Gelombang 3

Boring.” Nazrin melepaskan kuapan malas. Dia sedikit mengantuk. Kalau diikutkan hati, dia mahu tidur sahaja.

              “Pening juga Biologi tadi, kan?” Thoriq di sebelahnya menambah. Dia tidak faham apa pun yang dipelajarinya sebelum zuhur tadi.

              “Hey, bro, shut up. Aku malaslah nak sembang fasal belajar.” Nazrin menolak bahu Thoriq.

              Thoriq sekadar tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jelas, Nazrin juga berkongsi keadaan dengannya. Sama-sama pening-pening lalat.

              Bertukar dari tingkatan tiga ke tingkatan empat, masuk pula ke aliran Sains, mereka seperti terpinga-pinga dengan segala subjek baharu. Mereka bukanlah pelajar yang cemerlang sangat. Keputusan PMR mereka hanya cukup-cukup makan untuk melayakkan mereka menduduki aliran Sains.

              Sekarang, kepala mereka masih berasap walau sudah dibasahi wudhu’ dan melakukan solat Zuhur berjemaah sebentar tadi.

Mereka berdua menuruni tangga dari tingkat dua musolla bersama-sama sekumpulan pelajar yang lain. Semuanya mahu ke dewan makan. Ada juga sebahagian pelajar yang menggunakan masa ini untuk tidur sementara menanti kelas disambung pada pukul 2.30 petang sebentar lagi.

              “Apalah nasib kena masuk kelas Sains. Why the heck my parents force me to do it. Haih.” Nazrin menyambung rungut. Nampak sangat dia memang tidak suka akan keadaannya yang terkini.

              Masa kecil Nazrin banyak dihabiskan di Amerika Syarikat, memandangkan dia lahir di sana. Ayahnya, berkahwin semasa masih di pengajian ijazah dengan warganegara Amerika, dan tinggal di sana sehingga tamat pengajian pada peringkat doktor falsafah (Ph.D). Kerana itu rambut Nazrin berwarna kuning oren, kerana dia anak kacuk.

Dia sebenarnya seorang yang punya kecerdasan, tetapi Nazrin ada sikap pemalas yang tinggi. Dia sentiasa melayari kelas-kelasnya dengan tidur. Malah, segala kerja dan latihan yang diberikan oleh guru tidak dilakukannya.

Namun begitu, kerana kecerdasannya yang semula jadi, dia berjaya mendapat keputusan yang sederhana dalam PMR. Hal itu menyebabkan dia dipaksa untuk mengambil aliran Sains, kerana ibu bapa Nazrin percaya, Nazrin boleh menebus kegagalan PMR-nya dengan cemerlang di aliran Sains, seterusnya menjadi doktor.

Thoriq merupakan sahabat karib Nazrin semenjak tingkatan satu. Walau tidak semalas Nazrin, Thoriq mempunyai masalah disiplin dan gemar membuatkan guru-guru tidak mengendahkannya. Pencapaian akademiknya sederhana sahaja. Dia juga tidak minat aliran Sains, tetapi mengikutinya atas paksaan keluarga. Dia mempunyai masalah dengan semua guru yang mengajarnya, juga mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibu bapanya. Motivasi Thoriq di dalam kelas subjek Sains hanyalah Nazrin, sahabat karibnya.

Sebaik sahaja mereka berdua menuruni anak tangga terakhir, kedengaran bunyi yang agak riuh dari arah hadapan lobi. Apabila mereka melangkah ke tempat itu untuk keluar dari musolla, kelihatan ruang itu sesak. Papan kenyataan utama yang terletak di situ dikerumuni ramai. Ditambah pula aliran pelajar yang baru turun dari tingkat dua seusai solat Zuhur, membuatkan kawasan itu menjadi padat.

              “Biar betul!”

              “Susahkah kalau nak masuk?”

              “Tapi kalau pandai main, seronok tahu!”

              “Ada peluang!”

              Suara-suara itu bertingkah dalam kalangan pelajar yang memenuhi lobi tersebut. Semua seakan teruja dengan apa yang dilihat.

              “Why?” Nazrin memandang Thoriq.

              Thoriq menjungkit bahu. Dia cuba memanjangkan leher, hendak melihat apa yang tertampal di papan kenyataan. Namun, oleh kerana posisinya yang agak jauh dari papan kenyataan, ditambah pelajar yang berasak-asak hendak membaca pengumuman, bersama dengan aliran pelajar yang turun dari tingkat atas, dia langsung tidak dapat mengetahui apa yang menjadi tarikan semua di situ.

              “Hish!” Thoriq geram apabila sesuatu yang dihajatinya terhalang. Pantas tangan kanannya memegang kepala seorang pelajar di hadapan mereka. Dengan kasar, dia menarik pelajar itu mendekatinya.

              “Hei, budak, berita apa tu?” Thoriq bertanya dengan nada yang menakutkan. Seakan-akan ah long yang meminta hutang. Tangannya kejap memegang kepala pelajar itu seakan-akan dia sedang memegang bola.

              Pelajar itu terkejut. “Oh, abang …”

Pelajar itu terkesima, tidak kenal siapa Thoriq, memandangkan dia merupakan pelajar tingkatan satu yang baru sahaja beberapa hari di sini.

              “Hey, bro. Gelilah panggil abang abang ni. Kan Thoriq ask you, what the heck yang ada pada papan kenyataan tu!” Nazrin meninggikan suara. Wajahnya tegang. Gayanya menunjukkan senioriti penuh kuasa.

              “A … a … ada …”

Pelajar tingkatan satu itu terketar-ketar hendak memberitahu. Tetapi belum sempat dia berbicara, ada satu suara mencelah dengan kuat, ibarat halilintar yang menyambar.

              “Tepi!”

              Semua yang ada terkejut. Kelihatan Jailani melepasi Thoriq dan Nazrin dari belakang. Tubuhnya yang tinggi lampai itu membuatkan semua pelajar terkejut dan spontan meminggir. Tambahan, majoriti yang berdiri di hadapan papan kenyataan itu adalah pelajar-pelajar junior. Jailani dengan wajah tidak ada perasaan, menolak beberapa orang pelajar yang masih menghadang laluannya.

              Beberapa pelajar terus berlalu dari situ kerana takut sekiranya berlaku kejadian yang lebih buruk. Siapa yang tidak kenal dengan Jailani? Pelajar tertinggi di MATRI. Tubuhnya kurus tetapi tegap dan semenjak tingkatan satu, belum ada yang pernah menang berlawan gusti lengan dengannya. Walaupun wajah Jailani sering tidak menunjukkan apa-apa riak, kekasarannya di MATRI adalah amat terkenal terutama dalam kalangan junior tingkatan tiga ke bawah.

              Dia juga merupakan antara perejam utama pasukan bola tampar MATRI.

              “Huh? Pemilihan pemain bola tampar?” Jailani mendekatkan wajahnya pada kertas yang bertampal di sebalik cermin papan kenyataan itu.

              Nazrin dan Thoriq tertarik dengan apa yang disebut oleh Jailani. Thoriq terus menolak kepala pelajar tingkatan satu tersebut dan bergerak mendekati Jailani. Thoriq dan Nazrin sama-sama membaca pengumuman tersebut.

              “What? Semua pemain bola tampar MATRI tahun lepas sudah dibuang? How can …” Nazrin menyebut kembali apa yang tertera pada kertas pengumuman itu.

              “Diadakan pemilihan semula?” Thoriq membaca dengan nada tidak percaya.

              “Nampaknya coach baru itu hendak tunjuk belang!” Satu suara mencelah.

Thoriq, Jailani dan Nazrin memandang ke belakang.

              Megat menolak sedikit tubuh Jailani lalu mendekati papan kenyataan. Walau tubuhnya kecil, nampak seperti dia tidak takut langsung dengan Jailani.

              “Siapalah agaknya yang boleh gantikan aku sebagai setter?” Angkuh.

              “Coach itu belum kenal siapa kita!” Faisal yang bersandar pada dinding belakang, bersuara. Entah bila dia berada di situ. Ikmal ada di sisinya.

              “Coach itu bodoh. Siapa lagi yang boleh main bola tampar hebat macam kita?” Ikmal menyumpah.

              “Heh, kita tunjuk pada dia siapa kita petang ini!” Jailani menekap tangannya pada cermin papan kenyataan. Wap membuatkan cermin itu bertanda bentuk telapak tangannya. Kemudian, dia bergerak meninggalkan kawasan itu.

              “Megat, jangan lupa bagi tahu Hafiz turun. Remember it!” Nazrin berpesan sambil melangkah pergi bersama Thoriq.

              Megat mencebik. “Hafiz sekelas dengan kamu, kan?”

              “Kalau tak nak panggil, sudah. Nanti tak adalah orang hendak selamatkan kau daripada kena dengan aku dalam gelanggang.” Thoriq pula bersuara sambil mengambil kasut.

              Megat mendengus. “Ceh, bajet gengster-lah sangat.” Dia kemudian menjelir lidah, sebelum membuka langkah untuk meninggalkan tempat tersebut.

              “Ha, korang berdua kalau hendak jadi simpanan lagi tahun ini, turunlah. Kalau tak, bagi orang lain pula.” Sempat Megat berpesan pedas kepada Faisal dan Ikmal.

              Faisal dan Ikmal hanya memandang Megat pergi dengan mata yang membara serta hati yang panas.

              “Cis, ingat dia bagus sangat?” Faisal memuntahkan amarah apabila Megat hilang daripada pandangan.

              “Heh, dia ingat kita sama macam tahun lepas? Aku sudah tengok banyak video atlet dunia cuti dua bulan ni, weh.” Ikmal pula bersuara.

              Mereka berdua, bersama-sama Salihin, Syawal dan Amirul adalah pemain simpanan untuk Pasukan Bola Tampar MATRI tahun lepas. Mereka sering direndahkan dan dianggap sebagai pemain kelas kedua oleh pemain-pemain yang lain. Hal ini menyebabkan hubungan mereka tidak berapa baik.

              “Ha, Faisal, nanti kau bagi tahu Syawal dan Amirul. Aku pula beritahu Salihin. Kelas aku sebelah kelas dia tahun ini.” Ikmal berpesan kepada Faisal.

              Syawal, Amirul, Salihin dan Faisal sebenarnya sebaya. Sama-sama tingkatan tiga. Tetapi Syawal, Amirul dan Faisal satu kelas. Manakala Salihin di kelas yang berbeza.

              “Baiklah, Ikmal.” Faisal bergerak pergi. “Eh, Luthfi macam mana?”

              Ikmal senyap sebentar. “Tak payah risau dengan dia. Jailani mesti bagi tahu dia nanti. Mereka kawan baik. Sekelas pula.”

              Faisal mengangguk sebelum bergerak meninggalkan Ikmal keseorangan di kawasan hadapan papan kenyataan. Jailani amat rapat dengan Luthfi. Luthfi merupakan libero pasukan bola tampar MATRI, sering menggantikan Jailani apabila Jailani bertukar posisi ke belakang.

              Ikmal bersandar pada dinding, memerhatikan papan kenyataan itu kembali menjadi tumpuan beberapa orang pelajar yang baru turun. Dalam hati, dia berhajat hendak membuktikan sesuatu.

              Coach, Megat, Jailani, Nazrin, Thoriq. Kamu semua tengoklah petang ni. Aku sudah jadi lebih hebat!”

              Ikmal sering direndah-rendahkan. Memang kebolehannya pada tahun lepas tidak seberapa. Tetapi dia diperlakukan seakan-akan tidak berguna langsung. Walaupun sekelas dengan Megat, Jailani, dan Luthfi di aliran Sastera, dia tetap dilayan seperti bukan teman seangkatan mereka. Malah, semua kelebihan Ikmal tidak diiktiraf oleh teman-teman bola tampar-nya yang lain.

              “Tengoklah nanti.”

Ikmal menggenggam tangan. Dia akhirnya melangkah pergi, mahu meninggalkan papan kenyataan itu dan bergerak ke dewan makan. Perut sudah berkeroncong dengan pelbagai irama.

              “Apa ini?” Tiba-tiba satu suara bertanya.

Ikmal kenal akan suara itu. Langkahannya terhenti, walaupun dia tahu pertanyaan itu tidak ditujukan kepadanya. Perlahan-lahan dia berpaling.

              “Pengumuman fasal bola tampar, Abang Arjuna.” Salah seorang pelajar yang berada di hadapan memberitahu.

              Ikmal memandang sahaja pelajar yang kelihatan agak matang, berbaju putih, berseluar biru dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam saku seluar. Beberapa orang pelajar membuka laluan untuk pelajar itu walaupun pelajar itu langsung tidak berkasar. Pelajar itu memandang sebentar pada papan kenyataan kemudian tersengih sendiri.

              “Sukan sebagai ibadah?” Pelajar itu ketawa mengejek.

              “Salahkah sukan sebagai ibadah, Abang Arjuna?” Salah seorang pelajar di situ bertanya. Mungkin hairan dengan tawa Arjuna.

              Arjuna memandang pelajar yang bertanya. Matanya berubah menjadi tajam, seakan-akan hendak menembusi mata pelajar yang bertanya.

              “Kamu budak-budak lagi, belum faham. Semua orang boleh sembang kemas tapi pada realitinya, lain yang dipraktikkan.” Suara dikeraskan. Mata dibesarkan.

Pelajar yang bertanya terus menutup mulut. Wajahnya beriak takut. Wajah tegang senior di hadapannya ini betul-betul menakutkan.

              Kemudian, Arjuna mula meninggalkan papan kenyataan. Beberapa langkah kemudian, dia berdiri di sebelah Ikmal. Ikmal sedari tadi terpaku sahaja memandang tingkahnya.

              “Arjuna, enta tidak turun petang ni?” Ikmal bertanya lembut, bukan kerana adab, tetapi kerana takut.

              Arjuna memandang Ikmal. Sepasang mata sebalik cermin mata itu seakan-akan reaktor nuklear mahu meletup pada wajah Ikmal.

              “Kau hendak aku main dengan sampah?”

              Bicara Ikmal terkunci dengan jawapan kasar itu walaupun Arjuna tidak bernada tinggi. Arjuna terus berlalu pergi. Ikmal sekadar memandangnya sehingga Arjuna hilang daripada pandangan, apabila pelajar itu menuruni tangga melalui kantin.

              “Haih. Sentiasa menakutkan.” Ikmal menggeleng.

              Arjuna, pelajar tingkatan lima. Dalam pasukan bola tampar, dia merupakan pemain tertua. Dia juga merupakan pemain paling lama dalam pasukan. Bermain bola tampar semenjak tingkatan satu. Bermakna, sebelum pemain-pemain lain ada di sekolah ini sebagai pelajar, Arjuna terlebih dahulu bergelumang di medan bola tampar.

Hubungannya dengan pemain-pemain lain semakin tahun hanya semakin meruncing, memandangkan kerjasama antara mereka tidak pernah berjaya terbina, dan prestasi pasukan bola tampar MATRI semasa kejohanan pula semakin merudum. Semenjak kekalahan tahun lepas, hubungan Arjuna dengan mereka seperti langsung terputus.

Malah, Arjuna juga seorang yang amat panas baran, dan mudah melenting dengan perkara-perkara kecil. Perkara itu, sedikit sebanyak mengeruhkan lagi keadaan mereka.

              Ikmal menghela nafas. Namun kemudian, dia seperti menyedari sesuatu. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyum.

              “Heh, kalau Arjuna tak ada, bermakna lebih mudahlah pemilihan petang ini!”

              Ikmal pun bergerak ke arah dewan makan sambil bersiul riang.

***

Hussam tersengih. Ramai sungguh pelajar yang turun pada petang ini. Ada sekitar lima puluh orang pelajar dari pelbagai tingkatan. Lebih menggembirakan, Hussam perasan kelibat pemain-pemain bola tampar MATRI tahun lepas. Yalah, siapa yang mahu takhtanya dirampas? Mereka pasti tidak mahu membiarkan posisi mereka diambil begitu sahaja. Ego mereka pasti tinggi.

              Selepas menunggu beberapa minit dan tidak kelihatan lagi pelajar yang ingin menyertai, Hussam pun memulakan sesi pemilihan petang itu dengan membaca al-Fatihah.

Membaca al-Fatihah semasa pembukaan sesebuah majlis adalah perbuatan para tabi’in dan Surah al-Fatihah itu sendiri hakikatnya juga merupakan satu doa yang baik.

              “Baiklah, kita akan memulakan pemilihan. Seperti yang ana maklumkan, pemilihan ini adalah pemilihan yang ketat. Memandangkan prestasi pasukan bola tampar pada tahun lepas yang kurang memberangsangkan, ana hanya inginkan yang terbaik pada petang ini!”

Hussam berbicara dengan nada yang bersemangat.

              “Kerana ana datang ke MATRI untuk melakar sejarah! Sejarah emas untuk pasukan ini. Sejarah imej Islam yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Jika antum mahu bersama-sama ana melakar sejarah ini, lakukan yang terbaik!”

              Semua yang hadir kelihatan turut bersemangat. Cuma pemain-pemain bola tampar tahun lepas yang kelihatan biasa-biasa. Sedikit pun tidak terpapar pada wajah mereka keterujaan. Ada yang sekadar mencebik.

              Hussam sengih sahaja. Dia hendak melihat sehebat mana pemain-pemain bola tampar ini.

              “Baiklah, ujian pertama untuk pemilihan pada petang ini adalah berlari pusing Perkampungan Tunjong sebanyak sepuluh pusingan.” Hussam mengeluarkan arahan.

              Suasana yang sebentar tadi senyap, terus menjadi riuh.

              “Sepuluh pusingan, ustaz? Perkampungan Tunjong pula. Jauh!”

              “Susahnya!”

              “Jauh sangatlah!”

              Ramai yang merungut.

Hussam tersenyum. “Kan ana kata ana hanya akan memilih yang terbaik?”

              Semua pelajar kembali senyap.

              “Antum bebas untuk berundur. Tetapi bagi yang masih mahu mencuba, bersedia.”

              Kelihatan beberapa pelajar mula keluar dari barisan dan meninggalkan pemilihan.

              “Heh, trash.” Nazrin tersengih sambil memandang pelajar-pelajar yang pergi itu.

              Hussam tidak ambil hati. Sudah pasti bukan yang keluar itu yang dikehendakinya. Tambah pula, barisan pemain bola tampar MATRI masih kekal di hadapannya. Jelas, mereka tidak merasakan cabaran yang diberikannya itu berat atau tidak boleh dilakukan.

              “Dengan nama Allah, mula!”

              Pelajar-pelajar pun mula berlari.

              Mengelilingi Perkampungan Tunjong bermaksud mereka perlu berlari sekitar 400 meter, mengelilingi MATRI, melalui rumah-rumah penduduk kampung. Bermula dari gelanggang bola tampar ini, mereka perlu mendaki bukit sederhana tinggi, sebelum berlari di kawasan mendatar, menuruni cerun menghadap asrama pelajar perempuan, kemudian merentasi rumah sampah dan padang di sebelahnya untuk kembali ke gelanggang ini bagi pusingan yang seterusnya.

              Sepuluh pusingan bermaksud empat kilometer.

              Hussam sekadar menghantar mereka dengan pandangan.

              Kelihatan pemain-pemain bola tampar MATRI berada paling belakang. Bersahaja.

              Sengihan Hussam melebar.

***

Hussam memerhatikan pelajar-pelajar yang menamatkan larian di hadapannya.

              “Ada lagi ujian yang lain?” Thoriq bertanya dengan muka selamba.

              “Sepuluh pusingan Perkampungan Tunjong ni apalah sangat, ustaz.” Jailani berbicara dengan angkuh.

              “Mana ada orang hebat macam kami? Empat kilometer itu biasa sangat.” Megat pula memandang ke arah rumah sampah.

Kelihatan beberapa orang pelajar yang menyertai pemilihan sedang berjalan kaki dalam keadaan lemah. Tidak lagi berlari. Itupun, mereka belum berjaya memasuki pusingan yang kelapan.

              Hussam hanya tersengih.

Kini, yang berdiri di hadapannya adalah 11 orang pelajar. Semuanya merupakan pemain bola tampar MATRI tahun lepas. Peluh mencucur membasahi baju mereka, tetapi tidak sedikit pun mereka kelihatan penat atau lemah. 11 orang itu tenang sahaja melayan dada mereka yang berombak, seakan-akan empat kilometer bukan masalah besar bagi mereka.

Ini petanda awal bahawa barisan pelajar di hadapannya ini memang berpotensi sebagaimana yang dikongsikan oleh Ustaz Mahadzir.

              “Baru dia tahu.” Hafiz tersengih.

              “So, ustaz, what will you give us after this?” Nazrin bertanya sambil mengangkat keningnya sebelah. Peluh yang membasahi wajah tidak disekanya.

              Hussam memandang satu persatu wajah mereka.

              “Sebelas orang. Yang ana dengar bernama Arjuna tu, tidak hadirkah?”

              Semua yang ada memandang sesama sendiri. Ya, Arjuna memang tidak ada dalam kalangan mereka semenjak awal larian tadi. Akhirnya, semua memandang kepada Hussam semula, dan menjungkit bahu.

              “Arjuna ada kata kepada ana siang tadi, dia tak mahu main dengan sampah.” Ikmal menambah.

              “Sampah?” Terkejut Hussam dengan kalimah tersebut. Tidak sepatutnya seorang pelajar berbahasa kasar sedemikian rupa.

              Ikmal mengangguk.

              “Arjuna ini sudah melampau. Sampah dia panggil kita?” Megat mengepal penumbuk.

              “Dia ingat dia paling tua, dia bagus sangat?” Jailani mengetap gigi.

              “Macamlah dia hebat sangat pun.” Thoriq pula bersuara.

              Nazrin mendengus kencang. “He must lost his mind.

Ahli pasukan yang lain juga berwajah tidak senang.

              “Arjuna itu lebih tua daripada antum?” Hussam bertanya, memandangkan dia terdengar bicara Jailani sebentar tadi.

              Semua yang ada mengangguk.

              “Dia pelajar tingkatan lima.” Syawal memberitahu.

              “Juga paling senior dalam pasukan bola tampar kami tahun lepas.” Amirul pula menambah.

              Arjuna … tingkatan lima … Hussam seakan teringat akan sesuatu.

              “Ah, lupakan sajalah dia. Kalau dia tak hadir pemilihan hari ini, mana boleh masukkan dia. Tak adil nanti!” Salihin bersuara.

              “Betul, betul!” Faisal membenarkan.

              Yang lain semua mengangguk pantas.

              Hussam senyap. Nampaknya, semua ahli pasukan tidak senang dengan Arjuna dan seperti mahu memastikan Arjuna itu tidak kembali ke pasukan ini. Tetapi dia juga belum pernah melihat secara berhadapan Arjuna ini. Jadi, dia tidak boleh membuat sangkaan melulu, walau daripada apa yang dia dengar sekarang, pelajar itu agak biadap dan kasar. Dia perlu membuat penilaiannya sendiri.

              “Baiklah, kita lihat dahulu siapa orang yang ke-12 berdasarkan ujian hari ini.” Hussam membuat keputusan.

              Semua mata memandang ke arah rumah sampah. Beberapa orang pelajar yang mengikuti pemilihan ini sudah berjalan sahaja. Pasti kepenatan.

              “Ala, semua tak sampai lagi pusingan yang kelapan pun.” Luthfi mencebik.

               “Entah, bagilah kami main dulu petang ini, ustaz.” Jailani menggesa.

              “Nanti. Ada seorang yang hendak menamatkan pusingan terakhir. Ana tahu.”

              Sebelas orang di hadapan Hussam senyap. Mereka semua kembali melihat ke arah rumah sampah. Jalan lurus di hadapan bangunan itu dipenuhi sebilangan pelajar yang sedang berjalan dengan lemah. Namun, dalam ramai-ramai pelajar yang berjalan itu, tetap ada seorang yang berlari anak, walaupun dalam keadaan yang agak perlahan.

              “Ha, itu dia orang yang ke-12 kita.”

              “Malek?” Faisal menyebut nama pelajar yang semakin lama semakin mendekati gelanggang bola tampar itu.

              “Kamu kenal dia?” Hussam bertanya kepada Faisal.

              Faisal mengangguk. “Dia sekelas dengan saya, coach.”

              Hussam tersenyum. “Dia nampak bersemangat.”

              “Heh, jangan dia kena buang lagi tahun ni sudahlah.” Jailani bersuara sendiri.

              “Apa maksud enta?” Hussam bertanya. Hairan dengan kata-kata Jailani.

              “Dia telah mencuba untuk masuk pasukan bola tampar MATRI semenjak tingkatan satu.” Megat memberitahu.

              “Tapi sebab dia pendek, dan boleh melaksanakan tanggungjawab libero sahaja, maka dia tidak terpilih setiap tahun.” Ikmal pula menambah.

              “Kenapa?” Hussam hendak tahu.

              “Sebab ada ana. Ana lebih hebat daripada dia.” Luthfi menepuk dadanya dua kali.

              “Ooh …” Hussam tersengih.

Mencuba dari tingkatan satu, dan masih mencuba hingga ke hari ini? Dia sekelas dengan Faisal, bermakna Malek ini berada dalam tingkatan tiga. Ini kali ketiga percubaannya.

              Menarik.

              “Baiklah, itu orang ke-12 kita, dan kamu semua boleh berehat 10 minit. Kemudian, ana mahu kita berkumpul di tengah-tengah gelanggang. Ana ada perkara yang hendak dibincangkan bersama-sama. Jangan lambat, atau ana tukar antum dengan orang lain.” Hussam membuat keputusan.

              Thoriq ketawa mengejek. “Ustaz boleh cari orang yang lebih hebat daripada kami? Tidakkah petang ini telah membuktikan yang kami ini tiada galang gantinya?”

              Hussam senyap.

              “Mungkin hendak mencari yang sama potensi macam antum, itu sukar. Pada ana, orang biasa itu boleh dididik untuk menjadi hebat sekiranya dia mahu. Tetapi manusia yang berakhlak itu sukar dicari.”

              Thoriq diam. Terus berpaling, mencebik dan tidak berkata apa-apa. Kata-kata itu tepat mengenai batang hidungnya.

              “Arjuna itu betul tak nak masuk?” Megat bertanya.

              Hafiz menjungkit bahu. “ Kalau dia tak masuk pun bagus juga, kan?”

              “Ha’ah, tidak adalah sesiapa yang nak tengking kita lagi.” Luthfi pula menambah.

              “Tak ada orang yang nak perasan dia paling senior.” Jailani berseloroh mengejek.

              Semua yang ada ketawa, kecuali Malek yang cuba menstabilkan pernafasan. Dia tidak berjalan bersama-sama mereka, tetapi telinganya dapat menangkap perbualan itu. Dia tersengih sendirian.

Mereka belum kenal siapa Arjuna itu sebenarnya.

***

Dari kejauhan, Arjuna melihat sahaja pasukan bola tampar mula berlatih. Dia dapat melihat mereka melakukan latihan digging.

              “Heh, pengecut.” Arjuna berbicara sendiri. “Sampah tetap sampah.”

Benci yang menggunung sukar ditarah dalam sekelip mata.

              Dia berkata sedemikian kerana dia tahu, semua pemain sekolah turun kerana tidak mahu dibuang. Kali ini, yang mengadili mereka bukanlah Ustaz Mahadzir, tetapi seorang guru baharu yang tidak mengenali mereka. Kalau pemilihan tahun sebelum ini, tempat mereka sudah diselamatkan oleh Ustaz Mahadzir yang memang mengenali potensi dan kelebihan masing-masing.

              Dia meneruskan larian, mengelilingi padang hoki untuk pusingan yang entah ke berapa. Tidak sedikit pun hatinya tercuit untuk mengikuti latihan bola tampar. Tambahan, dia dapat melihat yang Malek telah menjadi ahli yang ke-12.

              “Tercapai juga cita-cita budak itu.” Arjuna tersengih sendiri sambil menggeleng.

              Malek agak rapat dengannya memandangkan Malek tinggal satu dorm dengannya semenjak pelajar itu tingkatan satu. Jadi, panas barannya agak kurang sedikit apabila berbicara dengan Malek. Tambahan, Malek tidak pernah membuatkan dia marah, atau melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya.

              Arjuna sendiri, sedikit sebanyak mengagumi kesungguhan Malek. Malek seorang yang bersemangat waja dalam apa jua bidang. Daripada pelajar biasa, sehingga diangkat menjadi pengawas, daripada tidak tahu bercakap di hadapan khalayak sehingga mampu memberikan tazkirah kepada semua pelajar. Malek memang menyerlah dari segi kesungguhan dan disiplin. Cuma nasibnya kurang cerah dalam bola tampar.

              “Harapnya, tahun ini tahun engkaulah, Malek.” Arjuna mendoakan. Dalam panas barannya, masih ada budi bicara yang terselit.

              Larian diteruskan. Dia seakan-akan hendak berlari jauh.

Jauh meninggalkan masalah yang menyelubungi hati.