Peluru 5 – Keadilan

Dunia tidak adil,
yang baik kadang tidak mendapat balasan,
yang buruk kadang ditatang,
buat orang persoal, apakah wujud Tuhan Maha Penyayang?

Dunia tidak adil,
kerna dunia medan ujian,
di akhirat sana adil memunculkan diri,
sekecil debu perbuatan,
ada balasan.

Faisal merangkak dengan berhati-hati. Dia menuju ke belakang dinding. Kawasan terbengkalai itu sunyi sepi, namun Faisal memasang telinga, cuba mendengar apa sahaja bunyi yang terhasil. Di tangannya sepucuk pistol, dipegang erat oleh kedua-dua tangannya.

              Bersedia.

              Tiba-tiba bunyi desiran kedengaran. Terus Faisal keluar dari persembunyian. Tembakan dilepaskan. Dua pasang kaki kelihatan baru sahaja menghilang ke balik timbunan batu yang terdapat di ruangan itu. Tembakan Faisal meninggalkan bekas pada lantai. Berwarna merah.

              Seketul batu terus melayang dari balik timbunan tersebut, menuju ke arah Faisal.

              Faisal mengelak. Dan ketika ini, muncul Luke dari timbunan batu itu, di tangannya terdapat sepucuk pistol. Picu ditekan beberapa kali.

              Hampir sahaja Faisal menjadi mangsa, jika dia tidak bertindak pantas memutarkan tubuhnya dan turun ke bawah. Tembakan-tembakan Luke sekadar menjamah dinding, meninggalkan beberapa tompokan berwarna hijau. Dalam keadaan melutut dan membelakangkan Luke, Faisal melepaskan tembakan ke arah belakang dengan pistol berada pada aras pinggang.

               Luke sempat mengelak dengan mengiringkan wajahnya, peluru Faisal berjarak satu sentimeter sahaja daripada hidungnya. Pada masa yang sama, Luke menaiki timbunan batu di hadapannya, kemudian melompat dan di tengah udara, dia mengacukan senjatanya ke arah Faisal sambil melepaskan beberapa das tembakan.

              Faisal berguling mengelak tembakan-tembakan tersebut.

              Dan apabila Luke mendarat, Faisal sudah bangun di atas lututnya, kedua-dua mereka mengacukan senjata ke arah masing-masing dan melepaskan tembakan. Hanya bunyi ‘klik’ kedengaran beberapa kali.

              Faisal pantas mengambil magazin yang tersemat pada pinggang. Belum sempat dia mengisi peluru, pistol milik Luke melayang tepat ke wajahnya. Faisal jatuh menghentam lantai. Luke mara ke arahnya. Leher Faisal dicekik. Namun Faisal pantas melayangkan tumbukan ke rusuk kiri Luke. Genggaman Luke menjadi longgar. Tangan Luke ditangkap, sebelum dua kaki Faisal diangkat dan mendakap tubuh Luke. Pinggang Faisal berputar.

              Giliran Luke jatuh menyembah lantai.

              Luke kesakitan, dan Faisal berusaha sekuat hatinya mencekik Luke menggunakan kedua belah kakinya. Luke segera menggerakkan tangan kirinya, menangkap kaki Faisal yang berada di atasnya, dan cuba meregangkan sepitan yang dilakukan Faisal.

              Gagal.

              Cubaan kedua, Luke menyatukan jemarinya, dan mula mencucuk atas tumit Faisal. Faisal mengerang kesakitan. Sepitannya menjadi longgar. Luke dan Faisal sama-sama berguling ke arah berlawanan, sebelum kedua-duanya bangkit.

              Luke mencapai batu di atas lantai dan terus melemparkannya ke arah Faisal.

              Faisal mengelak sambil mara ke hadapan.

              Luke turut mara dan melancarkan tumbukan. Faisal bertahan dan pada masa yang sama melepaskan satu tumbukan, yang akhirnya ditangkap Luke. Kedua-dua mereka terkunci seketika, pergerakan mereka mati. Faisal terus menyepak Luke menggunakan kaki. Luke menahan menggunakan pehanya. Kiri kanan, kiri kanan. Sebelum mereka sama-sama menjadikan perut lawan sebagai sasaran, dan kedua-duanya kembali terpisah ke arah berlawanan.

              Kedua-duanya tidak membazirkan masa menanti. Sebaik sahaja mereka jatuh, kedua-duanya terus berguling dan bangkit. Namun Faisal mengambil sedikit masa, memandangkan dia jatuh berhampiran pistol dan magazin, dia mengambil kedua-dua objek terebut terlebih dahulu. Ini memberikan masa yang lebih kepada Luke, yang menyedari tindakan Faisal. Luke segera menyapu lantai menggunakan tangannya, mengumpul debu-debu, dan kemudian memecut ke hadapan.

              Faisal berjaya mencapai magazin dan pistol, membuang magazin lama dan menyatukan senjatanya dengan magazin baru. Namun apabila dia baru hendak mengacukan senjata tersebut ke arah Luke, Luke telah melempar debu-debu ke matanya, membuatkan pandangan Faisal terganggu, kerana dia terpaksa berkelip berkali-kali. Menuruti tindakan itu, Luke melepaskan satu tendangan tepat ke dada Faisal.

              Faisal terundur beberapa langkah ke belakang, namun hilang kawalan dan jatuh terlentang. Senjatanya terlepas, dan terus disambar oleh Luke.

              Duf! Duf! Duf!

              Kawasan dada Faisal penuh dengan warna merah.

              Tembakan-tembakan Luke tepat mengenainya.

              Apabila dia berjaya membuka mata, dia melihat Luke masih dalam posisi mengacukan senjata ke arahnya, sedang nafas turun naik.

              Dia melihat bapa angkatnya tersengih, kemudian bertukar menjadi senyuman lebar. Senjata diturunkan, disisipkan di pinggang, sebelum tangan dihulurkan kepada Faisal.

              Faisal turut tersengih, menyambut huluran tangan bapa angkatnya itu, dan bangkit.

              “Hebat. Tidak hairanlah engkau sangat digeruni.” Belakang tubuh Faisal ditepuk beberapa kali.

              “Heh, kalah buat apa.” Faisal tertawa kecil. Pandangan mereka bertentangan. Wajah masing-masing dibasahi keringat.

              “Hei, engkau bertarung dengan pembunuh terhebat Organisasi Hitam. Dapat ke tahap ini, sudah patut berbangga.” Luke turut tertawa.

              Faisal menggeleng. “Sudah lama tidak berlatih dengan Bapa. Jika sering, mungkin keputusan berbeza.”

              “Tak nak kalah juga tu. Tahulah bilangan mangsa kita bagai langit dan bumi.”

              Apabila Luke menyebut hal itu, lidah Faisal menjadi kelu. Wajahnya yang ceria sebentar tadi menjadi pudar. Perubahan itu dikesani oleh Luke.

              “Jom, duduk, minum.” Luke mengajak, sambil menggerakkan tangannya, menunjuk jalan keluar dari kawasan terbengkalai tersebut. Faisal mengangguk.

              Mereka sama-sama keluar dari bilik itu, mengambil tangga, turun ke bawah. Selepas turun beberapa tingkat, mereka sampai ke luar bangunan.

              “Wah, mendung. Musim hujan dah nak datang ke ni?” Luke memandang langit. Berkerut, sambil meneruskan langkahan.

Beberapa langkah menjauhi bangunan, mereka mengambil tempat di salah satu meja bulat yang tersedia di situ. Di atas meja tersebut, terdapat satu kotak berwarna merah. Luke segera membuka kotak tersebut, yang berisi ais dan beberapa tin minuman isotonik. Dia mencapai dua, dan satu dilambung kepada Faisal.

              Faisal menangkap tin tersebut dan mengambil tempat duduk.

              Sempat kepalanya berpusing memerhati sekeliling.

              Kawasan terbengkalai ini terletak betul-betul di sempadan Kotaraya Anggerik, berhadapan dengan Selat Tebrau. Jika berada di aras yang tinggi, mereka akan mampu melihat Singapura dengan sangat jelas. Kawasan ini dahulunya menjadi pengkalan bagi organisasi pengedaran dadah, yang kemudiannya ditumbangkan oleh Faisal. Antara misi awal yang dilakukannya, beberapa tahun lepas.

              Kini, kawasan ini dijadikan pusat latihan bagi pembunuh-pembunuh Organisasi Hitam. Walaupun sekali lalu, bangunan ini kelihatan usang dan terbengkalai, hakikatnya di bahagian dalam, wujud beberapa aras yang menyediakan sesi latihan yang berbeza. Ada lapang sasar, ada gim, ada kawasan ‘paintball’ seperti yang digunakan oleh mereka sebentar tadi, dan ada kawasan untuk latihan pertempuran tangan kosong.

              Tiada siapa yang mengetahui, dan pihak berkuasa juga tidak menyiasat, kerana kawasan ini dipagari seluruhnya, tiada siapa boleh masuk dengan sengaja, dan kawasan ini telah dibeli oleh BlackSky Property.

              Tin minuman dibuka, minuman diteguk. Faisal mengesat kawasan mulutnya. Kemudian matanya mendarat pada pandangan Luke, yang dia yakin, telah memandangnya semenjak tadi.

              “Kenapa?”

              Faisal menggeleng.

              “Engkau tahu, engkau tu dahlah tak ada kawan. Kawan-kawan yang ada, engkau jauhi. Sekarang dengan bapa engkau, engkau tak nak bercakap?” Luke tersengih.

              Faisal tersengih sama.

              “Bapa, semasa menumbangkan organisasi Salman Al-Hafiz beberapa hari lepas, aku menyedari bahawa kehidupan kita ini ialah kehidupan yang pekat kegelapannya.” Faisal mendongak. Memandang langit mendung. Mungkin itu ialah interpretasi jiwanya sekarang.

              Luke diam tidak cepat mencelah. Memberi ruang untuk Faisal membuat luahan.

              “Aku ingin keluar. Tetapi nampaknya tidak mampu. Hidupku akan berterusan dilumuri darah, mereka yang kurang bernasib baik berhadapan denganku.” Faisal menghela nafas.

              “Mengapa engkau ingin keluar dari kehidupan ini sebenarnya? Tidakkah engkau merasakan bahawa kita ialah antara manusia yang paling bebas di atas muka bumi ini? Tidak terikat dengan apa-apa peraturan, mempunyai kemewahan yang besar. Apa lagi yang engkau mahu?” Luke berkerut. Matanya sedikit tajam.

              “Aku tidak faham sebenarnya.” Dia menambah.

              “Bagaimana apabila kita mati, Bapa? Ke mana kita akan pergi selepas mati?”

              “Engkau mahu kembali menjadi Muslim yang mempraktikkan kepercayaannya? Engkau sendiri lihat apa yang berlaku kepada Ibu Ayah engkau? Mereka mati begitu sahaja. Di mana Tuhan ketika mereka diserang oleh ninja-ninja yakuza itu hah? Tuhan tiada, yang ada hanyalah aku!” Mata Luke menjegil. Nadanya berang.

              Faisal tidak terus membalas. Luke kelihatan agak emosional. Semenjak Faisal menyatakan bahawa dirinya ingin keluar daripada dunia gelap, dia perasan yang Luke akan memarahinya saban dia membangkitkan hal tersebut.

              “Selepas kita mati, kita jadi debu. Akhirat yang dicanang-canangkan, tiada bukti. Mana bukti empirikal bahawa akhirat itu wujud? Bahawa nanti kita semua akan dibangkitkan semula? Tiada bukan? Itu semua hanya kepercayaan karut!” Luke meninggikan suarannya. Hampir sahaja dia bangkit dari duduk kerana tidak dapat mengawal kemarahannya.

              “Ya, memang tiada.” Faisal menghela nafas. “Tetapi apa perasaan galau yang bermain di dalam jiwaku ini, Bapa? Mengapa bau hanyir darah kuhidu di mana-mana?”

              “Itu semua hanya mainan perasaan, Faisal. Aku melaluinya. Sampai satu tahap, kita tertanya-tanya, apakah jalan yang kita ambil di dalam hidup ini, merupakan jalan yang betul. Jalan terus. Apa lagi yang lebih betul dari semua ini? Hidup hanya sekali. Kita mesti hidup sepenuhnya, dengan cara kita! Bukan menurut tuntutan kitab berusia lebih 1400 tahun dan arahan Tuhan yang tidak terlihat! Mereka hanya kaum yang suka menghukum! Itu haram, ini haram! Padahal merekalah golongan paling hipokrit. Apa engkau tidak melihat Salman Al-Hafiz? Imam, tapi sama sahaja dengan kita!”

              Faisal dapat merasakan bahawa bicara Luke hanya berdasarkan emosi.

              Salman Al-Hafiz mungkin merupakan seorang ekstrimis. Tetapi menghukum seluruh ummat Islam dengan sikap seorang Salman Al-Hafiz, bukan caranya. Logik asas yang sepatutnya Luke juga tahu.

              “Aku faham Bapa mahu aku rela dengan kehidupan ini. Awal-awal aku akui, aku seronok dengannya. Namun hari demi hari, bila tubuhku kuyup dengan darah, nyawa demi nyawa, organ demi organ bersepai di hadapan mata, aku tidak menikmatinya.”

              Luke menggenggam kedua-dua belah tangannya. Seperti bersedia hendak mengangkat tangan-tangan itu, untuk menangkap Faisal dan membantingnya.

              “Tapi…” Suara Faisal membuatkan Luke tidak meneruskan hajatnya.

              “Aku tahu bahawa aku tidak boleh membawa Amirah masuk ke dalam hidup ini. Maka semalam, aku telah menghantar mesej dan menyatakan bahawa aku tidak mahu meneruskan perkahwinan kami.”

              Mata Luke membesar. Wajahnya yang tadinya durja, perlahan-lahan menjadi ceria. Senyuman terukir dan melebar. Terus tangannya mencapai kepala Faisal dan meramas rambutnya.

              “Ha, macam inilah orang yang aku besarkan!”

              Faisal tersengih. Perlahan dia menepis tangan Luke.

              “Bukan untuk memenuhi hajat Bapa. Tetapi lebih kepada tidak mahu menarik Amirah ke dalam kehidupan serba kotor ini.” Faisal menundukkan sedikit wajahnya.

              Jelas dia dirundung kecewa.

              Keceriaan di wajah Luke memudar melihat keadaan Faisal.

              Kemudian Faisal melihat Luke mengangkat wajah dan memandang ke langit mendung. “Engkau tahu Faisal, sebelum aku menyertai Organisasi Hitam, aku ialah seorang suami. Aku dan isteri berkahwin awal.”

              Mata Faisal membesar. Luke tidak pernah berkongsi kisah silamnya.

              “Kami orang susah. Kerajaan masa itu sangat korup, dan menyedut hasil mahsul negara tanpa menoleh kiri dan kanan. Pihak pembangkang pun 2×5. Ahli politik menggila ketika itu, semua dipolitikkan, hingga kehidupan rakyat tergadai. Orang seperti aku, hidup dalam kesempitan. Tetapi kami positif. Habis sahaja sekolah menengah, aku dan isteriku berkahwin. Kami hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Cukup-cukup makan. Bahagia.” Luke memandang jauh, seakan pandangannya menerobos langit mendung.

              Langit mendung seakan mewakili perjalanan hidupnya.

              Faisal melihat sahaja. Dia tidak pernah melihat Luke berkeadaan sebegini sepanjang berkenalan dengan lelaki ini.

              “Tidak lama kemudian, isteriku mengandung. Walaupun aku tahu itu bermakna bebanan hidup kami bertambah, tetapi aku gembira. Aku bekerja keras siang dan malam. Isteriku juga sama. Terus bekerja walau sarat mengandung. Hinggalah pada satu hari, tragedi itu berlaku.” Luke menundukkan kepala. Dia seperti sebak. Jari jemari dirapatkan ke bibir. Faisal dapat melihat mata lelaki itu bergenang.

              Tetapi Luke tetap tidak menumpahkan air mata. Egonya masih dijaga.

              “Satu hari, semasa isteriku pulang dari pasar, dia diragut. Sedang di dalam beg tangannya bukan ada duit, Faisal!” Luke memandang Faisal. Matanya menjegil. Marah. Air matanya tumpah.

              “Dia jatuh di atas jalan raya, kemudian mati digilis kereta.”

              Faisal mengerutkan dahi. Tidak sangka.

              “Di mana Tuhan, Faisal? Di mana Tuhan?” Luke menampar meja.

              “Kami solat lima waktu, kami berdoa, kami bersabar, kami tabah. Kami tidak mencuri. Kami tidak melanggar apa-apa peraturan. Baik peraturan agama atau peraturan kerajaan. Kami hidup dengan apa yang kami ada. Kami bersyukur dengan apa yang kami dapat. Kami tidak hasad dengan apa yang kami tiada. Kami tidak bergaduh dengan orang. Tetapi mengapa kejadian itu menimpa isteriku Faisal? Mengapa dia dipilih untuk menghadapi tragedi itu? Meragut nyawanya dan anak di dalam kandungan?” Suara Luke bergetar. Air mata sudah membasahi pipi.

              “Jika Tuhan wujud, Tuhan tidak akan membiarkan itu berlaku. Jika Islamis benar, parti Islam ketika itu tidak akan sibuk berpolitik sampai mengabaikan rakyat susah seperti kami. Jemaah-jemaah dakwah tidak akan sibuk bercakaran sesama sendiri untuk menyatakan siapa lebih benar, mereka akan sibuk membantu rakyat susah seperti kami! Tetapi tidak bukan? Mereka semua hipokrit. Mereka menunggang agama untuk mempamerkan mereka suci! Mereka berlagak tenang, seakan telah dijanjikan syurga. Tetapi mereka sedikit pun tidak memahami ertinya derita. Ertinya susah! Agama hanya candu! Politik hanyalah alat! Tuhan hanyalah ideologi untuk orang-orang yang inginkan harapan!” Luke meninggikan suaranya setinggi-tingginya. Air mata sudah bergayut di dagu.

              Guruh berdentum. Kilat muncul.

              “Mana Tuhan! Kalau Tuhan ada, panahlah aku sekarang, jahanam!” Luke mengacung penumbuknya ke langit. Kemarahannya ditala ke sana.

              Hujan mula turun setitik demi setitik. Kemudian renyai.

              Faisal menghela nafas buat kesekian kalinya. Dia tidak tahu.

              “Pihak berkuasa tidak berjaya mendapatkan keadilan terhadap isteriku. Kami tiada insuran atau takaful, maka kematiannya tidak berharga apa-apa. Semua orang kemudian sibuk dengan kehidupan masing-masing. Isteriku sekadar menjadi satu lagi cerita di dalam berita. Di mana Tuhan Faisal?” Buat kesekian kalinya, Luke melontarkan soalan tersebut kepada Faisal.

              Faisal tidak menjawab.

              “Ketika itulah, Maximus mengutip aku. Maximus lah yang mendapatkan penjenayah tersebut dan memberikan aku peluang untuk menuntut bela terhadap kematian isteri dan anak di dalam kandungannya! Maximus yang kemudian menunjukkan kepada aku kehidupan ini! Jika Tuhan itu ada, maka Maximus itu Tuhan!”

              Guruh berdentum lagi.

              “Apa?” Luke berteriak ke langit. “Kalau betul ada Tuhan di atas sana, panah aku sekarang!” Dia melaung.

              Faisal terus bangkit, dan memeluk Luke. Mereka tidak pernah berdakapan sepanjang perkenalan mereka. Itu kali pertama. Ibarat seorang anak yang menenangkan bapanya, Luke dipeluk erat.

              “Bertenang Bapa. Aku mungkin tidak melalui, tetapi aku kehilangan juga. Mungkin aku masih mencari jalan, tetapi aku memahami apa yang engkau lalui, Bapa.”

              Luke menangis teresak-esak, dia mendakap Faisal lebih erat.

              “Sekarang engkau pula hendak meninggalkan aku, Faisal? Aku tidak mahu engkau kecewa. Aku tidak mahu engkau terluka sebenarnya.”

              Faisal mengangguk. Pelukan direnggangkan.

              “Bapa, walau apa pun, aku tidak akan meninggalkan engkau.”

              Sisi bahu Luke ditepuk lembut beberapa kali. Pakaian mereka berdua mula basah menyerap hujan. Namun mata Luke dan Faisal kekal bertaut.

              “Segala apa yang baik, yang ada padaku sekarang ini Bapa. Semua bermula daripadamu.”

              Bahu Faisal disentuh, dan ditepuk lembut juga.

              “Maafkan aku meninggikan suara kebelakangan ini.” Luke mengambil kotak merah di hadapan mereka. Berpaling dan bergerak menuju ke kereta. Tanda dia tidak berminat untuk meneruskan perbualan dan ingin pulang. Faisal mengekori, memandangkan mereka berkongsi kenderaan ke mari.

              Ketika ini, beberapa buah kereta mewah berjenama antarabangsa, meluncur masuk ke perkarangan bangunan terbengkalai itu.

              “Woo, hujan, hujan!” Zee keluar dari kenderaannya dan terus berlari masuk.

              “Macam budak lah Zee ni.” Bull keluar, sedikit pun tidak kisah dengan cuaca. Berjalan selangkah demi selangkah.

              Liz turut keluar dari kenderaannya. Segera membuka payung, dan berjalan seiring dengan Bull.

               Aiden dan Ramesh keluar dari kenderaan masing-masing, dan bergerak lambat-lambat. Mereka semua berpakaian sukan. Nampak seperti ada latihan khas.

              “Faisal, Luke.” Bull mengangkat tangan.

              Faisal sekadar mengangkat kening. Luke terus masuk ke dalam kenderaan.

              “Dia tak tanya khabar kita dah sekarang.” Liz menyindir.

              Faisal tersengih. “Ada latihan apa?”

              “Rahsia!” Aiden mencelah.

              Ramesh tertawa. “Nak join?”

              Faisal menggeleng.

              “Dia mana kawan dengan kita dah woi!” Zee melaung.

              Mereka berempat berlalu pergi meninggalkan Faisal dan bergerak ke arah Zee. Faisal memerhati mereka buat beberapa ketika. Liz mengangkat tangan, melambai tanpa berpaling.

              Faisal menghela nafas.

              Kemelut di dalam jiwanya membuatkan dia tidak lagi bernafsu untuk bergaul dengan mereka. Tiga tahun yang lepas, mungkin dia akan teruja dan bertanya banyak, akan apakah misi mereka yang terkini, latihan apa yang mereka hendak lakukan.

              Kini, dia tidak lagi kisah.

              Faisal masuk ke dalam Adiwiranya. Kereta itu dihidupkan, dan mereka bertolak keluar dari perkarangan bangunan tersebut.

******

Faisal keluar dari bilik air. Bertuala dari pinggang ke lutut, mempamerkan tubuhnya yang mempunyai beberapa parut. Tubuhnnya berotot, walaupun tidak besar dan terlalu sasa. Faisal bergerak melepasi katil, dan pergi ke almari, mengambil sehelai baju kasual berlengan panjang, bersama sehelai seluar tiga suku. Selepas mengenakan pasangan pakaian tersebut, dia mengambil tuala dan meramas kepalanya, sebelum melemparkan tuala tersebut ke katil.

              Faisal kemudian bergerak ke almari buku di dalam bilik tersebut, dan dia menekan satu punat yang terdapat pada almari tersebut. Almari itu kemudiannya terpisah kepada dua bahagian. Faisal masuk ke dalam dan mengambil tempat di atas sofa.

              Di atas sofa tersebut, sudah terdapat telefon pintarnya.

              Dia tidak menyentuh objek tersebut.

              “Apa dia?”

              “Saya ingat, kita kena batalkan perkahwinan kita.”

              “Kenapa?”

              “Saya tak mampu lah Amirah. Saya takut dan risau.”

              “Awak, janganlah begitu. Ummi dan Abah sudah gembira hendak menerima awak. Apa sahaja dosa yang awak ada, jangan berputus asa dengan rahmat Allah, Faisal.”

              “Bukan hendak berputus asa dengan rahmat Tuhan. Tetapi tidak mahu awak terlibat dengan kehidupan saya yang kotor.”

              “Awak, saya ada untuk membantu awak meninggalkan apa sahaja dosa awak. Jangan mengalah sekarang.”

              “Tapi awak tak tahu apa dosa saya.”

              Suara Amirah tidak kendengaran di corong. Wanita itu nampaknya terdiam.

              “Dosa saya sangat besar dan berat. Saya fikir, kita tidak akan mampu mengubahnya. Bahkan, saya risau jika saya mengheret awak sama!”

              “Apa dosa awak, Faisal?”

              Giliran Faisal terdiam. Antara kod di dalam Organisasi Hitam ialah larangan untuk mendedahkan identiti mereka sebagai ahli organisasi tersebut. Faisal tidak boleh berkongsi aktivitinya dengan Amirah.

              “Saya tidak boleh beritahu.”

              “Awak kena beri peluang saya bantu awak, Faisal. Jangan mengalah. Inilah dia angkara syaitan. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik kita keluar dari jalan kebaikan.”

              “Mungkin sayalah syaitannya.”

              “Mengapa?”

              “Jawab soalan saya, sebesar mana dosa yang mampu diampunkan Tuhan?”

              “Seluas langit dan bumi, Faisal.”

              Faisal terdiam. “Benarkah?”

              “Benar. Selagi mana kita tidak berpaling daripadaNya!”

              Faisal tidak meneruskan bicara.

              “Apakah awak rasa dosa awak seluas langit dan bumi?”

              Faisal tidak dapat menjawab.

              “Jika dosa awak lebih dari itu pun, Allah akan mengampunkan, yakinlah!”

              “Awak Tuhan ke, sampai awak pasti?”

              “Awak Tuhan ke, untuk awak rasa Allah begitu miskin bagi mengampunkan dosa awak? Apakah awak rasa dosa awak lebih besar daripada Allah?”

              Faisal terdiam. Amirah begitu bersungguh-sungguh meyakinkannya. Padahal, dia yang tiba-tiba melamar Amirah pada saat yang langsung tidak terjangka. Kini, Amirah pula kelihatan bersungguh-sungguh mempertahankan hubungan yang mereka ada. Walau hubungan tersebut tidak kelihatan seperti ada apa-apa.

              Keikhlasan Amirah untuk menerimanya, sangat dirasai.

              Namun, dia tidak sampai hati.

              “Awak lupakan ajalah saya.”

              Dia terus mematikan telefon pintarnya itu, tanpa sempat Amirah berkata apa-apa.

              Telefon pintarnya itu sudah hampir seminggu tidak disentuh. Sengaja dimatikan agar dia tidak dapat dihubungi oleh Amirah. Dia menghubungi wanita itu sebaik sahaja menumbangkan organisasi milik Salman Al-Hafiz.

              Dia berazam untuk tidak lagi mencari jalan keluar.

              Faisal mengangkat wajah. Memandang ke dinding. Papan tempat dia meletakkan maklumat-maklumat berkait sasarannya. Tempat yang dahulunya penuh dengan maklumat Salman Al-Hafiz bersama organisasinya, kini dipenuhi dengan wajah-wajah baru.

              Triad cina.

              Dia baru mendapat misinya.

              Mungkin, Tuhan telah mentakdirkan hidupnya di atas jalan ini.

              Sebagai pembunuh.

              Sebagai Izrail kepada dunia gelap.

              Mustahil untuk dirinya keluar.

              Faisal mula yakin akan hal tersebut.