Libasan 3 – Kegelapan Menyapa

“Menafikan wujudnya kejahatan,
ialah hidup di dalam mimpi.
Dan kita akan terjaga.”

 

“Mus’ab bin Umayr. 35 tahun. Bekerja sebagai pensyarah Bahasa Jepun di Universiti Iman Ihsan.”

              Tomoe tertawa apabila membaca maklumat pada telefon pintarnya. Goro menggeleng. Dia juga sedang menatap data yang sama.

              Mereka berdua sedang bersantai di ruang tamu bilik hotel. Tempat penginapan mereka mewah dan besar. Seperti sebuah banglo. Hotel ini dimiliki salah sebuah syarikat yang dipegang oleh Ryuken. Tidak seperti Kesatuan Pemburu yang bergerak dengan tersangat rahsia, tidak mempunyai organisasi-organisasi cabang, Ryuken bergerak dengan menyelinap ke pelbagai sektor dan cabang.

              Ryuken bukan sahaja menjalar dalam dunia gelap, tetapi juga berusaha menjuarai ekonomi dunia melalui bidang hartanah dan teknologi. Pun begitu, bukan semua organisasi yang dipegang oleh Ryuken mempunyai penjawat yang penuh dengan tenteranya. Ada organisasi dan syarikat yang memang seratus peratus urusannya adalah perniagaan. Ini untuk mengelakkan pergerakan Ryuken daripada terlalu mudah untuk dihidu, di samping memberikan sokongan yang kuat kepada Ryuken daripada segi kewangan.

              “Dia bukan bodoh. Selayaknya dia menjadi pensyarah. Apa yang engkau gelakkan?” Goro menggaru kepala yang tidak gatal. Telefon pintarnya sudah disisipkan ke dalam saku dada.

              “Aku ketawa kerana dia memilih untuk mengajar Bahasa Jepun. Dia tidak mampu melupakan latar belakangnya.” Tawa Tomoe masih bersisa. “Tak sia-sia Ryuken menaja dia sambung belajar ke universiti di negara ini.”

              Tomoe masih ingat, apabila Ryujin diberikan misi untuk kembali ke Malaysia, lelaki itu baru berumur 20 tahun. Ryujin sudah amat fasih berbahasa Jepun ketika itu, dan sudah mahir berbahasa Inggeris. Untuk perlindungan yang lebih baik, Ryuken telah memberikannya wang yang banyak dan juga tajaan menyambung pelajaran melalui salah satu syarikat cabangnya.

              Tomoe hanya mengetahui yang selepas mendapat ijazah, Ryujin menyambung pengajiannya dalam bidang Bahasa Jepun sehingga mendapat gelaran Doktor Falsafah. Semua itu dicapai dalam masa tujuh tahun pengajian sahaja. Selepas itu, untuk lapan tahun yang seterusnya, Ryujin lesap daripada radar Ryuken.

              Memandangkan Ryuken tidak punya keperluan untuk mengaktifkan Ryujin pada ketika itu, maka kehilangannya tidak dikisahkan. Tambahan, Ryujin kekal menggunakan nama sebenarnya – Mus’ab bin Umayr, untuk hidup di negara ini. Itu membuatkan Ryuken mudah mencarinya pada bila-bila masa. Demikianlah juga bagaimana Mitsuhide mampu mengesani dan cuba mengaktifkannya.

              “Berdasarkan pergerakannya dalam video yang kita lihat tempoh hari, jelas dia tidak meninggalkan latihannya. Dia sememangnya tidak dapat melupakan latar belakangnya.”

Goro membongkokkan tubuh sedikit, kedua-dua siku direhatkan di atas kedua-dua pehanya. Lelaki bertubuh besar itu seperti sedang berfikir.

              Tomoe tidak menyahut bicara Goro, asyik menatap skrin telefon pintarnya, membaca lebih banyak maklumat berkenaan Ryujin yang telah dikumpul ninja-ninja pengintip.

              “Engkau fikir, apa yang membuatkannya berubah? Untuk seorang yang mengekalkan latihan sebagai seorang samurai, sudah pasti Ryujin masih rasa terikat dengan kehidupannya bersama-sama kita. Mengapa dia boleh berubah?”

              Soalan Goro itu membuatkan Tomoe menghentikan aktivitinya. Tomoe sendiri terpaksa berfikir. Tidak lama kemudian, perempuan itu menggeleng. Menjungkit bahu.

              “Mungkin ada pihak yang berjaya memintas maklumat berkenaan Ryujin dan mendapatkannya terlebih dahulu? Memberikannya tawaran yang lumayan untuk mengkhianati organisasi kita?” Goro membuat telahan.

              “Jika benar, mengapa dia hanya muncul untuk menumbangkan Mitsuhide? Mengapa tidak sebelum itu?” Tomoe menyanggah.

              Suasana di ruang tamu bilik hotel itu menjadi lengang. Kedua-duanya mati bicara. Masing-masing cuba berfikir.

              “Apa-apa hal pun, semuanya akan berakhir sebentar lagi.” Tomoe mematikan sepi.

              Goro mengangguk. “Engkau mahu mendapat penghormatan untuk itu?” Matanya melekat pada wajah Tomoe.

              Perempuan itu tertawa. “Ah Goro, engkau seperti dapat membaca hatiku pula.”

              Goro sekadar tersengih. Tiba-tiba, telefon pintar mereka berbunyi. Itu ialah penggera kecemasan. Segera Goro mencapai telefon pintarnya, manakala Tomoe kembali fokus pada skrin.

              Mata kedua-duanya terbeliak.

***

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah.”

              “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.”

              Bakri berkalih menghadap ke belakang. Mulutnya kumat kamit dengan zikir. Demikian juga Faisal di hadapannya. Tidak lama kemudian, Bakri mengangkat tangan.

              “Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah, ya Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini pada jalannya, penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu. Jika Engkau mentakdirkan kematian, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.”

              Doa Rabitah itu dibaca dengan sederhana dan penuh fokus, dalam Bahasa Arab dan kemudiannya, Bahasa Melayu. Apabila Bakri mengaminkannya, Faisal turut menyebut kalimah yang sama.

              “Tak pernah lagi aku solat di pangkalan musuh.” Bibir Bakri mengoyak senyuman sambil tangannya dihulurkan kepada Faisal.

              Faisal menyambutnya. Mereka berjabat erat, sambil tertawa. “Engkau gemar bercanda, ya?”

              “Sebelum ini, tak. Tetapi selepas bergaul dengan beberapa individu di negara ini, seperti terkena jangkitan pula.”

              “Adakah mereka yang mengajarkan doa tadi?” Faisal ingin tahu lebih. Dia benar-benar tersentuh dengan doa yang dibacakan Bakri sebentar tadi. Dia pernah menemui doa itu, tetapi ingat-ingat lupa di mana dia pernah membaca akannya.

              Bakri menggeleng. “Aku sudah tahu lebih awal. Itu Doa Rabitah. Ada dalam al-Mathurat susunan Iman asy-Syahid Hassan Al-Banna. Al-Mathurat ialah kumpulan doa-doa harian yang ‘mathur’, yakni doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, dikumpulkan Imam Hassan al-Banna sebagai usaha menerapkan zikir dalam rutin seorang Muslim.”

              “Ah, al-Mathurat. Ya, ya.” Faisal jadi teringat. Dia pernah belajar berkenaan al-Mathurat di penjara. Tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya, menyebabkan dia terlupa.

              “Sudah sepanjang hari kita menanti, tiada siapa yang pulang. Apakah pangkalan ini telah ditinggalkan?” Bakri memandang sekeliling.

              Mereka telah menanti dari pagi sehingga maghrib. Mereka telah solat Zuhur yang dijama’kan dengan Asar, dan kini baru usai melaksanakan solat Maghrib dijama’kan dengan Isyak.

              “Atau mereka telah berjaya mendapatkan sasaran mereka?” Faisal menjangka.

              Mereka berdua sama-sama bangkit daripada duduk. Ruang tempat tidur di pangkalan itu telah mereka bersihkan dan bertukar menjadi tempat ibadah.

              Bakri menggeleng. “Tetapi …”

Bicara Bakri terhenti. Faisal dilihatnya ingin bertanya tetapi segera Bakri mengangkat tangan memberikan isyarat agar Faisal turut berdiam diri.

              “Celaka.”

Bakri mengetap bibir. Segera bergerak keluar dari pangkalan itu. Faisal mencapai senjatanya dan mengekori Bakri.

“Mereka sedang melarikan diri!” Bakri terus meredah kegelapan terowong bawah tanah itu.

              “Macam mana engkau tidak perasan?”

              “Pertama, aku tak fokus. Kedua, nampaknya mereka mampu untuk memperlahankan degupan jantung mereka!”

              “Cis.” Faisal menyumpah. “Mereka ada berapa orang?”

              “Berdua.”

              Bakri dan Faisal berlari pantas. Bakri mendahului Faisal sekitar tiga depa. Tubuh seorang Pemburu ternyata lebih tangkas berbanding seorang manusia biasa. Bakri hilang dalam kegelapan. Cahaya yang diberikan oleh lampu senjata Faisal tidak lagi menangkap tubuh Bakri.

              “Bakri?” Faisal menjerit sambil menghentikan langkahan. Senjatanya diacu sekali-sekala ke hadapan, sekali-sekala ke belakang. Dia memberikan fokus yang tinggi kepada pendengarannya, cuba menangkap apa-apa bunyi agar dia mampu lebih berjaga-jaga.

              Bunyi derapan langkah Bakri sayup-sayup kedengaran. Namun, tiada balasan daripada pemuda itu. Faisal kembali berlari-lari anak sambil pistol kekal diacu ke hadapan.

              Bunyi dentingan kedengaran beberapa kali. Faisal tunduk dan merapat ke dinding untuk mengelak sebarang senjata yang mungkin dilemparkan ke arahnya. Ketika ini, dia dapat melihat tubuh Bakri, yang kini sedang berguling kembali ke arahnya.

              Kunai berterbangan melepasi dirinya.

              “Lepaskan tembakan!” Bakri menunjuk ke arah hadapan.

              Faisal segera mengacu senjata dan melepaskn berdas-das tembakan.

Bunyi dentingan kedengaran lagi.

              “Tunduk!”

Bakri mencapai leher Faisal dan segera membawanya ke lantai. Beberapa kunai melayang, bukan dari arah hadapan terowong, tetapi dari sisi! Kunai-kunai tersebut terpacak pada dinding.

              Mata Faisal terbelalak. Bagaimana senjata-senjata tersebut mampu melakukan pergerakan sedemikian rupa? Apakah ada musuh di sisi mereka?

              Riak wajah Faisal mampu dibaca sepintas lalu oleh Bakri. Pemuda itu segera menggeleng. Tangannya segera memberikan isyarat agar Faisal menyerahkan sepucuk senjata kepadanya. Faisal segera akur.

              Bakri bangkit dan menghayun tangannya sekuat hati sambil melepaskan tembakan. Pelurunya melayang sambil melencong. Bunyi dentingan kedengaran lagi. Bakri mengetap geraham.

              “Kita ada pendatang yang punya kebolehan persis seperti aku.”

              “Apa dia?” Faisal tambah terkejut.

              “Perempuan.” Bakri menambah. “Dia ada banyak senjata seperti ini, dan tangkas pula dengan seni tempur tangan kosong.” Dia mengangkat salah satu kunai yang bertaburan berdekatan dirinya dan Faisal.

              Terowong itu kemudiannya bergema dengan tawa seorang perempuan.

              “Peluru lencong. Adakah berita yang aku dapat sebelum ini benar-benar terjadi? Kesatuan Pemburu dikhianati ahlinya sendiri, dan tumbang? Itukah yang kalian mahu lakukan terhadap organisasi kami?”

              Faisal mengerutkan dahi. Tidak memahami bicara tersebut.

              “Bahasa Jepun.” Bakri menyebut.

              “Engkaukah yang menumbangkan Hoshi?” Suara itu melaung lagi di balik kegelapan.

              “Ya.” Bakri menjawab. “Engkau nampaknya kenal Hoshi?”

Kefasihan Bakti dalam berbahasa Jepun agak mengejutkan Faisal.

              “Rakan sepermainan satu masa dahulu.”

              Bakri berkerut. Ahli Kesatuan Pemburu punya hubungan dengan ahli Ryuken?

              “Banyak yang engkau tidak tahu, budak.” Suara itu seperti dapat membaca hatinya.

Bakri tersengih. “Seperti engkau punyai kebolehan persis seorang Pemburu?”

              Suara itu ketawa. Tawa itu semakin lama semakin galak. “Daripada perbualan kita ini, jelas engkau tidak menumbangkan Kesatuan Pemburu seorang diri. Engkau mendapat bantuan.”

              Tekaan yang tepat. Bakri semakin tidak selesa.

              “Tetapi tiada bantuan untuk engkau di bawah ini.”

Suara itu terus ketawa. Desiran angin memberitahu Bakri bahawa pemilik suara itu telah melemparkan senjata-senjatanya.

              “Ayuh, Faisal, kita perlu berundur buat masa ini!”

Bakri menarik bahu Faisal. Kedua-duanya berguling untuk mengelakkan kunai-kunai yang berterbangan. Senjata-senjata itu menusuk dinding sementara mereka bangkit dan berlari. Sekali-sekala Faisal melepaskan tembakan lurus manakala Bakri melepaskan tembakan lencong.

              Gabungan serangan mereka berdua sedikit sebanyak menjadikan musuh mereka sibuk dan tidak dapat mengejar mereka dengan lancar.

              “Siapa dia?” Faisal bertanya.

              “Tak tahu. Tetapi jelas, bukan calang-calang.”

              “Jika dia di sini, apakah mereka telah berjaya menyelesaikan misi mereka?”

              Bakri berpusing dan melepaskan tembakan lencongnya lagi. Demikian juga dengan Faisal. Bunyi tembakan bergema memenuhi terowong.

              “Apa kata kita selamatkan nyawa kita terlebih dahulu?”

              Telinga Bakri menangkap desiran angin yang kuat. Matanya terbeliak apabila melihat dua orang ninja sedang menyaingi larian mereka di atas rel. Kedua-duanya kini menghunuskan katana, sebelum menerjah ke arah mereka berdua.

              Bakri dan Faisal sama-sama mengelak. Namun, dua ninja itu terus galak menyerang. Bakri tidak mahu membazirkan masa, dengan berani mara walhal jarak antara dirinya dan mereka berdua sudah teramat hampir. Tindakan Bakri membuatkan ninja yang sedang menyerang tidak berjaya menyempurnakan libasan senjatanya. Bakri terus melilit lengan ninja itu dengan tangannya, memutarkannya sehingga kedengaran bunyi tulang patah, sebelum mengilasnya ke arah yang berlawanan dan menjatuhkan ninja tersebut.

              Tanpa teragak-agak, Bakri terus memijak halkum ninja itu, menamatkan nyawanya.

              Faisal pula sedang mengelak libasan katana yang mensasarkan perutnya. Jaketnya sedikit terguris, namun tidak koyak. Ninja tersebut cuba membawa katana-nya kembali ke tubuh musuh. Tetapi sikunya segera ditahan oleh telapak tangan kiri Faisal. Tangan kanan Faisal pantas mengacukan pistol ke kepala ninja itu.

              Namun, sebelum picu ditarik, Bakri sempat menarik tangan Faisal dan melepaskan satu hentakan yang teramat kuat pada leher ninja tersebut. Ninja itu terkulai di situ.

              Mata Faisal membesar.

              “Ayuh.” Bakri menepuk bahu Faisal.

Mereka berdua bergerak pantas meninggalkan tempat itu.

***

Mus’ab menatap mushaf di hadapannya. Lama. Mushaf suci al-Quran itu sudah lusuh. Di dalamnya penuh dengan nota. Mus’ab tidak pernah menukar al-Quran-nya. Semenjak pertama kali dia dihadiahkan kitab tersebut.

              Al-Quran itu dihadiahi seorang jiran, semasa dia masih bujang. Setepatnya, sembilan tahun yang lalu. Ketika itu, dia sedang mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah. Dengan dana yang disalurkan kepadanya, dia mampu hidup senang walaupun tidak punya pekerjaan ketika itu.

              Setiap bulan, dia diberikan RM30,000 tanpa gagal untuk kemudahan hidupnya. Pengajiannya pula ditampung dengan dana yang berbeza. Dia diarahkan untuk bercampur dengan masyarakat tempatan dan hidup bersama-sama mereka sambil menanti arahan untuk dirinya diaktifkan.

              “Ryuken ada misi besar untuk Malaysia. Mungkin ini juga takdir, kerana itu Kawakami dipertemukan denganmu, Ryujin.”

Itulah bicara Koro.

              Mus’ab tidak tahu siapa Koro. Mereka sering bersembunyi di sebalik tabir dan tidak pernah mendedahkan wajah. Mus’ab hanya pernah berhadap dengan mereka beberapa kali, itu pun dengan ditemani gurunya. Itu sudah dianggap sangat istimewa. Selebihnya, Koro hanya berhubung dengannya melalui orang tengah, kadangkala melalui rakaman video atau audio.

              Ketika dia dihantar pulang, Ryuken mempunyai proksi yang sangat kuat di Malaysia – Syaitan Bertopeng. Namun, dia tidak diarahkan untuk membina hubungan atau berkomunikasi dengan mereka. Mus’ab diarahkan untuk tidak masuk campur dalam apa sahaja urusan dunia gelap, sebelum diaktifkan oleh Ryuken.

              Selepas kepulangannya, Malaysia mengalami perubahan yang sangat menggemparkan.

              Buat pertama kali dalam sejarah, Hero bukan lagi fiksyen seperti dalam komik atau filem. Malaysia mempunyai adiwiranya yang tersendiri, menentang penjenayah dan membasmi sesiapa sahaja yang cuba melakukan porak peranda. Tidak lama selepas itu, masyarakat mula menggelarnya sebagai Hero. Sut pintar yang boleh terbang dan menyimpan pelbagai senjata, bersama mantel yang mampu berubah bentuk dan kekerasannya.

              Ya, Mus’ab mengikuti semua itu, sambil meneruskan kehidupannya.

              Sehinggalah Syaitan Bertopeng tumbang dan tampuk pemerintahan Malaysia berubah tangan, Mus’ab kekal berdiam diri mematuhi arahan. Sangkanya, itulah masanya dia akan diaktifkan. Mungkin dia perlu berhadapan Hero itu sendiri.

              Tetapi tidak, arahan daripada Ryuken tidak kunjung tiba.

Maka, Mus’ab meneruskan kehidupannya. Fokus yang besar diberikan untuk pengajiannya, sambil dia mengambil tahu isu-isu semasa.

Ketika inilah berlaku perkara yang tidak dijangka oleh Ryuken, pada hemat Mus’ab.

              Perubahan Malaysia itu bukan sekadar pada luaran. Semenjak kejatuhan regim lama, Malaysia mula berubah dari atas hingga ke bawah. Buat pertama kali dalam sejarah, Perdana Menteri mengumumkan bahawa dia akan memegang jawatan tersebut untuk satu penggal sahaja. Pada penggalnya sahaja, terlalu banyak perubahan berjaya diusahakan.

              Antara yang utama ialah mereformasikan sistem pendidikan Malaysia. Mengambil Finland sebagai kayu ukur utama, sistem pendidikan terus berubah, tidak lagi berorientasikan peperiksaan. Murid-murid diberikan silibus yang sangat interaktif dan inovatif. Seterusnya, diterapkan elemen akhlak dan prinsip Islam yang sangat mendasar. Para guru pula diberikan pembantu, sekaligus menjadikan guru-guru lebih fokus kepada para pelajar.

              Perdana Menteri ketika itu juga memperkenalkan beberapa perkara baharu yang kini dipandang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab seorang Perdana Menteri Malaysia.

Antaranya ialah sesi Penyampaian Isnin, di mana Perdana Menteri akan bersiaran secara langsung di kaca televisyen selama sejam bermula pukul sembilan sehingga sepuluh malam, dua minggu sekali. Perdana Menteri akan memberikan penyampaian selama setengah jam, seterusnya memberikan ruang selama setengah jam untuk rakyat melontarkan soalan dan beliau akan menjawabnya secara langsung.

              Perdana Menteri juga menjadi khatib dan imam Solat Jumaat di Masjid Utama Kotaraya Angsana, serta akan meluangkan masa sehingga dua jam untuk rakyat menemuinya di masjid tersebut selepas solat.

              Tindakan-tindakan ini secara perlahan tetapi berkesan, telah mengubah hubungan antara rakyat dan pemerintah. Perdana Menteri benar-benar mesra rakyat dan kemesraan tersebut tidak dibuat-buat. Jarang dilihat Perdana Menteri berucap berdasarkan teks. Kewibawaannya juga terserlah. Intergritinya terpamer. Kredibilitinya jelas.

              Selepas sepenggal, Perdana Menteri itu menunaikan janji untuk berhenti walaupun partinya masih memenangi pilihanraya bagi penggal yang seterusnya. Ada sedikit tragedi yang berlaku pada pilihanraya ketika itu. Cubaan parti pemerintah lama untuk merampas tahta pemerintahan negara dengan taktik busuk namun berkesan, telah menyebabkan calon perdana menteri yang asal bertukar dengan seorang calon muda.

              Awal-awalnya, rakyat bimbang. Hal itu menjadi senjata kepada pembangkang serta pihak-pihak luar yang cuba menyekat kemaraan Malaysia pada persada antarabangsa. Namun, tidak lama kemudian, semua yang berfikiran negatif dan cuba menangguk di air keruh sedar bahawa jangkaan mereka sangat meleset.

              Perdana Menteri termuda dalam sejarah Malaysia ketika itu ternyata membawa aura yang cukup positif. Sejajar dengan usia beliau, pemerintahannya dilihat lebih remaja. Selain meneruskan kerja-kerja pendahulunya, Perdana Menteri ini telah memperluaskan lagi kemakmuran Malaysia ke negara-negara ASEAN, berjaya menghentikan konflik-konflik di sekitar Asia Tenggara, dan memacu ekonomi Malaysia ke suatu aras yang lebih tinggi.

              Perdana Menteri yang sama juga, pada penggal kedua pemerintahannya, telah berjaya mengusahakan pembebasan Masjidil Aqsa, yang selama ini sekadar satu impian dan mimpi buat umat Islam.

              Mus’ab adalah salah seorang yang terkesan dengan perubahan-perubahan tersebut. Semua itu berlaku di hadapan matanya. Mus’ab yang rajin mengikuti perkembangan semasa, asalnya berniat untuk menjadikan dirinya bersedia sekiranya diaktifkan oleh Ryuken pada bila-bila masa, telah tersentuh dengan perubahan itu semua.

              Rakyat menjadi lebih kasih-mengasihi antara satu sama lain. Roh Islam benar-benar hidup di dalam rakyat Malaysia dan tidak lagi Islam itu sekadar agama rasmi dan dalam ritual-ritual kosong. Ya, ada juga yang bersikap buruk dan melakukan jenayah, tetapi ternyata semakin sedikit dan mula terpencil.

              Ketika berada pada penghujung pengajian, dia dihadiahkan al-Quran ini oleh jirannya. Jirannya sangat ramah. Walaupun dia tidak pernah ke masjid dan bergaul dengan mereka, tidak pernah jirannya itu memandangnya dengan prejudis. Bahkan, sekiranya jirannya itu punya aktiviti, dia tidak pernah lupa diajak, walaupun dia tidak pernah bermesra pun dengan jirannya itu.

              Dia masih ingat nama jirannya itu.

              Doktor Rasyid Zakwan. Seorang doktor gigi. Sangat ramah. Juga merupakan seorang aktivis bagi INSANI, NGO yang telah mengeluarkan produk-produk berupa manusia yang berintegriti seperti Perdana Menteri Malaysia hari ini.

              Mus’ab menghela nafas panjang. Semua itu menjadi antara memori dalam kehidupannya. Dia melihat Muramasa yang bersandar pada bahu. Kemudian, matanya kembali kepada mushaf.

              Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.

              Mus’ab dapat melihat coretan pada sisi ayat ke-214, surah al-Baqarah itu.

              Allah akan menguji manusia, dengan ujian yang berat, untuk menguji keimanan mereka. Rujuk: al-Ankabut, ayat 2. Tanggungjawab manusia ialah sabar dan terus percaya sambil usahakan penyelesaian.

              Apakah ini ujian yang dimaksudkan? Bagaimana dia mahu benar-benar mengetahuinya?

              Mus’ab memujuk jiwanya untuk bersangka baik.

Ternyata tidak mudah. Jiwanya bergolak. Imannya tercabar!

              Loceng rumahnya berbunyi.

              Mus’ab tersentak. Segera mushaf itu dikatupnya. Diciumnya sebelum diangkat dan diletakkan di atas para. Muramasa dipegang dengan kemas dan dia  bergerak ke bahagian hadapan. Dari tingkap yang telah pecah, Mus’ab dapat memerhatikan satu sosok yang tinggi lagi tegap, berdiri di luar pagar rumahnya.

              Dia kenal dengan pemilik tubuh itu.

              “Goro.”

              Masa silamnya kini benar-benar berdiri jelas di hadapan mata.

              “Ryujin.” Goro tersenyum lebar. Pada tangan lelaki itu terdapat sebuah bungkusan yang panjang.

              Mus’ab keluar dari rumah. Tenang, tetapi siaga. Sekiranya Goro tidak mengubah minatnya, Mus’ab seratus peratus yakin bahawa dalam bungkusan itu terdapat sebatang nagitana, senjata kegemaran Goro.

              Dia berdiri di hadapan Goro. Yang memisahkan mereka hanya pagar rumahnya. Mus’ab terpaksa mengangkat sedikit wajahnya, supaya matanya dapat bertembung dengan mata Goro yang lebih tinggi.

              “Kawan lama, malangnya pertemuan kita malam ini adalah pertemuan berdarah.”

              “Bukankah lebih bagus kita elakkan?”

              Goro menggeleng. “Engkau telah mengkhianati kami. Engkau membunuh Shiryu!”

              “Dia mengugut untuk mencederakan anak dan isteriku.”

              “Selepas engkau memilih untuk tidak menjawab seruan organisasi kita!” Goro menghentak buntut bungkusannya. Bunyi dentingan kedengaran, berdengung.

              “Manusia berubah, Goro. Aku berubah.”

              “Usah banyak bicara. Engkau pilih di mana tempat kematianmu. Aku masih mahu memberikan engkau peluang, mati sebagai seorang Samurai. Mati di medan pertempuran!”

              Mus’ab menatap wajah kawan lamanya itu dengan pandangan yang sederhana. Dia tidak terlalu rapat dengan Goro sepanjang hidupnya di Jepun, tetapi lelaki itu antara rakan yang dia ada. Oleh kerana kehidupannya selama di Jepun tidak pernah terpisah daripada Ryuken, maka, tidak dapat tidak, Goro sentiasa berada di dalam orbit hidupnya.

              Goro tertawa. “Engkau tahu, kami semua sudah menonton video engkau menumbangkan orang-orang Shiryu. Engkau masih seorang algojo. Jika engkau fikir engkau telah berubah, engkau salah. Engkau hanya menipu dirimu sendiri!”

              Mus’ab tidak membalas kata-kata Goro itu.

              “Ayuh, kita pergi ke satu tanah lapang berdekatan. Mungkin hanya dengan pertarungan, engkau akan benar-benar mengingati asal-usul!”

Goro membuat gaya mempersilakan Mus’ab keluar dan menaiki kenderaannya. Sebuah kenderaan pacuan empat roda. Ia dipandu oleh seorang lelaki, yang Mus’ab yakin merupakan pekerja di salah satu syarikat yang dimiliki Ryuken.

              “Sebelum itu, apakah engkau berseorangan?” Mus’ab bertanya sambil memerhatikan sekeliling. Tidak ada sesiapa yang mengiringi Goro selain pemandu.

              Goro menggeleng. “Tomoe bersama-samaku.”

              “Di manakah dia?”

              “Menguruskan masalah di tempat lain.”

              “Aku hanya mahu meminta satu perkara.”

              “Apa dia?”

              “Jangan sesekali kalian menganggu anak dan isteriku. Jelas?” Mus’ab menajamkan pandangan. Suara ditekannya agar amaran tersebut benar-benar diambil perhatian.

              Goro terjeda. Entah mengapa, bulu romanya mencanak!

              “Heh. Kata-kataku sebentar tadi adalah benar.” Lelaki itu tersengih.

              Mus’ab membuka pintu pagar dan bergerak naik ke dalam kenderaan, diikuti Goro. Muramasa dipegangnya dengan kejap. Kenderaan mula bergerak meninggalkan perkarangan rumahnya.

              Mus’ab tidak pasti sama ada dia akan berjaya melepasi malam ini atau tidak. Tetapi dia seratus peratus pasti, darah akan tertumpah pada malam ini.

              Sesuatu yang Mus’ab mahu elakkan. Tetapi Tuhan tetap mentakdirkan. Mengapa, ya Allah?

              Adakah taubatku tidak Engkau terima?

              Apakah Engkau mentakdirkan pengakhiranku dengan dosa-dosa?