Peluru 4 – Cinta

Cinta sentiasa misteri,
buruk berubah menjadi baik,
baik pun berubah menjadi buruk,
kuasa cinta, kuasa perasaan.

Kerna itu cinta perlu dipandu akal,
supaya tidak bodoh bila bercinta,
tidak sesat lagi merosakkan,
baik-baik hendak membina rumahtangga,
tiba-tiba membina rumah di neraka.

“Engkau masih tidak terlambat lagi nak berpatah balik ni, Faisal.”

              Faisal memandang ke arah Luke. Kini dia tidak lagi perlu mendongak untuk memandang bapa angkatnya itu. Mereka sudah sama tinggi. Wajah lelaki separuh abad itu dipandang bersama senyuman.

              “Rilekslah Bapa.” Belakang tubuh Luke ditepuk lembut. “Terima kasih sebab sudi teman.”

              Luke menghela nafas sambil menggeleng. Kemudian matanya direhatkan pada rumah teres dua tingkat di hadapannya. Sederhana sahaja rumah ini. Terletak di Taman Pulai Perdana. Kenderaan yang tersadai di pakir rumah tersebut juga dari jenama yang sederhana. Gambaran pertama yang diperolehi Luke, keluarga ini keluarga yang biasa-biasa sahaja.

              “Ha, tunggu apa lagi, tekanlah loceng tu.” Luke menjuihkan bibirnya ke arah loceng di hadapan mereka.

              Faisal segera menekan loceng.

              Tidak lama kemudian, pintu pagar terbuka. Pintu rumah juga terbuka.

              Mereka disambut oleh seorang lelaki. Separuh abad. Mungkin seusia dengan Luke. Sedang mengenakan pakaian kasual berlengan panjang, bersama seluar riadhah labuh.

              “Assalamu’alaikum.” Faisal mengangkat tangan.

              Luke menoleh ke arah Faisal dan mengerutkan dahi. Tidak pernah mendengar Faisal melemparkan salam sebelum ini.

              “Waalaikumussalam. Jemput masuk.” Faisal terus dirangkul dengan erat oleh lelaki tersebut. Faisal sendiri terkejut. “Inilah dia jejaka pilihan Amirah ya. Kacak dan segak orangnya. Patutlah.” Mereka kemudiannya berjabat tangan.

              Faisal tersipu-sipu. Wajahnya sedikit merah.

              “Biasa-biasa aja pakcik Aws. Ini bukan kali pertama kita bertemu.”

              “Iya?” Encik Aws mengangkat kening.

              “Saya dahulu seuniversiti dengan Amirah. Walaupun ambil kursus yang berbeza, tetapi sering kelas bersama. Beberapa kali juga menyapa pakcik.”

              “Ah, kamu ni Faisal di universiti itulah ya!”

              “Ya, Amirah tak beritahu?”

              “Dia dengan Umminya sahaja yang banyak dia cerita. Ha, jemput masuk, jemput masuk.” Encik Aws mempelawa. Faisal melangkah ke dalam rumah. Luke berjabat dengan Encik Aws.

              “Encik Lutfi ya?”

              “Ya saya.”

              “Wah tangan, kukuh. Kerja tentera ke?”

              Luke tersengih. “Tak, saya sudah bersara.” Mengelak dari membincangkan hal tersebut.

              “Bersara awal?”

              “Begitulah. Sekarang berniaga.”

              “Oooh.”

              Kemudian Encik Aws mengiringi Luke masuk ke dalam rumah.

              Mata Luke membesar apabila melihat suasana di dalam rumah yang begitu kemas, teratur, dan dihiasi perabot-perabot indah. Rupa rumah dan kenderaan di luar, tidak menggambarkan suasana di dalam. Ruang tamu itu pula sejuk dan nyaman dengan penghawa dingin yang kuat.

              “Dah sampai ya?” Kedengaran suara Puan Hafsah, sebelum tuan punya badan muncul di balik dinding dapur.

              Faisal melemparkan senyuman menyambut kehadiran Puan Hafsah ke ruang tamu.

              “Abang, inilah bakal menantu kita.”

              “Ya saya tahu.” Encik Aws menggerak-gerakkan tangan, seakan menyatakan bahawa Puan Hafsah tidak perlu bercerita banyak.

              “Ha, jemput duduk di meja makan.” Puan Hafsah mempelawa mereka ke arah meja panjang yang terdapat di hujung ruang tamu. Kawasan tersebut bersebelahan dengan rak buku, yang kemudiannya dipisahkan oleh dinding antara ruangan itu dan dapur.

              Luke memerhati buku-buku di rumah tersebut sekali lalu.

              Buku-buku pergerakan Islam karangan Syed Qutb, Ali Al-Hashimi, Yusuf Al-Qaradhawi, Abu A’la Al-Maududi, Sa’id Hawwa, Bahi Al-Khauly, memenuhi sebahagian besar rak tersebut. Kemudian buku-buku karangan Buya HAMKA, Tariq Ramadhan, Syed Naquib Al-Attas, Hamzah Yusuf dan Nouman Ali Khan. Selebihnya dipenuhi kitab-kitab karangan ulama’ silam seperti Tafsir Ar-Razi, Tafsir Ibn Kathir, berjilid-jilid kitab hadith daripada Bukhari dan Muslim, dan ada satu bahagian dikhaskan untuk mushaf-mushaf Al-Quran pelbagai saiz.

              Luke mengambil tempat. Dia menyiku Faisal.

              “Engkau tak beritahu pula dia ini Islamis?” Berbisik.

              “Bapa ambil kisah ke?” Faisal merendahkan suaranya.

              “Engkau sedang bawa diri engkau ke masalah yang sangat besar.”

              “Saya mahu keluar, maka inilah dia antara jalan keluar saya.”

              Luke menggeleng.

              “Sebentar ya Faisal, Ummi ambil makanan dahulu. Duduklah, sembang-sembang dengan pakcik dulu ya.”

              “Baik Ummi.” Faisal menundukkan sedikit kepala tanda hormat.

              Puan Hafsah menghilang ke dapur.

              “Faisal, pakcik dengar, kamu kerja kontraktor ya? Projek di mana?” Encik Aws yang berada di hujung meja memulakan perbualan.

              “Projek terkini di kawasan berdekatan sini juga.” Faisal berkata jujur, cuma tidak berterus terang.

              “Oh. Memang dah lama duduk di Johor? Orang Johor ke?”

              “Lama. 22 tahun sudah berada di Johor, kalau tak tolak masa di universiti lah. Tapi saya asal orang Perak.” Faisal mengingat.

              “Tak ada rupa orang Perak pun.” Encik Aws tertawa.

              Faisal dan Luke tertawa sama. “Saya bawa dia ini ke Johor semenjak kecil lagi. Dia membesar di Johor. Jadi orang Johor lah dia.”

              “Saya Bangsa Johor lah pakcik.” Faisal menepuk dadanya.

              Mereka semua tertawa. Encik Aws menggeleng. “Bangsa-bangsa ni, memang bagus kita ingat kita asal di mana. Tetapi akhirnya, di hadapan Allah SWT, tidak ada yang membezakan kita. Semuanya sama. Hanya amalan sahaja akan menentukan kita siapa di sisi Allah SWT.” Encik Aws mengingatkan, walaupun senyuman masih tidak lekang pada bibirnya.

              Faisal dan Luke diam.

              “Allah SWT berfirman: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Encik Aws berhenti sebentar, seperti sedang menelan air liur.

              “Surah Al-Hujurat ayat 13.”

              Faisal terangguk-angguk.

              “Idea Bangsa Johor pun sudah tidak ditegakkan lagi sekarang kan? Malaysia baru nyata telah berbeza. Kita bergerak ke arah kesatuan terutuh sesama kita. Tidak kira negeri, keturunan, agama. Hari ini kita tidak kekok bergaul dengan bangsa Cina dan India. Kita tidak kekok membina hubungan baik dengan agama Kristian, Hindu dan Buddha. Sukan kita telah berubah, tiada lagi ultra sana ultra sini, hiburan kita telah berubah, tiada lagi gosip sana dan gosip sini. Malaysia benar-benar sedang bergerak ke satu aras yang lebih tinggi bukan sahaja dari segi kemajuan teknologi, tetapi juga peradaban dan sikap!”

              “Wah, pakcik, patriotik. Pakcik kerja apa?”

              “Pakcik berniaga sahaja. Penerbit buku.”

              “Oh. Hebat tu.”

              “Alhamdulillah. Biasa-biasa sahaja. Ada rasa tanggungjawab nak mengislah masyarakat, maka pakcik usahakan melalui apa yang pakcik mampu. Menerbitkan karya yang baik. Yang ada jiwa. Yang mengajak manusia kenal Allah. Dahulu Malaysia berlambak novel merepek, yang kemudiannya diangkat menjadi drama televisyen. Masyarakat menjadi lalai dan alpa, bahkan lebih teruk, keliru dengan apa itu Islam. Alhamdulillah, dengan usaha kecil-kecilan dan istiqomah, bukan sahaja daripada pakcik, tetapi juga rakan-rakan lain yang mempunyai kesungguhan yang sama, sempat juga pakcik melihat Malaysia yang hari ini.”

              Faisal dan Luke terangguk-angguk. Jauh di dalam hati Faisal, dia kagum melihat semangat yang dipamerkan oleh Encik Aws. Dia jarang bertemu dan bergaul dengan manusia lain. Kebanyakan masanya dihabiskan di dalam dunia gelap. Dan di sana, manusia yang mempunyai perasaan seperti Encik Aws, boleh dikatakan tiada.

              Dunia itu sangat kotor, dan aspirasi utama hanyalah kuasa dan lebih kuasa. Tiada kesatuan, yang ada hanyalah kepentingan diri.

              Encik Aws mempamerkan sikap yang nyata jauh berbeza.

              “Makanan dah sampai!” Puan Hafsah tiba dari dapur. Dia menatang dulang yang terisi pinggan dan sebuah mangkuk yang sederhana besar.

              Di sisinya, Amirah, berjalan sambil menatang talam di atasnya teko dan cawan-cawan. Senyuman Faisal melebar apabila Amirah muncul. Amirah turut tersenyum.

              “Bapa, inilah orangnya.” Faisal memperkenalkan, sambil Amirah dan umminya menghidangkan makanan dan minuman. Mee goreng dan air teh.

              “Amirah Sophia binti Aws Qarny.” Faisal menyebut nama penuh wanita itu.

              Luke memerhatikan Amirah, yang kini telah mengambil tempat. Amirah mengambil tempat di sisi kiri Encik Aws, manakala Puan Hafsah di sisi kanan. Wajah Amirah anggun, mulus dan menawan. Perawakannya sopan.

              Amirah menundukkan sedikit kepalanya ke arah Luke, tanda hormat. “Pakcik.”

              Luke tersenyum lebar. Faham mengapa Faisal merasakan yang wanita itu mampu menjadi solusi kepada kemelut jiwa yang dilaluinya. Bukan kerana wanita itu anggun dan menawan. Tetapi kerana bersama wanita itu ialah institusi keluarga yang baik. Luke memandang Encik Aws dan Puan Hafsah, dan sudah dapat mengagak bagaimana latar belakang keluarga tersebut.

              Ini ialah keluarga yang terbina dengan prinsip-prinsip Islam.

              Keluarga yang mengangkat kalimah Tuhan di segenap penjuru hidup.

              Faisal merasakan bahawa mendapatkan bantuan daripada mereka ini, mampu memberikan penyelesaian kepada apa yang dihadapi.

              “Jemput makan Encik Lutfi.” Puan Hafsah mempelawa.

              Luke terangguk-angguk. Mereka makan bersama, dan sambil makan, terbukalah perbincangan.

              “Apa pandangan Encik Lutfi berkait penyatuan dua anak kita ini?” Encik Aws bersuara.

              “Abang ni, tunggulah lepas habis makan.” Puan Hafsah mencuit suaminya.

              Faisal tertawa sedikit, sebelum meneruskan suapan. Amirah tertunduk, tersipu malu.

              “Tak apa, tak apa. Alang-alang kan Encik Aws.” Luke tersenyum.

              “Ya betul.”

              “Saya dan Faisal tidak ada masalah. Kami ikut saja ketetapan keluarga Encik Aws. Cumanya, untuk majlis perkahwinan, saya cadangkan buat sekali sahaja. InsyaAllah kami sudi tanggung seluruh kosnya.” Luke memandang Faisal.

              Faisal mengangkat kening. Terkejut juga apabila bapa angkatnya itu sudah menyediakan jawapan sedemikian.

              “Wah, eloklah jika begitu. Mudah urusan semua orang.” Puan Hafsah gembira.

              Amirah mencuri pandang Faisal. Mata mereka bertaut.

              “Berkenaan wang hantaran, ikut kemampuan Faisal lah ya. Kami ini tak kisah sangat. Tak ada ‘standard’ tertentu. InsyaAllah kita nak mudahkan urusan agar majlis ini jadi dan berjalan lancar.” Encik Aws bersuara.

              Faisal mengangguk. “InsyaAllah pakcik. Terima kasih banyak-banyak.”

              “Jadi, bila agaknya Encik Aws bercadang nak langsungkan majlis mereka berdua ini?” Luke melemparkan soalan.

              “Bulan depan? Boleh? Sabtu minggu pertama.”

              Luke memandang Faisal. Faisal mengangguk. “Boleh pakcik. Tak ada masalah.”

              “Jadi ini kira janji lah ya?”

              “Janji.” Faisal mengangguk sambil memandang tepat ke wajah Amirah. Amirah menunduk. Wajahnya sedikit merah.

              “Amirah, ada apa-apa nak dibangkitkan? Jangan malu. Kalau ada apa-apa, inilah masanya.” Puan Hafsah mencelah.

              Suasana di meja makan itu menjadi sepi seketika, semua berhenti menyuap makanan, menanti apa yang hendak diperkatakan oleh Amirah. Wajah yang tadinya sedikit kemerahan itu bertambah merah. Tetapi keanggunannya kekal.

              “Semoga saya mampu menjadi isteri yang baik kepada Faisal. Saya harapkan restu dan redha daripada Ummi dan Abah, juga Pakcik Lutfi.”

              Faisal terpana dengan ucapan ringkas Amirah itu.

              Encik Aws dan Puan Hafsah segera mengaminkan bicara puteri mereka.

              Luke menyiku Faisal, mengisyaratkan agar anak angkatnya itu berbicara sedikit.

              “Oh,” Faisal seperti terkejut, kemudian melebarkan senyuman. “Semoga saya juga mampu menjadi suami yang baik kepada Amirah, dan harapnya Amirah serta keluarga, dapat membantu saya menjadi hamba Allah SWT yang soleh.”

              Luke memerhatikan Faisal. Mata anak muda itu bersinar dengan harapan. Nampak jelas Faisal benar-benar berharap untuk mendapatkan pembersihan dirinya melalui jalinan hubungan ini.

              Jauh di dalam hati Luke, dia tahu, jalan yang bakal ditempuhi Faisal, akan penuh dengan darah dan air mata.

              Untuk itu, dia hanya tersengih kelat.

******

Faisal menghentikan kenderaannya di hadapan bangunan BlackSky Property.

              Luke membuka pintu dan turun, sebelum berjalan dan berdiri di sebelah tempat pemandu. Faisal mendongak dan memerhatikan bapa angkatnya.

              “Faisal, jangan kata aku tidak memberikan nasihat.”

              “Bapa sudah perhatikan mereka bukan? Tidakkah bapa melihat aku mempunyai peluang untuk mendapatkan kehidupan baru bersama mereka?”

              “Kita ini pendosa Faisal. Dosa kita bukan kecil. Kita meragut nyawa manusia. Engkau sendiri digelar Izrail Dunia Gelap, telah membunuh lebih 900 nyawa. Apa engkau fikir jika mereka tahu, mereka akan menerimamu?”

              Faisal diam.

              “Aku tetap akan membantumu mencapai hajatmu Faisal. Engkau ingin berkahwin, aku akan memudahkan. Tetapi konsikuensinya, engkau akan tanggung seorang diri. Aku tidak akan berada di sana saat semua ini bertukar menjadi sebuah kekecewaan yang besar.” Luke memberikan amaran.

              “Maka aku akan menghadapinya Bapa.” Faisal menajamkan pandangannya.

              Luke menghela nafas. Menggeleng. Kemudian dia mengeluarkan telefon pintarnya. Skrin gajet itu dihadapkan ke arah Faisal.

              Dahi Faisal berkerut.

              “Boss mahu misi tersebut diselesaikan segera.”

              Giliran Faisal menghela nafas. “Beri aku masa tiga hari. Isnin aku selesaikan.”

              “Kau nampak Faisal? Kita tidak dapat lari dari kehidupan ini. Bagaimana selepas engkau bernikah dengan keluarga yang sedemikian rupa? Mereka ialah orang-orang yang patuh kepada Tuhan. Kita bukan. Apakah selamanya engkau akan berbohong dengan Amirah?”

              “Aku sudah kata Bapa, aku akan keluar dari kehidupan ini!”

              “Aku sudah kata juga Faisal, tiada siapa yang berjaya keluar dari kehidupan ini!”

              “Maka aku ialah orang yang pertama.”

              Kedua-dua mereka mematikan bicara.

              Beberapa saat kemudian, Faisal menekan pedal minyak Adiwiranya, dan bergerak meninggalkan Luke.

              Luke sekadar mampu menghantar anak angkatnya itu dengan pandangan mata.

              Faisal memerhatikan dari cermin sisi, bapa angkatnya itu semakin mengecil.

              Setelah bertemu dengan keluarga Amirah, dia lebih nekad dan yakin bahawa dia mampu meninggalkan kehidupannya sekarang. Mereka akan memberikannya ketenangan. Mereka akan membantu dan menunjukkan kepadanya jalan.

              Namun bicara Luke sedikit sebanyak mengetuk mindanya.

              Tetapi diabaikan segera. Dibiarkan pesanan-pesanan Luke menghilang dibawa angin.

              Faisal ingin mencuba.

              Dia ingin mendapat ketenangan jiwa.

******

Faisal lengkap bersut serba hitam. Sut yang dikenakannya bukan sut sembarangan. Ianya adalah tenunan Organisasi Hitam yang sangat istimewa, fabriknya kevlar yang sangat kukuh. Penetrasi peluru hampir sahaja mustahil berlaku, kecuali daripada peluru berkaliber tinggi seperti peluru-peluru yang digunakan oleh senapang penembak tepat. Teknologi yang dimiliki oleh Organisasi Hitam ternyata di hadapan, berbanding kebanyakan organisasi lain.

              Tinggal, di dalam dunia gelap, mungkin yang menjadi batu penghalang terbesar hanyalah kumpulan Yakuza MItsuhide. Mereka kelihatan menyaingi Organisasi Hitam dari sudut teknologi dan kekuatan. Tambahan, mereka mempunyai kelebihan dengan pelbagai seni mempertahankan diri, dan mempunyai beberapa kelas yang lain seperti samurai dan ninja.

              Untuk organisasi milik Salman, Faisal tidak membawa banyak senjata api.

              Cukup sekadar dua pucuk pistol yang telah dilengkapi penyerap bunyi, dan 10 magazin yang tersembunyi di balik jaketnya. Terselit juga beberapa bilah pisau, untuk dilontar atau digunakan semasa pertempuran jarak dekat sekiranya ia berlaku.

              Faisal kini berdiri di atas bumbung rumah yang berhadapan dengan banglo milik organisasi Salman. Pekat malam menyembunyikan tubuhnya dari pandangan mata kasar. Walaupun hari ini ialah hari Isnin, hari di mana Salman tidak singgah ke mari, Faisal telah merangka perancangannya dengan begitu rapi.

              Hari ini tiada rekrut. Itu akan memudahkan kerjanya.

              Faisal mengangkat teropong, dan memerhatikan rumah banglo tersebut. Teropong tersebut mampu mengesan haba dan memaparkan lokasinya walau dari balik dinding. Apabila diset untuk fokus pada haba manusia, maka teropong tersebut akan membuatkan Faisal mampu melihat kedudukan orang-orang Salman di dalam rumah banglo itu.

              20 orang.

              5 orang di aras dua. 10 orang di aras bawah. Manakala 5 lagi berada di aras bawah tanah.

              Faisal menekan alat yang sudah dilekatkan pada bawah dagunya.

              Masa untuk dia beraksi telah tiba.

              Faisal melompat turun dari bumbung. Dia mendarat dengan baik. Kemudian berjalan terus. Mengetahui posisi semua kamera di luar rumah, Faisal mengelak dirinya dari dirakam. Faisal terus memanjat ke balkoni dan menanti di situ.

              Dua daripada lima orang yang berada di aras kedua akan bergerak ke balkoni untuk memerhatikan keadaan luar buat beberapa ketika. Rutin. Faisal menanti di balik dinding.

              Jangkaannya tepat, dua orang lelaki, bergerak keluar ke balkoni, memerhati kawasan sekeliling. Faisal tanpa menanti atau mengkhabarkan kehadirannya, terus melepaskan dua tembakan serentak ke kepala. Kedua-dua mereka jatuh terkulai begitu sahaja. Darah membasahi lantai.

              “914, 915.”

              Faisal menyeluk saku salah seorang daripada dua mangsanya itu. Mengeluarkan sekeping kad. Kad itulah yang akan membezakan antara penceroboh atau tidak. Dengan mempunyai kad itu, Faisal memasuki banglo mewah tersebut tanpa penggera dibunyikan.

              Cabaran Faisal yang utama ialah, menghalang kehadirannya dari diketahui. Kamera berada hampir di setiap sudut rumah ini. Pemerhati kepada kamera-kamera tersebut pula terletak di bawah tanah. Hanya boleh diakses melalui lif khas di aras kedua ini. Faisal telah mendapatkan pelan rumah ini daripada pemaju, dengan menyamar menjadi tuan rumah yang berhajat ingin melakukan konstruksi. Dia sangat tahu selok belok rumah banglo ini. Yang dia tidak dapat pastikan, ialah kedudukan kamera di dalamnya.

              Faisal membuat jangkaan bahawa dalam masa dua ke tiga minit, kehadirannya akan diketahui oleh pemerhati kamera di aras bawah tanah.

              Namun semuanya sudah berada di dalam perancangan.

              Faisal masuk dan mendekati tempat tiga orang lelaki sedang duduk di atas sofa, menonton televisyen. Faisal tidak membazir banyak masa, terus mengacukan kedua-dua senjatanya dan melepaskan tembakan. Dua daripada mereka mati ketika itu juga.

              “916, 917.”

              Seorang lagi tergamam dan segera mencapai senjatanya di atas sofa, namun terlambat. Faisal telah melepaskan tembakan ke arah tangannya dan sebelum sempat dia meraung, dahinya menjadi mangsa kepada satu lagi tembakan.

              “918.”

              Faisal terus bergerak ke lif khas. Kad yang diambilnya tadi, dilekapkan pada pad yang terdapat di sisi lif tersebut. Lif itu terbuka, Faisal masuk ke dalamnya, kemudian terus dibawa ke aras bawah tanah.

              Bunyi penggera kedengaran. Faisal tidak kaget. Dia merapatkan diri pada sisi pintu lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, bunyi tembakan bertalu-talu hampir sahaja memekakkan telinga. Apabila tembakan berhenti, Faisal terus keluar dan mengangkat dua belah tangannya, menarik picu berkali-kali.

              Dua daripada lima penyerang terpelanting ke belakang dengan tembakan yang tepat mengenai kepala mereka. Darah memercik ke udara bersama semburan organ yang bersepai. Tiga lagi sedang berlindung di balik meja yang dijatuhkan.

              “919, 920.”

              Faisal sempat melihat kepada skrin yang bersambung dengan kamera-kamera di segenap rumah tersebut. Kelihatan 10 orang yang berada di atas mereka kini sedang terpusu-pusu bergerak ke arah tangga yang menyambungkan mereka dengan aras ini.

              Tiga musuhnya mahu menyerang balas. Mereka bangkit setelah peluru diisi semula. Namun ketika itu Faisal telah berada di hadapan mereka bertiga.

              Antara taktik utama yang Faisal sering praktikkan ialah, apabila bertempur dengan ramai orang yang bersenjata jarak jauh, elakkan bertempur dari jarak yang jauh. Bertempur dari jarak dekat akan menyebabkan mereka sukar menggunakan senjata mereka, dan apabila mereka ramai, mereka akan teragak-agak melepaskan peluru kerana risau tembakan mereka memakan rakan sendiri.

              Orang yang berada di tengah menjadi mangsa tumbukan Faisal. Dia terundur beberapa tapak. Dua lagi mengacu senjata ke arah Faisal. Tetapi Faisal terus memutarkan tubuhnya dan menendang tangan lelaki di kanannya, manakala lelaki di kirinya pula mendapat tamparan keras pada tangannya. Senjata mereka berdua terlepas.

              Faisal terus melepaskan tendangan kepada lelaki di kanannya. Lelaki itu terundur beberapa tapak. Manakala lelaki di kirinya, terus dihentam dengan tubuhnya. Mereka berdua jatuh. Lelaki yang diserang pada awal tadi telah mengacukan senjata ke arah Faisal. Segera Faisal memeluk lelaki yang jatuh dengannya, dan mengangkat tubuh lelaki itu untuk dijadikan perisai.

              Lelaki tersebut menjadi mangsa peluru rakannya. Pada masa yang sama, Faisal menjulurkan tangan dan menembak lelaki yang ditendangnya tadi, tepat di kepala.

              “921, 922.”

              Lelaki terakhir terus galak melepaskan tembakan bertubi-tubi. Semua hanya mengenai batang tubuh rakannya. Darah mula mengalir membasahi tubuh Faisal. Hangat. Faisal kemudian sengaja menjadikan tubuhnya seperti terkulai sama.

              Lelaki terakhir itu kehabisan peluru. Dia bergerak perlahan-lahan untuk memastikan keadaan Faisal. Ketika ini, satu tembakan dilepaskan oleh Faisal, menembusi tubuh lelaki di atasnya, terus mendarat tepat pada dahi lelaki terakhir itu.

              Lelaki itu terangkat sebentar ke udara, sebelum terhempas semula dalam keadaan menelentang. Darah berhamburan jatuh ke wajah Faisal.

              “923.”

              Faisal menolak tubuh musuhnya ke tepi.

              Faisal bergerak ke satu sudut dan menyembunyikan diri.

              10 orang lengkap bersenjata tiba. Mereka diketuai oleh Azri.

              “Celaka. Siapa gerangan pembuat onar ini! Sudahkah Ustaz Salman dihubungi?” Azri dilihat menoleh kepada lelaki yang terhampir dengannya. Lelaki itu mengangguk.

              “Dia akan tiba 10 minit lagi.”

              “Penyerang tersebut sudah pasti masih di sini Tuan Azri.”

              Azri memerhati keadaan sekeliling.

              “Apa kata engkau keluar sebelum kami tembak ke segenap arah. Engkau tidak akan mampu menyelamatkan diri!” Azri melaung. “Aku mahu lihat muka orang yang berani melakukan ini semua.”

              Faisal tersengih. Dia keluar dari tempat persembunyiannya. Azri dan sembilan yang lain terus mengacukan senjata ke arah Faisal. Faisal mengangkat kedua-dua belah tangan.

              “Siapa engkau? Mengapa kami tidak boleh melihat wajah engkau dengan baik?” Azri memicingkan matanya. Faisal tahu apa yang mampu dilihat oleh Azri hanyalah warna coklat pudar. Teknologi yang digunakan oleh Organisasi Hitam pada cip yang terletak di bawah dagu Faisal akan membuatkan mata orang lain tidak akan mampu fokus apabila memandang ke wajah pemakainya.

              “Ada orang, menggelarkan aku sebagai Izrail Dunia Gelap.”

              “Celaka, Organisasi Hitam!” Azri tanpa amaran terus menarik picu. Faisal sudah menjangka. Terus dia keluar dari haluan tembakan tersebut. Tembakan itu menggores sutnya. Faisal terus menyerang balas dengan melepaskan tembakan bertubi-tubi sebelum sempat lawan-lawannya berbuat sedemikian.

              Empat daripada 10 orang tumbang. Yang lain-lain sempat mengelak. Tiga ke kanan, tiga ke kiri.

              “924, 925, 926, 927.” Faisal menggumam nombor-nombor tersebut, perlahan, hanya untuk dirinya. Tindakan itu dilakukan spontan kerana sudah menjadi kebiasaan.

              Tanpa gentar, Faisal terus bergerak ke tengah-tengah di antara enam orang yang masih tinggal. Azri salah seorang daripadanya. Kini mereka tidak akan terlalu pantas melepaskan tembakan. Berlainan dengan Faisal.

              Terus Faisal mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk melepaskan tembakan.

              Namun Azri pantas memanjangkan kakinya, dan menyapu lantai. Membuatkan Faisal hampir hilang keseimbangan. Tetapi Faisal segera melakukan lompatan balik kuang, dan kemudian berdiri semula dengan baik di atas lantai. Tidak semudah itu untuk menumbangkannya. Pun begitu, dua daripada enam yang berbaki telah menangkap kedua-dua belah tangannya sebaik sahaja dia mendarat semula ke lantai. Kedua-dua pucuk pistolnya terlepas.

              Tiga yang lain mula mengacukan senjata mereka ke arah Faisal.

              Azri mula bangkit.

              Semua berlaku dalam keadaan pantas. Faisal terus menarik dua orang yang menangkap tangannya itu, berada di hadapan. Kedua-dua mereka menjadi mangsa tembakan tiga yang lain. Darah memercik lagi ke tubuh Faisal.

              “928, 929.”

              Azri sudah bangun. Faisal terus berundur dan menghentam tubuh Azri. Kedua-dua mereka terjatuh, lebih kurang sama waktunya dengan dua mayat di hadapan mereka menyembah lantai. Tiga yang lain sedang terkejut kerana tembakan mereka memakan rakan sendiri.

              Azri bergelut dengan Faisal di atas lantai. Beberapa das tumbukan dilepaskan, dan sebahagiannya mengenai wajah Faisal. Bibir Faisal mula berdarah.

              “Engkau fikir aku takut sebab engkau bergelar Izrail, hah?” Azri membentak.

              “Engkau boleh panggil aku Encik Pembunuh kalau itu lebih mudah.”

              Faisal menujah lututnya ke belakang tubuh Azri. Lelaki itu tergerak ke hadapan. Tiga yang lain terus mengambil peluang itu untuk menamatkan riwayat Faisal. Faisal berguling menyelamatkan diri. Tidak jauh daripada tempat dia ditumbuk oleh Azri, terdapat senjata milik pemerhati-pemerhati skrin yang telah tumbang awal tadi.

              Terus dicapai senjata tersebut, dan tembakan rambang dilepaskan ke arah tiga lelaki yang sedang mengacukan senjata mereka ke arahnya. Ketiga-tiga tidak sempat mengelak. Tidak menjangka bahawa Faisal akan mencapai senjata yang lain.

              “930, 931, 932.”

              Azri bangkit dan di tangannya sudah ada sepucuk pistol. Dia melepaskan tembakan. Tepat mengenai senjata di tangan Faisal. Senjata itu terpelanting dan Faisal sempat berguling ke hadapan dan mengelak tembakan-tembakan seterusnya. Faisal bangkit dari bawah Azri, dan melepaskan tumbukan ke arah tangannya. Genggaman Azri kepada senjatanya terlerai. Pistolnya terpelanting ke udara. Namun itu tidak menganggu fokus Azri untuk melepaskan tumbukan menggunakan tangan kirinya, tepat melandas ke wajah Faisal.

              Faisal terundur beberapa langkah. Darah tersembur daripada mulutnya. Tumbukan Azri sangat keras. Pistol tersebut jatuh kembali ke arah Azri, dan lelaki itu cuba untuk menyambut senjatanya. Faisal memecut ke hadapan dan melanggar Azri dengan bahu yang mendahului. Azri dihentam hingga ke dinding.

              Pistol tersebut jatuh ke lantai.

              Azri menyiku Faisal. Perut Faisal menjadi mangsa. Kemudian siku kedua daripada Azri meluru ibarat meteor, dari atas ke bawah, tepat mengenai tulang belakang Faisal. Faisal jatuh tertiarap menyembah lantai. Azri tidak membiarkan Faisal begitu sahaja, belakang tubuh Faisal dipijak sekuat-kuat hatinya, berulang kali.

              Faisal mengerang kesakitan.

              Apabila Faisal kelihatan layu dan tidak bermaya, barulah Azri berhenti, dan melangkah melangkaui tubuhnya. “Celaka.” Azri bergerak mendekati pistol yang tersadai, kemudian menunduk untuk mendapatkan senjata tersebut.

              Namun sebaik sahaja dia bergalih dan menoleh ke arah Faisal, beberapa magazin telah melayang di hadapan wajahnya. Membuatkan pandangannya terganggu. Belum sempat Azri berbuat apa-apa, Faisal sudah berada di hadapannya, dan melepaskan satu tumbukan yang teramat keras, pada perut Azri.

              Mata Azri terbelalak. Air liurnya tersembur. Pistolnya terlepas.

              Azri terus jatuh ke lantai. Pistolnya ditangkap oleh Faisal.

              Namun kemudian Faisal mencampakkan pistol itu ke tepi. Tangan kanannya mengeluarkan sebilah pisau dari jaket.

              “Nanti… nan…” Azri cuba merayu.

              Namun tanpa belas kasihan, Faisal terus melibas pisau tersebut ke kerongkong Azri. Darah lelaki itu pantas bersatu dengan darah rakan-rakannya yang lain di lantai. Tubuhnya jatuh terkulai dengan mata yang masih terbelalak.

              “933.”

              Faisal kemudian bergerak ke tempat dia melepaskan dua senjatanya. Dua pucuk pistol itu diambil semula. Kemudian tanpa menoleh lagi ke belakang, Faisal bergerak ke arah tangga dan naik ke aras atas.

              Sebaik sahaja dia naik, dia melihat pintu banglo itu terbuka. Salman Al-Hafiz melangkah masuk sambil melaung. “Apa yang telah berlaku?” Namun kemudian terpana, tatkala melihat Faisal. Langkahnya terus mati.

              “Izrail?”

              “Bukan Izrail yang sebenar. Yang itu engkau akan bertemu dengannya sebentas lagi.”

              Salman terus berpaling hendak melarikan diri. Faisal mengangkat pistolnya dan melepaskan tembakan tepat pada tumit kanan Salman. Imam Masjid Al-Iman itu menjerit kesakitan seraya jatuh meniarap. Kemudian dia cuba mengengsot untuk keluar dari banglo tersebut. Faisal terus melangkah pantas, dan menutup pintu banglo, berdiri di hadapan Salman.

              “Apa pembunuh sepertiku berpeluang diterima Tuhan?” Faisal bertanya kepada Sang Imam.

“Tidak! Kau pastinya di neraka!” Salman menjerit histeria. “Neraka jahanam! Dilaknat Tuhan!” Salman meludah ke kasut Faisal yang berlumuran darah.

Faisal diam seketika. Matanya bertembung dengan mata Salman, yang kini nafasnya sedang turun naik. Mata yang penuh dengan kemarahan. Mata yang tidak dapat menerima ajalnya telah sampai.

“Wahai Imam, apakah memang orang sepertiku ini tidak punya peluang bertaubat?”

“Orang sepertimu dilaknat Tuhan! Tuhan berpaling daripadamu! Kerana itu engkau berada di sini!” Salman membentak kemarahan. Sakit. Takut. Membuatkan dia meninggikan suara. Seakan-akan itu ialah usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri.

Walaupun dia tahu itu sia-sia.

“Bagaimana pula engkau? Dengan segala operasi engkau di sini?”

“Aku pejuang Allah! Aku berjuang hendak menegakkan agama Allah! Engkau ahli neraka! Terlaknat! Jahanam! Kini engkau hendak membunuh aku pula, seorang pejuang agama? Lebih besar dosa engkau!”

“Tetapi tempat aku memang sudah di neraka bukan?”

Salman tergamam.

“Maka apa bezanya jika aku membunuh engkau dan tidak?”

Soalan Faisal itu membuatkan mata Salman Al-Hafiz terbelalak.

Salman cuba untuk berbicara lagi, namun Faisal telah mengacu pistolnya ke kepala Salman. Sang Imam terus terlolong terpekik, walau tahu tiada siapa akan mendengarnya.

Kecuali ‘Izrail’ di hadapan mata.

Bunyi berdesup kedengaran. Dahi Salman berlubang. Belakang kepalanya bersepai. Sebahagian cebisan otaknya menghiasi lantai.

“934.”

Faisal menghela nafas.

Pesanan-pesanan Luke menghentak minda.

Melihat tangan dan tubuhnya yang kuyup dengan darah, dia sendiri seperti terjaga dari sebuah mimpi yang panjang. Masakan dia mahu menarik Amirah ke dalam kehidupan ini? Dosanya pula menggunung tinggi.

Bukankah bodoh untuk menyangka bahawa dia mampu keluar dari kehidupan sebegini?

Paparan wajah mesra  Encik Aws, Puan Hafsah dan Amirah menari di minda. Kemudian berkecai hilang.

Perlahan-lahan air mata Faisal mengalir.

Dia seperti seorang banduan yang terperangkap di dalam penjara, menanti hukuman mati. Faisal seakan telah dibawa melihat masa hadapannya sendiri.

Yang gelap dan penuh dengan noda.

Dia tidak akan menarik Amirah ke dalam kehidupan tersebut.

Faisal kemudian perlahan-lahan keluar dari banglo itu.

“Boss, misi selesai.”

Dia menghilang dari tempat kejadian membawa jiwa yang berkecamuk.