Gelombang 4

Panas terik. Perlis memang agak panas pada awal tahun. Apabila tiba pertengahan dan terutamanya akhir tahun, akan sering hujan. Cuaca yang agak membahang ini membuatkan tubuh cepat letih, peluh banyak keluar. Tambah pula apabila menjalani latihan berat.

              “Ish, one whole week kita berlatih, why coach tak bagi kita sentuh bola lagi?” Nazrin merungut.

              Thoriq jungkit bahu. Air mineral dalam botol diteguknya rakus. “Entah, dia tak reti hendak latih orang kut. Acah hebat saja.”

              “Bosan siut.” Jailani menunjukkan reaksi kurang senang. Tuala pengelap peluh dikibasnya.

              Semua ahli pasukan bola tampar mula memanggil Hussam sebagai coach. Itupun, selain Malek, jenuh dipaksa dan ditegur berkali-kali.

“Pasukan bola tampar dilarang memanggil ana, ustaz. Antum perlu memanggil ana sebagai coach.”

              “Coach? Haih, nak acah pro pula.” Salihin menjulingkan mata ke atas.

              “Memang. Kita memang perlu bersikap dan bermain macam pro. Islam hendaklah kita angkat dan letakkan pada aras yang terbaik. Jadi, kita yang bawa nama sekolah Islam, sebagai orang Islam, sudah semestinya perlu buat yang terbaik!”

              “Aik? Kita main bola tampar-lah, ‘coach’,” Thoriq menyebut gelaran itu dengan nada menyindir, matanya ke atas. “Ini bukannya hendak pergi berjihad, ‘coach’.” Thoriq mengulang sekali lagi nada yang sama.

              Hussam tersengih, tidak melayan provokasi tersebut.

“Antum tidak nampak apa yang tertulis pada papan kenyataan?”

              Semua senyap.

              “Apa yang ana tulis?”

              “Sukan sebagai ibadah.” Malek menjawab.

              Semua yang ada memandang Malek. Wajah-wajah tidak senang menatap wajah pemain baru itu.

              “Kenapa?” Malek bertanya kepada rakan-rakannya. Mencabar wajah mereka yang nampak keruh. Semua kini mencebik kepadanya, ada yang menjelir lidah.

              “Bagus, Malek. Sukan sebagai ibadah. Pengabdian kita kepada Allah ini tidak terhad di atas  sejadah. Islam itu syumul, yakni melingkupi segenap sudut kehidupan kita. Termasuklah saat kita bersukan, saat kita menyertai kejohanan. Dengan sukan ini, kita turut mendapat pahala. Dengan sukan ini juga, kita hendak tunjukkan kepada masyarakat akan keluasan Islam, dan keindahannya! Ini semua sebenarnya satu jihad, satu perjuangan, satu dakwah!”

              “Coach, ini gelanggang bola tampar. Hendak tazkirah pergilah musolla.” Faisal merungut.

              Hussam menarik nafas, menggeleng sambil tersengih. Kesabarannya teruji. Namun, dia sedar yang dia perlu terus cekal. Hendak membentuk manusia perlu ada seninya. Kekerasan bukan jalan utama. Dia positif pelajar-pelajar di hadapannya ini masih boleh dibentuk.

              “Islam ini bukan terpenjara di dalam masjid dan di atas sejadah. Jika kita anggap demikian, maka kita sebenarnya telah menyempitkan Islam.”

              Faisal diam. Kini, matanya lekat pada wajah Hussam.

Demikian yang lain-lain. Seperti menanti apa lagi yang hendak disampaikan oleh Hussam. Seperti bicara jurulatih tadi telah menarik perhatian mereka.

              “Antara tujuan penciptaan manusia, selain menjadi khalifah, adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Maka, kita perlu melihat yang bumi ini seperti mihrab. Gelanggang kita juga merupakan tempat beribadah. Kalau solat kita perlu buat yang terbaik, khusyuk, tertib, bagi mendapatkan pahala yang tertinggi, maka dalam sukan kita juga perlu buat yang terbaik. Kita bersukan untuk sihatkan tubuh badan, kita masuk kejohanan dengan niat untuk tunjukkan imej Islam yang terbaik kepada masyarakat. Sebab itu, kita buat betul-betul. Bersikap macam profesional!” Hussam bersuara tegas.

              Semua pemain terus membisu.

              “Sudah, panggil ana ‘coach’. Siapa yang terpanggil ana ‘ustaz’, maka dendanya adalah tekan tubi 10 kali. Oleh kerana ana lihat antum semua terlalu hebat, maka ana akan gunakan sistem denda. Setiap kali antum gagal melaksanakan arahan ana, maka antum akan dikenakan denda.”

              “Kalau kami tak mahu buat?” Jailani sengaja mencucuk.

              Hussam tersenyum. “Kamu boleh keluar daripada pasukan ini.”

              Pemain-pemain bola tampar MATRI saling berpandangan sesama sendiri.

“Kata hendak yang terbaik, tapi latihan bola tampar apa kalau tak sentuh bola?” Megat berkerut dahi.

              “Coach ada kata dia hendak kuatkan asas dulu, kan?” Malek mencelah. Cuba merasionalkan rakan-rakan.

              Sebelas orang pemain lain memandang ke arah Malek. Semuanya bermata helang.

              Malek terkejut dengan reaksi mereka. “Kenapa? Salah ana beritahu?”

              “Kau jangan hendak tunjuk best kat sinilah, Malek.” Thoriq bersuara.

              “Kau dapat masuk pun nasib baik sajalah.” Megat tunjuk muka benci.

              “Kalau sudah budak Milo, budak Milo-lah.” Luthfi pula menghina.

              ‘Budak Milo’ adalah panggilan kepada Malek selama ini. Budak Milo adalah panggilan kepada mereka yang menjadi tukang angkat barang pemain, penyedia air dan pengutip bola. Sudah dua tahun Malek melakukan tugas-tugas tersebut.

              Malek diam. Sukar baginya hendak bergaul baik dengan ahli-ahli pasukan bola tampar. Cakap yang benar pun salah, bagaikan mencurah air ke daun keladi. Mereka ini memang pantang ditegur. Jangankan dengan pelajar, hatta dengan guru-guru pun mereka tidak beradab. Sedangkan Malek bukan orang lain dengan mereka. Sudah dua tahun Malek menjadi ‘budak milo’ mereka.

              “Malek, aku rasa baik kau tutup mulut kau. Arjuna pun sudah tak ada hendak selamatkan kau.” Faisal menegur.

              Malek bertambah sedih. Faisal yang sekelas dengannya pun tidak membantu, malah turut bersama yang lain. Malek sedar yang dia tidak sehebat pemain-pemain bola tampar yang lain. Tetapi dilayan sedemikian adalah perkara  yang tidak sepatutnya berlaku sesama teman sepasukan, apatah lagi sesama muslim. Bukankah mereka sepatutnya seikat bak sirih, serumpun bak serai?

              Ketika Arjuna masih ada, tidak akan ada sesiapa yang berani untuk bertekak di gelanggang. Kalau ada yang hendak memulakan, maka Arjuna akan marah. Biasanya, Malek yang menjadi bahan ejekan akan diselamatkan oleh Arjuna sebelum suasana menjadi lebih keruh.

Tetapi kini, Arjuna sudah tiada.

              Malek menghela nafas. Susah. Sabar sahajalah yang boleh membantunya sekarang. Ayat 153 daripada Surah al-Baqarah melintas di hatinya.

              “Sesungguhnya Allah itu bersama-sama orang yang sabar.”

              “Baiklah, semua, waktu rehat tamat!” Satu laungan dari gelanggang kedengaran.

              Semua menoleh.

Hussam baru selesai menconteng sesuatu di atas gelanggang menggunakan kapur.

              “Buat tiga barisan segera!”

              “Hish, ini latihan apa pula?” Ikmal buat gaya tidak suka, namun terpaksa juga bergerak ke gelanggang bersama rakan-rakan lain. Dibuang daripada pasukan adalah satu perkara yang amat ditakuti. Jika dia dibuang, maka tiadalah peluang untuk dia menunjukkan kehebatan. Buat masa ini, taat adalah solusi untuk menjaga posisinya dalam kumpulan ini.

              Mereka semua beratur dalam tiga barisan. Satu barisan empat orang. Semua beratur di belakang garisan servis. Hussam berdiri di tengah gelanggang.

              “Baiklah. Sekarang kita buat pertandingan lagi!”

              “Kalah, denda?” Amirul bertanya.

              “Amirul, turun sepuluh!” Hussam meluruskan tangannya ke arah pemain tersebut.

              Antara peraturan yang Hussam tetapkan, sekiranya hendak bertanya, mereka perlulah mengangkat tangan. Jika tidak, akan didenda tekan tubi sepuluh kali. Perkataan ‘turun’ adalah isyarat hukuman dijatuhkan.

Denda ini, katanya, bukan tanda benci, tetapi hendak melenturkan keegoan yang menebal dalam diri pemain-pemain ini.

              Semua pemain mentertawakan Amirul kecuali Malek.

              “Ha, kan sudah kena. Angkatlah tangan dulu. Apalah kau ni.” Syawal bernada mengejek.

              “Dah kenapa semua ketawa pula? Semua turun!” Hussam mengarah lagi.

              “Apa?” Semua menjerit terkejut sambil terpinga-pinga.

              “Ana sekali, coach?” Malek menunjuk dirinya.  Dia tidak mentertawakan Amirul.

              “Enta sekali.” Hussam menegaskan.

              Kini, Malek pula yang terpinga-pinga.

              “Berapa kali ana ulang dalam minggu ini. Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam saling mencintai, saling menyayangi dan mengasihi adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh mengaduh kesakitan, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasainya.”

Hussam memerhatikan Malek yang telah turun, diekori pemain yang lain secara lambat-lambat. Wajah-wajah tidak puas hati terpamer. Ada yang mulut masih terkumat-kamit, mungkin merungut.

“Antum perlu rasai kesatuan ini. Tanggung kesilapan salah seorang daripada kalangan antum bersama-sama. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing!”

              Semua turun. Sepuluh kali tekan tubi. Kali ini, sudah masuk kali yang ke berapa ratus dalam seminggu latihan dimulakan. Setiap satu kesalahan didenda sepuluh kali tekan tubi. Malah, dalam seminggu ini, setiap latihan dijalankan dengan menggunakan sistem pertandingan. Yang tewas akan didenda tekan tubi, atau berlari mengelilingi gelanggang dua puluh kali. Suara rungutan adalah melodi biasa setiap kali denda tekan tubi berjalan.

              Tekan tubi selesai.

              “Baiklah, ana ulang sekali lagi. Kita akan guna sistem pertandingan untuk kali ini. Ini adalah latihan terakhir untuk hari ini.”

              Salihin mengangkat tangan. “Latihan apa, coach?”

              Hussam tersenyum lalu menunjukkan tanda-tanda yang telah diconteng dengan kapur putih di atas gelanggang. Tanda-tanda tersebut adalah lima bulatan, dan lima bulatan itu terletak pada posisi bucu bintang lima bucu.

              “Bintang?” Thoriq hairan. Latihan bola tampar apa yang ada kena mengena dengan bucu bintang atas gelanggang?

              Hussam terus dengan senyumannya. “Antum akan berdiri di tengah, kemudian bergerak ke arah bulatan-bulatan itu dengan langkahan digging yang teratur.”

              Digging adalah teknik menyambut bola dalam sukan bola tampar. Teknik ini adalah teknik paling asas, juga paling penting kerana kelancaran permainan sesebuah pasukan itu bergantung kepada kesempurnaan menyambut serangan lawan. Tanpa teknik digging yang baik, adalah hampir mustahil untuk bola daripada lawan dapat kembali melambung ke atas dengan baik, seterusnya memberi peluang untuk mendapatkan mata.

              Nazrin berwajah tidak berminat. Thoriq buat muka tidak senang. Megat tunjuk muka rimas. Semua pemain yang lain turut tunjuk muka tidak suka. Seperti biasa, Malek terkecuali daripada bersikap sedemikian.

              “Asas lagi.” Jailani merungut perlahan, suaranya berbisik ke telinga Nazrin.

              Nazrin jungkit bahu. “Ikut sajalah.” Menjawab malas.

              “Baiklah, kita akan buat lima set, setiap set satu pertandingan. Kumpulan mana yang masanya lebih cepat apabila melakukan latihan ini akan menjadi pemenang. Yang kalah …” Hussam sengaja tidak menyambung.

              “Tekan tubi!” Semua pemain menyambung kuat.

              Hussam tersenyum. Jam detik dipegang dengan tangan kanan.

              “Baik, barisan satu gerak dahulu!” Jam ditekan.

              Kumpulan satu yang disertai Jailani, Luthfi, Syawal dan Amirul bergerak, bermula dengan Syawal. Kumpulan yang lain menunggu giliran. Hussam menyandarkan bahunya ke tiang net. Melihat pemain-pemain, dia tersenyum.

              “Tidak sangka enta boleh buat mereka turun ya!” Ustaz Mahadzir memuji.

              Hussam ketawa kecil. “Apabila betul strateginya, mudah kita mencapai matlamat yang dihajati.”

              “Semua komited?”

              Hussam menggeleng. “Tidak juga. Masalah disiplin masih banyak. Lewat datang, tidak pakai stokin, baju tidak masuk dalam, mencarut, lambat melaksanakan arahan, dan paling teruk, adab dengan coach.” Hussam menepuk dadanya sambil tersengih.

              Ustaz Mahadzir ketawa kecil. “Itulah yang ana lalui selama ini berseorangan. Makin meruncing semenjak dua tahun lepas. Terutama tahun lepas.”

              Hussam sekadar mengukir senyum segaris. “Itulah ujian hendak mendidik manusia. Bukan senang.”

              “Maafkan ana sebab tidak boleh hendak turun ke gelanggang setiap petang. Sudah lima hari ini pun ana tidak turun lagi.”

              “Jangan cakap macam itu. Ustaz sibuk dengan pelbagai urusan lain.”

              Ustaz Mahadzir mengangguk-angguk. “Belajar jarak jauh lagi. Hujung minggu memang tidak adalah ana di sini. Kalau enta tak ada, tidak tahulah ana apa nak jadi dengan pasukan ini. Terbubar sungguh agaknya.”

              “Ustaz tak perlu susah hati fikirkan pasukan ini lagi. Ustaz ada perjuangan di banyak medan yang lain.” Hussam memaut bahu Ustaz Mahadzir. “Ana akan usaha mempertingkatkan kualiti pasukan bola tampar ini. Dari segi permainan, termasuklah akhlak mereka. Ustaz akan lihat.”

              “Alhamdulillah jika begitu. Demikian barulah mereka bersedia hendak pikul tanggungjawab menunjukkan sahsiah Islam yang baik kepada masyarakat. Itu yang paling penting bagi ana.” Ustaz Mahadzir menyambung.

              Hussam mengangguk.

              “Buatlah yang terbaik ya.” Ustaz Mahadzir menepuk belakang Hussam.

              “Insya-Allah, ustaz, insya-Allah.”

              Kumpulan pertama tamat dengan masa dua minit.

              “Kumpulan dua!”

              Kumpulan dua yang dianggotai Megat, Salihin, Faisal dan Hafiz mula bergerak.

              Hussam melihat pergerakan mereka. Hussam tahu mereka tidak senang dengan cara yang dibawanya. Hakikatnya, asas adalah kemahiran yang penting. Kemahiran asas adalah satu perkara yang mesti diutamakan.

              Ramai memandang enteng akan menguasai kemahiran asas. Asas dianggap remeh.

              Namun sebenarnya, kemahiran asas adalah permulaan yang membina segalanya. Setiap sesuatu ada asasnya. Bangunan tinggi mencakar langit, ada asasnya. Tanpa asas yang betul, baik dan kukuh, bangunan pencakar langit tidak akan mampu tertegak dengan selamat dan jayanya.

              Demikian dalam bola tampar.

              Jika perkara asas tidak dimantapkan, tidak diperbetulkan, maka sehebat mana pun seseorang pemain itu, maka dia akan mudah ditumbangkan.

              Ramai yang menyangka bahawa teknik rejaman adalah terpenting dalam permainan bola tampar. Itulah sebabnya apabila mula bermain atau menjalankan latihan, pemain rata-rata akan berlumba untuk mempelajari atau berlatih teknik rejaman.

Hakikatnya, rejaman tidak akan terhasil tanpa hantaran set yang baik daripada setter. Seorang setter pula tidak akan mampu menghantar set dengan baik tanpa penerimaan bola pertama, atau first ball yang baik kepadanya. Hendak menerima bola pertama dengan baik, maka teknik dig perlulah yang terbaik. Jika teknik digging ini tidak berjaya dilakukan dengan betul dan baik, maka permainan tidak akan berjalan dengan lancar. 

Hatta keenam-enam pemain boleh merejam dengan hebat sekali pun, tanpa kemahiran digging yang baik, mereka tetap tidak akan mampu berbuat apa-apa.

              Itu baru isu teknik permainan.

Hussam juga mengambil kira pelbagai aspek asas yang lain. Sebab itulah dia menetapkan sistem pertandingan, dan denda. Semuanya dilakukan untuk mencapai beberapa perkara asas yang perlu dilengkapkan. Asas teknik permainan, asas bermain secara berkumpulan, asas sikap sebagai seorang Muslim.

              Kumpulan kedua tamat dengan masa yang sama, dua minit juga.

“Kumpulan ketiga!”

              Kumpulan ketiga maju dengan baki pemain yang lain.

              Hussam terus tersenyum walaupun wajah-wajah pemain dihiasi riak tidak senang terhadapnya. Hussam mengabaikan sahaja.

“Tidak mengapa, baru minggu pertama, dan mereka tidak faham lagi …”

***

Kantin sesak. Itu adalah keadaan biasa setiap hari.

Mujur MATRI menggunakan sistem kedai, tidak seperti sekolah lain yang menggunakan sistem tender. Jadi, setiap pelajar ada pilihan mahu menyerbu kedai yang mana. Tidaklah setiap kedai itu perlu beratur terlalu panjang sangat.

Kantin MATRI terdapat lima kedai. Kedai nasi goreng, kedai mi dan laksa, kedai minuman, kedai kuih-muih dan kedai makanan berat seperti nasi ayam dan sebagainya. Lima kedai ini sebelah menyebelah, tersusun lurus di tengah-tengah kantin. Kantin MATRI pula terbahagi kepada dua bahagian. Asalnya untuk membahagikan bahagian lelaki dan perempuan.

Namun, atas bilangan pelajar yang semakin ramai, lelaki mencecah 400 orang manakala perempuan juga 400 orang, maka waktu rehat disusun agar pelajar lelaki dan perempuan tidak bertembung. Dengan ini, pelajar lelaki dan perempuan boleh menggunakan kedua-dua belah bahagian ketika rehat.

Di hujung barisan kedai itu, terdapat satu ruang khas untuk guru-guru duduk menjamu selera.

              Hussam menghirup teh dengan tenang. Kawasan makan guru lapang tanpa kehadiran banyak guru lain. Mungkin ramai yang mengajar kelas pelajar perempuan pada waktu ini. Namun, suasana agak hingar-bingar dengan riuh pelajar-pelajar lelaki yang sedang memanfaatkan waktu rehat.

Mujur guru-guru tidak perlu beratur, hanya perlu memberitahu pesanan kepada peniaga kantin, lalu makanan atau minuman akan dihantar ke meja di kawasan makan guru.

              “Sedap teh yang Mak Cik Aishah buat.” Hussam memuji.

              Ustaz Mahadzir tersenyum. “Memang sedap. Dia orang lama di sini.”

              Hussam terangguk-angguk. Mak Cik Aishah merupakan pemilik kedai minuman di kantin.

              “Kalau sedap, minum betul-betul. Jangan bersembang.” Ustaz Mahadzir menyakat.

Hussam menggeleng dengan senyuman yang masih tersisa. Kemudian, kepalanya terhenti ke luar, arah tempat makan pelajar. Terus mata dicerunkan, dan senyumannya terus hilang. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

              Ustaz Mahadzir perasan akan perubahan wajah Hussam. “Kenapa?”

              Hussam menunjuk ke satu arah.

              Ustaz Mahadzir menjengah dengan memanjangkan leher, melihat melepasi pintu kawasan makan guru. Pandangannya melekat kepada seorang pelajar yang berada sejajar dengan arah yang ditunjukkan oleh Hussam.

Pelajar itu sedang memakan pisang goreng tanpa menghiraukan kesesakan sekeliling. Yang lebih menarik perhatian, walaupun kantin agak sesak, tiada sesiapa yang hendak duduk di sebelah pelajar itu. Kiri dan kanan pelajar itu kosong, termasuklah tempat duduk di hadapannya.

              “Yang pakai cermin mata itu? Duduk seorang diri itu?”

              Hussam mengangguk. “Kenapa ana jarang nampak dia di asrama?”

              “Oh, dia tak duduk asrama utama.”

              “Ooo. Dia duduk di asrama Huffaz?” Hussam mengangkat kening. Beriak terkejut.

              Ustaz Mahadzir mengangguk.

              MATRI mempunyai dua buah bangunan asrama putera dan sebuah bangunan asrama puteri. Bangunan empat tingkat berdekatan Taski Ummu Aiman adalah bangunan asrama puteri. Asrama putera pula, mempunyai dua bangunan. Bangunan tiga tingkat yang bersebelahan gelanggang bola tampar adalah asrama induk. Majoriti pelajar lelaki MATRI tinggal di asrama itu.

Terdapat sebuah lagi asrama dua tingkat, asalnya rumah penduduk kampung, di hadapan kebun getah, bersempadan Perkampungan Tunjong. Asrama itu dinamakan asrama Huffaz, kerana semua pelajarnya menghafal al-Quran, dan jadual kehidupan pelajar di situ berbeza berbanding asrama induk, kerana mempunyai jadual menghafal al-Quran yang lebih banyak.

              Pelajar yang cuba menumbuknya itu, merupakan seorang penghafal al-Quran?

              “Mustahil.” Hussam tersengih sambil menggeleng.

              Ustaz Mahadzir hairan. “Apa yang mustahil pula?”

              “Dialah yang cuba menumbuk ana pada hari pendaftaran lepas.”

              “Yakah? Kenapa pula? Kenapa ana baru dengar hari ini?” Bertubi-tubi soalan meluncur dari bibir Ustaz Mahadzir.

              “Alah, hal peribadi. Jadi ana ingat tak perlu nak beratkan fikiran ustaz. Hari itu, ana terlanggar dia. Dia tengking ana dan hendak pergi begitu sahaja. Ana pun tarik bahu dia, dan dia terus menyerang ana. Mujur ana dapat tahan. Kalau tidak, bengkak juga muka ini. Tangan ana yang tahan itu pun sakit. Boleh tahan kuat.”

              Ustaz Mahadzir ketawa kecil.

Hussam tambah hairan. Pelajar kurang ajar dengan guru, lawakkah?

              “Ustaz ketawa pula. Kan serius pelajar tumbuk guru?”

              Ustaz Mahadzir memandang Hussam. “Dia ada turun main bola tampar?”

              Hussam menggeleng. Melihat Ustaz Mahadzir terus tersenyum nipis sambil memandang pelajar tersebut, Hussam menyedari sesuatu.

              “Sebentar, dia pemain bola tampar MATRI?”

              Ustaz Mahadzir ketawa.

              “Itulah dia, pelajar MATRI yang paling panas baran. Memang mudah marah, lebih-lebih lagi semenjak setahun dua ini.”

“Patutlah kasar bukan main, otai besar rupanya. Tak sangka ana pelajar macam ini duduk asrama penghafal al-Quran ya.”

Ustaz Mahadzir tersengih mendengar komen Hussam.

“Dia perejam utama sekolah sebelum ini, senior kepada semua pemain bola tampar, paling lama …”

              “Nanti, jadi itu ialah …” Hussam mencelah. Perejam utama? Senior kepada semua pemain bola tampar?

              “Nama dia Arjuna. Shah Arjuna bin Shah Adiwarna.”

              Mata Hussam membesar. Terkejut.

              Itulah pelajar yang sering disebut-sebut oleh pemain-pemain lain. Malah, daripada perawakannya dan layanan orang sekeliling kepadanya, Hussam dapat melihat Arjuna itu seperti mempunyai aura yang menggerunkan ramai. Kantin sesak, tempat duduk sedikit, namun tiada pelajar yang berani duduk di sebelahnya.

              “Dia tingkatan lima, bukan?”

              Ustaz Mahadzir mengangguk.

              “Dalam bola tampar, hebat sangatkah dia?”

              Ustaz Mahadzir tersengih. “Kenapa? Dengar banyak cerita?”

              Hussam mengangguk. Dia banyak mendengar cerita mengenai kehebatan Arjuna ini daripada Malek. Pemain-pemain bola tampar yang lain pula nampak amat menggeruni Arjuna ini. Walaupun tidak menyukai Arjuna, mereka tetap mengakui kelebihan-kelebihan pelajar itu yang dikongsikan oleh Malek. Tidak ada yang berani menafikan, walau ada juga suara yang cuba menyatakan mereka pun tidak kurang hebatnya.

              “Dia paling lama bermain bola tampar berbanding yang lain. Semenjak tingkatan satu sudah terpilih menjadi pemain.”

              “Jadi dia antara yang sempat merasai pingat perak. Beberapa kali.”

              Ustaz Mahadzir mengangguk. Matanya memandang Arjuna yang masih memakan pisang goreng dengan selamba.

              “Sebelum segala-galanya merudum.”

              “Apa yang berlaku sebenarnya, ustaz?”

              “Setelah dua tahun bermain dan merasai pingat perak, Arjuna amat teruja hendak merangkul pingat emas. Dia jadi lebih bersemangat. Tetapi datang bersama semangat itu sikap baran, dan mudah kecewa dengan rakan-rakan lain yang dirasakan tidak mempunyai semangat yang sama sepertinya. Maka kekurangan-kekurangan kecil pada rakan-rakan sepasukan, mula dirasakan besar. Bagi yang lain-lain, mereka sekadar mahu berseronok. Bagi Arjuna, bola tampar ini seakan perjuangannya.”

              “Jadi?”

              “Semasa dia di tingkatan tiga, mereka tidak berjaya pun naik lebih tinggi, bahkan jatuh lebih rendah. Daripada perak, kepada gangsa. Tambah mematahkan hati Arjuna, rakan-rakan sebayanya membuat keputusan tidak lagi mahu bermain bola tampar dan fokus kepada akademik. Tempat yang kemudian digantikan oleh kebanyakan pemain hari ini. Malangnya, atas keserasian yang lebih buruk, pada tahun lepas, mereka jatuh lebih ke bawah.”

              “Tidak melepasi pun peringkat saringan.” Hussam melekatkan pandangan pada Arjuna. Dia menghela nafas panjang. “Kenapa sikapnya amat kasar? Apakah kerana perkara tersebut sahaja?”

              Ustaz Mahadzir menggeleng. “Dia kasar kerana mempunyai masalah keluarga. Keluarganya tidak gembira dia aktif bermain bola tampar, dan menganggap sukan ini mengganggu akademik-nya.”

              “Oh.” Hussam mula nampak masalah Arjuna. “Bagaimana dia dengan ustaz?”

              “Secara zahir, hubungan kami erat. Ana sudah anggap dia macam anak ana sendiri. Tetapi silap tersentuh perasaannya, dia mengamuk pada ana sama macam dia mengamuk kepada orang lain.” Ustaz Mahadzir ketawa sambil menggeleng.

              “Amboi, Ustaz Mahadzir kena juga.” Hussam mengangkat dua keningnya. Dia rasa lucu, memandangkan Ustaz Mahadzir ini bertubuh besar, dan kalau melantangkan suara, macam guruh berdentum di langit.

              “Ana tidak ambil hati sangat. Kalau tahu keadaan dia, kita pun simpati. Tapi tulah, ana takat mampu simpati, kadang cuba nasihat juga sekali-sekala. Ana tidak mampu beri lebih daripada itu atas kekangan rutin ana sendiri. Ana benar-benar nampak potensi Arjuna. Dia pun tak ada masalah akademik. Cuma keluarganya masih menekan. Entahlah.”

              “Bagaimana dengan PMR dia?”

              Ustaz Mahadzir tersengih. “9A. Jangan terkejut.”

              Mata Hussam membesar. “Jadi, dia di aliran Sains?”

              Ustaz Mahadzir mengangguk. “Tapi Arjuna ada sebut kepada ana tahun lepas, yang dia tak suka berada di kelas Sains. Dengan keputusan akademik secemerlang itu, keluarganya memaksa. Ana nampak dia seperti terperangkap. Akademik-nya jadi tunggang terbalik. Dia nampak seperti tertekan. Semenjak itu, ditambah dengan obsesi untuk membawa MATRI merangkul johan, dia menjadi semakin kasar dan panas baran.”

              Hussam angkat kening. “Begitu ya.”

              “Kekalahan tahun lepas benar-benar seperti meruntuhkannya. Ana serba salah sebenarnya. Tewas pada peringkat saringan, satu kerendahan terbaharu yang membuatkan Arjuna tambah marah, dan terus menjadi seseorang yang teramat kasar. Tekanan keluarga dan kegagalan dalam bola tampar membuatkan dia menjadi sebegitu.”

              “ Oh.” Hussam memandang semula ke arah Arjuna.

              Pelajar itu bangun dan meletakkan pinggan yang digunakan pada tempatnya semula.

              “Bagaimana dari sisi yang lain?” Hussam bertanya.

              “Selain akademik dan bola tampar?”

              Hussam mengangguk.

              “Arjuna ini berdisiplin, menjaga solat, menghafal al-Quran, kemas, dan sebagainya. Asas agamanya baik-baik sahaja. Dia memang banyak pengetahuan dari segi sirah Rasulullah, hadith dan ayat-ayat hukum kerana dia suka membaca. Tetapi tekanan membuatkan dia tidak dapat mengamalkan kesemua pengetahuannya. Mungkin dikabui emosi dan masalah sendiri.”

              Hussam mengangguk-angguk. Masalah yang ditanggung Arjuna mula dapat dibayangkan olehnya.

              “Bagaimana dengan asas bola tampar dia?”

              “Yang itu tiada tandingan. Macam ana kata, dia jenis berdisiplin. Dia seorang pemain yang menepati masa, mengikuti arahan dan amat patuh. Walaupun dia seorang yang kasar dan panas baran, gelanggang bola tampar seakan-akan dunia lain padanya. Teknik-teknik asas seperti digging dan set dikuasainya dengan baik. Stamina dan semangatnya juga amat tinggi. Tidaklah melampau kalau ana katakan, dia adalah seorang pemain yang amat baik.”

              “Habis, kenapa pemain lain nampak tidak menyukainya?”

              “Arjuna amat membenci orang-orang yang tidak berusaha kuat. Dia tidak suka melihat kekurangan disiplin terutama daripada generasi baru. Sebab itulah dia suka marah-marah. Dia tidak puas hati dengan tindakan ahli pasukan yang mengambil ringan dengan disiplin dan latihan asas. Sebab itulah dia tidak disukai mereka. Tambah pula, masalah keluarga dan akademik yang sering terbawa-bawa dalam kehidupannya, walaupun ketika di gelanggang bola tampar.”

              Hussam mengangguk-angguk.

              “Hussam, ana tahu enta sudah pilih Malek. Tapi ana harap enta boleh pertimbangkan untuk terima Arjuna.”

              Hussam tersenyum. “Dia tidak turun main, ana boleh buat macam mana?”

              “Fikirkanlah jalan. Arjuna sebenarnya memerlukan bantuan. Dulu dia tidak begitu. Banyak masalah berselirat yang ditanggungnya.”

              “Selirat yang perlu dirungkai.”

              “Enta boleh jadi orang yang menginspirasikannya. Seperti awal-awal dahulu.”

              “Awal-awal dahulu? Siapa menginspirasikan Arjuna?”

              Ustaz Mahadzir tersenyum. “Antara sebab mengapa Arjuna agak teruja untuk merangkul johan buat MATRI ialah kerana dia berpegang kepada satu janji.”

              “Janji? Janjinya dengan siapa?”

              “Janji dengan Faiz.”

              Hussam kehilangan kata-kata.

***

“Ayah kalau tak tengok Arjuna susah, tidak bolehkah?”

              “Ayah memang macam itu. Semua ayah saja yang betul!”

              “Ah, Arjuna tak kisah. Arjuna peduli apa!”

              “Sudahlah! Buat bazir duit saja Arjuna telefon rumah!”

Gagang telefon dihempasnya. Dinding pejabat am ditumbuknya kuat. Hati dan jiwanya panas.

Bapa tidak faham akan dirinya. Hanya tahu suruh dia tunduk kepada kehendaknya. Atas alasan bahawa orang tua itu merupakan bapanya, dan dia hanyalah anak. Orang tua itu tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Orang tua itu lebih makan garam.

              Arjuna berkonflik besar kerana dia meminta untuk ditukarkan kepada aliran Sastera. Sudah berulang kali dia menyatakan hal ini kepada bapanya.

              Tetapi orang tua itu berdegil. Aliran Sains lebih berprestij. Aliran Sastera nanti tak dapat kerja bergaji besar dan dipandang lekeh. Aliran Sains dikhabarkan mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan yang berpotensi mengaut kekayaan segera.

              Masalahnya, yang kena belajar ialah dia, bukan bapa.

              Hati Arjuna tidak masuk dengan aliran Sains. Prestasi akademiknya merudum teruk semasa di tingkatan empat. Semua subjek aliran Sains tidak dapat dikuasainya dengan baik.

              Apakah bapa sanggup memperjudikan SPM-nya kelak semata-mata hendak memenuhi hajat sendiri? Mengapa bapa tidak mahu memikirkan dirinya? Apa yang dia suka, senangi dan selesa lakukan? Apa yang sebenarnya dia mahu capai dalam hidup? Mengapa bapa mahu mengawal perjalanan akademiknya?

              “Aaah!” Dia menjerit melepaskan tekanan. Hatinya sakit seakan ditusuk belati tajam.

              Benci. Kebencian menggunung tinggi. Dadanya sesak dengan amarah.

              Mujur sahaja hari ini hari Sabtu. Hari cuti. Jika tidak, pasti staf-staf MATRI yang berada di pejabat am akan melihatnya. Telefon awam untuk pelajar putera terletak di sebelah pintu masuk pejabat am MATRI. Pejabat am itu terletak di bahagian hadapan musolla, betul-betul di bawah tempat imam.

              Dia terus berjalan sambil kedua-dua belah tangan menyeluk ke dalam poket baju Melayu hijau. Baju Melayu hijau adalah pakaian rasmi pelajar asrama MATRI untuk waktu solat.

Sesi pembacaan al-Quran selepas subuh telah selesai. Pelajar-pelajar sudah balik ke asrama untuk menyambung lena masing-masing. Ada juga yang terus ke dewan makan untuk bersarapan. Malah, ada yang bersiap-siap untuk bermain. Biasanya, Sabtu dan Ahad adalah hari bebas untuk pelajar MATRI.

              Dia berjalan menuju ke dataran sekolah.

              “Arjuna.” Satu suara menyapanya lembut.

              “Hish, siapalah yang memanggil aku pagi-pagi buta ni? Sudahlah baru lepas mengamuk. Memang cari fasal!”

Segera Arjuna memalingkan wajahnya ke arah suara si pemanggil.

              Hussam, ustaz yang baru mengajar. Juga jurulatih baru kepada pasukan bola tampar MATRI. Ustaz itu sedang menyarung selipar di kawasan hadapan lobi.

              Ish, apalah yang dia hendak? Hati Arjuna membentak. Wajahnya tegang. “Ada apa?” Arjuna menengking.

              “Enta ada masalah? Ana dengar enta menjerit-jerit tadi.”

              “Ustaz peduli apa kalau ana hendak  menyanyi pun pagi-pagi ini!” Arjuna menjawab kasar. Lalu bergerak meninggalkan dataran, hendak ke arah kantin.

              “Dorm enta bukan di Huffaz?” Hussam bertanya sambil menjuih bibirnya ke arah kiri.

Itu arah jalan ke asrama Huffaz. Asrama Huffaz terletak di atas Perkampungan Tunjong, betul-betul di sempadan kawasan MATRI dan kebun getah. Maka, jika hendak ke asrama Huffaz, Arjuna perlu bergerak ke arah bertentangan.

              Arjuna menoleh semula ke arah Hussam.

              “Ana hendak pergi makanlah. Hendak pergi dewan makan. Lapar. Ustaz sibuk buat apa?”

              Terus Arjuna berpaling semula dan melangkah pergi. Dia cuba hendak laju-laju meninggalkan tempat tersebut. Rimas dengan Hussam.

              “Arjuna, nanti dahulu.” Hussam memanggil lagi.  Walaupun tahu yang Arjuna tidak suka, dan mungkin Arjuna akan terus berkasar dengannya.

              Hish! Arjuna naik geram. “Ustaz hendak apa sebenarnya, hah? Tidak nampak orang ada urusan lain?”

Suara Arjuna yang lantang dan kuat itu, mengejut beberapa ekor burung menyebabkan makhluk-makhluk itu terbang menjauhi pokok yang berdekatan kantin, yang menjadi rumah mereka.

              Hussam sekadar menggaris seulas senyuman. Mempamerkan yang dia tidak ambil hati dengan kekasaran Arjuna.

              “Apa senyum-senyum? Ingat bagus? Atau ustaz lapar sangat sampai hendak makan penumbuk ana?” Arjuna mula mengepal penumbuk.

              Ini kali kedua dia bertemu Hussam selepas bergaduh dengan bapanya dalam telefon. Mungkin Hussam ini yang menjadi pembawa sial.

              “Ana hendak ajak enta pergi makan di Alor Tampang sebenarnya. Enta hendak? Ana belanja?” Hussam angkat kening sebelah. Tenang. Tidak melayan kekerasan Arjuna dengan kekerasan.

              Arjuna senyap. Kerut di dahinya mengendur.

              Alor Tampang adalah kedai yang menyediakan sarapan di Balai Baru, Beseri. Kedai itu amat popular dengan roti canai yang lembut, dan kuah kari yang teramat sedap. Nasi Lemak Alor Tampang juga amat sedap dan diminati ramai.

              “Ini kira rasuah atau macam mana?” Arjuna bertanya. Suaranya sudah diperlahankan.

              Hussam ketawa kecil. “Ana hendak enta cerita pada ana fasal Faiz.”

              Arjuna senyap.

Faiz? Faiz Musa?