PROLOG

Dia berdiri di situ. Di sebuah tempat yang tinggi dan agak terasing. Melihat pelabuhan besar yang terbentang di hadapan. Teropong dinaikkan dengan tangan kanan agar searas dengan mata. Aktiviti di satu bahagian pelabuhan tersebut dapat dilihat dengan lebih jelas. Beberapa pekerja seperti sedang mengalihkan sesuatu daripada kontena.

              Dia menghela nafas, panjang. Teropong dijauhkan daripada mata. Kemudian, pandangannya mendarat ke sebuah poster yang ditampal berdekatan pelabuhan tersebut. Poster seorang lelaki berpakaian korporat dengan ungkapan kata-kata, OYABUN: Keunggulan Masa Depan Kota Lemuria.

              Dia hanya mampu tersengih kelat.

              “Keunggulan masa depan apa jika apa yang engkau lakukan hanyalah kerosakan?”

              Deruman sebuah kenderaan menarik perhatiannya. Segera dia berpaling. Sebuah kereta mendekati tempat dia berada. Seorang lelaki yang sedikit berusia kelihatan pada tempat pemandu. Lelaki itu keluar dan berjalan mendekatinya.

              “Bagaimana, Zaman?”

              “Zaman nekad, ayah.”

              “Ayah pasti, engkau sudah tahu benar makna perjuangan. Berjuang itu berkorban. Berkorban itu ertinya …”

              “Berkorban itu ertinya terkorban, ayah. Zaman tahu.”

Teropong pada tangan kanan dilepaskan, dibiarkan bergayutan pada leher. Tangan kanan tersebut kemudiannya mengenggam erat tangan lelaki yang dipanggil Ayah itu.

              “Man sanggup, ayah. Kalaulah itu harganya perjuangan Man ini. Mereka telah jatuhkan ayah dengan cara kotor. Kita perlu dedahkan permainan jahat mereka …” Zaman berpaling kembali menghadap pelabuhan. “… dan juga perbuatan-perbuatan buruk mereka ke atas Kota Lemuria ini.”

              Ayah mengangguk-angguk.

              “Sebelum itu, selamatkanlah dahulu anak-anak dan isteri engkau, Zaman.”

              Zaman kembali menatap Ayah, mengangguk kecil.

              “Kota Lemuria akan bergegar, ayah. Zaman pasti.”

              Ayah sekadar meleretkan senyuman penuh makna.

              “Kita hanya hamba Allah, Zaman. Tidak ada yang pasti buat kita, melainkan janji-janji-Nya.”

***

“Amru, macam mana perut? Sudah semakin lega?”

              Anak kecil itu mengangkat wajah, menatap Bonda. Wajah wanita yang ditatapnya itu mulus, berhias senyuman indah, membuatkan dia sendiri turut tersenyum sambil menjilat aiskrim yang dipegang. Tangan kanannya sudah kotor dengan lelehan aiskrim tersebut. Tangan kiri pula menepuk perutnya sendiri.

              “Alhamdulillah, bonda. Sudah tidak meragam.”

              “Bagus. Esok boleh ke kelas al-Quran semula. Kasihan Amri, berseorangan hari ini.”

              “Nanti Amri kena ajar Amru apa dia telah belajar hari ini, kan bonda?”

              Sekali lagi wanita itu mengukir senyuman lebar lagi manis. “Nanti bonda periksa bacaan Amru dan Amri selepas maghrib. Insya-Allah, bonda akan pastikan Amru tidak ketinggalan.”

              “Kalau Amri lagi pandai daripada Amru, nanti Amru sedih.” Amru mencebik.

              Bonda tertawa. “Aturan Allah SWT itu terbaik, Amru. Hari ini Dia tentukan perut Amru tidak selesa. Entah esok lusa, hari Amri pula. Apa sahaja kelebihan dan kekurangan antara kalian adik beradik, perlulah sentiasa saling lengkap-melengkapi. Jangan dicontohi sengketa Habil dan Qabil.” Pipi Amru dicubit lembut.

              Amru turut ketawa, tetapi mimik wajahnya bagaikan mencari makna. “Habil dan Qabil itu anak Nabi Adam, kan? Amru ingat bonda ada cerita sebelum tidur.”

              “Bonda akan terus bercerita, selagi diizinkan Allah SWT, supaya anak-anak bonda belajar daripada sejarah, agar yang buruk tidak diulangi dan dijadikan sempadan, manakala yang baik dapat dicontohi dan dijadikan tauladan.”

              Amru kembali menghabiskan aiskrimnya, seiring langkahan mereka. Kini mereka berada di penghujung jalan, mahu memasuki laluan masuk ke lorong yang menempatkan rumah mereka di kota ini.

              Kota Lemuria.

              “Raudah!”

              Amru melihat Bonda terkejut dan serta-merta menoleh. Dia turut melihat ke arah tolehan bondanya itu.

              Dua orang lelaki berjaket hitam dari luar lorong tersebut kelihatan melangkah pantas ke arah mereka.

              Amru merasakan bahunya disentuh oleh Bonda. Wajah Raudah ditatapnya. Penuh kerisauan.

              “Ayuh, Amru, kita perlu segera bergerak pulang. Pantaskan langkahan.”

              “Mereka siapa, bonda?”

              “Bukan sesiapa.”

              Amru mempercepatkan langkahan. Kini, tubuhnya lebih rapat dengan tubuh Raudah berbanding sebelumnya. Bahunya dipegang Bonda dengan erat. Aiskrim sudah dihabiskan, batangnya dimasukkan ke dalam beg plastik yang dipegang oleh Raudah.

              Mereka merentasi lorong itu dengan kadar segera, untuk cepat tiba ke rumah. Amru menoleh ke belakang.

Dua lelaki tadi tidak berhenti melangkah dan sudah berada di lorong yang sama dengan mereka dua beranak. Mata Amru membulat. Dia tidak pasti apa yang sedang berlaku, tetapi dadanya mula berdebar. Bahkan dia turut merasai debaran yang sama sedang menyerbu dada Bonda.

              Wajah dua lelaki tersebut tidak mempamerkan kebaikan.

              Pintu pagar rumah dibuka Bonda.

“Astaghfirullah.”

Suara Raudah membuatkan Amru kembali menoleh ke hadapan.

              Kelihatan tiga lelaki berjaket hitam yang lain sudah menanti di perkarangan rumah mereka. Amru sempat menoleh ke rumah jiran-jiran. Ada yang melihat, tetapi segera masuk ke rumah masing-masing. Sudah pasti mereka tidak mahu terheret ke dalam konflik ini.

              “Zaman akan tahu apa harganya mengkhianati Oyabun.”

Salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah pisau, sebelum menjelirkan lidah dan menjilat senjata itu. Tindakan lelaki itu diiringi tawa bernada ejekan dua rakannya.

              Mimik muka dan sikap mereka menjemput rasa gerun di hati Amru. Dia terus memandang Bonda. Walaupun terdapat bias-bias kerisauan pada wajah Raudah, tetapi wanita itu tidak mempamerkan rasa gerun. Amru melihat bondanya membuka langkah siaga. Beg plastik di tangan telah dilepaskan ke tanah, kedua-dua tangan Bonda kemudiannya membuka tari seni tempur.

              Tindakan Raudah dibalas dengan tawa yang berdekah-dekah tiga lelaki tersebut.

              “Ada hati nak melawan.”

Salah seorang daripada mereka menepuk-nepuk perutnya. Jelas apa yang dipamerkan Raudah menggeletek hatinya secara berlebihan.

              “Nanti apabila kita sudah kerjakan dia, barulah dia maklum akan tingginya langit, dan rendahnya bumi.”

              “Oh, aku sangat maklum akan hal itu. Apakah kalian?”

Raudah dengan berani membalas, membuatkan tiga lelaki tersebut tersentak. Tawa dan hinaan mereka terhenti. Mereka kini mula bergerak mendekati Raudah dengan wajah penuh amarah.

              “Celaka perempuan ini!”

              “Jangan banyak bicara, kerjakan dia!” Suara dari belakang tiba-tiba muncul.

              Amru menoleh, dua lelaki yang semenjak tadi mengekori mereka, kini sudah masuk ke perkarangan rumah. Tanpa menanti, salah seorang daripada mereka sudah memanjangkan tangan untuk mencapai Raudah.

              Pun begitu, tangan tersebut segera dicengkam Raudah, lalu ditarik ke hadapan, sebelum wajah lelaki tersebut menjamah hentakan telapak tangannya. Darah bersembur daripada rongga hidung lelaki itu, sebentar menghiasi langit sebelum ditarik graviti bagi membasahi bumi.

              Suasana terus berubah menjadi sengit apabila empat lelaki yang lain terus menyerbu. Raudah sempat menolak lembut Amru ke sisi pagar. Amru hanya mampu melihat pertarungan di hadapannya.

              Hatinya dipalu rasa takut, risau apa yang bakal berlaku kepada bondanya. Air mata mula mengalir, tangisan mula terluah. Amru teresak-esak sambil menjeritkan ‘Bonda!’ berkali-kali.

              Pun begitu, suara Amru terpaksa diabaikan oleh Raudah.

              Walaupun merupakan seorang wanita, kelima-lima lawan Raudah jelas mengalami kesukaran untuk menguruskannya. Pergerakannya lincah, kekudanya kejap. Keteguhannya seperti sebatang pohon rimbun sedang ditiup angin kuat. Tumbukan dan tamparannya menghinggapi wajah-wajah lawan ibarat kilat menyambar.

              Tiga daripada lawannya terundur beberapa langkah, sedang dua yang lain berjaya merobek pakaian pada bahunya dengan pisau masing-masing. Darah Raudah tumpah, tetapi tidak menempangkan pergerakannya. Wanita itu berpaling sebelum melompat sedikit dan memutarkan tubuh, mendaratkan kakinya ke wajah lawan.

              Lelaki tersebut menghentam rakannya, membuatkan kedua-dua mereka terhumban ke tepi.

              “Celaka!”

Dari belakang, tiga lelaki yang lain cuba merodok tubuh Raudah dengan senjata masing-masing. Raudah tidak gentar, matanya tajam mencari ruang dan peluang. Sebelum lawan-lawannya sampai, Raudah terlebih dahulu melangkah ke hadapan.

              Terkejut dengan tindakan Raudah tetapi tidak sempat berbuat apa-apa, dua daripada tiga lelaki tersebut menerima habuan berbentuk tusukan tangan Raudah ke rongkong mereka. Mata kedua-duanya terbelalak, tubuh mereka berdua terundur melanggar dinding rumah.

Lelaki ketiga terpaksa berpaling di tengah-tengah pergerakannya untuk mendapatkan Raudah. Pisau dilibasnya, menggores tangan Raudah. Kali ini sedikit lebih dalam berbanding tadi, namun cukup untuk membuatkan Raudah mengerang dan spontan berundur.

              Dua lelaki yang lain terus mara. Lelaki yang mencederakan Raudah tadi turut mengekori.

              Raudah tahu dia tidak akan mampu bertahan lebih lama. Sempat dia menoleh ke arah Amru yang kini berada di belakangnya. Anak kecil itu jelas ketakutan, dengan air mata berjuraian pada pipi.

              “Allah bersama kita, Amru!”

Raudah melaung sambil berpaling semula ke arah lawan-lawannya. Laungan itu bukan sahaja untuk memujuk Amru, tetapi bagi menenangkan dirinya sendiri. Pada saat tersepit begini, jelaslah maknanya mengapa hanya kepada Allah sewajibnya insan harus berserah!

              Tiba-tiba, suatu deruman kedengaran.

              Raudah menangkap bunyi tersebut, pantas melompat dan mendakap Amru.

              Sebuah kereta merodok pagar dan melanggar tiga lelaki yang cuba menerkam Raudah. Tiga lelaki tersebut terpelanting ke dinding rumah. Raudah sedikit terpinga-pinga, pantas melihat ke arah kereta tersebut.

              “Abang! Ayah!”

              Seorang lelaki muda keluar dari kereta, sebelum kenderaan itu diundurkan oleh pemandunya, seorang lelaki sedikit berusia, keluar dari perkarangan rumah.

              “Maafkan abang, Raudah. Kita kena keluar dari sini.”

              Namun, belum sempat lelaki itu berbicara lebih panjang, dua lelaki berjaket hitam sudah meluru ke arahnya.

              “Zaman!”

Namanya dilaungkan, tetapi lelaki itu tidak panik. Dia terus bergerak lincah mengenepikan tangan si penyerang yang memegang pisau, sebelum lima tumbukan pantas dilepaskannya. Satu ke wajah, satu ke kerongkong, manakala bakinya ke perut secara bertubi-tubi.

              Seorang lagi penyerang dilayan oleh Raudah, dengan tempeleng kuat yang membuatkan dirinya jeda seketika, sebelum Zaman melepaskan sebuah tetakan tangan kanan ke lehernya sebaik sahaja suami Raudah itu selesai menguruskan penyerangnya.

              Penyerang Raudah dan Zaman kedua-duanya tumbang ke tanah hampir serentak.

              “Ugh! Zaman, Oyabun tidak akan melepaskan engkau! Dia tahu, Zaman. Dia tahu!”

Tiga lelaki yang dilanggar kereta tadi sudah kembali bangkit. Namun jelas kelihatan mereka bertiga sudah lelah. Dibelasah Raudah, kemudian dilanggar kereta pula. Malang terus-menerus, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga pula.

              Raudah memandang Zaman. “Apakah harinya telah tiba, bang?”

              Zaman mengangguk perlahan. “Oyabun sudah hantar orang untuk membunuh abang dan keluarga kita. Mereka tahu abang mahu membongkarkan rahsia mereka, menjatuhkan empayar mereka, menghapuskan kerja-kerja haram mereka!”

              “Jangan ingat Oyabun akan lepaskan engkau! Pemberontakan engkau ini satu pengkhianatan!”

Ketiga-tiga lelaki itu menggagahkan diri, lalu mara.

              Zaman menyentuh lembut bahu Raudah yang cedera. “Bawa Amru masuk ke kereta ayah.” Tanpa menanti reaksi Raudah, Zaman terus mara.

Raudah segera mendakap Amru. Kesakitan yang menjalar akibat luka pada badan, diabaikan. Dia bergegas ke kereta, tempat ayahnya setia menunggu.

              Ketiga-tiga lelaki berbaki diuruskan Zaman hampir sekelip mata.

              Pergerakan Zaman jauh lebih tangkas daripada Raudah. Gaya serangannya nyata tidak punya kelembutan. Serangan-serangan yang dilepaskan oleh Zaman nyata bertujuan untuk menumbangkan lawan dengan serta merta.

              Tangan lawan pertama terus dipatahkan sebaik sahaja lelaki tersebut melunjur bersama sebilah pisau. Bunyi erangan lelaki itu mengiringi lonjakan pisaunya ke udara, sebelum disambar oleh Zaman dan dibenamkan ke dada lawan kedua. Mata lelaki kedua terbelalak seperti tidak menyangka apa yang telah berlaku, kerana segalanya berlaku sepantas kilat.

Belum sempat lelaki ketiga bereaksi, lehernya sudah dicapai tangan kiri Zaman dan wajahnya disambut lutut suami Raudah itu. Gigi lawan ketiga itu bersepai, sebelum lehernya dijamu siku Zaman, membuatkan hentakan muka ke bumi kemudiannya menjadi lebih azab.

              Zaman jeda seketika memerhatikan lawan-lawannya.

              “Cepat, Zaman!”

              Laungan Ayah menyebabkan Zaman tersedar. Dia cepat-cepat berpaling dan bergerak ke arah kereta yang dipandu lelaki berusia itu.

              “Bang, Amri belum pulang mengaji!”

Suara Raudah membuatkan langkahan Zaman terhenti. Raudah memandang wajah Ayah, yang kini menghela nafas panjang, sebelum melayarkan pandangannya semula ke arah Zaman. Seperti menghantar isyarat pertanyaan ‘Bagaimana?’

              “Man pergi ambil Amri. Tempat dia belajar mengaji tidak jauh. Hanya di lorong belakang rumah ini. Ayah jalan dahulu. Man akan ikut jalan pintas. Kita bertemu semula di hadapan surau taman perumahan ini.”

              Zaman keluar dari perkarangan rumah. Raudah dapat melihat suaminya memasuki lorong yang menghubungkan lorong rumahnya dengan lorong belakang rumah. Kelibat Zaman hilang di balik dinding rumah di sisi lorong tersebut.

              “Kita memang tidak akan dapat hidup tenang di kota ini lagi ya, ayah?”

              Wajah lelaki yang sedikit berumur itu sayu. Matanya jelas menyimpan makna.

“Raudah pun tahu apa yang telah berlaku kepada keluarga kita hasil tangan Oyabun. Ada baiknya Raudah mula tinggal bersama ayah di Taujih Ruhiyyah.”

              Raudah mendakap Amru, sambil mengelus-elus rambut anaknya itu. Matanya tetap kekal bertaut dengan pandangan ayahnya.

              “Amru dan Amri akan ada suasana yang baik, membesar di sana, berbanding di sini. Kegelapan kota ini semakin menelan jiwa semua orang.”

              Raudah menghela nafas panjang, sebelum mengangguk kecil.

“Ayuhlah, ayah, kita bergerak.”

              Ayah mengangguk, dan kembali memandang ke hadapan. Baru sahaja kaki hendak memijak pedal minyak, bunyi tembakan kedengaran. Matanya membesar.

              Raudah membulatkan mata sebaik sahaja perasan kelibat Zaman muncul kembali dari lorong yang dimasukinya. Suaminya itu kelihatan sedang berundur setapak demi setapak. Sekali lagi bunyi tembakan bergema, menghenjut tubuh Raudah.

              Tubuh Zaman sekali lagi dihinggapi peluru. Dia seperti hampir tumbang, namun lelaki itu menggagahkan diri agar kekal berdiri. Wajahnya dipalingkan ke arah kereta.

              “Pergi, ayah! Pergi!!!” Zaman melaung sambil melayang-layangkan tangan. Wajahnya pucat, darah mula menghiasi bawah bibirnya.

              Ayah terus menekan pedal minyak. Kereta yang dipandunya memecut. Sewaktu mereka melepasi lorong, Raudah dapat melihat seorang individu bertopeng separuh sedang mengacukan pistol ke arah mereka.

Zaman dengan tangkas menjadikan tubuhnya sebagai perisai.

              Bunyi berdas-das tembakan menghiasi pendengaran, merenjat ketenangan jiwa Raudah.

              Namun, tiada satu pun tembakan yang berjaya sampai kepada mereka.

              Semuanya mengenai tubuh Zaman. Suaminya itu kini tumbang menelentang di atas tanah.

              Mata Raudah membesar. “Abang!!!”