PROLOG – Sang Penghalang

Manusia tidak berkuasa,
mengawal apa yang akan berlaku ke atas  mereka.
Mereka hanya mampu untuk redha,
dan menghadapinya.

Sesak. Bau tengik dan busuk mencucuk hidung. Sekali-sekala keadaan di situ bergegar, bagaikan dilanda gempa kecil. Tubuhnya berlanggar dengan beberapa orang di sekeliling. Namun, tidak ada apa yang mampu dilakukan olehnya. Dia terperangkap di dalam ruang sempit ini, bersama-sama sekitar dua puluh insan yang lain.

              Rata-ratanya muda dan belia. Lelaki dan wanita bercampur. Ada juga kanak-kanak sepertinya, tetapi bilangan mereka amat sedikit. Kebanyakan mereka seperti telah melepasi usia 20-an. Masing-masing dalam keadaan tidak terurus. Kotor. Ramai tidak berpakaian. Sungguhpun begitu, persamaan antara mereka adalah semuanya tergari pada jeriji yang mengelilingi ruang tersebut.

              Ruang berbentuk segi empat itu ditarik oleh empat ekor kuda, yang dikawal oleh dua orang lelaki bertubuh sasa. Mereka diekori pula oleh tiga belas orang lelaki dan wanita, masing-masing lengkap bersenjata dan menunggang kuda. Daripada gaya dan perbualan yang mampu didengarinya, dia yakin bahawa mereka ini ialah pedagang manusia.

              Rombongan itu sedang bergerak merentasi hutan.

              Nasibnya ternyata sangat tidak baik.

              Asalnya dia sedang melarikan diri. Namun, daripada satu tragedi, nampaknya Tuhan telah mencampakkannya ke satu tragedi yang lain.

              Jauh di dalam hatinya, jika Tuhan benar-benar wujud, maka Tuhan ternyata zalim.

              Dalam keadaan tubuh yang lemah, perut yang berkeroncong, tekak yang perit dek kehausan, dia tidak dapat membayangkan masa hadapan melainkan kegelapan. Rasa takut akibat nyawa di hujung tanduk sepanjang pelarian, kini hilang diganti dengan rasa kecewa terhadap nasib hidupnya. Hampir sahaja dia terlupa, sudah hampir tiga hari dia tidak menjamah apa-apa makanan dan minuman.

              Apakah dia akan dapat meneruskan hidup?

              Dia juga terfikir, apakah dia mahu meneruskan hidup jika begini keadaannya?

              Selepas ini, apa? Menjadi hamba seumur hidup? Itukah kehidupan?

              Kof kof.

              Telinganya menangkap bunyi batukan. Tidak terlalu kuat. Sayup-sayup sahaja. Mungkin kerana puncanya jauh dari tempat dia berada.

              “Berhenti!”

Satu suara memetir, membuatkan dia tersentak. Rasa lapar turut sirna sebentar, dek perhatian yang terkalih kepada si empunya suara.

              Salah seorang pemandu kenderaan dilihatnya mengangkat tangan. Rombongan itu terhenti. Dia memicingkan mata, merapatkan wajah pada jeriji di hadapan dan cuba melihat melangkaui kesesakan. Pada masa yang sama, pandangannya dihidangkan dengan tiga belas orang lelaki dan wanita yang mengiringi mereka, bergerak ke hadapan.

              “Ada orang menghalang jalan.” Dia terdengar bicara tawanan yang lain.

              “Bagaimana rupanya?” Seorang lagi tawanan berbisik.

              Dia berusaha menoleh ke belakang. Kelihatan beberapa tawanan belia yang punya ketinggian, memanjangkan leher untuk mendapat gambaran lebih jelas.

              “Entah. Wajahnya terselindung di sebalik topi jerami. Tubuhnya diselubungi kain labuh mencecah tanah.”

              Bunyi batukan kedengaran lagi, sayup-sayup juga.

              “Rakan mereka?”

              “Jika bukan, apakah ini bermakna ada orang akan menyelamatkan kita?”

              “Adakah kita punya harapan?”

              “Shhhh …” Seorang tawanan wanita menghentikan perbualan mereka, sekaligus mematikan keterujaan yang mula terbina.

Dia melihat tiga orang daripada kumpulan pedagang manusia itu bergerak kembali ke belakang. Bersama tunggangan mereka, bergerak-gerak seperti mengawal para tawanan.

              “Siapa?”

Dia mendengar laungan daripada salah seorang pedagang manusia. Dia tahu itu suara milik kumpulan rombongan ini, kerana dapat diagak dari jarak suaranya yang lebih hampir.

              Senyap sunyi tanpa balasan apa-apa.

              “Jika engkau masih tegak di situ, engkau telah menghalang perjalanan kami. Berambus, atau mati!”

Suara itu ditinggikan, seakan mahu meyakinkan Sang Penghalang bahawa ancaman dalam bicaranya itu adalah benar.

              Masih senyap sunyi tanpa balasan apa-apa.

              “Apakah orang itu gila? Dia hanya seorang.” Salah seorang tawanan kaget.

              Jauh di lubuk hati, dia mengakui kebenaran kata-kata tawanan tersebut. Rombongan pedagang manusia ini punyai kekuatan sekitar 15 orang, termasuk dua pemandu. Sudah sehari setengah dia ditangkap oleh mereka. Daripada perawakan dan gaya mereka, jelas pedagang-pedagang manusia ini juga merupakan pendekar.

              Sehebat mana pun seseorang itu, dia tidak akan mampu berhadapan 15 orang pendekar. Itu keyakinannya. Bagaimana dia tahu?

              Kerana nasib yang sama menimpa ayahanda dan bonda.

              “Degil!”

Laungan itu menariknya keluar daripada lamunan. Bunyi derapan tapak kaki kuda bersulamkan jeritan para pedagang manusia mula menghiasi suasana.

              “Habislah.” Beberapa tawanan bersuara.

              Di luar jangkaan semua, angin menderu hebat. Bulu romanya spontan ternaik tegak. Dalam sepintas masa, dia melihat beberapa batang tubuh pedagang manusia dan tunggangan mereka, terpelanting ke belakang. Empat daripadanya jatuh betul-betul tidak jauh dari tempat dia berdiri.

              Matanya terbelalak. Bunyi erangan pula mencorakkan suasana, sebelum bunyi derapan tapak kaki kuda meninggalkan kawasan tersebut memenuhi ruang pendengarannya.

              “Sialan!” Mereka segera bangkit dan mencapai senjata masing-masing.

              Ketika ini dia dapat melihat satu susuk tubuh, pantas berdesup tiba di hadapannya. Kain yang menyelubungi tubuh berkibar mempaparkan jasad Sang Penghalang.

Seorang lelaki berambut panjang melepasi bahu, bermisai dan berjanggut sederhana tebal. Bahagian wajah yang selebihnya ditutupi topi jerami.

              Belum sempat para pedagang manusia itu bangkit, wajah mereka sudah dijamahi beberapa tumbukan, mengakibatkan semuanya kembali menyembah bumi.

              Jeriji bergegar. Dia mengangkat kepala. Beberapa pedagang manusia telah melompat ke atas penjara, sebelum menyerbu Sang Penghalang beramai-ramai.

              Namun, Sang Penghalang ternyata jauh lebih tangkas. Bilangan musuh yang tinggi tidak membuatkan dirinya kaget. Dengan tenang dan bersahaja, Sang Penghalang berhadapan para pedagang manusia tersebut, bersama-sama pergerakan yang terlalu pantas untuk diikuti sesiapa.

              Tidak lebih daripada beberapa saat kemudian, semua pedagang manusia sudah terpelanting ke banyak arah. Ada yang menghentam pokok, ada yang menyembah tanah, dan ada juga yang terpelanting berlanggar dengan jeriji.

              Sang Penghalang pula tenang berdiri dengan sebelah tangan keluar daripada kain yang menyelubungi tubuhnya. Jelas dia kelihatan tidak menggunakan tenaga yang besar untuk berhadapan 15 orang musuh, dan tidak pula menggunakan senjata apa-apa, kecuali sebelah tangan sahaja.

              Sang Penghalang bergerak melintasi musuh-musuhnya yang masih mengerang kesakitan. Nampaknya, tidak ada yang dibunuh. Mungkin dalam sejenak masa dia menguruskan mereka tadi, Sang Penghalang hanya menyerang tempat-tempat yang tidak membahayakan nyawa.

              Sang Penghalang kini berdiri betul-betul di hadapannya.

              Sang Penghalang kelihatan tinggi, ibarat awan besar menyelubungi sesebuah kawasan, menaungi dirinya. Matanya tidak dapat berkelip dan terpaku memandang pahlawan hebat tersebut. Sang Penghalang itu melepaskan batuk beberapa kali. Tangan kanannya cuba menutup bahagian mulut menggunakan penumbuk.

              Tanpa bersuara, Sang Penghalang kemudiannya melibas tangan kanan tersebut, terus mengoyakkan jeriji besi, ibarat mengoyakkan sekeping kertas.

              “Budak.”

Sang Penghalang bersuara sambil mata pahlawan itu tajam memandang kepadanya. Suaranya perlahan, tetapi jelas berisi ketegasan.

              “Bebaskan rakan-rakanmu. Keluar melalui pintu di sebelah sana, yang boleh dibuka menggunakan kunci yang sama.”

Sebaik sahaja dia dibebaskan, Sang Penghalang memberikannya kunci, yang entah bila, telah dirampas daripada para pedagang manusia tersebut.

              Dia tergocoh-gocoh melaksanakan arahan Sang Penghalang.

              “Bajingan, apa engkau fikir kami akan lepaskan engkau begitu sahaja?” Salah seorang pedagang manusia bersuara.

Dia menoleh ke belakang sambil sibuk melepaskan satu persatu rakan-rakan tawanan. Para pedagang manusia telah kembali bangkit.

              “Jika kalian sayangkan nyawa, kalian boleh berhenti di sini.” Sang Penghalang bersuara. Nadanya mendatar sahaja. Tetapi sesiapa yang mendengar bicara tersebut, tahu bahawa Sang Penghalang membawa ancaman yang benar.

              Sambil membebaskan para tawanan, dia curi-curi menoleh ke belakang. Para pedagang manusia kelihatan teragak-agak dan saling berpandangan sesama mereka.

              “Engkau fikir ketua kami akan membiarkan hal ini berlalu begitu sahaja?” Salah seorang daripada mereka melaung sambil mengacukan tombaknya ke arah Sang Penghalang. “Adakah engkau tahu akan maknanya mencari fasal dengan kumpulan kami?”

              “Kami daripada kumpu …”

              “Aku tidak peduli!” Sang Penghalang meninggikan suara.

Serentak dengan itu, angin kuat menderu, datang dari arah tubuhnya. Dedaunan turut berkibaran. Pukulan sayap unggas kedengaran meninggalkan kawasan.

              Bulu romanya naik kembali. Segera dia menoleh kembali ke arah Sang Penghalang dan musuh-musuhnya. Jelas, para pedagang manusia haram itu kaget.

              Tawanan terakhir berjaya dilepaskan. Pintu penjara sudah dibuka. Semua mula melarikan diri ke arah bertentangan medan pertarungan. Dia juga mahu meninggalkan tempat itu, tetapi entah mengapa, langkahnya terhenti di pintu penjara bergerak itu.

              Dia menoleh ke belakang. Kelihatan Sang Penghalang dan para pedagang manusia itu masing-masing masih membatu.

Para pedagang manusia haram itu jelas teragak-agak akan langkah apa yang sepatutnya mereka ambil. Ada yang jelas terpamer keringat pada wajah, bergayut pada dagunya lalu menitik ke tanah. Ada yang beberapa kali mengeratkan pegangan pada senjata. Ada yang matanya asyik memandang rakan-rakan yang lain.

              “Dia hanya seorang, rakan-rakan!”

              “Jika kita bekerjasama, kita akan mampu unt …”

              Bicara itu tidak berjaya ditamatkan, dek kerana dagu si pengungkap pecah dipukul Sang Penghalang.

Darah bersemburan.

              Dia sendiri terkejut. Matanya membuntang melihat apa yang berlaku. Kepantasan yang tidak dapat dicerna akal. Rakan-rakan pedagang manusia haram yang lain nyata terkejut dan spontan bertindak. Namun, ternyata keupayaan mereka dan Sang Penghalang ibarat bumi dan langit.

              Sang Penghalang telah bergerak daripada satu musuh ke satu musuh, dan setiap seorang terus mati hanya dengan satu serangan. Ada yang halkumnya tercabut, dada berlubang, tubuh terpisah daripada pinggang, kepala terpisah daripada tubuh, ada yang berlubang dengan kedua-dua biji matanya tembus ke belakang. Macam-macam.

              Sekelip mata, darah bersemburan ke merata tempat.

              Ada yang terpercik kepadanya.

              Sang Penghalang pula usah dicerita, sememangnya sudah bermandikan darah.

              15 orang pedagang manusia haram, maut begitu sahaja.

              Tiba-tiba, Sang Penghalang menoleh. Pandangan mereka bertaut.

Dia tersentak, ibarat disentap kejutan. Mata Sang Penghalang tajam seperti mahu menujah wajahnya.

              “Mengapa engkau masih di sini, budak?” Sang Penghalang mengibas kain yang menyelubungi tubuh, menyembunyikan kembali tangan kanannya.

              “Aaa … aku …”

              “Apakah engkau tidak menghargai kebebasan yang engkau perolehi?”

              Dia segera menggeleng. Dia sangat menghargainya. Tetapi ada sesuatu yang menghalang dirinya daripada melangkah pergi.

              Bayangan ayahanda dan bonda.

              “Bolehkah aku mengikutimu?” Dia memberanikan diri mengungkap pertanyaan tersebut.

              Sang Penghalang diam sambil mendongak sedikit. Matanya yang terlindung di bawah topi jerami, kini tepat memandang ke hadapan.

              Pandangan mereka bertaut.

              “Aku ingin menuntut bela atas kematian ayahanda dan bondaku.” Dia menambah.

              Sang Penghalang mendengus, kepalanya kembali ke posisi asal. Sang Penghalang kemudiannya berpaling.

              “Dendam hanya akan merosakkanmu, budak.”

Sang Penghalang melangkah pergi, merentasi becak merah dan jasad para pedagang manusia haram yang kebanyakannya telah bercerai-berai daripada tubuh masing-masing.

              “Aku bukan budak, nama aku Rusyd!”

Dia melaung sambil mengejar Sang Penghalang. Berlari agar dia dapat berdiri sejajar dengan pahlawan itu. Oleh kerana Sang Penghalang jauh lebih tinggi, langkahannya jauh lebih luas, menyebabkan Rusyd terpaksa berlari-lari anak agar dapat beriring dengannya.

              “Ayahanda dan bondaku perlukan pembelaan! Mereka berdua dibunuh dengan kejam!”

              Rusyd dapat mendengar Sang Penghalang mendengus. Langkahan Sang Penghalang terhenti secara mengejut. Membuatkan Rusyd mendahuluinya beberapa langkah, sebelum kembali kepada Sang Penghalang.

Sekali lagi pandangan mereka bertaut.

              “Ayahanda dan bondamu lebih perlukan anakanda mereka hidup dengan aman dan selamat. Engkau telah aman sekarang. Mulakan kehidupan baharu.”

              Rusyd menggeleng. “Aku akan aman dan selamat, sekiranya aku mempunyai kelebihan sepertimu. Aku mahu mulakan kehidupan baharuku sebagai seorang pendekar terhebat, yang mampu menuntut bela kematian ayahanda dan bondaku!”

              Sang Penghalang menghela nafas. Lelaki itu kemudiannya menyambung langkahan. Tetapi kali ini langkahannya lebih pendek, seakan-akan mahu membenarkan Rusyd mengekorinya tanpa perlu berlari lagi.

              “Aku tidak akan mengambilmu kerana dendam. Tetapi aku juga tidak akan memaksamu untuk menuruti kehendakku. Aku akan melatihmu, dan engkau yang akan perlu membuat pilihan itu.”

              Mata Rusyd membesar. Buat pertama kali selepas kematian ayahanda dan bonda, dia mengukir senyuman.

              “Terima kasih, Tuan Pendekar. Terima kasih!” Rusyd menunduk beberapa kali.

              “Namaku Aslim.” Lelaki itu mengangkat kepalan tangan kanan, membawanya ke mulut. Beberapa batukan menyusul.

              “Bolehkah aku memanggilmu ‘Guru’?”

              Aslim dilihat tersengih, namun pandangannya tetap tidak berkalih dan langkahannya tetap tidak terhenti. “Suka hati.”

              Perutnya masih pedih, tekaknya masih perit, tubuhnya masih terasa lemah, tetapi itu semua tidak menghalang dia dari menuruti langkahan pendekar hebat di hadapannya.

              Perlahan-lahan Rusyd mengiringi Aslim.

              Memulakan perjalanan baharu dalam kehidupannya.

              Perjalanan yang menjanjikan pembelaan terhadap ayahanda dan bonda!