Nirnama – Hikayat 5

Kalau tuan merendang telur,
Jangan terlupa telur yang masin;
Kalau tuan sudah masyhur,
Jangan lupakan keluarga yang miskin.

Angin sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah, memandangkan bahtera tidak berlayar terlalu laju pada ketika ini. Cuaca juga baik-baik sahaja, cerah dan tenang, juga tidak terlalu terik kerana awan gemawan nipis memenuhi dada langit nan membiru lembut. Nadim benar-benar menikmati belaian bayu laut ke seluruh tubuh. Bau asin lautan seakan haruman yang bakal dirindui.

Dari kejauhan, kelihatan Pelabuhan Senari, tempat mereka bakal berlabuh tidak lama lagi. Dari sini sudah kelihatan sibuknya pelabuhan tersebut dan betapa megahnya ia. Tidak kalah dengan Pelabuhan Batu Sawar.

“Kita sudah hampir sampai, Nirnama!”

Nirnama yang berdiri di sebelah Nadim sekadar mengangguk, sambil bibirnya bergerak-gerak.

               “Hah, apa yang engkau kumat-kamitkan itu?”

               “Memuji Allah dan menyucikan-Nya.”

               “Kenapa engkau tak pernah lepas daripada berbuat demikian?”

               “Hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”

               Nadim menarik bibir. “Engkau tak percaya yang menjaga perjalanan kita sepanjang samudera luas adalah penjaga laut yang berbelas kasihan? Engkau tak nampak sekian banyak orang kaya di sini memberikan pengeras kepada penjaga lautan, meminta keselamatan?”

               Senyuman nipis menghiasi bibir Nirnama. “Tiada penjaga buat orang beriman selain Allah subhanahu wa taala.”

               “Bagaimana engkau yakin Allah yang menjaga kita?”

               Senyuman Nirnama melebar. “Kerana makhluk mustahil sentiasa dapat menjaga makhluk.”

               “Penjaga laut bukan sebarang makhluk!”

               “Engkau pernah melihat penjaga makhluk?”

               Nadim terdiam.

               “Demikian datuk nenek dan penjaga belantara. Engkau pernah melihat mereka?”

               “Engkau juga tak pernah melihat Allah, bukan?” Nadim tersengih.

               Nirnama ketawa kecil. “Ya. Tetapi Allah mendatangkan Rasul, bersamanya al-Quran. Dari sana, petunjuk bermula. Dari situ, kita belajar. Apa yang penjaga belantara dan laut, datuk, nenek pernah datangkan kepada orang-orang yang mempercayainya?”

               Terkebil-kebil Nadim apabila menjadi mangsa pertanyaan Nirnama. Lelaki berparut itu senyum segaris seraya perlahan-lahan menepuk belakang tubuh budak itu.

               “Engkau budak bijak, Nadim. Gunalah akal. Lihatlah seluruh alam ini. Bagaimana tidak cacamarbanya ia dan saling melengkapi, bergerak seiring berkhidmat untuk manusia. Apakah mungkin ada Tuhan yang berbeza-beza, sekian mengawal itu, sekian mengawal ini? Jika benar, cacamarbalah segala. Kesempurnaan yang kita tatapi semua ini datang dari Tuhan yang Esa.”

               “Betullah …”

               Nirnama memandang Nadim.

               “Engkau jarang berbicara panjang. Tapi kalau engkau panjang bicara, boleh buat orang sakit hati mendengarnya.” Nadim menyiku Nirnama.

               Mereka berdua tertawa.

               Nirnama jarang berbicara panjang. Namun, Nadim perasan pendekar berparut itu hanya akan berbicara hal-hal yang dirasakannya bermanfaat. Nirnama tidak pernah melayan sembang-sembang kosong. Bibirnya hanya akan bergerak-gerak berzikir mengingati dan memuji Allah. Tetapi apabila ada perkara yang dirasakan bermakna, mahu diterangkan olehnya, Nirnama boleh berbicara petah dalam suatu tempoh yang lama.

               “Kalian begitu mesra. Apakah kalian adik-beradik?”

               Soalan itu membuatkan Nadim dan Nirnama sama-sama menoleh ke belakang.

               Kelihatan Cendana mengukir senyuman manis, menambah seri kejelitaannya. Wajah Nadim bertukar girang, manakala Nirnama cepat-cepat mengalihkan pandangan kembali ke laut.

               “Hah, Cik Cendana. Mari sertai kami. Sekadar memenuhi masa sementara tiba di pelabuhan.”

               Cendana perlahan-lahan bergerak ke sisi Nadim. Budak nakal itu berada di tengah-tengah, antara dia dan Nirnama. Ketiga-tiganya berdiri di sisi penghadang bahtera yang memisahkan mereka dengan lautan maha luas.

               Suasana diserkup sepi buat beberapa ketika. Hanya bunyi deburan ombak menghempas badan bahtera mengisi pendengaran.

               “Cik Cendana sudah cukup berehat?” Nadim seperti biasa, tidak senang berdiam diri terlalu lama.

               “Ah, terima kasih, Nadim. Aku sudah mendapatkan kerehatan yang cukup. Nirnama berbelas kasihan kepadaku, mujur tumbukannya tidak menyentuh tubuh.” Cendana mengerling ke arah Nirnama yang kekal memaku pandangan ke lautan luas.

               Menyedari pandangan Cendana tidak berbalas, Nadim tersengih. “Jangan terasa hati, Cik Cendana. Nirnama memang tidak pandai bergaul.”

               Cendana tertawa kecil sambil mengangguk perlahan.

               “Kami bukan adik-beradik. Aku datang dari Perkampungan Medini. Nirnama membebaskan kami daripada cengkaman Bagak Durjana. Aku mengekori Nirnama kerana mahu mendalami kesaktiannya.”

               “Wah. Jadi, sudah berapa lama engkau bersama Nirnama?”

               “Sekitar dua minggu.” Nadim mencongak dengan jari. “Betul?” Nirnama disikunya.

               Nirnama mengangguk perlahan. Bibirnya kembali bergerak-gerak seperti biasa.

               “Apa kesaktian Nirnama yang telah engkau dalami?” Cendana melirik ke arah Nirnama walaupun soalan ditujukan kepada Nadim.

               Nadim menggaru belakang kepala yang tidak gatal sambil tersengih-sengih. “Dia terlalu berahsia. Selain ibadahnya, aku tidak tahu apa rahsia kekuatan Nirnama. Dia kedekut untuk berkongsi.” Sekali lagi Nirnama disikunya.

               Cendana tertawa. Pandangannya masih terpaku pada Nirnama. Dia terlihat segaris senyuman menghiasi bibir Nirnama. Manis sekali. 

               Selepas pertarungan mereka, dia hanya berbaring. Tubuhnya terasa begitu ngilu dan nyeri, bagaikan membengkak seluruh badan. Padahal, tidak ada lebam atau kecederaan yang kelihatan. Juga tidak dirasai sebarang kecederaan dalaman.

Seni silat yang digunakan oleh Nirnama tidak pernah dilihatnya. Tidak hairanlah andai ramai menganggap Nirnama ada kesaktian. Sebagai seorang srikandi dan pengamal ilmu persilatan, Cendana tahu bahawa apa yang dipamerkan oleh Nirnama merupakan satu kemahiran, bukan satu kesaktian atau sihir. Insan itu telah berlatih dengan latihan yang pastinya berat dan hebat, sehingga mampu melepaskan tumbukan pantas penuh berkuasa seperti semalam.

               Kalaulah tumbukan itu menyentuh tubuhnya, sudah pasti dia tidak akan mampu untuk berdiri seperti hari ini.

               “Cik Cendana, mustahil menaiki bahtera ini semata-mata untuk bertarung dengan Nirnama. Bukan kecil bayarannya. Atau, apakah itu satu-satunya tujuan Cik Cendana?” Nadim  menukar haluan perbualan.

               “Aku sememangnya mahu ke Kerajaan Serawa. Aku telah menempah tempat di atas bahtera ini sebelum kalian hadir di Pelabuhan Batu Sawar lagi.”

               “Oh, jika boleh dikongsi, apa tujuan Cik Cendana ke Kerajaan Serawa ini?”

               Melihat Nadim yang begitu ingin tahu, Cendana tertawa lagi. Memandang Nirnama yang berat mulut dan Nadim yang kuat bercakap itu, dia cuba membayangkan bagaimana mereka berdua menjalani urusan sehari-hari. Cendana menggeleng pula. 

               “Hah, kenapa? Aku tidak boleh tahu?” Nadim separa mendesak.

               “Bukan, aku sekadar tercuit hati melihat kesungguhan engkau berbicara.”

               Nadim ketawa sambil menggaru belakang kepalanya.

               “Aku ke mari untuk menyertai Sayembara 100 Pendekar yang dianjurkan oleh Puteri Santubong, salah seorang pemerintah Kerajaan Serawa.”

               “Hah, Kerajaan Serawa ada lebih daripada seorang pemerintah?”

               Cendana mengangguk sebelum melirik ke arah Nirnama. Kali ini, dia melihat Nirnama mengilas pandang kepadanya. Namun, sebentar cuma. Pendekar berparut itu cepat-cepat melarikan pandangan ke lautan luas. Cendana tersenyum sendiri.

               “Kerajaan Serawa asalnya diperintah oleh Raja Kayangan Dewata Mulya, selama hampir satu abad memandangkan umurnya begitu panjang dan dirinya sentiasa sihat. Dewata Mulya mempunyai banyak anak hasil perkahwinan dengan banyak isteri dan gundik, tetapi anak-anaknya semua tidak berumur panjang. Pada tahun-tahun akhir hidupnya, dia dikurniakan sepasang kembar hasil perkahwinan terakhir. Puteri Sejinjang dan Puteri Santubong.”

               Srikandi jelita itu melepaskan pandangan ke arah Pelabuhan Senari yang berbalam-balam dari kejauhan. Hanya gunung-ganang yang kelihatan. 

               “Puteri Sejinjang dan Puteri Santubong hidup melepasi umur 15 tahun. Lalu, Dewata Mulya membahagikan Kerajaan Serawa kepada dua, memberi peluang setiap puterinya menjadi penguasa. Puteri Sejinjang mendapat separuh, Puteri Santubong mendapat separuh. Namun, kedua-duanya masih berpusat di Kuching, kota utama Kerajaan Serawa. Setiap seorang membina istana di gunung yang berbeza.”

               Cendana memanjangkan tangan, menuding ke sebuah gunung besar yang paling hampir dengan lautan. “Itu Gunung Santubong. Di lerengnya, Istana Puteri Santubong. Pelabuhan Senari berada di bawah kekuasaannya.”

               Nadim terangguk-angguk, seronok mendengar perkongsian Cendana. Nirnama membisu, tetapi sebenarnya dia juga khusyuk mendengar. Sekali-sekala dia melirik ke arah Cendana. Sekali-sekala juga, pandangan mereka akan bertaut. Setiap kali itu berlaku, Nirnama akan pantas  melarikan pandangannya.

               “Segalanya berjalan dengan baik dan harmoni, sehinggalah satu waktu pada lima tahun yang lalu setelah kemangkatan Dewata Mulya, dua puteri itu tiba-tiba berpatah arang berkerat rotan dan saling bercakaran.”

               “Mengapa?” Nadim pantas bertanya.

               “Khabar bertiup bahawa perseteruan berlaku akibat cinta.” Cendana melirik ke arah Nirnama.

               Pandangan mereka bertaut buat kesekian kalinya.

               “Hah, cinta?”

               “Seorang putera, katanya dari kayangan, telah turun dan mahu menetap di Kerajaan Serawa. Dua puteri jatuh hati dan merebut cinta sang putera. Pergaduhan meleret sehingga kekuasaan Kerajaan Serawa benar-benar terpisah dua. Dua puteri saling berperang sesama sendiri.”

               “Hah, perang saudara!”

               Cendana mengangguk-angguk. “Kerajaan Serawa sudah lima tahun bergolak. Khabarnya, perang saudara ini telah sampai ke kemuncaknya. Puteri Santubong menganjurkan Sayembara 100 Pendekar, untuk mengumpulkan pahlawan-pahlawan terbaik di serata alam, bagi menghabisi kembarnya dalam peperangan terakhir yang bakal berlangsung tidak lama lagi.”

               “Jadi Cik Cendana …”

               “Aku mahu menjadi yang terhebat. Aku mahu membuktikan diri dalam sayembara tersebut. Kemudian, aku akan mengepalai tentera Puteri Santubong, menumbangkan Puteri Sejinjang, seterusnya berpakat dengannya untuk menentang Jagat Suci. Kerajaan Serawa dan seluruh isinya akan mampu menggugat Jagat Suci.”

               “Menarik, bukan …”

Suara Nirnama perlahan, tetapi cukup untuk membuatkan Cendana dan Nadim sama-sama memberikan perhatian.

“… saat Jagat Suci pada kemuncak kuasa merajai Tanah Semenanjung, Kerajaan Serawa bergejolak hebat?” Nirnama ini memusingkan tubuhnya, bersandar di penghadang.

               Cendana menyempitkan mata. “Apakah engkau tahu akan sesuatu?”

               Nadim mencekak pinggang. “Hah, pasti ada sebab mengapa hala tuju engkau ialah Kerajaan Serawa, Nirnama!” Dia bagai baru menyedari sesuatu.

               “Tuan Nirnama! Cik Cendana!”

               Nirnama, Cendana dan Nadim sama-sama menoleh. Tanggang sedang menghampiri mereka sambil diiringi dua orang perempuan yang rupawan. Langkahannya diiringi tawa girang.

               “Aku begitu berbesar hati dengan kesudian kalian berdua bertarung semalam. Aku mendapat keuntungan berganda-ganda. Terima kasih!”

Tanggang merapati Nirnama, meninggalkan pengiring-pengiringnya. Bahu Nirnama ditepuknya kuat. Nirnama tidak memberikan apa-apa tindak balas. Sekadar memerhati pedagang besar itu dengan pandangannya yang redup.

               “Ah, sudah pasti aku tidak mahu menjadi lading tajam sebelah. Hanya tahu menerima, tidak mahu berkongsi laba.” Tanggang memandang pengiringnya. Memberikan isyarat melalui gerakan kepala.

               Salah seorang perempuan itu bergerak menghampiri mereka. Harumannya menusuk hidung Nadim. Budak itu dapat melihat yang Nirnama tidak senang dengan haruman tersebut, menyisih hingga tubuhnya bertemu tubuh Nadim. Bibir Nirnama dilihatnya bergerak-gerak.

               Perempuan itu menyerahkan kepada Tanggang sebungkus kain yang kelihatan berat.

               “Ini bayaran aku untuk kalian berdua.” Bungkusan kain itu dihulur kepada Nirnama.

               Namun, pendekar berparut itu tidak pantas menyambut pemberian tersebut. Nadim teringat yang Nirnama sehabis boleh tidak mahu menerima apa-apa daripada penduduk Perkampungan Medini setelah menumbangkan Bagak Durjana. Nampak gayanya, Nirnama juga bakal menolak pemberian Orang Kaya Besar itu.

               Pantas Nadim mencapai bungkusan tersebut. “Biar aku yang jagakan hadiah ini. Terima kasih, Orang Kaya Besar. Kami sangat hargai.”

               Nirnama memandang Nadim. Pandangan mereka bertembung buat beberapa ketika. Nadim memberikan isyarat bahawa dia tetap berkeras mahu menerima hadiah itu. Nirnama akhirnya mengalah, membiarkan sahaja. Tanggang ketawa senang hati.

               Nadim bermanis wajah memandang Tanggang. “Wah, beratnya. Apakah ini wang?”

               “Ya benar. Cukup untuk kalian membeli sebidang tanah!” Tanggang mencekak pinggang. Megah.

               “Orang Kaya Besar pula dapat berapa banyak?” Cendana mencelah.

               “Ah, itu bukan urusan kalian, bukan?” Pedagang itu ketawa keras.

               Nyata, dia mendapat laba yang berkali ganda lebih besar.

               Tanggang menongkat tubuh dengan dua tangan diletakkan di atas penghadang bahtera. Pandangan dilayarkan ke arah Pelabuhan Senari.

               “Aku sudah lama tidak kembali ke sini.”

               “Hah, Orang Kaya Besar berasal dari sini?”

               Pedagang masyhur itu mengangguk.

               “Sudah terlalu lama.” Dia melihat ke arah Nadim. “Engkau tahu, aku meninggalkan tempat ini dahulu pada usia seperti engkau, budak? Tubuhku juga sama besar dengan engkau sekarang.”

               “Hah, biar betul, Orang Kaya Besar!” Nadim melihat tubuhnya, sebelum memandang kembali Tanggang yang bertubuh besar lagi sasa.

               “Ini hasil bergadang dan kerja keras.” Pedagang itu terus ketawa sambil mempamerkan otot lengannya. Dia sempat mengangkat keningnya dua kali ke arah Cendana, bagaikan ingin memukau srikandi itu.

               Cendana sekadar tersenyum kecil dan menggeleng.

               “Baiklah. Aku sangat berharap kalian sudi mendapatkan lagi khidmatku kelak. Aku seronok dengan kehadiran kalian di bahteraku.” Tanggang memandang Nirnama.

               “Engkau seronok kerana dapat mempergunakan kami untuk mendapatkan laba.”

               Bicara Cendana itu membuatkan Tanggang mencebik.

               “Wang adalah kuasa. Tanpa wang, kita takkan mampu berbuat apa-apa.” Mendengus kecil. “Dengan wang jugalah engkau berada di atas bahtera ini. Siapa yang berkata bahawa wang tidak mampu membeli bahagia, dia telah menipu sebenarnya!” Pedagang itu menepuk-nepuk dadanya.

               Nirnama kekal membisu. Nadim tidak tahu hendak menambah apa, risau andai perbualan yang awalnya mesra akan bertukar menjadi lebih tegang.

               “Maafkan aku, Orang Kaya Besar, jika bicaraku menyinggung hatimu.” Cendana sedikit menunduk.

               Tanggang terbahak-bahak ketawa seraya menggeleng. “Kalian pasti mahu kembali ke Tanah Semenanjung, bukan? Jika mahu pulang bersama bahtera ini, aku akan berlayar tujuh hari dari hari ini. Mungkin kita boleh aturkan sesuatu agar aku dapat mengaut keuntungan lagi?” Dia terus ketawa. “Aku sedia memberikan kalian tempat jika kita dapat aturkan perkara tersebut!”

               Nirnama menggeleng. Nadim terkejut apabila Nirnama memberikan reaksi. Cendana hanya memandang pahlawan berparut itu. Tawa Orang Kaya Besar tersebut surut.

               “Aku tidak mahu menjadi boneka orang. Jika jalan pulang adalah dengan berenang, maka itu akan aku lakukan.”

               Tanggang terpempan. Nadim segera menyiku Nirnama, memberikan tentangan terhadap bicaranya. Manakala Cendana pula menggaris senyuman pada bibirnya.

               “Nirnama, aku mahu kembali ke bahtera ini dan segala nikmatnya.” Nadim menekan suara.

               Itu membuatkan Tanggang ketawa semula. “Dengarlah bicara budak bijak ini, Tuan Nirnama. Mengapa mahu ditolak nikmat yang diberi? Hidup ini sekali cuma!” Dia kemudian berpaling dan menjauh.

Jelas, Tanggang tidak mahu memanjangkan perbualan mereka. Nampak nyata bahawa pegangan hidupnya berbeza benar dengan Nirnama dan Cendana.

               Nirnama, Cendana dan Nadim sama-sama menghantar Tanggang pergi dengan pandangan. Orang Kaya Besar itu menghilang di tengah-tengah khalayak manusia yang mula memenuhi bahagian atas bahtera.

               Nadim memandang Nirnama. “Engkau mahu pulang ke Tanah Semenanjung dengan berenang, engkau berenang seorang diri!”

               “Mengapa? Penjaga laut tidak mahu bantu hantar engkau pulang?”

               Bulat mata Nadim dengan balasan Nirnama.

               Cendana tertawa melihat ulah mereka berdua. Dia menggeleng. “Apa tujuan sebenar engkau ke mari, Nirnama?”

               Nirnama membalas pertanyaan Cendana dengan senyuman nipis. Membuatkan hati Cendana semakin bergelojak dengan rasa ingin tahu. Namun, Nirnama tidak mahu berbicara dan Cendana pula tidak mahu memaksa. Mereka sama-sama menghayati keindahan alam, memandang lautan luas serta gunung-ganang yang kukuh memasak bumi.

Pelabuhan Senari semakin mendekat.

***

“Ah, beratnya hati mahu meninggalkan bahtera ini!” Nadim menoleh ke belakang.

               Bahtera megah lagi besar itu mengisi pandangan. Kesibukan di pelabuhan mulai terasa. Ada orang kaya lagi terhormat, dibantu orang suruhan mereka mengangkat segala barang dan peralatan. Tidak kurang juga saudagar yang membawa barang dagangan yang tidak kurang sedikit. Hiruk-pikuk sangat hingar kedengaran.

Nirnama, Nadim dan Cendana bertiga sahaja yang tidak membawa peralatan megah atau barangan yang banyak.

               “Ah, Cik Cendana, apakah kita akan berpisah di sini?” Nadim memandang Cendana di sisi. Dia sekali lagi berdiri di antara Nirnama dan Cendana.

               Cendana memandang Nadim, kemudian melirik ke arah Nirnama. “Aku fikir, aku mahu mengubah haluan. Aku mahu mengembara bersama kalian.”

               “Hah!” Terbeliak mata Nadim.

               Langkahan Nirnama mati tanpa sebarang mukadimah. Air mukanya berubah.

               Cendana tersenyum lebar.

               “Mengapa?”

               “Aku dapat merasakan yang kelana Nirnama bukanlah suatu perjalanan tanpa tujuan. Engkau bukan sekadar membantu orang susah, bukan?” Cendana melirik Nirnama.

               Nirnama menundukkan pandangan, tidak mampu untuk bertaut mata dengan Cendana terlalu lama. “Kembaraku tidak sesuai berteman ramai.”

               “Tiga bukanlah terlalu banyak.” Cendana pantas menjawab.

               “Hah, Nirnama, aku fikir ada bagusnya Cik Cendana bersama-sama kita. Dia srikandi hebat. Boleh membantu jika ada cabaran mendatang. Tambahan, aku perlu teman berbual.”

Nadim memandang Nirnama sebelum mengalihkan pandangan ke arah Cendana dan mengangkat ibu jari. Kening Nadim terangkat dua kali. Cendana tertawa kecil sebelum mengangguk. Hembusan nafas kedengaran dari rongga Nirnama. Jelas, dia keberatan untuk bersetuju.

Namun, belum sempat bibirnya bergerak untuk bersuara, satu jeritan kedengaran terlalu hampir dengan mereka bertiga.

               “Tanggang, Tanggang!”

               Mereka bertiga serentak menoleh ke arah jeritan itu.

Tidak jauh dari tempat mereka bertiga berdiri, kelihatan sepasang suami isteri yang berusia. Mereka berdua sedikit bongkok, berpakaian lusuh dan compang-camping, terkedek-kedek mendaki tangga bahtera. Tubuh pasangan itu juga agak berbau kurang enak. Orang-orang kaya dan kehormat yang melihat pasangan itu mencebik dan menyisih. Jelas, mereka merasa jelek dan tidak menyenangi kehadiran pasangan tersebut.

               Kelihatan perempuan tua itu membawa sesuatu di dalam bungkusan. Kelihatan seperti batang buluh.

               “Huih, apa tu? Macam lemang. Sedap sangat baunya.” Nadim menjilat sekitar bibirnya.

               “Aku jangka itu Manuk Pansuh, makanan tradisi orang melayu di Kerajaan Serawa. Tetapi mengapa mereka membawanya ke bahtera? Kenapa mereka menyeru nama Orang Kaya Besar Tanggang?” Cendana memerhati penuh minat.

               “Manuk Pansuh, hah?” Nadim masih memberikan perhatian kepada makanan tersebut.

               “Ayam bersama ramuan khas, dimasak di dalam buluh. Seperti lemang.” Cendana menambah.

Nirnama kekal membisu. Hanya memandang dengan pandangannya yang redup.

               “Tanggang, ini mak datang. Bawa makanan kegemaran engkau, nak. Manuk Pansuh.” Perempuan tua itu melaung sambil dibantu suaminya, mendaki anak-anak tangga bahtera.

               “Tanggang, kami datang mahu bertemumu. Kami amat rindu akan dikau, wahai anakku.” Lelaki tua pula melaung.

               Tersentuh hati Nadim. Namun, dia bagaikan tidak senang melihat pasangan berusia emas itu terus melaung-laung, sedang orang ramai memandang jelek dan sinis terhadap mereka.

               “Di manakah Orang Kaya Besar Tanggang? Panggillah dia!” Nadim menjerit kepada pengawal di atas bahtera.

               “Apa yang kecoh-kecoh ini?” Suara Tanggang kedengaran.

               Orang Kaya Besar itu muncul bersama-sama sekumpulan orang kaya, yang merupakan tetamu kehormatnya.

               “Tanggang!” Pasangan suami isteri itu meluru ke arahnya.

               “Berhenti!” Langkahan mereka dihalang pengawal-pengawal bahtera.

               “Tanggang, ini kami, nak. Ayah dan ibumu.” Rayu si ibu tua.

               “Sudah terlalu lama kita terpisah, nak. Engkau tidak pernah pulang. Apabila khabar engkau mahu kembali sampai kepada kami, kami terlalu gembira!” Si ayah bersuara.

               Kedua-duanya bersuara serak, dan mula berjuraian air mata.

               “Engkau sudah besar, nak. Begitu gagah dan perkasa. Ini mak bawakan makanan kegemaran engkau. Tanggang, anakku. Tidakkah engkau ingat betapa berseleranya engkau menikmati lepat manuk pansuh saban waktu?”

               Nadim, Cendana dan Nirnama membatu memerhatikan peristiwa tersebut.

               “Apakah benar ini ibu dan ayahmu?”

               “Aku sangka engkau datang daripada keturunan kehormat?”

               “Siapa sangka Orang Kaya Besar Tanggang rupanya datang dari keluarga miskin.”

               “Mengapa badan mereka sangat berbau? Jijik.”

               “Makanan sedemikian merupakan kegemaranmu, Orang Besar Kaya Tanggang? Aku tidak menyangka.”

               Demikian suara-suara orang kaya di sekeliling Tanggang. Dia yang tadinya berwajah terkejut, perlahan-lahan mula beriak jelek dan jijik terhadap pasangan berusia di hadapannya.

“Kalian bukan ibu dan ayahku. Mereka telah lama tiada. Aku bukan daripada keluarga miskin dan kotor sebagaimana kalian. Aku orang terhormat!” Tanggang membentak. “Aku tidak makan makanan sedemikian jijik!”

               “Tanggang!”

Si ibu tersentak manakala si bapa pula terpempan, terus mati bicara. Mereka cuba merapati Tanggang tetapi tetap dihadang oleh dua pengawal.

               “Cuba rasa dahulu makanan ini, nak. Engkau akan dapati aku ibumu. Rasanya tidak pernah berubah!” Terketar-ketar perempuan tua itu menghulurkan bungkusan berisi buluh melepasi dua pengawal yang menghalangnya.

               Tanggang pantas menampar bungkusan tersebut, terpelanting buluh tersebut jatuh ke laut.

               Mata pasangan berusia emas itu sama-sama terbeliak.

               “Aku sudah katakan, aku tidak gemar makanan sedemikian jijik!” Suara Tanggang tinggi. “Aku bukan anak kalian. Aku datang daripada keluarga terhormat!”

               Pasangan tua itu saling berpandangan. Riak wajah mereka jelas mewakili hati yang remuk.

               Perlahan-lahan air jernih mengalir pada sisi pipi Nadim. Apa yang dilihatnya menyentuh kalbu. Sebagai anak yatim piatu yang membesar tanpa kasih ibu dan ayah, apa yang sedang berlaku itu sangat merenggut jiwa.

               “Apakah benar itu bukan ibu bapa Orang Kaya Besar Tanggang?” Nadim memandang Nirnama.

               Nirnama menjungkit bahu. Dia tidak mengenali siapa ibu bapa Orang Kaya Besar tersebut. Tambah pula, pertemuan pertamanya dengan Tanggang adalah di Pelabuhan Batu Sawar tempoh hari. Bagaimana mungkin dia mengenali ibu bapa pedagang masyhur tersebut.

               “Walaupun itu bukan ibu dan ayahnya yang sebenar, tidak wajar bersikap sedemikian. Bukankah sebaiknya berbudi bahasa. Pasangan itu merupakan orang tua.” Cendana bersuara.

Nadim mengangguk-angguk sambil menyeka air mata.

               “Berambus kalian dari sini. Jangan kotori bahteraku!” Tanggang bercekak pinggang. “Berambus. Jangan ganggu aku lagi!”

               Orang Kaya Besar itu kemudian meluru melepasi dua pengawalnya. Tubuh besarnya merapati dua orang tua itu, pantas dengan kasar menolak mereka. Kedua-duanya tersungkur di anak tangga bahtera.

               Nadim tersentak, bagaikan jantungnya sendiri jatuh dan pecah. Dia mahu membantu kedua-dua orang tua itu, tetapi belum sempat dia bergerak, Nirnama telah menarik bahunya.

               “Mengapa? Aku mahu membantu mereka.”

               Nirnama mengangkat tangan, isyarat supaya Nadim menanti.

               Tanggang mendengus. “Berambus! Jangan biarkan aku bertindak lebih kasar. Berani sungguh kalian mencemari bahteraku ini!”

               Orang-orang kaya yang berada di atas bahtera tersengih-sengih. Ada yang menggeleng. Mungkin menyangka pasangan tua itu merupakan orang gila. Mungkin juga menyangka bahawa  dua orang tua itu mahu mengambil kesempatan atas kekayaan Tanggang.

               Pasangan berusia emas itu menangis. Lebih-lebih lagi si ibu. Air matanya berjatuhan lebat.

               “Sampai hati engkau buat kami begini, Tanggang. Sampai begini kekayaan mengotorkan hatimu? Tergamak engkau berkasar dengan kedua-dua ibu bapamu?”

               “Kekayaan bukan mengotorkan hatiku. Kekayaan mengangkat kehidupanku. Kekayaan membukakan dunia kepadaku. Miskin tidak berkuasa untuk berbuat apa-apa. Kekayaan memberikan aku kuasa!” Tanggang mengherdik, sambil meludah ke arah dua orang tua tersebut sebelum bergerak menyertai orang-orang kaya di atas bahteranya.

               Terpempan kedua-dua orang tua itu.

               “Jika demikian …” Si ibu menoleh ke arah Tanggang. Pandangannya setajam helang, bagai mahu mematuk tengkorak Orang Kaya Besar itu. “… aku sumpah engkau menjadi batu dengan izin Penguasa Alam ini. Supaya engkau sedar bahawa kekayaan tidak akan menyelamatkanmu, anakku!”

               Tanggang tersentak. Demikian orang-orang kaya di sekelilingnya. Semua tersentak dengan laungan itu. Namun begitu, beberapa ketika kemudian, mereka ketawa terbahak-bahak.

               “Karut orang tua ini.”

               “Apa dia ingat dia ada sakti?”

               “Engkau fikir engkau Jagat Suci, orang tua?”

               Tanggang turut ketawa bersama mereka. Lelaki tua yang mengaku sebagai ayahnya itu segera mendapatkan si isteri. Mereka saling berpelukan, berkongsi hiba yang merajai jiwa. 

               “Wahai Tuhan Penguasa Alam, makbulkanlah permintaan isteriku!”

               Teriakan lelaki tua itu tambah membuatkan orang-orang kaya dan Tanggang mentertawakan mereka.

               Hati Nadim luluh. “Hah, celaka punya orang-orang kaya!”

Nadim mengepal penumbuk dan mengetap geraham. Dia mahu bergerak ke arah mereka, tetapi Nirnama masih memegang bahunya.

               “Lepaskan aku, Nirnama. Aku perlu ajar mereka yang bia …”

               Sekonyong-konyong, angin menderu terlalu kencang hingga ada barangan yang berterbangan. Beberapa orang terjatuh ke laut. Orang kaya yang rata-rata berjubah kemegahan, kelam-kabut saat pakaian mereka berkibaran hebat dek deruan angin.

Dalam kelam-kabut itu, perlahan-lahan Tanggang disisihkan oleh orang ramai. Masing-masing sibuk menguruskan diri sendiri. Deruan angin yang tiba-tiba menggila menggegarkan bahtera milik Orang Kaya Besar itu. Ramai yang mula terhuyung-hayang.

               Nadim sendiri merasakan dirinya hampir terbang dibawa angin. Mujur Nirnama memegang bahunya dengan kejap. Cendana pula berusaha untuk kekal berdiri sambil menjaga pelitup kepala dan pakaiannya daripada terangkat dibawa angin.

               “Apa yang sedang berlaku?” Nadim menjerit sekuat hati, cuba menyampaikan suaranya kepada Nirnama.

               Awan bertukar menjadi kelabu gelap, berpusar-pusar bagaikan menjemput taufan bertamu. Perubahan alam yang tiba-tiba itu membuatkan Tanggang terpinga-pinga.

               “Balasan Tuhan.” Nirnama berdesir.

               “Hah?”

               Tiba-tiba, kilauan cahaya yang menyilaukan pandangan muncul dari langit. Diekori dentuman yang membingitkan telinga. Percikan api bertebaran ke merata tempat. Ramai yang terkejut dengan apa yang berlaku. Ada yang meniarap, risau kilauan cahaya itu akan menyambar mereka.

               Setelah beberapa ketika, ramai yang mula membuka mata.

               Bau hangit menusuk rongga. Asap berkepul-kepul naik mengabui pandangan semua.

               Kebakaran kecil berlaku di sana sini. Para pengawal bahtera cepat-cepat memadamkan api. Ada yang mengibas-ngibas udara, menolak asap yang sedang memenuhi suasana.

               Apabila asap itu menyisih, terzahir satu lembaga. Semakin lama semakin jelas rupanya.

               Mata Nadim terbelalak. Cendana terperanjat. Nirnama menghela nafas panjang.

               “Anakku!”

               Tanggang sudah bertukar menjadi batu!