Nirnama – Hikayat 2

Hendak mencari si ikan belida,
Terpancing pula si ikan keli;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali

Api marak meliang-liuk diserbu angin, menerangi puncak menara ini. Ruangan berbentuk bulatan besar yang berlantaikan marmar bermutu tinggi ini hanya dihuni dua orang manusia.

               Seorang lelaki yang teramat tampan, rambut putih lurus lembut panjang melepasi bahu, berpakaian megah dan mewah. Jari-jemarinya disarung cincin berantai emas, sebagai bukti bahawa dia bukan orang biasa-biasa.

               Di sisinya, seorang perempuan tua namun masih punya anggun tingkahnya dengan rambut puytih yang disanggul kemas, bahu kiri berduri-duri hitam sedang tangan kanan memegang sebatang tongkat.

               Perempuan itu sedang memejamkan mata sambil menalakan wajah ke luar menara. Zulmat malam sekitar pusat pemerintahan Kerajaan Indera Kayangan diusir cahaya terang-benderang dari bangunan-bangunan yang berselerak. Jelas, semuanya masih hidup dengan bermacam-macam hiburan dan acara yang memuaskan hawa nafsu manusia.

               Sememangnya Indera Kayangan terkenal sebagai tempat untuk berdagang dan berhibur, menjadi tumpuan sesiapa yang mahu berseronok-seronok melayan hawa nafsu. Pusat-pusat perjudian, pelacuran, penjualan hamba dan abdi, perdagangan barangan mewah dan banyak lagi menjadi tempat pilihan utama para bangsawan menghabiskan kekayaan mereka.

               “Bagaimana, Nujum Surya?” Suara lelaki tampan itu kedengaran, halus dan merdu.

               Perempuan tua itu tidak segera membalas.

               Tidak semena-mena, bunyi kepakan sayap menyapa pendengaran mereka berdua.

Nujum Surya membuka mata.

Dua ekor gagak mendarat ke dinding menara. Kedua-duanya hitam legam dengan mata merah saga.

               “Beritahu beta akan perkembangan di Wilayah Ujong.” Lelaki tampan tadi memanjangkan tangan kanan. Rantai emas yang menghubungkan cincin-cincin pada jemarinya bergemerincing. Dua ekor gagak itu meluru dan hinggap pada tangannya.

               “Tuanku Jagat Suci …” Nujum Surya seperti serba salah.

               Telunjuk kiri Jagat Suci tegak melekat pada bibir, membuatkan bicara Nujum Surya mati begitu sahaja. Dua burung gagak itu senyap, memandang tepat ke arah Jagat Suci.

               “Wilayah Ujong telah tumbang.” Perlahan suara Jagat Suci mendesir.

               Mata Nujum Surya membulat. “Mustahil!”

               Jagat Suci mendengus. Wajah tampannya dinodai durja. Dia mengibas tangan kanan. Dua ekor gagak itu serta-merta menjadi debu, hilang daripada pandangan. Jagat Suci berpaling menghadap api marak di tengah-tengah puncak menara.

               “Seru semua.” Suaranya yang lembut dan merdu, kedengaran tegas.

               Nujum Surya bergerak ke sisinya, mula terkumat-kamit sambil mengangkat tongkat. Setelah beberapa ketika, tongkat itu dihentaknya ke lantai. Api menjadi semakin marak, sebelum beberapa percikan muncul membentuk tiga bulatan di hadapan mereka berdua.

               Setiap satu bulatan kemudian memunculkan satu wajah, samar-samar sahaja. Semuanya terbentuk daripada percikan api. Namun, cukup bagi Jagat Suci dan Nujum Surya mengenali akan gerangan setiap wajah.

               “Ampun, Tuanku Jagat Suci Yang Maha Mulia, beribu-ribu ampun!” Tiga wajah itu bersuara.

               “Wilayah Ujong telah tumbang. Bermakna Semutar Putih benar-benar telah bertindak di luar kebiasaan.” Jagat Suci mendengus.

               “Tetapi beta yakin kalian tidak akan mengecewakan. Bukankah begitu?”

Wajah durjanya bertukar, dihiasi senyuman lebar.

               Ketiga-tiga wajah hasil percikan api itu terangguk-angguk.

               “Ampun, tuanku. Patik sedang berusaha semampu patik bagi mencapai hajat kita di sini. Berikan patik sedikit lagi masa. Di sini, keadaan sudah hampir sampai ke kemuncaknya.”

               “Ampun, tuanku. Patik teramat yakin bahawa semuanya telah tersedia bagi patik menyempurnakan rancangan kita. Patik akan bertindak tidak lama lagi.”

               “Ampun, tuanku. Adapun patik, masih gagal untuk memburu insan bergelar Nirnama itu. Dia bagaikan tersembunyi daripada pandangan patik.”

               Suara ketiga itu disambut oleh dengusan Nujum Surya.

               Jagat Suci menghela nafas panjang sambil kekal tersenyum. “Usah kecewa, wahai pemburuku. Nujum Surya juga belum pernah dapat mengesan pendekar tanpa nama itu. Teruskan perburuanmu.”

               “Ampun, tuanku!”

               “Kejatuhan Wilayah Ujong di luar jangkaan beta. Benarlah bahawa insan bergelar Nirnama itu merupakan ancaman kepada perancangan beta. Kita tidak lagi boleh bersikap sambalewa. Cita-cita beta untuk menguasai Nusantara akan terbantut sekiranya Tanah Semenanjung pun tidak dapat beta takluk sepenuhnya.” Jagat Suci mengangkat penumbuk.

Sekali lagi bunyi bergemerincing menghiasi puncak menara itu.

               “Apakah kami bertiga perlu berganding bahu memberikan tumpuan dalam memburu Nirnama itu?” Salah satu daripada baki dua wajah itu bersuara.

               Jagat Suci menggeleng. “Biarkan pemburuku dengan usahanya. Nirnama itu memberikan ancaman, tetapi sekiranya semua perancangan kita berjaya, maka kehilangan Wilayah Ujong hanyalah satu unduran kecil dalam usaha beta.”

               “Kami akan berusaha sepenuh tenaga kami menyempurnakan perancangan masing-masing, tuanku!” Ketiga-tiga wajah itu bersuara serentak.

               “Bergeraklah kalian. Pastikan rancangan kita berjaya.”

               “Ampun, tuanku!”

               Nujum Surya mengangkat tongkatnya. Bulatan-bulatan api menghilang. Api besar di tengah-tengah puncak menara itu kembali seperti biasa.

               “Apakah kita hanya menanti semata-mata, tuanku?”

               Jagat Suci melemparkan pandangan ke sekitar pusat pemerintahan kerajaannyaDari puncak menara tertinggi istananya, dibiarkan mata menjelajah keliling lereng Bukit Pelarit yang menempatkan istana kemegahannya.

               “Bertenang, Nujum Surya. Kita perhatikan apa yang bakal berlaku. Biarkan musuh-musuh kita menganggap kemenangan sudah berada dalam genggaman mereka.” Senyuman Jagat Suci meleret.

               “Tuanku Yang Maha Bijaksana. Patik hanya taat dan patuh.” Nujum Surya mengangkat sembah.

               Jagat Suci kekal tersenyum sinis.

***

“Allahu akbar.”

               Jeda sedetik.

               “Attahiyyatul mubarokaatuss solawat …”

               Suara itu kedengaran tenggelam timbul antara bunyi cengkerik dan nyanyian segala makhluk di tengah-tengah belantara.

               Sesusuk tubuh sedang bersimpuh di samping unggun api. Pandangan mata menekur tanah, sambil mulut terkumat-kamit.

               “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.” Kepala ditoleh ke kanan.

               “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.” Kepala ditoleh ke kiri.

               Kemudian, dia menukar cara duduk. Daripada bersimpuh kepada bersila. Mulutnya masih terkumat-kamit dengan mata terpejam.

               “Astaghfirullahal ‘azim, alladzi laa ilaha illahu, huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih.”

               Desir suaranya memenuhi ruang antara remang-remang cahaya unggun api di sisi. Khusyuk, tidak menghiraukan zulmat malam yang gelap lagi pekat, tambah-tambah lagi berada di tengah-tengah belantara. Langsung tiada risau atau gusar berseorangan di tempat yang tentu berbahaya dengan adanya haiwan-haiwan liar lagi buas.

               Jari-jemarinya digerakkan selari dengan mulut masih terkumat-kamit. Selepas beberapa ketika, dia kembali bersimpuh, dan menadah tangan sambil mengangkatnya sedikit tinggi, lebih kurang sama dengan paras kepala.

               Dia terus berkumat-kamit dengan khusyuk buat beberapa waktu sebelum kedua-dua belah tangan meraup wajah. Gerak-geri itu akhirnya sempurna. Bibirnya berhenti bergerak. Tubuhnya membongkok sedikit sambil sebelah tangan menongkat tubuh di atas lutut.

               Dia menoleh ke belakang. Tiada sesiapa di situ. Hanya pokok-pokok besar dan rimbunan pepohon berdaun tebal menghiasi pandangan, sekadar apa yang dibiasi cahaya unggun.

               “Keluarlah. Aku tahu engkau berada di sebalik pokok itu!” Suaranya tidak lantang, tetapi cukup untuk didengari sasarannya.

               Perlahan-lahan, seorang budak lelaki kelihatan. Berbaju selapis, berseluar singkat bawah lutut dengan pinggang terikat samping. Budak itu tersengih-sengih sambil sebelah tangan menggaru belakang kepala yang tidak gatal, sebelah lagi memegang tongkat. Pada hujung tongkat itu terikat bungkusan kain bersama seikat pisang.

               “Macam mana engkau tahu aku berada di situ?” Budak itu melangkah merapatinya.

               Dia menggerakkan tubuh, bersandar pada sebatang pokok paling hampir, sambil pandangan tidak melepaskan pergerakan budak yang menghampirinya.

Soalan itu tiada balasan.

               “Engkau memang pendekar handalan, ya? Aku kagum amat. Bagaimana engkau mampu menumbangkan Bagak Durjana dan hulubalang-hulubalangnya seorang diri? Sakti apa yang engkau ada?” Budak itu tanpa kekok menepuk bahunya, dan bersila di sisi lelaki tersebut.

               Dia mengukir senyuman nipis, matanya redup menatap budak tersebut. “Terima kasih, Nadim, kerana sudi membantuku untuk mengeluarkan Bagak dari istananya.”

               Budak itu tersengih sambil mengibas tangan ke udara. “Ah, perkara kecil. Tapi mujur engkau hadir tepat pada masanya. Jika tidak, entah melayang sudah nyawaku.” Tawa menghiasi belantara.

               Dia kekal dengan senyuman. “Terbukti engkau seorang yang bijaksana.”

               Nadim berhenti daripada ketawa. Dahinya berkerut. “Sebentar …” Pandangannya tepat memaku wajah lelaki di hadapannya. “Engkau sebenarnya lagi bijak daripada aku. Aku sering mengenakan orang, engkau pula mengenakan aku!” Bahu lelaki itu ditumbuknya lembut.

               Senyuman tidak lekang dari bibir lelaki tersebut.

               “Nirnama, engkau tahu aku akan menyahut cabaranmu jika kebijaksanaanku dicabar. Pandai engkau, ya?” Sekali lagi bahu Nirnama menjadi mangsa tumbukan Nadim.

               Nirnama tersenyum nipis. Remang cahaya unggun api membuatkan parut pada pipinya jelas kelihatan walaupun alam sedang berselimutkan zulmat malam. “Kita masing-masing ada kelebihan kurniaan Allah, Nadim.”

               “Sekarang Bagak Durjana sudah tiada. Aku mendapat khabar laksamana-laksamana Semutar Putih berjaya menyerbu istananya. Kekuasaan Jagat Suci di Wilayah Ujong tumbang sepenuhnya. Tiada cukai yang membebankan lagi. Penduduk Perkampungan Medini dan perkampungan-perkampungan di Wilayah Ujong ini pasti sedang bergembira.”

               “Engkau tidak turut bergembira bersama-sama mereka? Apa tujuan engkau berada di sini?”

               Nadim mengesat hidung dengan ibu jari. “Hah, aku mahu menjadi sakti sepertimu. Maka aku mahu mengikutimu, Nirnama!”

               Dahi Nirnama berkerut sedikit. “Kelanaku bukan sesuatu yang remeh. Aku tidak biasa berteman. Tambahan pula, aku tidak ada sakti.”

               Mata Nadim membulat. “Tidak ada sakti? Hah, masyhur sudah gelarmu itu, Nirnama. Engkau telah membantu banyak orang di Wilayah Ujong ini. Menumbangkan nama-nama besar di serata tempat sedang mereka itu adalah ketakutan ramai. Wilayah Ujong tumbang dengan usaha engkau. Jika tiada sakti, mustahil engkau mampu melakukannya?”

Jeda sedetik.

               “Pertarungan engkau dengan Ratu Mergastua, Cenderawasih Utama, Harimau Hitam, Beruang Petir …” Nadim membilang dengan jari. “Hah, tidak terbilang. Semuanya menjadi bualan harian kami. Kehebatan engkau nyata tidak tertanding. Nama-nama itu merupakan pahlawan Jagat Suci yang terbilang, berkuasa di serata Wilayah Ujong.”

               Garis nipis menghiasi bibir Nirnama. Lelaki itu menggeleng, seakan mahu mengenyahkan lintasan-lintasan ingatan pertarungan antara lawan-lawan tersebut. 

               Setiap satu nama itu menguasai satu kawasan di Wilayah Ujong. Bersama-sama Bagak Durjana sebagai ketua, mereka merupakan orang-orang Jagat Suci yang diberikan kepercayaan untuk menguasai Wilayah Ujong. Gabungan kekuasaan mereka membuatkan Wilayah Ujong menjadi kawasan ampuh yang gagal ditembusi jirannya yang kecil, Kerajaan Semutar Putih.

               Selain Wilayah Ujong, Wilayah Gangga Negara juga merupakan satu lagi kekuasaan Jagat Suci. Kedua-duanya menghimpit Semutar Putih, dalam usaha Jagat Suci untuk benar-benar menghapuskan kerajaan tersebut. Kesumat Jagat Suci ke atas Semutar Putih memang berakar dalam, memandangkan kerajaan itu yang bertanggungjawab memasung Jagat Suci sekitar lima dekad yang lalu.

               Sungguhpun begitu, satu persatu penguasa kawasan Wilayah Ujong tumbang pada tangan Nirnama. Merapuhkan cengkaman kekuasaan Jagat Suci di selatan ini.     

               “Allah subhanahu wa taala.” Telunjuk Nirnama tegak ke atas.

               Giliran Nadim berkerut dahi. Terus budak itu mendongak. Remang cahaya mempamerkan riak-riak dedaunan yang bergemalai ditiup bayu malam, sedang langit gelap dan hampir sahaja tidak kelihatan dek ditutupi rimbunan pepohon dan pokok-pokok yang memagar bumi.

               “Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Berkuasa. Aku hanya meminta kekuatan daripada-Nya.” Perlahan Nirnama berbicara seraya pandangan melekat pada unggun api yang meliang-liuk dan sesekali menghasilkan percikan bara. “Selebihnya adalah seni silat yang aku amalkan sebagai usaha.”

               Nadim menyilang tangan di atas dada sambil memuncungkan bibir. Hidungnya mengeluarkan dengus. “Engkau sengaja tidak mahu mengajarkan aku kesaktianmu, bukan?”

               Nirnama tersenyum kecil. “Aku berkata benar.”

               “Silat dan kuasa apa yang mampu membuatkan engkau sebegini hebat?”

               Nirnama menggeleng. Senyuman masih tidak lekang dari bibir.

               “Aku tidak peduli. Aku yakin dengan aku mengekori kamu, aku akan tahu rahsiamu.”

               Senyuman Nirnama melebar sedikit. “Terpulang. Jika engkau mampu.”

               “Engkau tahu aku pantang dicabar, Nirnama!” Bahu Nirnama ditumbuknya.

               Kedua-dua mereka tertawa. Tawa Nadim paling kuat manakala tawa Nirnama cepat sahaja mengendur. Mata Nirnama redup memandang wajah Nadim. Budak itu kelihatan gembira senantiasa, bagai tiada apa yang menjadi kerisauan. Ulahnya selalu mencuit hati.

               Ah, nikmatnya hidup seperti itu. Sudah lama dia tidak merasai damai sebegitu.

***

“Marilah! Takkan kalian takut? Bukankah kita anak-anak pendekar?”

Laungan Awang, teman baik dan sering dianggap sebagai ketua dalam kumpulan mereka membuatkan dia memandang rakan-rakan yang lain. Semua saling berpandangan sesama mereka, sebelum sama-sama tersengih. Banang, Rajuna dan Damar maju bersama-samanya mengekori Awang.

               Mereka berlima rakan karib, jarang berpisah semenjak pandai berjalan. Ayahanda dan bonda mereka merupakan penghuni Perkampungan Gapura. Sebuah perkampungan yang menempatkan sekumpulan tentera Semutar Putih di bawah pimpinan Sultan Mansur. Awang, Banang, Rajuna, Damar dan dirinya sering menghabiskan hari bersama-sama.

               Seawal subuh sudah bangkit, mengekori ayahanda masing-masing ke masjid. Kemudian, berlatih pencak silat di lapangan masjid bersama orang-orang tua di situ sebelum berehat sebentar dan seterusnya mengikuti pengajian-pengajian ilmu. Petang ialah waktu untuk mereka bebas bermain. Apabila masuk maghrib, mereka akan dipanggil pulang untuk bersiap-siap menunaikan ibadah, sebelum mengikut kelas mengaji di masjid, dan menyambung latihan silat selepas isya’.

               Dia dan rakan-rakan berusia sepuluh tahun. Apabila tiba waktu petang, mereka akan merayau dan bermain bersama-sama di sekitar Perkampungan Gapura. Ada ketika mereka mandi sungai, ada kala mereka masuk ke belantara di perbatasan.

               Semenjak kecil, mereka suka mengembara ke segenap ceruk Perkampungan Gapura yang agak besar keluasannya. Perkampungan ini letaknya berhampiran sebuah gunung. Gunung Pulai namanya.

               “Ayahanda dan bonda kita larang kita naik ke Gunung Pulai!” Walau langkahnya sudah menandakan persetujuan untuk mengekori Awang, dia tidak senang hati dengan hala tuju mereka.

               “Engkau ini, jika kita kunci mulut, mereka tidak akan tahu.” Damar menukas.

               “Betul!” Awang, Banang dan Rajuna menyahut serentak.

               “Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Alah, macam tidak biasa pula engkau ini!” Awang menambah.

               Dia sekadar tersengih. “Kita tidak pernah menjejakkan kaki ke Gunung Pulai ini. Tempat-tempat lain bukan kawasan larangan untuk kita singgahi.” Dia cuba memberikan peringatan, sementara langkah mereka berlima terus menelusuri semak-samun yang bakal membawa mereka ke kaki gunung tersebut.

               “Jika engkau mahu tinggal, engkau tinggallah. Jangan banyak bunyi. Bukan selalu kita ada peluang seperti hari ini. Pertama kali Buyong dan Kalijaga tidak ada mengawal sempadan kaki gunung ini!” Banang bersuara gembira.

               Buyong dan Kalijaga merupakan rakan ayahanda dan bonda mereka. Kedua-duanya sering bertugas mengawal kaki pergunungan Gunung Pulai. Hanya orang-orang tertentu yang dibenarkan naik ke kawasan larangan ini.

               Ada banyak cerita kenapa Gunung Pulai menjadi kawasan larangan. Ada yang menyatakan bahawa di Gunung Pulai ini terdapat haiwan-haiwan buas datang dari alam bunian. Lantas untuk tidak membiarkan porak-peranda melanggar bumi, maka mereka dipasung oleh para pendekar Semutar Putih di gunung ini.

               Ada yang menyatakan bahawa tempat ini letaknya Maul Hayat, air yang membolehkan seseorang itu kekal abadi. Tempat air itu dikelilingi air terjun yang terletak di sebuah taman seindah syurga. Khabarnya, di sinilah tempat para raja dan pendekar yang dianggap layak untuk bertapa sehingga kiamat tiba.

               Ada juga yang menyatakan bahawa di dalam Gunung Pulai ada raksasa yang sedang tidur.

               Bermacam-macam cerita, tetapi semua tidak dapat dipastikan kebenarannya.

               Apa yang pasti, Perkampungan Gapura dibangunkan oleh Sultan Mansur berhampiran gunung ini atas sebab-sebab yang berkait. Rata-rata penghuni perkampungan ini adalah pendekar. Adakah mereka ditugaskan untuk mengawal Gunung Pulai ini. Jika ya, mengapa? Daripada apa? Jika tidak, apa pula sebabnya?

               Jawapan sebenar tidak berada dalam pengetahuan mereka. Ayahanda dan bonda mereka tidak pernah bercerita akan hal ini. Mungkin rahsia untuk pendekar-pendekar Semutar Putih sahaja.

               Tetapi rahsia itu tidak akan kekal rahsia kerana hari ini mereka bakal mengetahuinya.

               Kelima-limanya mula mendaki. Gunung Pulai tidak curam, jadi mereka tidak perlu memanjatnya. Hanya perlu berjalan kaki, mendaki cerun yang agak landai. Sekali-sekala mereka mengangkat kaki mengelak akar-akar pokok yang tersembul keluar.

               “Kita akan pulang sebelum maghrib, bukan?” Dia bersuara. Masih gusar sebenarnya. Sekejap-sekejap dia menoleh ke belakang.

Perkampungan Gapura sudah diselindungi rimbunan belantara.

               “Masih panjang masanya. Engkau janganlah terlalu risau. Hish, dari tadi engkau merungut!” Awang mendengus.

Awang sedang mendahului semua. Perjalanan mereka tidaklah sukar, kerana Gunung Pulai ini sudah terdapat denai yang tersedia.

               “Kadangkala yang kita lihat orang-orang dewasa menghilang di Gunung Pulai ini, pasti inilah laluan mereka.” Rajuna menunjuk denai yang sedang mereka lalui.

               Denai itu bersih, sedang kiri dan kanan mereka penuh dengan pokok dan tumbuhan hutan. Ini bukan laluan haiwan, tetapi jelas laluan manusia.

               “Telapak selipar dan sepatu mereka masih terzahir. Ini jalan yang pastinya mereka sering lalui.” Banang mengusap dagu, ingin tahu denai ini akan membawa mereka ke mana.

               “Pastinya pada penghujung denai adalah jawapan sebenar akan mengapa Gunung Pulai ini sangat dijaga oleh ayahanda dan bonda kita. Aku teruja mahu mengetahuinya!” Awang bersemangat. “Mungkin ada tok guru handal yang bertapa di sini? Punya hikmat-hikmat agung yang boleh menjadikan kita sehebat ayahanda dan bonda kita?”

               “Jika demikian, aku pun mahu menguasainya!” Damar separuh menjerit.

               Dia pula hanya membisu. Menoleh ke kiri dan kanan, kerisauan. Tetapi suara hati memujuk-mujuk agar dia tidak gementar. Mengingatkan dirinya bahawa dia bersama empat lagi rakan dan bukannya berseorangan.

               “Mengapa Buyong dan Kalijaga tidak menjaga kaki gunung seperti biasa?” Dia bertanya.

               “Aku tengok tadi lembu jantan Tok Mamat mengamuk.” Awang memberitahu tanpa memandang ke belakang.

               “Ah, itulah sebabnya engkau berani mencadangkan kita ke mari. Engkau tahu Buyong dan Kalijaga tiada.” Banang bagai dapat merungkai misteri.

               Awang tertawa sambil mengangguk.

               “Siapa …”

Satu suara kedengaran sayup-sayup, bergema pada pendengaran mereka. Amat merdu, bagai membelai gegendang telinga mereka. Pantas kelima-limanya saling merapat. Bulu roma meremang. Mereka saling berpandangan dalam waspada. Riak wajah masing-masing penuh tanda tanya.

               “Siapa yang hadir itu?” Suara itu kedengaran lagi. “Apakah telah tiba untuk pengajaran yang seterusnya?”

               Awang memerhatikan dia, Rajuna, Banang dan Damar. “Pengajaran? Apakah benar rahsia Gunung Pulai ini ialah tok guru yang hebat?”

               Dia, Rajuna, Banang dan Damar sama-sama teruja. Suara yang kedengaran juga teramat merdu, langsung tidak menakutkan. Bahkan, suara itu bagai meruntun-runtun untuk mereka mendekat.

               “Benar, aku ialah Wali Allah, Tok Guru Perkasa, Adiwaja!”

               Belum sempat mereka memberi jawapan kepada pertanyaan Awang, suara merdu lagi mendayu tadi sudah menjawab.

Awang terus berpaling. “Impian kita mahu menjadi pendekar hebat akan menjadi kenyataan!” Penumbuk dikepalnya.

               “Ayuh, kita menghadap Tok Guru Perkasa!” Banang menepuk bahu Rajuna.

               Rajuna mengangguk, sambil memandang Damar dan dia. Dia tersenyum. Dia juga ingin menjadi pendekar hebat. Mungkin hari ini rezekinya.

               “Tok Guru Perkasa, kami datang!” Awang menjerit.

               “Ayuh, ikuti suaraku ini!”

               Mereka berlima menyambung langkahan. Dada masing-masing berdegup kencang, tidak sabar-sabar mahu menjadi pendekar handalan!

***

“Assalamu’alaikum wa rahmatullah,”

               “Assalamu’alaikum wa rahmatullah.”

               Suara itu mengetuk gegendang telinga Nadim. Terpisat-pisat dia membuka mata. Tangan segera diangkat menggosok pancaindera tersebut. Dahinya berkerut. Matanya sedikit berpinar sebelum perlahan-lahan kembali seperti biasa. Daripada berbaring, dia duduk sambil sebelah tangan menongkat tubuh.

               Nirnama dilihatnya sedang bersimpuh. Namun kemudian, lelaki berparut tanpa nama itu bangkit dan berdiri.

               “Allahu akbar.”

               Tambah berkerut dahi Nadim. Dia pula bangkit, menggeliat sambil menguap, seakan mahu menghabiskan sisa kantuk. Matanya kemudian meliar, memerhatikan suasana yang masih gelita. Kesejukan mencucuk tulang sum-sum. Mujur dia lena berhampiran unggun api, yang kelihatannya masih marak.

               Pastinya Nirnama telah menambah bahan bakar sebelum beribadah.

               Nadim memandang kembali kepada Nirnama yang khusyuk menunaikan solat. Tidak berapa lama kemudian, ibadah itu sempurna. Nirnama dilihat memandangnya sambil mulut terkumat-kamit.

               “Solat Subuh sudah jadi empat kali bangun?” Kerutan pada dahi Nadim kembali.

               Nirnama menggeleng sambil tersenyum nipis, sebelum bibirnya kembali terkumat-kamit.

               “Habis, kenapa sudah engkau memberi salam, engkau bangkit dan mengangkat takbir lagi?”

               “Dua rakaat sebelum Solat Fajar itu lebih baik berbanding dunia dan segala isinya.”

               “Sebelum engkau Solat Subuh, engkau solat dua rakaat?”

               Nirnama sekadar mengangguk.

               “Sudah berapa lama engkau bangkit daripada lena?”

               Nadim masih ingat yang Nirnama tidur dahulu berbanding dirinya. Lelaki berparut itu tidur sambil duduk bersandar pada batang pokok, menghadap unggun api yang meliang-liuk, sementara dia pula berbaring dengan berselimutkan kain kerana tidak tahan dengan kesejukan yang mencengkam.

               “Semenjak sepertiga terakhir malam bermula.” Lelaki itu kemudian bangkit daripada silanya.

               “Engkau tidak mengantukkah?”

Nadim tidak berpuas hati. Dia melihat Nirnama segar bugar, sedang dia sendiri masih berhajat mahu menyambung lena. Dia tidak pernah bangun seawal ini. Walaupun beragama Islam, Nadim anak jalanan tanpa ibu bapa. Tiada siapa peduli akan dirinya. Dia beragama Islam pun sekadar ikut-ikutan, memandangkan kebanyakan penduduk Perkampungan Medini menganut agama tersebut. Itu menjadikan dia tahu serba-sedikit akan kebiasaan dan ibadat dalam agama Islam.

               “Engkau tidak Solat Subuh?”

               Nadim tersentak apabila Nirnama menjawab soalannya dengan soalan juga. Dia tersengih sambil menggaru belakang kepala yang tidak gatal. “Aku tidak tahu. Heh heh heh.”

               “Aku boleh ajar.”

               “Bolehkah sembahyang tanpa air? Aku tahu kita kena ambil …”

               Tiba-tiba, Nirnama mengangkat telunjuknya ke bibir. Bicara Nadim terhenti. Wajah Nirnama nampak tegang. Angin tidak semena-mena berubah laku, mula bertiup dengan kencang. Dedaunan yang banyak menutupi lantai bumi berterbangan liar. Rimbunan daun pada pepohonan pula berguguran. Sebahagiannya menampar-nampar wajah Nadim.

               Unggun api meliang-liuk dengan liar, sebelum terpadam tanpa rela. Suasana yang tenang disimbahi remang cahaya api, bertukar gelita dalam sederu nafas sahaja.

               Dada Nadim berdegup kencang. Dia dapat merasakan yang Nirnama sedang merapati dirinya. Lelaki tanpa nama itu membelakangi Nadim, sambil sebelah tangan menyentuh bahunya.

               “Berundur, Nadim.”

               “Apa yang sedang berlaku?”

               “Ada tetamu.”

               “Tetamu?”

               Deruan sesuatu menggegarkan gegendang telinga Nadim kala satu lembaga yang tidak dapat dicermati keadaannya, meluru ke arah mereka. Nirnama terus menolak tubuh Nadim, membuatkan dia terundur.

Nadim langsung tidak dapat mengawal diri. Tolakan Nirnama tampak lemah dan ringan, tetapi rupa-rupanya sarat dengan tenaga. Nadim terjarak sekitar tiga depa jauhnya, sementara Nirnama dilihat menyambut serangan musuh di tengah-tengah gelita.

               “Cekap dan tangkas, Nirnama!”

               Daripada jeritan itu, jelas lembaga itu merupakan seorang manusia dan berjantina lelaki. Nirnama diam tidak membalas.

               “Ayuh!” Lembaga itu terus menyambung serangan.

Nadim tidak dapat melihat dengan jelas perseteruan mereka, hanya Nirnama yang terundur beberapa langkah. Apakah mereka diserang orang-orang Jagat Suci? Apakah tumbangnya Bagak Durjana membuatkan Nirnama menjadi buruan?
               Nadim mati akal. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Dia sedar, dia tidak mampu untuk membantu Nirnama, malah mungkin dia akan lebih menyusahkan lelaki berparut itu. Apakah dia perlu melarikan diri?