Bab 1 – Mengorak Langkah

“Tatkala seseorang itu mula mengorak langkah,
meninggalkan segala kebiasaan tingkah,
maka terbukalah kepadanya dunia,
dan segala kemungkinannya.”

“Guru!”

Dia sedikit melaung. Tiada sahutan. Rusyd memasukkan beberapa gulungan pakaian di dalam karung, sebelum karung itu diikat dan diangkat ke belakang tubuh.

              Dia bangkit dan bergerak ke dinding paling hampir. Di situ tergantung sebilah pedang. Lurus. Sederhana gaya dan ukirannya. Pedang itu dipegangnya kemas menggunakan tangan kiri.

              Rusyd berhenti sejenak, memandang segenap sudut bilik tempat dia berdiri.

              Bilik ini tidak luas. Hanya memuatkan tilam nipis tanpa katil untuk seorang, dihimpit tiga dinding yang diperbuat daripada buluh. Dua hasta dari tilam, merupakan pintu masuk. Di sinilah Rusyd melepaskan kepenatan hampir setiap hari sepanjang sedekad ini.

              Nafas dihela. Terlalu banyak memori.

              Tidak lama kemudian, Rusyd berpaling.

“Guru!”

Dia melaung lagi. Masih tidak bersahut. Rusyd menggeleng. Dia melangkah keluar dari bilik, merentasi teratak yang juga tidak sebesar mana. Teratak ini dibuat daripada pelbagai jenis kayu. Asalnya hanya memiliki ruang seluas dua depa insan dewasa, bumbung dan lantai, bersama anjung kecil di luar rumah dan sebuah bilik tafakur.

              Bilik yang dihuni Rusyd ini, asalnya merupakan bilik tafakur tersebut.

              Sebelum bergerak keluar, Rusyd sempat memerhatikan sekeping papan yang melekat sebagai para pada dinding ruang tamu. Dinding di sekeliling para itu dipenuhi banyak bingkai lukisan yang bertemakan pemandangan dan suasana. Manakala di atas para, tidak wujud barang lain di situ kecuali sebuah objek berbentuk silinder, tidak terlalu panjang dan berwarna hitam.

              Sepanjang sedekad berada di sini, Rusyd tidak pernah diberitahu akan apa gerangannya objek tersebut. Pernah beberapa kali Rusyd cuba mencungkil rahsia daripada gurunya, tetapi gurunya tidak pernah membuka mulut memberikan jawapan.

              Rusyd turun dari anjung, melepaskan pandangan ke sekeliling.

              Teratak ini terletak di atas sebuah gunung yang amat tinggi. Persekitaran teratak ini menenangkan. Punyai pelbagai flora indah berwarna-warni. Pertama kali tiba ke mari, pemandangan indah inilah yang menghapus segala kepenatan dirinya, yang ternyata mengalami pelbagai kesukaran untuk naik ke puncak.

              Ketika itu Rusyd menyangka, dirinya telah mati dan dihantar ke syurga.

              Rusyd tersengih mengingati memori itu.

              Rusyd bergerak ke belakang. Luar kawasan yang indah ini, rumah ini dikelilingi hutan tebal yang meliputi hampir keseluruhan gunung tersebut. Belantara di atas puncak gunung ini tidak terlalu luas dan padat, serta wujud mata air, yang menjadi sumber kepada air terjun di bawah sana.

              “Guru!”

Rusyd memanggil buat kesekian kali. Sekiranya Guru tidak berada di teratak atau sekitarnya, dia yakin gurunya berada di dalam belukar tidak jauh dari mata air tersebut. Antara kegemaran gurunya adalah melukis gambar pemandangan dan suasana.

Amat aneh apabila difikirkan semula seorang pendekar seperti gurunya itu punya kelebihan sebagai seorang pelukis.

 Tetapi gurunya juga ada tabiat dan kebiasaan lain yang pelik.

              “Di sini!”

Kali ini, laungannya bersahut. Benar telahannya. Namun, matanya tidak menangkap kelibat Guru. Tetapi Rusyd tidak panik, kerana ini adalah kebiasaan sekiranya dia terpaksa mencari gurunya hingga ke mari.

              Rusyd mendekati satu kawasan lapang di tengah-tengah belukar. Tidak jauh dari kawasan ini, jelas terlihat kolam yang terhasil dek mata air yang wujud. Juga sungai kecil yang terbentuk, menghala ke tebing puncak, sedikit terselindung di balik pokok-pokok yang wujud di luar kawasan lapang.

              Rusyd terus melangkah di kawasan lapang tersebut sehingga dia menemui sebuah lubang persegi panjang. Tanpa perlu mengukurnya pun, Rusyd telah tahu bahawa lubang itu tujuh kaki dalam. Rusyd memandang ke dalam lubang.

              Kelihatan sebatang tubuh berbaring di dalam lubang tersebut. Wajah ditutupi topi jerami. Tubuh diselimuti kain. Jika orang tidak tahu, pasti orang menyangka itu ialah mayat yang sedia untuk ditanam.

              Tetapi Rusyd tahu, itulah Aslim.

              Ini adalah sebab mengapa teratak Aslim tidak mempunyai bilik selain daripada biliknya. Gurunya tidak akan berbaring atau tidur, selain di dalam lubang ini. Awal-awal pengenalan mereka, Rusyd menganggap ini ialah ritual pelik dan menakutkan. Seakan-akan gurunya mengambil semangat daripada tanah dan punya perjanjian dengan mambang-mambang tertentu.

              Tetapi kemudiannya Rusyd belajar bahawa itu ialah kubur. Aslim sering tidur di dalamnya untuk mengingatkan diri sendiri akan kematian.

              “Sudah mahu berangkat?”

Suara Aslim kedengaran, diikuti batuk-batuk kecil. Kemudian, tangannya keluar menarik topi jerami dan mempaparkan wajah.

              Rusyd mengangguk.

              Wajah Aslim tidak berubah seperti mana yang diingatinya pada pertemuan pertama mereka. Walhal umur Aslim sudah menghampiri enam dekad. Apabila Rusyd pertama kali mengetahui umur Aslim, dia terkejut dan pernah bertanya rahsia awet muda gurunya itu. Aslim bergurau bahawa itu adalah natijah ilmu persilatan yang diamalkannya. Rusyd jelas itu hanyalah gurauan kerana sengihan dan tawa Aslim selepas itu membenarkan taakulannya.

              Aslim bangkit daripada perbaringan. Tubuh pendekar itu kemudiannya berada di udara sebelum mendarat di sisi Rusyd.

              “Engkau tahu aku tidak menyokong tindakanmu ini.”

              Rusyd mengangguk. Gurunya itu dipandang tepat-tepat. Tidak seperti pada hari-hari terawal dia di sini, kini setiap kali berbicara dengannya, Aslim akan menurunkan topi jerami yang dipakai. Rusyd menganggap itu tanda Aslim menghormatinya.

              “Ada kemungkinan pendekar-pendekar yang engkau buru itu tidak lagi wujud. Mungkin sudah terbunuh.”

Aslim melepaskan pandangan ke hadapan. Kemudian, sekali lagi dia batuk-batuk.

              Rusyd menggeleng. “Mereka pastinya daripada kumpulan tertentu atau sekolah tertentu. Jika mereka telah tiada, maka kumpulan atau sekolah mereka yang aku buru.”

              Aslim menggeleng. “Sepanjang kita bersama, aku tetap tidak dapat melenturkan dendammu itu.” Nafas dihelanya panjang. Rusyd dapat merasai ada penyesalan tersisip pada helaan nafas gurunya itu. “Dendam hanya …”

              “… akan membawa kepada kerosakan.” Rusyd menyambung. Ayat itu telah diulangi entah berapa ribu kali oleh gurunya sepanjang sedekad ini. “Tetapi aku tidak dapat melepaskan kematian ayahanda dan bondaku begitu sahaja. Sedekad sudah aku memendam rasa. Kini latihanku telah tamat. Guru sudah mengiktiraf kebolehanku. Maka masanya telah tiba.”

Rusyd mengepal penumbuk kiri, sambil tangan kanan kemas memegang karung dan tali sarung pedang.

              “Aku sudah berjanji bahawa aku tidak akan memaksamu menuruti kehendakku. Engkau berhak membuat pilihan. Tetapi ingat, Rusyd. Kita bertanggungjawab atas jalan yang kita pilih.”

Aslim menghalakan pandangan ke arahnya.

              Pandangan mereka bertaut. Dapat dirasakan kasih dan sayang, rasa ambil berat dan kisah, daripada gurunya itu.

              Rusyd mengangguk.

              Aslim kemudian mencapai tangan kanan Rusyd, ditekapkan tangan mereka ke dada Rusyd.

              “Jangan sesekali diangkat tanganmu pada anak kecil, perempuan dan orang tua yang tidak berkemampuan. Jangan sesekali diangkat tanganmu pada orang-orang yang bukan pendekar. Bersumpahlah.”

              Mata Aslim tajam menentang pandangannya. Tanda serius dan tidak bermain-main. Walaupun tidak disebut, tetapi Rusyd tahu bahawa pandangan itu turut bersamanya ancaman. Sekiranya sumpah itu dilanggar, Aslim sendiri akan menguruskannya kelak.

              “Aku bersumpah, guru.”

              Aslim mengangguk. Tangannya dilepaskan. Batuk-batuk menjadi selingan.

“Pergilah. Dan aku masih berdoa agar Tuhan membantumu keluar daripada kesumat.”

              Rusyd tersengih.

“Sedekad telah berlalu, dan rasa itu masih ada. Bermakna, Tuhan mahu aku terus berdendam, guru. Bilakah engkau mahu memahaminya?”

              Aslim turut tersengih, tetapi kini pandangannya dilepaskan ke hadapan, wajah mereka tidak bertentangan.

“Yang aku lihat, kita memutuskan tindakan kita. Tuhan hanya memberikan petunjuk.”

              “Maka, di manakah petunjuk Tuhan untuk aku keluar daripada kesumat ini?”

              Aslim tertawa. Jarang Rusyd melihat gurunya itu tertawa. Gigi Aslim hingga kelihatan. Aslim menepuk-nepuk dadanya sendiri.

              “Sepatutnya aku telah cukup sebagai petunjuk Tuhan kepadamu.”

              Rusyd tertawa. Menggeleng.

              “Selamat tinggal, guru.”

              “Selamat tinggal, Rusyd.”

              “Moga kita bertemu lagi, guru.”

              Rusyd berpaling, tidak menanti bicaranya dibalas. Segera dia melangkah menjauhi Aslim. Selepas beberapa hasta, dia menoleh ke belakang. Gurunya masih berdiri di situ. Memandang kepadanya dengan riak wajah yang tidak dapat diterjemah, sebelum riak wajah itu terganggu dengan batukan.

              Rusyd kembali melayarkan pandangan ke hadapan.

              Fokusnya kini ialah melunaskan hutang yang tertunggak.

              Darah dibalas darah!

              Dan dia kini telah bersedia.

***

Dua minggu telah berlalu semenjak dia meninggalkan gunung tempat dia bertapa sedekad ini. Rusyd berjaya turun dari pergunungan tersebut dan merentas keluar hutan belukar yang mengelilinginya, menjejakkan kaki di atas jalan berturap tanah, yang jelas digunakan oleh orang ramai untuk bergerak daripada satu tempat ke satu tempat.

              Jalan itu dihimpit kiri dan kanan oleh hutan yang tebal.

              Rusyd bergerak menelusuri jalan tersebut. Langkahannya bersahaja. Dia tidak tergesa-gesa. Lapar dan dahaga sudah diuruskan dengan makanan dan mata air yang ditemui sepanjang perjalanan merentasi hutan. Dia juga tidak memerlukan makanan yang banyak, memandangkan Aslim telah melatihnya untuk mengawal lapar dan dahaga.

              Rusyd membawa langkahannya menuju sebuah bandar. Terletak kira-kira tiga hari perjalanan dari sini. Rusyd tahu akan jarak dan kedudukan bandar tersebut, kerana ini bukan kali pertama dia turun dari pergunungan.

              Aslim kadangkala akan membawanya turun, dan mereka akan menziarahi bandar berdekatan – yang hakikatnya tidaklah terlalu dekat dari tempat pertapaan mereka.

              Aslim pernah menyebut bahawa itu bukan kebiasaannya. Tetapi semenjak kehadiran Rusyd, dia menjadikan kembara ke bandar itu suatu rutin, kerana Aslim tidak mahu Rusyd terputus daripada perkembangan tamadun dan rasa bersama manusia.

              “Bukankah engkau juga manusia, guru?”

              Aslim tersengih. “Engkau perlu melihat orang lain. Wanita, kanak-kanak, orang tua yang lemah. Peniaga-peniaga, pekerja-pekerja. Orang ramai yang tujuannya hanya untuk berjaya meneruskan kehidupan pada hari esok, memenuhi keperluan diri dan keluarga. Dunia ini tidak dipenuhi para pendekar sahaja.”

              Aslim percaya bahawa dengan itu, Rusyd akan mendewasa sambil mempunyai jiwa. Kisah akan orang lain. Memahami cabaran dunia. Di samping tidak jauh dengan perkembangan semasa.

              Tetapi tidak selalu. Itu hanyalah rutin berbentuk tahunan. Setahun, hanya sekali atau dua kali mereka akan turun dari pergunungan. Mereka juga tidak pernah pergi ke tempat lain, selain bandar yang sedang dituju oleh Rusyd.

              Rusyd merancang untuk menyusun perjalanan yang seterusnya apabila dia sampai ke bandar itu kelak. Di bandar tersebut, wujud tempat yang memang diketahui Rusyd, mempunyai kemungkinan tinggi untuk dia memperolehi maklumat utama bagi menyempurnakan misinya.

              Tiba-tiba, telinga Rusyd menangkap bunyi sesuatu. Lamunannya terganggu. Daripada bunyi yang didengari, dia dapat menjangka dengan tepat itu semua ialah pergerakan manusia. Kini berdesup berselindung antara satu pokok ke satu pokok, di kiri dan kanan jalan.

              Rusyd membilang. Lima orang.

              Rusyd menghentikan langkah.

              Tidak lama kemudian, lima susuk tubuh berpakaian serba hitam, wajah tertutup hampir keseluruhan kecuali pada bahagian mata, melompat keluar dari hutan dan mendarat di hadapannya.

              Rusyd dapat melihat mereka bersenjatakan sabit yang terikat pada hujung batangnya gari panjang. Pada hujung gari tersebut, terdapat bebola besi kecil.

              Tanpa amaran, mereka terus melemparkan gari masing-masing ke arah Rusyd. Rusyd pantas mengelak, tetapi salah satu gari berjaya melilit senjatanya. Apabila senjata itu mahu dirampas pergi, Rusyd segera memegang tali sarung pedangnya, mengakibatkan gari tadi menjadi tegang.

              “Mungkin jika engkau lepaskan senjata itu, nyawa engkau boleh kami lepaskan juga.” Pemilik gari yang melilit senjatanya itu bersuara.

Empat yang lain telah menarik kembali gari masing-masing, dan kini memutarkan bebola besi kecil pada tangan kiri, manakala tangan kanan kemas memegang batang sabit.

              “Lima lawan satu, bukan pertempuran yang adil, kau tahu.” Salah seorang lagi bersuara.

              “Benar. Tidak adil.” Rusyd menjawab. Tenang. “Kerana lima orang macam kalian tidak cukup untuk berhadapan aku seorang.” Senyuman terukir lebar.

              Rusyd dapat melihat mata musuh-musuhnya terbeliak.

              “Berlagak!”

Mereka melemparkan bebola besi itu ke arahnya. Rusyd mengelak dengan tangkas dan bersahaja. Kesemua bebola besi itu tidak berjaya menyentuh tubuhnya.

              Rusyd kemudiannya menggerak-gerakkan tangan kiri, melilit gari yang memasung senjatanya. Gari itu dipegang erat, sebelum direntap ke arah tubuhnya. Pemilik senjata tersebut terkejut apabila tubuhnya terbawa ke hadapan.

              Tanpa rasa gentar, Rusyd mara, telapak tangan kirinya mendarat ke perut musuh.

              Musuh itu terbelahak sebelum memuntahkan darah, lalu terjelepuk melutut di hadapan Rusyd sebelum jatuh menyembah bumi.

              Empat rakannya yang lain terkejut.

              Rusyd melepaskan belitan gari pada senjatanya.

              “Aku tidak tahu akan keadaan kalian, tetapi jika kekuatan kalian sama seperti dia ini, aku nasihatkan kalian berhenti.”

Rusyd menuding kepada musuh yang sudah terkulai di telapak kakinya.

              “Organ-organnya pecah akibat gegaran yang dihantar oleh tepukanku tadi. Tandanya, dia tidak cukup latihan untuk menerima tepukan sedemikian rupa. Kalian ini hanya pendekar hingusan.”

              Rusyd menggeleng.

“Mungkin kerana itu kalian memilih untuk menjadi perompak.”

Dia melangkah ke hadapan, melepasi keempat-empat musuh yang terpana.

              “Aku nasihatkan kalian berambus.”

Rusyd menoleh ke belakang dan menjegil.

              Terus keempat-empat musuh itu melompat menjarakkan diri daripada Rusyd, seakan-akan Rusyd mahu menyerang mereka. Walhal, Rusyd tidak berbuat apa-apa selain daripada menghantar jegilan mata.

              “Adakah … engkau Legenda?” Salah seorang daripada mereka terketar-ketar bersuara.

              “Mustahil dia semuda ini!” Rakan di sebelah empunya suara menepuk lengan rakannya itu.

              “Engkau tidak nampakkah apa yang dia lakukan?” Seorang lagi rakan mencelah. “Hanya dengan satu serangan, dia menumpaskan rakan kita ini. Ini bukan kehebatan orang biasa-biasa!”

              Rusyd mengerutkan dahi. “Legenda?”

              “Pendekar terhebat dunia persilatan. Hanya seorang yang layak memegang gelaran tersebut.”

              Sengih mengoyak bibir. Rusyd menggeleng. “Bukan.”

Empat orang itu saling berpandangan.

“Sudah. Kalian mahu berambus, atau mahu bersambung?”

Rusyd memanjangkan tangan kiri, dengan jari jemari digerak-gerakkan seakan menjemput sekiranya ada lagi serangan mahu ditujukan kepadaya.

Keempat-empat perompak itu menggeleng cemas.

“Rakan kalian masih hidup. Tetapi mungkin akan cacat seumur hidup. Angkut dia sekali, dan jangan sehingga kita berjumpa lagi.”

Keempat-empat perompak itu mengangguk tergesa-gesa dan segera mengangkat rakan mereka yang tumbang. Mereka berangkat pergi dari tempat itu sepantas mungkin, dan hilang di celah-celah hutan.

Rusyd menyambung perjalanan.

“Legenda, huh?”

Dia tidak tahu wujudnya gelaran tersebut. Mungkin kerana kebanyakan masanya dihabiskan di puncak pergunungan bersama-sama Aslim. Tetapi Aslim pun tidak pernah menceritakan hal gelaran itu kepadanya. Setiap kali mereka turun, dia pun tidak mendengar akan hal gelaran tersebut. Mungkin juga kerana mereka tidak pernah meluangkan masa terlalu lama dikelilingi orang ramai di bandar.

Tetapi entah mengapa, gelaran itu seperti berbekas dalam jiwanya.

Apakah gelaran itu benar-benar wujud?

Pendekar terhebat di atas muka bumi.

Senyuman Rusyd melebar.

Mungkin dia patut cuba menyandang gelaran tersebut.

Jika Ayahanda dan Bonda masih hidup, bukankah itu akan membanggakan mereka?

***

Bandar ini damai. Tenang. Tidak sempit. Warganya juga tidak terlalu ramai. Bangunan di sini serba putih, dibina berjarak antara satu sama lain, dan tidak wujud binaan yang tinggi.

              Alben.

              Itu nama bandar kecil ini. Ia bandar tidak terkenal, yang bernaung di bawah sebuah wilayah bernama Liro, salah satu daripada lima wilayah yang terdapat dalam Kerajaan Inlectus.

              Dunia hari ini dikuasai oleh empat kerajaan.

              Inlectus di timur, Sanctus di barat daya, Imperium di barat laut, dan Magnum yang menguasai tenggara.

              Setiap Kerajaan terdiri daripada wilayah-wilayah, dan wilayah-wilayah terdiri daripada beberapa bandar. Kecuali Sanctus, yang sekadar mempunyai satu bandar bernama Sancta Civitate – Kota Suci. Mengikut pembacaan Rusyd, Sanctus ialah Kerajaan yang dipenuhi padang pasir dan Sancta Civitate terletak di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas itu.

              Rusyd mengetahui semua itu kerana dalam pertapaannya sedekad ini, antara yang ditekankan oleh Aslim ialah membaca.

              Tegas Aslim, membaca itu cahaya, kerana ilmu itu petunjuk.

              Setiap kali mereka turun ke Alben, antara yang dibeli oleh Aslim ialah buku-buku untuk dibaca oleh Rusyd.

Tetapi Rusyd hanya membaca apabila dipaksa oleh Aslim. Walaupun dia dapat menangkap dan mengingati apa yang dibacanya dengan mudah, dia tidak berminat dengan aktiviti tersebut kerana fokusnya hanyalah untuk memperkasakan diri.

              Pun begitu, hari ini dia melawan rasa tidak minat tersebut, membawa dirinya berdiri di hadapan kedai buku yang sering diziarahi Aslim setiap kali mereka turun dari pergunungan.

              Belum pun sempat Rusyd sampai ke kedai, namanya dilaung seorang wanita tua, bertubuh sedikit gempal dan bercermin mata, yang kini melambai-lambai ke arahnya.

              Rusyd melempar senyuman dan membalas lambaian tersebut.

              Sebaik sahaja dia memasuki ruangan kedai, terus wanita itu memeluknya. “Aah, anak muda. Apa khabar engkau?”

              “Baik-baik sahaja, Lucerna.”

Rusyd menundukkan sedikit tubuh dan menggosok-gosok lembut belakang tubuh wanita tua itu. Pelukan terlerai. Wanita tua itu memanjangkan leher, cuba melepaskan pandangan di sebalik tubuh Rusyd.

              “Guru tidak bersamaku kali ini.” Rusyd perasan akan tindak tanduk wanita tua di hadapannya.

              “Ah?” Riak wajah Lucerna seperti kecewa. “Mengapa?”

              “Pertapaanku telah pun tamat, Lucerna. Aku dan Guru telah berpisah.”

              “Oh.” Lucerna mengangguk. Wajahnya sedikit durja. “Sayangnya. Jika begitu, entah bila lagi aku akan dapat bertemu dengannya.”

Suasana tidak lama kemudian diceriakan kembali dengan senyuman keibuannya.

“Ah, Rusyd, santunilah tempat ini seperti biasa. Aku akan menjamumu dengan kopi kegemaran.”

Rusyd tersenyum lebar dan mengangguk.

              Aslim tidak punya hubungan dengan sesiapa. Namun, semenjak keberadaan Rusyd dengannya, Guru mula turun dari pergunungan sekali atau dua kali setahun bersama-sama Rusyd. Kedai buku Lucerna adalah lokasi persinggahan wajib bagi mereka.

              Hanya Lucerna yang mereka pernah kongsikan keberadaan mereka sebenarnya. Itu pun, kerana Lucerna telah lama mengenali Aslim sebelum pendekar itu memutuskan hubungannya dengan dunia luar, dan bertapa di atas puncak gunung berseorangan.

              Hasil pertemuannya dengan Lucerna beberapa kali selama ini, Rusyd dapat menjangka yang Lucerna jauh lebih berusia berbanding Aslim. Rusyd menjangka usia Lucerna sekitar 80-an atau 90-an. Tetapi Lucerna tidak pernah berkongsi akan usianya yang sebenar. Cuma Aslim kelihatan amat menghormati wanita ini, dan memanggilnya dengan gelaran ‘Bonda’.

              Tinggal apabila Rusyd mahu menggelarnya dengan ‘Nenda’, Lucerna meminta dia sekadar memanggil namanya sahaja.

Berdekad-dekad yang lalu, Aslim telah tiba ke kedai Lucerna, dan meminta panduan untuk mencari tempat bertapa yang tidak pernah dikunjungi, dan sukar didatangi orang ramai.

              Lucerna-lah yang telah mencadangkan Puncak Tanpa Nama, memandangkan itu puncak tertinggi di Inlectus, ditutupi awan tebal sepanjang masa, bahkan tidak terlihat dari kejauhan dek kerana sering diselimuti kabus. Tidak ramai yang tahu akan kewujudan Puncak Tanpa Nama, kecuali orang-orang yang berilmu dan rajin membaca, seperti Lucerna.

              Kerana itu, Rusyd membuat keputusan untuk singgah ke tempat ini sebelum menyambung perjalanan.

              Dia memerlukan petunjuk daripada Lucerna.

              Sementara Lucerna menyiapkan minuman panas buatnya, Rusyd masuk ke deretan almari dan mencari buku yang dikehendaki. Di dalam kedai Lucerna, terdapat bermacam-macam jenis buku yang memberikan bermacam-macam jenis maklumat. Ada berkenaan makanan, ada berkenaan lokasi, ada berkenaan peristiwa, ada berkenaan seni persilatan dan macam-macam lagi.

              Alang-alang, Rusyd mahu mendapatkan maklumat berkenaan gelaran ‘Legenda’ yang didengarinya daripada perompak-perompak picisan tempoh hari.

              “Apa yang engkau cari, Rusyd?”

Lucerna muncul bersama-sama sebuah teko dan dua buah cawan, yang ditatang kemas di atas dulang, sebelum diletakkan di sebuah meja kecil yang diapit beberapa kerusi kayu.

              Rusyd menoleh ke arah Lucerna sambil tangannya meletakkan kembali buku yang dipegang.

              “Ah, aku ingin mencari maklumat berkenaan ‘Legenda’.”

              Wajah Lucerna berubah. Spontan Rusyd menjangka yang wanita tua itu mengetahui sesuatu.

              “Apa itu, Lucerna? Mengapa Guru tidak pernah berbicara akannya? Aku pun baru mendengarinya apabila ada sekumpulan pendekar picisan mahu merompak aku di tengah-tengah perjalanan tadi.”

              Lucerna mengukir senyuman kecil. “Apakah mereka menerima pengakhiran yang buruk akibat perbuatan mereka itu?”

              “Salah seorang daripada mereka sudah pasti akan lumpuh seumur hidupnya.”

              Lucerna menggeleng. Daripada wajahnya, jelas dia tidak berminat dengan apa yang dilakukan Rusyd. Tetapi Rusyd mengabaikan sahaja penolakan Lucerna. Rusyd maklum yang Lucerna tidak menyokong kehidupan ganas para pendekar.

              Tetapi anehnya, wanita tua ini tetap menumpahkan kasih sayangnya kepada dia dan Aslim, dan meraikan mereka setiap kali mereka ke mari.

              “Lucerna, apa itu ‘Legenda’?”

Rusyd berusaha untuk kembali ke topik asal. Namun, jelas kelihatan Lucerna berat untuk menjawab persoalan tersebut. Wanita itu menghela nafas panjang dan menunduk buat beberapa ketika. Rusyd tidak menggesa. Dia memberikan ruang untuk Lucerna berbicara.

              “Engkau tidak akan berjumpa dengannya di dalam buku-buku. Kerana ia tidak pernah tertulis di mana-mana.”

              “Oh?” Rusyd tertarik, lantas membawa tubuhnya mendekati Lucerna, dan duduk di salah satu kerusi berhampiran meja.

              Lucerna segera mencapai teko dan menuangkan kopi ke dalam cawan. Tanpa dipelawa, Rusyd mencapai cawan tersebut, dan meminumnya kala masih panas. Sebaik sahaja kopi itu melewati tekak, Rusyd tersenyum.

“Kesedapannya tidak pernah pudar, Lucerna.”

              Wanita tua itu tersenyum. Seperti seorang ibu yang puas hati melihat anaknya gembira. Namun, wajah ceria itu kembali durja, kerana jelas bicara seterusnya tidak digemarinya.

              “‘Legenda’ ialah satu gelaran, yang diburu oleh setiap pendekar di dunia ini.”

              “Oh?” Kedua-dua kening Rusyd terangkat. Kopi dihirup lagi, sambil pandangannya terpaku pada Lucerna, menanti maklumat seterusnya.

              “Hal berkenaannya hampir sahaja hilang daripada ingatan  orang awam, kerana semenjak tiga dekad lalu, dikhabarkan tidak ada seorang pun yang berjaya menyandang gelaran tersebut.”

              “Sebentar, bagaimana seseorang itu boleh menyandang gelaran tersebut?”

              Bebola mata Lucerna bulat menembusi kaca matanya, betul-betul tepat mendaratkan pandangan kepada Rusyd.

              “Dengan membunuh penyandang sebelumnya.”

              Rusyd meletakkan cawannya yang telah kosong. Lucerna spontan mencapai teko dan mengisi cawan itu kembali.

              “Semuanya bermula dengan idea mencari pahlawan terhebat di dunia, 100 dekad yang lampau. Keempat-empat kerajaan yang wujud di atas muka bumi ini bersetuju dengan idea tersebut, dan sama-sama menganjurkan sebuah acara.”

              Rusyd mendengar khusyuk sambil tangannya mencapai cawan. Kopi dihirup sambil dia membenarkan Lucerna bercerita.

              “Semua sekolah dan organisasi persilatan menghantar wakil ke sebuah pertandingan dan pemenang pada pertaringan itu diberikan gelaran ‘Legenda’. Bermula daripada saat itu, penyandang gelaran ‘Legenda’ perlu hidup dengan menerima ancaman sentiasa, kerana, sesiapa yang berjaya membunuhnya akan menjadi penyandang seterusnya.”

              Rusyd menghirup kopi, tidak mencelah.

              “Penyandang gelaran ‘Legenda’ mendapat kelebihan yang banyak. Keempat-empat kerajaan akan memberikannya wang yang banyak, rumah yang besar lagi mewah di mana sahaja yang dimahukan, dan dianggap sebagai orang penting di dunia ini.”

              “Menarik.” Rusyd tertarik. “Hairan mengapa Guru tidak pernah langsung berbicara akannya. Walhal dia seorang pendekar yang teramat hebat.”

              Lucerna tersengih. Menggeleng. “Mungkin dia tidak pernah berminat.”

              “Atau mungkin dia tidak mahu mencabar orang yang lebih hebat daripadanya?”

Rusyd tertawa kecil. Cuba membayangkan orang yang lebih hebat daripada Aslim. Mustahil. Baginya, kehebatan Aslim sudah tidak ada taranya. Jika wujud penyandang ‘Legenda’, pastinya orang itu lebih hebat daripada Aslim!

              “Atau kerana penyandang gelaran itu sendiri telah menghilangkan diri.”

              “Oh?”

              “Ya, kerana itu selama tiga dekad ini, tidak ada yang menyandang gelaran tersebut kerana tiada siapa yang telah berjaya membunuh penyandang gelaran itu, atau sekurang-kurangnya menjumpai kuburnya.”

              “Mengapa dia menghilangkan diri?”

              Lucerna menggeleng. “Mungkin sudah bosan dengan kehidupan seorang ‘Legenda’.”

              “Bosan? Bagaimana seseorang itu boleh bosan dengan pangkat setinggi dan semulia itu?” Rusyd tertawa. Tidak mengerti.

              “Ia gelaran yang hadir bersamanya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Hampir setiap hari akan ada orang cuba mencabut nyawa Sang Penyandang.”

              “Tetapi jika dia benar-benar seorang jaguh terhebat, maka itu bukan masalah, bukan? Bahkan kehidupannya akan sentiasa penuh dengan aksi.”

              Rusyd meletakkan cawannya yang sekali lagi telah kering. Lucerna mencapai teko untuk menambah isi cawan tersebut, tetapi Rusyd mengangkat tangan, tanda sudah cukup.

              Lucerna tersenyum, kemudian bangkit menatang talam.

              “Engkau mungkin terlalu muda, dan tidak memahaminya.”

              Rusyd sekadar membalas dengan senyuman.

              Apabila kelibat Lucerna menghilang di sebalik dinding, Rusyd teringat akan seperkara lagi yang perlu ditanya kepada Lucerna. Tujuan asalnya ke mari.

              “Lucerna!” Rusyd separa melaung.

              “Ya, anakanda,” Lucerna keluar dari balik dinding.

              “Sebenarnya tujuan asalku datang ke mari ialah untuk bertanya akan lambang ini.” Rusyd mengeluarkan sekeping kertas daripada kain yang mengelilingi pinggangnya.

              Lucerna membetulkan kaca matanya. Memandang lambang segi tiga yang memagari sebuah bulatan, seterusnya di dalam bulatan tersebut terdapat tiga garisan.

              Lucerna memandang kepada Rusyd. Nafasnya dihela panjang.