Libasan 2 – Pemburu & Pembunuh

“Hidup ialah perjalanan mencari makna,
kita akan sering dihurung tanya,
sebahagian kita menjumpai jawapannya.”

 

“Ada perkara aku lupa nak tanya engkau, Faisal.”

              “Apa dia?”

              “Macam mana engkau tahu semua ini?”

              Faisal tersengih. Dia menoleh kepada Bakri.

“Kenapa kita hendak mencari mereka di lorong bawah tanah sebegini? Bukankah ini lorong MRT yang telah lama ditinggalkan?” Bakri menoleh sekeliling.

              Mereka berdua sedang berjalan di atas sebuah rel. Kawasan itu gelap, namun mereka berdua dipandu oleh lampu yang melekat pada bahagian bawah pistol Faisal.

              Faisal mendahului dengan bergerak secara berhati-hati. Dia mengenakan jaket yang ditenun khas oleh Organisasi Hitam, organisasi yang menaunginya semasa dia masih seorang pembunuh profesional. Jaket itu ditenun oleh fabrik yang ringan tetapi sangat utuh, mengatasi kevlar.

              Sementara Bakri kekal kasual dengan baju lengan panjang yang disingsing serta dipadankan dengan seluar sukan.

              “Organisasi Hitam bukan berada di bawah pengaruh Ryuken secara langsung. Tinggal, semua organisasi gelap di Asia tidak akan sesekali berani menentang Ryuken. Jadi, tanpa ada apa-apa peraturan bertulis, setiap organisasi gelap akan tunduk kepada Ryuken.”

              “Jadi?”

              “Antara misi yang pernah diberi kepada aku ialah menyiasat pangkalan-pangkalan rahsia milik Mitsuhide di seluruh Malaysia. Aku sangat pakar dalam kerja yang aku buat.” Faisal tersengih.

              Bakri bertepuk tangan. Acah-acah kagum. Faisal tertawa. Menggeleng.

              “Engkau santai sahaja ya, Bakri. Ini memang kehidupan engkau, bukan?”

              “Boleh dikatakan begitu. Aku tak membesar seperti kanak-kanak lain. Aku dilatih oleh arwah bapa semenjak kecil, kemudian menjalani pembedahan untuk menjadi seorang Pemburu, seterusnya melalui misi demi misi, sebagai seteru kepada Kesatuan Pemburu.”

              “Engkau tidak rasa apa-apa apabila meragut nyawa orang lain?”

              Soalan itu membuatkan Bakri terdiam sementara.

              Langkahan Faisal juga terhenti.

              “Kita tidak membunuh dengan membuta tuli, Faisal.” Bakri mengingatkan.

              Faisal menghela nafas. Bakri melangkah merapati lelaki itu.

              “Dan kini kita dipertanggungjawabkan oleh Inteligen Kerajaan Malaysia untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air ini, juga agama rasminya daripada sebarang ancaman.”

Belakang tubuh Faisal ditepuk-tepuknya. Seakan Bakri mahu meredakan kegelisahan yang bermain dalam jiwa bekas pembunuh profesional itu.

              Giliran Faisal terdiam. Hanya matanya yang mampu menatap wajah Bakri.

              Walaupun Bakri hampir sedekad lebih muda berbanding dirinya, tetapi anak muda itu ternyata matang. Itu antara sebab mengapa mereka berdua hanya ber’aku-engkau’ sahaja dalam berbicara. Dia tidak dapat merasakan dirinya lebih tua di hadapan Bakri.

              Anak muda ini ternyata telah melalui suatu perjalanan yang amat panjang sebagai seorang pejuang, sehingga Faisal yang lebih tua merasakan Bakri itu setaraf dengannya. Gaya pergaulan mereka tidak ubah seperti rakan karib, walhal mereka tidaklah seakrab mana. Tetapi Bakri menerimanya dengan tangan terbuka. Membantunya untuk diposisikan atas jalan yang bermakna.

              “Hei, senjata engkau ini semua telah disiapkan dengan peluru pelali. Engkau takkan membunuh sesiapa jika engkau tak selesa. Tiada paksaan dalam agama, dan tiada paksaan untuk ini. Misi kita bukan hendak membunuh orang. Misi kita hendak menyelamatkan orang. Membunuh hanya jika keadaan terdesak. Jika engkau tak mampu melakukannya, aku akan melakukannya.”

Bakri menepuk lengan Faisal. Faisal sekadar meleretkan senyuman. Langkahan mereka bersambung.

              “Satu persoalan, Faisal,”

              “Ya?”

              “Sekiranya engkau telah mengetahui kewujudan pangkalan-pangkalan Mitsuhide, yang merupakan organisasi gelap yang langsung berhubungan dengan Ryuken, mengapa Organisasi Gelap tak buat apa-apa terhadap pangkalan-pangkalan ini?”

              “Siapa mahu berkonfrontasi secara terang-terangan dengan Ryuken? Orang gila sahaja. Apabila aku diarahkan menumbangkan Mitsuhide di Johor, aku kira Maximus hanya berani berbuat demikian kerana dia yakin sebelum Ryuken bertindak balas, dia sudah punya alat yang mampu menundukkan mereka.”

              “Alat yang mampu menganggu pergerakan Hero itu ya.” Bakri mengimbas peristiwa sekitar setahun yang lalu.

              “Ya. Aku langsung tidak tahu akan perancangan liciknya itu. Aku sangka, aku diarahkan berhadapan Mitsuhide hanya kerana itu adalah misi paling mustahil bagi mana-mana organisasi gelap di Malaysia ini.”

              “Tetapi engkau laksanakan juga. Demi cinta kepada isteri engkau, bukan?”

              Faisal teragak-agak mengangguk.

              “Apatah lagi apabila negara mengarahkan engkau untuk mempertahankannya dan agamanya.”

Bakri tersenyum. Perbincangan mereka seperti kembali membentuk satu bulatan yang sempurna. Faisal tidak mampu membalas apa-apa.

              Tiba-tiba, Bakri mengangkat kepalan penumbuk. Langkahan Faisal mati secara mengejut. Bakri segera mengarahkannya untuk tidak bersuara.

              Bakri membatu beberapa ketika.

              “Sini.”

Bakri melompat dari rel dan pergi ke sisi landasan. Terdapat ruang untuk berjalan di situ. Faisal mengekori sambil menyuluh.

              “Engkau dengar apa?”

              “Angin. Peredarannya tak sekata di kawasan ini. Aku syak …”

Bakri mematikan bicara. Dia sedang fokus mendengar aliran angin. Sebagai seorang Pemburu, derianya lebih sensitif berbanding manusia biasa pada kadar beberapa kali ganda. Bakri berhenti pada satu tempat. Tangannya mengetuk dinding. Kemudian, dia melangkah dan sekali lagi mengetuk dinding.

“… aku tak syak lagi.”

              Faisal seakan-akan dapat membaca apa yang hendak dilakukan oleh Bakri. Dia segera menapak beberapa langkah ke belakang. Bakri pula dilihat sedang mengumpul kekuatan pada kedua-dua belah tangannya, sebelum melepaskan dua tumbukan yang tersangat kuat.

              Dinding tersebut melekuk dengan teruk, sebelum Bakri menggunakan kedua-dua belah tangannya merengkuh dinding tersebut. Membuka ruang bagi dirinya dan Faisal untuk melepasi dinding tersebut.

              “Laluan rahsia.”

Faisal memerhati sekeliling laluan tersebut. Dia melangkah dengan berhati-hati. Menjangkakan sekiranya ada musuh di pangkalan rahsia ini, sudah pasti perbuatan Bakri tadi disedari.

              “Tiada orang.”

              Faisal menghela nafas. “Seronok ya jadi Pemburu ni.”

              Bakri tertawa sedikit. “Janganlah cemburu.”

              Faisal mencebik. Bakri sambung tertawa. Dengan derianya yang jauh lebih sensitif daripada manusia biasa, dia dapat mengetahui kewujudan manusia, walaupun mereka jauh daripadanya. Dia hanya perlu fokus. Selepas merengkuh dinding tadi, dia sudah mengetahui pangkalan ini tidak berpenghuni.

              Sekurang-kurangnya, buat ketika ini.

              Bakri dan Faisal kini berada di satu ruang sederhana luas. Ruang itu penuh dengan senjata seperti katana, kusagirama, tonfa, shuriken dan kunai. Pada satu sudut, tergantung beberapa pakaian ninja. Pada satu sudut yang lain, terdapat beberapa alas tidur. Di tengah-tengah pangkalan, terdapat sebuah meja. Di atas meja tersebut terdapat bungkusan makanan segera yang telah kosong.

              Semuanya tersusun kemas dan rapi. Tidak bersepah.

              “Tak perlu teliti lebih-lebih. Daripada bungkusan makanan itu sahaja kita tahu bahawa pangkalan ini sedang digunakan. Daripada saiz pangkalan ini, mereka tak ramai. Paling banyak pun, lima orang.”

              Faisal terangguk-angguk. Bungkusan itu masih baru. Dia memandang Bakri.

              “Kita juga sudah hilang elemen kejutan, kerana jika mereka pulang, mereka sudah tahu tempat ini dicerobohi. Dinding tadi sudah pasti kita tidak dapat menggantikannya.”

              Bakri tersengih. “Kita tak perlu elemen kejutan. Mereka sudah pasti tetap mahu masuk ke dalam, mengambil bekalan senjata dan sebagainya. Kita akan berhadapan mereka.”

              “Setuju.”

Faisal memasukkan pistolnya ke dalam jaket. Dia tidak gentar. Dia pernah berhadapan dengan puluhan ninja sebelum ini. Setakat empat atau lima orang ninja, tidak menjadi kesukaran baginya. Tambahan, Bakri ada bersama-samanya.

              Bakri menarik kerusi dan duduk. Diikuti Faisal.

              Mereka bersiaga menanti musuh.

***

Semenjak Laila dan Marwan pulang ke kampung semalam, kebanyakan masa dia hanya menanti di dalam rumah dengan Muramasa setia di sisi.

              Sungguhpun begitu, ada masanya dia sengaja menunjukkan tanda yang dia berada di rumah dengan sekali-sekala keluar. Menyapa jiran, ke masjid, beriadah pada waktu petang, seperti tiada apa yang berlaku.

              Pada masa yang sama, Laila dan Marwan telah jauh meninggalkan Kotaraya Angsana, pulang ke rumah mertuanya di Melaka menggunakan kenderaan kedua mereka.

              Mus’ab mahu mengalihkan perhatian musuhnya hanya kepadanya. Dia mahu memastikan keluarganya tidak menjadi sasaran dan ancaman. Sekiranya benar dia sedang diperhatikan, dia pasti akan ada yang segera menjenguk ke rumahnya. Mengambil peluang tatkala dia bersendiri.

              Tetapi sehingga pagi ini, dia tidak menerima apa-apa ‘kunjungan’.

Mungkin Marwan hanya tersalah nampak. Mungkin tiada siapa yang benar-benar memerhatikannya. Jika tidak, masakan mereka menanti sebegini lama untuk bertindak sedangkan Mus’ab kini berseorangan.

Malam semalam adalah masa terbaik untuk sesiapa cuba meragut nyawanya. Tetapi tiada apa-apa berlaku.

Jam di ruang tamu sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi.

“Mungkin bagus aku pergi kerja sahaja.”

Mus’ab menghela nafas sambil bangkit daripada duduknya. Dia telah menanti di ruang tamu semenjak selepas Subuh. Mungkin tiada ancaman. Sekurang-kurangnya untuk masa yang terdekat in…

PRAAANGG!!!

Tingkap rumahnya pecah. Mus’ab membeliakkan mata. Kakinya terus membuka kekuda manakala tangan kanannya sudah merentap hulu Muramasa.

Siaga untuk bertempur.

Suasana menjadi sepi. Mus’ab menanti kehadiran musuh. Namun, tiada yang kunjung tiba. Beberapa ketika dia kaku dalam posisinya, risau sekiranya musuh memang menanti dia alpa. Tetapi selepas beberapa minit, suasana menjadi lengang.

Dia menenangkan diri dan kembali ke postur biasa. Matanya lekat pada seketul batu berbalut. Segera dia melangkah mendekati objek tersebut.

Batu itu berbalut kain putih, yang tertulis menggunakan tulisan ‘kanji’ – Jinchu.

“Pembalasan Daripada Bumi.” Mus’ab membaca makna tulisan tersebut sambil mengangkat batu itu.

Amaran awal.

Mus’ab memandang ke tingkap yang pecah. Tiada gunanya dia keluar dan mencari siapa yang membaling batu itu. Dia tahu pelontar batu ini sudah jauh meninggalkan kawasan perumahannya. Jika tujuan mereka hanya untuk memberi amaran, mereka telah melaksanakan tugasan mereka.

Mus’ab mengetap gigi kuat-kuat. Amaran itu telah memberitahunya akan satu perkara yang jelas.

Ribut yang besar bakal tiba dan melanda kehidupannya.

Mereka tidak akan memberikan amaran sekiranya mereka telah diberikan arahan untuk membunuhnya. Mereka akan terus menyerang tanpa apa-apa isyarat atau pesanan bahkan bunyi sekalipun. Tandanya, mereka diarahkan untuk tidak memperapa-apakannya, sekadar memastikan identiti dan lokasinya.

Ada pihak yang lebih tinggi pangkatnya akan bertindak untuk mereka.

“Syaitan Bertujuh.”

Itulah jangkaan Mus’ab. Tiada yang lain. Mus’ab mengerutkan dahi sambil menghela nafas yang panjang lagi berat. Sudah pasti, dengan kehadiran amaran ini, ribut besar yang bakal melanda itu tidak jauh lagi jaraknya.

“Ya Allah, apakah yang telah aku lakukan ini?”

Mus’ab menggeleng. Dia tidak pasti sekiranya dia mampu untuk berhadapan rakan-rakan lamanya. Namun, inilah harga yang perlu dibayar untuk sebuah kebebasan dan kebahagiaan.

“Sukar sangatkah untuk Engkau mengampunkan aku dan memberikan kebahagiaan kepadaku, Tuhan? Bukankah aku telah bertaubat dan membersihkan diri?”

***

“Goro, bangun.”

              Dia dapat merasakan bahunya digoyangkan lembut. Goro mendengus. Perlahan-lahan dia membuka mata.

              Tomoe berdiri di sebelahnya. Segera disingkap penghadang tingkap di sisi. Kapal terbang sudah pun mendarat dan sedang bergerak ke tempat parkir.

              “Malaysia.”

 Goro menggosok-gosok mata. Kemudian, menoleh memandang Tomoe. Perempuan itu sekadar tersengih dan mengangguk, sebelum bergerak ke ruang lebih hadapan.

              Mereka menaiki jet peribadi dengan penyamaran sebagai orang kaya dari Jepun, datang ke Malaysia atas urusan perniagaan. Nobu Tech telah disenaraihitamkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi Ryuken masih mempunyai hubungan dengan beberapa syarikat kecil dari Jepun yang beroperasi di negara ini. Mereka menyamar sebagai wakil syarikat tersebut.

              Perlahan-lahan kapal terbang yang dinaiki mereka berhenti bergerak. Tidak lama kemudian, pintu kenderaan itu terbuka. Mereka kini berada di dalam sebuah gudang besar. Tempat parkir khas untuk jet peribadi mereka. Goro telah bangkit dan kini berjalan merapati Tomoe yang seperti tidak sabar hendak turun.

              “Apakah engkau yakin kita berdua mampu berhadapan dengan Ryujin?” Goro bertanya.

              Tomoe meleretkan senyuman. Menggeleng. Goro sedikit terkejut dengan reaksi itu.

              “Aku yakin aku seorang sahaja sudah mampu berhadapan dengan Ryujin.” Tomoe tertawa, kemudian melangkah menuruni anak tangga.

              Goro tersengih. Dia turut menuruni anak tangga.

              Mereka disambut oleh tiga orang ninja yang sudah siap melutut.

              “Apa perkembangan terkini?” Tomoe terus bertanya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke lantai.

              “Lokasinya telah ditemui. Dia ternyata silap dengan masih menggunakan identitinya yang sebenar.” Salah seorang daripada mereka menjawab.

              “Atau dia cukup berani sehingga tidak merasakan dirinya perlu bersembunyi.” Goro mencelah.

              Tomoe memandang kepadanya. Sengihan terkoyak pada bibir perempuan itu. “Apakah itu bermakna dia bersedia berhadapan dengan kita?”

              “Kami telah menghantar amaran kepadanya sebagaimana yang diarahkan.”

              Tomoe memandang semula kepada ninja-ninja tersebut sambil tersenyum lebar. “Menarik.” Tomoe melangkah melepasi mereka.

              “Jadi, apa perancangan kita? Sekadar bertemu dengannya dan bertarung?” Goro menyilang kedua-dua tangan di atas dada.

              “Sekarang, dia kelihatan memperbanyakkan masa di dalam rumah. Seperti sedang bersedia untuk berhadapan ancaman di sana.”

              “Macam tahu-tahu sahaja kita mahu datang kepadanya.” Tomoe mengerutkan dahi.

              “Err, itu mungkin kesilapan aku kerana semasa mengintipnya, anak lelakinya perasan kehadiranku dari jauh.”

“Oh?”

Tomoe mengangkat sebelah kening. Dia menghampiri ninja yang mengaku kesalahannya itu. Sekelip mata, belakang kepala ninja itu ditembusi sebatang kunai. Darah memercik mengotori lantai.

Ninja itu tumbang di situ juga manakala kedua-dua rakannya kekal menunduk tanpa bergerak sedikit pun. Kematian rakan mereka tidak memberikan apa-apa kesan walaupun percikan darah rakan mereka itu turut membasahi tubuh masing-masing.

              “Jadi Ryujin sudah berkeluarga? Oh aku cemburu.” Tomoe menggeleng.

              “Kami sudah sediakan segala data yang berjaya kami kumpul mengenainya di bilik hotel yang telah disediakan untuk kalian berdua. Senjata dan pakaian juga akan dihantar ke sana segera.”

              Tomoe dan Goro mengangguk sebelum meninggalkan kawasan itu tanpa menyambung pertanyaan. Laporan tersebut sudah cukup untuk permulaan ini. Selebihnya, mereka akan perolehi di daripada data-data yang telah dikumpulkan.

              “Engkau fikir, kita perlu menggunakan keluarga dia agar Ryujin tunduk?” Goro bertanya.

              Tomoe tertawa. Sedikit kuat. “Aku tidaklah secemburu itu.”

              “Jadi kita akan terus berhadapan dengannya.” Goro seperti telah menetapkan keputusan.

              Tomoe sekadar mengangguk sambil tersenyum penuh sinis. Dia berjalan sambil memutarkan kunai yang telah meragut nyawa anak buahnya tadi di hujung jarinya. Dia ketawa.

              “Ini percutian paling menarik dalam hidup aku.”

***

Nobu menaiki anak-anak tangga, mendaki bukit tinggi yang mempunyai lebih 10,000 anak tangga itu. Kawasan ini bernama Gunung Kumotori. Merupakan tempat tertutup dan dimiliki salah satu syarikat korporat yang dikawal oleh Ryuken. Tiada jalan untuk kenderaan, tiada juga kawasan untuk helikopter mendarat. Sesiapa yang mahu ke puncaknya, perlu mampu menaiki anak-anak tangga yang setinggi sembilan kilometer itu.

              Bukan sesuatu yang mudah.

Tetapi Nobu tenang sahaja. Dahinya berkeringat tetapi pernafasannya tidak kelam-kabut. Dia tidak kelihatan letih atau menghadapi kesukaran manakala dua pengawal peribadinya, telah ditinggalkan sekitar dua kilometer di belakang. Mereka tercungap-cungap dan tidak mampu mendaki sepantas Nobu. 

              Nobu meneruskan langkahan hingga merapati sebuah bangunan dengan reka bentuk tradisional Jepun. Kelihatan seperti kuil, tetapi Nobu tahu bangunan itu hakikatnya merupakan tempat tinggal bagi seorang samurai.

              Kawasan ini hijau dan nyaman. Kolam kecil yang terhasil dek mata air tambah menyerikan pandangan. Namun, Nobu bukan hadir untuk menikmati suasana. Dia sanggup berkeringat hari ini kerana dia benar-benar mahu berhadap dengan penghuni bangunan di hadapannya ini.

              Shoji yang menjadi pintu utama kepada bangunan tersebut meluncur dibuka.

              “Nobu.”

Seorang lelaki, tua, wajahnya sudah berkedut, rambutnya kelabu dan panjang melepasi bahu, sedikit tidak terurus. Dia mengenakan kimono untuk lelaki. Pakaiannya itu kelihatan sedikit lusuh dan telah luntur warnanya. Tangan kirinya kemas memegang sebilah katana.

              Nobu menunduk hormat. “Kawakami.”

              Kawakami mendengus apabila namanya disebut. Terus berpaling sambil membiarkan pintu terbuka luas.

Tanpa dijemput, Nobu menanggalkan sepatunya, dan bergerak masuk. Ruang yang luas berlantaikan tatami menyambutnya. Bangunan itu tidak besar. Nobu arif akan reka bentuknya dalam dan luar, kerana dia sudah beberapa kali ke sini.

              “Adakah engkau hendak mengherdik aku kerana tidak menghadiri perjumpaan?” Kawakami bersuara, sambil kekal berdiri. Namun, dia hanya menghadap dinding dengan membelakangkan Nobu.

              Nobu tersengih dan menggeleng. “Tidak. Tetapi aku ke mari kerana engkau tidak hadir. Menjadi tanggungjawab aku untuk menghantarkan maklumat.”

              Kawakami mendengus. Dia benar-benar kelihatan tidak senang dengan kehadiran Nobu.

              “Engkau tidak mempunyai apa-apa teknologi untuk aku menghantar maklumat secara pantas. Terpaksa aku datang ke mari sendiri.”

              Kawakami diam tidak membalas. Kini, dia menyilang kedua-dua belah tangannya di atas dada, sambil katana setia pada tangan kiri.

              “Ryujin telah dijumpai.”

              Kawakami tidak memberikan apa-apa reaksi.

              “Tetapi rupanya dia telah memilih untuk mengkhianati kita.”

              Kawakami menoleh ke belakang. Matanya tajam bertembung dengan Nobu.

              “Tomoe dan Goro telah sampai di Malaysia. Mereka berdua akan berdepan dengannya.”

              Sepi menguasai suasana buat beberapa ketika. 

              “Itu sahaja.”

Nobu menunduk dan memandangkan Kawakami yang dilihatnya tidak berminat untuk memanjangkan perbualan antara mereka. Dia berundur untuk bergerak keluar dari bangunan tersebut.

              Shoji ditutup dengan sopan oleh Nobu, meninggalkan Kawakami keseorangan di dalamnya. Nobu terus menyarung sepatu dan bergerak menuruni anak tangga. Ketika ini, dua pengawal peribadinya baru sahaja tiba dalam tercungap-cungap serta tubuh mereka lencun dengan keringat.

              “Tuan?”

              Nobu tersengih. “Urusan sudah berakhir. Mari pulang.”

***

Kawakami kekal berdiam diri.

              “Ryujin.”

Nama itu disebutnya. Kemudian, dia melepaskan keluhan yang panjang. Bersama nafas yang terhembus, mindanya mengimbau ingatan pada lipatan sejarah. Bagaimana dia bertemu dengan pemuda itu sekitar 25 tahun yang lalu.

              Hari itu berlaku tsunami yang besar. Bukanlah paling besar dalam sejarah Jepun, tetapi cukup untuk mengorbankan banyak nyawa mereka yang berada berhampiran pantai mahupun mereka yang berada di tengah-tangah lautan. Dia sendiri berlindung di puncak pergunungan, di salah sebuah pulau terpencil Okinawa, tempat dia sering berlatih.

              Selepas air laut kembali surut dan keadaan kembali seperti sediakala, dia turun ke pantai untuk melihat keadaan. Ketika itulah, dia bertemu dengan seorang budak. Tubuhnya penuh dengan luka, pakaian koyak dan rabak. Terdampar di pantai bersama serpihan-serpihan kapal, masih bernafas.

              Budak itu berusia sekitar 10 tahun.

              Dia jarang peduli akan nyawa orang lain. Tetapi entah mengapa, pada hari itu, dia memilih untuk menyelamatkan budak tersebut. Dia masih ingat, dalam jiwanya terlintas perasaan belas, menyebabkan dia mengutip budak itu, membawanya kembali ke pulau tersebut.

              Budak itu diberikan rawatan ala kadar dan dijaganya. Selepas beberapa hari, budak itu terjaga dan meraung ketakutan sambil menangis hiba. Dia hanya melihat dan tidak memberikan apa-apa pujukan. Budak itu menyebut perkataan-perkataan yang langsung tidak dia fahami.

Bahasa asing.

              Dia tidak cuba pun berbicara dengan budak itu. Dia melihat sahaja. Apabila tiba waktu makan, dia akan berkongsi bekalan makanannya dengan budak tersebut.

              Apabila cukup bertenaga untuk berdiri dan berjalan, budak itu menghilangkan diri. Kawakami tidak berusaha pun untuk mencarinya.

              Tetapi kemudian budak itu kembali.

              Walaupun kata-kata budak itu tidak mampu difahaminya, Kawakami dapat menjangka yang budak itu cuba mencari jalan pulang. Atau mungkin cuba mencari sesiapa yang bersama dengannya di atas kapal sebelum tragedi tertimpa ke atasnya.

              Kawakami masih ingat yang dia hanya tersengih apabila budak itu kembali. Menguatkan firasatnya bahawa dia dan budak itu punya takdir yang telah tertulis di langit sana.

              Kawakami membiarkan sahaja budak itu menonton pertapaannya, latihan kenjutsu serta seni tempur tangan kosong yang menjadi agendanya di pulau terpencil tersebut. Walhal, tiada seorang pun dalam Ryuken pernah dibenarkan untuk menonton latihannya.

              Setelah hampir sebulan berlalu, budak itu cuba berbicara dengannya. Cuba meminta dia mengajar kepadanya bahasa ibundanya, agar mereka dapat berkomunikasi. Pada ketika itu, Kawakami berinteraksi secara interaktif dengan budak tersebut. Mula mengajarkannya asas-asas Bahasa Jepun, sambil dibantu isyarat tangan kerana mereka saling tidak memahami.

              Selepas dua bulan, budak itu sudah mampu berbahasa Jepun walaupun masih kekok dan banyak kesalahan. Sekurang-kurangnya, mereka tidak lagi perlu berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

              Semenjak itu, apabila Kawakami berlatih, budak itu akan turut serta, cuba mencontohi pergerakannya.

              Ketika itulah juga, Kawakami sangat yakin, dia ditakdirkan menjadi guru kepada budak itu.

              Oleh kerana dia tidak mampu menyebut nama budak itu apabila budak itu cuba memperkenalkan diri, Kawakami memberikan nama kepadanya.

Ryujin.

Dalam lagenda Jepun, Ryujin ialah seekor naga yang dianggap sebagai Tuhan atau Penjaga kepada laut. Memandangkan budak itu datang selepas tsunami dan dijumpai tersadai di pantai. Bagi Kawakami, untuk seseorang, apatah lagi seorang budak, masih hidup selepas digulung tsunami, ialah perkara yang ajaib, menjadikan nama yang diberikannya itu sangat cocok.

15 tahun sudah mereka terpisah. Ryujin dihantar pulang ke Malaysia untuk sebuah misi yang tersangat rahsia bagi Ryuken.

Kini Ryujin mengkhianati mereka.

Mengapa?

Kawakami berhajat ingin mengetahuinya.

“Sekiranya dia berjaya membuktikan dirinya, hanya ketika itu aku akan bertanya kepadanya.”

Kawakami kemudiannya berlalu pergi dari tempat dia berdiri.