Prolog

Gegaran dapat dirasai, membuatkan dia terjaga. Segera dia berpaling ke kanan. Wajah Hilman kelihatan samar-samar dalam kemalapan suasana. Namun, dia dapat merasakan yang lelaki itu sedang tersenyum.

              “Langgar awan. Tidak ada apa-apa.”

              Dia tersengih. Cepat-cepat dia memejamkan mata kembali, mengiringkan badan ke ke kiri, cuba untuk melenakan diri walau keadaan di tempat duduk ini tidak begitu menyelesakan. Tetapi selepas beberapa ketika, gagal. Nafas panjang dihelanya. Dia kembali menegakkan tubuh, menghadap ke hadapan. Menatap skrin yang terdapat di balik kerusi hadapannya yang tidak bersiaran.

              Terdetik di hati mahu menonton apa sahaja rancangan yang disediakan, tetapi rasa malas dan tidak bersemangat mematikan niatnya.

              “Ada sekitar tiga jam lagi.” Suara Hilman mencelah.

              Dia menoleh ke arah lelaki itu. Melemparkan senyuman kelat.

              “Saudara tak tidur?” Dia cuba berbasa basi. Walaupun hakikatnya, dia tidak selesa hendak berbual-bual dengan orang yang tidak dikenali.

              Hilman tertawa kecil. Menggeleng. “Tidak perlu ber-‘saudara-saudara’ dengan aku. Kita boleh sahaja berbicara ‘aku’ ‘engkau’ jika itu lebih selesa.”

              Dia tersengih. Mengangguk-angguk. Benar, gaya bahasa itu lebih selesa untuknya. Ternyata lelaki di sebelahnya ini seorang yang santai dan bersahaja walau perawakan kelihatan seperti seorang yang ‘skema’.

              Nama Hilman dikenali kerana apabila dia masuk ke kapal terbang ini, Hilman sudah terlebih dahulu duduk pada tempatnya bersama-sama isteri di sisi. Hilman memperkenalkan diri dengan menghulurkan tangan untuk berjabat, bersama senyuman yang jelas ikhlas.

              Tidak seperti dia, lambat-lambat menyambut salam itu dengan wajah yang dia tahu tidak teruja. Mengapa dia tahu? Kerana dia bukanlah seorang yang suka bersosial. Dia tidak punya banyak kawan, dan tidak juga suka keluar rumah melainkan ada urusan penting atau urusan keluarga.

              Ini pertama kali dia meninggalkan rumah, bersendirian, jauh dari Malaysia untuk satu jangka masa yang tidak pendek.

              50 hari.

              “Bukan tidak boleh tidur. Tetapi mungkin terlalu teruja. Yalah, hendak ke Makkah menunaikan Haji.” Hilman menjawab persoalannya tadi.

              “Oooh …”

Dia memahami. Berlainan dirinya, perasaan yang sama tidak hinggap di dalam jiwa. Jauh di dalam hati, dia ingin menghentikan bicara mereka, dan pura-pura melelapkan diri. Tetapi ada suara di dalam jiwanya yang menegur agar dia membalas kemesraan yang ditunjukkan Hilman.

              “Namaku Wasim. Maafkan aku kerana tak perkenalkan diri tadi.”

Dia menghulurkan tangan. Dalam samar-samar suasana, dia dapat melihat Hilman mengukir senyuman lebar sehingga menampakkan gigi. Tangannya segera bersambut.

              “Tidak mengapa. Mungkin kepenatan. Yalah, kapal terbang kita berlepas pukul dua pagi.”

              Wasim sekadar tersengih, tidak tergerak mahu menceritakan kepada Hilman bahawa dia adalah seorang anti-sosial. Hidupnya memang tidak bergaul dengan orang ramai.

              “Pertama kali ke Makkah?”

              Wasim mengangguk perlahan.

              “Insya-Allah, pengalaman yang berharga untuk engkau.”

              “Yakah?”

              “Pasti. Semua perjalanan menambah pengalaman. Apatah lagi perjalanan ke Tanah Suci.”

              Wasim sekali lagi mengangguk perlahan.

              “Bukan pertama kali ke sana?”

              Hilman menggeleng. “Alhamdulillah, ini kali kedua. Kali pertama semasa menunaikan umrah ketika aku belajar di Jordan dahulu. Hampir 10 tahun yang lepas.”

              “Ah, ustaz.”

              Hilman tertawa. Menggeleng. “Aku lepasan usuluddin, tetapi aku tidak pernah pegang gelaran ‘ustaz’.”

              “Ya? Mengapa?”

              “Itu satu gelaran yang berat. Penuh tanggungjawab. Aku biasa-biasa saja.”

              “Engkau lepasan agama pertama aku dengar cakap begitu. Yang lain aku tengok berlumba-lumba memakai gelaran ‘ustaz’ ni. Nak ada pengikut. Kejar populariti.” Wasim sendiri terkejut dengan dirinya yang pantas mengulas dengan banyak bicara.

              Hilman tertawa lagi. “Allah sahaja yang tahu niat mereka. Kita doakan yang terbaik sahaja. Tegur apa kita rasa tidak patut. Tapi tidak boleh juga hendak sentiasa bersangka buruk. Kita bukan kenal pun semua ustaz itu secara mendalam. Kita tidak tahu niat dan situasi mereka.”

              Wasim tersentap. Kata-kata itu seperti memberikan teguran kepada dirinya.

              “Datang seorang ini, masih bujang?” Hilman kini mengiring sedikit ke kanan, ke arah Wasim.

              Wasim segera menggeleng sebagai jawapan kepada soalan tersebut. “Sudah berkahwin. Tiga orang anak.”

              “Masya-Allah. Semoga Allah bahagiakan kau dan keluarga.”

              Wasim tersengih. “Terima kasih. Engkau pula? Berdua saja? Sudah ada anak?”

              “Alhamdulillah, sudah ada dua orang anak. Tetapi masih kecil. Tidak sesuai nak dibawa menunaikan Haji. Jadi kami berdua sajalah yang pergi. Anak-anak tinggalkan dengan mak ayah di kampung.”

              “Itulah. Dengarnya urusan Haji ini berat.” Wasim menyilang tangan di dada. Kini wajahnya memandang ke hadapan, tetapi kepala sedikit menunduk.

              Dari hujung mata, dia dapat melirik Hilman yang mengangguk, membenarkan kata-katanya.

              “Kita pun pergi bawah Tabung Haji ni secara muassasah. Tidak boleh nak jangkakan keselesaan. Khabarnya bangunan hotel yang disediakan Tabung Haji di Makkah, jaraknya sekitar satu kilometer dari Masjidil Haram.”

              Mata Wasim terbelalak. “Satu … satu kilometer?”

              “Ya. Engkau tidak tahu?”

              Wasim menggeleng.

Hilman tersengih. “Sebelum ini ikut tak kursus-kursus yang disediakan Tabung Haji?”

              Wasim menggeleng lagi.

              “Ada ikuti kuliah-kuliah di YouTube, atau paling kurang, baca buku yang Tabung Haji sediakan?”

              Wasim menggeleng buat kesekian kali. Dia seperti merasakan yang Hilman akan memandang rendah kepadanya selepas itu. Tetapi ternyata riak wajah lelaki di sebelahnya itu tidak berubah. Bahu Wasim ditepuknya lembut beberapa kali.

“Tidak mengapa, jangan risau. Tidak tahu apa-apa, kau boleh tanya aku. Apa-apa di sana, kita cuba buat sama-sama.”

              Mata Wasim membesar sedikit. Tidak menyangka Hilman akan menyuakan tawaran tersebut kepadanya.

              “Aku sebenarnya anti-sosial.” Wasim membuka cerita. “Hidup aku memang tak bergaul dengan ramai orang. Kecuali kawan rapat dan keluarga.”

              “Ah …” Hilman seperti mula memahami.

              “Haji memang antara ibadah yang aku sebenarnya fikir aku tak akan buat.”

              “Kerana Haji perlukan kita berurus dengan ramai orang, di tanah yang asing. Keluar daripada zon keselesaan diri.” Hilman menyambung, seperti dapat membaca bicara hati Wasim.

              Wasim terangguk-angguk. “Aku pun tak sangka terpilih. Aku tidak rancang pun nak pergi. Aku tak kumpul duit pun.”

              Kedua-dua kening Hilman terangkat. “Wah, benarkah?”

              “Aku ‘ter’ berada di sini semuanya kerana Mak aku.”

              Hilman seperti  menanti untuk mendengar cerita penuh berkenaan hal tersebut. Wasim pula mula diterjahi memori-memori, membawanya kembali kepada beberapa bulan sebelum ini.

***

“Sayang, bangun. Sayang …”

Tubuhnya digerak-gerakkan. Matanya dibuka lambat-lambat. Badannya terasa lemah. “Ugh….” Perlahan-lahan dia menggerakkan tubuh rapat ke kepala katil, dan bersandar. Dia terpisat-pisat. Telunjuk cuba untuk menghilangkan sisa-sisa tahi mata.

              Seorang wanita, berambut panjang kemas, berwajah cerah, bermata bundar, tanpa solekan, tanpa hiasan, tetapi jelas anggun dan menenangkan, sedang duduk di sisi katil dan melemparkan senyuman ke arahnya. Jendela pada dinding sudah dilimpahi  cahaya, tanda matahari sudah meninggi.

              Dia tersengih membalas senyuman isterinya.

              “Saya sudah kejut Subuh tadi, tetapi Sayang tak dengar.”

              Wasim mengangguk. Segera dia merapatkan badan ke arah wanita tersebut. Itulah isterinya. Zulaikha. Dipeluk dan dikucupnya pipi Zulaikha. Kemudian, segera bangkit dari katil dan bergerak ke bilik air. Mandi dan membersihkan diri. Tuala yang telah sedia tersangkut pada pintu bilik air diambilnya dan badan dikeringkan.

              Apabila dia membuka pintu bilik air, Zulaikha sudah menyiapkan baju di atas katil.

              Rumahnya senyap sahaja. Wasim tahu yang Zulaikha telah menghantar dua anaknya, Raihani, lima tahun, dan Fahmi, empat tahun, ke tadika. Manakala anak mereka yang ketiga, Hasnah, satu tahun, sedang lena, biasanya di ruang tamu.

              Tanpa melihat jam pada dinding, Wasim tahu sekarang sudah sekitar 8.30 pagi atau 9.00 pagi.

              Wasim tahu semua ini kerana demikianlah rutin hidupnya setiap hari.

              “Sayang tahu hari ini Mak nak datang, bukan?”

              Wasim mengangguk. Dia tahu. Tetapi pun baru teringat apabila perkara ini dibangkitkan oleh Zulaikha. Ibunya dipanggil Mak, manakala ibu Zulaikha dipanggil Ibu.

              “Mak beritahu tak kenapa Mak tiba-tiba nak datang?”

Wasim menghela nafas. Sekarang bukan hari minggu. Mak pula masih bekerja sebenarnya. Urusan apa yang penting sangat sehingga Mak sanggup ambil cuti dan datang ke Kuala Lumpur, tempat mereka tinggal ini?

              Zulaikha menggeleng. “Saya ingatkan Sayang tahu.”

              Wasim tertawa. “Sayang tak tahu, saya lagilah tak tahu.”

              Mereka berdua tertawa bersama-sama.

              “Pergilah solat Subuh dulu. Sudah lambat sangat ini.” Zulaikha memuncungkan bibir, ke arah sejadah di dalam bilik.

              Wasim tersengih-sengih sambil mengangguk. Dia sudah siap-siap mengambil wuduk sebentar tadi seusai mandi, dan memang mahu terus menunaikan solat Subuh, walaupun waktu untuk menunaikan ibadah tersebut telah lama berlalu.

              Pakaian disarungnya, dan segera dia ke sejadah mengangkat takbir.

              Setiap hari, Wasim akan lewat menunaikan solat Subuh. Itu antara kelemahannya yang terbesar. Antara kekurangan diri yang lain ialah dia langsung tidak pernah ke masjid. Selain malas, dia sendiri tidak gemar bergaul dengan ramai orang. Hatta dengan jiran sebelah pun dia tidak pernah berbual. Kelemahan ketiga Wasim ialah merokok. Dia ketagihan rokok. Sehari hampir tiga kotak dihisapnya. Banyak.

              Wasim sedar akan hal ini, dan dia sebenarnya kasihan dengan Zulaikha. Isterinya itu seorang wanita yang sangat solehah, baik hati, penyabar. Tidak sepertinya, Zulaikha seorang yang patuh kepada agama, menjaga solat dan menjauhi perkara-perkara yang haram.

              Wasim bukan tidak tahu kewajipannya sebagai seorang Muslim.

              Bahkan, dia dan Zulaikha pun berkenalan di sekolah tempat mereka belajar, sebuah sekolah agama. Ya, dia merupakan lepasan sekolah agama. Tetapi di alam universiti, Wasim mengalami beberapa kejatuhan dalam sisi kehidupannya sebagai seorang Muslim.

              Zulaikha bukan tidak tahu akan kelemahan dirinya. Tetapi wanita itu tetap menerimanya sebagai suami. Dengan janji bahawa mereka bersama-sama akan berusaha untuk mengubah diri masing-masing ke arah yang lebih baik.

              Sebuah azam yang sebenarnya sering diingati Wasim.

              Namun, masih gagal untuk direalitikan.

              Setelah enam tahun bernikah, Wasim masih tidak berjaya. Bahkan, dia hampir-hampir berputus asa. Bisikan-bisikan syaitan mula kedengaran. Bahawa Allah sudah tidak sayangkan dia, Allah memang mahu menempatkannya di neraka, Allah memang tidak lagi memandang dirinya. Ini kerana Wasim sendiri sudah berkali-kali bertaubat dan berazam untuk berubah, namun tetap dia kembali tersungkur dalam rutin yang tidak sihat.

              Menambah lagi rasa putus asa Wasim ialah keadaan kewangan dirinya yang tidak stabil. Dia yang mengambil keputusan menceburi bidang keusahawanan atas talian masih sehingga kini tidak berjaya memberikan kemewahan kepada diri dan keluarga. Hanya sekadar cukup-cukup makan.

              Zulaikha sendiri banyak membantu untuk menstabilkan kewangan rumahtangga mereka, dengan juga mengusahakan perniagaan atas talian, menjual beberapa produk jubah dan tudung. Setakat ini, pendapatan daripada mereka berdua, bolehlah menampung sewa rumah, segala bil dan yuran, juga untuk mengisi perut.

              Tetapi Wasim masih gagal membeli rumah. Kereta yang dimilikinya sekarang pun kereta buruk.

              Bisikan-bisikan jiwanya memberitahu inilah cara Allah menghukumnya.

              Wasim pernah meluahkan hal ini kepada Zulaikha.

              Tetapi isterinya itu memang seorang wanita yang terlalu baik. Entah mengapa, Wasim sering merasakan yang dia sebenarnya tidak layak mendapat isteri sebaik Zulaikha.

              “Sayang tak boleh rasa Allah berpaling daripada sayang. Sayang kena ingat, yang berputus asa dengan rahmat Allah itu hanyalah orang-orang yang kafir.”

              “Tapi saya sampai sekarang tak dapat berubah. Entah berapa kali saya cuba tinggalkan rokok. Kemudian saya kembali merokok. Entah berapa kali kita sama-sama usahakan projek bangun Subuh, saya tetap bangun lewat. Saya sudah berdoa, sudah solat Taubat banyak kali. Saya masih tak dapat jadi orang yang benar-benar soleh. Rezeki kita pun sempit, jelas-jelas Allah tengah hukum kita.”

              “Kita bukan Tuhan untuk tahu apa benar-benar Tuhan tidak sayangkan kita. Saya yakin Allah sayangkan kita.”

              “Macam mana sayang boleh yakin? Saya tak berubah. Kita tak mewah.”

              “Sebab Allah SWT masih bagi kita hidup, sekarang. Tandanya apa? Tanda Allah masih beri peluang.”

              Demikianlah Zulaikha. Sentiasa positif. Memujuk. Jika bukan kerana isterinya, pasti Wasim sudah lama terjerumus ke kancah kerosakan yang lebih besar, tanpa apa-apa usaha untuk berubah.

              Tetapi beginilah Wasim. Dia tetap tidak mampu mengubah dirinya. Hari ini dia masih bangkit Subuh lambat. Biasanya, selepas dia menunaikan solat Subuh secara lewat itu, Wasim akan duduk di hadapan komputer dan menguruskan perniagaan. Demikian juga Zulaikha. Tetapi Zulaikha tidak berada di hadapan komputer terlalu lama, kerana kemudiannya Zulaikha akan pergi mengambil anak-anak dari tadika, seterusnya memasak makanan tengahari, mengemas rumah, menyediakan makan malam, melayan karenah anak-anak dan sebagainya sehingga malam.

              Ya, dengan anak-anak sendiri pun, Wasim kurang bergaul.

              Dia terlalu fokus dengan usahannya untuk mengejar kemewahan melalui perniagaan.

              Tetapi masih belum berjaya.

              Dia amat risau sebenarnya. Tetapi kesedaran Wasim terhadap keadaan diri ternyata tidak cukup untuk mengubah keadaannya sekarang.

              Hari ini sekadar satu lagi hari untuknya. Dia kemudiannya bergerak ke bilik di bahagian belakang rumah, di tepi dapur. Itulah bilik tempat dia bekerja. Anak-anak dilarang masuk. Di dalam bilik itu terdapat sebuah katil bujang dan sebuah komputer, bersama-sama sebuah penghawa dingin, juga tiga baris tingkap yang jika dibuka, akan terus mempaparkan lorong di belakang rumah.

              Antara sebab dia melarang anak-anaknya masuk ke bilik itu ialah kerana di sinilah tempat dia menyimpan rokok dan melakukan aktiviti merokok tersebut.

              Antara kesyukuran Wasim ialah dia masih lagi tidak tergamak merokok di hadapan anak-anaknya, atau sesiapa sahaja. Wasim merokok secara sembunyi-sembunyi. Dia bersyukur juga sikap anti-sosialnya menyebabkan dia tidak mempunyai kawan merokok selepas dia menamatkan zaman universiti. Allah sahaja tahu betapa bencinya Wasim apabila melihat perokok-perokok di kedai, yang tidak punya perasaan bersalah langsung membiarkan asap rokok bertebaran menganggu orang lain, terutama kanak-kanak dan ibu mengandung.

              Tetapi pastilah itu bukan alasan konkrit untuk Wasim menghalalkan tindakannya itu.

              Hatta bersembunyi pun, tetap satu dosa.

              Entahlah bila dia akan dapat berhenti.

              “Sayang!” Ketukan lembut kedengaran di pintu bilik. Suara Zulaikha jelas mengiringi ketukan tersebut.

              Dahi Wasim berkerut.

              “Ya?” Dia melaung sedikit.

              “Mak dah sampai.”

              “Hah?”

Segera Wasim mematikan rokoknya. Asap rokok dipukul-pukul agar ternyah pergi. Cuba untuk menghilangkan bau rokok pada tubuh sendiri. Tetapi sebagai perokok tegar, Wasim tahu itu adalah suatu tindakan yang sia-sia.

              Segera dia membuka pintu. “Mak ada ‘pintu suka hati’?”

              Zulaikha tertawa  mendengar selorohnya. “Mungkin Mak gerak dari awal pagi.”

              “Habis, sekarang macam mana? Tak eloklah nak jumpa Mak dengan bau rokok macam ini.” Wasim menepuk-nepuk bajunya.

              “Pergilah mandi sekali lagi. Tukar baju lain. Tak apa, saya layan Mak dulu.” Dada Wasim ditepuk lembut isterinya.

              Entah apalah kebaikan yang pernah aku buat sampai engkau bagi aku isteri sebaik ini, ya Allah?

              Segera dia bergerak untuk membersihkan diri. Sempat dia mendengar Zulaikha menyambut Mak di hadapan. Mak sebenarnya bukan tidak tahu bahawa dia seorang perokok, tetapi satu perkara yang Wasim benar-benar jaga ialah tidak pernah merokok atau membawa bau rokok di hadapan Mak. Pada Wasim, kalaupun dalam kalangan anak-anak Mak, dia paling tidak berjaya, biarlah dia paling menjaga adab dan sopan di hadapan Mak.

              Selain sering memujuk untuk dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT, Zulaikha sering berpesan kepada Wasim agar jangan sesekali meninggalkan kebaikan-kebaikan kecil.

              “Moga-moga kebaikan yang kecil-kecil itulah, Allah pandang besar pada kita.”

              “Contoh?”

              “Contoh mudah, tak merokok depan anak-anak, depan Mak dan Abah, Ibu dan Ayah. Bau rokok pun tak bagi pada mereka.”

              “Itupun dapat pahala?”

              “Niatkan untuk jauhkan mereka daripada terpengaruh dengan kerosakan kita, daripada terdedah dengan keburukan yang kita bawa, insya-Allah ada pahalanya. Bahkan mungkin itulah yang akan buat Allah bantu kita berubah satu hari nanti.”

              Jadi, itu memang dijaga sungguh-sungguh oleh Wasim.

              “Baru bangun, Wasim?”

Suara Mak menyambut langkahannya ke ruang tamu. Mandi sudah, gosok gigi pun sudah. Siap guna pencuci mulut lagi, agar bau rokok tidak melekat langsung. Wasim sekadar mengukir sengihan, segera menyambut tangan Mak dan mengucupnya, sebelum tubuh wanita bertudung labuh itu didakap dan kedua-dua pipi Mak dikucupnya penuh kasih sayang.

              Hajah Rogayah. Itulah nama wanita di hadapannya kini. Wanita yang telah membesarkannya, bersama tiga adik-beradik yang lain. Kini berusia 55 tahun.

              Mak duduk di atas sofa serba sederhana yang dimilikinya. Sofa tiga tempat duduk itu satu-satunya sofa yang ada di dalam rumah ini, dan biasanya untuk tetamu duduk. Zulaikha menemani Mak di atas sofa, manakala Wasim pula duduk di atas lantai.

              Soalan Mak tadi dibiarkan tidak berjawab. Wasim yakin Mak bukan asing lagi dengan rutin hariannya yang sering bangun Subuh lambat. Sudah berbuih mulut orang tua itu menasihatinya.

              “Saya sebenarnya terkejut Mak datang ni.”

              “Ha’ah. Saya pun terkejut, Mak.” Zulaikha menambah.

              Mak tertawa. “Memang Mak nak bagi kamu terkejut pun.”

              Wasim tersengih dan menggeleng. Ada-ada sahaja Mak ni.

              “Tapi takkan Mak semata-mata nak bagi saya terkejut, sanggup datang dari Johor?”

              “Mestilah tidak. Mak ada bawa satu berita yang benar-benar akan buat kamu terkejut.”

              “Serius?”

              “Bila masa Mak tak pernah tak serius.” Mak tersenyum penuh makna sambil menyeluk perut beg tangannya.

              Wasim memandang Zulaikha. Zulaikha memandangnya semula. Ternyata isterinya juga tidak tahu-menahu apa yang mahu dikhabarkan Mak. Apa yang boleh membuatkan dirinya lebih terkejut berbanding kehadiran Mak bukan pada hari minggu sebegini secara tiba-tiba?

              “Kamu, Wasim, dapat tawaran menunaikan Haji untuk tahun depan.” Mak mengeluarkan sepucuk surat dan dihulurkan kepada Wasim.

              “Laaa, ingatkan apa dia tadi.” Wasim lambat-lambat menyambutnya. “Wasim bukan ada duit Mak.”

Surat itu dibacanya. Surat tawaran tersebut mengarahkannya untuk menghantar jawapan kepada pihak Tabung Haji sekiranya dia serius untuk menerima tawaran tersebut. Juga memberikan alasan sekiranya tidak dapat memenuhinya.

“Kenapalah Mak susah payah dari Johor datang ke Kuala Lumpur sekadar nak hantar surat ini?”

              “Eh, sejak bila Wasim berdaftar Tabung Haji, Mak?” Zulaikha mencelah.

              Wasim mengangkat kepala. Tersedar yang dia tidak pernah pun berdaftar dengan Tabung Haji. Jadi mengapa dia mendapat surat tawaran ini?

              Mak kelihatan bersahaja dengan senyuman meleret. “Mak dah lama daftarkan Wasim. Dari dia remaja.”

              “Ooo.” Zulaikha memandang ke arah Wasim. Kening diangkatnya dua kali. Mungkin itu isyarat kekaguman isterinya dengan tindakan Mak.

              Wasim tersengih buat kesekian kali. “Adik-beradik lain pun Mak daftarkan?”

              “Ya. Tapi engkaulah yang pertama sekali. Engkau anak sulung.”

              “Jadi saya saja yang dapat surat tawaran untuk tahun depan?”

              Mak mengangguk.

              Wasim menghela nafas panjang. Sangat panjang. Sambil menatap surat tersebut.

Haji. Rukun Islam yang kelima. Diwajibkan bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan. Tetapi dia tidak mampu. Dia tidak pernah menabung untuk menunaikan Haji. Bahkan dia tidak pernah menabung untuk apa-apa. Wangnya cukup-cukup keperluan sahaja!

              “Saya gembira tengok Mak gembira, tetapi saya tak ada duit, Mak.”

              Mak tertawa. “Engkau ingat Mak tak tahu engkau akan jawab, ‘Tak ada duit’?”

              “Mak nak suruh saya kerja keras kumpul duit-lah ya? Kerja saya ni cukup-cukup makan saja, Mak. Nak suruh saya kerja jadi pemandu ‘Grab’, saya ni Mak tahulah, tak bergaul dengan orang.” Wasim membalas.

              Zulaikha dilihatnya membisu. Mungkin memberi peluang anak dan emak untuk berbincang.

              “Ya, Mak tahu. Mak lahirkan engkau, Wasim. Mak tahu perangai engkau macam mana. Sebenarnya akaun Tabung Haji engkau tu dah cukup duit.”

              “Hah?” Wasim terkejut.

Demikian juga Zulaikha. Terlopong.

              “Semenjak Mak daftarkan dulu, Mak dah menabung dalam Tabung Haji. Sedikit demi sedikit. Alhamdulillah. Bukan engkau sahaja. Adik-beradik engkau pun dah cukup duitnya. Tinggal tak dapat panggilan sahaja.”

              Wasim tidak tahu hendak membalas apa. Kelu. Demikian Zulaikha. Dilihat terpana.

              “Jadi, engkau dah tak ada alasanlah ya. Mak nak engkau pergi juga Haji tahun depan.”

              “Err …”

              “Antara sebab kenapa Mak susah payah datang ke Kuala Lumpur ini, sebab Mak tahu kalau Mak telefon sahaja, engkau takkan bergerak punya. Hah, sekarang, jom kita pergi Tabung Haji dan uruskan urusan kau ni.”

              Wasim memandang Zulaikha.

              Isterinya sedang tersenyum lebar.

              Sedang Wasim, ditimpa persoalan bertubi-tubi di dalam jiwanya.

              Apa yang akan berlaku?

              Dia? Perokok tegar, sentiasa bangkit subuh lewat, tak pernah solat di masjid …

              … menunaikan Haji?

***

Rehab al-Janadariyah. Itu yang terpampang pada sudut sebuah bangunan lapan tingkat berwarna coklat di hadapannya kini. Wasim baru sahaja turun dari bas yang membawanya ke mari dari Jeddah.

              Di hadapan bangunan Rehab al-Janadariyah kini bersusun beberapa buah bas di atas tanah yang diselaputi batu-batu kecil berwarna kelabu. Cuaca pula terik dan membahang, walhal jam menunjukkan baru 8.00 pagi waktu Makkah.

              Tadi, di dalam bas, Wasim sempat dihidangkan dengan pemandangan menara-menara Masjidil Haram dari kejauhan. Tetapi apa yang dilihat hanyalah bucunya sahaja, kerana Rehab al-Janadariyah terletak di balik sebuah bukit.

              Kini Wasim berdiri sambil memerhatikan sekumpulan lelaki berkulit hitam, bertubuh tinggi lampai dan sasa, sedang bertungkus lumus menguruskan beg para jemaah. Pada masa yang sama, para jemaah berbondong-bondong turun dari bas, masing-masing mengenakan ihram berwarna putih atau telekung berwarna yang sama.

              Dia tadi terpisah dengan Hilman di lapangan kapal terbang, apabila bas yang sepatutnya dinaiki mereka bersama, penuh. Memandangkan Wasim datang berseorangan sahaja, dia diminta bergerak menggunakan bas lain.

              Nampaknya dia telah tiba terlebih dahulu berbanding Hilman, dan tidak pasti apa tindakan yang seterusnya.

              Dia sekadar berdiri di hadapan Rehab al-Janadariyah sambil memandang persekitaran yang dikelilingi bangunan-bangunan sederhana tinggi. Semuanya sama ada hotel atau kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan, atau restoran.

              Matanya melekat pada sekumpulan orang Melayu, tua dan muda, duduk-duduk di atas kerusi plastik berwarna putih di satu sudut perkarangan Rehab al -Janadariyah. Jiwa Wasim tersentak apabila melihat asap berkepul-kepul keluar dari mulut mereka, dan sebahagian yang lain tidak segan silu menyepit rokok ke mulut.

              Dahinya berkerut.

              “Bukankah ini Tanah Suci?”

              Dia sendiri, tidak membawa apa-apa rokok. Atas rasa hormat kepada Tanah Suci ini. Dia sendiri tidak pernah membayangkan bahawa akan ada yang tergamak melakukan aktiviti itu di tanah serba mulia ini.

              Nampaknya, jangkaan Wasim meleset.

              Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari belakang. Bulu romanya spontan naik.

              “Teringatkan Malaysia-kah?” Hilman memandangnya dengan senyuman.

              Wasim tersengih, cuba menyembunyikan bentakan dalam jiwa. “Bolehlah.”

              “Jom, naik bilik.”

              “Sudah dapat nombor bilik?” Wasim mengerutkan dahi, tidak mendengar sebarang pengumuman.

              Hilman tertawa. “Ada dapat beg kuning di lapangan kapal terbang semalam, bukan?”

              Wasim mengangguk, segera menyentuh beg kuning bersaiz kecil yang sedang disandangnya. Pada beg itu terdapat gambarnya, serta maklumat diri dan nombor telefon waris. Beg ini diperolehi percuma sebelum berlepas di Movenpick, Sepang, semalam.

              “Mereka ada tampal kertas yang menunjukkan nombor bilik kita.”

              “Ah, ada-ada.” Baru Wasim perasan.

              Yalah. Memandangkan dia pergi berseorangan, dan tidak pula pandai bergaul, Wasim sekadar membisu sebaik berpisah dengan keluarga yang menghantarnya. Dari Movenpick ke KLIA sehinggalah masuk ke dalam perut kapal terbang, dia hanya membuka mulut apabila disapa oleh Hilman.

              “436.”

              “Betul 436?” Hilman tersenyum lebar.

              “Ha’ah. Kenapa?” Wasim perasan kegembiraan Hilman.

              “Kita sebilik!” Bahu Wasim terus ditepuknya.

              Wasim tersengih. Entah mengapa di dalam hati, terbit rasa mujur. “Jom kita ambil beg, dan tengok bilik kita.”

              “Jom.”

              Mereka berdua melangkah menaiki tangga di hadapan bangunan.

              Jauh di dalam hati Wasim, dia berdebar-debar.

              Dia akan berada di sini selama 50  hari.

              Mampukah dia?