Bab 1 – Pertemuan Pertama

Mata bertemu mata,
Degup hati menterjemah rasa,
Mungkinkah dia orangnya,
Yang akan mengembalikanku kepada cahaya?

Dua tahun telah berlalu semenjak tragedi itu. Kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tuanya. Ketika itu, Afam baru sahaja bergraduasi daripada sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat. Universiti pilihannya untuk menjauhkan diri daripada orbit bapa.

Tindakan itu sedikit sebanyak menerbitkan penyesalan dalam diri, kerana tidak dapat melihat orang tuanya buat kali terakhir. Ketika jenazah mereka berdua sudah tertanam tujuh kaki di bawah tanah, baru Afam dapat menjejakkan kakinya ke Malaysia.

              Dia kurang ralat tidak dapat bertemu dengan bapa. Padanya, dia tidak punya perasaan apa-apa yang istimewa terhadap bapanya itu. Namun dia sangat sayangkan ibu. Jauh di dalam hati, Afam sebenarnya berbelah bagi dengan cara hidupnya. Pada satu sisi, dia memberontak dan tidak mengambil jalan yang dianjurkan Islam kerana bencikan bapa. Pada sisi yang lain, dia tahu tindakannya itu menjemput kesedihan kepada ibu. Walaupun ibu tidak pernah menunjukkan tanda-tanda dia tidak suka kepadanya.

              Pusara mereka berdua masih merah apabila semua tetamu pulang termasuk mak ciknya, Amirah Maisarah. Afam diiringi Pak Arbi dan Mr. Umayer pulang ke rumah bapa. Dia masih ingat kali pertama dia mengetahui apa yang ada di sebalik barisan almari buku di bilik bapa.

              Afam masih ingat betapa terkejutnya dia pada hari tersebut.

              Pangkalan itu dilengkapi komputer super berskrin gergasi dan beberapa skrin kecil. Beberapa tempat duduk. Di tengah-tengahnya, sebuah meja empat segi, sederhana saiznya, sekitar satu meter tinggi. Afam diberitahu bahawa meja itu bukannya meja, tetapi sebuah peranti hologram. Teknologi itu belum wujud di pasaran tempatan kerana menurut bapa, dunia belum bersedia untuk teknologi sebegitu. Itu yang dijelaskan oleh Mr. Umayer.

              Apa yang paling ingat ialah keberadaan sut-sut berteknologi tinggi.

              Beberapa sut masih dalam proses tempaan. Kelihatan tangan-tangan robotik sedang bekerja tanpa jeda. Satu sut yang sudah sempurna terletak kemas dalam sebuah balang lutsinar. Balang itu tidak sendirian. Ada tiga buah balang lain yang sederet dengannya. Ketika itu, balang-balang tersebut masih belum terisi apa-apa.

              “Ini ialah projek rahsia Dato’ Amir Muiz, Afam.” Pak Arbi memberitahu.

              “Kami sangat percaya bahawa kematian Dato’ Amir Muiz dan Datin Maimunah bukan akibat kemalangan.” Mr. Umayer bersuara. Walaupun lelaki itu kekal tenang seperti biasa, jelas suaranya ada getaran kesedihan.

              “Hah?”

Itu antara momen yang Afam tidak akan lupakan. Hari itu memang penuh dengan kejutan.

              “Mereka menjadi sasaran sebuah organisasi dunia gelap dan ini merupakan konspirasi yang tidak kecil.”

Mr. Umayer membawa Afam dan Pak Arbi mendekati peranti hologram di tengah-tengah pangkalan tersebut. Selepas menekapkan tangan pada suatu skrin, peranti itu mengeluarkan warna biru terang, sebelum beberapa imej mula keluar dan terapung-apung di udara. Teknologi yang selama ini sekadar igauan fantasi, kini terbentang di hadapan mata Afam.

              “Ini sepuluh jutawan Islam kita.”

Afam mengenali semua jutawan tersebut. Mereka adalah rakan-rakan karib bapa. Boleh dikatakan sebelum kelahiran Afam lagi, mereka bersepuluh telah bersahabat.

Sebahagian besar daripada gambar-gambar tersebut ditanda ‘X’ yang besar. Termasuk gambar bapa. Afam menelan liur.

 “Itu yang sudah meninggal, bukan?”

Mr. Umayer mengangguk.

Hanya tiga gambar yang tidak ditanda. Ini bermakna, empat orang sahaja yang masih hidup.

              “Tuan Faheem tidak rasa pelik?”

Mata Mr. Umayer tajam memandang Afam. Afam terpinga-pinga. Terus dia melihat paparan hologram sebelum menatap wajah Pak Arbi. Pak Arbi mengangguk.

              “Mustahil.” Sukar untuk Afam menelan teori konspirasi itu.

              “Tidak. Ini ialah hakikat.” Pak Arbi menegaskan.

              “Mereka tidak meninggal dunia kerana kemalangan atau sakit. Mereka meninggal dunia kerana dibunuh. Semuanya dilakukan dengan begitu licin hingga tidak meninggalkan apa-apa bukti!” Mr. Umayer bersuara.

              “Bagaimana Pak Arbi dan Mr. Umayer boleh terlalu yakin dengan kisah karut sebegini? Ini bukan filem Hollywood!”

Pak Arbi dan Mr. Umayer saling berpandangan. Seakan-akan ada sesuatu yang masih disimpan.

              “Afam.”

Bahu Afam dipaut lembut Pak Arbi. Dia menatap wajah lelaki yang membesarkannya itu. Mustahil lelaki itu berbohong. Namun penerangan itu sangat berat untuk diterima.

              “Cuba lihat apa yang terdapat di sekeliling Afam sekarang.” Pak Arbi membawa pandangannya menerawang ke segenap sudut pangkalan rahsia itu.

              “Adakah Tuan Faheem fikir tempat ini wujud secara tiba-tiba? Atau Dato’ Amir Muiz benar-benar sedang bersedia untuk menghadapi ancaman yang luar biasa?” Mr. Umayer menghujani Afam dengan soalan.

Afam terpempan. Matanya tidak berkelip memandang sekeliling. Dadanya berdegup kencang. Walaupun pangkalan itu nyaman oleh pendingin hawa, dahinya mula berkeringat.

              Dia masih ingat semua itu. Akhirnya, dia terpaksa mengakui bahawa ada sesuatu yang besar sedang berlaku di Malaysia.

              Pada hari yang sama, Afam diperkenalkan kepada projek sut pintar berteknologi tinggi. Projek tinggalan bapa. Dia juga didedahkan kepada ‘Elemen Baru’ – sumber tenaga yang menjana kuasa Menara Keimanan. Sumber yang sama menjana kuasa sut pintar tersebut. Ketika itu, ia belum diberikan nama lagi.

              Semenjak itu, Pak Arbi mula melatih Afam seni bela diri dengan tegas. Manakala Mr. Umayer memastikan perjalanan syarikat lancar dan berkembang dengan baik di samping melatih Afam mengendalikan sut tersebut.

              Peperangan terhadap dunia gelap dilancarkan sedikit demi sedikit. Mereka berusaha untuk mencari pihak yang bertanggungjawab. Sedikit demi sedikit juga, Afam mula menyedari bahawa perjuangan yang dilancarkan oleh mereka pada hari itu, merupakan perjuangan yang besar, hingga terasa seperti tidak berpenghujung.

              Dua tahun berlalu dengan pantas. Hingga ke hari ini, Afam hanya mampu memperolehi dua nama.

              Syaitan Bertopeng dan Eljurano Demase.

              “Menggelamunkah? Khusyuk semacam termenung.”

Suara Pak Arbi membuatkan lamunan Afam terbantut. Segera bantal terdekat di atas sofa itu diambilnya lalu dicampakkan ke arah pembantu setianya itu. Tangkas Pak Arbi mengelak.

              “Hish, Pak Arbi, terkejut saya.”

              Pak Arbi tertawa. Segera dia meletakkan dulang yang ditatangnya. “Menanti cinta datangkah?” Pak Arbi mengenyitkan mata.

              “Cinta apanya? Seksa!” Afam mencebik sambil menyilangkan tangan.

              Pak Arbi bergerak ke belakang sofa untuk mengambil bantal yang dilempar oleh Afam tadi. Bantal itu diletakkan kembali pada tempat asalnya.

              “Mana orangnya? Lambat betul.” Afam memuncung. “Islam apa ini, lambat! Kata ikut tarbiah. Hipokrit. Macam ini nak dakwah orang? Macam ini baik?”

              Pak Arbi tertawa sambil menggeleng. Dia berpaling dan bergerak ke dapur, tidak membalas bebelan Afam. Serentak dengan itu, kedengaran satu suara.

“Assalamualaikum, Pak Arbi, Tuan Faheem. Saya memaklumkan kehadiran Puan Amirah Maisarah.”

              “Jemput mereka masuk.” Pak Arbi melaung.

“Baik.” Pengawal itu menyahut.

Pak Arbi meneruskan langkahannya ke dapur. Afam terpinga-pinga.

“Eh, Pak Arbi, nak ke mana?”

“Ke dapurlah. Ambil makanan pula.”

“Siapa nak bukakan pintu?” Afam menjuihkan bibir ke arah pintu besar yang tersergam megah, tidak jauh dari tempat dia duduk.

“Afam ada tangan, ada kaki, Afam-lah buka.” Pak Arbi menggeleng, namun setelah beberapa langkah, dia ketawa seorang diri.

“Saya dengar Pak Arbi ketawa. Nak kenakan sayalah itu.” Afam melaung.

Pak Arbi terus menghilang daripada pandangannya.

Loceng rumah kedengaran. Afam bangun menuju ke pintu. Jiwanya berkecamuk.

“Kalau bukan sebab wasiat bapa, memang kirim salamlah.”

Pintu itu dibukanya.

Seorang wanita anggun, berkulit cerah, matanya coklat bundar bersembunyi di balik cermin mata, bertudung labuh dan mengenakan jubah yang sederhana, berdiri di hadapannya. Sedikit menunduk.

Afam sedikit terpana dengan apa yang dilihatnya. Namun, segera dia mengawal diri.

“Siapa? Peminta sedekah?”

Spontan wanita tersebut mengangkat wajah, mengerutkan dahi dan menajamkan pandangan.

“Apa awak kata? Peminta sedekah?”

“Pakaian macam peminta sedekah.” Afam sengaja berbahasa kasar.

“Kalau macam itu, mak cik dan arwah ibu kamu, peminta sedekahlah ya?”

Satu suara lembut menyapa. Pintu dikuak lebih luas. Terpapar adik kepada arwah bapa, Puan Amirah Maisarah atau lebih mesra dipanggil Aunty Mai.

“Eh, aunty ada juga? Ingatkan dalam kereta lagi.”

Afam tersipu-sipu. Sempat dia melihat wanita itu mencebik ke arahnya. Segera dia merapati mak ciknya itu. tunduk mencium tangannya. 

Di hadapan Puan Amirah Maisarah, Afam berusaha mengawal kelakuannya. Pertama, kerana segan, seperti dengan Mr. Umayer. Kedua, kerana tidak mahu kena ceramah. Puan Amirah Maisarah tidak perlu bercakap panjang. Cukup dengan ayat-ayat berbisa namun penuh logik seperti tadi.

“Jemput masuk, Aunty Mai.”

Puan Amirah Maisarah mendahului Afam dan wanita tadi masuk. Ketika wanita itu hendak menuruti langkah Puan Amirah Maisarah, Afam juga mula membuka langkah. Membuatkan mereka hampir bertembung. 

“Eh!”

Kedua-duanya bersuara serentak. Menyebabkan mereka saling berbalas pandangan. Pandangan yang sangat tajam. Jika mata mereka boleh mengeluarkan pancaran laser seperti Superman, mungkin pertembungan pancaran itu bakal menghasilkan ledakan super nova.

 “Apa? Tak puas hati? Boleh blah.” Afam menjuihkan bibir ke luar rumah.

Afeefah Husna mencemik. “Saya ikut Aunty Mai.”

“Sudah-sudahlah, Afam. Husna, mari masuk. Banyak perkara nak dibincangkan hari ini.”  Tangan Afam dipegang lembut oleh Puan Amirah Maisarah.

Afam tersengih-sengih. “Baik, aunty.

Sekali lagi mereka berdua serentak bersua. Afam berpaling memandang Afeefah Husna. Wanita itu mencemik sambil melangkah masuk.

Pertemuan pertama.

***

Afeefah Husna sekadar diam dan memerhati. Perbincangan sedang hangat berlangsung. Sekali-sekala, pandangannya menerawang ke seluruh ruang tamu. Hatinya tidak henti-henti berdetik dengan kekaguman. Seni bina dan hiasan dalaman rumah ini memang kelas pertama.

              Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah arwah Dato’ Amir Muiz. Seorang ahli perniagaan yang terkenal dengan visi futuristiknya. Seorang pemimpin yang mempunyai keazaman yang tinggi untuk membangunkan ketamadunan negara di samping mengangkat nialai-nilai Islamiyyah di tengah-tengah masyarakat.

Malang sekali umurnya tidak panjang. Lebih malang …    

              Dia melirik Amir Faheem, anakanda tunggal Dato’ Amir Muiz.

Pemuda itu sedang membebel di hadapan mereka bertiga. Nampak benar dia tidak suka apa yang arwah Dato’ Amir Muiz aturkan untuknya.

              “Persoalannya, bukankah yang kena kahwin itu saya? Bukankah saya yang kena hidup dengan minah ini?”

Afam menunjuk ke arah Afeefah Husna. Pak Arbi dan Puan Amirah Maisarah sama-sama memandang ke arahnya kini. Kedua-dua keningnya terangkat.

              “Ortodok. Konservatif. Kuno. Cukuplah Pak Arbi dan Aunty Mai jadi ustaz dan ustazah dalam hidup saya. Janganlah tambah seorang lagi ustazah. Jadi isteri pula!”

Sebentar mencekak pinggang. Sebentar menyilangkan tangan di dada. Wajahnya mencuka.

              ‘Ustazah dia panggil aku,’ detik Afeefah Husna. Spontan dia muncung tetapi segera ditukar dengan senyuman sebaik perasan Afam sedang memandang tepat ke arahnya.

              “Afam, semua ini untuk kebaikan Afam. Arwah punya niat yang baik …”

“Semua yang bapa buat dikatakan dengan niat yang baik. Dia bukan malaikat-lah, aunty.”

              “Benar, dia bukan malaikat. Dia ada kekurangannya. Aunty cuba faham keadaan Afam. Tetapi ini adalah hajatnya. Afam kena faham. Kita muslim. Kita hidup bertuhan, ada peraturan. Terus terang aunty cakap, gaya hidup Afam selama ini tidak menggambarkan agama Afam.”

              “Aunty Mai, please. Di Amerika, Afam jumpa ramai Muslim. Yang free hair, yang tak solat, yang tak pandai baca al-Quran, yang pergi disko dan berhubungan bebas. Mereka relaks saja. Apa masalahnya? Agama hanya agama. Di negara kita pun, bukankah orang Melayu lebih kurang perangainya? Tak payahlah nak disiplin sangat macam asrama.”

              Puan Amirah Maisarah sekadar tersenyum dan menghela nafas. Afeefah Husna sangat yakin yang itu bukan kali pertama Puan Amirah Maisarah berbalas hujah dengan Afam.

              Afam menghenyak punggung di sofa. Afeefah Husna dapat melihat yang Afam melirik ke arah Pak Arbi. Pembantu rumah itu senyap sahaja. Sedari awal perbincangan, hanya tekun mendengar sambil sesekali mengingatkan Puan Amirah Maisarah dan dirinya untuk menjamah hidangan yang disediakan.

              “Beginilah, kalau terpaksa juga kahwin, Afam kahwin dengan dia ini. Tetapi kemudian. Afam akan ceraikan dia. Bagaimana? Puas hati?” Afam bersuara acuh tak acuh.

              Tersentak Afeefah Husna. ‘Eh, mamat ini. Ingat kita barang pakai buangkah?’

              “Afam, tak baik begitu. Kita depan Husna ini.”

              “Biar dia tahu bakal suami dia macam mana. Stok ustazah macam ini berlagak elit, perasan suci, orang macam saya mana mereka mahu. Mereka pandang jijik orang macam saya, bukan? Biar dia tahu saya macam mana, biar dia tak mahu kahwin dengan saya.”

Pandangan Afeefah Husna dan Afam bertaut. Atau lebih tepat, bertembung.

              Puan Amirah Maisarah menggeleng. Wanita pertengahan 40-an itu mengalihkan pandangan ke arah Pak Arbi, seperti meminta bantuan. Pak Arbi tersenyum. Entah mengapa, Afeefah Husna tenang melihat Pak Arbi. Tidak banyak bereaksi. Seakan-akan menanti momen paling tepat.

              “Mengikut wasiat, Afam perlu menikahi Afeefah Husna binti Abduh, sebelum usia Afam mencapai 25 tahun. Bermakna, dalam masa dua bulan, jika pernikahan belum berlangsung, Afam akan kehilangan hak terhadap seluruh harta peninggalan Dato’ Amir Muiz dan Datin Maimunah. Termasuklah segala keuntungan perniagaan Amir & Co, yang bernilai bilion ringgit. Semua itu akan diserahkan kepada sebuah badan kebajikan bernama Tuju Penyayang, yang menjalankan projek pembelaan anak yatim dan terbiar di seluruh Malaysia melalui kompleks-kompleks yang dibina oleh mereka.”

Pak Arbi memecah kebisuan. Dia mengambil jeda sambil memandang Afam dengan pandangan yang lembut. Senyumannya melebar.

              “Termasuk dalam wasiat itu juga, sekiranya Afam menceraikan isterinya tanpa sebab yang munasabah, maka segala harta tadi akan dihibahkan kepada badan kebajikan yang sama.”

              Afam menepuk dahi. Tiada jalan keluar. “Hampeh!”

              Afeefah Husna tertawa kecil melihat ulah Afam. Kelakar. Amir Faheem bin Amir Muiz bukanlah artis atau selebriti yang menjadi liputan media setiap masa. Tetapi kadangkala, wajahnya akan muncul di dada akhbar sekiranya terdapat berita berkenaan ekonomi dan perniagaan yang melibatkan Amir & Co, memandangkan dia merupakan waris kepada Dato’ Amir Muiz. Dia dipamerkan sebagai seorang lelaki yang punya kredibiliti, disiplin dan karisma.

              Bagai langit dan bumi apa yang terbentang di hadapannya kini.

              “Ustazah, bersuaralah sikit. Awak takkan nak kahwin dengan orang macam saya, bukan?”

              Suara Afam membuatkan Afeefah Husna terpinga-pinga.

“Ah? Oh …”

              “Aik, Husna, khusyuk tenung anak teruna orangkah?” Puan Amirah Maisarah menyakat.

              “Ish, tak adalah, aunty!”

Wajahnya terasa panas. Pak Arbi tertawa. Matanya cuba melihat reaksi Afam. Wajah lelaki itu tetap tegang. Masih menanti jawapan kepada soalannya tadi.

              “Saya mahu kahwin dengan awak, insya-Allah. Hati saya yakin.”

              Mata Afam terbeliak. Pantas dia mencemik. “Ah, siapa tak nak kahwin dengan jutawan!”

Afeefah Husna segera bangun dari sofa empuk itu. Tindakannya membuatkan Pak Arbi, Puan Amirah Maisarah dan Afam, sedikit terkejut. Kini, semua mata ditalakan ke arahnya.

              “Tuan Amir Faheem. Saya bersetuju bukan kerana tuan seorang jutawan. Saya bersetuju kerana saya terhutang budi dengan Aunty Mai.”

Afeefah Husna mengumpul kekuatan. Kedua-dua belah tangan dikepalnya menghadap bumi. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Puan Amirah Maisarah. Wanita itu mengangguk, seperti membenarkan dia meneruskan bicara. Dia mengerling Afam yang bisu seperti disumpah. Pak Arbi pula masih setia dengan senyumannya.

              “Aunty Mai sudah ibarat ibu saya. Saya anak yatim piatu. Membesar tanpa hala tuju. Berpindah daripada satu keluarga angkat ke satu keluarga angkat. Namun, alhamdulillah, itu semua tidak mematahkan semangat saya belajar dan saya berjaya ke menara gading. Di sanalah saya berkenalan dengan Aunty Mai, sebagai pensyarah, yang kemudiannya menjadi naqibah usrah saya.”

              “Aunty Mai yang ortodok itu, konservatif itu, ustazah itu …” Puan Amirah Maisarah mencelah, mengajuk Afam.

              Pak Arbi tertawa. Afam dilihatnya cuba mengekalkan wajah yang serius, namun akhirnya mencebik juga dengan ajukan mak ciknya itu. Puan Amirah Maisarah tertawa.

              “Teruskan, Husna. Tunjuk sikit pada Afam kamu ini siapa.”

              “Di universiti, saya mendapat anugerah dekan setiap tahun. Saya lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama. Bahkan telah ditawarkan bekerja di Amir & Co, bahagian teknologi komputer.”

              Mata Afam dilihat membesar. Sama ada kagum atau tidak percaya.

              “Saya bukan ustazah, saya bukan kuno. Saya sudi menjadi isteri kepada Tuan Faheem kerana arwah Dato’ sendiri yang berkenan menjadikan saya sebagai menantunya. Tiga tahun lalu, saya ditemukan oleh aunty dengan arwah Dato’ dan Datin. Saya tak rasa saya mampu …”

              Bicara Afeefah Husna terhenti sebaik sahaja dia melihat Afam mengangkat tangan.

              “Dia sudah jumpa ibu?” Afam mengerutkan dahi, bertanya kepada mak ciknya.

              Puan Amirah Maisarah mengangguk. “Kamu ingat mak cik cadangkan Afeefah Husna ini pakai hantar borang dan gambar saja? Berpakat dengan bapa kamu sahajakah?”

              “Manalah tahu, bukankah itu style Islamis-Islamis ni?” Afam mencebik.

              Afeefah Husna teragak-agak untuk terus berbicara atau tidak apabila melihat Afam menunduk dan tidak lagi memandang tepat ke arahnya. Lelaki itu kelihatannya seperti sedang berfikir. Andai  diberikan peluang, dia masih ada kisah yang ingin dikongsikan.

              Namun, niatnya terhalang. Afam bangkit dan mula mendekatinya. Pemuda itu berhenti betul-betul di hadapannya. Afam lebih tinggi daripadanya. Kepada Afeefah Husna hanya separas dada pemuda itu, memaksa dia mendongak sedikit. Pandangan mereka bertaut. Jantung Afeefah Husna berdegup kencang. Wajahnya terasa panas.

              “Ke … napa?”

              Afam tidak mengendahkan soalan tersebut sebaliknya memandang mak ciknya. “Adakah ibu suka dia ini?”

              “Kalau tak suka, takkan ada dalam wasiat bapa kamu, Afam.”

Puan Amirah kelihatan tersenyum lebar. Dia dapat mendengar helaan nafas Afam. Lelaki itu kemudian dilihatnya merehatkan kedua-dua belah tangan ke dalam saku dan berpaling memandangnya semula.

              “Baiklah, saya terima dia. Dia yang sanggup nak hidup dengan saya, bukan?”

Afam meninggalkan ruang tamu, membuatkan Afeefah Husna terpinga-pinga. Pak Arbi dan Puan Amirah Maisarah sekadar menghantar pemuda itu dengan pandangan sehingga kelibat Afam hilang setelah dia menaiki tangga ke tingkat atas.

              “Alhamdulillah.” Puan Amirah Maisarah segera mendakap Afeefah Husna.

              “Bukankah saya sudah pesan, Puan Mai, yang kelemahannya ialah ibunya.”

Pak Arbi turut bangkit dan menuang teh ke dalam gelas yang telah kosong. Dia mempersilakan Afeefah Husna dan Puan Amirah Maisarah untuk kembali duduk.

              “Betullah, Pak Arbi. Saya bukan apa, terlupa. Afam membebel itu ini.”

              Pak Arbi tertawa.

              “Pak Arbi tinggal dengan Afam?” Afeefah Husna memberanikan diri bertanya.

              “Semenjak dia lahir.”

               “Boleh Pak Arbi tahan, ya?”      

              Pak Arbi tertawa, sedikit kuat kali ini. Kemudian, dia menggeleng. Pandangannya kemudian direhatkan pada wajah Afeefah Husna, sambil cawan diangkat ke bibir. Teh dihirupnya.

              “Dia anak yang baik. Tambah-tambah dengan sentuhan Husna nanti, Pak Arbi yakin, dia akan menjadi lebih baik.” Lembut sahaja Pak Arbi bersuara.

Afeefah Husna menundukkan wajah. Entah mengapa, segan menyerbu tanpa diundang.

              “Jadi, Pak Arbi, bila agaknya kita boleh langsungkan perkahwinan mereka ini?”

              “Sepantas yang boleh. Minggu depan pun boleh.” Pak Arbi berbicara yakin.

              “Minggu depan? Wah.” Puan Amirah Maisarah terkejut.

              “Apa susahnya? Bukan nak kena sewa dewan semua. Rumah ini cukup untuk tampung tetamu yang ramai. Lagi cepat, lagi bagus. Sementara dia sudah rela begitu.”

              “Betul, betul. Bagaimana, Husna? Boleh?” Puan Amirah Maisarah menatap wajahnya.

              “Insya-Allah, aunty. Husna turutkan saja.”

              “Jadilah gitu, Pak Arbi. Dua minggu lagi. Boleh?” Puan Amirah Maisarah tidak dapat mengawal keterujaannya.

              Pak Arbi terangguk-angguk. “Hah, minum, minum, jamah kuih-muih itu. Saya buat semua ini. Kena habiskan, baru boleh balik.”

              Mereka tertawa bersama-sama.

              Jauh di sudut hati Husna, berputik kerisauan. Apakah dia akan mampu menjadi isteri kepada Amir Faheem? Namun, suasana di hadapannya kini, kemesraan yang ditunjukkan oleh Pak Arbi, aura positif yang datang daripada pembantu rumah itu dan Puan Amirah Maisarah, membuatkan dia tenang dan bertambah yakin dengan keputusannya.

              Tambah-tambah lagi, dia memang mencintai pemuda itu selama ini.

              Dia pernah melihat kebaikan pemuda itu dan sangat yakin yang kebaikan itu masih wujud dalam jiwa Afam, walaupun mungkin sudah jauh terbenam. Mungkin misinya adalah untuk menggali kebaikan itu untuk dibawa ke permukaan semula.

              Afeefah Husna tersenyum sendiri.

              Cabaran!

***

Detektif Ikhwan melangkah merentasi sel-sel penjara di kiri dan kanannya. Dia diiringi seorang pegawai penjara. Penjenayah-penjenayah yang meringkuk di situ semuanya merapati jeriji untuk melihat anggota polis yang terkenal itu.

              “Ikhwan, keluarga engkau takkan selamat!”

              “Detektif, lama mana engkau fikir dapat penjarakan kami, hah?”

              “Kau tunggu, detektif! Aku akan balas dendam!”

              “Detektif sial! Bebaskan aku segera!”

              Laungan-laungan tersebut menghiasi suasana. Detektif Ikhwan sedikit pun tidak menghiraukan ugutan-ugutan tersebut. Berkot labuh hingga ke lutut, berkemeja kemas dengan lencana polis pada dada kanan, jelas menunjukkan keyakinannya sebagai seorang anggota polis yang punya kredibiliti tinggi.

              Kebanyakan penjenayah yang meringkuk di penjara ini adalah hasil tangkapannya. Namun, alangkah baik sekiranya dia benar-benar layak mengambil kredit untuk itu semua. Majoriti daripada mereka hakikatnya diberkas oleh Hero dalam masa dua tahun kebelakangan ini. Detektif Ikhwan hanya menguruskan tangkapan dan memproses mereka untuk diadili.

              Hari ini dia mahu menyoal siasat penceroboh-penceroboh bangunan utama Amir & Co yang ditangkap oleh Hero semalam. Empat penjenayah itu dil etakkan di dalam sel berasingan, di satu sudut khas di dalam bangunan penjara ini.

Detektif Ikhwan semakin hampir ke destinasi.

              Dia mengesyaki bahawa mereka berempat adalah ahli organisasi dunia gelap yang terkenal, Syaitan Bertopeng. Organisasi yang disebut-sebut sebagai ketua dunia gelap Malaysia hari ini. Organisasi yang dikatakan telah mengubah lanskap operasi dunia gelap – daripada sering bercakaran dan bersaing sesama mereka, menjadi sebuah kesatuan besar dan saling bantu-membantu. Menjadikan kerja menghalang kemaraan mereka dalam merosakkan masyarakat, terutama generasi muda di negara ini, semakin sukar.

              Malaysia sedang tenat. Graf statistik aktiviti gejala sosial dan kejadian jenayah semakin mencanak. Belum dicampur dengan kes rasuah dan korupsi yang semakin menjadi-jadi. Ekonomi negara juga sedang berada dalam sakarat. Jika bukan kerana terbinanya Kotaraya Angsana oleh sepuluh jutawan Islam yang terkenal itu, sudah pasti Malaysia lumpuh sepenuhnya.

              Mengikut siasatannya, Detektif Ikhwan sangat yakin bahawa kepimpinan tertinggi Malaysia mempunyai hubungan baik dengan organisasi dunia gelap. Kerana itu, mereka seperti bermaharaja lela di negara ini.

              “Di sini, tuan.”

Pegawai penjara menunjukkan sekumpulan sel yang agak berjauhan dengan sel-sel yang lain. Kebiasaannya, di sini ditempatkan penjayah berprofil tinggi yang baru ditangkap, kerana adakalanya mereka perlu disoal siasat secara khusus.

Dahi Detektif Ikhwan berkerut. “Kenapa macam tak ada orang?”

              Pegawai penjara itu turut mengerutkan dahinya. Sel-sel itu kelihatan gelap. Segera dia mengeluarkan alat komunikasi dan memandang ke arah kamera keselamatan yang terdapat di salah satu sudut siling.

              “Buka lampu sel-sel ini.”

              “Erm, tuan, sistem menunjukkan lampu-lampu tersebut beroperasi seperti biasa. Tidak ditutup.”

              Mendengar jawapan tersebut, Detektif Ikhwan langsung merapati salah satu sel tersebut. Matanya terbelalak.

              “Buka sel-sel ini. Cepat!”

Detektif Ikhwan menjerit sambil berlari ke sel-sel yang lain. Kelam kabut pegawai penjara itu memberikan arahan kepada pengawal sistem. Pintu-pintu sel mula terbuka. Namun, semuanya telah terlambat. Keempat-empat penceroboh Amir & Co tidak lagi bernyawa. Semua menunjukkan keadaan yang sama, mulut berbuih, mata terbeliak besar.

              Detektif Ikhwan masuk ke dalam salah satu sel dan mendekati penghuninya. Kedua-dua penumbuk dikepalnya. Gigi diketap dan matanya terjegil. Dia menumbuk dinding.

              “Syaitan Bertopeng!”

              Dia semakin yakin bahawa ini adalah angkara organisasi itu. Dia sendiri telah memeriksa keempat-empat penceroboh itu bagi memastikan tiada apa-apa yang mampu membolehkan mereka membunuh diri. Dia pasti ada dalam kalangan pihak berkuasa di sini yang bersekongkol dengan organisasi gelap tersebut. Mereka mahu menutup segala ruang siasatan yang mampu mendedahkan operasi organisasi tersebut.

Beberapa orang paramedik tiba, namun Detektif Ikhwan hanya menggeleng.

              “Bagaimana, tuan?” Pegawai penjara bertanya, Dia sendiri kelihatan terganggu dengan apa yang berlaku.

              “Bawa saya ke bilik pengawal keselamatan. Saya mahu melihat rakaman CCTV.”

              “Baik, tuan!”