PROLOG – Berhenti

Pada manusia,
ada hati yang terkecil,
tidak dapat diperdaya.
Hati yang kenal dengan Ilahi,
semenjak azali,
dan rindu untuk kembali kepadaNya.

Malam sudah mula menyelimuti langit. Bintang-bintang kelihatan begemerlapan di dada angkasa. Rembulan malu-malu mengeluarkan cahaya. Seperti langit dihiasi bintang, begitulah Kotaraya Anggerik, dihiasi gemerlapan cahaya lampu yang indah. Kotaraya masih bingit dengan suara kenderaan, dan bunyi warganya yang masih sibuk ke hulu dan ke hilir.

              Kotaraya yang terletak di selatan Malaysia ini mula terkenal namanya sebagai pusat bagi Negeri Johor. Berhadapan dengan Singapura, Kotaraya Anggerik tidak kalah sedikit pun dengan negara singa itu. Bahkan, Kotaraya Anggerik lebih maju dan terkehadapan dari segi teknologi, kebersihan, seni bina, perlancongan dan sebagainya.

              Keadaan sudah benar-benar berubah semenjak sekitar sedekad yang lepas, apabila Malaysia melakukan pembaharuan besar-besaran apabila kerajaan yang baru diangkat dengan mandat rakyat.

              Namun, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi, masih belum benar-benar sempurna.

              Di sebalik semua itu, masih ada kejahatan yang melingkari negara ini, dan berusaha untuk merobohkannya dari dalam. Kerajaan Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk membasmi kumpulan-kumpulan ini, dan kejayaan meruntuhkan usaha sebuah organisasi rahsia, yang kemudian didedahkan sebagai Kesatuan Pemburu, telah menjadi petanda bahawa Kerajaan Malaysia serius dan berdedikasi untuk mengotakan janjinya.

              Tetapi masih, untuk benar-benar menghapuskan dunia gelap ini 100%, belum tercapai.

              Dia mengetahui hal ini, kerana dia merupakan salah seorang ahli di dalam dunia gelap tersebut. Dunia yang semenjak kerajaan baru serius menangani korupsi dan ketirisan, jenayah dan kebejatan sosial, semakin lama semakin mengecil. Namun masih bergerak. Bahkan, keadaan itu dilihat sebagai menguntungkan oleh beberapa pihak, yang memandang keadaan tersebut sebagai peluang untuk menumpaskan persaingan.

              Organisasinya merupakan salah satu yang berpendapat sedemikian rupa.

              Dia mula bergerak ke satu kawasan gelap, menjauhi kesibukan kotaraya. Kawasan tersebut merupakan kawasan yang ditinggalkan. Sedekad yang lepas, kerajaan lama telah menjanjikan pelbagai pembangunan. Namun banyak antara projek tersebut terbengkalai. Dan kawasan ini salah satu daripadanya.

              Kerajaan baru sedang berusaha untuk mendapatkan hak kawasan-kawasan yang terbengkalai ini dan membangunkannya. Tetapi sudah semestinya bukan semuanya berjaya diperolehi dengan kadar yang segera.

              Dan antara yang menyukarkan usaha pihak kerajaan untuk mendapatkan hak-hak kawasan seperti ini ialah, milikan tanah yang telah dijual oleh kerajaan lama, kepada pihak asing. Pihak asing tersebut pula, secara senyap, telah menyerahkan hak milik tanah ini kepada sebuah organisasi rahsia. Organisasi dunia gelap.

              Ada beberapa kawasan sebegini di Johor.

              Pembangunan pesat dan berjaya di ibu negara, membuatkan beberapa organisasi besar di dalam dunia gelap telah mengalihkan pusat operasi mereka ke selatan tanah air. Mereka mudah mendapatkan bekalan senjata dan wang juga mudah ‘dibersihkan’ kerana negeri ini bersebelahan dengan negara jiran, Singapura, yang tidak kurang hebatnya juga diasak oleh organisasi-organisasi dunia gelap ini.

              Mereka membangunkan kubu di bawah kawasan terbengkalai ini, dengan beberapa lif rahsia. Hanya ahli dan orang yang dibenarkan sahaja akan dapat menceroboh masuk. Manakala bagi orang luar, jika mereka datang ke mari dan menyiasat, mereka tidak akan bertemu apa-apa melainkan kawasan terbengkalai. Maklumat ini pula, dikawal ketat. Hanya organisasi-organisasi dunia gelap sahaja mengetahui modus operandi ini. Pun begitu, lokasi satu-satu organisasi secara jelas, masih menjadi rahsia buat setiap organisasi masing-masing.

              Namun tidak bagi dirinya.

              Dia telah berjaya mengetahui lokasi organisasi Vadarajan, antara organisasi gengster berpengaruh di tanah air ini.

              Dia berdiri memandang kawasan yang terbengkalai itu sambil menyembunyikan diri di balik tiang. Keadaan yang gelap, ditambah dengan pakaiannya serba hitam, membuatkan dirinya tidak akan mampu dikesani.

              Dia memerhatikan jam tangannya.

              Masanya hampir tiba.

              Seminit kemudian, kawasan yang gelap itu disimbahi cahaya. Lif rahsia terbuka. Dua orang lelaki berketurunan India, keluar. Tangannya segera menyusup masuk ke dalam jaket, sebelum keluar bersama-sama sepucuk pistol yang sudah siap dipasang penyerap bunyi. Dia bergerak dari tempat persembunyiannya. Tembakan dilepaskan.

              Seorang tumbang.

              “901.”

Seorang lagi terkejut. Namun segera mencapai pistol di pinggang. Tetapi terlewat. Satu lagi peluru telah meluncur ke udara, menembusi tengkorak kepalanya.

“902.”

Kedua-duanya tumbang di hadapan lif.

              Dia bergerak pantas memasuki lif sebelum pintunya tertutup.

              Satu alat yang terdapat pada bawah dagunya ditekan. Alat tersebut akan membuatkan wajahnya menjadi pudar sekiranya dirakam oleh mana-mana alat elektronik. Dengan itu, dia akan mampu menjalankan tugasannya tanpa risau identitinya terdedah.

              Dia telah menerima kontrak untuk menumbangkan Organisasi Vadarajan. Dan dia adalah orang yang akan menyempurnakan apa sahaja misi yang diberikan oleh ketuanya. Dia ada gelarannya yang tersendiri di dalam dunia gelap ini. Walaupun dia kurang gemar dengan gelaran tersebut. Gelaran yang menggambarkan reputasinya.

              Pun begitu, dia ada peraturan.

              Tidak boleh membunuh kanak-kanak, perempuan dan orang tua, selagi mana mereka tidak terlibat dengan dunia gelap, begitu juga orang-orang yang tiada kena mengena dengan dunia gelap ini. Dia tidak mengambil kontrak untuk membunuh orang politik, hartawan dan orang-orang besar.

              Dan dia beruntung kerana organisasinya menghormati pendiriannya itu.

              Dia mengeluarkan magazin dan menghitung pelurunya. Tangan kirinya kemudian mencapai sepucuk pistol dari belakang pinggang. Pistol tersebut juga sudah siap bersama penyerap bunyi. Kedua-duanya diangkat separas kepala.

              Dia mengacukan pistolnya ke arah kamera yang terdapat pada penjuru lif, dan memusnahkannya dengan satu tembakan. Kemudian dia membuka ruangan di siling lif, dan membawa dirinya bersembunyi di atas tempat itu.

              Pintu lif terbuka, diikuti bunyi bingit tembakan demi tembakan. Dinding lif menjadi mangsa.

              “Tiada orang!” Sahutan kedengaran selepas bunyi tembakan reda.

              “Mustahil!”

              “Cuba periksa di atas lif tersebut!”

              “Ini bukan pembunuh biasa. Dia tidak akan sebodoh itu. Dia pasti sudah masuk ke dalam bangunan ini melalui saluran udara!”

              Dia tersengih. Kadangkala, antara cara mudah menipu musuh ialah dengan tidak melakukan penipuan.

              Dia turun daripada tempat persembunyiannya, melihat sekitar 10 orang lelaki, rata-rata berbangsa India, sedang memandang ke siling. Mereka masing-masing bersenjata. Ada yang menggunakan pistol, ada yang menggunakan senapang. Kawasan itu pula luas, tetapi mempunyai beberapa kubikel seperti pejabat.

              Dia tidak menanti lebih lama.

              Sebelum ada yang perasan dia telah kembali berada di dalam lif, dia segera melepaskan tembakan.

              “903.”

              Seorang tumbang. Yang lain terkejut dan mula menghalakan senjata ke arahnya. Dia segera berguling dan bersembunyi di balik dinding kubikel terhampir. Dari situ, dia bergerak menghilangkan jejak.

              Kawasan tersebut menjadi bingit dengan bunyi tembakan.

              “Cari dia!” Satu suara melaung di tengah kebingitan tersebut.

              Tetapi dia tidak menanti dirinya ditemui. Sedang kumpulan lelaki tersebut tercari-cari, dia melontarkan sebuah kerusi ke udara. Mereka terus melepaskan tembakan ke arah objek tersebut. Ketika ini, dia keluar dari tempat persembunyiannya, dan melompat ke tengah-tengah mereka.

              Sikunya melandas kepada kepala lelaki yang terhampir. Badan lelaki tersebut sedikit gempal. Menjadikannya sebagai sasaran yang terbaik, membolehkan dia menggunakan badan lelaki itu sebagai perisai. Sedang lelaki tersebut tidak tentu arah, dia segera mengilas tangan lelaki tersebut dan bersembunyi di balik tubuhnya.

              “Jangan tembak!” Lelaki itu menjerit apabila rakan-rakannya menghalakan senjata mereka ke arahnya.

              Namun seruan itu tidak dipedulikan pula oleh dirinya. Dia terus menekapkan pistolnya ke belakang tubuh lelaki malang tersebut, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi.

              “904, 905, 906.”

              Tiga lelaki tumbang serentak. Lelaki-lelaki yang lain pula meniarap untuk menyelamatkan diri.

              Dia segera menolak mayat lelaki gempal itu ke tepi. Terus dia bergerak ke arah mangsa seterusnya. Seorang lelaki berambut dan berjambang kerinting, bertubuh sedikit sasa. Lelaki itu sedang meniarap. Tanpa memberikan peluang untuk lelaki tersebut berdiri, lututnya telah menekan belakang tubuh lelaki itu, dan tangan kanannya mengacu ke kepala lelaki tersebut.

              Darah terhambur mewarnai lantai berserta organ dalaman lelaki tersebut yang bersepai.

              “907.”

              Lima lelaki berbaki mula bangkit dan ingin menyerang balas. Tetapi pergerakannya teramat pantas. Dia terlebih dahulu menepis pistol yang baru diacukan ke arahnya oleh seorang lelaki botak, dan tangan kanannya terus menjolok muncung pistol ke mulut lelaki tersebut.

              “908.”

              Bunyi tembakan kedengaran diiringi darah yang berselerak hingga ke siling. Tubuh yang sama digunakan sebagai perisai, apabila empat yang lain mula melepaskan tembakan ke arahnya. Dia mara ke hadapan dan melemparkan mayat tersebut ke arah dua lelaki di hadapannya, sebelum berguling dan menghilang lagi di sebalik dinding kubikel.

              “Celaka, terlalu pantas!”

              “Tembak sahaja ke semua arah!”

              Bunyi tembakan kembali membingit. Lawannya mula diserap kegerunan, dan bertindak tidak tentu arah. Manakala dia pula telah menjauhi kawasan tersebut. Setelah beberapa ketika, musuh-musuhnya berhenti menembak. Mereka perlu mengisi semula peluru.

              Ketika ini, dia keluar dari persembunyian. Dua pucuk pistolnya dihalakan tepat ke belakang kepala dua musuhnya.

              “909, 910.”

              Dua yang terakhir panik. Salah seorang daripada mereka bertubuh besar, terus mengangkat sebuah meja berdekatan dan melemparkan ke arahnya. Tindakan yang tidak dia jangka. Ini menyebabkan dia tidak dapat melepaskan tembakan. Dia terpaksa tunduk mengelak daripada meja tersebut menghempap dirinya. Kedua-dua pucuk pistolnya terlepas dari genggaman.

              Ketika ini, seorang lagi musuhnya telah berjaya berada di hadapannya. Sebilah kerambit dikeluarkan, dan tangannya mula menghayun senjata yang kecil lagi tajam itu. Dia mengelak. Hampir sahaja tubuhnya dibarai senjata tersebut. Hanya bajunya sahaja koyak, mempamerkan fabrik kalis peluru di balik kain tersebut.

              Matanya melirik kepada musuh bertubuh besar yang mula membuka langkah, mara untuk membantu rakannya. Kedua-dua mereka tidak mengisi kembali peluru, mungkin kerana takut tindakan itu akan menyebabkan dirinya mendapat peluang untuk menumbangkan mereka berdua.

              Si Pengguna Kerambit sekali lagi melayangkan senjata itu, kali ini ke wajahnya. Dia segera menahan pergerakan tersebut menggunakan tangan kirinya. Kemudian tangan kiri tersebut digerakkan untuk memasung tangan lelaki itu di bawah ketiak, sebelum tangan kanannya melepaskan tumbukan bertubi-tubi pada wajah lelaki tersebut.

              Darah membasahi penumbuknya.

              Lelaki bertubuh besar sudah berada dalam jarak sedepa. Segera dia melepaskan tangan kirinya, dan dengan tangkas, tangan kanannya mencapai kerambit daripada musuhnya. Terus kerambit tersebut dihayun ke wajah pemiliknya. Darah memercik ke tangan dan tubuhnya.

              “911.”

              Apabila lelaki bertubuh besar mula menjulurkan kedua-dua tangan untuk menangkap tubuhnya, dia melakukan tindakan di luar jangka. Dia menghayun tangan kanannya yang berlumuran darah itu, ke wajah lelaki bertubuh besar tersebut. Darah tersebut memercik ke matanya, membuatkan lelaki itu terundur beberapa langkah sambil memejamkan mata.

              Tanpa membazirkan masa, terus dia melompat dan melepaskan tendangan ke kepala lelaki tersebut, membuatkan lelaki itu tumbang melanggar beberapa meja dan dinding kubikel berdekatan, sebelum jatuh terlentang ke lantai.

              “Berhenti!” Satu laungan kedengaran merentasi kawasan itu, menghentikan pergerakannya yang mahu merodok perut musuh dengan kerambit di tangan kanannya.

              Dia mengangkat wajah.

              Seorang lelaki berambut kerinting panjang, bermisai tebal, berkulit gelap, perut sedikit buncit, sedang memerhatikannya dari satu sudut.

              “Vadarajan?” Dia menyebut.

              “Ya, aku Vadarajan. Apakah engkau, ‘Izrail’? Malaikat maut yang dikatakan sering dihantar oleh Organisasi Hitam?”

              Dia mendengus. Tidak berapa gemar dengan gelaran tersebut, namun gelaran itu ternyata telah tersebar secara meluas. Semenjak dia menumbangkan musuhnya yang ke-500. Dia mula terkenal di alam gelap ini sebagai ‘Izrail’, nama masyhur bagi Malaikat Maut di kalangan orang Melayu.

              “Adakah engkau boleh sampaikan kepada Ketua Organisasi Hitam, bahawa aku tidak berniat untuk bersengketa dengannya? Aku akan serahkan sebahagian teritori aku kepadanya. Dia boleh gerakkan perniagaan dan aktivitinya dengan lebih meluas.”

              Dia masih tidak melepaskan musuh di telapak kakinya. Tangan kirinya kini erat mencengkam leher lelaki di bawahnya. Namun matanya kekal terpaku pada wajah Vadarajan, walaupun dia tahu Vadarajan tidak akan mampu memerhatikan riak wajahnya. Alat yang dipakai, turut memberikan kesan kepada mata manusia. Mata mereka akan gagal untuk mentafsirkan keadaan wajahnya, dan akhirnya sekadar mampu melihat wajah yang amat pudar. Teknologi yang khusus berada di tangan Organisasi Hitam, antara organisasi terbesar dalam dunia gelap sekarang.

              “Bagaimana? Setuju? Aku tidak akan mengapa-apakan engkau. Engkau tahu aku masih ada ramai lagi orang-orang di luar sana. Jika engkau membunuh aku sekarang, hidup engkau tidak akan aman.”

              Dia tersengih mendengar ugutan tersebut.

              “Vadarajan…” Dia bersuara.

              Vadarajan kelihatan fokus untuk mendengar bicaranya.

              “…Boss kata jika aku ditawarkan apa-apa tawaran, tolak.” Terus dia melemparkan kerambitnya sekuat hati ke arah Vadarajan. Ketua Organisasi itu sempat mengelak dengan menunduk. Ketika Vadarajan tunduk, dia melepaskan satu tumbukan yang sangat deras ke arah halkum lelaki di bawahnya.

              “912.”

              Dia kemudiannya terus berguling ke belakang.

              Vadarajan telah mula berlari.

              Dia sampai ke tempat dia melepaskan dua pucuk pistolnya. Kedua-dua tangan mencapai senjata. Dia bangun dan mengacukan kedua-duanya ke arah Vadarajan yang kini telah membelakanginya. Vadarajan sudah masuk ke dalam lif yang terdapat di belakang sana.

              Jarak antara dia dan Vadarajan membuatkan Vadarajan seperti yakin bahawa dia telah terlepas daripada cengkaman Malaikat Maut. Namun dia tidak digelar Malaikat Maut hanya kerana dia menumbangkan bilangan musuh yang ramai. Dia melepaskan dua das tembakan.

              Pintu lif tertutup.

              “913.”

              Vadarajan terkulai di dalam lif, dengan sebutir peluru hinggap pada perutnya, manakala sebutir lagi tepat mendarat di antara dua matanya.

              Dia menghela nafas. Dua pucuk pistolnya dikembalikan ke tempat masing-masing. Satu di belakang pinggang, satu di dalam jaket. Kemudian dia memerhatikan keadaan sekeliling. Sepertinya ribut taufan baru sahaja tiba. Meja dan kerusi bertaburan, dinding kubikel roboh di sana sini, dan mayat bergelimpangan.

              Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya yang berlumuran darah.

              Sekali lagi dia menghela nafas panjang.

              Kemudian perlahan-lahan dia bergerak ke lif yang digunakannya semasa hadir ke sini.

              Dalam perjalanan, dia mengangkat tangan kanannya. Jam miliknya dihadapkan ke mulut.

              “Faisal melaporkan. Misi selesai. Organisasi Vadarajan tumbang.”

              Kemudian dia masuk ke dalam lif, dan mula bergerak naik.

              Apabila sampai di atas, Faisal segera bergerak meninggalkan tempat tersebut, menghilang di tengah kegelapan malam. Dia tidak boleh berada terlalu lama di tempat kejadian kerana…

              Bunyi yang kuat kedengaran di udara. Faisal mendongak.

              ….kerana Hero sering membuat tinjauan dari masa ke semasa.

              Hero merupakan sut pintar, yang berteknologi tinggi, dikeluarkan oleh syarikat Amir&Co. Kini menjadi senjata utama Malaysia, dan digunakan oleh pihak berkuasa untuk menjaga keamanan negara dari ancaman luar dan dalam. Setiap negeri mempunyai kurang dari lima unit.

              Antara punca mengapa organisasi dunia gelap tidak lagi terlalu berani berhadapan dengan pihak berkuasa ialah kerana kewujudan Hero. Sut Hero sangat kukuh dan utuh, tidak dapat ditembusi peluru walau peluru berkaliber tinggi. Hanya organisasi lagenda bernama Kesatuan Pemburu sahaja pernah menjahanamkan sut ini, kejadian yang menjadi bual bicara dunia gelap. Namun organisasi tersebut juga akhirnya tumbang di tangan Inteligen Kerajaan Malaysia, pihak yang ditugaskan untuk menggerakkan Hero hari ini.

              Faisal meneruskan langkah, mengabaikan Hero yang sedang terawang-awang di udara.

              Dia perlu menghilang segera.

              Dia tidak mampu berhadapan dengan Hero.

              Tambahan, kontraknya sudah sempurna.

*****

Seorang lelaki berusia separuh abad, memandang ke luar tingkap. Pemandangan Kotaraya Anggerik daripada aras 30 bangunan pencakar langit Syarikat BlackSky Incorporated sangat mengasyikkan. Gemerlapan cahaya, kesibukan warga kota, menghiasi malam yang dihiasi bintang-bintang. Dari sini juga, jika dia melepaskan pandangannya ke selatan, dia boleh melihat Singapura.

              “Faisal telah berjaya.” Satu suara membuatkan dia mengalihkan pandangannya dari suasana tersebut, dan menghadap seorang lelaki, yang juga berusia sepertinya.

              Namun lelaki itu kelihatan tegap dan sasa, walaupun tidak berotot besar seperti jaguh bina badan. Orangnya tinggi, kumisnya nipis, rambutnya kelabu dek dijajahi uban, menutup sebahagian dahi, berkulit sawo matang. Berjaket hitam labuh hingga ke lutut.

              Dia sendiri apa kurangnya. Tubuhnya juga tinggi, tegap dan sasa. Tersembunyi di balik baju kemejanya. Berambut putih tersisir kemas belah tepi, bercermin mata, berkulit cerah.

              “Luke,” Dia menyebut nama lelaki tersebut.

              “Boss.” Lelaki itu menunduk sedikit, sebagai tanda hormat kepadanya.

              “Duduk.” Dia mempelawa, sambil bergerak ke mejanya.

              Mereka sama-sama melabuhkan punggung.

              “Minum?” Dia bertanya.

              Lelaki yang digelar Luke itu menggeleng.

              “Vadarajan telah tumbang. Faisal memang tidak pernah mengecewakan.” Kedua belah telapak tangannya bertemu, dan bunyi tepukan mengisi suasana.

              “Dia tidak digelar ‘Izrail’ saja-saja.” Luke mengingatkan.

              “Benar, benar. Haaa…” Dia menghela nafas panjang. Senyumannya melebar. “Faisal, Faisal, Faisal. Bagus, bagus. Alangkah baiknya juga jika dia sudi mengambil kontrak-kontrak kita yang lain. Haha.”

              Luke terangguk-angguk.

              “Jadi Boss, apa keadaan kita yang terkini?”

              “Ya, berkenaan perkara tersebut. Kita perlu bersabar. Sekarang adalah masa yang penting untuk kita bergerak dengan berhati-hati.”

              “Boss takut apa yang terjadi kepada Kesatuan Pemburu, terjadi kepada kita?”

              Dia terangguk-angguk mengiyakan jangkaan Luke itu. Dia dapat melihat, Luke tersengih.

              “Engkau fikir itu tindakan yang pengecut?”

              Luke menggeleng. “Mungkin paranoid.”

              Dia tertawa. “Jangan pandang rendah dengan Kerajaan Malaysia hari ini. Jika kerajaan sebelumnya mudah dijual beli, disogok, dirasuah, tidak kerajaan hari ini. Sekitar sedekad ini, dunia gelap terhimpit. Kita fikir, kehadiran Kesatuan Pemburu akan menyelamatkan keadaan kita di sini, tetapi malang, organisasi sebegitu rahsia dan diisi oleh orang-orang luar biasa, turut tumbang!”

              “Benar, benar. Tetapi kita ada perlindungan yang cantik bukan? Syarikat BlackSky, syarikat hartanah ternama di selatan tanah air! Tiada siapa akan syak apa-apa.” Luke mendepangkan tangannya, membuatkan dia memerhatikan pejabatnya yang luas, mewah lagi indah itu.

              Dia tersengih.

              Ketika kebanyakan organisasi dunia gelap yang lain lari mencicit ke bawah tanah, bersembunyi di kawasan-kawasan terbengkalai, dia mengambil langkah berbeza. Dia membuka sebuah syarikat yang legit, bersembunyi di balik dunia terang. Orang inggeris sebut “Hide in the plain sight.” Dan melalui syarikatnya ini jugalah, dia kini berjaya mempunyai maklumat berkenaan lokasi-lokasi pesaing.

              “Namun Luke, kita masih perlu berhati-hati. Fokus utama kita sekarang, ialah meluaskan teritori kita dengan menghapuskan pesaing-pesaing utama. Menjayakan projek rahsia kita!”

              Luke terangguk-angguk.

              “Bagaimana dengan projek rahsia kita?”

              “Ya, itu mesti terus dijalankan.” Dia diam sebentar. Kemudian senyumannya melebar. Dari senyuman, bertukar menjadi tawa. Dia seterusnya ketawa terbahak-bahak.

              “Engkau dapat bayangkan sekiranya projek rahsia kita berjaya?”

              Luke hanya memandang sahaja.

              “Kita akan menjadi paling berkuasa! Hahaha!” Dia tidak dapat mengawal dirinya.

              Luke tersenyum.

              Antara ancaman utama semenjak sedekad yang lepas ialah Hero. Kini, setiap negeri di Malaysia telah menempatkan beberapa unit Hero untuk mengawal keadaan dan berhadapan dengan ancaman-ancaman merbahaya. Satu unit Hero, mampu menumbangkan satu batalion tentera dengan mudah. Apatah lagi sekadar sekumpulan pembunuh atau gengster. Semenjak sedekad yang lepas juga, Kerajaan Malaysia yang baru telah melaksanakan usaha besar-besaran, reformasi mempertingkatkan sikap amanah, kejujuran, disiplin, dalam gerak kerja pegawai-pegawainya.

              Keadaan itu menjadikan dunia gelap semakin miskin dengan kontrak. Hero-Hero pula giat digerakkan memburu mereka. Akhirnya dunia gelap tinggal beberapa sahaja pemain.

              Mereka salah satunya. Antara yang terbesar sekarang.

              Dia berhajat untuk menguasai seluruh dunia gelap.

              Dan dengan projek rahsia yang sedang dijalankan, dia yakin, Kerajaan Malaysia pun akan mampu ditumbangkan olehnya.

              “Baik Luke, ini misi engkau.” Dia menyerahkan satu kad yang semenjak tadi sudah berada di atas meja.

              Luke mengangguk. Setelah kad itu diambil dan dimasukkan ke dalam kocek, lelaki itu bangkit dan berpaling. Dia hanya menghantar dengan pandangan.

******

Restoran Tarbawi. Faisal tidak tahu mengapa, tetapi dia sering datang ke restoran ini untuk makan malam. Hampir setiap malam, dia akan ke mari. Restoran ini tenang, damai. Susun aturnya cantik, warna yang digunakan sangat indah. Muzik yang dimainkan pula santai, tiada lagu, hanya bunyi alunan yang segar.

              Unik.

              Makanan di sini sedap-sedap, menu utamanya bertemakan masakan melayu yang telah diberikan nafas baru. Sekali pandang, setaraf dengan makanan di restoran mewah. Pelayan-pelayan di sini pula mesra, sentiasa senyum, berpakaian sopan.

              Faisal tahu, sangat ironik untuk seseorang seperti dirinya berada di restoran bertemakan Islamik ini. Tetapi kebelakangan ini, di sinilah dia sering datang menghabiskan masa malamnya jika tiada kontrak untuk diselesaikan.

              Di sini dia mendapat tenang.

              Restoran ini seakan-akan memang direka untuk memberikan ketenangan bagi yang hadir. Di risalah yang disertakan pada setiap meja restoran, tertera misi utama restoran ini. “Memperkenalkan anda kepada Islam. Seluruh kehidupan ialah ibadah. Termasuklah makan.” Walaupun Faisal tidak benar-benar mendalami maksud tersebut, tetapi dia sangat memuji keadaan restoran yang diasaskan oleh Dato’ Amir Faheem ini. Berdasarkan risalah yang sama, dia mengetahui bahawa Restoran Tarbawi mempunyai rangkaian di seluruh Malaysia.

              Hari ini, anak melayu yang berjaya bukan lagi perkara asing. Negara Malaysia benar-benar telah berubah. Maju bukan sekadar dari sisi teknologi, tetapi juga sikap dan adab. Itu antara yang menyebabkan dunia gelap semakin mengecil dan sukar mencari makan. Pun begitu, ini bukan negara malaikat. Manusia tetap manusia. Tidak semuanya baik.

              Sedikit yang jahat dan degil itu, antara yang menyebabkan dunia gelap masih berjaya hidup. Sedikit itu pula, merupakan orang-orang yang berharta banyak, mereka bersikap tamak. Kekayaan sedia ada tidak mencukupi. Maka mereka perlu menumbangkan pesaing mereka untuk menjadi lebih kaya.

              Faisal memandang kedua-dua belah tangannya.

              Dia menghela nafas.

              Walaupun dia telah berada di dalam bilik mandi hampir sejam, mengenakan sabun dan pencuci badan berkali-kali, tetapi hidungnya masih terbau hanyir darah. Dia sangat pasti, dia seorang sahaja yang menghidu bau tersebut.

              Bau itu sudah terlekat pada derianya.

              “Encik.”

              Faisal mengangkat wajah.

              “Maaf ya.” Seorang pelayan, wanita, bertudung litup, mengenakan apron hitam, menunduk dan menghulurkan pinggan. Mee Bandung Muar. Antara makanan termasyhur di negeri Johor. Sudu dan garfu diletakkan di sisi mangkuk.

              “Teh hijau.” Pelayan tersebut meletakkan pula satu teko bersama segelas cawan, tidak jauh dari mangkuk mee tersebut.

              Faisal mengangguk sedikit, dan melemparkan senyuman sebagai tanda hormat. Namun apabila pelayan tersebut hendak berlalu, dia memanggil. “Cik,”

              Pelayan tersebut berpaling dan melemparkan senyuman manis. “Ya?”

              “Cik ada bau apa-apa yang tak kena tak dengan saya?” Faisal bertanya.

              Pelayan tersebut sedikit terpempan dengan pertanyaan tersebut. Wajahnya jadi merah padam. “Em,” Dia menggeleng. “Encik wangi sahaja.”

              Faisal tersenyum. Mengangguk. Pelayan tersebut beredar.

              Faisal menghela nafas. Dia seorang sahaja yang menghidu bau hanyir darah. Bau yang kini menghantuinya di mana-mana. Walaupun makanan di hadapannya tersusun indah dan kelihatan amat lazat, nafsunya sedikit terpotong kerana bau hanyir darah telah berasimilasi dengan bau makanan tersebut.

              Faisal mengangkat sudu dan garfu, dan memulakan pemakanan.

              “Aku perlu berhenti.” Suara hati Faisal berbicara.

              “Aku sudah muak dengan darah.” Saat mulutnya mengunyah mee dan menghirup kuah, jiwanya terus bertarung sesama sendiri.

              “Tetapi aku boleh ke mana? Jika aku berhenti, ke mana aku boleh pergi?”

              “Oh Tuhan, aku telah lama meninggalkanMu. Tetapi apakah Engkau masih sudi menerimaku? Apakah Engkau akan menunjukkanku jalan keluar?”

              “Selamat datang!” Kedengaran beberapa pelayan bersuara.

              Faisal mengangkat kepala.

              Terpana.

              Seorang wanita, bercermin mata, berkulit cerah, bibirnya jambu tidak mengenakan gincu, bertudung litup, berlengan panjang, menggendong tote beg yang comel, berpakaian sedikit labuh hingga ke lutut, berseluar labuh, masuk dan mula bergerak hendak melintasi tempat duduknya.

              Umur wanita itu 27 tahun.

              Bagaimana dia tahu?

              “Amirah kan?” Dia memberikan diri menyapa.

              Wanita itu menghentikan langkahan di sisi mejanya. Memandangnya dengan penuh hairan.

              “Emm… Faisal? Faisal Lutfi?”

              Dia mengangguk sambil mengesat bibirnya dengan tisu.

              “Ya Allah. Tak sangka di sini kita bertemu!”

              “Ya, ya. Seorang je ke?”

              “Ya, saje berjalan. Keluarga memang orang Johor. Saya baru pindah bekerja ke sini.”

              “Iya? Eh, jemputlah duduk.” Faisal mempelawa Amirah ke kerusi kosong di hadapannya. Tempat makannya luas, boleh memuatkan empat orang.

              “Oh, terima kasih. Ada juga kawan.” Amirah segera melabuhkan punggungnya. Beg pada bahu direhatkan di sisi.

              “Assalamu’alaikum, mahu order apa?” Pelayan perempuan itu kembali, bertanya dengan sopan kepada Amirah.

              “Waalaikumussalam. Em, saya rindu lah Mee Bandung Muar. Nak satu ya.”

              “Baik. Air?”

              “Awak minum apa tu?” Amirah menunjukkan teko di hadapannya.

              “Teh hijau.” Faisal menjawab dengan senyuman.

              “Beri saya gelas kosong ajalah. Saya minum dari teko dia.”

              “Baik, terima kasih.” Pelayan tersebut beransur.

              “Dah lama ada di Kotaraya Anggerik ni?”

              Faisal mengangguk. “Semenjak habis universiti. Awak buat apa lepas habis universiti? Jadi imam kat mana-mana ke?”

              Amirah tertawa kecil. “Hish, ada-ada jelah awak ni. Perempuan mana boleh jadi imam.”

              “Ingat lagi awak di universiti, aktif sungguh berdakwah. Padahal ambil bidang sains komputer.”

              “Awak ingat ya.” Amirah tersipu-sipu.

              “Ingatlah. Walaupun kita hanya berkongsi kelas dalam beberapa mata pelajaran sahaja, tetapi siapa boleh lupa dengan kesungguhan awak berdakwah ke sana ke sini. Walaupun saya budak nakal, saya ambil tahu ya.”

              “Masing-masing dah dewasa dah.”

              “Ya.” Faisal mengangguk. “Em, sudah berkahwin?”

              “Belum. Sibuk kerjalah.”

              “Samalah.”

              “Wah, ajaib ni. Faisal Lutfi. Pemuda paling misteri dalam ‘batch’ kita di universiti, tapi paling tampan, belum berkahwin? Eh, awak bukan ramai ‘secret admirer’ ke?”

              “Yalah, tapi siapa nak pembunuh macam saya ni?” Faisal menjawab di dalam hati. Dia sekadar tersenyum di hadapan Amirah.

              “Bukan awak pun sama ke? Mana ‘akh-akh qowiy’ yang semangat nak melamar awak semenjak universiti dulu tu?”

              Amirah tertawa kecil. “Entahlah. Sibuk sangat bekerja.” Amirah mengulang jawapan. “Dan ‘akh-akh qowiy’ tu, saya tak berminat. Lagipun, saya memang kejar cita-cita saya dalam kerjaya. Tapi itulah, mak pun dah bising. Takut kita jadi andartu. Anak dara tua.”

              Faisal terangguk-angguk. “Setiap kelebihan, akan bersamanya pengorbanan. Bukankah begitu hidup ini?” Refleksi terhadap dirinya sendiri. Digelar ‘Izrail’, pembunuh paling digeruni. Tetapi apa yang telah berlaku pada hidupnya kini.

              “Asyik sembang fasal saya aja. Awak macam mana pula? Apa awak buat sekarang?” Amirah memandang tepat ke mata Faisal.

              Faisal diam seketika. Muzik indah yang beralun mendamaikan para pelanggan di Restoran Tarbawi menyelit mengisi suasana antara mereka berdua.

              “Saya kontraktor.”

              “Wah, hebat.”

              “Ya, hebatlah agaknya.” Faisal mengangkat matanya ke atas.

              “Tapi itulah dia awak. Saya kebelakangan ini rasa jauh daripada Tuhan. Saya keseorangan. Dah lama tak solat. Al-Quran lagilah tak baca. Ilmu agama ke laut. Hidup saya rasa kosong dan tak tentu arah.” Faisal tiba-tiba meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

              Kemudian dia memandang tepat kepada Amirah.

              “Awak mesti rasa saya ni teruk kan? Ahli neraka?”

              “Hish. Jangan cakap macam itu. Selagi kita masih hidup, itu tandanya Tuhan masih sayang. Allah masih memberikan peluang.” Amirah mengukir senyuman lebar.

              “Tetapi saya rasa macam tiada harapan.”

              “Ah, ah.” Amirah mengangkat jari telunjuknya, menggerakkan ke kiri dan kanan.

              “Allah SWT berfirman: Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Az-Zumar ayat 53.”

              Faisal diam. Dia tidak tahu. Kerana dia tidak pernah benar-benar mendalami Al-Quran.

              “Segala dosa. Ingat tu. Bahkan, ayat itu dimulakan dengan seruan kepada mereka yang melampaui batas. Bukan kepada mereka yang dah macam malaikat sikapnya. Allah menyeru langsung kepada hamba-hambaNya yang menderhaka, bukan menderhaka kecil-kecil, yang melampaui batas. Allah pesan, jangan berputus asa dengan rahmatNya. Jadi Faisal, jangan berputus asa.”

              “Tapi saya keseorangan.” Faisal mengerutkan dahi.

              “Saya tak reti nak keluar dari lohong ini.”

              Amirah menghela nafas. Mungkin sedang memikirkan cara untuk membantunya. Faisal pula menganggap, ini mungkin satu-satunya harapan yang dia ada, untuk memastikan dia berjaya keluar daripada kefasadan hidupnya.

              “Awak perlukan teman. Kawan, untuk bimbing awak. Saya boleh kenalkan awak dengan kenalan-kenalan saya yang baik daripada organisasi INSA…”

              “Sudikah awak menjadi teman saya, Amirah?” Faisal pantas memotong.

              Mata Amirah membesar.

              “Sudikah awak menjadi teman hidup saya Amirah? Membimbing saya keluar daripada kegelapan ini?” Faisal memandang dengan penuh pengharapan.

              Amirah tidak mampu berkata-kata.

              “Maaf ya, Mee Bandung Muar, satu.” Pelayan wanita sudah kembali bersama makanan, dan diletakkannya di hadapan Amirah. Kemudian pelayan tersebut beransur pergi.

              Apabila pelayan tersebut telah tiada di situ, Amirah masih berkeadaan seperti tadi.

              “Mungkin, pertemuan kita hari ini ialah susunan takdir?” Faisal bersuara.

              “Faisal…” Amirah seakan cuba mengumpul tenaga untuk berbicara.

              Apa yang diajukan Faisal, benar-benar di luar jangkaan sesiapa.

              Termasuk Faisal sendiri.

              Tetapi dia benar-benar terdesak untuk memusnahkan lingkaran kefasadan yang memasung kehidupannya ini.

              Matanya penuh mengharap agar Amirah menerima dirinya.

              Menjadi teman untuk mengeluarkannya dari dunia gelap.

              Untuk dia membersihkan dirinya.

              “Amirah, terimalah lamaran saya.”               Mata mereka berdua kekal bertaut.