Gelombang 1

“Oh, sekolah hendak bubarkan pasukan bola tampar?”

              Ustaz Mahadzir mengangguk perlahan.

              “Memang kronik sangatkah?” Dia tersengih.

              Kopi dihirup Ustaz Mahadzir perlahan-lahan. Panas. Ustaz itu kemudian menghela nafas panjang. Seakan mahu melepaskan apa yang terbuku di hati.

“Sebab prestasi mereka sudah semakin merudum. Ana pula sibuk dan tidak dapat hendak menguruskan pasukan itu sepenuh masa, seterusnya …” Ustaz Mahadzir berhenti. Kopi sekali lagi dihirupnya.

              “Seterusnya?” Hussam mengangkat kening sebelah. Rasa ingin tahu semakin membuak.

              Ustaz Mahadzir memandang mata Hussam. “Seterusnya, ahli pasukan sendiri berpecah, bergaduh sesama sendiri, semua tidak ada semangat kerjasama. Mereka juga mempunyai masalah dengan disiplin, pelajaran dan keluarga.”

              “Mana tarbiyyah MATRI yang sering dicanang-canangkan?” Hussam angkat kening dua kali, nakal dan bertanya dengan nada separuh serius. Dia kemudian ketawa sendiri, sebelum mengangkat secawan teh dan menghirupnya.

              Ustaz Mahadzir tersenyum dan turut ketawa.

              “Hussam, enta pun tahu yang kita ini hanya jalankan tarbiyyah. Hasilnya tetap pada tangan Allah SWT. Kita bukan tidak berusaha, tetapi mereka nampaknya sukar hendak menerima didikan dengan hati yang terbuka. Dalam setandan pisang, tidak semuanya elok.”

              “Setiap cabaran, ada solusinya, ustaz.” Hussam mengoyak roti canai sebelum memasukkannya ke mulut.

              Ustaz Mahadzir terangguk-angguk. “Itu sudah semestinya.” Kopi dihirup habis sebelum cawan itu dikembalikan di atas meja. “Sebab itulah ana ajak enta ke sini. Kita sebenarnya tidak cukup tenaga pengajar dan warden. Macam enta tengok, ana seorang saja warden sepenuh masa.”

              Hussam senyum sambil mengangguk-angguk. “20 tahun mengharungi mehnah warden tanpa mengalah ya.” Dia bukan tidak tahu sejarah karier Ustaz Mahadzir.

              Ustaz Mahadzir menarik sengihan. “Banyak kali juga rasa hendak mengalah dengan kerjaya di sini, tetapi Allah jugalah yang terus memberikan kekuatan untuk ana memberi khidmat apa yang mampu.”

              “Ana yang kena ambil banyak semangat daripada ustaz. Murabbi mithali!”

              Ustaz Mahadzir ketawa sambil menggeleng. “Enta ini, perangai tidak berubah. Menyakat saja kerjanya.”

              “Ana jujurlah. Menyakat apa pula.” Hussam menghabiskan baki roti canai di pinggan.

              Kemudian, telinganya menangkap hembusan nafas berat daripada Ustaz Mahadzir.

              “Ana bukan apa. Pasukan bola tampar itu, rugi sangat kalau terbubar. Enta pun tahu, sejarahnya panjang.” Lelaki itu berhenti seketika.

Hussam terangguk-angguk sambil mengunyah.

“Lagi pula, tahun ini kita ada potensi untuk naik. Kalau enta hendak tahu, pemain-pemain tahun ini adalah amat berbakat.”

              Hussam menelan baki roti canai dalam mulut. “Yakah?” Sebelah kening terangkat.

              Ustaz Mahadzir mengangguk yakin.

              “Tapi dengarnya, pemain-pemain tahun ini adalah pemain-pemain yang sama tahun lepas, memandangkan tiada antara mereka yang keluar.”

              “Benar.”

              “Tahun lepas, yang ana tahu, MATRI tidak lepas pun peringkat saringan. Jadi, apa yang berpotensi sangat?”

              “Itu betul. Tetapi itu disebabkan oleh mereka tiada kesefahaman, tiada disiplin. Kemudian, masalah pelajaran. Sebahagiannya pula mempunyai masalah keluarga, menyebabkan mereka tidak mampu menunjukkan potensi masing-masing.” Ustaz Mahadzir menggeleng lemah.

Kedengaran nada kecewa dalam suara Ustaz Mahadzir. Sama ada kecewa dengan hal itu atau kecewa dengan keadaannya yang tidak mampu mengubati keadaan tersebut.

“Itulah ana berhajat sangat kepada enta, agar dapat hidupkan kembali pasukan itu. Mereka ada potensi. Itu keyakinan ana.”

Pandangan Ustaz Mahadzir bertentang dengan pandangan Hussam.

Hussam dapat melihat ada sinar keyakinan dan nyalaan harapan pada bebola mata warden tersebut. Dia senyap, tidak segera membalas. Seakan mahu memberikan lebih ruang kepada Ustaz Mahadzir untuk terus berbicara.

              “Lagipun, ini untuk perjuangan kita yang belum selesai, bukan? Kita masih perlu membuktikannya.” Ustaz Mahadzir memegang tangan Hussam. Sungguh terzahir ketinggian cita-citanya.

              “Perjuangan kita?” Hussam senyum. Dia memahaminya, tapi sekadar memancing.

              “Sukan sebagai salah satu medan ibadah. Sukan sebagai salah satu wasilah dakwah.” Ustaz Mahadzir melafazkan kata-kata itu dengan penuh harapan.

              “Mempamerkan Islam sebagai gaya hidup yang tertinggi.” Hussam menyambung.

              Ustaz Mahadzir mengangguk. “Enta ingat lagi, bukan? Jadi, bagaimana?”

              “Ustaz, bukankah ana sudah berada di sini? Bagaimana apa lagi?” Hussam menepuk-nepuk tangan Ustaz Mahadzir.

              Ustaz Mahadzir ketawa. “Tapi enta kena banyak bersabar.”

              “Banyak cabaran yang ana akan hadapi?”

              “Sangat-sangat banyak. Ana sendiri mengakui, ana tidak mampu. Ana cuma berharap enta memahami cabaran yang bakal enta tanggung. Jika enta hendak berundur, mungkin sekarang adalah masanya.”

              Pandangan mata Ustaz Mahadzir serius. Tajam seperti mahu menembusi kepala.

              Hussam tersenyum. “Ustaz, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Ana sudah berumah di tepi pantai.” Hussam mengangkat kening dua kali sambil mengambil tisu dan mengesat tangan.

              Bibir Ustaz Mahadzir mengukir senyuman lebar.

              “Terima kasih, Hussam. Terima kasih.”

***

Sembilan tahun dahulu, Ma’had At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah menubuhkan pasukan bola tampar-nya yang pertama. Walaupun tanpa jurulatih profesional dan dengan kelengkapan yang serba kekurangan, MATRI berjaya menggegarkan arena bola tampar negeri Perlis. Walaupun masih baru, MATRI berjaya merangkul pingat gangsa di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis atau MSSPs.

              Pada tahun-tahun berikutnya, MATRI terus menggegarkan arena kejohanan bola tampar dengan konsisten merangkul pingat perak.

              Kecuali tiga tahun kebelakangan ini.

              Dua tahun merangkul pingat gangsa sebelum pada tahun lepas, mereka tidak pun melepasi peringkat saringan.

              Memang keadaan yang sangat kronik.

              Situasi pasukan ini kini ibarat telur di hujung tanduk apabila generasi baharu yang mewarisi tanggungjawab meneruskan perjuangan ini, merupakan pelajar-pelajar yang bermasalah. Mereka tidak berdisiplin, tidak pula mempunyai akhlak yang baik, majoritinya tidak berjaya dalam pelajaran, dan sebahagian mereka mempunyai masalah dengan keluarga masing-masing.

              MATRI dikatakan terpaksa mempertimbangkan pembubaran pasukan ini, memandangkan keadaannya hanya semakin hari semakin teruk.

Ustaz Mahadzir, Ketua Warden merangkap pengurus kepada pasukan bola tampar ini juga sudah tidak lagi mampu menumpukan perhatian penuh kepada tugasnya. Dia kini meneruskan pengajian pada peringkat sarjana secara pengajian jarak jauh, sambil terpaksa menumpukan perhatian lebih kepada perjalanan asrama kerana bilangan pelajar yang semakin tahun semakin bertambah.

              “Huh.”

Hussam mahu melepaskan sesak yang bermain di pemikirannya. Esok, sekolah akan dibuka semula. Perkara pertama yang dia mahu lakukan adalah bertemu dengan semua pemain bola tampar.

              MATRI bukan sekolah berasrama penuh, tetapi 90% pelajarnya tinggal di asrama. Daripada 90% pelajar itu berasal dari negeri luar. Biasanya, pelajar-pelajar ini akan tiba sehari sebelum cuti persekolahan tamat untuk membolehkan mereka mengemas asrama mereka. Malah, untuk tingkatan satu, pendaftaran mereka biasanya diadakan sehari sebelum pembukaan sekolah.

              Hussam baru selesai membantu pengurusan pendaftaran. Kini, seluruh pelajar baharu sedang sibuk melihat dormitori mereka bersama keluarga masing-masing. Sebahagian pelajar lama juga sudah kembali. Kebanyakan mereka sebenarnya sudah sampai ke negeri Perlis pada waktu pagi.

Tetapi, menurut Ustaz Mahadzir, pelajar-pelajar lama gemar pulang lewat ke asrama apabila sekolah dibuka semula. Petang nanti baru mereka tiba ke sekolah. Awal pagi ini mereka biasanya akan berlegar-legar di sekitar Kangar terlebih dahulu.

              Hussam bersila dengan bersandar pada batang pengikat net di tengah gelanggang bola tampar. Dia hanya berpakaian biasa. Tadi, selepas selesai membantu urusan pendaftaran, dia terus menukar pakaian. Agak rimas apabila berkemeja dalam keadaan panas sebegini.

              Dia mahu mengambil sedikit ruang untuk berfikir bagaimana hendak menghidupkan semula pasukan bola tampar yang kedengarannya amat tenat. Dia sudah bersedia dengan beberapa perancangan. Berjumpa, berkenalan, mungkin menetapkan dahulu hala tuju, kemudian menetapkan masa latihan sebelum berbincang mengenai kelemahan. Itu semua adalah rancangan-rancangan yang terdapat dalam fikirannya. Tetapi, Hussam juga mahu bersedia jika perancangannya tidak berjalan lancar.

              Walaupun bersikap optimis, dia tidak dapat menafikan yang kehidupan ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Hussam teringat akan satu ayat al-Quran, Surah al-Ankabut, ayat kedua.

              “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedang mereka belum pun diuji?”

              Tiada perkara yang akan berjalan tanpa ujian.

              Mengangkat sukan sebagai ibadah bukanlah satu perkara mudah. Mahu menjadikannya sebagai wasilah dakwah apatah lagi. Hal tersebut memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Sebelum itu, ia perlu dimulakan dengan kefahaman. Hendak membina manusia yang faham sahaja sudah sukar, apatah lagi mahu membentuk sekumpulan manusia yang mampu memikul tanggungjawab tersebut.

              Namun, kesukaran inilah yang akan Allah ganjari. Inilah jalan yang mesti ditempuhi, jika satu-satu perjuangan itu mahu dilangsungkan, dan kejayaannya mahu dipetik.

              Kalam allahyarham Mustafa Masyhur singgah ke minda.

              “Jalan dakwah tidak ditaburi bunga-bunga, tetapi merupakan satu jalan yang susah dan panjang kerana sesungguhnya antara yang hak dengan yang batil, ada pertentangan yang nyata.”

              Hussam menyentuh lantai gelanggang bola tampar.

              “Perjuangan sebenar bermula sekarang, Hussam!” Dia menyematkan azam.

Kemudian, dia bangun. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkan kembali pasukan bola tampar sekolah ini. Pasukan ini tidak akan dibubarkan!

              Hussam menyapu sedikit debu pada bahagian punggung seluar seraya berjalan tanpa mengangkat wajah. Tiba-tiba, bahunya dilanggar seseorang.

              “Hoi, butakah?”

Satu tengkingan menggetarkan gegendang telinga. Hussam terkejut, pantas membesarkan mata.

              Seorang remaja lelaki, tubuhnya sederhana tinggi, dengan tuala tergantung pada leher, tanpa baju dan hanya berseluar sukan, sedang menentang pandangannya dengan mata yang tajam. Mata seperti panahan mentari terik.

              “Maaf.” Hussam spontan memberikan respons walau sedang terpinga-pinga.

              Remaja di hadapannya itu mendengus. “Lain kali kalau ada mata itu, pakai!”

Sekali lagi tengkingan dilepaskan sebelum remaja itu bergerak meninggalkan Hussam menuju ke tempat mandi yang terletak di belakang asrama, bersebelahan sahaja dengan gelanggang bola tampar.

              Hussam tidak enak membiarkan seseorang yang tidak beradab begitu sahaja. Apatah lagi jelas, remaja itu merupakan pelajar MATRI. Lantas tangannya pantas menarik bahu kiri remaja itu. Dia berhajat hendak memberikan teguran.

              Tanpa disangka-sangka, remaja itu bertindak balas. Berpusing pantas seiring tangan kanannya meluncur laju bersama tumbukan yang terkepal. Hussam terkejut dengan reaksi remaja itu, namun tidak menggelabah. Hussam tidak miskin ilmu seni mempertahankan diri. Segera tumbukan remaja itu ditahannya dengan tangan kiri.

              Bunyi pertembungan dua tangan kedengaran kuat.

              Mata mereka berdua bertentang sekali lagi, dan mata remaja itu seperti mahu meletup.

              “Jangan. Ganggu. Aku!”

Remaja itu memberikan amaran dengan suara yang bergetar. Jelas penuh amarah dan keberangan. Remaja itu kemudian berpusing dan bergerak meninggalkan Hussam, kemudian hilang daripada pandangan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke tempat mandi.

              Hussam menggerak-gerakkan tangan sambil terpinga-pinga. Dia kemudian memegang tangan itu dengan tangan kanan.

              Sakit. Hal itu membuatkan dia tidak cuba untuk mendapatkan lagi remaja tersebut. Hussam tidak mahu berlaku pergaduhan yang lebih panjang antara mereka.

              “Kuat betul tumbukan. Siapa dia? Kuat pun ya, kurang ajar pun ya.” Hussam berbicara sendiri. “Jangan pemain bola tampar, sudah.”

              Kemudian, dia menggeleng. Pandangannya lekat pada gelanggang bola tampar.

              “Kalau ya pun, apakah aku mahu mengalah?”

              Nafas dihelanya panjang. Senyuman kemudian terukir.

              “Sudah tentu tidak!”