Gelombang 5

Enta suka bola tampar?”

              “Ana bukan ahli sukan, abang.”

              “Tak pernah main apa-apa sukan?”

              “Pernah, main bola sepak. Tapi asyik kena kutuk dengan kawan-kawan sebab tak reti main. Kaki bangku, orang kata.”

              “Kenapa tak mahu cuba lagi?”

              “Malaslah, asyik kena kutuk saja.”

              “Kalaulah Rasulullah SAW itu lemah semangat sebab asyik kena kutuk, nikmat iman dan Islam yang kita rasai hari ini tidak sampailah kepada kita, tahu.”

              “Ala, bang, itu Rasulullah SAW. Dah tentu-tentu berbeza. Mana boleh banding dengan ana yang serba kekurangan ini.”

              Mereka berdua tertawa.

              “Tapi kita ambil pengajaran daripada Baginda. Jadi, macam mana? Hendak mencuba?”

              “Tapi ana tak tinggi macam Abang Jepah atau Abang Syu’bah.”

              “Tak mengapa. Aiman itu sepupu enta, kan?”

              Mengangguk.

              “Dia agak tinggi, enta dari keluarga yang sama, mesti boleh. Syu’bah, Jepah dan Aiman itu waktu tingkatan satu pun pendek-pendek macam enta juga.”

              “Yakah?”

              “Ya. Takkan ana hendak tipu.”

              Mereka ketawa bersama-sama lagi.

              “Tapi ana tak reti main. Serius. Ana memang tak berbakat dalam sukan-sukan ni.”

              “Jangan kata macam itu.”

              “Masa sekolah rendah, ana main apa pun tak menjadi.”

              “Sekarang enta sudah sekolah menengah.”

              “Tapi ana kan tetap ana. Tak ada yang berubah.”

              “Itu kerana enta tak mahu ambil risiko. Risiko perubahan. Enta kena tahu, apabila seseorang manusia itu berusaha untuk berubah, maka Allah akan bantu dia ubah diri dia.”

              “Allah akan tolong? Kita tengah sembang fasal main bola tampar, bukannya ibadah atau berjihad. Takkan Allah nak tolong ana dalam hal bersukan?” Dia rasa lucu dengan perkara itu.

              Namun, senior itu menggeleng sambil tersenyum lebar.

              “Seluruh hidup kita adalah pengabdian kepada Allah SWT. Bersukan juga tidak terkecuali. Menyertai kejohanan juga begitu. Sukan ialah ibadah, dan apabila kita sertai kejohanan, kita memikul syiar Islam pada bahu kita. Kita masuk pertandingan hendak tunjuk imej Islam yang baik kepada masyarakat. Itu juga ibadah dan jihad.”

              “Yakah?” Dia menggaru kepala yang tidak gatal.

              “Jadi, apa lagi, jomlah.” Belakang tubuhnya ditepuk.

              “Kalau ana tak reti main, Abang Faiz jangan kutuk ana pula.”

              “Haha. Kutuk? Sekali-kali tidak. Bahkan, enta ana akan latih sendiri.” Tersenyum gembira.

“Ana tak berapa mesra sangat apabila orang panggil ana abang. Bukan nak suruh tak ada adab. Hanya keselesaan ana sendiri. Panggil ana Faiz sahaja.” Senior itu menghulurkan tangan.

              Tangan itu disambut. “Baik, Faiz sahaja.”

              “Pandai buat lawak, eh.”

              Mereka ketawa kuat bersama-sama.

Tangan kiri pantas menutup mulut yang menguap. Mengantuk. Ditambah pula dengan suasana pagi yang agak sejuk, keinginan untuk ke katil menyambung lena amat membuak-buak, tetapi ditahannya. Jadual Berkala perlu dihafal untuk dia dapat memperbaiki kelemahannya dalam subjek Kimia.

              Walaupun benci kerana terpaksa mengambil aliran Sains, Arjuna sebenarnya berusaha dan tidak mengalah. Namun tidak dinafikan, hal itu memberikan tekanan kepadanya.

              Kerana dia telah mencuba dan mencuba dan mencuba.

              Kadangkala, dia menangis berseorangan kerana tidak ada yang memahami. Hanya kerana dia mendapat 9A, orang menganggap dia mampu. Masalahnya, dia tidak minat aliran Sains. Mengapa dia dipaksa? Bukan sahaja oleh bapa, tetapi juga guru-guru yang menganggap potensinya besar di aliran Sains.

              Sukar dia hendak meluahkan perasaannya, ibarat ditelan mati bapa, diluah pula mati emak. Tambah pula, di tengah-tengah keserabutan itu, kenangan lama hinggap.

              Faiz Musa.

              Alangkah indahnya saat itu semua. Kalaulah boleh kemba …

              “Mengantuk, Abang Arjuna?”

Satu suara menyapa, memotong lamunan. Arjuna menoleh. Kenal dengan suara itu. Suara Malek. Arjuna tersenyum lalu mengangguk. Kemudian, dahinya berkerut.

              “Tak ada latihan hari ini?”

              Malek mengangguk. “Mestilah ada. Tapi pukul 7.30 nanti. Sekarang baru pukul tujuh, kan?”

              “Oho …” Arjuna kembali menatap kertas pada tangan. “Macam mana latihan setakat ini? Enta boleh buat tak?”

              “Boleh, insya-Allah.” Malek menundukkan wajah, dengan bibir sedikit muncung.

              Sekali lagi dahi Arjuna berkerut. “Apa hal? Macam tak seronok?”

              Malek tersengih. “Emm, separuh-separuh. Coach Hussam itu baik saja. Latihan-latihannya pun bagus, walau kadang rasa keras dan ketat. Tapi pemain-pemain lain macam tak beri komitmen. Mereka asyik merungut, membebel, mengumpat coach. Kemudian, mereka selalu sangat mengutuk ana. Mentang-mentang ana tak nak terlibat dengan sikap-sikap buruk mereka.”

              “Ooo …” Arjuna buat-buat seakan perkara itu tidak penting. Kembali menatap Jadual Berkala pada tangan.

              Sembang antara mereka menjadi mati seketika.

Suasana musolla diisi dengan bacaan al-Quran oleh beberapa orang pelajar yang tidak memilih untuk balik ke asrama atau tidur di musolla. Sekali sekala, kedengaran juga dengkuran beberapa orang pelajar yang sudah terlentang di musolla itu. Sememangnya, selepas solat Subuh dan sesi pembacaan al-Quran waktu pagi pada hujung minggu, ramai pelajar MATRI akan menyambung tidur mereka. Ada yang balik ke asrama menyambung lena di katil, dan ramai juga yang terus sambung tidur di tempat solat.

              “Abang Arjuna, betul tak nak main bola tampar lagi?”

              Arjuna senyap. Dia tidak memandang Malek. Matanya lekat pada formula-formula yang terdapat pada kertas yang mempunyai Jadual Berkala tersebut.

              “Maaflah kalau soalan-soalan ana buat Abang Arjuna tak senang.”

              Arjuna menghela nafas, sedang Malek menarik nafas lega.

              “Ana bukan apa. Ana benci dengan orang-orang yang tidak berdisiplin. Ana sudah puas dengan masalah akademik yang ana perlu hadap, masalah keluarga lagi. Ana tak mahu tambah masalah ana dengan sampah-sampah dalam pasukan bola tampar.” Arjuna meluah, perlahan tetapi suaranya ditekan menggambarkan perasaan yang tidak terlukis. Jelas, dia cuba menghormati musolla sebagai tempat solat, dan tidak meledakkan amarahnya di sini.

              Malek senyap. Pemain-pemain bola tampar memang bermasalah. Namun begitu, tidak boleh juga disalahkan mereka secara terus. Masing-masing juga mempunyai masalah tersendiri. Kalau Arjuna mempunyai masalah dengan keluarga dan pelajaran, sebelas orang pemain lain juga ada masalah akademik yang teruk serta masalah disiplin yang kritikal. Beberapa orang turut mempunyai masalah dengan keluarga, seperti Megat, Thoriq, Faisal dan Amirul.

              Pasukan bola tampar juga pernah dicop sebagai kumpulan gelap. Boleh dikatakan pelajar paling bermasalah berada dalam pasukan bola tampar. Ahli pasukan sukan itulah yang sering tidur di dalam kelas, lewat ke aktiviti sekolah, tidak berpakaian lengkap ke kelas, membuli pelajar lain, mencuri makanan di dewan makan, bergaduh, keluar asrama tanpa kebenaran dan pelbagai lagi masalah.

              Mudah cerita, masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Semua ada sebab yang menjadikan diri mereka seperti hari ini. Sebab itulah Malek sentiasa menenangkan hatinya, bersabar dan cuba bertolak ansur. Sekurang-kurangnya, Allah tidak mengujinya dengan masalah seperti pemain-pemain bola tampar yang lain.

              Dia ada empati.

              “Ah, Malek, enta pergilah latihan. Dekat pukul 7.30 ni. Tak baik lewat-lewat. Pemain yang baik, kena sampai 10 minit awal sebelum waktu latihan bermula.” Arjuna menegur.

Itu juga sebagai isyarat untuk Malek menghentikan perbualan antara mereka.

              Malek tersenyum nipis.

Arjuna memang terkenal dengan disiplinnya yang tinggi. Sebab itulah, walaupun ramai yang tidak menyukai kekasaran Arjuna, tetap tidak ada sesiapa yang berani merendahkan kelebihannya. Walaupun mempunyai masalah keluarga, masalah pelajaran dan kurang mesra dengan ramai pelajar, Arjuna tetap merupakan pelajar yang ada disiplin yang tinggi, sentiasa berpakaian kemas, serta cuba sehabis baik menepati masa dan mematuhi peraturan sekolah.

Mungkin keadaan itu boleh dikira sebagai pelik. Nampak seperti dua karakteristik yang berbeza. Tetapi itulah Shah Arjuna. Tidak hairan lelaki ini masih mengekalkan jawatannya sebagai pengawas, walau ada kekurangan tersendiri.

              “Baiklah, Abang Arjuna. Kita jumpa lagi nanti ya.”

Malek bangun dan meninggalkan Arjuna. Baru sahaja dia hendak menuruni anak tangga …

              “Malek.”

              Langkahnya terhenti. Dia memandang semula ke arah Arjuna. Senior itu sedang memandangnya.

              “Berlatih elok-elok. Buat yang terbaik.” Arjuna mengangkat tangan kanan, menggenggam penumbuk.

              Malek tersenyum. Terus dia mengangkat ibu jarinya.

              Arjuna tersengih sambil menggeleng.

“Hendak main bola tampar dengan ana, kena berdisiplin. Enta boleh berdisiplin atau tidak?”

              “Boleh. Ana cuba. Insya-Allah.”

              “Itu insya-Allah Melayu atau insya-Allah betul-betul?”

              “Insya-Allah betul-betul.”

              “Bagus. Datang sepuluh minit awal. Kalau lewat dari waktunya, ana hendak enta tekan tubi dua puluh kali. Faham?”

              “Baik!”

              “Bagus. Begitu sepatutnya kita sebagai seorang Muslim. Itu yang Islam ajar kepada kita. Bawa ke mana-mana sikap ini.”

              “Baik, Faiz!”

Arjuna tersenyum sendiri mengingati hari-hari lalu.

              Faiz Musa.

Masa pantas berlalu.

Arjuna menghela nafas panjang. Kemudian, dia menggeleng sebelum menguap lagi. Masih mengantuk. Semalam dia tidur agak lewat.

Antara kegemaran Arjuna ialah bersilat. Malam minggu, biasanya dia akan mempraktikkan seni mempertahankan diri itu. Itu salah satu cara bagi dia mengekalkan kewarasan, melepaskan amarah dengan menumbuk dan menendang angin.

Ironinya, seni persilatan itu diperturunkan kepadanya dari bapa. Beberapa tahun lepas, bapanya itu tidak seperti hari ini. Namun, semuanya berubah semenjak bapa mendapat durian runtuh dalam perniagaan. Membuatkan bapa lebih mahu mengejar prestij, kononnya menjaga pandangan masyarakat terhadap status keluarga mereka.

              Begitulah dunia. Amat bermasalah apabila diletakkan di hati, bukan semata-mata di tangan.

              “Hei, Arjuna. Hafallah Jadual Berkala, weh. Nak gagal lagi Kimia? Tahun ini SPM, weh!” Arjuna berbicara sendiri, menggesa diri.

              Matanya segera menatap Jadual Berkala tersebut.

              Namun, baru dia mahu memberikan perhatian, Arjuna mengalihkan pandangan kepada jam pada tangan kanan. Dia menghela nafas sebentar. Kemudian, dia memandang ke arah hadapan. Terus ke arah tempat imam. Dia mengangkat sedikit kepalanya. Matanya merayap ke dinding kayu hijau di hadapan sebelum terhenti pada jam yang tergantung pada dinding.

              7.30 pagi.

              Latihan pasukan bola tampar MATRI bermula.

***

Masih tidak menyentuh bola. Walaupun begitu, latihan hari ini bertambah berat.

Boleh dikatakan mereka asyik bergerak ke sana ke mari. Awal-awal latihan, sudah disuruh berlari mengelilingi Perkampungan Tunjong sebanyak 25 kali. Sekitar 10 kilometer jauhnya. Kemudian, setelah diberikan rehat dua puluh minit, latihan diteruskan dengan melakukan pelbagai regangan. Malah, terdapat banyak regangan baru yang ditunjukkan oleh Hussam kepada mereka. Seterusnya, tiada rehat, terus dengan latihan laluan berhalangan.

              Latihan laluan berhalangan adalah teknik latihan terbaru yang diberikan oleh Hussam. Mereka perlu bergerak ke beberapa perhentian, setiap perhentian akan mempunyai latihan tersendiri. Semuanya ada tujuh perhentian.

Hentian pertama, mereka perlu mengangkat besi pemberat seberat 5kg sebanyak 10 kali. Seterusnya, bergerak ke hentian kedua. Mereka perlu membuat sit up sebanyak 10 kali. Bergerak ke hentian ketiga. Mereka perlu melompat dengan lutut sehingga paras pinggang sebanyak 10 kali. Hentian keempat, mereka perlu melakukan tekan tubi sebanyak 10 kali. Hentian kelima, mereka perlu melompat bintang sebanyak 10 kali. Hentian keenam, mereka perlu melompat di hadapan net bola tampar dengan meniru aksi block sebanyak 10 kali. Hentian ketujuh, mereka perlu memecut 100 meter dari rumah sampah hingga ke asrama putera.

Kemudian, semua itu diulang lagi sebanyak lima kali.

Memang sangat menguji stamina dan kekuatan fizikal mereka. Semua berpeluh lencun ibarat baru keluar dari bilik mandi.

Keperitan yang dirasai, tambah dengan kepanasan negeri ini, seakan-akan mereka berada dalam neraka.

“Ini dah bukan coach lagi. Ini Hitler!” Thoriq menyumpah. Matanya menjeling Hussam yang sedang duduk di tengah gelanggang.

“Aku rasa, ini sudah macam latihan PASKAL.” Hafiz merungut.

“Argh, apa punya coach dia itu? Nak bagi kita hebat atau nak rosakkan kita agar langsung tak boleh bermain?” Megat separuh menjerit.

Devil from hell!” Nazrin menyeranah sambil membaling kerikil di tangan.

“Sakit kaki, tangan dengan pinggang aku.” Luthfi meregangkan pinggang sambil mengawal dada yang masih berombak.

“Seluruh badan sakitlah!” Jailani bersuara. Peluh belum berhenti menitik dari wajah.

Yang lain-lain senyap sahaja. Terlalu penat sehingga tidak mampu hendak melayan amarah. Tidak ada tenaga lagi untuk memberikan reaksi.

Coach, mana latihan bola tamparnya? Kenapa sudah dekat dua minggu kita berlatih, tapi tak sentuh-sentuh bola?” Ikmal bertanya kasar. Geram. Tertekan dengan latihan yang baru dilalui.

Hussam yang sedari tadi duduk di tengah gelanggang memandang ke arah pemain-pemain di hadapannya.

“Sebelum kita menyentuh bola, kita perlu tahu bagaimana hendak menyentuh bola.” Hussam menjawab selamba.

“Ingat kami budak tadika? Kalau latihan hendak pegang bola, bukan latihan gaya Hitler macam ini!” Faisal akhirnya turut memberontak.

Hussam ketawa. Hitler? Tidak sangka dia boleh disamakan dengan ketua nazi itu.

“Baiklah. Ana  mahu tanya antum, sekolah mana yang menjadi johan selama sedekad ini?”

“Sekolah Sukan Negeri Perlis, SSNP.” Syawal menjawab lemah.

“Antum ingat, dengan tahap kemahiran antum sekarang, antum boleh menjadi johan?”

              Salihin bangun daripada duduk. “Coach mana pernah tengok kami main? Hari pertama latihan terus seksa kami dengan latihan-latihan gila. Hari ini lagi menggila!” Suaranya naik.

              “Betul!” Semua pemain bersuara serentak.

Seperti biasa, Malek sahaja yang senyap tidak memberontak. Dia sendiri sedang melayan mengah.

              “Coach mana pernah ambil tahu kelebihan kami? Posisi kami pun coach tak tahu!” Jailani bangun. Matanya menjegil.

              Hussam senyap. Betul. Dia tidak tahu langsung akan posisi mereka, kelebihan mereka, mahupun kekuatan mereka. Yang Hussam nampak, mereka masih banyak kelemahan dari sudut asas dan juga akhlak. Tambahan, dia nampak yang pemain-pemain MATRI ini belum menyedari makna sebenar bermain sebagai ibadah, dan tanggungjawab mereka untuk memikul syiar Islam.

              Belum sampai masanya.

              “Baiklah.” Hussam bangun daripada silanya sambil menepuk tangan. “Antum kena tekan tubi 50 kali.”

              “Hah?” Semua terkejut.

Kali ini, Malek tidak terkecuali.

              Hussam tersenyum. “Antum bertanya tanpa mengangkat tangan tadi. Kemudian, antum tidak menjaga adab dengan ana. Berapa kali mahu ana ulang pesan hal-hal asas macam ini? Turun sekarang.”

              Semua yang ada terkedu. Perlahan-lahan mereka mengubah keadaan masing-masing, daripada duduk kepada posisi tekan tubi.

              “Ceh!” Jailani menyumpah.

              Hussam mendengar bicara Jailani. “Jailani, kamu tambah lagi sepuluh!”

              Jailani terus senyap. Tetapi bibirnya mengetap geram.

              Semuanya melaksanakan hukuman. Tema satu pasukan satu jasad memang dilaksanakan sepenuhnya oleh Hussam. Walaupun ada yang senyap dan tidak melawan seperti Malek, tidak akan ada yang terkecuali apabila denda dijatuhkan ke atas kumpulan, ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.

              Hussam melihat sahaja mereka sambil tersenyum. Dia bukannya ada rasa benci kepada mereka, tetapi dia sedang melaksanakan satu metod untuk mengislah pemain-pemain bola tampar. Denda yang dia berikan, latihan yang dia laksanakan, semuanya ada kebaikan. Cuma kebaikan-kebaikan itu masih tersembunyi buat masa ini. Belum dapat dilihat oleh pemain-pemain.

              “Antum semua ada perjumpaan dengan ana malam ini, selepas supper, pukul sebelas, di musolla.”

              Semua senyap tidak membalas. Sambil menghabiskan tekan tubi, mereka berpandangan sesama sendiri. Ada yang berkerut-kerut dahi.

Ada apa pula pukul 11 malam? Takkan latihan? Esok sekolah!

              “Siapa lewat, ana akan denda. Macam biasa.”

              Semua selesai melaksanakan tekan tubi.

              Malek mengangkat tangan. “Coach, ada latihan malam ini?”

Dia kehairanan kerana MATRI belum mampu untuk mengadakan latihan pada waktu malam. Gelanggang mereka tidak dilengkapi lampu yang berkuasa tinggi. Untuk mendapatkan ‘spotlight’, MATRI tidak membenarkan kerana ia akan menaikkan lagi bil elektrik. Sesuatu yang MATRI tidak akan mampu tampung.

              Hussam mengangguk, menambah kehairanan semua.

              Latihan apa?

              “He wants us to run in the night, maybe.” Nazrin berbisik kepada Thoriq.

              “Ini betul-betul Hitler, nama pun sudahlah mula dari ‘H’.” Amirul berbisik kepada Syawal. Nadanya nada bengang.

              Syawal menggeleng sahaja.

              Jailani mengangkat tangan. “Latihan apa pula, coach, malam-malam?”

              Hussam tersenyum. “Latihan hati.” Dia menepuk dada.

              Semua senyap. Pelik bercampur hairan. Latihan hati? Mereka tidak faham.

              Megat pula mengangkat tangan. “Latihan hati macam mana? Takkan bermeditasi pula? Main bola tampar, latihannya di gelanggang, coach. Jangan buat pelik.”

              Hussam ketawa kecil. “Kita tunggu dan lihat. Sekarang antum tidak payah fikir dahulu. Ikut saja nanti.”

              Semua pemain berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak pernah mendengar yang seorang pemain itu memerlukan latihan hati. Bukankah sukan ini hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata?

              Mereka bukan pendeta!

              “Biar ana berikan antum pembayang untuk latihan kita malam ini.”

              Semua senyap menunggu. Ada yang menggerak-gerakkan kaki seperti tidak sabar.

              “Tenaga kita berasal daripada siapa?”

              Malek mengangkat tangan. “Allah.”

              Sebahagian yang lain mencebik dengan keterujaan Malek.

              “Bagus, Malek. Jadi, kalau hendakkan tenaga, kekuatan, ketabahan, kita kena minta daripada siapa?” Hussam memandang semua pemain.

              Mereka berpandangan sesama sendiri, sebelum serentak menjawab: “Allah!”

              “Ya betul. Jadi, malam ini berkenaan hal itu.” Senyuman Hussam melebar.

              Semua pemain diam. Mula nampak sesuatu, tetapi masih sukar untuk diterjemahkan. Dalam hati mereka, jurulatih baharu ini banyak pula perancangannya. Dan semuanya nampak menekan kebebasan mereka.

              Biasanya, malam minggu beginilah masa yang enak untuk dihabiskan dengan berbual dan bersembang dengan kawan serta tidur lewat.

              Hussam dapat melihat wajah-wajah pemain yang mempaparkan rasa tidak senang.

              “Antum tahu cawan? Bahagian bawah cawan tertutup dan bahagian atasnya terbuka.”

              “Itu semua orang tahu, coach!” Hafiz menjawab sambil mengangkat tangan pantas.

              “Bagus. Kalau kita hendak tuang air tapi kita telangkupkan cawan itu, apa yang terjadi?”

              “Air tumpahlah, coach. Kalau telangkup, bahagian bawah jadi ke atas. Itu semua orang tahu.” Syawal pula menjawab.

              Hussam mengangguk. “Macam itu jugalah hati antum. Kalau antum tutup hati daripada hendak menerima ajaran-ajaran dan latihan daripada ana, maka antum tidak akan mendapat apa-apa, seperti air yang tidak boleh masuk ke dalam cawan apabila cawan ditelangkupkan.”

              Penerangan Hussam itu membuatkan pemain-pemain bola tampar MATRI semuanya senyap dan berpandangan sesama sendiri.

              Ada sesuatu seperti mengetuk hati mereka, terkena pada batang hidung sendiri.

              Hussam tersengih.

              “Baiklah, latihan kita setakat ini. Perbetulkan niat kita. Kita istighfar banyak-banyak kepada Allah atas segala dosa dan kekurangan kita sepanjang latihan kali ini. Kita tangguh dulu latihan kita dengan Tasbih Kifarah dan Surah al-‘Asr.”

              Semua bersama-sama Hussam, membaca Tasbih Kifarah dan Surah al-‘Asr.

              “Ha, Jailani, enta baca Doa Rabitah.”

              Semua mengangkat tangan, sambil memandang Jailani. Membaca Doa Rabitah adalah satu lagi perkara baru yang dibawa oleh Hussam. Mereka akan membaca doa itu selepas menutup latihan mereka dengan Tasbih Kifarah dan Surah al-‘Asr. Apabila ditanya kenapa membaca doa itu, Hussam hanya tersenyum sahaja dan menjawab,

              “Nanti antum tahu dan rasa.”

              Jawapan yang sekadar menimbulkan lagi persoalan.

              Suara Jailani masih tidak kedengaran.

              “Ha, kenapa?”

              Jailani tersengih. “Tidak hafal lagilah, coach, doa itu.”

              Hussam tersengih. “Setiap hari baca al-Mathurat kan kita baca doa itu. Semua sudah patut menghafalnya. Enta perlu tekan tubi lagi 20 kali selepas kita baca doa ini. Malek, baca sekarang.”

              Yang lain senyap sahaja. Kali ini, tiada sesiapa mentertawakan Jailani. Semua merasa lega kerana bukan mereka yang diarahkan oleh Hussam. Hal ini kerana, Malek seorang sahaja yang menghafal Doa Rabitah dalam pasukan bola tampar. Jika tidak, nasib Jailani pasti akan jatuh kepada mereka.

              Malek membaca doa tersebut. Doa yang penuh dengan harapan ukhuwwah Islamiyyah. Doa Rabitah ini boleh didapati dalam buku al-Mathurat, doa-doa Rasulullah SAW yang berkesan yang diambil daripada hadith-hadith dan disusun oleh Imam Hassan al-Banna. Makna doa ini ternyata amat mendalam dan mampu menggetarkan hati-hati yang memahami maksudnya.

              Selesai.

              “Jangan lupa malam ini, latihan hati kita.” Hussam mengingatkan ketika semua peserta bersalaman.

Sesi bersalaman selepas latihan juga merupakan satu lagi perkara baru yang dibawa oleh Hussam dalam pasukan bola tampar.

              “Baik, coach!” Semua menjawab, termasuklah Jailani yang sedang melaksanakan denda.

              Hussam tersenyum.

***

“Ana hendak bina semula kumpulan bola tampar ini.”

              “Habis apa kena mengena dengan ana?”

              “Saja kongsi.”

              “Heh.”

              “Ana sekadar hendak penuhi hajat Ustaz Mahadzir.”

              “Ana sudah kata yang ana tidak akan masuk. Ana tidak akan bermain dengan mereka lagi.”

              “Ana pun tidak paksa.”

              “Baiklah. Jika begitu, kita saling memahami. Bermakna perbincangan kita tamat setakat ini.”

              “Tidakkah enta sudah kecewakan ramai kalau enta berhenti di sini?”

              “Siapa ramai orang itu?”

              “Faiz Musa. Juga senior-senior bola tampar enta.”

              “Dia telah tiada, dan ana pun tidak rapat dengan yang lain-lain.”

              “Jangan membohongi diri enta.”

              “Takkan enta lupa dengan Syu’bah dan Hudzaifah? Aiman Hassan, Basyir, Adam Badri, Hamzani, Ikhwan, Helmi dan Megat Muhaimin?”

              “ …”

              “Bukankah enta akan mengecewakan mereka jika enta tidak lagi mencuba?”

“ …”

              “Bagaimana pula dengan Sahel, Ikrimah, Imran, Muhaimin Misran, Lutfi dan Izzat? Mereka ahli pasukan enta dua tahun lepas bukan?”

              “ …”

              “Enta masih ada harapan yang mereka tidak pegang. Enta masih punya kekuatan yang tidak lagi mereka punyai. Kenapa enta hendak mengalah sekarang? Bukankah ini peluang terakhir enta untuk membuktikan bahawa enta mampu?”

              “Ana ada banyak masalah.”

              “Apa kata enta kongsi masalah itu dengan ana?”

              “ …”

              “Hingga bila enta mahu biarkan masalah-masalah mengikat diri enta, Arjuna?”

              “Ustaz tahu masalah ana?”

              “Ustaz Mahadzir ada cerita kepada ana.”

              “ …”

              “Bagaimana?”

              “ …”

              “Ana hendak tanya satu soalan”

              “Apa dia?”

              “Enta suka bola tampar?”

Arjuna tidak dapat melelapkan mata. Walaupun malam sudah agak lewat dan esok masih cuti kerana hari Ahad, tetapi dia tidak pernah suka tidur lewat. Namun, matanya tetap terbuka. Perbualannya dengan Hussam bermain-main di kepala hingga ke hari ini. Seakan-akan satu igauan yang tidak dapat diusir begitu sahaja.

              “Enta suka bola tampar?”

              Soalan itu seakan-akan mencucuk hatinya.

              Faiz.

              Dia mengangkat tangan kanan. Jam pada tangan itu ditatapnya. Jam itu jam tangan yang agak pelik. Dialah yang membuatkan jam itu menjadi pelik.

              “Hingga bila enta mahu biarkan masalah-masalah mengikat diri enta, Arjuna?”

              Sehingga bila?

              Dia sendiri tidak tahu sebenarnya.

              Nafas dihelanya buat sekian kali. Mata dipejamnya semula.