Peluru 1 – Tamak

Tamak membenih kerosakan,
rasa tidak cukup,
membuatkan diri rasa ingin merampas.
Mengabaikan hak insan yang lain,
untuk kepentingan diri sendiri,
maka hancurlah kemanusiaan.

Jam digital moden, terletak di atas almari mini di sebelah katil bersaiz ‘king’, bertukar angkanya dari 4.59 ke 5.00. Tanpa penggera berbunyi, Faisal membuka matanya. Dia bangkit kemudian turun dari katil. Tidak berpakaian, hanya mengenakan seluar hitam labuh. Dia bergerak ke bilik sebelah, yang merupakan ruangan luas, kosong.

              Di sana dia menenangkan diri. Mengawal pernafasan. Melakukan regangan. Kemudian beberapa tumbukan dilepaskan. Udara menjadi lawan. Faisal melakukan gaya mengelak, seakan ada yang menyerang. Kemudian tubuhnya dihayun ke bawah, dan momentum itu dibawa di dalam lompatan, hingga tubuhnya berputar ke udara, sebelum dua kaki menjejak kembali ke tanah. Dia terus berguling dan kemudian mengangkat kedua-dua belah tangannya seperti sedang menembak musuh. Kemudian Faisal meneruskan aksinya seperti berlawan musuh. Tendangan dan tumbukan silih berganti. Kadangkala dia bertahan, mengelak, dan menyendeng.

              Keadaan itu berterusan sejam lamanya.

              Azan berkumandang di Masjid Utama Kotaraya Anggerik, Masjid Sultan Iskandar. Masjid terbesar di Johor, dan menjadi mercu utama negeri itu. Antara keunikan Malaysia hari ini, Masjid menjadi sentral kepada pusat-pusat bandar. Daripada apa yang didengari Faisal melalui berita, Kerajaan Malaysia cuba menjadikan Masjid tidak lagi ekslusif hanya untuk ritual-ritual agama, tetapi juga untuk urusan komuniti, bantuan keperluan bagi yang tidak mampu, tempat melakukan aktiviti rekreasi dan pelbagai lagi. Semua lapisan masyarakat, tidak kira bangsa dan agama, dialu-alukan hadir ke masjid. Perdana Menteri sering mengulang dalam Penyampaian Isnin, bahawa Islam bukan agama yang disempitkan di atas tikar sejadah, juga terpenjara dengan bangsa, tetapi Islam ialah cara hidup, dan untuk memberi rahmat kepada semua.

              Faisal tidak pernah ambil kisah dengan itu semua.

              Faisal menganggap dirinya tidak lagi layak untuk mengetahui Islam, menjadi orang yang taat kepada Tuhan. Faisal tidak pasti apakah Tuhan akan menerimanya. Tubuhnya telah dibasahi darah pekat manusia-manusia yang ditumbangkannya. Hingga dia tidak dapat menyisihkan bau hanyir darah daripada derianya sendiri.

              Tetapi kehadiran Amirah semalam seperti memberikan isyarat, bahawa Tuhan masih mahu memberikannya peluang. Namun, dia juga tidak pasti apa yang telah dia lakukan.

              Faisal berhenti dari latihan. Tubuhnya telah lencun dibasahi keringat. Dia tidak mengesat peluh tersebut. Faisal mengawal pernafasan, kemudian berjalan membawa dirinya ke tingkap luas. Memandang suasana subuh Kotaraya Anggerik dari bangunan pencakar langit.

              Faisal tinggal di pangsapuri mewah lagi moden. Rumahnya berada di aras 44. Dari sini, dia dapat melihat masjid dengan jelas. Kelihatan berbondong-bondong kenderaan, dan juga pejalan kaki, sedang berjalan ke masjid. Sedang langit masih gelap.

              Faisal tidak rasa terpanggil. Dia tidak rasa dirinya layak untuk menjejakkan kaki ke masjid. Bahkan jika dia mahu, dia tidak tahu hendak buat apa.

              “Saya bukan tidak sukakan awak, Faisal.” Suara Amirah menerjah. Memori semalam mula terimbas.

              Wajah Amirah serba salah. “Tetapi kita baru sahaja berjumpa semula. Dan permintaan awak ini besar.”

              “Awak tak sudikah membantu saya untuk keluar daripada kegelapan hidup saya ini?”

              “Saya sudi. Tetapi saya tidak fikir ini caranya. Saya ada ikuti organisasi bernama INSANI. Di sana ada ramai orang yang baik, yang boleh membantu awak.”

              “Saya tidak mahu orang lain. Mereka tidak akan hidup bersama saya. Mereka hanya rakan yang selepas meluangkan sekian masa, pulang kepada kehidupan masing-masing. Saya akan tinggal keseorangan lagi.”

              Amirah menghela nafas.

              Faisal kekal serius.

              Mata mereka bertaut.

              “Amirah, tolonglah. Saya janji saya akan jaga awak dengan baik. Awak tidak perlu bekerja, wang saya sudah cukup banyak. Saya tahu apa saya minta ini tidak masuk akal. Tetapi, entahlah, saya terdesak. Awak bantulah saya.”

              Jika bukan kerana Faisal tahu Amirah tidak bersentuhan dengan jantina berlawanan, sudah Faisal genggam kedua-dua tangan Amirah untuk benar-benar menunjukkan keseriusannya. Namun hanya pandangan mata sahaja yang mampu diusahakan sekarang. Faisal berharap, Amirah melihat keseriusannya.

              Amirah menghela nafas lagi. Sukar. Faisal tahu.

              “Tidak mengapalah. Maafkan saya. Tiba-tiba cakap begini. Mesti awak tidak selesa.”

              Faisal mengalah.

              Mungkin benar, Tuhan telah berpaling daripadanya. Bahkan, Tuhan sampai menjenakakannya, menyahut doanya dengan memunculkan Amirah, namun kemudian menariknya pergi dari membantunya.

              Mungkin ini balasan Tuhan atas dosa-dosanya selama ini.

              “Faisal, saya tidak terima bukan kerana ini semua tidak masuk akal dan sebagainya. Tinggal, saya perlukan masa untuk membuat keputusan. Saya perlu pulang berbincang dengan kedua-dua ibu bapa saya, saya perlu juga beristikharah.” Amirah mengukir senyuman.

              “Istikharah?” Faisal mengerutkan dahi.

              “Solat istikharah, solat untuk membuat keputusan. Supaya Allah SWT memberikan petunjuk agar saya membuat keputusan yang betul dan terbaik.”

              “Adakah solat itu akan menunjukkan kita keputusan paling tepat?”

              Amirah tertawa dan menggeleng. “Tidak. Kita bukan Nabi untuk mendapat wahyu langsung daripada Tuhan. Tetapi dengan solat itu, kita memohon petunjuk. Pada masa yang sama, kita melakukan istisyarah, yakni, perbincangan. Bincang dengan keluarga contohnya. Di sana, Allah akan berikan kita petunjuk ke arah keputusan yang terbaik.”

              Faisal diam. Jika meminta petunjuk Tuhan, sudah pasti Tuhan tidak akan menunjukkan kepadanya. Amirah dan ibu bapanya mungkin tidak tahu identiti sebenar Faisal, tetapi Tuhan pastinya tahu. Faisal sedikit tunduk.

              “Nah.”

              Faisal mengangkat wajah. Di hadapannya, Amirah menghulurkan kad.

              “Ada nombor telefon saya. Tanda saya serius, dan bukan sekadar beralasan nak larikan diri daripada permintaan awak. Awak pun, nanti berikanlah saya nombor telefon awak.” Amirah mengukir senyuman.

              Faisal mengambil kad tersebut.

              “Faisal, yakinlah dengan Allah SWT. Dia tidak akan meninggalkan hamba-hambaNya. Tinggal, Islam ini bukan agama magis. Kita nak berubah, kita terus berubah. Bukan begitu. Kita takkan sentiasa dapat apa yang kita nak. Tetapi yakinlah bahawa Allah sentiasa memberikan kita apa yang kita perlu. Yang penting, kita berterusan berusaha.”

              Faisal menyimpan kad tersebut di koceknya, sambil memandang Amirah.

              “Mengapa awak boleh begitu yakin?”

              Amirah tersenyum lebar.

              “Mungkin sebab sudah terjadi beberapa kali di dalam hidup saya. Yakinlah, Allah tidak meninggalkan kita.”

              “Baiklah. Eh, makanlah. Nanti sejuk pula.” Faisal menjemput.

              “Baik.”

              Apabila Faisal mempelawa untuk menghantar Amirah pulang, perempuan itu menolak. Dia menyatakan tidak manis jika mereka berdua-duaan di dalam kereta sedemikian. Di restoran sekurang-kurangnya mereka di khalayak. Amirah itu, masih teguh prinsipnya. Walaupun kelihatan dia sudah semakin matang dan bijaksana berbanding ketika di Universiti dahulu.

              Lebih anggun juga.

              Faisal tersenyum dan menggeleng.

              Ah, perasaan apa ini? Cinta?

              Dia tidak pasti apakah Amirah akan menerimanya atau tidak. Dia telah memberikan nombor telefonnya kepada Amirah. Mungkin dia perlu menanti sehari dua lagi, atau seminggu dua lagi. Dia faham, bukan senang untuk seseorang membuat keputusan yang besar. Hendak berkongsi hidup dengan orang yang tidak berapa dikenali, apatah lagi.

              Cuma dia tidak tahu, apakah Amirah benar-benar mempertimbangkan, atau sebenarnya itu semua sekadar untuk menjaga hatinya sahaja?

              Faisal terasa bodoh juga dengan tindakannya. Bukankah lebih baik dia menanti, membina hubungan terlebih dahulu. Tetapi Faisal juga tahu, Amirah tidak akan berhubungan dengan lelaki begitu sahaja.

              Ah, sukarnya hidup! Sukarnya hendak merintis jalan untuk membersihkan diri!

              Faisal menghentak cermin di hadapannya.

              “Ah, sudahlah.” Faisal menghentikan kemelut di jiwanya. Dia kemudiannya berpaling dan bergerak menuju ke bilik air.

              Dia perlu bersiap ke pejabat. Semalam sebelum tidur, dia telah mendapat mesej daripada Boss untuk pertemuan dengan ketuanya itu. Pasti ada misi baru.

******

Faisal keluar dari parkir kereta. Terus membawa dirinya masuk ke dalam lif. Dari sana, dia keluar ke lobi. Kakinya terus melangkah ke kaunter utama.

              “Encik Faisal. Apa khabar?” Wanita di kaunter tersebut sudah mengenalinya.

              Faisal menundukkan sedikit kepala tanda hormat, kemudian melempar senyuman.

              “Tuan Maximus sedang menanti di pejabatnya.” Wanita itu menyerahkan kad.

              Faisal mengambil kad tersebut dan bergerak ke lif yang terletak tidak jauh dari kaunter. Orang ramai sedang beratur di lif tersebut. Jam di tangannya menunjukkan pukul 8.00am. Masa orang masuk kerja. Faisal sekadar mengekori rombongan manusia tersebut, masuk ke dalam lif.

              Sedikit demi sedikit, keluar seraya lif berhenti dari satu tingkat ke satu tingkat. Lama kelamaan, tinggal Faisal dengan seorang lelaki, berumur sekitar 40-an. Mereka saling berpandangan.

              “Naik ke atas lagi? Hebat.” Lelaki itu memuji.

              Faisal tersenyum sahaja.

              Lelaki itu kemudian keluar pada aras 28.

              Sebaik sahaja lelaki itu keluar, Faisal menyentuhkan kad yang diberikan kepadanya di kaunter tadi, pada pad yang terdapat di bawah butang-butang nombor aras. Pad tersebut kemudian dikelilingi cahaya berwarna hijau.

              “Akses Diberikan.” Suara persis seorang wanita, kedengaran.

              Kamera yang terdapat di atas pintu lif, mula mengeluarkan sinaran merah, dan mengimbas seluruh tubuh Faisal.

              “Faisal Lutfi. Identiti disahkan.”

              Kemudian lif tersebut naik ke tingkat 29. Pintu lif terbuka. Faisal melangkah keluar. Dia disambut dengan suasana serba putih. Perabot dan sofa, karpet dan dinding di aras ini semuanya berwarna putih. Sangat ironik dengan nama bangunan ini – BlackSky. Tinggal di sini dan sana, terdapat warna hijau daripada pokok-pokok hiasan, dan juga warna merah daripada hiasan-hiasan yang bergantungan.

              “Wooo, Izrail Dunia Gelap sudah mari!” Seorang pemuda melaung.

              Dia berambut kuning, panjang ke sebelah kanan, wajahnya runcing, berkulit cerah, kurus, tingginya sederhana, berjaket hitam tanpa lengan. Namanya Razak, tetapi gelarannya ‘Zee’.

              Kemudian bunyi tepukan bergema. Beberapa orang di sekeliling Zee telah menyambut kehadirannya dengan tepukan. Dia tersengih seraya mendekati mereka.

              “Bukan senang nak berjumpa dengan kawan kita seorang ni. Dia bukan nak bergaul dengan kita.” Seorang lelaki, botak, berkaca mata hitam, tinggi dan sasa, mengenakan sut penuh berwarna hitam. Badrul. Gelarannya ‘Bull’.

              “Diam-diam, dia tumbangkan Vadarajan. Seorang diri.” Duduk bertentangan dengan Bull, Melissa atau nama gelarannya ‘Liz’, rambutnya panjang ikal tetapi disanggul di belakang kepala, kulitnya cerah, bibirnya merah menyala digincu, matanya bercelak. Dia mengenakan baju berhud, lengan panjang, dengan seluar jeans ketat.

              “Berapa dah bilangan mangsa kau setakat hari ini?” Seorang pemuda, rambut panjang mencecah bahu, bersut serba hitam seperti Bull, duduk di sebelah Liz. Namanya Adnan, gelarannya ‘Aiden’.

              “Campur kamu semua, 918.” Faisal menjawab bersahaja.

              “Pergh! Janganlah campur kami weh!” Sahut seorang lagi pemuda. Duduk di sebelah Bull. Rambutnya kerinting dan panjang ke pangkal leher. Kulitnya sedikit gelap. Asap rokok berkepul-kepul keluar daripada mulutnya. Ramesh. Tiada nama gelaran. Kerana dia suka namanya.

              Zee, Bull, Liz, Aiden dan Ramesh merupakan antara pembunuh-pembunuh upahan yang bernaung di bawah Organisasi Hitam. Tingkat 29 menjadi tingkat khas untuk mereka berkumpul sekiranya tiada apa-apa kontrak. Sebelum ini, Faisal sering melepak bersama mereka. Tinggal setahun dua kebelakangan ini, Faisal mula menjauhi rakan-rakannya.

              Organisasi Hitam mempunyai ramai lagi pembunuh upahan. Ada sekitar 30 orang jika dicampur dengan mereka berlima, Faisal dan pembunuh terhandal organisasi ini, Luke. Namun kebanyakan mereka jarang berada di ibu pejabat kerana tugasan mereka membawa mereka ke seluruh Malaysia, bahkan ke serata dunia.

              Lima orang di sekelilingnya ini pula, boleh dianggap sebagai pembunuh-pembunuh yang dipercayai oleh Boss, Maximus. Mereka tidak akan dihantar jauh, dan hanya akan berurusan di dalam Malaysia sahaja. Kontrak yang mereka perolehi pula semuanya berprofil tinggi.

              Sekarang, Faisal tahu mereka berlima sedang mengusahakan satu projek khas untuk Organisasi Hitam. Tetapi Faisal tidak ambil tahu detailnya.

              “Duduklah dulu kawan. Atau kau langsung dah tak nak kawan dengan kami?” Zee mempelawa Faisal duduk bersama mereka di atas sofa serba putih itu.

              “Entah. Sudahlah susah nak jumpa. Bila jumpa, berlagak pula.” Liz mencebik.

              Faisal tersengih. Menggeleng. “Aku ada urusan dengan Boss.” Faisal menunjuk ke satu lif khas, yang berada di hujung aras tersebut.

              “Oh, sebab itu kau muncul ya? Kalau tidak, memang susah nak nampak batang hidung.” Bull mendengus.

              “Biarlah geng, dia sibuk!” Aiden mencelah.

              Semua kini diam dan memerhati Faisal.

              Faisal sekadar tersengih buat kesekian kalinya.

              “Pergi dulu.” Faisal melambai tanpa berpaling. Bergerak menuju ke lif khas tersebut.

              Dia tidak lagi gemar menghabiskan masa dengan mereka berlima. Walaupun dahulu, mereka boleh dianggap sebagai rakan-rakannya yang rapat. Faisal tidak boleh masuk dengan cara hidup mereka. Minum arak, berzina, itu semua ialah aktiviti masa lapang mereka sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa kontrak. Apabila mereka mempunyai kontrak pula, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil nyawa kanak-kanak, wanita dan orang tua yang langsung tiada kena mengena dengan dunia gelap.

              Seperti dua tahun sebelum ini, ketika organisasi mereka didatangi seorang lelaki bernama Jagat, dan menawarkan kontrak dengan harga yang sangat lumayan. Kontrak tersebut ialah letupan di beberapa bandaraya penting di Malaysia ini.

              Boss telah mengarahkan mereka berlima melaksanakannya. Dan tanpa teragak-agak, mereka menerimanya. Entah berapa ratus nyawa tidak berdosa hilang di tangan mereka. Walaupun akhirnya, bilangan kematian di tangannya seorang, melebihi jumlah kematian di tangan mereka berlima.

              Siapa dia untuk berceramah berkenaan moral?

              Tetapi dia tidak lagi boleh bergaul dengan mereka. Bau hanyir darah yang melekat pada derianya, ditambah dengan cara hidup rakan-rakannya itu, membuatkan dia terasa mual dan loya. Rasa ingin muntah sentiasa.

              Faisal masuk ke lif, dan sekali lagi tubuhnya diimbas. Pintu lif tertutup, dan Faisal masih dapat melihat rakan-rakannya itu menghantarnya dengan pandangan. Faisal tidak pernah berkongsi kemelut jiwanya dengan mereka. Faisal juga tidak pernah berkongsi pandangannya terhadap mereka. Di mata rakan-rakannya, Faisal hanya seorang yang sibuk, tidak punya masa untuk bersama mereka.

              Faisal menggeleng.

              Dia semakin tersepit di dalam kehidupan ini.

              Dia mahu keluar. Tetapi tidak reti.

              Lif terhenti. Pintu terbuka. Faisal kini disambut pula dengan kawasan sederhana besar. Aras tertinggi di bangunan ini. Dikelilingi tingkap cermin yang luas. Di hujung kawasan ini, terdapat meja dan di baliknya sedang duduk seorang lelaki bertubuh sedikit gempal, perut sedikit boroi. Namun pakaiannya korporat. Rambutnya juga tersisir kemas. Dia sedang menghisap cerut. Itulah dia Maximus, atau lebih dikenali sebagai ‘Boss’ di kalangan para pembunuh di sini. Di sisi Maximus, berdiri seorang lagi lelaki.

              Luke. Atau nama sebenarnya, Lutfi.

              “Haa, Faisal. Jemput duduk.” Maximus bangun dan mempelawa, memanjangkan tangannya menunjuk ke arah kerusi di hadapan meja.

              Faisal menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat. “Boss, Bapa.”

              Luke membalas dengan menundukkan kepalanya juga.

              “Tahniah. Engkau tidak pernah mengecewakan.” Maximus bersuara.

              Faisal tidak memberikan apa-apa reaksi. Dia juga tidak mengeluarkan apa-apa respon untuk pujian tersebut. Maximus dan Luke sama-sama memerhatikannya. Faisal diam seribu bahasa.

              “Engkau tidak rasa kejayaan engkau mengkagumkan?” Maximus melontar soalan. Matanya tepat memandang Faisal.

              Faisal menjungkit bahu. “Hanya ada 12 orang di dalam kubu tersebut. 13 jika dikira dengan Vadarajan.”

              “Sudah pasti 12 orang itu adalah pengawal-pengawal peribadi Vadarajan. Barisan terhebat organisasi mereka.”

              “Ya, tetapi mereka tidak tahu saya akan tiba. Mereka terkejut. Dan saya sekadar menggunakan peluang yang ada. Tiada yang istimewa.” Faisal menjuihkan bibirnya, kurang berminat.

              Maximus diam seketika. Luke tidak memberikan apa-apa komentar.

              Kemudian ruangan itu digegarkan dengan letusan tawa Maximus.

              “Hahaha. Luke, kau tengok anak engkau ni. Serupa bapanya!” Maximus ketawa sambil menepuk-nepuk meja. “Bagus Faisal, bagus. Seperti Malaikat Maut, apalah harganya nyawa di hadapan dia bukan?”

              Faisal tersengih. Dia tidak suka akan gelaran itu.

              “Boss panggil saya ke mari hanya untuk memuji?” Faisal melontar soalan, menghentikan tawa Maximus. Maximus menyeka air di hujung matanya, dia benar-benar terhibur. “Luke,” Dia menggerakkan tangannya ke arah Luke.

              Luke bergerak menghampiri meja, mengeluarkan sebuah cip dan menghulurkan kepada Faisal. “Misi yang seterusnya.”

              Faisal menyambut, dan memasukkan cip tersebut ke dalam telefon pintarnya. Detail kontrak terpapar. Dahinya berkerut apabila memandang gambar sasaran dan deskripsi kontraknya.

              “Imam?”

              “Ya, tetapi jangan risau. Dia ini bukannya bersih. Aku tahu engkau tidak akan mengambil kontrak yang tiada kait mengait dengan dunia gelap. Dia ini ada organisasinya tersendiri, yang menjadi saingan kepada kita.”

              “Organisasi Jibril? Macam kumpulan Islamik sahaja.”

              “Ya, memang Islamik. Islamik Ekstrim. Selepas kegagalan ISIS di timur tengah, mereka antara yang bersemangat hendak menghidupkan fahaman tersebut kembali. Bermula di sini.” Luke mencelah.

              “Mereka akan menganggu perjalanan organisasi kita. Selepas kejatuhan Kesatuan Pemburu, kita tidak mahu ada lagi organisasi yang terlalu liar, hingga boleh menganggu gugat operasi kita.”

              Faisal membaca deskripsi kontraknya.

              “Aku akan perhatikan terlebih dahulu. Macam biasa.” Dia memadamkan telefon bimbitnya.

              “Ya, macam biasa.” Maximus tersenyum lebar.

              Faisal bangkit, dan selepas menundukkan kepalanya sedikit kepada Maximus dan Luke, dia beredar ke lif khas. Lif itu membawa dirinya kembali ke aras 29. Namun, rakan-rakannya telah tiada. Mungkin melaksanakan kontrak masing-masing, atau mungkin keluar menghabiskan masa di mana-mana.

              Dia tidak peduli.

              Kini kontrak baru sudah berada di tangannya.

              Sambil merentasi ruangan serba putih itu, Faisal mengeluarkan kembali telefon pintarnya dan memerhatikan sasarannya. Seorang lelaki berkopiah, wajahnya sudah memaparkan usia separuh dekad, mengenakan baju melayu dan rida’.

              Imam Salman Al-Hafiz, namanya tertera.

              Darah akan tumpah lagi.

******

Maximus memusingkan kerusinya dan menghadap Luke.

              “Kau perasan anak engkau tu? Semenjak dua menjak ni, dia macam tidak termotivasi.”

              Luke memandang ke arah lif. Mengangguk.

              “Bukan semenjak dua menjak. Sudah setahun dua dia bersikap sedemikian.” Luke menghela nafas.

              “Tak bersembang dengan dia?”

              “Semenjak dia keluar daripada rumah aku, dia menguruskan kehidupannya sendiri. Lagipun, dia hanya anak angkat. Bukan anak betul. Kebetulan, nama bapa kandungnya sama dengan aku.”

              Maximus memandang ke arah yang sama. “Dia tiada teman wanita bukan? Apakah aku perlu menghadiahkannya perempuan?”

              Luke segera menggeleng. “Tindakan yang tidak bijak Boss. Dia tidak begitu. Dia bukan seperti pembunuh-pembunuh kita yang lain.”

              “Ya ya ya. Hemm. Jadi bagaimana? Nampaknya determinasinya semakin kurang terhadap karier ini. Walaupun dia masih menjalankan kontrak-kontraknya dengan baik.”

              “Boss takut dia mahu keluar?”

              Maximus mengangguk.

              Luke tersengih. “Dia tiada sesiapa selain kita Boss. Jangan terlalu difikirkan sangat. Tidak elok mempunyai prasangka terhadap aset kita yang terbaik, yang tidak boleh ditukar ganti.”

              “Ya ya, benar. Cuma aku tidak mahu apa-apa komplikasi. Lebih-lebih lagi kita semakin hampir ke destinasi.”

              “Aku akan bercakap dengannya nanti.”

              “Bagus-bagus.”