Gelombang 2

Hussam duduk dan bersila, bersandar pada tiang net bola tampar. Cuaca agak terik, tetapi dia mulai biasa dengan keadaan panas. Telefon pintar dikeluarkan. Jam pada gajet itu menunjukkan 5.40 PM.

              “Manalah budak-budak ini?”

Hussam memandang sekeliling. Padang sederhana besar berhampiran gelanggang bola tampar sudah mula dipenuhi pelajar-pelajar yang hendak bermain bola sepak.

              Gelanggang takraw yang berada di hadapan asrama putera riuh dengan gelagat beberapa orang pelajar yang mahu bermain sukan tersebut.

Hussam menoleh pula ke belakang. Dia dapat melihat bahawa padang besar belakang asrama putera juga sudah dipenuhi pelajar-pelajar. Seterusnya, dia menjenguk ke arah bangunan dewan makan, yakni bangunan dua tingkat sebelah taski tersebut. Di hadapan dewan makan, berdiri rumah sampah, yang terdapat di sebelah bangunan itu sebuah padang kecil.

Padang kecil itu sudah pun kerumuni pelajar-pelajar yang bermain bola baling. Padang besar yang mempunyai pentas di seberangnya pula sudah menggegak gempita dengan suara pelajar-pelajar bermain hoki.

              Suara riuh pelajar-pelajar bermain mula kedengaran seperti bertingkah-tingkah, menghiasi suasana petang.

              Namun, gelanggang bola tampar masih kosong. Walaupun masa pembacaan al-Mathurat selepas asar sudah berlalu hampir 20 minit.

              Selalunya, pelajar-pelajar akan teruja untuk bermain. lebih-lebih lagi pada hari pertama sekolah setelah dua bulan bercuti. Apa lagi kegembiraan bagi pelajar berasrama melainkan beriadhah pada waktu petang bersama kawan-kawan setelah sehari berpenat lelah di dalam kelas? Selalunya, pelajar-pelajar asrama akan berebut-rebut padang permainan untuk merebut peluang bermain. Yalah, pelajar lelaki di sekolah ini sahaja sudah 350 orang.

              “Ustaz.” Satu suara menyapa.

              Ahah! Hussam terus mengangkat kepala dan senyum lebar. Namun kemudian, senyumannya mengendur.

              “Boleh kami guna gelanggang ini?” Seorang pelajar tingkatan satu dengan kayu hoki pada tangan kanan bertanya sopan. Bersama-samanya, beberapa lagi pelajar tingkatan satu. Semuanya memegang kayu hoki.

              Bukan pemain bola tampar.

              Hussam memaniskan roman wajahnya semula. “Inikan gelanggang bola tampar. Kenapa antum tidak bermain hoki dengan pemain hoki lain di padang yang ada pentas itu?”

              Padang tersebut memang menjadi tempat tumpuan para pemain hoki di MATRI.

              “Abang-abang kata, kami baru lagi. Mereka takut kami tercedera. Kami tak ada tempat lain nak bermain. Kami tengok gelanggang bola tampar ini kosong, jadi kami kalau boleh hendak gunalah.” Seorang lagi pelajar tingkatan satu bersuara.

              Hussam tersenyum. Rasa kasihan menyerbu hati. Dia kemudian memandang keadaan sekeliling. Dia masih tidak melihat kelibat seorang pun pemain bola tampar. Nampaknya, petang ini mereka tidak akan hadir.

              “Baiklah, pasukan bola tampar pun tidak turun nampaknya hari ini.” Hussam berkata separuh kecewa, sambil bangun daripada silanya. “Kamu pakailah, tapi jangan pukul bola hoki kamu ke net ya? Rosak pula nanti. Net itu ustaz baru beli.” Hussam berpesan sambil mengusap rambut salah seorang pelajar tingkatan satu itu.

              Mereka tersenyum gembira. “Terima kasih, ustaz!” Terus mereka berlari memenuhi gelanggang bola tampar itu.

              “Hati-hati ya bermain!” Hussam menambah pesanan. Tapi rasanya pesanannya itu sudah larut dalam kegembiraan pelajar-pelajar tersebut.

              Hussam tersengih. Pelajar tingkatan satu. Majoritinya baru pertama kali tinggal di asrama. Agak sukar hendak bercampur dengan senior kerana perbezaan umur, dan kejanggalan cara hidup di asrama yang masih terlalu baru buat mereka. Hussam dapat mengenali mereka itu pelajar tingkatan satu kerana dialah yang menguruskan pendaftaran pelajar-pelajar tersebut.

              Andai teringatkan ragam pelajar-pelajar itu pada saat ibu bapa hendak meninggalkan mereka, Hussam pasti akan tersengih sendirian. Ada yang gembira, tetapi majoritinya menangis, malah ada yang sampai meraung-raung. Warden jugalah yang terpaksa menenangkan semua.

Ustaz Mahadzir mengambil tugas sebagai bapa, mengumpulkan mereka selepas isya’, menenangkan semua dengan canda bersahaja, memberitahu beberapa peraturan mudah, memberikan taklimat ringkas mengenai jadual hidup di sini, dan penjagaan keselamatan diri.

Hussam senyap sahaja sepanjang tempoh taklimat, memandangkan dia masih baru, maka perlu banyak memerhati. Melihat Ustaz Mahadzir, terselit kagum dalam jiwanya. Tenang-tenang sahaja walaupun banyak kerja tergalas pada bahunya. Sudahlah Ustaz Mahadzir itu sedang menuntut pengajian jarak jauh untuk sarjana dalam bidang Usuluddin.

              Ustaz Mahadzir pun bijak bermain dengan psikologi. Tidak memberatkan pelajar-pelajar baharu dengan peraturan-peraturan asrama yang rumit. Yang hanya diberitahu adalah peraturan-peraturan asas.

Malah, pengawas-pengawas juga digerakkan untuk meraikan kedatangan pelajar baharu. Pengawas makan bersama mereka dalam dulang, membasuhkan dulang makanan, kemudian berta’aruf mengikut dormitori sebelum tidur. Ini sedikit sebanyak menyenangkan hati mereka yang gundah apabila berpisah dengan ibu bapa masing-masing.

Teknik Ustaz Mahadzir ini menunjukkan hasil. Semua pelajar tingkatan satu kelihatan gembira dan riang hari ini. Nampak sudah boleh membiasakan diri. Sudah seperti terlupa yang mereka telah berjauhan dengan keluarga masing-masing. Alah bisa, tegal biasa, kata orang.

              Warga MATRI telah menjadi keluarga mereka yang baru.

              Hussam pula perlu belajar banyak lagi. Semalam, perjumpaannya yang pertama dengan pelajar pun, sudah dirasakan gagal. Buktinya, tiada seorang pun pemain bola tampar yang turun ke gelanggang pada petang ini.

              Hussam menarik nafas, dalam dan panjang, sebelum melepaskan semuanya. Seperti mahu melepaskan segunung hampa yang mula bertapak di jiwanya.

Sabar.

              Fikirannya mula menerawang mengingati perjumpaan dengan pemain-pemain bola tampar semalam.

              “Kamu, letakkan kaki ke bawah!” Hussam menuding kepada pelajar yang meletakkan kakinya di atas meja.

              Pelajar itu buat tidak endah. Dia berwajah cerah, mimik muka seperti orang yang terpinga-pinga.

              “Ustaz hendak apa? Cepat sikitlah. Saya hendak kemas dorm.” Seorang pelajar, berkulit gelap dan rambut pendek hitam gelap.

              Hussam memandang satu persatu pelajar di hadapannya. Semuanya 11 orang.

              “Pemain bola tampar bukan ada 12 orang? Saya dengar, tidak ada seorang pun antara  pemain yang keluar tahun lepas.”

              “Ah, Arjuna. Dia ada di sekolah. Tapi tak tahulah kenapa dia tak datang.” Seorang pelajar yang sedari tadi meletakkan kepalanya di atas tangan, bersuara. Dia duduk di sebelah pelajar berwajah cerah tadi.

              Arjuna? Nama itu macam pernah didengari Hussam. Tapi …

              “Ustaz cepat sikit boleh tak? Bosanlah. Ana nak sembang dengan kawan-kawan.” Seorang pelajar tinggi lampai bersuara memotong persoalan yang bermain dalam pemikirannya.

              “Boring.” Seorang lagi pelajar bersuara, berbahasa Inggeris dengan gaya yang malas.

              Hussam senyap sebentar. Memandang keadaan 11 orang pelajar di hadapannya, perkara pertama yang boleh dia simpulkan adalah pelajar-pelajar ini tidak mempunyai minat dalam pertemua ini. Tambah lagi, kurang adab.

              “Baiklah. Begini, sebagaimana yang kamu tahu, kamu semua pemain bola tampar untuk pasukan MATRI tahun lepas.”

              “Jadi?” Seorang pelajar mencelah. Tinggi, kurus, berkulit sedikit gelap.

              “Jadi, ana sebagai jurulatih pasukan bola tampar MATRI sekarang, hendak membina semula pasukan ini”

              “Jurulatih bola tampar MATRI?” Seorang pelajar, bertubuh paling kecil, bersuara.

              “Ya.” Hussam menjawab tegas sambil tersenyum lebar.

              “Heh, ustaz pandaikah main bola tampar?” Pelajar bertubuh kecil, sedikit gempal, bersuara.

              Hussam menarik nafas panjang. Cuba menjemput sabar. Kalau diikutkan nafsu, mahu sahaja dilukunya pelajar-pelajar tersebut. Sungguh tidak berakhlak. Walaupun dia lebih muda berbanding Ustaz Mahadzir, tetapi bukankah dia juga seorang ustaz? Walaupun sebagai guru baharu di sini, itu bukan alasan untuk mereka bersikap sedemikian terhadapnya.

              Namun, Hussam mengabaikan terlebih dahulu perasannya itu. Dia tidak mahu sesi ini bertukar menjadi sesi berceloteh, dan tambah menghilangkan minat pelajar-pelajar di hadapannya.

              “Beginilah, ana hendak tahu dulu nama kamu semua, dan tingkatan kamu. Ha, bermula dengan kamu.” Hussam menunjuk kepada pelajar berwajah cerah tadi. Cuba menghidupkan interaksi positif antara dirinya dan pelajar-pelajar tersebut.

              “Thoriq Yasin, tingkatan empat.” Pelajar berwajah cerah itu lambat-lambat menjawab.

              “Jailani Mustafa, tingkatan empat.” Pelajar tinggi lampai, berkulit gelap memberitahu.

              “Megat Najmuddin, tingkatan empat.” Pelajar pendek bertubuh sedikit gempal tadi bersuara.

              “Raja Nazrin, form four.” Pelajar yang agak tinggi, rambut belah tengah berwarna kuning oren, mengangkat tangan.

              “Hafiz Qasim, tingkatan tiga.” Pelajar dengan ketinggian sederhana, malas-malas mengangkat tangan.

              “Luthfi Roslan, tingkatan empat.” Pelajar yang bertubuh paling kecil dan pendek bersuara sambil tersengih. Riak wajah seperti bangga.

              “Ikmal Ramli, tingkatan empat.” Pelajar berkulit gelap, berambut pendek menepuk dadanya.

              “Salihin Syakirin, tingkatan tiga.” Pelajar yang tubuhnya sedikit berisi, berketinggian sederhana, berambut lurus sikat belakang, memberitahu.

              “Faisal Ihsan, tingkatan tiga.” Pelajar yang badannya sedikit berotot, berambut belah tepi mengangkat tangan separuh.

              “Syawal Mansur, tingkatan tiga.” Pelajar yang bertubuh besar, tinggi memberitahu.

              “Amirul Sobirin, tingkatan tiga.” Pelajar yang duduk di sebelah Syawal, bertubuh tinggi, kurus dengan sebahagian rambut hadapannya jatuh menutupi dahi mengangkat tangan.

              Semua selesai memberitahu nama masing-masing. Ada rasa lega mengetuk jiwa Hussam. Orang kata, tidak kenal maka tidak cinta. Jadi, dengan mengenali nama, barulah interaksi seterusnya akan menjadi lebih baik. Tambahan, perkongsian nama bermakna pelajar-pelajar di hadapannya ini masih ada rasa mahu berkomunikasi dengannya.

              “Bagus, nama kamu semua sedap-sedap belaka.” Hussam cuba bermesra.

              “Ada rasa vanila, ustaz?” Salihin buat loyar buruk.

              Sepuluh yang lain ketawa kuat dan terbahak-bahak. Ada yang sampai menepuk-nepuk meja. Terputus terus rasa mesra yang baru sahaja hendak disemai Hussam.

              “Sudah. Kamu semua, perlu jaga adablah.” Akhirnya, terlepas juga teguran yang ditahan-tahan semenjak awal tadi.

              “Ala, bosan sudah dengar orang tegur fasal adab ini.” Thoriq meletakkan dagu ke atas meja. Gaya malas.

              “Ha’ah, betul. Sikit-sikit adab. Inikan perjumpaan bola tampar. Bukan kelas akhlak!”

              “Betul!”

              Mereka mula riuh sesama sendiri. Saling bertingkah. Ada yang mempersenda Hussam. Ada yang kembali meminta untuk perjumpaan ini ditamatkan. Ada yang buat gaya malas.

              Hussam senyap. Sekadar memerhati. Sebelum perlahan-lahan menggeleng.

              Akhirnya, perjumpaan itu terpaksa dihentikan tanpa perbincangan hala tuju, matlamat dan sebagainya. Hussam tidak mampu meneruskannya apabila semuanya kelihatan jelas tidak berminat untuk berbincang. Dia sekadar mengajak mereka untuk turun bermain pada petang itu. Hussam mengira, mungkin mereka tidak berminat dengan banyak cakap. Mungkin mereka mahukan praktis.

              Nampaknya, jangkaan Hussam meleset apabila tiada seorang pun yang turun ke gelanggang. Mereka mungkin tidak berminat sekiranya dia merupakan jurulatih pasukan tersebut.

              “Aku takkan putus asa. Aku akan cari jalan lagi.”

Hussam menyemat azam. Dia tidak akan mengalah!

              Terus dia bergerak ke bilik warden. Hendak siap awal, bagi memudahkannya membantu pengawas mengosongkan asrama pukul 7.00 malam nanti. Mengikut Ustaz Mahadzir, pelajar-pelajar perlu berhenti bermain pada pukul 6.30 petang dan mengosongkan asrama pada pukul 7.00 malam, kemudian bergerak ke musolla untuk solat maghrib sebelum ke dewan makan untuk makan malam.

              Mendidik jiwa.

              Gurauannya dengan pemandu teksi menjengah. Hussam tersenyum sendiri sambil menggeleng. Ya, mendidik jiwa manusia. Dan tugas itu bukannya senang.

              “Mendidik jiwa manusia ini, tidak semudah membentuk plastisin. Mendidik jiwa manusia memerlukan seni, kesabaran, dan waktu.”

Itu antara kata-kata Ustaz Mahadzir yang dipegangnya. Kesusahan itu tidak akan menyebabkan dia mengalah. Kerana, dia baru sahaja berada pada titik mula. Dia perlu berusaha lagi. Pasti Allah akan membantunya. Sekiranya dia berhenti sekarang, maka sia-sialah kedatangannya ke MATRI ini. Dia hadir di sekolah ini untuk memenuhi satu misi.

              Mengangkat sebuah perjuangan. Menyempurnakan satu wawasan.

              “Usaha!”

              Dia memasakkan nekad.

***

Di belakang pentas, tempat meletak kereta di hadapan bangunan akademik empat tingkat, kelihatan seorang pelajar baru sahaja menghabiskan larian. Peluh membasahi seluruh tubuh. Bajunya lencun. Nafasnya turun naik. Dadanya berombak kencang. Keadaan ini membuatkan dia perlu mengatur semula pernafasan, sebelum melakukan regangan bagi menutup sesi riadhah tersebut.

              “Hah!” Dia berteriak melepaskan nafas.

              Kemudian, dia menarik lagi nafasnya dalam-dalam.

              “Hah!” Sekali lagi perbuatan itu diulangi.

              Kini, degupan jantungnya menjadi semakin terkawal berbanding tadi.

              Dia mula melakukan regangan. Bermula dengan kepala, kemudian leher, bahu, siku, lengan, jari-jemari tangan, pinggang, kaki dan hujung jari-jari kaki. Semua dilakukan dengan teliti dan dibuat dengan serius. Nampak jelas dia tidak mengambil ringan setiap regangan yang dilakukan.

              Sebaik sahaja selesai dengan regangan hujung jari kaki, dia mencangkung, dan membuka kaki dengan lengannya menolak peha. Dia berada dalam posisi itu untuk beberapa ketika, kemudian berdiri tegak semula. Dia menarik nafas dalam-dalam dan mengulang teknik aturan nafasnya tadi.

              Kini, dia lebih selesa. Degupan jantungnya kembali stabil.

              Peluh yang mencucur dilap dengan tuala putih kecil yang setia tergantung pada leher.

              Selepas beberapa ketika, dia berlari-lari anak di sebelah padang yang mempunyai pentas. Pelajar-pelajar yang galak bermain hoki di situ sedikit pun tidak dihiraukannya. Dia fokus kepada lariannya. Separuh padang, dia berhenti. Menarik nafas, kemudian berlari anak semula, tetapi kini pada arah yang bertentangan.

              Padang yang mempunyai pentas di hujungnya ini sering digunakan untuk majlis-majlis besar yang diadakan oleh sekolah. Padang ini juga digunakan sebagai tapak latihan pemain hoki sekolah. MATRI tidak ada duit untuk membina sebuah padang turf khas yang sesuai untuk permainan hoki. Pelajar-pelajarnya hanya berlatih di atas padang rumput ini. Walaupun kurang sesuai, namun itu sahaja yang ada.

              MATRI mempunyai banyak padang dan beberapa bangunan seperti asrama. Bangunan-bangunan akademik pun, hasil sumbangan orang ramai semasa tertubuhnya sekolah ini. Sepanjang perjalanan sekolah ini mendidik ramai pelajar.

              Maka, apa yang ada, disyukuri semua warganya. Apa yang tiada, tidak diungkit-ungkit. Apa yang kurang, cuba dipenuhi dengan kemampuan masing-masing. Jika tidak berjaya diperolehi, redha dan cuba lagi dengan usaha yang lain. Hatta pelajar-pelajar sendiri sudah dibiasakan dengan konsep begini.

              Dia menarik kembali fokusnya kepada senaman yang dilakukan.

              Apabila sampai ke tempat dia memulakan larian anak tadi, dia berhenti. Menarik nafas dan bergerak lagi dengan arah bertentangan. Kini, dia meletakkan kedua-dua belah tangan di belakang punggung. Setiap kali bergerak, tumitnya akan menghentam telapak tangan. Dia bergerak separuh padang, kemudian berpatah balik dengan keadaan yang sama.

              Dia bergerak lagi dengan tangan diletak pada paras pinggang, dan lututnya akan diangkat sehingga menyentuh tangan apabila bergerak. Sekali lagi dia bergerak separuh padang, kemudian berpatah balik dengan cara yang sama.

              Seterusnya dia melompat dengan sebelah kaki. Sebentar kaki kanan, sebentar kaki kiri. Juga menggunakan jalan yang sama, dan berpatah balik begitu juga.

              Kemudian, dia menarik nafas sebentar, dan menundukkan kepala, bersama tangan menyentuh tanah dan tubuh yang dibengkokkan. Matanya memandang hujung padang. Beberapa saat selepas itu, dia terus memecut, berlari sekuat hati sehingga ke hujung padang.

              Sampai sahaja ke hujung padang, dia berhenti. Kemudian, dia mengatur pernafasan semula dengan menarik dan melepaskan nafas secara berkali-kali.

              “ Ha …” Dia melepaskan nafas perlahan.

              Kini, tubuhnya berasa panas dan segar. Peluh yang membasahi tubuh amat memuaskan hatinya.

              “Abang Arjuna!” Satu suara  memanggil dari jauh.

              Dia menoleh. Arjuna, itulah namanya. Biasanya, orang memanggilnya dengan panggilan ‘abang’. Terutama adik-adik junior.

              Kelihatan seorang pelajar bertubuh kecil, rambut sedikit keperangan, berkulit cerah dengan mata sedikit sepet, sedang memegang kayu hoki, bergerak ke arahnya. Arjuna kenal dia. Seorang pelajar tingkatan tiga.

              “Ha, Malek. Kenapa?”

              “Abang Arjuna tak turun main bola tampar? Bukankah bola tampar sudah ada jurulatih baru?”

              Arjuna tersengih. “Malaslah terlibat dengan bola tampar lagi. Buat apa.” Dia mencebik.

              Malek tersenyum. “Abang Arjuna ini, semua regangan yang abang buat, regangan pemain bola tampar. Malas terlibat macam mana kalau begitu?”

              Arjuna mengendurkan cebikan dan kembali tersengih. “Yang enta itu, sudah berubah main hoki pula?”

              Malek memandang kayu hokinya sambil terus tersenyum. “Oh, tadi ingat hendak turun main bola tampar juga. Tapi tengok tak ada orang turun. Jadi, ana main hoki-lah.”

              “Ingatkan sudah putus asa nak mencuba.”

              Malek ketawa kecil. “Ish, tak adalah. Buat apa hendak putus asa. Tahun ini ana akan cuba lagi.”

              “Ha, cubalah lagi.”

              “Baik. Insya-Allah. Kita jumpa lagi di gelanggang ya, Abang Arjuna!” Malek mengenyitkan mata sebelum pergi menyertai pelajar-pelajar yang galak bermain hoki.

              Arjuna menggeleng sendiri. “Budak ini, tak mahu mengalah.”

              Malek sebenarnya cuba menyertai pasukan bola tampar semenjak tingkatan satu. Tapi setiap tahun, dia tidak terpilih kerana terdapat ramai lagi pelajar lain yang lebih berbakat. Namun, untuk menunjukkan kesungguhannya, Malek sanggup menjadi penyedia air, pengutip bola untuk pasukan bola tampar. Dengan itu, Malek akan dapat berlatih bersama pemain-pemain sekolah walau bukan sebagai pemain rasmi.

Itu adalah satu perkara yang amat dikagumi Arjuna. Semangat Malek yang sedemikian jarang ada dalam diri pemain-pemain bola tampar yang lain. Hatta  mungkin dirinya sendiri.

              Yang lain-lain, hanya tahu berlagak. Masing-masing hendak kata diri sendiri hebat. Semua menunjuk teknik dan kemahiran masing-masing yang dirasakan tiada tandingan. Masing-masing keras kepala dan tidak mahu menerima kelebihan dan kelemahan yang lain.

              Arjuna benci dengan sikap pemain-pemain bola tampar yang lain. Kekalahan tahun lepas masih berbekas di hatinya. Luka itu belum terubat.

              “Damn it!”

              “Kita kalah sebab kau!”

              “Kaulah, aku suruh spike fast, kau hendak open juga!”

              “Weh, aku ni spiker open, mana boleh spike fast, bodoh!”

              “Ala, kalau kau spiker hebat sangat, patut boleh ambil semua jenis bola, bijak!”

              “Megat, aku punya bola pun, aku ambil sub, tapi kau tak guna pun aku!”

              “Semua hendak salahkan aku, sudah kamu semua itu yang lembab!”

              “Apalah kamu semua, kalau tak reti main, baik bagi kami semua saja!”

              “Sudah, kamu itu simpanan, senyap-senyap sudah!”

              “Woi, ingat kami semua simpanan tak reti main?”

              “Sudah! Kamu semua kalau hendak makan penampar aku, bertekaklah lagi.”

              “…”

              “Semua main macam siput, lembab. Kepala sudahlah keras macam batu. Tidak nampak bola itu macam mana hendak ambil?”

              “…”

              “Kamu semua memang macam sampah. Apabila kalah, tahu bising saja. Kita kalah peringkat saringan, tahu. Ini pertama kali. Paling teruk dalam sejarah. Malu, tahu tak!”

              “Ala, Abang Arjuna pun bukan buat apa-apa. Bagi bola pun, rejam sangkut net.”

              “Apa kau cakap? Aku tak buat apa-apa? Sudah kau bagi bola pun buruk. Kira baiklah aku cuba.”

              “Sudah, sudah. Jom balik. Buat malu nama MATRI saja antum bertekak di tengah-tengah dewan begini. Sahsiah apa macam ini?”

              Itulah pertengkaran antara pemain yang berlaku pada hari kekalahan mereka.

              Memang menyakitkan hati. Lukanya masih berbekas.

              Tambah pula, dia memang senang panas baran dan tidak suka dengan orang yang tidak menghormatinya. Beberapa hari lepas, dia hampir-hampir sahaja menumbuk seorang lelaki yang kelihatan asing di sekolah ini. Pada waktu malam semasa taklimat, baru dia tahu yang itu adalah ustaz serta warden baharu di sini.

              Tapi salah ustaz itu juga, jalan tidak tengok depan. Kemudian, hendak halang orang daripada pergi mandi pula. Sudahlah waktu itu dia baru sahaja lepas bergaduh dengan bapanya melalui telefon. Itu menyebabkan Arjuna bereaksi kasar semasa pertembungan antara dia dan guru baharu tersebut. Lantaklah. Kalau itu Ustaz Mahadzir sekali pun, dia kisah apa? Yang penting, Arjuna merasakan dirinya betul. Sekelumit rasa bersalah pun tidak ada di benaknya.

              Malam semalam, dia mendengar yang Hussam itu memanggil semua pemain bola tampar. Tetapi dia tidak pergi pun ke perjumpaan tersebut. Malas. Hatinya juga masih bengkak untuk bertemu semula dengan pemain-pemain bola tampar yang lain. Malah, apalah yang dapat ustaz baru itu buat untuk pasukan bola tampar ini? Hendak hidupkan semula? Seperti membakar air untuk mendapatkan abu. Mustahil untuk berjaya.

              “Sampah.” Arjuna menyumpah. Geram. Jiwanya bernanah apabila teringatkan pemain-pemain bola tampar yang lain.

              Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi siren, tanda waktu bermain telah tamat. Majoriti pelajar bergerak meninggalkan padang. Mereka semua akan bergerak ke dorm dan membersihkan diri, sebelum ke musolla untuk solat Maghrib.

              Akibat terkenang akan kenangan tahun lepas, dia mengakhiri sesi riadhah petang ini dengan jiwa yang membara.

              Ternyata luka di jiwanya belum sembuh. Kekecewaannya masih belum terubat.

***

Ustaz Mahadzir ketawa.

              Hussam memuncungkan bibir. “Kenapa ustaz ketawa pula?”

              “Itulah mereka.”

              Hussam menghela nafas lemah. “Betul cakap ustaz, mencabar. Ada seorang itu, asyik cakap gaya mat saleh saja.”

              Ustaz Mahadzir menggeleng bersama tawa yang masih bersisa. “Itu mesti Nazrin.”

              Selepas selesai taklimat bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Disiplin, Ustaz Abdul Karim, Hussam memberitahu Ustaz Mahadzir mengenai sikap dan perangai yang ditunjukkan oleh pemain-pemain bola tampar.

              “Kenapa nampak mereka macam tidak ada minat langsung? Bukankah mereka suka main bola tampar?”

              Ustaz Mahadzir menjungkit bahu. “Mereka sebenarnya amat minat dengan bola tampar. Serba serbi mereka ambil tahu fasal bola tampar. Pemain antarabangsa yang bagus-bagus, mereka kenal namanya. Jenama-jenama terkenal bola tampar, mereka tahu dan cuba miliki walau kebanyakan mereka bukan daripada keluarga berduit. Segala kemahiran bola tampar, mereka ambil tahu nama dan istilahnya, dan cuba pula hendak memahirinya. Kalau di gelanggang, sentiasa mahu pamerkan kehebatan masing-masing.”

              Hussam tersengih. “Itu kiranya ada minat yang amat mendalam. Habis, kenapa jadi macam sekarang?”

              “Itulah ana kata, ana pun tidak tahu. Mungkin masalah-masalah mereka yang lain membuatkan mereka begitu. Enta kena faham, mereka bukan saja pemain bola tampar. Mereka adalah pelajar, anak, rakan, juga hamba kepada Allah SWT. Pada setiap sisi itu, ada cabaran.”

              “Begitu ya?”

              Ustaz Mahadzir mengangguk lemah. “Ana ini seorang. Kemudian, banyak tanggungjawab lain yang memerlukan perhatian ana. Enta pun tahu. Ana rasa serba salah sebenarnya. Pasukan bola tampar ini ana anggap macam anak ana sendiri. Tetapi ana tidak dapat hendak memberikan perhatian lebih khusus kepada mereka. Apabila pihak sekolah timbulkan idea pembubaran, ana tersentuh sebenarnya. Rasa macam ana tidak jalankan tanggungjawab dengan baik.”

              Nafas berat terhela dari rongga murabbi itu. Hussam tidak mencelah. Memberikan ruang. Sekadar memerhati wajah Ustaz Mahadzir dengan riak seperti menyimpan seribu satu rasa.

              Kemudian, Ustaz Mahadzir memandang kepadanya.

              “Enta harapan ana, Hussam. Ana harap sangat enta mampu tebus kekurangan ana.” Lelaki itu tersenyum kelat.

              Hussam tersengih. “Ana takkan kecewakan ustaz, insya-Allah. Dan ustaz tak patut rasa bersalah. Sebenarnya ana lagi patut rasa bersalah. Baru sekarang boleh datang tolong. Selama ini ana tak beri perhatian sangat dengan apa yang berlaku di MATRI ini. Yalah, sibuk dengan kehidupan sendiri.”

              Ustaz Mahadzir senyum nipis. “Kehadiran enta di sini amat ana hargai, Hussam.”

              Hussam mengangguk-angguk.

              “Ana bukanlah nak kita jadi johan sangat. Ana lebih memikirkan peribadi pemain-pemain kita. Macam mana hendak bagi mereka ada keperibadian yang mulia, melalui sukan yang mereka suka. Buat mereka anggap sukan itu ibadah, dan jadikan mereka nampak bahawa penglibatan mereka dalam arena itu adalah dakwah buat masyarakat untuk menunjukkan yang Islam itu boleh dipraktis di mana-mana. Hatta di tengah-tengah gelanggang permainan. Itu yang ana hendak sangat sebenarnya.”

              Hussam mengangguk.

Benar. Jika kita hendak menunjukkan imej Islam yang baik kepada masyarakat, kita perlulah bermula dengan diri kita sendiri terlebih dahulu. Kalau diri kita sendiri tidak selesai, maka susahlah imej Islam yang baik hendak menonjol dari diri kita. Selesai di sini bukanlah erti kata perlu sempurna. Tetapi sekurang-kurangnya mempunyai rasa untuk memperbaiki diri dan bergerak ke arah itu. Jika tidak, dengan perangai diri yang buruk, terfitnahlah Islam melalui peribadi kita pada mata masyarakat. Jangan kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.

              Sheikh Mustapha Masyhur ada berkata: “Perbaikilah diri kamu dan ajaklah orang lain.”

              Kata-kata itu jelas menunjukkan kita memerlukan penyediaan diri untuk mengubah masyarakat. Bukan sekadar tin kosong.

              “Enta rasa mustahil-kah?” Ustaz Mahadzir menepuk-nepuk belakang Hussam, menarik Hussam kembali daripada lamunan.

              Hussam menggeleng. Senyuman terukir. “Taklah, inikan baru hari pertama. Ana akan cuba lagi. Ana ada beberapa rancangan untuk uruskan mereka.”

              Ustaz Mahadzir tersenyum. “Bagus, bagus. Ana minta maaflah, hanya boleh bantu dengan cakap-cakap kosong saja.”

              Hussam ketawa. “Cakap-cakap kosong apa. Ustaz sudah banyak berkorban. Insya-Allah, ustaz, kita akan berjaya. Ana positif. Optimis. Ustaz pun kenalah doa.”

              “Ana doa hari-hari, Hussam. Hari-hari.”

              Hussam hanya mampu mengangguk. Dia tahu Ustaz Mahadzir mempunyai pelaburan peribadi dalam urusan ini. Bukan sahaja duit.

              “Insya-Allah. Ana akan keluarkan potensi mereka, ustaz. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

              Ustaz Mahadzir tersenyum senang. “Semoga Allah permudahkan enta!”

              “Amin!” Hussam menyahut, bersemangat.

              “Baiklah, ana nak pergi meronda asrama. Enta pergilah tidur dahulu.” Ustaz Mahadzir bangun daripada silanya.

              “Baik.” Hussam juga berbuat demikian.

              Mereka berdua turun dari tingkat dua musolla. Musolla ini adalah tempat utama untuk segala program yang diadakan seperti perhimpunan, pembacaan al-Quran, tadarus, ceramah-ceramah dan sebagainya. Musolla ini agak besar. Bangunan ini menyimpan nostalgia yang agak berharga memandangkan ini adalah bangunan yang pertama dibina dalam sejarah sekolah ini.

Musolla ini mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah mempunyai pejabat am, bilik guru lelaki, lobi, tandas, tempat mandi, kelas, dan bilik mesyuarat. Tingkat kedua pula adalah ruang solat, yang sering digunakan juga sebagai tempat kuliah, tazkirah dan program-program yang bersesuaian.

              Ustaz Mahadzir terus berlalu dengan motosikalnya. Memang saban malam, dia akan meronda seluruh kawasan kampung ini untuk memastikan keselamatan, dan menjaga pelajar-pelajar MATRI.

              Hussam bergerak meninggalkan musolla merentas dataran. Dataran MATRI dikelilingi tiga buah bangunan. Bangunan Musolla, bangunan akademik tiga tingkat dan kantin. Cuma kantin berada di bawah sedikit, perlu menuruni tangga. Hussam berjalan menuruni tangga, melalui kantin, lalu tiba ke tempat letak kereta yang berada di antara pentas dan bangunan akademik empat tingkat.

              Suasana agak sunyi. Jam pun telah menunjukkan pukul satu pagi.

              Taklimat bersama Ustaz Abdul Karim agak panjang. Banyak perkara dikongsikan dengan pelajar sebentar tadi. Pelbagai perkara disentuh. Ustaz Abdul Karim yang juga imam di daerah Mata Ayer merupakan seorang guru veteran di sekolah ini.

Memandangkan MATRI terletak di tengah-tengah kampung, dan tidak pula mempunyai khidmat jaga, keselamatan diri dan asrama adalah perkara yang amat dititikberatkan.

Malah, taklimat Ustaz Abdul Karim tidak terhenti pada disiplin sekolah semata-mata, disiplin sebagai muslim turut disentuh. Pelbagai hadith, dalil, nas al-Quran dikeluarkan, menyentuh pelbagai aspek. Taklimat itu agak panjang, namun tidak membosankan memandangkan Ustaz Abdul Karim pandai mengawal suasana dan menghangatkan keadaan. Taklimatnya diselang-seli dengan gurau senda, menggamit tawa dan perhatian pelajar.

Taklimat berakhir pada pukul 11.30 malam.

Hussam mengambil peluang selepas itu untuk bersembang dengan Ustaz Mahadzir.

              Dalam perjalanan pulang ke asrama, dia memikirkan cara untuk membantu pasukan bola tampar. Perkara pertama adalah membuatkan mereka hadir ke gelanggang.

              Hussam ada satu cara. Dan cara itu akan digunakannya bermula esok!