”

              “345 deus, encik.”

              Amru menelan liur sebaik sahaja jumlah tersebut menggegarkan gegendang telinganya. “Mahalnya…”

Perlahan ayat itu meluncur daripada bibir. Tetapi tetap dapat ditangkap oleh ahli farmasi tersebut. “Encik cakap apa?”

              Amru serba salah. “Tak, maafkan saya Cik …”

Amru mencari-cari sesuatu. Akhirnya, dia berjaya melihat keberadaan tag nama pada bahu wanita tersebut. Siapa yang memakai tag nama pada bahu? Terlintas soalan itu dalam benak Amru, sebelum soalan itu diabaikan oleh dirinya sendiri.

              “Uchee.” Belum sempat Amru menyambung bicara, ahli farmasi itu lebih pantas. “Nama saya Uchee.”

              “Ya, Cik Uchee. Maafkan saya. Tinggal, saya tidak punya duit sebanyak itu.”

              Ahli farmasi yang berpakaian serba putih, dengan rambut panjang mencecah bahu itu, kini sedang memicingkan matanya yang tadinya bundar. Wajah cerahnnya beriak terkejut.

              “Kalau tidak ada duit tunai, boleh bayar guna kad. Ada kad debit atau kad kredit?” Uchee tidak benar-benar menangkap maksud ayat Amru.

              Amru segera mengeluarkan dompetnya. Dompet usang, yang Bonda kata merupakan tinggalan arwah Ayah. Dompet itu dibukanya. Beberapa wang kertas serta syiling dikeluarkan. Kemudian dompet itu kosong sekosong-kosongnya, tinggal hanya sekeping kad pengenalan.

              “Ini saja yang saya ada.”

              “Hah? Betulkah, encik?”

              Amru mengangguk lemah.

              “Kalau setakat 67 deus, encik dapat ubat ini saja.” Uchee menolak ubat yang perlu dimakan dua biji sehari lebih ke hadapan berbanding ubat yang lain.

              “Tolonglah saya, Cik Uchee. Ini untuk mak saya. Dia di hospital ini. Mak saya perlukan sangat ubat-ubat ini. Cik Uchee bagilah saya semua. Saya janji, insya-Allah, saya akan bayar bakinya apabila berkemampuan nanti!”

Amru merayu, walaupun tahu dia tidak sepatutnya bersikap begitu demi menjaga maruahnya. Tetapi demi kelangsungan nyawa Bonda, apalah sangat maruahnya.

              Ahli farmasi itu tersengih. Daripada riak wajahnya, Amru dapat membaca yang Uchee punya rasa simpati kepadanya. Namun …

              “Bukan saya tak nak tolong, encik. Saya sudah jumpa ramai orang macam encik. Kebanyakannya penipu. Kalau ini farmasi saya, mungkin saya akan bantu. Tetapi saya hanya pekerja di sini. Kalau duit tak tally dengan stok, gaji saya yang akan kena tolak nanti, encik.”

              Amru mengangguk lesu.

              Uchee mengembalikan semula duit yang telah Amru berikan tadi.

              “Maaf ya, encik.”

              Amru sekadar mampu tersenyum kelat sambil mencapai duit tersebut dan memasukkannya semula ke dalam dompet, sebelum berpaling lalu bergerak keluar. Dia sempat menoleh ke arah Uchee, dan wanita itu masih menghantarnya pergi dengan pandangan yang sayu.

              Amru keluar dari farmasi dengan wajah yang kosong.

              Bibirnya kembali beristighfar.

              Jiwanya memerlukan pujukan.

***

“Kau sudah lompat sebelah, kan? Engkau ya yang ambush Dido dan Muji hari ini? Engkau ya yang bunuh Dido?”

Teriakan itu bergema di lorong gelap tersebut.

              “Apa yang engkau cakapkan ni, hah, Adit?”

Lelaki itu dalam keadaan siaga, tetapi berundur sedikit demi sedikit seiring langkahan Adit menghampirinya. Peluh ranik telah membasihi wajahnya. Walaupun begitu, dia cuba untuk tidak mempamerkan ketakutan. Walaupun hanya Tuhan yang tahu betapa dada mahu meletup dengan kepantasan degupan jantungnya sekarang.

Di belakang Adit, dia dapat melihat lima rakannya yang lain sudah terkulai.

              Ada yang separuh tubuh di dalam tong sampah, ada yang terkujur di atas lorong, ada yang tersangkut pada dinding jalan. Patah tangan, patah kaki. Ada tulang yang tersembul keluar.

              Dia tidak mahu menerima nasib yang sama.

              “Itu semua bukan orang kita. Aku kenal orang kita.” Adit mengeluarkan pistol dari dalam jaket. “Engkau pengkhianat, Zuza!”

              “Engkau sudah gila, Adit. Engkau tidak tahu apa yang engkau nyatakan!”

Zuza dengan tangkas  memberanikan diri melangkah ke hadapan sebelum Adit sempat meluruskan tangannya. Kedua-dua belah tangan Zuza memanjang, senjata Adit dirampas dengan tangkas sebelum diacukan semula ke arah tuannya.

              Zuza tersengih. Adit mengangkat kedua-dua belah tangannya.

              “Hah, engkau mahu kata apa sekarang, Adit? Nyawa engkau kini berada di hujung ihsan aku!”

              “Jadi, engkau tidak khianat?”

              “Heh, memandangkan nyawa engkau bakal berakhir, aku kongsi satu rahsia dengan engkau, Adit. Era King akan berakhir. King mungkin berjaya menumbangkan Oyabun, tetapi King perlu tahu dia ada saingannya.”

              Adit mengerutkan dahi. “Maka, betullah engkau yang membunuh Dido dan menyerang Muji?”

              “Itu aku jujur. Aku tidak melakukannya.”

              Adit mendengus. “Celaka …” Berdesir perkataan itu daripada bibirnya.

              “Heh, engkau hanya menjolok sarang lebah dan tidak pun dapat madunya. Alangkah rugi. Sekarang mampus kau ke alam baqa!” Zuza menarik picu. Tetapi tidak ada das tembakan terlepas daripada muncung pistol.

              Zuza mengerutkan dahi. “Apa …”

              Belum sempat Zuza bertindak, wajah Adit kini betul-betul berada di hadapan wajahnya.

“Engkau fikir aku akan bagi engkau pistol berpeluru, Zuza?”

Wajah Adit kemudiannya menghentam wajah Zuza. Darah keluar dari rongga. Belum sempat tubuh Zuza terundur, tangan kanan Adit lebih pantas mencengkam leher lelaki itu.

              “’Tangan Pantas’, Zuza. Itu gelaran engkau. Kerana itu aku menyangka apa yang menimpa Muji dan Dido, engkau punya angkara. Tetapi nampaknya tidak.”

              Zuza cuba bersuara, tetapi cengkaman Adit terlalu kuat. Halkumnya seperti terperosok ke kerongkong, menghalang dia untuk mendapatkan udara dan bersuara.

              “A … dit.”

              “Aku ingatkan aku telah berjaya merungkai misteri ini. Celaka!”

Adit menghempas tubuh Zuza. Terbatuk-batuk Zuza di tanah. Tidak sempat lelaki itu berbuat apa-apa, Adit terus membelasah Zuza tanpa belas kasihan. Bertubi-tubi, tidak berhenti.

              “Celaka, celaka, celaka!”

Darah berhamburan membasahi tanah. Kedua-dua penumbuk Adit basah, demikian sebahagian daripada pakaiannya, lencun.

              “Aaarrgh!”

Selepas puas, Adit menjarakkan diri. Zuza sudah terkulai tidak bermaya. Nyawa lelaki itu sudah berada pada penghujung. Adit yakin Zuza akan mati sendiri, kerana mustahil bantuan akan tiba buatnya.

              Adit berpaling, menuju ke van mewah di penghujung lorong. Sambil berjalan, perlahan-lahan dia mengesat kedua-dua penumbuknya pada jaket, sebelum mencapai loket pada dada. Loket itu dibukanya sebentar, sebelum ditutup semula.

              Adit mendengus kasar.

***

“Amru?”

              Amru tersentak. Dia yang terlelap sebentar di sisi Bonda, mula terpisat-pisat menegakkan tubuh, dan memberikan sepenuh perhatian kepada Raudah. Bibirnya beristighfar, menyambung aktiviti sebelum dia terlelap, kemudian menuturkan kalimah yang lain.

              “Ya, bonda?”

              Raudah kelihatan tersenyum. Kemanisan senyuman tersebut seperti mahu melawan pucat wajahnya.

              “Amru sudah bosan?”

              Amru tertawa kecil. “Bosan dengan bonda? Mustahil. Insya-Allah, tak akan Amru rasa begitu terhadap bonda. Bonda ladang amal buat Amru.”

              Raudah menggeleng lemah. “Bukan dengan bonda, tetapi dengan Allah. Jangan engkau pernah bosan dengan Dia, wahai anakku.” Pipi Amru diusapnya lembut.

              Amru tersentak.

              “Bonda tahu masalah yang sedang kita hadapi. Pencarian Amri. Kesihatan bonda. Kewangan kita. Engkau sedang resah mencari solusi. Tetapi ketahuilah, Amru, Dia tidak pernah bosan mendengar dan mengabulkan hajat hamba-hamba-Nya. Pengaduan, harapan dan rintihan kita hamba-hamba-Nya ini, sentiasa didengari!” Usapannya terhenti, namun telapak tangannya kekal pada pipi kanan Amru.

              Panjang helaan nafas keluar dari rongga hidung Amru. Matanya cuba selembut mungkin memandang Bonda. Tangan bondanya dipegang erat dengan kedua-dua belah tangan.

              Perlahan Amru mengangguk.

              “Amru tidak pernah bosan dengan Allah, bonda. Amru tidak akan berputus asa. Terima kasih ingatkan Amru.”

              Amru bangkit dari kerusi.

              “Engkau mahu ke mana pula tu?”

              Dia menoleh memandang Bonda. Senyuman nipis dilemparkan.

              “Amru mahu cari kerja. Mana tahu ada yang sudi terima. Tadi petang Amru perasan ada pasar malam tidak jauh dari hospital ini. Amru akan tanya kepada semua peniaga. Mungkin ada yang berbesar hati mahu memberikan Amru kerja, sekurang-kurangnya untuk menampung kos ubat-ubatan bonda.”

              Raudah melebarkan senyuman.

              “Semoga Amru berada dalam lindungan-Nya. Begitulah anak bonda.”