BERONTAK 1

Kicauan unggas menghiasi suasana dengan lagu alam. Saling bersahutan memeriahkan buana. Sekali tidak sekala, bunyi deras air terjun dan arus sungai saling menyelangi. Hutan tebal itu bagaikan sedang bersenandung, menyebarkan irama ketenangan dan keheningan menyelimuti kawasan ini.

Di tengah-tengah belantara itu, wujud suatu kawasan lapang yang luas. Kelihatan beberapa rumah yang dibina daripada kayu dan buluh. Ia seperti berasimilasi dengan persekitarannya. Bangunan-bangunan tersebut sederhana, namun beberapa buah daripadanya kelihatan seperti mencakar langit kerana berada di tanah yang tinggi.

Di hadapan bangunan utama, terdapat kawasan tanah lapang. Ketika ini, ia tidak kelihatan lapang kerana diisi sekumpulan manusia.

Mereka berada dalam dua bulatan. Bulatan lebih dalam terdiri daripada kalangan lelaki. Sementara bulatan luarnya pula duduk khalayak wanita. Semuanya berpakaian sopan dan sederhana. Lelaki-lelaki itu berbaju lengan panjang bersama selempang pada pinggang, khalayak wanita pula mengenakan tudung litup dan berbaju kurung.

Di tengah-tengah bulatan tersebut, kelihatan tiga lelaki.

Seorang berdiri tegak, sambil memerhatikan dua lelaki lain yang sedang bertarung.

Teriakan mereka sekali-sekala menambah seri nyanyian hutan.

“Buya, saya tidak tenang.”

Suara itu kedengaran lirih di celah-celah segala bunyi. Datang daripada seorang lelaki, sedang duduk dan menatap menghadap seorang lelaki tua.

Buya, mursyid kepada tempat ini.

“Beristighfarlah.”

Buya mengenakan pakaian serba putih, janggutnya yang tidak terlalu panjang itu diurut. Matanya tenang memerhatikan lelaki di hadapan, yang tidak berseorangan.

Lelaki itu ditemani tiga lagi lelaki lain.

Mereka bukanlah bersahabat. Hanya kebetulan singgah ke tempat ini secara serentak. Dua daripada mereka datang jauh dari Kota Lemuria. Manakala dua lagi datang dari kota berhampiran. Keempat-empat tetamu ini berkunjung ke rumah Buya membawa hajat masing-masing.

Dalam menyantuni tetamu, sempat Buya melirik ke pintu, memerhati perkumpulan anak muridnya. Dia dapat melihat dua daripada mereka sedang bergelut.

Sememangnya sekarang merupakan sesi latihan seni tempur.

Mata Buya mendarat ke arah tetamu kedua. Seperti menerima isyarat untuk bersuara, lelaki tersebut terus meluahkan hajatnya.

“Saya dalam kesulitan kewangan, Buya. Puas saya berusaha, tetapi kondisi saya tidak pernah mahu berubah.”

Buya melemparkan pandangannya ke sebuah papan putih di sudut rumah tersebut.

HARI INI

6 petang – 7 malam

Pengajian Tamu dan Tamu Ziarah

              Perkataan-perkataan itu tertera jelas.

              “Mungkin Buya boleh beri amalan yang bakal membuka pintu rezekiku?” Tetamu kedua itu menyambung.

              “Beristighfarlah.”

              Tetamu kedua itu mula mengerutkan dahi, demikian juga tetamu pertama. Jeda mengisi ruang, sedang Buya pula mengisi sela masa itu dengan zikrullah. Ibu jari kirinya bergerak menghitung zikir. Pandangannya kini melandas pada tetamu ketiga.

              Bertopi jerami, pakaiannya juga kusut.

              “Buya, perniagaan saya jatuh. Tanaman di kebun, di ladang, tidak menjadi. Tambah lagi kemarau datang menyerang tempat aku bergadang. Apakah ada amalan yang boleh menurunkan hujan dan memajukan perniagaan?”

              Buya menghela nafas. Tangan kanan setia mengurut janggut.

              Kini, empat tetamunya saling berpandangan. Jelas mereka runsing dengan jawapan Buya yang seperti acuh dan tidak acuh. Buya mengalihkan pandangan, melihat tetamu terakhir.

              “Err …”

Ragu-ragu tetamu itu mahu bersuara. Mungkin setelah mendengar jawapan Buya kepada soalan-soalan ketiga-tiga tetamu yang lain, dia menjangkakan kekecewaan sahaja yang akan keluar daripada mulut Buya.

              Namun begitu, telah jauh perjalanannya ke mari dari Kota Lemuria. Alangkah rugi perjalanan tersebut sekiranya dia mengunci mulut daripada meluahkan soalan yang terpendam.

              “Saya sudah lama menikah, Buya, tetapi masih belum dikurniakan anak. Harap Buya dapat memberikan amalan agar saya dibantu Allah SWT hingga beroleh zuriat.”

              Buya terangguk-angguk.

              “Perbanyakkanlah istighfar. Dengan membesarkan Allah sebesar-besarnya, dan mengecilkan diri kita sekecil-kecilnya saat memohon kepada-Nya, Allah akan membantu urusan-urusan kita.”

              Jawapan terakhir Buya disambut dengan helaan nafas panjang dan wajah tidak betah daripada keempat-empat tetamunya.

              “Buya, banyaknya persoalan hidup dan masalah kami tanyakan. Semuanya berbeza. Mengapa jawapannya sama sahaja? Beristighfar?” Tetamu yang pertama meluahkan rasa.

              Buya senyum lebar. Dia bangkit dan pergi ke arah sebuah para papan, lalu mencapai mushaf yang berada di situ.

              Kitab suci itu dibukanya.

              “Itu bukan kata-kata saya. Itulah jawapan dan solusi daripada Allah SWT. Ada dalam al-Quran. Ayuh kita sama-sama semak Surah Nuh, ayat 10, 11 dan 12.”

Buya menjuihkan sedikit bibirnya ke arah para, menunjuk kepada barisan mushaf yang tersusun kemas di situ.

              Segera empat tetamunya bangkit dan mencapai mushaf buat diri masing-masing. Al-Quran diselak dengan cermat sebaik sahaja mereka kembali bersila di hadapan Buya.

              “Sehingga aku (Nuh) berkata: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak, dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.”

Terangkak-rangkak para tetamu membaca firman tersebut sambil dibantu Buya, sebelum diakhiri oleh pembacaan terjemahan.

              “Kadangkala, kita terlupa Allah SWT-lah yang memberikan kita ujian, Dialah juga yang berkuasa menariknya pergi. Kita kadangkala terlupa Allah SWT-lah yang menurunkan bahagia dan rezeki, dan tidaklah ada antara Dia dan hamba-hamba-Nya itu perantara. Maka kerdilkan diri, rasalah kebesaran Ilahi. Bersangka baik kepada-Nya, tunjukkan dalam bentuk kesungguhan usaha, seterusnya berdoa dan bertawakkallah.” Bibir Buya dihiasi senyuman.

              Para tetamunya mula terangguk-angguk.

              “Sangka kami, ini tempat sakti untuk menunaikan hajat. Jauh perjalanan kami mahu mendapatkan hikmat daripada empunya tempat ini.” Salah seorang daripada mereka bersuara.

              Buya tertawa. Menggeleng. “Astaghfirullah. Taujih Ruhiyyah ini tidak lebih daripada sekadar tempat pengajian, tempat belia kita, muda-mudi kita, berlindung daripada kebejatan di luar sana. Terutama apa yang disebarkan di Kota Lemuria. Kalian yang datang dari sana pasti lebih mengetahui. Allah sahajalah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa.”

              “Apakah kerana itu tempat ini begitu tersembunyi?”

              Madrasah Taujih Ruhiyyah ini terletak betul-betul di tengah-tengah belantara yang tebal. Walaupun ada jalan yang membawa ke mari dan boleh ditempuh dengan kenderaan, sukar sebenarnya bagi orang yang tidak tahu untuk bertemu dengan jalan tersebut. Ia perlu mengharungi beberapa batang jalan dan simpang-siur yang mengelirukan.

              Hakikatnya, Buya memang mengusahakan tempat ini sedemikian.

              “Kita mahu selamatkan generasi mendatang. Bina gelombang kebaikan yang baru. Itu tidak akan berlaku dengan magik dan tiba-tiba. Ia memerlukan proses. Inilah sedikit sebanyak yang saya usahakan. Pada masa yang sama, saya alu-alukan sahaja sesiapa yang ke mari dengan niat aman dan mencari ilmu. Seperti kalian.”

              Walaupun Madrasah Taujih Ruhiyyah ini tersembunyi sebegitu, Buya ada menugaskan beberapa santri senior untuk mengawasi laluan-laluan ke mari. Sekiranya ada kelihatan tetamu mencari tempat ini, santri-santri tersebut akan mendekati bagi memastikan tujuan mereka. Selepas pemeriksaan selesai, mereka akan dibantu untuk sampai ke Madrasah Taujih Ruhiyyah, pada waktu yang telah ditetapkan oleh Buya.

              “Kami pun dengar-dengar daripada rakan sahaja, Buya. Orang baik dan berilmu macam Buya, sudah semakin sedikit. Keadaan sekarang, yang ber-Tuhan pun belum tentu mendalami. Banyaknya ritual dan kulitan sahaja.”

              Wajah Buya sedikit keruh. Tetapi dia segera memaniskan roman wajah dengan senyuman. “Untuk itu juga, kita beristighfar kepada-Nya.”

              Tetamu-tetamunya turut tersenyum.

              “Assalamu’alaikum, Buya.”

              Seorang santri lelaki masuk ke ruang tersebut. Seorang pemuda berwajah bersih, dengan rambut yang kemas. Selempang pada pinggangnya sedikit labuh, menutup kawasan bawah pinggang itu hingga ke lutut. Sempat dia melemparkan senyuman kepada tetamu-tetamu di situ.

              “Ya, Khalid?”

              Khalid terus merapati Buya, dan merapatkan mulutnya ke telinga lelaki tua itu. Buya terangguk-angguk. Kemudian, pandangannya dilayangkan ke luar.

              Dua pelajar yang sedang bertarung masih beradu tenaga.

              “Panggil Amru.”

***

“Hiiaaarrgh!”

Si lawan melompat sambil memutarkan tubuh. Tendangan bakal menyusul untuk mendarat ke kepalanya. Tetapi dia tidak mempamerkan rasa kaget dan gentar.

              Dengan berani, satu langkah ke hadapan diambil. Terlalu rapat untuk tumit lawan mencapai wajahnya. Terus bahunya menyondol punggung lawan. Pergerakan si lawan terganggu, dan tubuh lawannya tercampak ke tanah.

              Tetapi lawannya itu pun bukan calang-calang. Sebelum tubuh yang menyembah bumi, dua telapak tangan terlebih dahulu menyambut tanah, kemudian dia melompat dan berdiri dengan baik sambil kedua-dua belah tangan dibuka siaga.

              “Bukan semudah itu, Amru.” Si lawan mengukir senyuman. Gigi putih lelaki itu terserlah.

              Amru tersengih. “Bukan semudah itu juga, Naim.” Kedua-dua telapak tangannya turut bersedia.

              Mereka sudah lama beradu tenaga tanpa ada tanda sesiapa bakal memenangi pertarungan ini.

              “Amru, Amru, Amru!”

              “Naim, Naim, Naim!”

              Santri-santri lelaki yang mengelilingi mereka bersorak-sorai. Sementara santri-santri wanita memerhati dengan teliti. Ada yang berwajah risau. Ada yang berwajah teruja. Tidak kurang yang memberi sepenuh tumpu.

Pandangan Amru terhenti kepada seorang santri wanita. Berwajah cerah, bertudung litup petak-petak. Apabila perasan pandangan mereka bertembung, santri tersebut segera menundukkan pandangannya. Segan, mungkin.

              Sengihan sekali lagi menghiasi wajah Amru.

              Pun begitu, desiran angin yang dapat dirasai menerjah ke arahnya membuatkan sengihan itu pantas menghilang. Telapak tangan Naim laju cuba hinggap pada wajahnya. Mujur Amru cepat sedar akan kehadiran serangan tersebut, lantas sempat menggalihkan wajah. Telapak tangan Naim menerobos melepasi belakang kepala Amru.

              Tetapi serangan tersebut belum berakhir. Lutut kirinya sudah naik menujah rusuk Amru yang terdedah. Kelam-kabut Amru membawa kedua-dua belah tangannya, mempertahankan diri. Lutut Naim disambut belakang lengan Amru.

              “Leka dan alpa!” Naim melaung.

              Belum sempat Amru berbuat apa-apa, tubuhnya menjadi mangsa telapak tangan Naim, kiri dan kanan, bertubi-tubi mendarat pada badanya. Tubuh Amru terangkat sedikit ke udara sebelum dia terlentang ke tanah.

              Langit senja menghiasi pandangan.

              Degupan kencang menghentam dada.

              Spontan bibirnya menggumam istighfar.

              “Zaharah.” Nama itu terdetik dalam hatinya.

              Belum sempat dia bangun, suara Naim menyapa pendengarannya.

“Engkau okeykah?”

Tangan pemuda itu dihulurkan. Wajahnya seperti kehairanan. Mungkin Naim sendiri sedar, dia hanya berjaya menumbangkan Amru kerana perhatian sahabatnya itu terganggu.

              Amru membalas dengan senyuman.

              Tepukan gemuruh menyambut mereka berdua sebaik sahaja Amru berdiri.

              “Baik, semua boleh bersurai dan persiapkan diri untuk Maghrib.” Pengadil yang semenjak tadi berada di tengah gelanggang bersama Amru dan Naim, melaung.

              Santri-santri mengangguk dan bulatan yang terbentuk tadi pun pecah. Semua beredar sambil mengangkat beg masing-masing.

              Begitulah rutin di Madrasah Taujih Ruhiyyah. Siang, mereka akan diberi pengajian akademik, petang mereka akan beriadhah dengan mempelajari seni bela diri, kemudian malamnya mereka akan memberikan fokus kepada pengajian agama. Sinilah tempatnya untuk menyeimbangkan dunia dan akhirat. Dunia tetap tidak ditinggalkan, cuma dipandang dari jendela akhirat.

              Pada hujung minggu, adakalanya santri-santri akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Pun begitu, ramainya akan tinggal di sini kerana tidak ada lagi tempat untuk digelar sebagai rumah, selain Taujih Ruhiyyah.

              Kebanyakan santri di sini adalah insan-insan yang dikutip melalui usaha dakwah Buya.

              Buya punya santri-santri senior, yang sering digelar sebagai Santri Terutama. Mereka ibarat orang-orang kanan Buya, dan menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di sini. Dari semasa ke semasa, sebahagian mereka akan diberikan tugasan dakwah ke kota-kota, terutamanya ke Kota Lemuria, untuk menyelamatkan muda-mudi yang tenggelam dalam kebejatan.

              Biasanya, sebahagian daripada sasaran mereka akan dibawa pulang ke Madrasah Taujih Ruhiyyah untuk membersihkan diri, mendapat tarbiah, dan menjadi manusia yang lebih baik. Sebahagian yang  lain akan ditugaskan menjaga sempadan Taujih Ruhiyyah, supaya tidak ada mereka yang berniat jahat mampu sampai ke mari.

              Dua puluh tahun telah berlalu semenjak tragedi menimpa keluarganya. Semenjak itu jugalah Amru menetap di sini bersama Buya, yang merupakan ayah kepada bondanya.

              Manakala Bonda …

              Amru mencapai beg. Dahinya berkerut, tetapi kemudian kerutan itu lerai dan bibirnya pula berbunga dengan senyuman. Di atas begnya ada satu lipatan kertas yang unik. Segera kertas itu diambilnya sambil memerhatikan sekeliling.

              Namun, insan yang dicarinya telah tiada di tempat itu.

              Senyumannya panjang sambil kertas tersebut dibuka lipatannya.

Orang yang kuat itu, bukan orang yang mampu menumbangkan seribu lawan, tidak juga yang mampu mendaki ke puncak tertinggi, bukan pula yang mampu berenang menyeberangi tujuh lautan, dan sudah tentu tidak sekadar mampu mengangkat besi seberat apa pun.

Kerana orang yang paling kuat ialah orang yang mampu mengangkat selimut dan dirinya untuk qiamullail dan solat Subuh.

              Kad itu diakhiri dengan simbol senyuman.

              Amru menggeleng.

              “Amboi, bukan main senyum.”

              Segera Amru berpaling ke arah suara tersebut. Naim masih belum beransur pergi, sedang tersenyum nakal kepadanya.

              “Inilah punca engkau kalah tadi?” Naim merapati dan menyiku Amru.

              Amru tertawa. “Ish, mana ada.”

              “Untunglah, ada bidadari menanti.” Naim mengangkat kening dua kali.

              Tawa Amru tidak tertahan lagi. Malah, kini lebih kuat. Seperti dirinya digeletek kelucuan oleh kata-kata dan mimik wajah Naim.

              “Kau rasa macam mana?”

              “Kalau dah angau sampai jatuh dipukul di tengah gelanggang, seriuslah itu.”

              “Ish, aku tanya apa pendapat kau, dia benar-benar suka pada aku?”

              Naim gelak kecil. “Entah. Kau rasa? Kalau kau kumpul semua yang dia tulis dari dulu sampai sekarang, sudah boleh buat buku rasanya. Kalau itu bukan serius, aku tak tahulah nak kata apa.”

              Amru terangguk-angguk. Gelaknya masih ada, tetapi beransur surut. Kemudian dia, menghela nafas panjang.

              “Aku mahu seriuslah.”

              “Engkau rasa Buya tahu atau tidak fasal engkau dengan …”

              “Assalamu’alaikum, Abang Amru!”

              Kata-kata Naim tergantung. Perbualan mereka mati di situ. Dia dan Amru sama-sama menoleh ke arah suara itu datang sambil menjawab salam yang diberi. Seorang santri remaja kelihatan menghampiri mereka.

              “Abang Khalid kata, Buya mahu Abang Amru bertemu dengannya selepas Isya’ nanti.”

              Amru dan Naim saling berpandangan.

***

“Selaku AJK Masjid Lemuria, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu ini yang telah sudi memberikan sumbangan yang bukan sedikit untuk masjid kita.”

              Teriakan takbir kedengaran daripada para jemaah. Ada juga yang bertepuk tangan.

              Lelaki berserban lengkap berjubah putih di podium meneruskan ucapan. Mikrofon kembali dirapatkan pada bibir.

              “Dalam keadaan Kota Lemuria yang tidak menentu semenjak ketiadaan Yang Berbahagia Mulia Oyabun, kita pastinya memerlukan kepimpinan seorang insan yang berkaliber. Saya nampak ketokohan itu pada diri individu yang dermawan ini.”

Lelaki berserban itu meneruskan puji-pujiannya.

              “Tanpa memakan lebih banyak masa, saya menjemput Tuan Mansur untuk ke hadapan, menyempurnakan majlis pemberian sumbangan kepada Masjid Lemuria pada malam ini. Dipersilakan.”

              Lelaki berserban menjauhi podium. Tangannya bergerak mengalu-alukan seorang lelaki berpakaian korporat yang berdiri dari tempat duduk VIP, dan mula melangkah ke podium. Beberapa lelaki berpakaian baju melayu dan berkopiah, mengiringi lelaki tersebut naik ke pentas.

              Sebuah replika cek dikeluarkan dari belakang pentas dan dibawa ke hadapan. Replika cek itu dihulurkan daripada salah seorang lelaki berkopiah, kepada lelaki berpakaian korporat.

              “Tuan Mansur,” Lelaki berkopiah menyebut, disambut senyuman Mansur.

              Senyuman Mansur lebar, sambil matanya melayang sebentar ke arah ratusan hadirin di hadapan. Masjid Lemuria penuh, tidak seperti kebiasaan. Siapa yang tidak mahu makan percuma? Itu juga ditaja oleh Mansur. Beberapa wartawan dan pengamal media hadir. Pentas bergemerlapan dengan kilauan lampu-lampu sorot jurukamera. Bertubi-tubi gambar diambil.

              Senyuman pada bibir Mansur bertukar sengihan.

              Mansur menyerahkan replika cek tersebut, yang tertera padanya 100,000 Deus, kepada lelaki berserban. Lelaki berserban menunduk sedikit, sambil bibir tidak berhenti mengungkap terima kasih, sebelum seorang lelaki berkopiah menalakan mikrofon ke arahnya.

              “Terima kasih, Tuan Mansur, kerana terus membantu Masjid Lemuria. Semoga Tuan Mansur terus dimurahkan rezeki oleh Allah SWT dan dipanjangkan umur!”

              Mansur terangguk-angguk, dan meneruskan senyuman.

              Kini mikrofon ditalakan pula kepadanya. Mansur menghadap hadirin, memandang mereka dengan penuh yakin.

              “Saya dapat semua ini daripada Allah. Ada hak orang lain di dalamnya yang perlu saya berikan, terutama kepada rumah Allah dan orang-orang yang sangat memerlukan.”

              Laungan takbir kedengaran. Banyak hadirin terpana melihat ketokohan Mansur, dan lebih ramai yang kagum akan nilai sumbangan yang diberikan. Dalam keadaan ekonomi Kota Lemuria kelam-kabut semenjak kematian Oyabun, bantuan 100,000 Deus itu ibarat bantuan daripada Tuhan!

              “Insya-Allah, kita akan sama-sama menyelamatkan Kota Lemuria ini. Ini janji saya!”

Mansur mengangkat tangan kanannya ke udara.

              Masjid bergegar dengan sorakan takbir.

***

“Assalamu’alaikum, Buya?”

              Teragak-agak Amru bersuara sambil perlahan-lahan melangkah mendekati Buya yang kekal di atas sejadah imam. Buya kelihatan khusyuk berzikir, sementara santri-santri yang lain sudah mula beransur meninggalkan musolla tersebut, untuk sesi pengajian agama.

              Buya mengangkat wajah, menjawab salam sambil menoleh ke arah Amru yang berkopiah dan memakai kurta. Senyuman menyambut Amru yang bersimpuh di hadapannya. Amru memanjangkan tangan, menghulurkan salam dan dijabat dengan erat oleh Buya. Tangan Buya dicium penuh hormat, sebelum kembali ke posisi duduk antara dua sujud.

              Matanya tajam memandang lelaki tua itu.

              Walaupun Buya merupakan datuknya, Amru tidak lagi memanggilnya sebagai Atuk. Di Taujih Ruhiyyah, datuknya itu dipanggil Buya oleh semua. Semua orang di Taujih Ruhiyyah memanggil lelaki ini dengan panggilan yang sama, sepertinya mereka merupakan adik-beradik dalam satu keluarga. Buya bukan hak miliknya, Buya dikongsi dengan semua ahli keluarganya di sini, santri-santri Taujih Ruhiyyah. Buya ibarat bapa kepada semua.

              “Rapat lagi, Amru. Ke mari.” Lirih Buya bersuara.

              Amru mengengsot lagi ke hadapan. Tangan kiri Buya memanjang mencapai lututnya, seperti mengajak dia untuk lebih rapat, sehingga lutut kedua-dua mereka berlaga.

              Buya diam buat beberapa ketika. Amru cuba meneka hajat Buya untuk bersua dengannya. Walaupun mereka punya hubungan keluarga, Buya jarang menunjukkan seperti dia melebihkan Amru berbanding santri-santri yang lain. Semua dilayan dengan adil dan saksama, semampu yang Buya boleh.

              Amru seperti mahu menjangkakan yang Buya tahu akan hubungannya dengan …

              “Buya, Amru mahu meminta maaf, sekiranya ada perbuatan Amru yang Buya rasa tidak berkenan.” Entah mengapa, ayat itu segera meluncur daripada bibirnya.

              Buya tersenyum. Menggeleng.

              “Engkau tahu, Amru, yang manusia ini hidupnya akan sentiasa diuji?”

              Amru mengangguk lembut. “Ujian dan kehidupan itu kembar, Buya. Selagi hidup, selagi itu kita teruji.”

              “Maka antara ubat mujarab untuk kekal bersemangat mengharungi mehnah dan tribulasi hidup adalah punya rasa tasammuh. Apakah itu tasammuh, wahai cucuku yang dikasihi?”

              “Tasammuh itu berlapang dada, Buya. Menerima apa jua ketentuan dan keputusan Allah, dengan sepenuh hati yang redha. Jika berselisihan pendapat atau pegangan dengan orang lain pula, tasammuh itu adalah sanggup memahami pendirian mereka untuk dihormati, agar mengelak daripada perbalahan.”

              Amru menjawab lancar.

              “Namun, janganlah sampai kita mengabaikan pendirian diri sendiri, tambah pula apabila bertembung antara pendirian kita yang benar, dan pendirian orang lain yang batil. Engkau faham itu, Amru? Tanpa prinsip, kita tidak punya maruah.”

              Amru mengangguk perlahan.

              “Insya-Allah, Buya. Mohon doa Buya, mudah-mudahan dapatlah Amru membumikannya.”

              Pandangan mereka berdua bertaut. Pandangan Buya lembut membuai. Senyuman Buya tambah menggugah jiwanya. Amru dapat merasakan ada sesuatu yang besar mahu dilepaskan oleh Buya kepadanya.

              “Semoga Allah Ar-Rofiiqul A’la menjaga diri Amru selalu, selama mana Amru menjaga hablumminallah – hubungan akrab bersama Allah dan hablumminannnas – hubungan sesama manusia …”

              Suara Buya bergema menghiasi musolla, walaupun nadanya lembut sahaja.

              Mungkin kerana musolla telah pun kosong.

              Dari balik tirai tempat solat wanita, seorang santri wanita terhendap-hendap memerhatikan Amru dan Buya, sambil cuba sebaik mungkin mencuri dengar perbualan mereka.

              “Weh, Zaharah, engkau buat apa tu?” Bahu santri wanita itu dicuit.

              “Ish, janganlah kacau aku, Hawa.” Tanpa memandang rakannya, Zaharah mengibas-ngibas tangannya ke belakang, seperti cuba menghalau.

              “Kalau ya pun suka, janganlah sampai terhendap-hendap begini.”

              Zaharah menoleh ke arah Hawa dan mengangkat telunjuknya ke bibir. “Shhh …”  Sebelum dia berpaling semula mengintai Amru dan Buya.

              “Engkau fikir Amru hendak beritahu Buya fasal kalian berdua?” Hawa melepaskan soalan cepumas.

              “Itulah yang aku nak tahu.”

              Hawa menggeleng, walaupun tahu reaksinya tidak diperhatikan Zaharah. “Engkau takut?”

              “Kalau Buya tak redha, macam mana?”

              “Insya-Allah, kalau kalian berdua ikhlas, Buya pasti berikan sokongan. Perkara baik, bukan kalian berdua mahu buat hal tak senonoh!”

              “Tetapi aku pun tak pasti apakah Amru menyukai aku dengan sebenar-benar cinta.”

              “Allah, Zaharah oi. Amru itu orang baik. Kalau dia tak suka, semenjak kau utus surat cinta yang pertama lagi dia sudah bersuara menolak. Bukan engkau seorang mengejar dia.”

              Zaharah memandang Hawa, dengan wajah kemerah-merahan, sebelum melarikan wajahnya kembali, penuh kesipuan.

              “Amru tahu sebesar-besar amal dalam menjaga hablumminannas?” Suara Buya kedengaran lagi.

              Zaharah mendiamkan diri, cuba untuk fokus mencuri dengar.

              Walaupun tahu akan jawapan tersebut, Amru merendah diri, dan mengutamakan Buya untuk memberikan jawapan.

              “Saya faqir, Buya. Mohon tuntutan jawapan daripada Buya.”

              Buya melebarkan senyum.

              “Berbudi dan berbakti kepada kedua-dua orang tua kita. Ada redha Allah dalam redha mereka. Merekalah seutama-utama manusia untuk kita jaga hubungannya antara kita.”

              Amru tidak lepas memandang raut wajah Buya yang seakan berat mahu meneruskan kata-katanya.

              “Esok pagi-pagi, pulanglah ke Kota Lemuria. Tujulah ke Hospital Besar di sana. Buya sudah aturkan perjalananmu. Khalid akan menghantarmu ke jeti.”

              Amru tersentak. Hospital? Kota Lemuria?

              “Mengapa saya harus ke sana, Buya?”

              Buya diam buat beberapa ketika, namun pandangannya kekal bertaut dengan pandangan Amru. Ada kaca pada matanya. Perlahan-lahan Buya merapatkan tubuh, dan mendakap erat Amru.

              “Ada sesuatu yang buruk berlaku kepada bonda?”

              Pelukan Buya semakin erat, belakang tubuh Amru ditepuk-tepuknya.

              Mata Zaharah membulat.

***

Sebuah motosikal menelusuri jalan raya Kota Lemuria, perlahan-lahan membelah zulmat malam yang hanya dihiasi limpahan sinaran lampu jalanan. Memandangkan waktu sudah terlalu lewat, jalan raya juga semakin lengang.

              Motosikal itu ditunggangi satu pasangan, yang sekali-sekala mengisi jalan raya ini dengan bunyi tawa mereka, diselangi bunyi ekzos motosikal. Yang lelaki menunggang sambil pandangannya fokus ke hadapan, manakala yang perempuan memeluk erat pinggang pasangannya, sambil mulut rapat ke telinga lelaki tersebut.

              Entah apa yang dibualkan, tetapi bibir kedua-duanya tidak lekang dengan senyuman dan tawa.

              Mereka tidak sedar, di belakang mereka sebuah van mewah yang besar, sedang menghampiri. Jelas, van tersebut bukan daripada kalangan kenderaan murahan apabila menyusuri jalan tanpa mengeluarkan bunyi yang terlalu kuat.

              Semakin lama, van tersebut semakin dekat. Tidak lama kemudian, van itu bertukar ke lorong memotong, dan mula mempercepatkan kelajuan. Motosikal dan van mewah berwarna putih itu mula seiring.

              Apa yang menyedarkan pasangan tersebut hanyalah bunyi pintu van dibuka secara mengejut. Kedua-duanya menoleh ke kanan. Tiga lelaki memanjangkan tangan mencapai si perempuan. Spontan pasangannya mengelak ke kiri. Namun malang, tindakan itu seperti sudah dijangka, dan jelas ini bukan aksi pertama kali buat pemandu van mewah tersebut dan konco-konconya. Van itu dengan tenang merapat sehingga motosikal tersebut hampir terhimpit ke penghadang jalan.

              Penunggang motosikal mencuba jalan terakhir, bersiap untuk memecut. Namun, tindakannya terhenti, apabila salah seorang daripada penculik tersebut mengacukan muncung pistol kedap bunyi ke arahnya. Tubuh si penunggang seperti membeku, memandang kegelapan ruang dalaman van, membuatkan tangan-tangan yang menggapai mencapai teman wanitanya itu seperti melayang-layang di tengah-tengah udara.

              Wajah-wajah penculik bersembunyi di sebalik topeng hitam, sedang pakaian mereka serba gelap.

              “Tolong!”

Si perempuan menjerit apabila tubuhnya berjaya disentuh dan diangkat masuk ke dalam van.

Mata si penunggang membesar. Serentak, pistol kedap bunyi itu melepaskan tembakan. Tepat mengenai tayar hadapan motosikalnya. Terus kenderaan yang ditungganginya itu bergoyang hebat, dan tidak lama kemudian, melanggar penghadang jalan.

Si penunggang ibarat jatuh ditimpa tangga – teman wanita diculik, motosikalnya hancur, manakala tubuhnya terpelanting dan dia terbang melangkaui penghadang jalan, sebelum jatuh di atas jalan raya bertentangan.

              Mujur jalan lengang, dan nyawanya masih panjang. Dengan penuh kesakitan, dia segera menggagahkan diri bangkit dan bergerak ke tepi, sambil memandang van mewah yang menjadi punca kepada tragedi malam ini.

              “Tolong! Tolong! Teman wanita saya diculik!”

              Namun, tiada siapa mendengar rayuannya.

              Van putih itu terus bergerak laju membelah jalan raya Kota Lemuria, seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.