Bab 3 – Syaitan

Di hadapan, di belakang,
Di kiri dan di kanan,
Syaitan wujud untuk menyesatkan,
Tanggungjawab kita untuk kekal melawan!

Jam digital pada paparan di dalam helmet menunjukkan pukul 5 pagi. Afam sedang meluncur laju membelah udara meninggalkan sempadan Kotaraya Angsana, sebelum membuat pusingan semula, kemudian turun ke sebuah tanah tinggi.

              Semakin lama dia semakin menghampiri tanah tinggi tersebut. Kelihatan sedikit lagi sut Hero itu akan membawanya menghentam bumi. Namun, beberapa saat sebelum itu, satu pintu rahsia terbuka, memberikannya laluan khas untuk terus terbang. Laluan tersebut gelap, hanya dihiasi lampu-lampu kecil di bahagian atas dan bawah, kiri dan kanan.

Tidak lama kemudian, Afam tiba di pangkalan rahsia.

              Dia mengimbangi badan seraya mengurangkan tenaga yang dikeluarkan oleh sut Hero. Perlahan-lahan menjejak lantai, sambil diperhatikan Pak Arbi yang setia menanti.

              “Tak tidur lagi, Pak Arbi?”

Helmet sut Hero terbuka, mempamerkan wajah Afam, bergerak perlahan-lahan ke arah balang. Apabila dia berdiri di hadapan balang itu nanti, akan keluarlah tangan-tangan robotik yang bakal membantu menanggalkan sut itu daripada tubuhnya.

              Itulah rutin kebiasaannya setiap kali usai membuat rondaan di Kotaraya Angsana. Afam akan mengenakan sut Hero bermula sekitar tengah malam hingga awal pagi. Sekiranya ada kejadian tertentu yang memerlukan Hero berlaku di luar waktu tersebut, barulah Afam akan keluar dari rutin kebiasaannya itu.

              “Puas hati?” Pak Arbi bertanya, merujuk kepada aktiviti Afam seminggu kebelakangan ini.

              Afam melepaskan nafas. Dia mendekati balang penyimpan sut.

“Kita sembang siang nantilah,  Pak Arbi. Saya nak tidur. Mengantuk sangat.”

              “Data menunjukkan Detektif Ikhwan seorang yang ‘bersih’. Latar belakangnya menunjukkan dia merupakan salah seorang ahli INSANI, antara badan kebajikan yang diasaskan oleh Dato’ Amir Muiz sendiri. Sepanjang pemerhatian kita seminggu ini , Detektif Ikhwan juga tidak menunjukkan sebarang contoh yang buruk. Dia seorang yang berprinsip, jujur, amanah serta sangat dedikasi dalam menjalankan tugasnya.” Pak Arbi tidak mengendahkan permintaan Afam.

              Afam sudah berdiri di hadapan balang. Tangan-tangan robotik muncul dari lantai.

              “Siang nanti, Pak Arbi!”

              Pak Arbi hanya tersenyum, menggeleng. “Tak rugi belajar percayakan orang lain, A …”

              Tiba-tiba, penggera berbunyi. Mata Afam terbelalak. Pak Arbi terus berlari ke arah skrin gergasi. Afam segera memakai sutnya semula. Dia menghidupkan sut lalu terapung sesaat sebelum menderu pergi. Satu dentuman kedengaran. Afam sudah lesap dari situ.

              Rambut Pak Arbi serabai ditolak angin kuat. Namun, tidak dihiraukannya. Matanya fokus pada skrin gergasi. Skrin itu sedang mempaparkan kawasan sebuah banglo, sederhana besarnya. Terletak bersebelahan beberapa banglo yang lain.

              “Siapa, Pak Arbi? Pak Lah? Pakcik Tengku atau Tok Pa? Atau Uncle Jo?”

              “Dato’ Jaafar Yamani.”

              “Saya ke sana sekarang!”

              Afam mengetap bibir. Dia meluncur membelah udara dinihari. Langit masih gelap. Dia memecut selaju mungkin. Kelajuan maksima sut Hero ialah Mach 3. Dia akan sampai ke destinasi dalam sekelip mata jika dia memaksimakan pecutannya.

              Kediaman Dato’ Jaafar Yamani terletak di Bangi. Kawasan perumahan yang dipenuhi banglo. Beliau bersama Pakcik Tengku, atau Dato’ Tengku Muhammad, kedua-duanya berpusat di Kotaraya Angsana. Manakala individu yang dipanggil sebagai Pak Lah, atau nama penuhnya Dato’ Seri Abdullah Syamsuddin pula beroperasi di Kelantan sebagai wakil Amir & Co untuk memajukan negeri Serambi Makkah itu. Seterusnya, Dato’ Johari atau Uncle Jo yang berpusat di Johor.

Keempat-empat mereka merupakan jutawan Islam yang masih hidup daripada sepuluh orang yang asal.

              Semenjak kematian bapa dan menggunakan sut Hero, Afam telah meminta Mr. Umayer meletakkan sistem amaran sekiranya rumah, pejabat atau kenderaan keempat-empat individu ini dicerobohi atau ditimpa kemalangan. Afam sangat yakin, pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian bapa dan rakan-rakannya yang lain, sudah pasti mahu memburu mereka kesemuanya.

              Dua tahun berlalu. Tiada perkara buruk menimpa keempat-empat mereka. Afam menjangka salah satu faktornya ialah kerana kemunculan Hero, yang dilihat mampu menggoncangkan dunia gelap. Sudah semestinya mereka lebih berhati-hati untuk melakukan tindakan yang besar, seperti sabotaj atau mencipta kemalangan yang boleh meragut nyawa keempat-empat individu berpengaruh ini.

              Afam menderu. Skrin pada helmet sudah mengeluarkan amaran, tanda dia kian menghampiri had laju maksima.

“Afam, hati-hati.”

              Pak Arbi dapat melihat apa sahaja yang dilihat oleh Afam dari dalam sut. Paparan pada helmet Afam semuanya terpamer pada skrin gergasi komputer super mereka.

              Saban malam, Pak Arbi menemani Afam sebagai suara kebijaksanaan serta penasihat tatkala Afam menjalankan misinya membanteras jenayah, serta siasatannya terhadap kewujudan organisasi bernama Syaitan Bertopeng di dunia gelap.

              Walaupun Afam sering mengabaikannya.

              Daripada paparan skrin gergasi itu, data menunjukkan Afam tidak mengurangkan kelajuannya. Ternyata Afam ingin cepat sampai, risau ada perkara buruk menimpa rakan bapanya itu.

              “Rumahnya kelihatan seperti tidak berlaku apa-apa.” Pak Arbi memerhati skrin-skrin kecil yang merupakan paparan CCTV pelbagai sudut kediaman Dato’ Jaafar.

              “Saya sudah sampai!”

Afam segera memperlahankan kelajuan. Sutnya jatuh ditarik graviti. Kepulan awan ditinggalkan. Di hadapannya terbentang sebuah taman perumahan. Setiap kediaman agak berjarak antara satu sama lain oleh tanah lapang.

Mod senyap segera diaktifkan. Afam tidak mahu kehadirannya disedari, terutamanya oleh penceroboh itu. Lagipun, ini adalah peluangnya untuk menangkap ahli Syaitan Bertopeng sekiranya mereka yang melakukan angkara pagi-pagi buta seperti sekarang.

              Afam terus mendarat di perkarangan banglo Dato’ Jaafar.

              Kediaman itu kelihatan sunyi sepi. Afam memandang sekeliling. Begitu juga banglo-banglo lain di kawasan ini. Belum masuk waktu Subuh, mungkin. Afam perlahan-lahan mendekati banglo Dato’ Jaafar sambil melakukan imbasan.

              “Bagaimana Afam? Ada apa-apa…”

              “Ada. Bilik utama …”

Afam sedar dia sudah terlambat. Sangat terlambat.

              Bunyi tembakan kedengaran. Diikuti jeritan kuat seorang wanita dan anak kecil. Kelihatan bilik utama banglo tersebut mengerdip dengan cahaya. Afam terus meloncat dan memecahkan dinding bilik tersebut. Namun dia tahu, segalanya telah berakhir.

              Dato’ Jaafar terkulai di pinggir katil. Dahinya berlubang.

              Semasa Afam melakukan imbasan sebentar tadi, pembunuh sudah meletakkan pistol pada dahi rakan bapanya itu. Semuanya telah terlambat. Esak tangis anak dan isteri Dato’ Jaafar, yang diikat bersama-sama di satu sudut bilik, mengisi suasana.

              Afam menatap pembunuh di hadapannya yang tidak sedikit pun kelihatan gentar. Tiada tanda-tanda mahu melarikan diri. Pakaiannya serba hitam, namun memakai topeng aneh berwarna putih. Topeng ukiran wajah syaitan masyarakat Jepun. Dahi Afam berkerut. Sistem imbasannya gagal mengesan identiti di sebalik topeng itu, bahkan, wajah di sebalik topeng itu turut tidak terzahir.

Rasa pelik menyerbu dirinya.

              “Pelik.” Pak Arbi juga terpinga-pinga di hadapan skrin gergasi. “Hati-hati Afam. Ini bukan orang sembarangan.”

              Mereka berdua bertentang mata buat seketika. Afam tidak dapat menjangka tindakan seterusnya yang bakal diambil oleh pembunuh itu. Pertama kali dia bertemu dengan penjenayah yang tidak melarikan diri atau gentar apabila berhadapan dengannya.

              “Celaka, engkau siapa?” Terpaksa dia meluahkan pertanyaan itu. Dua penumbuk dikepal, bersedia untuk menyerang.

              Pembunuh itu sekadar mengungkit bahu, sebelum berpaling dan bergerak ke arah pintu bilik. Afam mengetap bibir melihat reaksi pembunuh itu.

              “Kurang ajar!”

Afam hendak membuka langkah, tetapi, sutnya tiba-tiba mati. Afam terjatuh sebelum sempat mencapai bahu pembunuh tersebut.

              “Apa yang telah berlaku?” Pak Arbi kaget. Skrin gergasi di hadapannya bertukar menjadi hitam. Siaran terganggu. “Afam? Afam!”

Tiada respons.

              Dada Afam berdegup kencang. Siapakah yang sedang berhadap dengannya kini? Mujur pandangannya tidak hilang, kerana sut Hero menyediakan keupayaan untuk operatornya melihat daripada ruang mata sekiranya kuasa untuk sut itu dimatikan.

              Belum sempat Afam bertindak, pembunuh itu sudah mencangkung di hadapannya. Kepalanya dipegang. Mata mereka bertentang. Bulu roma Afam menegak. Sepanjang dia menjadi Hero, dia tidak pernah mengalami keadaan sebegini.

              “Eksperimen aku berhasil.”

Suara rendah, tetapi mendalam dan dingin, kedengaran di balik topeng. Kemudian kepala Afam dilepaskan. Wajah Afam jatuh menyembah lantai.

              “Jangan lari celaka!”

Afam bangkit. Tanpa kuasa, dia masih boleh menggunakan sut Hero untuk pertempuran tangan kosong. Namun, sekali lagi pergerakannya mati. Musuhnya mengangkat tangan kanan separa dada, dan menggerakkannya ke kiri dan ke kanan, isyarat jangan.

              “Beberapa saat lagi, sut engkau akan hidup semula. Engkau ada dua pilihan.” Jari hantu dan jari telunjuk diangkat bersama-sama. Pembunuh itu tenang berbicara. Nadanya tenang, namun terpamer ketegasan dan kaliber yang tinggi daripada tutur katanya. “Berkas aku atau selamatkan perempuan dan anak lelakinya itu.”

              Afam mengerling ke arah anak dan isteri Dato’ Jaafar yang sedang teresak-esak meratapi kematian ketua keluarga mereka.

              “Selamatkan daripada apa?”

              “Rumah ini akan meletup selepas lima saat tenaga sut itu kembali.” Pembunuh itu berpaling dan terus keluar dari bilik.

              “Cela …”

Sut Afam tiba-tiba hidup semula. Sistem sutnya melakukan reboot dengan pantas sebelum Afam sempat membeliakkan mata.

              Pak Arbi dapat melihat kembali melalui skrin gergasi di pangkalan rahsia. “Afam, apa yang berlaku?”

              “Tak ada masa!”

Afam terus memecut memeluk anak dan isteri Dato’ Jaafar lalu terbang keluar melalui dinding yang dirobohkannya tadi. Dia mendarat cemas di hujung perkarangan banglo tersebut.

              Booom!!!

              Afam menggunakan mantelnya untuk melindungi tubuh mereka bertiga. Banglo tersebut musnah sama sekali. Api mulai marak.

              “Abang!”

Isteri Dato’ Jaafar meraung. Cuba untuk meloloskan diri daripada Afam, tetapi Afam menghalangnya. Anak lelaki mereka hanya mampu menangis. Afam sekadar memandang api yang marak itu. Hatinya dipagut pertanyaan yang bertubi-tubi. Baru dia perasan akan sesuatu pada leher isteri dan anak Dato’ Jaafar.

Sehelai tuala dengan tulisan kanji.

              “Datin Aqilah, apakah ini?” Afam mencapai tuala sebesar telapak tangan itu.

              Isteri Dato’ Jaafar sedikit terpana apabila namanya disebut. Raungannya terhenti, mungkin kerana tidak menyangka Hero akan mengetahui namanya.

              Sambil tersedu-sedu, Datin Aqilah bersuara, “Kain itu digunakan pembunuh tadi untuk menculik saya dan anak saya agar kami tidak menjerit. Dia hanya melepaskan kain itu apabila dia membuat kami berjanji untuk tidak menjerit setelah dia mengacukan pistol ke kepala Dato’.”

              “Dia kata dia takkan bunuh ayah jika kami diam.” Anak lelaki Dato’ Jaafar mencelah, dengan air mata yang masih berjuraian.

              Afam menyimpan dua helai kain tersebut.

              “Tiba-tiba dia lepaskan tembakan. Ketika itu juga kamu datang.” Datin Aqilah menambah.

              Afam mengetap bibir. Celaka punya pembunuh! Dia memang menanti kehadiran aku! Hatinya membentak. Penumbuk dikepal.

              “Inikah Hero yang orang ramai cakap itu?” Anak lelaki Dato’ Jaafar menatap Afam. Wajahnya sembab dan basah dengan air mata.

              Afam perlahan mengangguk, walaupun dia sendiri tidak gemar dianggap sebagai seorang Hero. Dia tahu dia bukan adiwira. Dia hanya memakai sut ini untuk membalas dendam, mencari orang yang bertanggungjawab ke atas kematian ibu bapanya. Dia bukan menyarung sut ini untuk membela semua orang.

              “Hero boleh balas dendam untuk ayah?”

              Dia anak tunggal, seperti Afam. Lahirnya ke dunia ini lewat, memandangkan Dato’ Jaafar punya masalah kesuburan pada awal perkahwinan. Memang anak kesayangan bapanya, kerana dianggap sebagai jawapan Tuhan kepada doa Dato’ Jaafar dan isteri yang menginginkan zuriat. Afam tahu semua itu, kerana dia tidak asing lagi dengan 10 orang jutawan Islam dan keluarga mereka, memandangkan mereka ialah teman terapat bapa.

              Afam menghela nafas. Mengangguk.

              Baru Afam hendak berfikir bagaimana dia mahu menguruskan Datin Aqilah dan anaknya, sebuah kenderaan meluncur laju masuk ke perkarangan banglo. Afam memandang ke belakang. Keluar daripada kenderaan itu, Detektif Ikhwan. Wajahnya pucat dan serabut, Afam tahu mengapa. Tidak cukup tidur dan hari ini tidur detektif itu nampaknya terganggu lagi.

              Melihat kehadiran Hero, Detektif Ikhwan terkejut dan terus mengeluarkan senjata. Afam menghela nafas buat kesekian kalinya.

              “Angkat tangan! Angkat tangan!” Detektif Ikhwan menjerit. Pistol diacu tepat ke arah Afam.

              “Dia berseorangan. Jelas dia tergesa-gesa datang dari rumahnya hingga tak sempat pasang siren pada kereta peribadinya. Namun beberapa kereta polis, ambulans dan bomba juga sedang mendekati lokasi kejadian. Mereka semua seperti mendapat tip daripada sumber tak diketahui.” Pak Arbi menyampaikan maklumat.

Afam mengetap gigi. ‘Sumber tak diketahui’ itu membuatkan Afam menjangkakan sesuatu.

              Dengan berani, Detektif Ikhwan merapati Hero, Datin Aqilah dan anak lelaki Dato’ Jaafar. Bunyi siren mulai sayup-sayup kedengaran.

              “Ini Hero?” Detektif Ikhwan meninggikan suara. Pistol tetap diacu. Pertama kali melihat dengan matanya sendiri adiwira yang menjadi bualan penghuni Kotaraya Angsana.

              Afam mengangguk. Tangan masih tidak diangkat.

              “Angkat tangan saya kata!” Detektif Ikhwan berhati-hati mendekati, kerana Hero tidak menuruti arahannya.

              “Ambil ini.” Afam bersuara.

              “Apa dia?” Detektif Ikhwan terkejut tatkala Hero membalas bicaranya.

              “Ambil ini!”

Afam mengambil sehelai daripada dua helai tuala tadi dan mencampakkannya ke arah Detektif Ikhwan dengan satu pergerakan yang pantas. Helaian tuala itu membaluti sesuatu yang agak keras.

              Detektif Ikhwan terkejut, namun tidak melepaskan tembakan. Jelas dia tidak berniat untuk memperapa-apakan adiwira itu. Tuala itu ditangkap segera, seiring tindakannya itu, telinganya dijamah dengan bunyi deruman yang sangat kuat. Kot labuhnya berkibar. Detektif Ikhwan mengangkat kepala.

              Hero telah tiada.

              Bunyi siren semakin kuat kedengaran. Detektif Ikhwan menoleh ke arah kenderaannya. Kini kawasan itu telah dipenuhi kereta polis, bomba dan ambulans. Detektif Ikhwan menghela nafas. Pandangan kemudiannya direhatkan ke arah Datin Aqilah dan anak lelaki Dato’ Jaafar, yang kini mula didekati paramedik. Ahli bomba mula menjalankan tugas mereka.  Anggota polis mula mengawal keadaan sekeliling, memandangkan penduduk taman perumahan itu mula berkumpul dan menggerumuni kawasan tersebut, untuk memerhatikan apa yang terjadi.

              Semuanya berlaku dengan pantas.

              Matanya kemudian jatuh pada tuala yang berada di telapak tangannya. Balutan tuala itu terbuka, dan mempamerkan satu objek seperti gajet.

              “Ambil ini?”

              Tulisan kanji terjahit pada tuala tersebut. Namun objek yang datang bersama-sama tuala itu menambah persoalannya. Detektif Ikhwan mendongak ke langit.

              “Hero,” Kata-kata itu meluncur. “Untuk apa dia beri alat ini?”

***

Selepas Solat Subuh, biasanya Husna akan mengisi masa senggang itu dengan membaca al-Quran, sebelum memberikan fokus kepada hobinya, membina algoritma untuk Artificial Intelligence atau AI. Husna mahu menjadi orang pertama di Malaysia yang berjaya membina AI yang berfungsi dan mampu beroperasi dengan baik.

              Husna sudah mempunyai wawasan dan perancangan yang jelas. Kerana itu peluang bekerja di Amir & Co sangat dihargainya. Dia mahu menggunakan pengalamannya di Amir & Co untuk menambah ilmu dalam bidang Sains Komputer, seterusnya menambah lagi kebolehannya dalam membina dan memajukan teknologi AI ini.

Husna berhasrat untuk menghasilkan tesis berdasarkan minatnya itu.

              Dia akan menghabiskan masa di ruang tamu, bersama-sama komputer riba berkuasa tinggi, untuk mengusahakan projek tersebut. Namun, rutin hariannya terganggu apabila televisyen yang dibuka untuk dijadikan teman, tiba-tiba menyiarkan berita tergempar.

              “Astaghfirullah, innalillah.”

Husna mengangkat kepala. Nampaknya rutin harian Puan Amirah Maisarah, yang biasanya pada waktu ini akan keluar ke universiti, turut terganggu. Tetapi Husna tidak bertanya apa-apa, memandangkan berita tergempar itu jelas melaporkan kejadian sebelum Subuh tadi.

              Tragedi yang menimpa Dato’ Jaafar sangat menyayat hati.

              Setakat ini, laporan rasmi hanya menyatakan ia adalah kemalangan akibat gas bocor. Dato’ Jaafar Yamani dilaporkan terkorban, meningalkan seorang balu dan anak. Kedua-dua mereka terselamat, dilaporkan diselamatkan oleh Hero yang hadir pada saat-saat akhir. Laporan selanjutnya akan menyusul.

              Husna menggeleng. Ucapan “Innalillah” meluncur di bibirnya. “Hilang lagi seorang tokoh negara kita.”

              Puan Amirah Maisarah dilihat mengangguk. “Nampaknya Aunty tak ke universiti hari ini. Datin Aqilah itu kawan baik Aunty. Dato’ Jaafar itu sahabat karib Dato’ Muiz.”

              Giliran Husna terangguk-angguk. “Biar Husna teman Aunty ziarah Datin Aqilah.”

              “Jomlah kita. Mereka perlukan kekuatan.”

              Husna terus bangun meninggalkan kerjanya. Dia tidak kisah, aktiviti itu boleh ditangguhkan kerana tidak punya masa tamat. Nama pun hobi.

              “Oh ya, alang-alang keluar, kita terus beli keperluan pengantinlah ya. Tak lama lagi kamu nak bernikah.”

              Husna mengangguk. Dia pun hampir terlupa sebenarnya. Kadang-kadang, apabila difikirkan, apakah dia benar-benar akan bernikah? Amir Faheem pun tidak pernah menghubunginya semenjak pertemuan tempoh hari. Ditambah pula berita sedih yang menimpa rakan arwah bapanya hari ini, apakah Afam masih mahu meneruskan perkahwinan mereka?

              “Husna bersiap sebentar ya, Aunty.” Husna bergerak ke biliknya.

              Puan Maisarah sekadar mengangguk dan menanti di sofa ruang tamu. Wanita itu menghela nafas panjang. Dia menggeleng.

              “Seorang lagi …”

***

“Bagaimana Pak Arbi?” Afam ke hulu dan ke hilir. Resah dan tidak sabar.

              Pak Arbi mengangkat kain yang dibawa pulang oleh Afam itu daripada peranti hologram. Komputer tersebut mempunyai fungsi imbasan. Ia mampu menganalisa tulisan tulisan yang tertera, material fabrik tersebut, asal usul, cap cari yang mungkin ada serta boleh mengenal pasti kewujudan bakteria pada permukaan tuala tersebut. 

              Pak Arbi menggeleng. “Kita hanya tahu, kain ini datang daripada Jepun. Hanya satu kaitan yang boleh dibuat. Ia mempunyai persamaan dengan objek sfera yang Afam imbas semasa pencerobohan bangunan Amir & Co baru-baru ini.”

              Ya, objek itu juga daripada Jepun.

              “Itu saya sudah tahu. Persoalannya, apa kena-mengena Jepun dengan kes-kes ini? Pembunuh itu dari Jepun-kah? Adakah dia juga yang meletakkan objek sfera itu dalam beg para penceroboh tempoh hari? Objek itu memberikan saya lokasi para penceroboh tersebut dengan jelas dan tepat. Jika orang yang sama meletakkan objek tersebut, mengapa dia membunuh Tok Pa pula?”

              Afam tidak dapat membuat hubung kait. Kelihatan tidak logik jika ia dilakukan oleh orang yang sama. Dia memerlukan lebih maklumat.         

              “Celaka.” Afam menyepak lemah peranti hologram di hadapannya. “Siapa dia? Saya mesti tahu siapa dia. Belum pernah ada yang mampu buat apa yang dia buat.”

Afam mengepal kedua-dua penumbuk. Dia masih ke hulu dan ke hilir. Walaupun sangat mengantuk, tetapi kini dia tidak lagi berminat untuk tidur. Dirinya resah. Terbayang-bayang wajah Datin Aqilah dan anak lelakinya tadi. Terbayang-bayang kelibat Dato’ Jaafar saat nyawanya di hujung tanduk dalam imbasannya tadi.

              “Saya 100% yakin, pembunuh itu sudah lama berada di situ. Dia berjaya masuk tanpa dikesan. Dia memang sengaja buatkan penggera itu berbunyi, supaya saya ke sana. Dia telah merancang dengan sangat kemas hingga ke setiap saat. Mahu saya dedahkan diri di hadapan pihak polis! Dia tinggalkan kain ini, sudah pasti ada niatnya. Licik sungguh! Jahanam!”

Afam terus membebel. Matanya meratah segenap sudut, seakan-akan mencari sesuatu. Dadanya berdegup kencang, masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Pandangannya kemudian terhenti pada Pak Arbi.

              Langkah Afam mati.

              Dia melihat Pak Arbi seperti termenung jauh dan tidak mengendahkannya. Segera dipetik jarinya di hadapan wajah pembantu setianya itu.

              Mata Pak Arbi berkelip-kelip. “Hah? Kenapa?” Seperti baru terjaga.

              “Pak Arbi boleh termenung dalam keadaan kecemasan begini?”

Afam mengerutkan dahi. Kehairanan. Sepertinya ada sesuatu yang berat menganggu pemikiran orang tua itu. Pak Arbi menghela nafas dan mengukir senyuman.

              “Tak ada apa-apa. Terfikir sesuatu. Tetapi kemudian rasanya tak relevan.”

              Afam memuncungkan bibir.

              “Ini serius, Pak Arbi. Dia boleh matikan sut saya! Siapa ada kebolehan sedemikian selain Mr. Umayer? Tetapi mustahil itu Mr. Umayer, bukan?” Afam menyilangkan dua tangannya di dada dan memandang tepat kepada Pak Arbi.

              “Betul, betul.” Pak Arbi terangguk-angguk. “Beginilah, Afam. Kita berdua kepenatan. Berjaga sepanjang malam. Apa kata kita berehat dahulu? Pak Arbi pun keletihan. Kita pun, sudah pasti perlu ke sana sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa. Sebaiknya kita berehat dahulu.”

              Afam memandang orang tua itu. Memang kelihatan sedikit kusut. Namun dia dan Pak Arbi bukan tidak pernah berjaga sepanjang hari. Bahkan mereka pernah berjaga selama dua hari berturut-turut memburu seorang penjenayah yang berjaya meloloskan diri dari penjara.

              Reaksi Pak Arbi ketika ini menjemput tanda tanya. Tetapi Afam tidak mahu memanjangkan persoalan itu. Dia sendiri kepenatan. 

              “Marilah kita naik.” Afam mengajak dan membuka langkah.

              Pak Arbi mengekori.      

***

Sebaik sahaja masuk, Pak Arbi segera menutup pintu dan memastikan tiada sesiapa mendekati biliknya itu. Biliknya terletak di tingkat bawah, untuk memudahkan urusannya sebagai pembantu rumah, sekaligus penyambut tetamu serta pemerhati kepada pembantu rumah yang lain, yang hanya berada di rumah ini pada siang hari. Bilik Afam pula di tingkat dua.

              Pak Arbi segera mendekati katil dan mengeluarkan telefon pintar dari saku.

              “Assalamualaikum.” Dia bersuara sebaik sahaja panggilannya diangkat.

              “Waalaikumussalam. Pak Arbi. Saya telah mendapat berita. Tak sangka …”

              “Umayer.”

Suara itu segera dipotong cemas. Mr. Umayer di seberang corong terdiam. Jarang Pak Arbi bersikap sedemikian.

              “Dia masih hidup!”

              Corong telefon pintar itu tidak mengeluarkan apa-apa bunyi. Pak Arbi menjangka Mr. Umayer sedang terkejut.

              “Mustahil! Kita nampak tempat itu meletup dan dia terperangkap di dalamnya!”

              “Kita tidak melihat dia mati!”

              “Pak Arbi confirm?”

              “Sekarang Pak Arbi pasti! 100% pasti!”

              “Musibah.” Mr. Umayer bersuara resah.

              “Kita perlu melakukan sesuatu!”

              “Baik, Pak Arbi. Baik. Berikan saya laporan penuh kejadian tadi. Saya perlu menganalisanya.”

              “Baik, baik. Pak Arbi akan hantar segala data daripada komputer super kepada Umayer.”

              “Pak Arbi …”

              “Ya, Umayer?”

              “Kita patut memberitahu Afam.”

              Pak Arbi terdiam. Dadanya diserbu kesempitan. Mengetahui apa yang dia tahu sekarang, apakah Afam sudah bersedia untuk mengetahui kebenaran yang sebenar-benarnya?