PROLOG – Penjaga Kotaraya Angsana

Kota impian,
Kota harapan,
Tidak pernah sepi
Dengan cabaran.

 “Tuan Faheem, apa yang berada dalam fikiran tuan?”

              Suara itu menarik perhatiannya. Spontan dia mendongak. Seorang wanita yang berpakaian mengghairahkan sedang tersenyum ke arahnya. Dia membalas senyuman itu dan menggeleng.

              “Mengapa tidak turut serta?”

Wanita itu mengerling ruangan di tengah-tengah dewan di mana mereka berada, yang kini dipenuhi tetamu. Lelaki dan wanita. Rata-ratanya berpakaian elit, berpasang-pasangan, asyik menari mengikut alun irama yang dimainkan. Majlis itu meriah. Hiasan dewan yang elegan dengan kilauan candelier yang menaikkan seri, menjadikan suasana itu cukup gah. Semua yang berada di dalam dewan ini pasti menganggap mereka sedang berada di puncak dunia.

              Wanita itu tanpa segan silu mengambil tempat di sebelah lelaki tersebut. Bahu mereka bersentuhan. Lelaki itu sekadar tersenyum, dan menjarakkan dirinya sedikit.

              “Awak ini kenapa?” Wanita itu mencebik.

              Lelaki itu menghela nafas. “Saya rasa kita kena berhentilah, Cherry.”

              “Hah? Stop this event? Nonsense.” Berkerut dahi. “Awak tahu mereka yang hadirini semuanya telah beri cek untuk program kebajikan saya, bukan?”

Daripada gaya Cherry berbahasa, ternyata lelaki itu bukanlah orang asing dengannya. Bahasa sopan awal sapaannya tadi sekadar gurauan antara mereka berdua.

              Sekali lagi lelaki itu menghela nafas.

              “Maksud saya, kita berdua. Kita putus. Saya tak mahu lagi punya apa-apa hubungan dengan awak.”

Lelaki itu memandang tepat ke wajah Cherry. Wanita itu terpempan. Seperti tidak percaya dengan apa yang disuarakan oleh lelaki itu.

              “Baby, saya tahu kebelakangan ini awak macam ada masalah. Tapi takkan sampai nak putus? Awak ini kenapa?”

Tangan Cherry segera mencapai wajah lelaki itu Kedua-duanya ditekapkan pada pipi lelaki itu, seakan-akan merayu. Lelaki itu perlahan-lahan mencapai kedua-dua tangan Cherry itu lalu diletakkan ke atas peha wanita itu. Lelaki itu berdiri. Kedua-dua belah tangannya direhatkan dalam saku. Cherry terpinga-pinga.

              “Amir Faheem bin Amir Muiz!”

Cherry berusaha mendapatkan perhatian lelaki yang mula menjauh untuk meninggalkannya.

              Lelaki itu menoleh. “Bye.”

Lelaki itu berpaling dan bergerak untuk keluar. Cherry hanya mampu memandang. Tersentak dengan apa yang berlaku. Lelaki itu tidak lagi menoleh ke belakang.

              Lelaki itu sendiri tertanya-tanya apa yang sedang berlaku pada dirinya. Dia tidak lagi merasakan kelazatan gaya hidup yang dipamerkan kebanyakan hadirin di dewan ini. Dia tidak lagi dapat merasakan kepuasan gaya hidup sebegini. Bukan kerana dia mahu lebih daripada apa yang terbentang di hadapan matanya kini. Tetapi kerana dia merasakan ada yang tidak kena dengan gaya hidup sebegini.

              Mahu ke mana semua ini akhirnya?

              Sekali-sekala, langkahannya terganggu apabila disapa beberapa orang. Memang, siapa yang mengenali Amir Faheem bin Amir Muiz, pasti akan menyapanya. Kerana dia bukan orang biasa-biasa. Atau lebih jujur, dia bukan anak orang biasa-biasa. Bapanya terkenal di seluruh Malaysia, dan di seantero dunia.

              Lelaki itu mempercepatkan langkah agar perjalanan keluar dari bangunan ini tidak terbantut lagi. Sambil-sambil itu, tangan kanannya mengeluarkan telefon pintar dari dalam saku. Satu nombor dihubungi.

              “Pak Arbi, sudah boleh ambil saya sekarang.”

              Dia diam seketika, mendengar balasan dari seberang corong.

              “Ya, saya balik awal. Nantilah saya cerita.”

              “Janganlah gelak. Cepatlah ambil saya. Haih, Pak Arbi ini, sempat lagi.”

Lelaki itu memuncung dan  menggeleng.

Kini dia sudah berada di luar dewan. Kawasan parkir dipenuhi kenderaan mewah, jenama luar negara. Tidak ramai yang berada di luar ketika itu memandangkan majlis belum lagi berakhir. Tempat ini ialah tempat ekslusif, bukan kawasan lalu lalang. Hotel berprestij di ibu negara.

              Lelaki itu menyeluk saku. Mengeluarkan sekotak rokok. Kemudian, pemetik api dikeluarkan. Rokok dibakar. Jari hantu dan telunjuk menyepit batang rokok itu, membawanya ke bibir. Dihisap sepenuh hati, sebelum dilepaskan asap berkepul-kepul ke udara.

              “Kalau boleh lepaskan masalah semudah hembus asap rokok, bahagia agaknya hidup ini.”

Lelaki itu tersenyum dan menggeleng. Tergelak.

              “Apa benda aku bercakap seorang ini?” Ketawa lagi. “Mereng agaknya aku ini.”

              Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan mewah meluncur naik ke perkarangan dewan. Adiwira, jenama kenderaan nasional yang terbaru. Baru sahaja dilancarkan dua tahun yang lepas oleh salah satu cabang syarikat bapanya. Lelaki itu sekadar tersenyum apabila kenderaan tersebut berhenti betul-betul di hadapannya. Dia segera menjatuhkan puntung rokok, sebelum dipijaknya.

              Tanpa menanti, dia membuka pintu tempat penumpang dan terus masuk.

              “Afam,”

Pemandu kenderaan tersebut menoleh ke belakang.

              Amir Faheem bin Amir Muiz, disingkatkan menjadi Afam. Itulah panggilan orang-orang yang rapat dengannya. Salah seorang daripadanya ialah Pak Arbi, yang sedang memandangnya seakan-akan dia baru melakukan satu kesalahan besar.

              Afam mengerutkan dahi. Mengangkat sebelah kening. Pak Arbi juga mengangkat keningnya. Afam kemudiannya menepuk dahi, teringat akan sesuatu. Segera pintu kereta dibukanya. Afam keluar. Dia tunduk mengutip puntung rokok yang ditinggalkannya.

              “Maaf, sudah terbiasa.”

              Pak Arbi menghela nafas dan menggeleng. “Merokok sudah satu kesalahan. Jangan tambah dengan buang sampah merata-rata.”

              “Baik, cikgu.”

Afam mengajuk seperti murid sekolah. Dia membuang puntung rokok itu ke dalam tempat sampah di dalam kenderaan.

              Pak Arbi tersenyum lebar. Kenderaan mula bergerak meninggalkan perkarangan dewan sebelum menuruni bangunan hotel berprestij tersebut.

              Usia Pak Arbi telah melangkaui separuh abad. Rambutnya putih. Namun badannya masih tegap. Orangnya masih cergas. Pak Arbi telah lebih dua dekad menjadi pembantu kanan bapanya. Walaupun bertaraf pembantu, Pak Arbi dan bapa sudah seperti sahabat. Afam tidak pernah sekalipun melihat bapa merendahkan Pak Arbi, bahkan sering kelihatan bapa menghormatinya sebagai rakan. Pak Arbi sudah seperti bapa angkat kepada Afam. Bahkan, boleh dikatakan Pak Arbi lebih dirasakan sebagai bapanya berbanding bapa sendiri.

              Terkenang bapa, membuatkan Afam berasa ralat. Lantas dia melabuhkan pandangan ke luar. Tidak lagi berbicara. Matanya disajikan dengan panorama kota. Tidak lama kemudian, kenderaan Adiwira itu meluncur masuk ke satu kawasan yang tersergam indah. Bangunan-bangunannya futuristik. Walaupun malam, kawasan ini cerah dan meriah dengan lampu-lampu yang berwarna-warni, datang dari pelbagai bangunan.

              Kotaraya Angsana.

Terletak bersebelahan Kuala Lumpur. Kotaraya yang dibangunkan oleh bapanya, Dato’ Amir Muiz bersama-sama sembilan rakan jutawannya yang lain. Kotaraya yang dikatakan bakal menggantikan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia sekitar sedekad lagi. Bahkan, ada ura-ura menyatakan bahawa Kuala Lumpur akan menjadi sebahagian daripada Kotaraya Angsana ketika itu.

              Pandangan Afam melekat pada sebuah menara yang melangkaui bangunan-bangunan yang lain. Tersergam megah. Mercu tanda Kotaraya Angsana dan kini merupakan mercu tanda Malaysia.

Menara Keimanan.

              Menara Keimanan adalah bangunan tertinggi di dunia ketika ini. Ia menewaskan Burj Khalifa di Dubai. Kewujudannya menjadi sebutan bukan sahaja kerana ketinggiannya, tetapi juga teknologinya yang tidak tertanding. Menara Keimanan merupakan bangunan pertama di dunia yang menggunakan tenaga hijau untuk beroperasi sepenuhnya. Sumber kepada tenaga ini tidak didedahkan kepada khalayak, kecuali kepada pihak berkuasa Kerajaan Malaysia. Kerahsiaan ini membuatkan banyak pihak, hatta pada peringkat antarabangsa, membuat spekulasi bahawa Kerajaan Malaysia kini mempunyai kepakaran nuklear.

              Namun, Afam juga mengetahui sumber tenaga yang menjana kuasa untuk Menara Keimanan itu.

              “Afam, sudah bersedia nak berkongsi?” Suara Pak Arbi menarik Afam keluar daripada lamunan.

              Afam terpinga-pinga. “Huh?”

              “Kenapa balik awal hari ini? Kenapa seorang diri? Cherry mana?”

              “Eh, bukankah Pak Arbi tak suka saya keluar dengan Cherry?”

              “Tak suka kerana melanggar syariat. Tanya sebab kisah.”

              Afam tersengih kelat dengan jawapan jujur Pak Arbi. Kemudian, dia mengeluh.

              “Entahlah, Pak Arbi. Rasa tak ke mana-mana hidup begitu. Rasa tak lengkap. Rasa macam teraba-raba dalam gelap. Tak tahu macam mana saya nak cakap. Rasa macam mayat hidup pun ada.”

              Pak Arbi mendengar dengan setia. Tidak mencelah. Hanya fokus memandu. 

              “Saya sudah putus pun dengan Cherry tadi. Saya fikir, saya ralat hendak terus bergelumang dengan kehidupan sedemikian.”

              “Oh?”

Terkejut Pak Arbi. Segera dia memandang cermin pandang belakang, untuk melihat wajah Afam. Afam perasan akan tindakan Pak Arbi, lantas mempamerkan sengihan.

              “Lagipun, saya rasa, macam tak masuk pula kehidupan sedemikian dengan aktiviti baharu kita.”

Afam memanjangkan tangannya mencapai bahu Pak Arbi. Bahu orang tua itu ditepuk.

              Pak Arbi tertawa. “Tanggungjawab mengubah perspektif ya, Afam?”

              “Mungkin.”

              “Tetapi rokok masih tak boleh tinggal? Solat masih tak solat? Al-Quran masih tak nak sentuh?”

              Afam pula tertawa. “Relakslah, Pak Arbi. Hish, baru nak ada momen antara kita.”

              “Yalah, Afam. Siapalah Pak Arbi, bukan? Ortodok. Konservatif.”

Semakin kuat tawa Afam dengan jawapan selamba Pak Arbi.

              “Memang pun. Asyik tazkirah orang saja. Tak seronok langsung.”

              “Tak seronok, tapi dia ketawa terbahak-bahak. Padahal tadi muka sembab saja.”

              “Pak Arbi elok kahwin dengan Aunty Mai saja. Sama-sama satu klan gitu.” Bahu Pak Arbi ditepuk lagi.

              “Hish kamu ini.” Pak Arbi menguis.

              Afam tertawa lagi. Tidak lama kemudian, tawanya kendur. Sepi menguasai suasana. 

              “Malam ini macam biasa Pak Arbi?”

              “Macam biasa.”

              Afam terangguk-angguk.

              Kenderaan itu meluncur meninggalkan Kotaraya Angsana. Mereka menuju ke sempadan, kawasan berbukit yang penuh dengan hutan. Di atas sana, terdapat satu kawasan lapang yang luas. Di sanalah terletaknya rumah agam milik Dato’ Amir Muiz.

              Kini, milik Amir Faheem bin Amir Muiz.

***

Gelap. Namun kegelapan ini tidak pekat kerana ditemani gemerlapan cahaya di luar sana. Kotaraya Angsana berada pada fasa uji kaji daripada Syarikat Amir & Co untuk mempamerkan kehebatan teknologi mereka yang terbaharu – sumber kuasa yang tidak punya limit.

Sumber yang menjana kuasa Menara Keimanan, kini sedang dieksperimenkan untuk menjana kuasa untuk seluruh Kotaraya Angsana. Untuk melihat kemampuan sumber tersebut, pemilik bangunan-bangunan komersial di Kotaraya Angsana akan kekal menyalakan lampu di luar bangunan masing-masing selama 24 jam, setiap hari sepanjang bulan ini.

              Empat lelaki. Berpakaian serba hitam dengan wajah tertutup penuh, hanya menampakkan bahagian mata, sedang berjalan dengan berhati-hati di koridor bangunan ini. Lelaki paling hadapan menggendong sebuah beg.

              “Gila susah bangunan ini!” Salah seorang daripada mereka merungut.

              “Shhh …” Seorang lagi menegur.

              “Apa? Sekuriti di sini sangat tinggi! Jenuh kita mengelak segala kamera dan alat pengesan yang dipasang. Sebab itu tiada yang pernah berani menceroboh Amir & Co!”

              Rakan-rakan yang lain tidak membalas. Mereka terus berhati-hati menelusuri koridor. Ia terletak pada bahagian paling tepi bangunan. Di sebelah kanan mereka, kelihatan cermin besar yang membiaskan panorama Kotaraya Angsana. Mereka berada pada aras 35. Aras tertinggi bangunan ini. Destinasi mereka ialah bilik yang terletak di penghujung koridor ini.

              Pejabat Pengarah Pengurusan Amir & Co.

              Lelaki paling depan mengangkat tangan, isyarat berhenti. Tiga yang lain, mematikan langkah.   Mereka melutut. Masing-masing mencapai sebuah alat bantuan penglihatan yang tergantung pada pinggang. Alat itu dikenakan pada mata masing-masing.

              “Hati-hati.”

              Di hadapan, terbentang medan laser. Halangan terakhir untuk mereka tiba ke destinasi. Laser ini tidak membahayakan, namun sekiranya disentuh, akan menghidupkan penggera, serentak memberi makluman kepada pihak polis bahawa pencerobohan sedang berlaku.

              Lelaki paling hadapan mencapai sesuatu dari kotak kecil yang tergantung di pinggangnya. Alat berbentuk silinder dikeluarkan. Alat itu digulingkan ke tengah-tengah koridor yang dipenuhi barisan laser. Kepulan asap mula memenuhi ruang. Barisan-barisan laser di koridor menghilang. Asap tersebut membuatkan medan laser itu tidak berfungsi.

              “10 saat.”

Lelaki paling hadapan bergerak pantas. Lelaki-lelaki yang lain mengekori. Mereka berjaya melepasi medan laser tersebut.

              “Mujur dia muncul dan sediakan alat-alat ini untuk kita. Jika tak, masakan kita boleh mencerobohi bangunan ini.” Salah seorang daripada mereka bersuara, beberapa langkah selepas melepasi medan laser.

              Pintu pejabat pengarah pengurusan sudah kelihatan di hadapan mereka.

              “Kau kenal dia?” Seorang yang lain bertanya kepada yang bersuara tadi.

              Dia menggeleng. “Tetapi nampaknya dia mula mendapat tempat di sisi Bos.”

              “Aku takut dengan dia. Muka tak pernah senyum sikit pun.”

              “Samalah aku.”

              “Diam.” Lelaki paling hadapan mengingatkan.

Mereka tiba ke destinasi. Pintu pejabat itu dilengkapi peranti keselamatan yang memerlukan kombinasi nombor untuk membukanya. Namun, mereka telah bersedia. Lelaki itu segera menurunkan beg yang digalas dan mengeluarkan satu alat elektronik berbentuk kotak. Sederhana saiznya.

              Alat itu ditekapkan ke pintu. Alat itu mengeluarkan paparan berwarna-warni sebelum satu persatu aksara kelihatan pada skrin kecilnya. Tanpa perlu empat lelaki itu melakukan apa-apa lagi, pintu tersebut terbuka dengan sendirinya.

              “Okey. Perlu pantas. Kamu berdua jaga pintu.”

              “Bukankah semua sekuriti sudah kita bereskan?” Salah seorang mengingatkan.

              “‘Dia’ yang satu lagi, engkau sudah lupa?” Lelaki paling hadapan mengingatkan.

              Semua terdiam. Hampir sahaja mereka terlupa. Ancaman terbesar buat golongan seperti mereka di Kotaraya Angsana ini.

              “Jaga di luar. Jika perasan dia datang atau mendekati, segera maklumkan. Kita tak boleh tertangkap.”

              Semua mengangguk. Dua lelaki berkawal di hadapan pintu manakala dua yang lain mula melangkah masuk ke dalam pejabat.

              Tiba-tiba, bunyi ibarat guruh berdentum kedengaran.

              Cermin bersebelahan koridor itu berderai. ‘Sesuatu’ menyerbu masuk. Salah seorang lelaki yang berada di hadapan pintu menjadi mangsa. Terus menghentam dinding, sebelum terkulai di lantai. Tiga yang lain, terus menghunus senjata masing-masing. Ketiga-tiga pucuk pistol diacukan kepada pendatang tersebut. Berdas-das tembakan dilepaskan tanpa teragak-agak.

              Sehinggalah mereka bertiga kehabisan peluru.

               “Sudah? Puas hati?”

              Pendatang itu merenung mereka dengan matanya yang bersinar-sinar dalam kegelapan, menerbitkan gerun dalam diri. Hujan peluru tadi tidak sedikit pun memberi kesan kepadanya. Biasan cahaya menunjukkan dia diselubungi mantel hitam.

              “Celaka! Jangan pandang rendah kepada ka ….”

Baru sahaja salah seorang daripada mereka hendak membuka langkah menyerang dengan tangan kosong, mulutnya pantas ditekup tangan pendatang itu.

              “Korang buat apa di sini, hah?” Pendatang itu meninggikan suara seraya mengangkat lelaki itu lebih tinggi.

              “Serang!” Lelaki yang menggalas beg, bersuara. Dia dan seorang lagi rakannya sudah menukar magazin pistol.

              “Heh, tak makan saman!”

Pendatang itu mengibas mantel menggunakan tangan kiri. Mantel itu berpusar menyelimuti tangan kirinya, membentuk seperti gerudi, ditujukan ke arah dua lelaki itu. Kedua-duanya berjaya mengelak.

              Tindakan pendatang itu membuatkan tubuhnya terserlah lebih jelas. Kelihatan dia seperti mengenakan sut berteknologi tinggi. Seimbas pandang, tubuhnya seperti robot yang diperbuat daripada besi. Namun, lebih nipis dan praktikal untuk pergerakan yang lincah dan pantas.

              Lelaki yang tadinya diangkatnya, dihumban ke tepi. Terkulai menyertai mangsa pertama.

              Beberapa das tembakan dilepaskan oleh dua lelaki yang masih tinggal. Hanya terpantul jatuh.

              “Celaka! Celaka!”

Salah seorang daripada dua lelaki itu hanya mampu menjerit apabila pendatang tersebut pantas mendekati. Satu tumbukan keras ke wajah, membuatkan dia juga terkulai menyembah lantai.

               Melihat semua rakannya gagal mempertahankan diri masing-masing, lelaki terakhir, yang berlagak seperti ketua, bertambah panik. Tangannya terketar-ketar untuk menukar magazin sehingga objek tersebut terjatuh ke lantai. Apabila dia mengangkat wajah, pendatang itu sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Mata putih yang bersinar-sinar dengan kegelapan yang sederhana itu benar-benar seperti mahu membaham dirinya.

              “Syaitan Bertopeng?”

Suara pendatang itu kedengaran garau. Ada elemen tekno pada nadanya. Lelaki itu terangguk-angguk, ketakutan. Pertama kali berhadapan dengan ‘penjaga’ Kotaraya Angsana. Selama ini hanya mendengar cerita-cerita orang. Lebih-lagi lagi dalam kalangan mereka di dunia gelap. Tiada siapa pernah menangkap gambar ‘penjaga’ ini. Mereka yang berjaya melihatnya pula adalah penjenayah yang meringkuk di dalam penjara. Menjadikan cerita tentangnya seperti sebuah mitos semata-mata.

              Tetapi jelas, dia tidak bermimpi.

              “Apa yang korang mahu di sini?”

              “Maklumat penting. Bos mahu tahu apa yang menjana tenaga Menara Keimanan, dan kini Kotaraya Angsana.”

              “Eljurano Demase?”

              Dia mengangguk segera. Terpaksa pecah rahsia. Walaupun tidak disentuh lagi oleh pendatang tersebut, ternyata dia telah ditundukkan oleh kegerunan.

              Pendatang itu merampas beg yang digalasnya. Kemudian, satu hayunan keras hinggap pada leher. Menyebabkan dia akhirnya layu bersama rakan-rakannya yang lain.

              Pendatang misteri itu memerhati isi beg tersebut dengan teliti. Dia perasan akan sesuatu. Segera dia menyeluknya. Satu objek dikeluarkan. Pandangan difokuskan pada objek berbentuk sfera itu.

              “Imbas.”

              Kedengaran satu suara pada bahagian muka sut yang dipakai pendatang itu. “Inilah yang memberikan kita isyarat untuk hadir ke sini.”

Pendatang itu mengangguk. “Sudah dapat semuanya?”

              “Sudah.” Suara itu kedengaran lagi.

              “Baik, kita teruskan di pangkalan. Saya uruskan penceroboh-penceroboh ini terlebih dahulu.”

              “Baik.”

              Pendatang itu menyeret lelaki yang baru dijatuhkan tadi lalu melonggokkannya bersama-sama rakan-rakannya yang lain. Pada masa yang sama, bahagian bawah hidung sutnya terbuka, mempamerkan mulut manusia. Jelas di balik sut berteknologi tinggi itu, ada manusia sebagai operatornya.

              Sebatang rokok dikeluarkan. Dicucuh pada telapak tangan kiri, terbakar hujungnya. Rokok tersebut disepit bibir dan dihisap rakus sebelum asapnya dilepaskan. Kemudian, pendatang itu mengeluarkan sesuatu dari belakang pinggangnya.

Tali keluli  rekaan khas. 

              Empat penceroboh itu diikatnya kemas-kemas dan dipastikan agar mereka tidak boleh melarikan diri. Beg yang diambilnya tadi, dibiarkan di sisi mereka untuk memudahkan siasatan polis. Bunyi siren kedengaran. Pihak polis sudah mendapat makluman daripada satu sumber misteri berkenaan pencerobohan di bangunan utama Amir & Co ini.

              Asap rokok dilepaskan lagi, berkepul-kepul naik ke udara. Rokok di bibir itu disepit dengan dua jari sebelum dia membuka topeng penceroboh-penceroboh itu. Pendatang itu menenyeh rokok itu pada dahi salah seorang daripada mereka. Kemudian, puntungnya disimpan dalam salah satu bahagian yang terdapat pada tali pinggangnya.

              Pendatang itu tunduk sebentar. Memerhatikan satu persatu mulut para penceroboh.

              “Tiada sianida. Hem. Kalau ada, yang terakhir tadi pasti sudah guna.”

              Dia berdiri semula. Mengambil masa sejenak dua, seperti berfikir.

              “Ah, sudahlah.”

Dia berpaling dan bergerak ke tempat dia tiba sebentar tadi. Butnya mengeluarkan bunyi, tidak terlalu kuat, namun masih jelas kedengaran. Sejurus kemudian, dia terapung-apung di udara. Terus dia membawa dirinya pergi dari tempat tersebut.

              Pihak polis tiba di tempat kejadian.

              “Clear!

 Anggota polis paling hadapan menjerit sebaik memerhatikan keadaan di koridor itu. Mara seorang anggota polis yang lain. Lelaki, berjaket labuh. Wajahnya cerah dan berkaca mata. Rambutnya dibelah tengah, lurus tetapi sedikit serabut. Jelas wajah sembabnya menunjukkan dia kurang tidur. Namun, daripada postur tubuh dan gerak langkahnya, jelas dia tidak mempamerkan rasa lemah dan tidak berdaya.

              “Hero?” Dia menoleh kepada anggota-anggota polis yang hadir.

              “Nampaknya, Tuan Ikhwan.”

              Perlahan-lahan Detektif Ikhwan memerhati dahi lelaki yang dicucuh rokok.

              “Yalah, dialah punya kerja ini. Siapa lagi.” Detektif Ikhwan menghela nafas.

              Sebagai detektif Polis DiRaja Malaysia cawangan Kotaraya Angsana, memang menjadi persoalan kepada dirinya akan gerangan penjaga misteri Kotaraya ini.

              Setakat hari ini, orang hanya menggelarkannya sebagai ‘Hero’.

              Kerana penjaga tersebut dianggap sebagai Hero bagi Kotaraya Angsana dan daerah-daerah sekitarnya.

***

“Mr. Umayer.” Suara Afam kedengaran selepas pintu pejabat itu terbuka.

              “Ah, Tuan Faheem. Silakan masuk.”

Seorang lelaki, tinggi, berkulit cerah, matanya sedikit sepet, rambutnya sudah keputih-putihan. Umurnya menghampiri separuh abad. Dia mengenakan kot dan kemeja, berperawakan kemas, ditambah senyuman manis, menyambut kehadiran Afam ke pejabatnya itu.

              Afam menoleh ke luar pejabat. Kawasan cermin besar sudah dipalang dengan kain rentang untuk menghalang deruan angin di aras 35 ini.

              “Macam mana?” Afam menunjuk ke arah kain rentang besar itu sambil tersenyum. “Seronok tak? Rasa lebih berangin tempat ini, bukan?” Dia tertawa.

              Mr. Umayer kekal dengan senyuman manis, tertawa kecil. “Adakah saya lupa mengucapkan terima kasih?”

              Afam tertawa lagi sambil mendekati Mr. Umayer. Lelaki itu sedang duduk di balik sebuah meja besar. Di atasnya tersusun kemas fail dan dokumen. Sempat Afam memerhati keadaan di dalam pejabat ini.

              Di belakang Mr. Umayer, terbentang sebuah cermin besar yang mempamerkan panorama Kotaraya Angsana. Dari sini juga, dapat dilihat dengan jelas Kuala Lumpur serta mercu tandanya, Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Di bahagian kanan, dinding dengan hiasan potret. Potret gambar-gambar acara penganugerahan yang melibatkan pencapaian syarikat Amir & Co. Kebanyakannya adalah gambar bapanya. Manakala di bahagian kiri, dipenuhi almari yang sarat dengan buku.

              Afam mengambil tempat duduk.

              “Mengapa Mr. Umayer panggil saya pagi-pagi ini? Selalunya jika ada urusan berkenaan aktiviti kita, bukankah baiknya di rumah saja?”

              Mr. Umayer menggeleng. “Bukan, bukan. Ini bukan berkenaan aktiviti kita.”

              “Oh, jadi berkenaan syarikat? Tak berminatlah.”

Afam segera mencebik. Tubuhnya disengetkan sedikit ke kanan. Matanya sempat mengerling gambar bapa. Dia mengeluh.

              Pejabat ini adalah tinggalan bapa.

              Bapa telah meninggal dunia sekitar dua tahun yang lepas, bersama-sama ibu dalam satu kemalangan ngeri. Semenjak ketiadaan bapa, syarikat Amir & Co diuruskan oleh Mr. Umayer, seorang lagi orang kanan bapa, yang fokusnya adalah pada urusan syarikat dan perniagaan.

              “Walaupun saya suka hendak berbicara berkenaan syarikat dengan Tuan Faheem, tetapi saya tahu Tuan Faheem masih belum bersedia.”

Antara kelebihan Mr. Umayer adalah dia amat bersopan. Sehingga kini, belum pernah dia memanggil Afam dengan singkatan namanya. Dia akan menyeru Afam dengan gelaran ‘Tuan’ dan menyebut namanya dengan baik – Faheem.

              Beradabnya Mr. Umayer membuatkan Afam sedikit sebanyak segan dengan lelaki yang semenjak mudanya sama-sama membangunkan Amir & Co. Seperti Pak Arbi, Mr. Umayer juga telah lebih dua dekad bersama bapa.

              “Jadi kenapa Mr. Umayer panggil saya pagi-pagi ini? Mr. Umayer pun tahu, bukan, pagi-pagi begini saya masih tidur. Jenuh kena heret dengan Pak Arbi tadi.”

              Mr. Umayer kekal tersenyum sambil mencapai sebuah dokumen. Kemudian dokumen itu diserahkan kepada Afam. Afam mengerutkan dahi apabila melihat dokumen tersebut. Kemudian, dia menepuk dahi.

              “Ah. Aduh.”

Afam memandang potret bapanya pada dinding. “Macam mana aku boleh lupa? Haih, orang tua ini, sudah mati pun masih menyusahkan kita!”

Afam bangkit daripada duduk, menyilang tangan, berjalan ke hulu dan ke hilir beberapa kali sebelum berhenti memandang Mr. Umayer. Jelas, dia kelihatan susah hati.

              Mr. Umayer tertawa kecil melihat reaksi Afam.

              “Saya tak rasa Dato’ Amir Muiz menyusahkan saya dengan wasiatnya ini. Mungkin hanya menyusahkan Tuan Faheem sahaja. Yalah, bukankah Tuan Faheem berbeza kesukaannya dengan Dato’ Amir Muiz?”

              “Ada cara tak untuk batalkan wasiat ini?”

              Mr. Umayer menggeleng dengan segera.

              “Haila. Orang waras manalah ugut anaknya dengan nak hibahkan semua hartanya kepada organisasi kebajikan? Mr. Umayer ada kenal orang macam itu?”

              Mr. Umayer mengangguk. “Dato’ Amir Muiz.”

              “Hish, itu memanglah.”

Afam mendekati dinding yang penuh dengan potret itu. Dia menatap gambar-gambar tersebut.

              “Tuan Faheem, saya percaya tindakan Dato’ Amir Muiz ini ada hikmahnya. Dia bukanlah seorang yang suka melakukan tindakan yang sia-sia. Semua tindakannya ada sebab dan matlamat yang lebih jauh.”

              Afam menghela nafas. “Apa yang saya perlu penuhi?”

              “Berkahwin dengan wanita pilihannya …” Mr. Umayer membelek-belek dokumen tersebut dan kembali memandang Afam. “… pemudi bernama Afeefah Husna. Di sini dinyatakan dia adalah anak didik merangkap anak usrah kepada Puan Amirah.”

              “Alamak, budak usrah? Aduh. Bapa memang saja nak kenakan saya, Mr. Umayer. Kalau anak usrah mak cik saya itu, gerenti perangai mereka dua kali lima. Bayangkan saya kahwin dengan Pak Arbi, hah, macam itulah. Kena ceramahlah saya setiap hari kalau macam gini.”

              Mr. Umayer tertawa. “Tuan Faheem, saya cadangkan kita berjumpa dahulu dengan tuan punya badan.”

              “Buat apa?”

              “Mana tahu, apabila bertentang mata, maka jatuhlah cinta.” Mr. Umayer mengangkat keningnya dua kali, gaya nakal.

              Afam terus menjelirkan lidah, membuatkan Mr. Umayer tertawa lagi.

              “Bila dia nak datang rumah?”

              “Mengikut Puan Amirah, petang ini.” Mr. Umayer menjawab selamba.

              “Petang ini?” Suara Afam meninggi.

              Mr. Umayer mengangguk bersama-sama senyuman.  “Sebab itu saya panggil Tuan Faheem pagi-pagi begini. Supaya boleh bersedia.”

              Aduhai!

Afam menepuk dahi. Bertambah satu masalah lagi dalam hidupnya.

***

“Mereka gagal?”

Suara itu dingin. Ditambah dengan matanya yang menjegil, membuatkan si pembawa berita menundukkan pandangan. Helaan nafas kedengaran. Jelas terbit rasa kecewa.

              “Kehadiran kita semakin jelas di mata mereka.”

Pemilik suara itu bangun. Seorang lelaki, bertubuh kurus, mengenakan kot kotak-kotak. Rambutnya kemas disikat tepi. Gaya seorang elitis jelas terpapar pada perawakannya.

              Pejabat peribadinya ini jelas megah – luas dan besar. Diisi almari sarat buku dan fail, tempat bermain golf mini, bar mini, skrin televisyen besar, lampu dan kipas yang mewah, sofa empuk lagi mewah untuk tetamu serta cermin besar yang mempaparkan suasana Kuala Lumpur di belakang tempat duduknya.

Namun, bilik tersebut terasa suram.

              Melihat dia bangkit, beberapa pengawal dalam bilik itu mula melangkah, mahu mengiringinya. Namun dengan satu gerakan tangan daripadanya, langkahan mereka mati. Masing-masing kekal pada posisi masing-masing.

              “Bos mahu saya buat apa?” Terketar-ketar si pembawa berita. “Macam biasa?”

              “Macam biasa.” Dia menjawab ringkas sambil merehatkan punggungnya di hadapan meja.

              “Baik, bos. Boleh saya pergi, bos?”

              Lelaki itu menggerakkan tangan, memberikan isyarat kebenaran. Si pembawa berita cepat-cepat melangkah keluar.

              Dia sekadar tersengih memandang gelagat si pembawa berita itu. Jelas terpamer kegerunan terhadap dirinya. Namun, sengihan itu tidak kekal lama. Ia bertukar kelat.

              “Hero …” Dia menghentak penumbuk ke meja. “Engkau akan tumbang!”