Bab 2 – H.E.R.O.

Kadang kita menanti,
Sang Hero turun dari langit,
Rupa-rupanya dia ialah,
Diri kita yang telah bangkit!

Afam menyilang tangan di atas dada sambil bersandar selesa. Kedua-dua belah kaki dilunjurkan, merehatkan tumitnya berhampiran papan kekunci.

              Matanya tekun memerhati skrin gergasi di hadapannya yang mempaparkan berita terkini berkenaan kematian tahanan di dalam penjara. Telinganya khusyuk menangkap setiap butir maklumat yang dikeluarkan oleh pembaca berita.

              Skrin-skrin kecil yang terdapat di kiri dan kanan skrin gergasi itu pula mempaparkan rakaman video keselamatan daripada pelbagai sumber, bermula di bangunan Amir & Co, kamera AES di jalan raya, kamera ATM, kamera di tempat pendaftaran banduan serta kamera CCTV yang menunjukkan keempat-empat sel yang menempatkan para tahanan itu.

              “Minum, Afam.”

Pak Arbi meletakkan dulang kecil yang menatang cawan dan teko. Oleh kerana terlalu khusyuk, Afam tidak memberikan sebarang reaksi dan respons. Pak Arbi mengambil tempat di kerusi bersebelahan Afam, menyertai pemuda itu memerhatikan skrin-skrin di hadapan mereka.

              “Licik.”

Pak Arbi memberikan komentar berdasarkan analisis yang dipamerkan pada satu sudut skrin gergasi. Komputer di hadapan mereka ialah komputer super, dibina sendiri oleh Dato’ Amir Muiz. Sepanjang dua tahun ini, sudah ditambahbaik oleh Afam sendiri. Afam pernah berkata, itu komputer super termaju di dunia. Tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Kini komputer tersebut sedang melakukan imbasan terhadap rakaman-rakaman yang terpapar, kemudian menterjemahkannya dalam bentuk data yang mudah difahami.

              Hasil daripada data yang dipamerkan, Pak Arbi mengetahui yang pembuat onar tidak meninggalkan sedikit pun kesan untuk jejaknya diekori.

              Afam menurunkan kaki. Badan ditegakkan lalu tangannya bergerak mencapai cawan di atas dulang. Kopi. Tanpa bersuara sedikit pun, dia menghirup minuman tersebut sambil matanya masih setia pada skrin. Satu persatu data analitikal yang terpamer dibacanya dengan teliti.

              Cawan diletakkan semula. Habis. Afam bangkit.

              “Ada orang dalam.”

Afam bergerak ke arah peranti hologram. Dengan satu hayunan tangan, komputer tersebut hidup. Afam menggerak-gerakkan tangan. Carta hierarki organisasi penjara itu terapung di udara. Tangannya kembali bersilang di atas dada. Sekali-sekala tangan kanannya digerakkan, membuatkan imej yang terapung-apung itu bergerak, bertukar daripada satu imej ke satu imej yang lain. Semuanya imej mereka yang berkuasa di penjara tersebut.

              “Tiada orang dilihat mendekati banduan-banduan tersebut semasa mereka berada dalam sel.” Pak Arbi mendekati Afam. “Pak Arbi yakin tiada dalam kalangan pegawai yang berkuasa mendekati mereka semenjak semalam.”

              “Saya sudah imbas tubuh mereka. Tiada sianida atau sebarang implan yang membolehkan mereka dikawal dari jauh.”

Kedua-dua belah tangan direhatkan pada peranti hologram itu, menopang tubuhnya. Ternyata Afam nampak kecewa.

Bahu Afam dipaut Pak Arbi. “Bersabarlah.”

               “Nak sabar berapa lama lagi, Pak Arbi? Sudah dua tahun. Dua tahun! Bukan mudah nak dapatkan ahli Syaitan Bertopeng. Apabila ada peluang, ia dirampas oleh orang yang korup. Jahanam!”

Afam menghentakkan konsul peranti hologram itu.

“Kenapa kita perlu selamatkan rakyat negara ini? Sampai bila saya perlu pakai sut itu?”

Afam menjuihkan bibir ke arah sut-sut Hero yang tergantung dalam balang.

“Masyarakat angkat pemimpin korup, biar mereka rasa hasil tangan mereka sendiri. Kita kaya, Pak Arbi, sangat kaya. Kita boleh bawa duit kita keluar dan hidup di luar negara. Tak perlu fikir lagi masa hadapan negara yang tak boleh diselamatkan ini!”

              Pak Arbi sekadar mengukir senyuman. Bahu kanan Afam diurut lembut, sebagai tanda orang tua itu memahami dilema yang dihadapi anak muda itu.

              “Kerana itu, kita tak boleh berputus asa, Afam. Dato’ Amir Muiz dan rakan-rakannya faham akan perkara ini. Mereka ahli perniagaan berjaya. Sangat berjaya. Jika mereka mahu, segala teknologi yang mereka hasilkan, segala idea canggih yang mereka punyai, sudah pasti mereka berikan kepada pihak yang mampu bayar dengan harga yang berkali ganda lebih mahal. Kepada Amerika contohnya. Tetapi tidak, mereka masih di Malaysia. Walaupun teruji dengan perangai para kleptokrat yang menguasai negara, mereka tabah dan cekal. Berusaha memberikan kedayaan kepada masyarakat untuk hidup, menyuntik pelaburan untuk memacu ekonomi negara.”

              “Ya, ya, saya tahu itu semua. Tetapi untuk apa dan sampai bila?”

              “Untuk menyelamatkan ummah, Afam. Sampai kiamat, perjuangan ini tak akan berakhir.”

              “Tetapi kebanyakan mereka sudah tiada!”

              “Kerana itu, orang muda seperti Afam, diharapkan mewarisi perjuangan ini. Mereka sangat memahami, bahawa mereka hanya salah satu rantai daripada rantai perjuangan yang panjang. Mereka pun hanya meneruskan perjuangan orang-orang sebelum mereka. Demikianlah orang-orang sebelum mereka. Perjuangan menyelamatkan ummah inilah sunnah Rasulullah yang termulia.”

              Afam terdiam. Kena ceramah lagi, getus hatinya. Namun entah mengapa, kata-kata Pak Arbi itu sedikit sebanyak memujuk.

              “Saya hanya mahu cari siapa yang bertanggungjawab terhadap konspirasi ini. Saya mahu menuntut bela kematian kedua-dua orang tua saya. Segala perkara berkenaan menyelamatkan ummah, itu biarlah Pak Arbi, Mr. Umayer, dan kawan-kawan bapa yang masih hidup uruskan. Saya tak ambil pusing.”

              Pak Arbi tertawa. “Insya-Allah, sekarang. Pak Arbi positif, satu hari nanti Afam akan benar-benar memahami mengapa mereka bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan ummah.”

              Afam melayarkan pandangan ke sut-sut Hero. Mindanya menerobos imbauan dua tahun yang lalu. Saat pertama kali Mr. Umayer menerangkan berkenaan sut pintar tersebut.

              “Ini apa?”

              “Belum ada nama.”

              “Macam sut dalam movie saja.”

              “Lebih kurang. Boleh terbang, punya senjata.”

              “Wah. Takkan bapa bina sut ini untuk dia pakai?”

              Mr. Umayer tertawa. Afam meneka lelaki itu sedang membayangkan arwah bapa mengenakan sut tersebut. Dia sendiri tersengih.

              “Ini sebenarnya prototaip untuk projek ketenteraan kerajaan Malaysia. Syarikat Amir & Co telah mendapat tender untuk membina sut yang dapat meningkatkan tahap keselamatan tentera di samping menambah kemampuan mereka di medan perang.”

              “Hmm. Jadi, kerajaan Malaysia sudah beli sut ini?”

              “Oh tidak. Ini prototaip yang merealisasikan seluruh idea Dato’ Amir Muiz. Untuk kerajaan Malaysia, Dato’ Amir Muiz telah reka yang lain. Sut asas, bukan sut pintar ini. Tambahan, kerajaan Malaysia tidak akan mampu membeli sut ini dalam bilangan yang banyak.”

Mr. Umayer tersenyum. Dengan satu hayunan tangan, balang yang menempatkan sut itu terbuka. Mr. Umayer menyentuh sut tersebut.

              “Dibina daripada aloi magnesium, menjadikan sut ini  lebih ringan daripada aluminum namun ketahanannya setaraf titanium. Not bulky. Jadi, operatornya boleh bergerak dengan selesa, lincah dan bebas, tidak seperti robot.

              “Oh.”

              Mr. Umayer menyentuh helmet sut tersebut.

Helmet ini menempatkan komputer super mini yang bersambung terus dengan super komputer di pengkalan ini.” Mr. Umayer memandang sebentar ke skrin gergasi di pengkalan tersebut, sebelum kembali menatap sut di hadapannya. Afam terangguk-angguk.

              “Maka pengguna sut ini akan mendapat data analitikal daripada apa yang dilihatnya. Punya fungsi night vision, infra merah, dan pengesan haba.”

Kemudian, Mr. Umayer menyentuh bahagian bahu sut. Dari bawah, keluar mantel yang menyelimuti keseluruhan tubuh.

              “Ini ialah tambahan untuk pertahanan dan juga serangan. Menggunakan fabrik yang terbina daripada carbon carbyne. Lebih utuh daripada graphene dan berlian, lebih ringan dan fleksibel. Boleh juga digunakan untuk meluncur senyap di udara jika tidak mahu kehadiran disedari musuh.”

Afam kagum. Dalam hati, spontan dia memuji arwah bapa. Banyak perkara tidak dia suka, terutama daripada pengalamannya sebagai anak. Namun, sebagai seseorang yang meminati bidang teknologi, tidak dinafikan dia memandang tinggi kepada bapa.

              Mr. Umayer menyentuh pula bahagian tangan, setelah mantel tadi masuk semula ke dalam bahu sut.

“Di sini terdapat senjata utama bagi sut ini.”

 Terdapat bulatan sederhana besar pada telapak tangan sut tersebut. “Pada mod menyerang, ia boleh mengeluarkan beberapa variasi serangan, sama ada yang mampu mengancam nyawa atau tidak. Terdapat juga kemampuan untuk menghasilkan tipu helah untuk mengabui pandangan musuh, seperti sinaran terang-benderang.”

              “Mr. Umayer,”

              “Ya, Tuan Faheem?” Mr. Umayer menunduk sedikit, bersedia memberikan sepenuh tumpuan kepada apa yang mahu dibicarakan oleh Afam.

              “Mengikut agakan saya, sut ini mustahil untuk dioperasikan. Dengan semua teknologi tadi, dan tambahan yang belum Mr. Umayer beritahu.”

Afam merujuk kepada bahagian pinggang ke bawah, yang kelihatan menyimpan banyak lagi teknologi dan mungkin senjata rahsia sut ini.

“Untuk sut ini beroperasi adalah sangat-sangat mustahil.”

              “Mengapa?” Mr. Umayer tersenyum.

              “Logiknya, semua itu perlu digerakkan dengan kuasa. Betul? Persoalannya, apa sumber kuasa sut ini? Tanpa sumber kuasa tersendiri dan berterusan serta besar, mustahil sut ini mampu beroperasi.”

              “Afam tahu apa yang menjanakan tenaga untuk Menara Keimanan?”

              Afam menggeleng.

“Salah satu daripada misteri hari ini, memandangkan Amir & Co tidak pernah mengeluarkan sebarang penyataan rasmi. Masyarakat antarabangsa membuat spekulasi menara itu beroperasi menggunakan tenaga nuklear.”

Afam teringat akan beberapa perbahasan semasa kuliahnya di Amerika Syarikat, yang membincangkan perihal sumber tenaga Menara Keimanan. Ya, bapa berjaya mengharumkan nama negara sehingga teknologi yang dihasilkan, dibincangkan di universiti luar negara.

              Mr. Umayer menyentuh bahagian dada sut pintar itu. Bahagian dada itu terbuka, mempamerkan satu komponen yang menempatkan sebuah objek berbentuk oktagon.

              Afam mengerutkan dahi.

              “Elemen Baru.”

              “Elemen Baru?”

Afam merapati untuk melihat dengan lebih jelas akan objek tersebut. Kelihatan objek itu bercantum dengan banyak wayar, bersambung dengan sut pintar.

              “Tenaganya lebih besar daripada nuklear. Mampu mengoperasikan sut ini selama setahun.”

              “Hah? Sekecil ini?”

Afam hendak menyentuh objek tersebut, tetapi segera tangannya dicapai oleh Mr. Umayer. Afam memandang lelaki itu. Mr. Umayer menggeleng.

              “Nak cacat, boleh sentuh.” Mr. Umayer mengukir senyuman lebar.

              Afam menarik kembali tangannya. Memerhati dengan penuh minat. “Ini rahsia bapa?”

              “Rahsia Amir & Co.”

              “Kejap, jadi …”

Afam terfikirkan sesuatu. Matanya terbelalak. Dia memandang Mr. Umayer dan sangat yakin yang lelaki itu dapat menjangka apa yang berada di benaknya.

              Mr. Umayer mengangguk. “Kita ada reaktor Elemen Baru yang besar di bawah Menara Keimanan. Dan benar sebagaimana sangkaan Tuan Faheem, ini adalah antara punca mengapa Dato’ dan Datin terbunuh. Begitu juga rakan-rakan jutawan Islam yang lain.”

              “Ada pihak mahukan teknologi ini?”

              “Mahukan teknologi ini dan menghalang kemaraan Dato’ Amir Muiz bersama rakan-rakannya.”

              “Kemaraan? Bapa dan rakan-rakannya mahu ke mana?”

              “Menyelamatkan ummah, Tuan Faheem. Menyelamatkan ummat.”

              Afam terpana.

Hari ini, sut berteknologi tinggi itu sudah punya nama.

HERO.

              Ya, nama yang klise. Mr. Umayer terinspirasi dengan bicara ramai semenjak Afam aktif menggunakan sut tersebut untuk membanteras jenayah. Beberapa bulan kemudian, warga Kotaraya Angsana dan sekitar Kuala Lumpur mula menyebut-nyebut akan kewujudan hero. Mereka hanya memanggilnya sebagai ‘hero’, kata nama am, kerana tidak pernah ada kenyataan rasmi berkenaan nama adiwira yang mula menjaga keamanan kotaraya itu.

              Mr. Umayer menamakan sut tersebut sebagai HERO, singkatan kepada Hyper Exosuit Reinforcement Operator. Atau ‘Hero’ sahaja.

              Sehingga kini, Hero merupakan cakap-cakap orang sahaja kerana imejnya tidak pernah berjaya dirakamkan secara jelas. Ini kerana Hero juga dilengkapi teknologi pemintas untuk menganggu sebarang alat elektronik di sekitarnya.

              “Keluar malam ini?” Pak Arbi menarik semula pandangan Afam dengan suaranya.

              “Jika ada masalah. Nampaknya malam ini tiada apa-apa yang berlaku.”

Mata Afam menerawang ke seluruh ruang pangkalan rahsianya itu. Pandangannya berehat pada skrin gergasi. Pada visual daripada CCTV penjara.

Seorang detektif sedang mengkaji rakaman CCTV di sel-sel yang menempatkan penjenayah yang telah kehilangan nyawa itu.

              Pak Arbi perasan akan pandangan Afam itu.

              “Mungkin sudah tiba masanya kita mempunyai rakan dalam kalangan mereka?”

              “Mempercayai organisasi yang korup? Polis hari ini bukannya boleh dipercayai!” Afam mendengus.

              “Bukan semua manusia jahat, Afam.”

              Afam menghela nafas panjang. Matanya masih melekat pada skrin. Kelibat detektif yang sedang khusyuk itu diperhatikannya dengan tekun. Data analitikal terpapar pada skrin, profil detektif tersebut.

              Ikhwan Rosli.

Antara anggota polis yang cemerlang. Sudah berkhidmat selama 30 tahun dan kini berpangkat Inspektor. Lebih dikenali sebagai detektif kerana kepakarannya memburu penjenayah hingga ke lubang cacing. Sikap yang tidak disenangi sebahagian besar golongan atasan hari ini. Dipindahkan ke Kotaraya Angsana agar tidak menganggu urusan kepimpinan negara yang tidak suka pergerakan mereka dihidu dan dikaitkan dengan organisasi dunia gelap. Hidup bujang tanpa anak dan isteri, kerana kedua-duanya terbunuh dalam satu kemalangan ngeri yang dijangka berkait dengan motif balas dendam penjenayah terhadapnya.

              “Hmm …”

Afam membuat pertimbangan. Kemudian, dia membuka langkah. Bergerak mendapatkan sut Hero.

              Pak Arbi sekadar menghantar dengan pandangan.

***

Skrin 50 inci itu dipadamkan. Berita tergempar pada malam itu tidak mengejutkannya. Dia sekadar tersengih kelat sambil merehatkan pipi di atas penumbuk kiri. Dia melirik ke arah seseorang di sebelahnya yang sama-sama menyaksikan siaran tersebut.

              “Puas hati?” Dia mengangkat kedua-dua belah kening.

              Tetamunya itu, seorang lelaki berkulit cerah, rambut hitam panjang mencecah bahu, bermata sepet, bertubuh kurus, berpakaian kot dan kemeja kemas, tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dingin sahaja. Wajahnya penuh dengan parut, hingga riaknya sahaja sudah menggerunkan sesiapa yang melihat.

              “Kenapa engkau dedahkan lokasi mereka? Engkau berikan cara untuk menceroboh, gajet khusus untuk mereka selesaikan misi.  Kemudian, engkau letakkan alat pengesan dalam beg mereka, supaya Hero gagalkan operasi itu. Engkau nak apa sebenarnya, hah?”

              Bertubi-tubi persoalannya. Liurnya memercik. Jelas bahawa dia sedang menahan amarah.

              “Eljurano.”

Garau dan dalam suara yang keluar daripada mulut tetamunya itu. Terasa aura ganasnya. Dia terpempan. Terus kelu seribu bahasa. Bulu romanya mencanak.

              Dua pengawal peribadi hendak melangkah, untuk bertindak melindunginya. Segera tangannya diangkat, mematikan pergerakan mereka.

              “Bijak.”

Tetamunya bersuara lagi. Ternyata, tetamu itu bukan sembarangan. Eljurano Demase sendiri gentar sedangkan di Malaysia ini, tiada penjenayah yang berani untuk mengangkat wajah berhadapan dengan Eljurano Demase dek pengaruhnya yang besar.

Namun tidak bagi tetamu ini. Eljurano Demase seperti semut di tapak kakinya. Tidak sedikit pun tanda kisah wujud pada wajah tetamunya itu. Wajahnya kosong. Dingin. Bebola matanya sentiasa tajam.

              Sekiranya pengawal-pengawal peribadinya itu bertindak, Eljurani Demase 110% yakin, kedua-duanya akan kehilangan nyawa dalam sebentar sahaja.

              Tetamu itu bangkit, membutangkan kotnya seperti mahu beredar. Eljurano Demase turut bangkit. Ternanti-nanti sama ada tetamunya itu akan mengeluarkan bicara.

              “Mereka berempat hanyalah uji kaji. Untuk memastikan hipotesis aku akan beberapa perkara.” Tetamunya melepaskan pandangan ke arah Kotaraya Angsana. “Alat pengesan yang aku letakkan dalam beg itu, adakah sudah kembali ke tangan kita?”

              “Ya. Orang dalam telah menghantarnya.”

              “Berikan kepada aku.”

              “Apa sebenarnya rancangan engkau? Aku …”

              Bicara Eljurano Demase terhenti dek pandangan tajam yang tiba-tiba dilemparkan oleh tetamunya itu. 

              Pejabat itu menjadi senyap sunyi. Suasana benar-benar tegang.

              “Engkau akan dihubungi lagi.”

Tetamunya itu bergerak keluar dari pejabat. Eljurano Demase sekadar menghantar dengan pandangan. Sebaik sahaja pintu itu tertutup, dia melepaskan nafas. Dada yang terasa seperti dihimpit sepanjang waktu tadi, kini terasa sedikit lapang. Segera dia mengangkat lengan, menyeka keringat pada dahi.

              Tidak sangka, dia berpeluh di dalam pejabat berhawa dingin ini.

              “Mahu matikah tadi, hah?”

Kedua-dua pengawal peribadinya tunduk. Tidak berani untuk menjawab. Eljurano Demase menggeleng. Dia tahu dia tidak sepatutnya mengherdik mereka sebegitu. Sememangnya itu tugas mereka – menjaga keselamatannya. Namun, tetamunya itu membuatkan dia tidak senang duduk.

Telefon pintarnya berdering. Dia segera menyeluk saku dan melihat skrinnya. Eljurano Demase tersengih kecil,

“Ya, Dato’ Seri?”

***

Satu suara lembut memenuhi ruang. Surah al-Mulk sedang dialunkan oleh seorang wanita. Suaranya tidaklah semerdu penyanyi-penyanyi popular, namun cukup untuk menjemput ketenangan bagi yang mendengar. Cukup tartil dan menjaga segala makhraj bersama tajwid. Sekali-sekala dia berhenti untuk menyemak terjemahan bagi ayat enam hingga sebelas surah itu. Untuk mendapatkan lebih kefahaman maksud ayat-ayat yang dibacanya itu.

              “Alhamdulillah, untung Afam dapat isteri macam Husna nanti.”

Satu suara mencelah, membuatkan bacaannya terhenti. Matanya pantas melirik tuan punya suara. Puan Amirah Maisarah berada di muka pintu biliknya. Spontan wajahnya panas.

              “Eh, aunty!”

Afeefah Husna menutup mushaf lalu bangkit untuk meletakkannya di atas almari sebelum menghenyak punggung ke atas katil semula. Wajahnya sedikit suram.

              “Kenapa sayang?” Puan Amirah Maisarah mengambil tempat di sisi Afeefah Husna.

              Afeefah Husna menggeleng. “Berdebarlah, aunty.”

              “Insya-Allah, aunty yakin Husna mampu. Jangan takut. Allah ada, aunty pun ada.”

              Afeefah Husna mengukir senyuman, membalas senyuman manis yang menghiasi wajah Puan Amirah Maisarah. Seorang wanita yang sudah dianggap sebagai ibunya sendiri.

              “Aunty rasa, Afam boleh berubahkah?”

              “Boleh, Husna. Kita kena positif. Semua orang boleh berubah. Tinggal mahu tidak mahu sahaja.”

Kepalanya yang bersalut kain telekung, diusap lembut.

              “Adakah Afam mahu berubah?”

              Helaan nafas Puan Amirah Maisarah menunjukkan itu adalah satu perkara yang sukar.

              “Aunty dan Pak Arbi sudah lama menasihati Afam. Cuba mendekatinya, berbincang. Namun, kebenciannya terhadap arwah bapanya begitu mendalam. Dia benar-benar ingin menjauhi kehidupan beragama. Dia menjadikan hidupnya yang tak kisah dengan syariat itu sebagai satu escapism, satu pemisahan juga, daripada bayangan bapanya.”

              “Adakah dia pernah …”

              “Eh, tak. Tak pernah. Insya-Allah, tidak. Aunty yakin dia tak pernah berzina dengan sesiapa.”

Puan Amirah Maisarah seperti dapat meneka apa yang bermain di dalam benak Afeefah Husna. Afeefah Husna terangguk-angguk.

              Perkahwinannya dengan anak tunggal Dato’ Amir Muiz itu tidak lama lagi. Sekitar dua minggu sahaja. Walaupun dia tidak kisah melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat, memandangkan dia sendiri berhajat untuk punya suami terlebih dahulu sebelum bekerja, ternyata selepas beberapa ketika kata sepakat diambil antara Puan Amirah Maisarah dan Pak Arbi, dia terasa tidak mampu.

              Teringat-ingat dia gaya dan tingkah laku Afam.

              “Afam itu, Husna, seorang yang baik. Budak genius. Ya, dia merokok. Ya, dia bergaul dan bersosial tanpa batasan, tetapi dia tak minum arak dan berzina. Baru-baru ini pun, dia sendiri memutuskan hubungan dengan teman wanitanya. Tanpa disuruh-suruh. Mungkin selepas dua tahun dia pulang ini, mindanya mula bersuara terhadap gaya hidupnya itu.”

              Afeefah Husna terangguk-angguk lagi. Dia tidak tahu yang Afam sudah mempunyai teman wanita. Hatinya seperti dipagut cemburu.

              “Adakah dia berhajat nak kahwin dengan teman wanita dia itu?”

              “Si Cherry itu? Ish, taklah. Dia rakan sosial Afam saja. Afam tak pernah fikir fasal kahwin pun. Entah apa yang disibukkannya semenjak graduasi dua tahun lepas.”

              “Husna risau sangat Husna tak mampu mendidiknya dan memenuhi harapan aunty, harapan arwah Dato’ dan Datin. Aunty pun bukan tak kenal Husna masa zaman jahiliah dulu, bukan?”

Afeefah Husna tunduk.

              Puan Maisarah tertawa kecil. Mungkin mengimbau kenangan apabila Afeefah Husna berbicara sedemikian. Afeefah Husna masih ingat dirinya yang dahulu, sebelum kenal dengan Puan Amirah Maisarah. Dia juga kuat bersosial tanpa batasan, antara yang tidak menutup aurat serta sempat menjadi ahli kumpulan fanatik artis-artis Korea lagi. Malah, hampir terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan hidup semasa awal pengajiannya di universiti.

              Puan Amirah Maisarah telah menyelamatkannya dengan membuka hatinya kepada tarbiah Islamiyyah. Bukan dia sahaja, rakan-rakannya yang lain juga. Puan Amirah Maisarah-lah yang mengajak mereka kembali kepada fahaman Islam yang jelas. Menjadi muslim bukan sekadar pada kad pengenalan.

              “Husna tahu, bukan senang aunty nak pastikan Husna dan kawan-kawan dapat ikut tarbiah. Nakalnya korang masa tu, Allahu akbar!”

              Afeefah Husna turut tertawa. Dia merapatkan tubuhnya pada ibu angkatnya itu.

              “Tetapi berkat istiqomah dan kesungguhan, alhamdulillah, ya aunty?”

              Puan Amirah Maisarah mengangguk.

              “Begitulah harapnya Husna bersama-sama Afam nanti. Sabar, istiqomah. Insya-Allah, Husna, Afam itu boleh berubah. Aunty yakin dia sendiri sedang mencari jalan untuk ketenangan hidupnya.”

              “Insya-Allah, aunty.”

Jiwanya kembali bersemangat. Debaran dalam dada berkurangan. Sebagai manusia, dia sedar dia mempunyai pelbagai kelemahan. Tetapi kini dia berazam untuk benar-benar berusaha. Dua minggu berbaki ini, dia akan mempersiapkan diri dan mental untuk memenuhi misinya.

              Mencintai Amir Faheem bin Amir Muiz sepenuh jiwa.

              Bukankah tanda benarnya cinta, mahu membawa yang dicintai itu sama-sama ke syurga?