Bab 1

“50 hari?”

Mata Wasim terbelalak. Di meja dapur, dia yang melihat layar tangkap pada skrin telefon pintar, yang mempaparkan surat rasmi daripada Tabung Haji, mengesat mata beberapa kali, mengharapkan agar penglihatannya yang silap.

              Tetapi benar, 50 hari. 2 Ogos bertolak, 20 September pulang.

              “Alhamdulillah. Untungnya!” Zulaikha di belakang yang sedang menggendong Hasnah, dilihatnya tersenyum lebar.

              Surat rasmi tersebut belum lagi tiba ke rumahnya. Wasim menerima paparan layar tangkap ini daripada Zulaikha, yang menerimanya daripada seorang rakan baik, pekerja di Tabung Haji.

              “Apa yang 50 hari?”

Kedengaran suara lelaki, sedikit garau. Keluar dari balik dinding ruang tamu, seorang lelaki berpakaian kasual, rambut sudah mula dijajahi uban, tetapi wajah masih kelihatan awet muda dengan susuk tubuh yang kemas.

              Haji Abdurrahman. Bapa kepada Wasim.

              “Wasim sudah dapat maklumat penerbangannya, Abah.”

              “Iya?”

Kedengaran pula suara Mak mencelah. Mak kemudiannya muncul dan bergerak melepasi Abah, terus mengambil tempat duduk di sisi Wasim. Telefon pintar Wasim dicapainya dan Mak tekun membaca layar tangkap yang terpapar.

              “Masya-Allah, alhamdulillah. Tahniah.” Mak merangkul Wasim, dan pipinya dikucup.

              “50 hari, seronok.” Abah menambah.

              “Seronok?” Dahi Wasim berkerut. “Lamalah 50 hari itu. Ish, Wasim tak boleh pergilah. 50 hari itu hampir dua bulan lamanya. Macam mana dengan perniagaan Wasim? Rugilah.”

Wajahnya durja. Sebelah tangan mengusap rambut sendiri sebelum menggaru kepala yang tidak gatal. Wasim jelas serabut dengan berita yang diterimanya.

              Bertubi-tubi mindanya dihentak dengan pelbagai persoalan dan jangkaan keadaan.

              Dia bukan tidak tahu kemampuan diri. Bagaimana dia tidak selesa bergaul dengan orang yang tidak dikenali. Apakah dia akan mampu hidup 50 hari di Tanah Suci kelak? Memikul tanggungjawab besar menunaikan Rukun Islam yang kelima?

              Dia tahu akan jawapannya.

              TIDAK MAMPU!

              “Wasim minta batal sahajalah. Wasim tak mampu, Mak, Abah.” Wasim memandang Mak di sisi, kemudian pandangannya mendarat kepada Abah.

              Abah sekadar tersenyum. Kemudian menggeleng. “Wasim, Wasim. Inilah peluang. Orang lain berharap sangat dapat pergi, kau dapat pergi. Orang lain berhempas pulas mengumpul wang, engkau sudah ada wang yang cukup untuk pergi.”

              “Wang milik Mak, bukan saya.”

              “Itulah yang patut engkau syukuri. Ramai lagi orang yang tidak mendapat peluang yang sama. Ada orang sampai jual tanah semata-mata nak cukupkan duit untuk menunaikan Haji.”

              Wasim terdiam.

              Tiba-tiba, dia dapat merasakan yang bahunya dipegang erat. Tubuhnya dirapatkan ke tubuh Mak. Mak memeluknya dengan sebelah tangan.

              “Wasim. Mak hanya mahu yang terbaik untuk engkau.”

              Wasim memandang Zulaikha, seakan meminta bantuan. Dia tersepit di antara Abah dan Mak. Zulaikha hanya tertawa kecil sambil menepuk-nepuk Hasnah. Bukan senang hendak melihat Wasim seperti dimanjakan sebegini.

              Wasim jarang balik kampung. Bahkan, jarang keluar rumah. Dia memang kurang bergaul dengan orang ramai, hatta keluarga sendiri. Sebab itu, pada Hari Raya yang meriah sebegini, Wasim lebih selesa duduk di dapur daripada melayan tetamu yang hadir. Kerana itu mereka di sini, sedangkan adik-beradik Wasim yang lain, berada di ruang tamu bersama cucu-cucu Mak dan Abah.

              “50 hari ini akan rasa sekejap sahaja. Percayalah.” Mak menambah sambil kepala Wasim diramasnya seperti kanak-kanak.

              Wasim tersengih kelat.

***

Sekejap sahaja? Baru beberapa jam, sudah dirasakannya terlalu lama!

              Bagaimana dia mahu bertahan selama 50 hari?

              Jiwa Wasim sudah resah dan gelisah. Tetapi dia hanya mampu berdiam diri, memandangkan dia berada di tempat yang asing, bersama orang-orang yang asing.

Dia duduk bersandar pada dinding kayu di kepala katil. Betul-betul di sisi kiri ialah sebuah peti ais. Katil untuk seorang yang sedang didudukinya itu bersentuhan peti ais tersebut.

              Bilik 436 terletak pada tingkat empat, bangunan Rehab al-Janadariyah. Bilik ini tidak terlalu sempit, tetapi diisi dengan enam buah katil, menempatkan enam orang jemaah Haji. Terdapat sebuah tingkap di bawah sebuah alat pendingin hawa, sebuah televisyen yang digantung di sebelah peti ais, kabinet sinki berhampiran pintu masuk, dan sebuah bilik air yang terletak betul-betul di hadapan kabinet sinki, manakala pintu masuk terletak di antara kabinet tersebut dan bilik air.

              Walaupun di luar Rehab al-Janadariyah terlalu panas, keadaan pula sebaliknya di dalam bangunan. Dingin dan menyamankan. Pendingin hawa ada di mana-mana. Lebih menambahkan rasa lega dalam hati Wasim apabila ada juga pendingin hawa di dalam bilik 436, dan pendingin hawa berfungsi dengan optima, menjadikan suasana di dalam bilik itu dingin dan selesa.

              Sebaik sahaja Wasim dan Hilman tiba sebentar tadi, bilik itu sudah diisi empat jemaah yang lain. Selepas meletakkan beg-beg yang dibawa, mereka berdua telah dijamu dengan nasi arab mandy, yang disediakan oleh pihak Muassasah, mewakili Tabung Haji. Walaupun Wasim agak kekok makan di atas lantai dan beramai-ramai, dia mendiamkannya sahaja, manakala Hilman pula cepat mesra membuka sembang perkenalan sesama mereka.

              Daripada situ Wasim mengenali Abang Hussein, Pak Cik Rasyid, Rafiq dan Pak Cik Hisyam. Abang Hussein dan Pak Cik Rasyid merupakan pasangan anak-beranak, demikian juga Rafiq dan Pak Cik Hisyam. Antara mereka berenam, Pak Cik Rasyid adalah paling tua berusia 75 tahun. Manakala Rafiq pula yang paling muda, berusia baru 20 tahun.

              Abang Hussein berusia 37 tahun, telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, tetapi datang tanpa membawa anak dan isteri, kerana menemani ayah dan ibunya menunaikan Haji.

              “Saya kena cakap awal-awal dan minta maaf siap-siap ya kepada kawan-kawan sebilik.” Abang Hussein mencelah.

Semua di atas lantai senyap, mahu memberikan peluang kepada Abang Hussein berbicara. Wasim menatap tepat ke wajah Abang Hussein sambil menyuap lagi nasi mandy ke mulut.

              “Ayah saya ini sudah tua. Dia banyak tak sihat. Telinga tak berapa dengar, mata tak berapa nampak, dan urusan buang air besar dan buang air kecil dia sudah tak berapa terjaga.”

              Rasa mual seperti terus membuak-buak di kerongkong Wasim. Entah mengapa, dia terus membayangkan najis kencing dan berak yang tidak terurus. Tambah pula kewujudan nasi di tekaknya, menambah rasa ingin memuntahkan segala.

              Wasim bukanlah seorang yang sangat menjaga kebersihan. Jika tidak, pasti dia juga tidak betah dengan rokok. Tetapi Wasim juga bukanlah seorang yang sangat pengotor. Rumahnya bersih dan antara sebabnya ialah kerana Wasim suka keadaan yang teratur dan kemas. Paling bersih ialah bilik Wasim. Hanya dikotori bau rokok.

              Tidak dapat Wasim membayangkan bagaimana dia perlu tinggal 50 hari bersama seorang yang tidak terurus berak dan kencingnya.

              “Saya harap semua boleh bertimbang rasa kalau-kalau ada berlaku perkara yang tidak disenangi daripada ayah saya ini. Saya, insya-Allah, akan cuba sebaik mungkin untuk menjaga dan menguruskannya.”

              “Tak mengapa, Abang Hussein. Insya-Allah, kami faham.” Hilman pantas menjawab.

              “Betul. Jangan risau sangat. Pak cik faham sangatlah.” Pak Cik Hisyam mencapai bahu Abang Hussein dan mengurut-urut lembut bahu tersebut.

              Manakala Rafiq, khusyuk menjamah makanan dan sekadar tersenyum.

              Pak Cik Hisyam pula berusia 60  tahun. Baru bersara daripada pekerjaannya sebagai pegawai untuk sebuah syarikat penyediaan alat perubatan untuk tentera. Dia datang untuk menemani Rafiq yang pertama kali menunaikan Haji. Adapun Pak Cik Hisyam sendiri, sudah beberapa kali menunaikan Haji.

              “Wah, Pak cik sudah beberapa kali buat Haji, tapi masih pergi dengan Muassasah? Kenapa tidak ambil Pakej?” Hilman bertanya.

              “Alah, tak apalah. Lagipun Rafiq ini kena lalui pengalaman susah payah Muassasah sikit. Baru dia hargai perjalanan hidup dia.” Pak Cik Hisyam memanjangkan tangan meramas rambut Rafiq yang kepalanya sedang menunduk menjamah makanan.

              Rafiq tersengih-sengih.

              Wasim turut tersengih. Memandangkan bicara Pak Cik Hisyam itu sedikit sebanyak mengetuk jiwanya.

              Muassasah adalah Pakej Haji paling rendah yang disediakan oleh Tabung Haji. Muassasah ialah nama bagi kumpulan yang menguruskan semua urusan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah yang tidak mengambil pakej-pakej istimewa. Merekalah yang akan menguruskan penginapan, makanan dan pengangkutan serta menyediakan beberapa perkhidmatan lain bagi jemaah Tabung Haji Malaysia.

              Wasim sebenarnya tidak mengetahui semua itu. Tetapi Hilman berkongsi dengannya sebentar tadi, sebelum lelaki itu keluar dari bilik. Katanya mahu berjumpa dengan isteri sebentar, untuk menguruskan beberapa hal.

              Tinggallah Wasim berseorangan di dalam bilik, walau hakikatnya Wasim tidak berseorangan. Abang Hussein, Pak Cik Rasyid, Rafiq dan Pak Cik Hisyam, semua masih berada di dalam bilik.

              Tetapi Wasim berasa keseorangan!

              Jam menunjukkan pukul 10.00 pagi. Baru dua jam berlalu? Jiwa Wasim benar-benar resah. Masa berjalan terlalu lambat.

              Dia kini sebenarnya sedang menanti waktu malam tiba, memandangkan tadi di lobi sebelum naik ke bilik, dia dan Hilman telah mendengar pengumuman daripada pihak Tabung Haji bahawa para jemaah akan dibawa menunaikan umrah selepas isya’. Pukul 10 malam.

              Ada 12 jam lagi. Apa yang Wasim perlu buat?

              Di dalam kapal terbang, memandangkan Wasim tidak tahu apa-apa langsung berkenaan urusan menunaikan Haji, Hilman telah berkongsi dengannya berkenaan haji yang mereka laksanakan.

              Mereka melaksanakan Haji Tamattu’.

              Haji Tamattu’ ini bermakna mereka perlu menunaikan umrah, yakni tawaf dan sa’ie terlebih dahulu. Kemudian bolehlah mereka melepaskan ihram dan terlepas daripada larangan-larangan semasa memakai ihram, sehinggalah tiba waktu untuk berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah kelak.

              Kemudian, apabila tiba 9 Zulhijjah, mereka perlu memakai ihram semula, dan bermulalah proses menunaikan Haji. Bermula dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, kemudiannya bermalam di Muzdalifah, seterusnya berada di Mina, melontarkan Jamratul Kubra pada 10 Zulhijjah dan bertahallul, sebelum bermalam di sana dan melontar Jamratul Kubra, Wusta dan Sughro, ketiga-tiganya sekali pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

              Seterusnya, bagi yang mengerjakan Haji Tamattu’, diwajibkan menunaikan tawaf dan sa’ie, sebelum haji dianggap sempurna.

              Hilman ternyata seorang yang mesra dan baik hati. Benar-benar dilihatnya cuba membantu Wasim semampu yang dia boleh. Wasim sedikit sebanyak merasa terhutang budi kepada Hilman. Wasim tidak mudah selesa dengan orang yang asing, tetapi dia mula merasakan Hilman seperti sahabatnya sendiri.

              Tetapi kini Hilman tiada, membuatkan dirinya berseorangan.

              Apakah yang dia patut buat? Serba tidak kena. Wasim tidak menghafal larangan-larangan semasa memakai ihram, dan itu membuatkan dia serba salah serta rimas berada di dalam ihram. Dia mahu melaksanakan umrah segera agar dapat melepaskan ihram.

              Bunyi batuk bergema mengisi bilik, di celah-celah suara bacaan al-Quran daripada siaran televisyen yang sedang memaparkan panorama Masjidil Haram. Bunyi batuk tersebut semakin lama semakin kuat.

              Wasim menoleh ke arah Pak Cik Rasyid.

              Orang tua itu sedang terbatuk-batuk. Bunyi batuknya pula seperti berkahak.

              Bunyi batuk itu jelas menambah lebih rasa tidak selesa dalam diri Wasim.

              Abang Hussein pula dilihatnya santai berbaring di sebelah Pak Cik Rasyid. Katil mereka bersebelahan, manakala katil Pak Cik Rasyid pula bersebelahan tingkap dan terletak di bawah penghawa dingin. Di sisi kiri katil Abang Hussein pula ialah katil Hilman, dan di sebelah katil Hilman ialah katil Wasim. Di antara katil mereka ada jarak, cukup untuk seseorang lalu secara mengiring.

              Pak Cik Hisyam pula katilnya bertentang dengan Pak Cik Rasyid, manakala Rafiq pula katilnya bertentangan katil Hilman dan Wasim, tetapi secara memanjang. Pada kepala katil Rafiq, terdapat sebuah almari. Pak Cik Hisyam pula sudah selesa tidur, manakala Rafiq khusyuk dengan telefon pintarnya.

              Wasim mengeluarkan telefon pintarnya dari beg sandang kecil berwarna kuning.

              Telefon pintar itu dibelek-beleknya sebentar, kemudian dihidupkan. Wasim menatap skrin, memerhati setiap aplikasi yang terpapar, kemudian menekan butang di sisi telefon pintar itu, menggelapkan skrinnya kembali.

              Tidak ada apa-apa.

              Dia masih belum membeli kad SIM di sini untuk membolehkannya mempunyai akses internet. Itu satu masalah yang belum dia difikirkan lagi. Bagaimana dia hendak membeli kad SIM di sini? Sudah pasti perlu berbahasa Arab dengan penjualnya.Dia pula tidak reti berbahasa Arab, jadi bagaimana?

              Mindanya terus berserabut.

              50 hari, dia tidak dapat membayangkan. Baru dua jam, dia sudah tidak keruan!

              “Assalamu’alaikum.”

Kedengaran suara Hilman, diikuti bunyi pintu yang dikatup. Tidak lama kemudian, Hilman muncul melepasi katil Wasim. Hilman duduk sebentar di atas katilnya sebelum memandang Wasim. Kepala lelaki itu digerakkan.

“Jom.”

              Wasim berkerut. “Jom? Ke mana?”

              Hilman tersenyum lebar. “Buat umrah.”

              Mata Wasim terbeliak. “Sekarang?”

              “Sekarang.”

***

“Kenapa kita tak nampak Ka’bah lagi?” Wasim resah. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, langsung tidak kelihatan kelibat bangunan berbentuk kiub dan berkelambu hitam itu.

              Hilman diam. Di sisi Hilman, isterinya, Jalilah, juga tidak berkata apa-apa.

              Hati Wasim berkecamuk!

              Apakah ini bermakna Allah SWT benar-benar berpaling daripadanya? Adakah kehidupannya selama ini penuh dengan dosa, dek kerana sering bangun Subuh lambat serta kuat merokok, mengakibatkan Allah SWT menghukumnya sehingga tidak dapat melihat Ka’bah?

              Jantung Wasim berdegup kencang. Walaupun Masjidil Haram tidak panas dek dilengkapi pendingin hawa yang banyak dan berfungsi dengan optima, tetapi Wasim jelas dapat merasakan yang tubuhnya semakin panas. Keringat seperti mahu kembali gugur, seakan-akan dia diletakkan kembali di tengah-tengah dataran perkarangan Masjidil Haram yang disimbahi terik mentari!

              Ketika ini, mindanya laju mengopek kembali beberapa bahan bacaan semasa remaja, majalah dan akhbar yang memuatkan artikel berkenaan pendosa yang dihukum tidak dapat melihat Ka’bah apabila menjejakkan kaki ke Masjidil Haram. Juga kisah-kisah pelik lagi menggerunkan yang berlaku kepada orang-orang berdosa yang menjejakkan kaki ke mari.

              Apakah di sini dia menerima akibatnya?

              Apakah di sini Allah SWT akan menghukumnya?

              Rasa menyesal mula menjalar ke seluruh tubuh Wasim. Menyesal kerana tidak cukup bertegas menolak permintaan dan pujukan Mak agar dia memenuhi juga tuntutan Haji ini.

              “Allah tak nak pandang orang berdosa banyak macam aku ini!” Bentak hati Wasim.

              Dia dan Hilman, bersama-sama Jalilah, kini sedang berada di dalam Masjidil Haram. Mereka telah berada di sini sejam lebih. Tetapi dia masih tidak dapat melihat kelibat Ka’bah.

              Sebaik sahaja Hilman mengajaknya di dalam bilik tadi, Wasim terus bersetuju, memandangkan Wasim juga tidak mempunyai apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan di dalam bilik. Lebih-lebih lagi dengan keadaan Pak Cik Rasyid benar-benar membuatkan dia berasa tidak selesa.

              “Tak panaskah buat umrah sekarang?” Wasim bertanya sebaik dia dan Hilman melangkah keluar dari bilik.

              Baru dia teringat yang suhu di Makkah sekarang ialah 50 darjah celcius!

              “Neraka panas lagi.” Hilman menjawab.

              Tersentak Wasim dibuatnya. Langkahannya turut mati. Mulutnya ternganga.

              Melihat reaksi Wasim, Hilman tertawa. Segera lelaki itu menepuk bahu Wasim.

              “Bergurau sahajalah. Memanglah panas. Tetapi insya-Allah, kita boleh lakukannya. Kita masih muda. Masih bertenaga. Tambahan, semasa tawaf sahaja kita akan terasa panasnya. Di tempat sa’ie, dan kawasan-kawasan lain di dalam Masjidil Haram, sudah punya pendingin hawa yang banyak dan selesa.”

              Lega hati Wasim mendengarnya. Mereka bergerak menuju ke lif. Rata-rata jemaah haji yang ditemuinya memakai ihram. Kebanyakannya sudah agak berusia. Mereka yang berusia 30-an seperti Wasim dan Hilman, tidak banyak. Sememangnya pada aras empat, dan dengarnya juga untuk sebahagian aras lima, dipenuhi mereka yang sama penerbangan dengan Wasim.

              Maka sudah pastilah kebanyakannya masih belum melepaskan ihram masing-masing, kerana menanti perjalanan umrah yang akan diusahakan Tabung Haji mengikut jadual yang disediakan, yakni pada waktu malam.

              Hilman memberitahu yang perjalanan tersebut diatur pada waktu malam adalah untuk meringankan golongan yang telah berusia, supaya mereka tidak terdedah dengan suhu yang teramat tinggi di sini untuk jangka masa yang terlalu lama. Kesihatan para jemaah secara keseluruhan adalah menjadi fokus utama buat Tabung Haji.

              “Kita yang muda ini, pergi sendiri pun tidak mengapa.”

              “Tabung Haji tak marah?”

              “Allah, ini bukan rombongan budak-budak.” Hilman ketawa.

              Mereka keluar dari lif. Lobi agak lengang. Mungkin kerana kebanyakan jemaah haji memilih untuk berehat di bilik, memandangkan cuaca di luar teramat panas, lebih-lebih lagi sebahagiannya baru sampai bersama-sama Wasim dan Hilman tadi. Pasti masih kepenatan, mungkin juga mengantuk.

              Wasim juga kepenatan, tetapi berbanding duduk di bilik dalam keadaan yang dirasakan tidak selesa, ada baiknya dia keluar, menunaikan umrah dan boleh melepaskan ihram lebih awal. Malam nanti, dia juga boleh tidur lebih awal.

              Itu rancangannya.

              Mereka merentasi lobi, menuju ke pintu keluar. Di kiri dan kanan pintu keluar lobi itu terdapat sofa panjang. Di sofa sebelah kanan, kelihatan seorang wanita sedang duduk. Apabila dia perasan kedatangan Wasim dan Hilman, wanita itu segera berdiri dan melemparkan senyuman manis.

              Wasim mengenali wanita itu. Itulah isteri kepada Hilman.

              “Ini isteri aku, Jalilah.”

              Wasim menunduk sedikit sebagai tanda hormat. Demikian Jalilah membalas.

              “Jom kita bergerak. Bismillah.”

Hilman memimpin tangan Jalilah, dan Wasim mengekori dari belakang. Mereka keluar dari bangunan Rehab al-Janadariyah, merentasi dataran yang dipenuhi batu-batu, sebelum sampai ke sebatang jalan yang di kiri dan kanannya dipenuhi kedai-kedai dan bangunan hotel.

              Mereka tidak perlu berjalan jauh. Keluar sahaja dari perkarangan Rehab al-Janadariyah, Wasim, Hilman dan Jalilah disambut dengan beberapa orang Arab yang berlumba-lumba mahukan perkhidmatan teksi mereka digunakan.

              “Haram? Haram?” Mereka bersuara sambil melambai-lambai.

              Wasim mengerutkan dahi. Apa yang haramnya? Dia tidak pasti. Yang pasti, mereka tidak berbuat apa-apa kesalahan. Baru berjalan beberapa langkah dari perkarangan Rehab al-Janadariyah.

              “‘Asyarah?”

Wasim mendengar Hilman bersuara kepada salah seorang mereka, sambil mengangkat dan membuka kedua-dua telapak tangannya.

              “Yallah,” Salah seorang daripada mereka menyahut dan mengajak mereka masuk ke dalam teksinya.

Teksi di sini semuanya berwarna putih. Terdapat tulisan arab pada sisi kereta mereka, yang terdiri daripada huruf alif, jim, ro’ dan ha. Wasim tidak pandai membacanya. Walaupun bekas pelajar sekolah agama, Bahasa Arab bukanlah satu subjek yang diminatinya.

              Hilman meminta Wasim duduk di sisi pemandu, memandangkan dia perlu duduk dengan isterinya di belakang. Wasim akur tanpa banyak bicara.

              “Maliziyyin?” Pemandu teksi itu menyapa sambil memandang ke arah Wasim.

              “Err…” Wasim serba salah. Dia tidak tahu mahu membalas apa. Bahkan apa yang disebut oleh pemandu teksi itu tidak benar-benar difahaminya.

              “Na’am. Ihna maliziyyin.” Hilman mencelah.

Wasim menarik nafas lega sambil menoleh sediikit ke belakang. Hilman mengenyitkan mata, seakan menghantar isyarat ‘jangan risau’.

              “Masya-Allah, ahlan wa sahlan.” Pemandu teksi itu mendongak sedikit.

Wasim yakin dia sedang memandang cermin pandang belakang untuk melihat Hilman.

              Sepanjang perjalanan, Hilman berbual-bual dalam Bahasa Arab dengan fasih bersama pemandu teksi. Daripada riak wajah pemandu itu, Wasim dapat menjangka yang pemandu tersebut kagum dengan kebolehan Hilman berbicara sebegitu fasih.

              Perjalanan mereka tidak lama. Hanya memakan masa sekitar lima minit. Dari Rehab al-Janadariyah, pemandu teksi itu membawa mereka ke jalan raya yang besar, belok ke kanan, sebelum melakukan pusingan U, kemudian terus.

              Dari situ, Wasim kembali dapat melihat menara Masjidil Haram, yang lama-kelamaan semakin besar apabila teksi yang dinaiki mereka bergerak ke hadapan, menaiki bukit yang memisahkan hotel mereka dengan masjid agung tersebut.

              Sebaik sahaja teksi itu berada di puncak, mata Wasim membesar melihat kemegahan Masjidil Haram yang terbentang di hadapan matanya.

              Sungguh dia seperti tidak percaya melihat panorama di hadapan matanya kini.

              Memang Wasim langsung tidak menjangka bahawa dia akan sampai ke mari.

              Tetapi kini hal itu terjadi.

              “Bagaimana?”

              “Hah?” Wasim terkebil-kebil.

              Kepala Hilman sudah terjengah di tengah-tengah antara dia dan pemandu. Senyuman pada bibir lelaki itu lebar sehingga menampakkan gigi. Jelas Hilman kegembiraan.

“Mengkagumkan, bukan?”

              “Ya. Megah dan indah.”

              “Moga-moga Allah permudahkan urusan kita yang seterusnya.”

              “Amin.”

              Pemandu teksi menurunkan mereka di sebelah sebuah bangunan besar. Tempat itu sedang dilambaki teksi dan arus manusia. Hilman menghulurkan sekeping wang kertas kepada pemandu teksi, sebelum dia, Wasim dan isterinya keluar dari kenderaan.

              Panas membahang. Wasim agak kaget melihat arus manusia berbondong-bondong bergerak masuk ke Masjidil Haram. Terlalu ramai.

              “Jom.” Hilman menggerakkan kepala, diikuti langkahan kaki. Jalilah dipimpinnya dengan erat.

              Wasim mengekori pasangan suami isteri tersebut, dan mereka kini menjadi sebahagian daripada arus orang ramai tadi.

              Semakin lama, semakin hampir dengan bangunan Masjidil Haram.

              Hilman dilihatnya sedang menebarkan pandangan. Wajah lelaki itu seperti mempunyai beberapa persoalan. Tetapi Wasim tidak mengeluarkan pertanyaan memandangkan mereka sudah mula bersesak-sesak untuk memasuki Masjidil Haram.

              Wasim risau jika dia dan Hilman terpisah. Jika keadaan itu berlaku, maka Wasim sudah pasti akan tersesat. Mindanya segera menyediakan beberapa rancangan tambahan sekiranya hal itu benar-benar berlaku, sambil jiwanya berharap agar perkara itu tidak terjadi.

              Semasa mereka mengemas beg di dalam bilik tadi, Hilman ada berkongsi bahawa setiap jemaah haji dari Malaysia dilengkapi tiga objek pengenalan diri.

Pertama, seutas tali bersama tag yang mempaparkan gambar, nama dan nombor siri pemakainya. Tag itu juga dilengkapi sebuah pelekat berwarna perak. Tag ini bertindak sebagai pasport bagi kemudahan urusan jemaah haji dari Malaysia, memandangkan pasport yang sebenar dipegang oleh pihak Tabung Haji.

Kedua, seutas gelang besi berwarna perak. Pada gelang ini ada terdapat sekeping besi panjang yang terpahat padanya nombor siri.  Nombor siri itu akan menjadi pengenalan diri sekiranya ada apa-apa kemalangan atau bencana, menimpa diri jemaah Tabung Haji.

Akhir sekali, beg sandang berwarna kuning. Beg tersebut mempunyai logo dan maklumat perhubungan Tabung Haji, juga maklumat pengenalan diri dan nombor perhubungan jemaah haji yang menggunakannya.

Dengan ketiga-tiga objek tersebut, Wasim yakin dia akan dapat mencari bantuan yang sepatutnya, sekiranya dia terpisah dengan Hilman.

Tetapi Hilman tidak meninggalkannya begitu sahaja. Dalam keadaan lelaki itu jelas menjaga isterinya, Wasim tidak dilupakan. Hilman sering memastikan yang dirinya tidak terpisah daripada Wasim.

Tidak lama kemudian, mereka berjaya melepasi himpitan orang ramai, dan memasuki sebuah ruang yang tersangat besar dan indah, bersalut marmar.

Mata Wasim membesar.

‘Inikah dia Masjidil Haram?’ Getus hatinya. Kagum.

Tetapi itu perasaannya sekitar sejam yang lalu. Kini perasaan kagum sudah bertukar menjadi resah dan gelisah. Mereka seperti berpusing-pusing sahaja di ruang ini. Mereka masih belum bertemu dengan Kaabah.

Orang pula semakin ramai, berasak-asak. Bahkan, ramai sudah pun duduk, berbaris dengan tertib di ruang-ruang solat.

“Kita tunggu masuk waktu dahulu.”

“Mengapa kita tak nampak Ka’bah, Hilman?” Wasim gelisah. Tanpa menanti jawapan Hilman, mulutnya pantas berbicara lagi. “Aku rasa sebab do …”

“Aku rasa aku salah masuk pintu-lah.”

“Hah?” Wasim mengerutkan dahi.

Hilman tersenyum dan menggaru kepalanya yang Wasim yakin tidaklah gatal.

“Maaf. Aku rasa aku silap bawa kita masuk pintu yang salah. Aku datang sini dulu pun 10 tahun lepas. Aku yakin kita sedang berada di bahagian Masjidil Haram yang baru dibina. Bahagian tambahan. Jadi kita berpusing-pusing di sini sebab aku sendiri tercari-cari jalan yang menghubungkan bahagian ini dengan bahagian Masjidil Haram yang sebelumnya.”

Degupan jantung Wasim kembali tenang dan mula perlahan.

“Kalau kau perasan, ada beberapa jalan sudah ditutup.”

Hilman menunjuk kepada sebuah jalan yang telah dihadang dan dikawal oleh beberapa individu berpakaian tentera.

“Aku rasa itulah dia jalan ke Ka’bah. Tetapi nampaknya tentera tidak bagi kita masuk. Mungkin kerana kawasan itu telah penuh.”

“Ooooh.” Wasim menyembunyikan rasa lega di dalam jiwa.

Nampaknya, bukanlah dia tidak dapat melihat Ka’bah kerana Allah sedang menghukumnya.

Jauh di dalam hati, Wasim mengutuk diri sendiri yang terlalu cepat menggelabah.

“Sebentar lagi akan masuk waktu Solat Jumaat. Apa kata kita ambil tempat dahulu di situ?” Hilman menunjuk kawasan solat berhampiran mereka.

Wasim mengangguk. Kawasan solat itu pun sudah hampir penuh. Mereka bertiga segera bergerak ke sana. Jalilah berpisah sebentar dengan mereka, pergi ke bahagian belakang, tempat para jemaah wanita berkumpul.